Saturday, May 9, 2015
Rezeki ke Tanah Suci datang tanpa diduga
APABILA sampai seruan untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci sama
ada bagi mengerjakan umrah atau haji, tunaikanlah tuntutan itu kerana
Insya Allah dengan izin-Nya, semua urusan serta perancangan berjalan
lancar.
Siapa yang tidak teringin menjejakkan kaki ke Tanah Suci, namun soal
perbelanjaan dan kos ke sana kerap menjadi persoalan utama. Ada
berpendapat, jika sampai seru tetapi duit tidak mencukupi pun tidak akan
terlaksana hasrat itu.
Penulis ingin berkongsi pengalaman mengenai rezeki ketika mengerjakan
umrah bersama keluarga baru-baru ini. Sebaik saja dimaklumkan nama
terpilih untuk menyertai program umrah anjuran syarikat, perasaan risau
mengenai kos perbelanjaan itu memang ada.
Alhamdulillah, majikan memang sudah menyediakan subsidi kepada staf dan
keluarga. Itu juga dikira sebagai rezeki untuk kakitangan dan kami
sekeluarga.
Rakan yang sudah menunaikan haji serta umrah mengingatkan, jangan sesekali lupa berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan segala urusan dan ditambah rezeki. Bajet yang saya ada sebenarnya cuma untuk tiga orang termasuk isteri dan Irmy Umaira, anak perempuan sulung berusia 11 tahun. Sebaik saja memaklumkan hasrat itu kepada anak yang lain, nampak jelas di wajah anak kedua berusia sembilan tahun, Khadeja Ulfa, gambaran mengharapkan supaya diberi peluang ikut serta tetapi mungkin tidak berani untuk bersuara.
Diterangkan secara baik, belum tiba masanya untuk dia ke sana kerana kekangan bajet. Namun, kira-kira empat bulan sebelum tarikh berangkat ke Tanah Suci, semuanya berubah. Tanpa diduga, keluarga mentua menawarkan untuk membayar kos tambahan bagi anak kedua. Itu rezeki anak dan kami menerima dengan hati terbuka. Walaupun begitu, timbul persoalan apakah kami boleh menambah jumlah peserta kerana borang menyertai program menunaikan umrah anjuran syarikat sudah diselesaikan tiga bulan sebelum itu. Sekadar mencuba nasib, nama anak kedua didaftarkan tetapi kata penganjur, semuanya belum pasti dan bayarannya lebih mahal berbanding kos untuk tiga orang yang pertama. Selepas agak lama menunggu, penganjur mengesahkan kami empat beranak layak untuk menyertai rombongan kali ini. Sebulan sebelum berangkat, syarikat mengumumkan bonus serta kenaikan gaji. Alhamdulillah, penulis sendiri terkejut menerima imbuhan kadar kenaikan gaji yang diterima. Terdetik di hati, inilah rezeki yang ditetapkan Allah SWT, apatah lagi kami dalam persiapan mahu menunaikan umrah. Sujud syukur tanda kegembiraan Sebagai persediaan, kami membeli barang keperluan, menghadiri taklimat dan kursus umrah. Dijadikan cerita, satu lagi kejutan berlaku sehari sebelum berangkat apabila rakan memaklumkan kami layak menerima komisen untuk satu tugasan yang dilakukan pada pertengahan tahun 2014. Nilai komisen itu tidak banyak selepas diagihkan antara kami berdua tetapi bagi saya ia cukup besar dan sujud syukur menandakan kegembiraan di hati. Tidak pernah disangka-sangka imbuhan itu dibayar pada masa yang dianggap paling tepat. Semua itu menguatkan lagi keyakinan diri bahawa rezeki di tangan Allah SWT, kita perlu berusaha, berdoa dan tawakal. Apatah lagi niat untuk menunaikan umrah, ibadah yang dituntut agama, tentu dimudahkan hasrat suci itu. Selepas empat hari berada di Madinah, kami berangkat ke Makkah dan di sana anak-anak kami cukup murah rezeki mereka. Tiap kali singgah di beberapa premis perniagaan di sekitar hotel dan Masjidil Haram, mereka berdua kerap menerima hadiah daripada peniaga. Walaupun sekadar lima riyal (RM5) seorang itu adalah rezeki mereka dan boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang bersedekah kepada mereka. Betullah kata-kata, anak pembawa rezeki. Jumlah sedekah itu apabila dikumpul, cukup untuk membeli sehelai jubah harga patut untuk mereka sebagai tanda kenangan. Itu belum lagi rezeki diterima mereka melalui sedekah wang tunai daripada rakan kerja penulis dan isteri. Bukanlah banyak tetapi nilainya cukup besar dan bermakna bagi kami. Itu tandanya rakan juga tumpang gembira dan mengharapkan kami dipermudahkan segala urusan. Pastinya jemaah lain juga sama seperti penulis, memohon doa kepada Allah SWT supaya sentiasa dimurahkan rezeki. Cuma bagaimana dan bila rezeki itu datang, tiada siapa yang tahu. Tambahan berada di sana kita boleh berdoa di Raudah di Masjid Nabawi dan depan Kaabah, tempat paling diidamkan untuk berdoa memohon hajat. Rezeki diterima berterusan sepanjang kami berada di sana. Dua hari sebelum berangkat pulang, sekali lagi penulis menerima berita gembira apabila seorang teman lama menghubungi melalui aplikasi 'WhatsApp' mengatakan mahu membayar hutang lama. Dia meminta nombor akuan bank untuk dimasukkan duit itu. Penulis sendiri terlupa perkara itu kerana sudah terlalu lama rakan tadi tidak berhubung. Pernah terlintas di hati, jika dia tidak mampu membayar hutang, penulis akan menghalalkannya. Itulah yang dikatakan rezeki tanpa diduga. Walaupun dia memohon untuk membayar separuh daripada jumlah hutang, penulis anggap itu rezeki daripada Allah SWT. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan bekalan belanja sehingga hujung bulan sebaik saja pulang ke tanah air. Tanpa jemu berdoa Semua perkara yang terjadi itu meninggalkan kesan mendalam kepada penulis. Jika kita sentiasa memohon kepada Allah SWT tanpa jemu, Insya Allah kita tidak sesekali akan dilupakan dan semoga sentiasa dilimpahi nikmat. Bagi penulis, tiada jalan mudah dalam mencari rezeki. Islam tidak mengajar dengan doa semata-mata tanpa perlu berusaha rezeki akan datang bergolek. Penulis percaya gabungan usaha dan doa adalah pakej terbaik untuk mencari nikmat rezeki. Allah SWT sentiasa menolong hamba-Nya yang berusaha seperti termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud: "Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."(Surah at-Thalaq, ayat 2-3)
Wednesday, November 13, 2013
Penyakit batu karang
ASSALAMUALAIKUM, Tuan Haji. Saya mengalami penyakit batu karang sejak empat tahun lalu. Saya sudah menjalani pembedahan membuang batu dari buah pinggang tahun lepas. Tetapi penyakit itu kembali dan saya selalu mengalami kesakitan hingga ke hari ini.
Kadang-kala keluar darah semasa saya buang air kecil. Bolehkah perubatan Islam merawat penyakit batu karang?
* Akmal, Langkawi
Jawapan
Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah kerap menerima pesakit dengan masalah batu karang. Dianggarkan 15 hingga 20 peratus rakyat Malaysia mengalami penyakit ini semasa hayat mereka.
Batu karang kerap berlaku di kalangan lelaki berumur antara 20 hingga 40 tahun. Namun, ada juga wanita yang mengalami masalah batu karang.
Sakit yang dialami biasanya teruk dan tidak hairan jika lelaki dewasa boleh menangis bila sakit batu karang menyerang.
Batu karangBatu karang merupakan butir-butir pepejal keras yang terbentuk di dalam air kencing. Ia boleh terbentik di mana-mana organ badan yang berkait dengan proses pembentukan dan pembuangan air kencing seperti buah pinggang, pundi kencing dan saluran ureter (saluran menghubungkan buah pinggang dan pundi kencing).
Bagaimana terbentukBatu karang terbentuk apabila kandungan bahan seperti kalsium, oxalate, cysteine atau asid urik di dalam air kencing pada kadar yang tinggi. Batu boleh terbentuk jika bahan tersebut pada kuantiti biasa tetapi jumlah air kencing sangat rendah.
Bahan tersebut akan membentuk kristal halus yang kemudian melekat pada dinding buah pinggang dan membesar hingga menjadi batu karang. Biasanya, batu karang akan bergerak melalui saluran air kencing dan keluar dari badan apabila kita membuang air kecil. Batu karang akan menyebabkan rasa sakit jika saiznya besar dan tersekat di saluran air kencing.
Punca Pakar perubatan percaya pembentukannya dipengaruhi genetik, persekitaran, diet dan jangkitan kuman di saluran kencing. Oleh itu, sukar untuk menjangka siapa mendapatnya. Jika ada ahli keluarga pernah mendapat batu karang, maka anda mungkin boleh dapatnya. Mereka yang pernah dijangkiti kuman di saluran kencing mudah mendapatnya.
Simptom Simptom utama adalah rasa sakit teramat sangat di belakang atau pinggang, digambarkan lebih teruk daripada sakit bersalin.
Apabila sakit menyerang, ia berlanjutan selama 20 hingga 60 minit dan dalam tempoh itu, sakit akan datang dan pergi. Hampir semua pesakit batu karang ada kesan darah di dalam air kencing atau hematuria.
Ramai pesakit turut rasa sakit atau panas apabila kencing dan boleh nampak butiran pasir halus di dalam air kencing. Ada mengadu demam, menggigil, rasa loya dan muntah.
Namun, ramai pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom. Mereka hanya tahu mengenai batu karang melalui pemeriksaan kesihatan bertujuan mengesan penyakit lain.
Rawatan moden Rawatan bergantung pada saiz dan lokasi, kadar kesakitan dan keupayaan pesakit untuk minum. Jika doktor merasakan batu karang boleh keluar melalui air kencing kerana pesakit boleh tahan sakit, makan minum seperti biasa, mereka boleh berehat di rumah dan menunggu batu karang keluar sendiri.
Jika pesakit mengalami kesakitan teruk atau loya, doktor akan menahannya di hospital dan memberi ubat tahan sakit dan memasukkan air melalui saluran darah anda (IV fluids).
Jika pesakit mengalami demam dan sakit teruk, mereka akan ditahan di hospital untuk rawatan dan mengelak jangkitan kuman lebih serius.
Jika batu karang tidak dapat keluar sendiri melalui air kencing, doktor mungkin mengesyorkan pembedahan kecil atau prosedur perubatan lain antaranya proses Lithotripsy yang sesuai untuk batu karang bersaiz kurang 1 cm.
Pencegahan Pengambilan air yang banyak membantu mencegah kristal halus bercantum dan membentuk batu karang lebih besar. Ia juga memudahkan badan membuang batu karang yang bersaiz sangat kecil.
Pemakanan memainkan peranan mencegah pembentukan batu karang. Antara makanan yang menyebabkan pembentukan batu karang jika diambil berlebihan, daging, organ dalaman haiwan, garam, kacang, bayam, coklat, keledek, supplemen kalsium dan supplemen vitamin C berlebihan.
Rawatan al-Quran Ayat al-Quran memiliki mukjizat dan kelebihan untuk membantu penyembuhan masalah batu karang. Daripada pengalaman kami, ramai mengalami perubahan sangat positif selepas menerapkan rawatan menggunakan ayat suci al-Quran.
Kami memeriksa setiap pesakit yang datang berubat, jika ada gangguan makhluk halus, perawat akan membuang gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan.
Ayat-ayat tersebut adalah:
Surah al-Anbiyaa' ayat 74 hingga 81
Surah al-Qasas ayat 61 hingga 75
Surah al-Mukminun ayat 75
hingga 100
Surah al-Maidah ayat 48 hingga 55
Cara amalan ialah pesakit membaca surah pertama sebanyak tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu, pesakit perlu berdoa kepada Allah memohon sembuh.
Ayat di atas dan daripada surah al-Anbiyaa' berfungsi memecahkan atau menghancurkan batu karang di dalam buah pinggang atau pundi kencing. Bila batu hancur dan halus seperti pasir, ia mudah dikeluarkan dari tubuh pesakit semasa buang air kecil.
Pesakit harus ingat penyembuhan hanya dengan izin Allah. Kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; "….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
PenutupAllah berfirman di dalam al-Quran, surah at-Taghabun ayat 11, yang lebih kurang bermaksud;"Tidak ada sesuatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
Di dalam ayat suci al-Quran di atas, Allah menerangkan bahawa setiap musibah atau dugaan yang dihadapi oleh setiap insan di dunia hanya boleh berlaku dengan izin Allah.
Kesimpulannya, setiap sakit yang dideritai adalah satu bentuk ujian Allah; yang harus ditempuhi dengan sabar dan usaha penuh yakin dengan janji Allah yang pasti akan ada ganjaran buat hamba-Nya yang bersabar di atas musibah yang diturunkan. Insya-Allah, setiap usaha, doa dan kesabaran kita akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131103/kn_02/Penyakit-batu-karang#ixzz2kbSBXkEj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Bahaya kanser mulut
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
adawiyah.koh@utusan.com.my
Bukan itu sahaja, penggemar sirih turut dinasihatkan menghentikan tabiat mengunyah daun itu kerana mampu meningkatkan risiko kanser mulut.
Ya, walaupun kanser mulut bukanlah antara penyakit yang tergolong dalam kategori penyakit kronik, namun jika dilihat kepada sejarah, masyarakat di Asia ialah mereka yang paling berisiko kerana kaitannya dengan tabiat memakan sirih, merokok dan juga kesan daripada alkohol.
Kanser mulut adalah penyakit malignan yang meliputi bibir, lantai mulut, bahagian dalam pipi, lidah dan gusi. Lebih 90 peratus kes barah mulut membabitkan lapisan luar mukosa mulut yang dikenali sebagai karsinoma sel skuama.
Menurut Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr. Siti Mazlipah Ismail, sama seperti kanser lain, pengesanan awal sebenarnya dapat menyelamatkan nyawa pesakit.
Tambah Dr. Siti Mazlipah, pada peringkat ini rawatan awal masih boleh dijalankan untuk mencegah kanser daripada merebak.
"Kebanyakan pesakit yang menghidap kanser mulut ialah kaum India kerana dikaitkan dengan tabiat mengunyah sirih.
"Pada awalnya, kanser mulut itu tidak sakit tetapi oleh kerana fungsi mulut adalah untuk mengunyah, merasai dan bertutur serta memberi kesan kepada satu daripada saluran awal pernafasan, menyebabkan fungsi-fungsi biasa yang normal di dalam mulut terganggu," ujarnya yang ditemui sempena kempen Bulan Kanser Mulut yang akan disambut pada 17 November ini di Taman Rekreasi Bukit Jalil, Kuala Lumpur mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya kanser mulut. Dalam pada itu, pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti program saringan kanser oral, pameran dan ceramah mengenai kesihatan mulut.
"Biar apa pun rawatan kepakaran yang boleh membantu, mengenali tanda-tanda awal kanser mulut memberi peluang terbaik untuk rawatan.
"Kanser mulut juga boleh menyerang golongan muda walaupun mereka tidak merokok, mengunyah sirih atau minum arak. Pun begitu, punca utama senario ini berlaku masih tidak diketahui.
"Tanda-tanda kanser mulut boleh bermula dengan ulser yang mungkin tidak sakit tetapi berterusan lebih tiga minggu, gigi yang mungkin nak patah tetapi tiada tanda sakit gusi dan bengkak pada leher.
"Apabila kanser ini menjadi lebih serius, pesakit akan mengalami luka yang besar hingga makan saraf, susah mengunyah, membuka mulut dan bertutur, mulut berdarah serta ketumbuhan dalam mulut (susah telan pepejal, air liur)," ujarnya.
RawatanMengulas tentang rawatan kanser mulut, beliau memberitahu, pesakit akan menjalani pembedahan, radioterapi dan kemoterapi.
Dr. Siti Mazlipah menjelaskan pembedahan biasanya membabitkan pembuangan kanser dan sebahagian tisu yang sihat di sekelilingnya. Ini kerana barah adalah penyakit yang mikroskopik iaitu ada sel kecil tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
"Ada kemungkinan sel kecil tidak dapat dilihat di sekitar sempadan kanser itu. Pembedahan membabitkan sel yang sihat ini turut membuang nodul limfa pada bahagian leher yang dijangkiti kanser.
"Pembedahan biasanya dilakukan untuk merawat kanser yang berada pada tahap awal dan sederhana dengan pembuktian tiada sel kanser merebak ke bahagian organ lain.
"Bagaimanapun, bagi jenis kanser yang merebak jauh pada kawasan lain tubuh, penggunaan radioterapi digunakan selepas pembedahan. Ini bertujuan mematikan sel kanser yang dikhuatiri masih tertinggal," katanya.
Selain itu, penggunaan radioterapi akan dilakukan jika kanser terlalu besar menyebabkan pembedahan sukar dilakukan. Kaedah ini juga membantu mengecutkan kanser. Bagaimanapun, radioterapi mempunyai banyak kesan sampingan yang harus dijalani oleh pesakit.
Orang ramai perlu tahu bahawa radioterapi tidak menyebabkan seseorang kehilangan anggota (lidah) dan fungsinya.
Tambahnya, pesakit mungkin hilang keselesaan pada mulut selepas radioterapi kerana tidak dapat membuka mulut dengan luas. Dalam pada itu, kaedah kemoterapi digunakan jika kanser sudah merebak ke organ lain seperti paru-paru dan hati, atau serentak dengan radioterapi.
Dr. Siti menasihatkan agar pesakit tidak takut menjalani rawatan ini kerana kesan ubat-ubatan mungkin berbeza dengan rawatan kemoterapi kanser lain.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131110/kn_04/Bahaya-Bkanser-mulutB#ixzz2kbRYL73u
© Utusan Melayu (M) Bhd
Sunday, October 27, 2013
Penyakit lemah tenaga batin
SOALAN
ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Saya 35 tahun, sudah lapan tahun berumahtangga dan masih belum ada zuriat. Saya dan isteri telah membuat ujian kesuburan dan kami didapati normal.
Setiap kali bersama isteri, saya tidak dapat menumpukan perhatian menyebabkan saya tidak dapat mengekalkan ereksi. Lebih memburukkan keadaan, rasa keinginan terhadap isteri semakin berkurang.
Bolehkah tuan membantu memulihkan kebahagiaan rumahtangga saya menggunakan rawatan al-Quran? Terima kasih.
nSalleh
JAWAPAN:
Waalaikumsalam. Sebenarnya saudara menghadapi masalah lemah tenaga batin dan jauh lebih kompleks ia melibatkan psikologi. Lemah tenaga batin atau disfungsi erektil (ED), juga dikenali sebagai mati pucuk iaitu ketidakupayaan mendapatkan ereksi atau mengekalkan ereksi untuk melakukan hubungan seks.
Kadang-kala ini bersabit dengan masalah premature ejaculation atau cepat keluar air mani semasa bersama. Lemah tenaga batin adalah satu keadaan sangat biasa, terutama di kalangan lelaki berumur.
Dianggarkan separuh daripada lelaki berusia antara 40 dan 70 tahun mengalaminya.
Pengenalan
Ramai lelaki pernah melalui kesukaran mendapatkan ereksi namun tidak perlu bimbang kerana ia bersifat sementara.
Jika ketidakupayaan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan berterusan lebih beberapa minggu atau bulan, bantuan perubatan harus dicari.
Punca
Lemah tenaga batin mungkin disebabkan penyakit kesihatan asas, komplikasi pembedahan, kesan sampingan ubat, gaya hidup dan psikologi.
Ereksi melibatkan otak, saraf, hormon dan saluran darah. Apa yang mengganggu fungsi normal otak, saraf, hormon dan saluran darah boleh membawa kepada masalah ereksi.
Apabila seorang lelaki teruja, otak menghantar isyarat ke zakar melalui saraf yang meningkatkan aliran darah ke zakar, menyebabkan tisu kembang dan keras. Oleh itu, apa jua yang mengganggu sistem saraf atau peredaran darah boleh membawa kepada lemah tenaga batin.
Keadaan psikologi seperti kemurungan, boleh mengurangkan nafsu dan berlaku perubahan hormon. Lemah tenaga batin boleh terjadi atas pelbagai sebab yang berpunca dari keadaan fizikal dan mental.
Sebab fizikal termasuk:
l Penyempitan saluran darah ke zakar - sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau kencing manis.
l Penyakit jantung atau tiroid, aliran darah lemah atau gangguan sistem saraf (seperti multiple sclerosis atau penyakit Parkinson).
l Masalah tulang belakang seperti slip disk, osteoporosis atau kemalangan yang merosakkan tulang belakang atau saraf di tulang belakang.
l Ubatan termasuk ubat tekanan darah, jantung, ulser peptik, pil tidur.
l Nikotin, alkohol, kokain atau penyalahgunaan dadah.
l Masalah hormon.
l Pembedahan atau cedera seperti kerosakan saraf dari pembedahan prostat dan kecederaan saraf tunjang.
Sebab psikologi termasuk:
l Masalah hubungan dengan pasangan.
l Kebimbangan seperti keraguan dan kegagalan.
l Kemurungan seperti tekanan perasaan.
l Jangkaan seksual tidak realistik.
Sebab fizikal adalah lebih biasa di kalangan lelaki tua. Sebab emosi lebih biasa di kalangan lelaki muda.
Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat pesakit lemah tenaga batin, terdapat kes melibatkan gangguan makhluk halus atau jin yang menyebabkan masalah sekatan sistem saraf.
Ini banyak berlaku pada pasangan baru kahwin dan apabila terkena sihir pemisah menyebabkan kesukaran untuk bersama dan mendapat zuriat.
Jin dan iblis di dalam badan pesakit akan merosak urat saraf di tulang belakang atau otak pesakit yang menguasai tenaga batin.
Tanda mati pucuk:
l Sementara atau sekali-sekala, semua lelaki mengalami masalah ereksi pada suatu masa dalam hidup mereka.
l Beransur-ansur dan berterusan; biasanya kes mati pucuk kronik.
l Terjadi tiba-tiba tetapi masih mempunyai ereksi di awal pagi dan sewaktu bersama, melibatkan psikologi dan fizikal.
Gejala mati pucuk
l Masalah mendapatkan ereksi.
l Masalah mengekalkan ereksi.
l Keinginan seksual berkurangan.
Kehadiran tanda yang disenaraikan tidak bermakna anda mempunyai masalah, ia perlu diberi perhatian serius jika berulang, jumpa doktor atau ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk pemeriksaan dan rawatan.
Rawatan moden
Lemah tenaga batin boleh dirawat pada sebarang usia. Rawatan bergantung kepada kesihatan dan punca masalah.
Dalam beberapa kes, perubahan gaya hidup boleh menghilangkan lemah tenaga batin. Kebanyakan lelaki lemah tenaga batin, memerlukan rawatan lanjut. Pilihan rawatan termasuk:
l Psikoterapi (kaunseling).
l Ubat-ubatan.
l Pembedahan.
l Fisioterapi
Rawatan ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit lemah tenaga batin akan diberi ayat berikut disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:
Surah Yusof ayat 46 hingga 52.
Surah Al-Araaf ayat 56 hingga 62.
Surah An-Nahli ayat 81 hingga 89.
Surah Adz Dzariyat ayat 31 hingga 60.
Cara amalan ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali malam dan surah kedua tiga kali siang. Pembacaan diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah.
Selepas membaca dua surah pertama, pesakit hendaklah mengulang amalan dengan surah berikutnya.
Adakala pesakit perlu disentuh oleh perawat di tulang belakang di bahagian sacral tulang belakang S1 hingga S5.
Saraf di bahagian tulang belakang ini menguasai tenaga batin seseorang lelaki. Urat saraf dari tulang S1 hingga S5 menghubungkan saraf dari otak ke bahagian kemaluan lelaki.
Jika urat saraf di bahagian tulang belakang sacral rosak ia perlu dibetulkan.
Selain membaca ayat al-Quran tertentu untuk membetulkan urat saraf, teknik sentuhan pressure point yang saya dan perawat amalkan menggunakan jari tangan untuk menyentuh tulang belakang, boleh memberi kesan positif kepada aliran saraf.
Lebih baik jika pesakit dan keluarga datang berjumpa perawat supaya dapat kami periksa jika ada gangguan makhluk halus dan boleh dirawat dan diberi ayat Al-Quran lain bagi merawat gangguan.
Dalam hadis sahih daripada Safiyah r.a. dijelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya iblis dan syaitan itu berlari dalam tubuh anak Adam menuruti pembuluh (saluran) darah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)."
Penutup
Kepada pesakit yang mengalami lemah tenaga batin, jangan putus asa mencari cara dan ikhtiar untuk rawatan.
Dari Jabir Bin Abdullah radhiallahu anhu, bahawa Rasulullah (S.A.W) bersabda,
Setiap penyakit pasti memiliki ubat. Bila sesuatu ubat bertepatan dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan izin Allah azza wa jalla." (HR. Muslim)
bersama Haji Lokman Abdul Hamid
TANYA apa saja mengenai pelbagai masalah berkaitan penyakit fizikal atau spiritual. Sebarang soalan boleh e-mel ke lokman.alhidayah@gmail.com www.alhidayah-medic.com
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131020/kn_04/Penyakit-lemah-tenaga-batin#ixzz2iva2NMkb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Panduan makanan untuk kesuburan
Soalan
APAKAH makanan terbaik bagi wanita yang belum hamil untuk menguatkan rahim, memperbanyakkan telur matang, subur dan cepat hamil? Apakah pula jenis makanan yang harus dielakkan oleh wanita yang belum hamil demi menjaga kesuburan, telur dan rahim?
Saya juga ingin tahu mengenai makanan terbaik untuk ibu hamil dan makanan yang harus dielakkan oleh mereka. Adakah sebarang vitamin untuk ibu hamil bagi mendapatkan anak bijak dan sihat sejak dalam kandungan lagi?
n Allia, Johor.
Jawapan
Pemakanan segar dan berkhasiat yang diambil berpandukan keperluan kalori serta mengikut piramid makanan adalah pilihan terbaik.
Istilah menguatkan rahim adalah tidak tepat atau pasti kerana rahim terbentuk daripada tiga lapisan otot yang sememangnya kuat untuk mengembang sepanjang kehamilan dan mengecut sewaktu kelahiran serta kembali kepada saiz asal dalam waktu berpantang.
Mungkin apa yang dimaksudkan adalah lapisan terdalam rahim yang menyalurkan makanan kepada kandungan. Sewaktu kehamilan, lapisan endometrium ini dinamakan desidua, namun kemudiannya bekalan makanan janin bergantung kepada uri dan ibunya. Begitu juga dengan persoalan mengenai makanan yang membanyakkan telur matang. Wanita dilahirkan dengan sejumlah telur yang tidak akan bertambah lagi bilangannya. Pada setiap kitaran haid bagi wanita subur, hanya satu sahaja telur matang manakala sekumpulan yang lain akan mengalah dan pupus. Keadaan ini berlaku sehingga menopaus yang mana tiada lagi telur dikeluarkan.
Pengambilan ubat hormon kesuburan bertindak merangsang kumpulan telur supaya lebih banyak yang matang, bergantung kepada jenis dan dos ubat hormon berkenaan. Tanpa ubat hormon kesuburan, ramai wanita subur ini hanya menghasilkan satu sahaja telur matang. Bagi wanita yang kurang subur ovarinya pula, tiada telur matang dihasilkan dalam kitaran terbabit.
Segelintir wanita yang tidak mengambil ubat kesuburan didapati hamil kembar (tidak seiras), ia lebih banyak berlaku kepada wanita yang berusia, tanpa mengira pemakanan mereka.
Amalan mengelakkan makanan tajam atau sejuk juga lebih berdasarkan kepercayaan masyarakat, kesahihannya dari sudut perubatan moden belum terbukti.
Pada pendapat saya, tidak salah mengelakkan makanan terbabit sewaktu kehamilan memandangkan ia bukan makanan ruji kita iaitu tidak menjadikan kita kempunan atau kebuluran jika tidak mengambilnya.
Keperluan vitamin juga seharusnya mengikut kadar yang telah digariskan. Bagi sesetengah vitamin (yang bersifat larut air), pengambilannya yang berlebihan dianggap pembaziran kerana ia akan dilupuskan menerusi air kencing atau najis.
Namun bagi sesetengah vitamin lain (yang bersifat larut lemak), pengambilannya yang berlebihan boleh memudaratkan dan memberi kesan negatif kepada sifat janin, contohnya vitamin A.
Saya percaya, amalan kesederhanaan perlu dititikberatkan dalam aspek kehidupan kita termasuk dalam pengambilan makanan. Anak yang sihat dan bijak tidak semestinya datang daripada formula makanan ibunya. Tidak semua adik-beradik sesuatu keluarga (yang dikandung dan dibesarkan oleh ibu yang sama) mempunyai tahap kepintaran yang sama.
Bersama profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain
Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.
Sebarang soalan dan pertanyaan berkaitan sakit puan, boleh e-mel ke adawiyah.koh@utusan.com.my
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131020/kn_01/Panduan-makanan-untuk-kesuburan#ixzz2ivZjQjeY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Kulit tegang, wajah lebih cerah
KOLAGEN adalah rangkaian protein yang merangkumi seluruh tubuh. Pengambilan kolagen merupakan pengganti kepada suntikan dalam mendapatkan wajah dan bentuk badan idaman.
Ini kerana kolagen merupakan protein yang paling banyak di dalam badan manusia dan merangkumi 85 peratus daripada kulit, otot dan tisu penyambung manusia.
Apabila usia semakin meningkat, paras kolagen semula jadi akan susut dan pada usia selepas 25 tahun, paras kolagen susut pada kadar 1.5 peratus setiap tahun.
Pada usia 40 tahun pula, badan semakin kurang menghasilkan kolagen menyebabkan timbul garis muka, kedut, kulit kendur, kulit kering, wajah kusam tidak bermaya, pigmentasi, kemerosotan penglihatan dan mengakibatkan kerosakan pada sendi, rawan dan tulang.
Gejala penuaan ini kerap berlaku di kalangan wanita berusia 40-an. Mereka akan merasakan diri tidak lagi cantik, rendah diri dan tidak yakin kepada diri sendiri apabila berada di khalayak.
Bagaimanapun, seseorang itu harus berasa yakin bahawa dirinya cantik dan masih ada cara untuk mendapatkan kecantikan semula jadi.
Sama ada suka atau tidak, kita sebenarnya harus mengambil banyak bahan anti oksida setiap hari seperti buah-buahan kerana ia membantu menentang radikal bebas dan melindungi daripada kerosakan sel yang boleh mengakibatkan penuaan pra masa.
Ini penting untuk merangsang pertambahan kolagen dalam badan.
Selain itu, anda boleh mengambil suplemen yang mengandungi kolagen.
Salah satunya ialah jenama CollaB'utee merupakan produk kolagen terbaik untuk golongan lelaki dan wanita kerana mengandungi komponen Hydrolysed Marine Collagen.
Bahan ini merupakan sumber kolagen daripada ikan laut dalam, mempunyai daya keterlarutan tinggi, mudah dihadam dan berdaya serapan kelembapan yang rendah.
Produk yang pernah yang pernah diguna pakai oleh model dan pelakon, Wan Khadijah dan pengacara TV, Zakiah Anas ini turut mengandungi ekstrak soya (Isoflavones) yang menegangkan payu dara dan menyeimbangkan hormon.
Selain itu, CollaB'utee turut mengandungi anti oksida Vitamin C yang merupakan komponen penting dalam memastikan keberkesanan produk ini.
Fungsi kologen adalah memelihara kulit daripada dalam dan memastikan proses penggantian sel kulit sentiasa berlaku selain mengelakkan kulit menjadi kering dan mengurangkan kedutan.
Dalam penghasilan kolagen, Vitamin C akan bertindakbalas dengan asid amino dengan menambahkan hidrogen dan oksigen di dalam sel kolagen itu sendiri.
Produk ini terbukti apabila kebanyakan pengguna dapat merasai sendiri perubahan positif kepada diri mereka kerana produk yang dirumus dari Jepun itu mempunyai pelbagai kelebihan.
Antaranya memulihkan keanjalan dan keremajaan kulit, menghilangkan garis halus dan kedutan, membaikpulih sel kulit, menegang dan menggebukan kulit serta mengurangkan pigmentasi.
Produk itu juga membantu mencerahkan kulit, menambahkan kelembapan kulit, melindungi kulit daripada radiasi UV yang berbahaya dan untuk wanita ia turut membantu menegangkan payu dara.
Dalam pada itu, CollaB'utee mengandungi oksidan yang meneutralkan serangan radikal bebas dan memelihara kulit dari dalam, merangsang pertumbuhan kolagen serta menghalang oksidasi sel.
Golongan yang disarankan untuk mengambil CollaB'utee ialah wanita berusia 25 tahun ke atas, wanita yang mengidamkan payu dara anjal, ingin kulit muka yang berseri dan gebu serta mereka yang mahu menegangkan dan mengurangkan kedutan kulit.
Selain itu, wanita yang terdedah kepada pancaran matahari terik juga disaran mengamalkan produk ini selain mereka yang mengalami masalah hormon kurang stabil.
Malah pengambilan produk ini juga boleh membantu mengatasi tona kulit yang tidak sekata dan membebaskannya dari pigmentasi dan jeragat.
L-Lysine yang terdapat dalam CollaB'utee pula merupakan asid amino untuk pertumbuhan dan pemulihan tisu badan.
Bahan aktif lain yang terdapat dalam produk ini ialah oligo bagi membersihkan usus dan melegakan sembelit.
Cara pengambilan
n Minuman kolagen halal ini boleh diambil dengan cara mencampurkan satu paket kandungannya dengan air mineral sejuk dan minum sebelum sarapan dan sebelum tidur.
n Selain itu, ia juga boleh dicampur dengan jus buah-buahan bagi mempelbagaikan cara pengambilan.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131027/kn_03/Kulit-tegang-wajah-lebih-cerah#ixzz2ivZFfD6V
© Utusan Melayu (M) Bhd
Thursday, September 5, 2013
Khasiat daun belalai gajah
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Foto SAIFUL BAHARI ASHARI
Foto SAIFUL BAHARI ASHARI
tREND masyarakat moden hari ini yang bergantung sepenuhnya kepada perubatan klinikal punca generasi muda tidak lagi menghargai khasiat tumbuhan herba sebagai salah satu sumber rawatan.
Anda mungkin tidak mengetahui tumbuhan hiasan yang selama ini ditanam di kawasan rumah sebenarnya adalah pokok herba yang kaya dengan pelbagai khasiat.
Tumbuhan herba adalah sebahagian daripada warisan budaya Melayu kerana khasiatnya mampu menyembuh pelbagai jenis penyakit sejak zaman berzaman.
Daun belalai gajah atau Sabah Snake Grass (SSG) misalnya telah lama dikenal pasti mempunyai anti oksidan yang tinggi untuk mengatasi sel-sel kanser dan mengekalkan sel-sel sihat dalam tubuh manusia.
Khasiat daun tersebut mampu membantu orang yang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser, buah pinggang, radang prostat, kolesterol, tekanan darah tinggi, asid urik tinggi, diabetes, mengurangkan risiko salur darah tersumbat, membuang toksin dalam badan di samping mengurangkan keletihan.
Herba ini turut dikenali sebagai You Dun Chao atau Clinacanthus Nutans dan tergolong dalam keluarga Acanthaceae.
Kajian mendapati bahawa daun ini tidak mengandungi toksik, mempunyai kandungan flavonoid yang tinggi, serta mengandungi pelbagai mineral yang diperlukan oleh tubuh badan, vitamin dan asid amino.
Menurut kajian Jabatan Bioteknologi, Sekolah Teknologi Kesihatan, Universiti Ming Chuan, Taiwan, SSG terbukti sebagai agen anti oksida yang baik. Fungsi anti oksida sebenarnya mengurangkan kesan radikal dalam tubuh badan.
Sementara itu, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), SSG bukan sahaja berfungsi sebagai anti-oksida, bahkan mampu melambatkan pertumbuhan sel kanser.
Kajian-kajian ini membuktikan bahawa penjagaan kesihatan menerusi makanan semula jadi seperti merupakan langkah alternatif yang baik.
Menurut Pengarah Urusan Tenaga Jati Bumi, Norsham Abas, SSG telah lama dikenal pasti mempunyai anti oksida yang tinggi bagi mengekalkan sel-sel sihat dalam tubuh manusia.
"Kelebihan daun belalai gajah sudah lama diketahui oleh orang ramai. Dahulu, daun itu hanya dijual dalam bentuk yang asalnya dan pengidap kanser perlu memakan daun itu sekurang-kurangnya 100 helai sehari tanpa gagal dalam usaha memerangi sel barah.
Ia tentu sukar terutamanya di kalangan mereka yang tidak biasa memakan sayur atau ulam selain daun ini sukar diperoleh di semua tempat. Justeru, syarikat kami mengedarkan suplemen kesihatan, Uturn Extra (campuran serbuk soya dan kurma merah), Uturn Fresh (campuran lemon dan epal), teh uncang Uturn dan minuman campuran botanik Clinacanthus Nutans)," katanya.
Tambah Norsham, syarikatnya telah menghasilkan ekstrak daun belalai gajah yang dijadikan suplemen dalam bentuk moden yang mudah diambil.
Pada masa ini, produk serbuk dengan jenama UTurn dibuat dengan campuran perisa epal hijau dan lemon tanpa bahan kimia. Ia juga tidak menggunakan gula tetapi fruktus seberat 20 gram untuk setiap uncang.
Suplemen itu dihasilkan dengan pematuhan kepada Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dan diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam malaysia (JAKIM).
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130901/kn_02/Khasiat-daun-belalai-gajah#ixzz2e08DruUs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Posts (Atom)