Sunday, October 27, 2013

Penyakit lemah tenaga batin



SOALAN
ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Saya 35 tahun, sudah lapan tahun berumahtangga dan masih belum ada zuriat. Saya dan isteri telah membuat ujian kesuburan dan kami didapati normal.
Setiap kali bersama isteri, saya tidak dapat menumpukan perhatian menyebabkan saya tidak dapat mengekalkan ereksi. Lebih memburukkan keadaan, rasa keinginan terhadap isteri semakin berkurang.
Bolehkah tuan membantu memulihkan kebahagiaan rumahtangga saya menggunakan rawatan al-Quran? Terima kasih.
nSalleh

JAWAPAN:
Waalaikumsalam. Sebenarnya saudara menghadapi masalah lemah tenaga batin dan jauh lebih kompleks ia melibatkan psikologi. Lemah tenaga batin atau disfungsi erektil (ED), juga dikenali sebagai mati pucuk iaitu ketidakupayaan mendapatkan ereksi atau mengekalkan ereksi untuk melakukan hubungan seks.
Kadang-kala ini bersabit dengan masalah premature ejaculation atau cepat keluar air mani semasa bersama. Lemah tenaga batin adalah satu keadaan sangat biasa, terutama di kalangan lelaki berumur.
Dianggarkan separuh daripada lelaki berusia antara 40 dan 70 tahun mengalaminya.
Pengenalan
Ramai lelaki pernah melalui kesukaran mendapatkan ereksi namun tidak perlu bimbang kerana ia bersifat sementara.
Jika ketidakupayaan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan berterusan lebih beberapa minggu atau bulan, bantuan perubatan harus dicari.
Punca
Lemah tenaga batin mungkin disebabkan penyakit kesihatan asas, komplikasi pembedahan, kesan sampingan ubat, gaya hidup dan psikologi.
Ereksi melibatkan otak, saraf, hormon dan saluran darah. Apa yang mengganggu fungsi normal otak, saraf, hormon dan saluran darah boleh membawa kepada masalah ereksi.
Apabila seorang lelaki teruja, otak menghantar isyarat ke zakar melalui saraf yang meningkatkan aliran darah ke zakar, menyebabkan tisu kembang dan keras. Oleh itu, apa jua yang mengganggu sistem saraf atau peredaran darah boleh membawa kepada lemah tenaga batin.
Keadaan psikologi seperti kemurungan, boleh mengurangkan nafsu dan berlaku perubahan hormon. Lemah tenaga batin boleh terjadi atas pelbagai sebab yang berpunca dari keadaan fizikal dan mental.
Sebab fizikal termasuk:
l Penyempitan saluran darah ke zakar - sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau kencing manis.
l Penyakit jantung atau tiroid, aliran darah lemah atau gangguan sistem saraf (seperti multiple sclerosis atau penyakit Parkinson).
l Masalah tulang belakang seperti slip disk, osteoporosis atau kemalangan yang merosakkan tulang belakang atau saraf di tulang belakang.
l Ubatan termasuk ubat tekanan darah, jantung, ulser peptik, pil tidur.
l Nikotin, alkohol, kokain atau penyalahgunaan dadah.
l Masalah hormon.
l Pembedahan atau cedera seperti kerosakan saraf dari pembedahan prostat dan kecederaan saraf tunjang.
Sebab psikologi termasuk:
l Masalah hubungan dengan pasangan.
l Kebimbangan seperti keraguan dan kegagalan.
l Kemurungan seperti tekanan perasaan.
l Jangkaan seksual tidak realistik.
Sebab fizikal adalah lebih biasa di kalangan lelaki tua. Sebab emosi lebih biasa di kalangan lelaki muda.
Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat pesakit lemah tenaga batin, terdapat kes melibatkan gangguan makhluk halus atau jin yang menyebabkan masalah sekatan sistem saraf.
Ini banyak berlaku pada pasangan baru kahwin dan apabila terkena sihir pemisah menyebabkan kesukaran untuk bersama dan mendapat zuriat.
Jin dan iblis di dalam badan pesakit akan merosak urat saraf di tulang belakang atau otak pesakit yang menguasai tenaga batin.

Tanda mati pucuk:
l Sementara atau sekali-sekala, semua lelaki mengalami masalah ereksi pada suatu masa dalam hidup mereka.
l Beransur-ansur dan berterusan; biasanya kes mati pucuk kronik.
l Terjadi tiba-tiba tetapi masih mempunyai ereksi di awal pagi dan sewaktu bersama, melibatkan psikologi dan fizikal.
Gejala mati pucuk
l Masalah mendapatkan ereksi.
l Masalah mengekalkan ereksi.
l Keinginan seksual berkurangan.
Kehadiran tanda yang disenaraikan tidak bermakna anda mempunyai masalah, ia perlu diberi perhatian serius jika berulang, jumpa doktor atau ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk pemeriksaan dan rawatan.
Rawatan moden
Lemah tenaga batin boleh dirawat pada sebarang usia. Rawatan bergantung kepada kesihatan dan punca masalah.
Dalam beberapa kes, perubahan gaya hidup boleh menghilangkan lemah tenaga batin. Kebanyakan lelaki lemah tenaga batin, memerlukan rawatan lanjut. Pilihan rawatan termasuk:
l Psikoterapi (kaunseling).
l Ubat-ubatan.
l Pembedahan.
l Fisioterapi
Rawatan ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit lemah tenaga batin akan diberi ayat berikut disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:
Surah Yusof ayat 46 hingga 52.
Surah Al-A’raaf ayat 56 hingga 62.
Surah An-Nahli ayat 81 hingga 89.
Surah Adz Dzariyat ayat 31 hingga 60.
Cara amalan ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali malam dan surah kedua tiga kali siang. Pembacaan diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah.
Selepas membaca dua surah pertama, pesakit hendaklah mengulang amalan dengan surah berikutnya.
Adakala pesakit perlu disentuh oleh perawat di tulang belakang di bahagian sacral tulang belakang S1 hingga S5.
Saraf di bahagian tulang belakang ini menguasai tenaga batin seseorang lelaki. Urat saraf dari tulang S1 hingga S5 menghubungkan saraf dari otak ke bahagian kemaluan lelaki.
Jika urat saraf di bahagian tulang belakang sacral rosak ia perlu dibetulkan.
Selain membaca ayat al-Quran tertentu untuk membetulkan urat saraf, teknik sentuhan pressure point yang saya dan perawat amalkan menggunakan jari tangan untuk menyentuh tulang belakang, boleh memberi kesan positif kepada aliran saraf.
Lebih baik jika pesakit dan keluarga datang berjumpa perawat supaya dapat kami periksa jika ada gangguan makhluk halus dan boleh dirawat dan diberi ayat Al-Quran lain bagi merawat gangguan.
Dalam hadis sahih daripada Safiyah r.a. dijelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam menuruti pembuluh (saluran) darah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)."
Penutup
Kepada pesakit yang mengalami lemah tenaga batin, jangan putus asa mencari cara dan ikhtiar untuk rawatan.
Dari Jabir Bin Abdullah radhiallahu’ anhu, bahawa Rasulullah (S.A.W) bersabda,
“Setiap penyakit pasti memiliki ubat. Bila sesuatu ubat bertepatan dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan izin Allah ‘azza wa jalla." (HR. Muslim)
bersama Haji Lokman Abdul Hamid
TANYA apa saja mengenai pelbagai masalah berkaitan penyakit fizikal atau spiritual. Sebarang soalan boleh e-mel ke lokman.alhidayah@gmail.com www.alhidayah-medic.com

No comments: