Sunday, September 12, 2010

Kolestrol dalam juadah makanan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

SYAWAL bererti kemenangan. Setelah mengharungi sebulan yang penuh godaan, inilah waktunya meraikan kejayaan. Syawal juga bererti kemaafan, kini tiba masanya untuk meleraikan segala-galanya.

Dan bagi sesetengah daripada kita Syawal juga bererti ‘masa untuk makan.’ Baru masuk hari ketiga Aidilfitri, rasanya semua hidangan sudah dicuba. Sebut saja ketupat, lemang, rendang, lontong, soto, nasi himpit, kuih muih dan kek. Masih ada yang belum tersenarai?

Siapa yang mampu menolak hidangan ini? Apatah lagi sebulan berpuasa, pasti ramai mengidam dan inilah masalah ‘membayar’ kembali apa yang diingini.

Dalam enak menjamu selera, jangan dilupa dengan tahap kesihatan diri. Sesekali cuba semak apa yang anda makan. Mungkin tatkala menjamah, kita tidak fikir. Namun jika penyakit datang, siapa yang susah, diri sendiri juga merana.

Bercakap mengenai juadah Aidilfitri, sukar untuk menafikan kebanyakan hidangan kita mengandungi kalori tinggi dan kolestrol yang akhirnya mengundang pelbagai penyakit.

Apa itu kolesterol?

Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Ramzisham Abdul Rahman berkata, kolestrol adalah lapisan lemak yang wujud secara semulajadi dalam semua bahagian dalam tubuh badan.

Kolesterol katanya, datang daripada dua sumber. Satu daripada badan dan satu lagi daripada makanan. Hati dan sel dalam badan menghasilkan kira-kira 75 peratus daripada kolesterol dalam darah. Selebihnya ia datang daripada apa yang anda makan. Kolesterol hanya ditemui dalam makanan berasaskan haiwan.

“Mungkin anda terperanjat jika dikatakan kolesterol itu sendiri tidak jahat. Sebenarnya, kolesterol adalah satu daripada bahan yang dihasilkan badan untuk kekal sihat. Sesetengah kolesterol yang kita perlukan dihasilkan secara semula jadi (boleh juga dipengaruhi sejarah keluarga), manakala sesetengah lagi diperolehi daripada makanan yang kita ambil,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan pusat perubatan tersebut.

Namun menurutnya, jika paras kolestrol terlebih dalam darah, ia akan melekat pada dinding arteri dan ini dipanggil plak.

Katanya, plak boleh mengecilkan arteri atau menyekat terus perjalanan darah dan seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Paras kolesterol juga meningkat sejajar dengan peningkatan umur.

Jelasnya lagi, tidak ada tanda seseorang itu mempunyai paras kolesterol yang tinggi dalam darah.

“Anda mungkin mempunyai paras kolestrol tinggi disebabkan keturunan, obesiti dan mengambil makanan yang berlemak terutama sekali dalam musim perayaan begini,” kata beliau.

Sambil menegaskan hari raya bukanlah tiket untuk bebas menikmati apa sahaja hidangan disebabkan telah berpuasa selama sebulan, Prof Ramzisham

menasihatkan pembaca agar berhati-hati ketika menjamu selera terutama kepada mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, diabetis, jantung dan juga kepada individu yang merokok.

Jenis kolestrol

Terdapat dua jenis kolesterol, iaitu kolestrol baik (HDL) dan kolestrol jahat (LDL). Adalah penting setiap individu memahami dan tahu paras baik dan jahat kolesterol dalam darah.

“Lebih salah satu atau kurang daripadanya meletakkan diri dengan risiko penyakit jantung koronari, serangan jantung dan strok,” katanya.

Jelas beliau, kolestrol HDL adalah kolestrol baik yang membantu kolestrol LDL daripada berkumpul dan menyekat dinding arteri.

Paras HDL yang sihat juga melindungi tubuh daripada serangan jantung dan strok, manakala paras HDL yang rendah (kurang daripada 40mg/dL untuk lelaki dan kurang daripada 50 mg/dL untuk wanita) terbukti meningkatkan risiko penyakit berkaitan jantung.

Jika anda ingin meningkatkan HDL, kajian menunjukkan senanan biasa boleh membantu badan menghasilkannya. Mengurangkan pengambilan lemak trans dan mengambil pemakanan seimbang, diet berkhasiat juga boleh membantu. Jika kedua-dua cara itu tidak berkesan, doktor akan memberi ubat khas bagi membantu meningkatkan HDL.

Dalam pada itu, jika terlalu banyak LDL dalam darah, ia boleh menyumbat arteri, meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

“LDL dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh, tetapi kebanyakan individu mewarisinya daripada ibu, bapa atau datuk dan nenek. Pemakanan mengandungi lemak tepu, lemak trans dan kolesterol juga meningkatkan paras sedia ada anda,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau lagi, jika paras kolestrol tinggi dalam darah diwarisi daripada keturunan, mengubah cara hidup dan diet masih belum mencukupi untuk menurunkan paras LDL.

Menurutnya, setiap individu berbeza. Jadi mereka perlu mendapatkan pandangan doktor untuk pelan rawatan terbaik yang patut dilakukan.

Di Amerika Syarikat katanya, penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu. Hampir 2,300 penduduknya mati akibat penyakit kardiovaskular setiap hari, secara purata satu kematian setiap 38 saat.

Beliau juga menyarankan kepada mereka yang rasa bertanggungjawab terhadap kesihatan diri terutamanya yang mempunyai risiko tinggi membuat saringan kesihatan di klinik atau pusat-pusat kesihatan di bulan Syawal ini untuk mengelakkan penyakit yang tidak diundang demi bertemu Ramadan dan Syawal tahun hadapan.

Revolusi pra-cuci rambut

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

RAMBUT cantik dan sihat pasti menjadi kegilaan setiap wanita sama ada bertudung atau tidak. Setiap rambut tumbuh dalam folikel rambut , iaitu satu tiub sel halus berhampiran dengan permukaan kulit. Setiap helai rambut mempunyai akar dan jalurnya sendiri dalam folikel itu.

Jika kita mencabut sehelai rambut dan melihatnya di bawah cahaya lampu, akar rambut jelas kelihatan umpama akar-akar bebawang pada ukuran dua hingga empat milimeter di bawah permukaan kulit. Akar-akar rambut dicipta untuk menghasilkan rambut sebenar yang secara teknikalnya dikenali sebagai jalur rambut .

Jalur-jalur rambut tidak mengandungi tisu-tisu hidup. Ia terdiri daripada protein yang diputar menjadi umpama tali halus yang tersusun rapi. Struktur inilah yang kita sebut rambut.

Justeru itu, pemilihan syampu dan perapi rambut amat penting untuk mengelakkan komplikasi kepala berlaku.

Masalah rambut yang sering dialami orang ramai seperti rambut gugur, kelemumur, kurang lembut dan kilauan. Menyedari permasalahan itu, produk berasaskan herba dan ramuan tradisional, Franch memperkenalkan Franch Herbal Hair Oil untuk membantu orang ramai yang mengalami masalah rambut.

Ia merupakan inspirasi daripada ramuan Franch Oil iaitu ubat tradisional serba guna yang dirumus khas dengan menggunakan ekstrak herba-herba asli daripada buah dan akar pokok jarak serta biji selasih.

Pilihan

Produk baru ini terdiri daripada empat pilihan iaitu Almond, Aloe Vera, Coconut dan Amla.

Menurut Pengurus Pemasaran Jenama Rayson Health, Maria Natasha, produk penjagaan rambut Franch Oil didatangkan dengan terapi pra-cuci. “Sebelum rambut dibasuh dengan syampu, anda perlu membelainya dengan menggunakan Franch Herbal Hair Oil terlebih dahulu.

Didatangkan dengan empat pilihan minyak rambut, kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri bergantung kepada masalah rambut yang anda hadapi,” ujarnya.

Minyak rambut unik ini, diformulasikan khusus untuk mempercepatkan proses penyerapan minyak ke dalam kulit kepala.

Selepas 20 minit mengaplikasinya anda boleh mencuci rambut dengan Franch Herbal Shampoo sama ada ramuan Aloe Vera atau Shikakai.

"Selepas sebulan anda mengamalkan rawatan ini, masalah rambut bercabang dan tidak sihat akan dapat diatasi," ungkap Maria.

Milk thistle untuk hati sihat

Saya ada terbaca mengenai khasiat herba Milk thistle dan juga dandelion untuk kesihatan hati. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah didiagnosis penyakit hati seperti hepatitis mahupun sirosis. Soalan saya, adakah herba-herba ini boleh saya diambil memandangkan saya mempunyai masalah obesiti .

Jawapan

Obesiti dan berat badan berlebihan merupakan fenomena yang kian meningkat di kalangan masyarakat. Berat badan berlebihan sebenarnya menjadi faktor risiko kepada beberapa masalah kesihatan seperti diabetes, jantung, penyakit hati berlemak dan beberapa lagi.

Penyakit hati berlemak pernah suatu ketika dahulu dianggap sebagai penyakit orang barat. Namun disebabkan perubahan gaya hidup dan cara pemakanan, kejadiannya kini meningkat secara dramatik termasuk di Malaysia. Hati berlemak merujuk kepada pengumpulan lemak berlebihan dalam sel-sel hati. Ia boleh disebabkan oleh pengambilan alkohol berlebihan atau juga akibat masalah metabolik seperti obesiti, glukosa atau paras lemak darah yang tidak normal.

Kajian juga mendapati sindrom metabolik di kalangan penghidap hati berlemak bukan alkohol berkait dengan berat badan berlebihan atau obesiti, terutamanya kegemukan di bahagian abdomen, paras kolesterol baik (kolesterol HDL) yang rendah, paras trigliserida yang tinggi dan intoleransi glukosa.

Hasil kajian menunjukkan bahawa silymarin, iaitu komponen yang terdapat dalam milk thistle mampu membantu memperbaiki fungsi hati dan mencegah kerosakan hati pada pesakit hati berlemak. Manakala silibin, iaitu komponen aktif dalam silymarin membantu menstabilkan membran sel terhadap bahan toksik. Sebagai anti oksida, silibin meningkatkan aktiviti enzim penentang radikal bebas dalam sel-sel tubuh, memperbaiki fungsi penyahtoksikan hati dan menggalak pemulihan hati.

Dandelion mempunyai peranan tersendiri dalam memelihara kesihatan termasuk kesihatan hati. Pengambilannya didapati membantu peningkatan aliran hempedu. Sebagai tonik umum, dandelion mempunyai bahan pembersih dan kajian menunjukkan ia memperbaiki masalah keradangan pundi hempedu, penyakit hati dengan membantu penyingkiran toksin.

Saturday, September 4, 2010

Kunyit mencegah pelbagai penyakit?

Kunyit (curcumin), sejenis rempah yang digunakan dalam masakan, merupakan salah satu penyembuh semulajadi paling mujarab. Kegunaannya telah bermula selama 2,500 tahun dahulu. Rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya.

Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit.

Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semulajadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti-kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis.

Dalam 688 kajian, lebih daripada 400 yang telah dikemukakan mengesahkan sifat anti karsinogenik, anti-radang dan anti oksida yang menakjubkan pada kunyit. Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat mempunyai empat ujian klinikal untuk menguji tindakan curcuminoid terhadap kanser kolorektum, pankreas, mieloma berganda dan Alzheimer.

Sifat anti kanser kunyit

Kajian mencadangkan mereka yang mengambil diet kaya dengan kunyit akan mempunyai kadar rendah kanser payu dara, prostat, paru-paru dan kanser kolon.

Bharat B. Aggarwal, professor perubatan kanser di Jabatan Terapeutik Pusat Kanser Anderson University of Texas M.D. telah melakukan kajian rempah ini selama satu dekad.

Penyelidik Pusat Kanser tersebut mendapati curcuminoid juga menghalang aliran biologi penting yang diperlukan dalam perkembangan melanoma dan kanser lain. Kajian tersebut diterbitkan pada 15 Ogos 2005 dalam isu jurnal Cancer dan menunjukkan bagaimana kunyit menghentikan strain melanoma di makmal daripada berganda dan mengarahkan sel kanser untuk membunuh diri sendiri.

Kunyit- Mencegah Alzheimer

Penyakit Alzheimer, sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa. Ciri Alzheimer digambarkan oleh plak amiloid yang terbentuk dalam otak. Plak amiloid adalah gugusan sejenis protin dikenali sebagai amiloid beta. Plak tersebut merosakkan sel otak dengan "mencekik" mereka. Plak amiloid juga menjana radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel otak.

Kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal. NFkB menyebabkan radang yang juga menyumbang kepada pembentukan amiloid beta. Kunyit telah menunjukkan keupayaan menurunkan pembentukan amiloid beta melalui perencatan NFkB. Dengan merencat pembentukan amiloid beta melalui mekanisme dwi-tindakan dalam perlindungan terhadap radang dan kerosakan radikal bebas, curcuminoid menjadi agen semulajadi untuk mencegah dan memperlahankan perkembangan Alzheimer. Kajian klinikal sedang dijalankan di UCLA dengan menggunakan curcumin bagi penyakit Alzheimer.

Kunyit - Kelegaan bagi sakit sendi dan radang

Arthritis adalah sejenis penyakit pro-radang. Kunyit telah digunakan berdekad lamanya untuk merawat keadaan radang seperti osteoartritis. Tindakan anti-radang adalah disebabkan oleh perencatan NFkB. Pada tahun 2006, curcuminoid bersama dengan ubat popular, Celecoxib, sejenis perencat COX-2 telah menunjukkan tindakan bersinergi mengurangkan radang. Penemuan ini adalah penting kerana perencat COX-2 mempunyai kesan sampingan. Jika anda menggabungkan rawatan ini dengan curcuminoid anda boleh mengurangkan dos ubat tersebut dan mengurangkan kesan sampingannya.

Masalah utama dalam penggunaan kunyit

Kunyit adalah bahan yang tidak larut dalam air dan ia susah diserap ke dalam peredaran darah,

Sekiranya ia berjaya diserap, ia amat cepat diuraikan. Ini mungkin merupakan sebab kebanyakan orang tidak dapat memperoleh kesemua faedah curcuminoid apabila diambil sebagai makanan tambahan yang mengandungi kunyit sahaja.

Untuk memperolehi faedah curcuminoid secara menyeluruh, sila rujuk ahli farmasi anda hari ini.

Ini penting untuk mendapat formulasi khas menggabungkan piawaian esktrak kunyit agar mengandungi 95 peratus curcuminoid dengan bioperine yang dipatenkan iaitu esktrak Lada Hitam.

Masa untuk berhenti merokok

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar HAYAT SUEET

JIKA bagi wanita, kedatangan bulan puasa masa paling baik untuk mula berdiet, berbeza pula lelaki yang lebih kepada untuk berhenti merokok.

Tapi untuk menghilangkan tabiat merokok bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi jika rokok sudah menjadi teman sejati sejak sekian lama.

Menurut Dr. Azrul Rozaiman Abdullah dari Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi, Selangor, perokok terbahagi kepada beberapa kategori dan ini ditentukan menerusi satu ujian yang dinamakan Fagerstrom test for Nicotine Dependence.

"Secara umumnya, ketagihan ada empat kategori iaitu rendah, rendah hingga sederhana, sederhana dan ketagihan tinggi.

"Dari senarai yang diberikan di atas, golongan perokok yang paling sukar membuang tabiat merokok ialah yang ketagihan tinggi," jelasnya ketika sesi ceramah sempena seminar Sakit Bukan Halangan Meraih Takwa.

Seminar tersebut anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) dengan kerja sama Hospital Pakar An-Nur (HPAN), Bangi, baru-baru ini.

Dr. Azrul Rozaiman juga memberitahu pendapat yang mengatakan perokok wanita lebih berisiko mendapat penyakit kronik berbanding lelaki tidak benar kerana semuanya bergantung kepada dos bahan-bahan kimia yang disedut ke dalam tubuh.

"Selain itu faktor mudahnya penyakit terjadi akibat merokok juga bergantung kepada kekuatan tubuh individu itu sendiri. Individu yang mempunyai sistem imunisasi yang kuat, sihat dan tanpa penyakit kronik lain.

"Ada perokok yang memberitahu bahawa apabila mereka berhenti merokok mereka akan menjadi tidak sihat. Ini berlaku kerana ketagihan rokok tegar menyebabkan mereka secara fizikal dan psikologikal terpaksa bergantung dengan aktiviti merokok untuk mengekalkan paras nikotin dalam badan. Dengan itu mereka dapat kekal 'rasa seronok' dan akan rasa sebaliknya jika tidak mengambil rokok," ujarnya.
Amalan pesakit diabetes

Walaupun umat Islam berada dalam minggu terakhir Ramadan, pesakit diabetes yang beragama Islam dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengawasi paras gula darah mereka demi mengelakkan hipoglisemia (paras gula darah yang terlalu rendah) pada siang hari dan hiperglisemia (paras gula darah yang terlalu tinggi) pada waktu malam.

Oleh demikian, pesakit-pesakit diabetes yang ingin melaksanakan ibadah puasa diminta terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada doktor mereka.

Semasa berpuasa, risiko gula darah menurun ke bawah paras normal adalah lebih tinggi daripada waktu biasa. Jika tanda-tanda hipoglisemia timbul, anda harus mempertimbangkan berhenti puasa dan mengambil jus buah-buahan ataupun satu sudu besar gula dengan segera. Lakukan ujian paras gula darah anda jika telah berhenti puasa dan juga laporkan sebarang ketidakselesaan ataupun keletihan yang dialami kepada doktor anda.

Anda boleh mengurangkan risiko hipoglisemia pada siang hari dengan:

* Tidak mengabaikan pengambilan makanan

* Makan sahur sebelum terbit fajar

* Mengambil makanan yang seimbang

* Minum air dengan mencukupi

* Dapatkan nasihat doktor tentang pengubatan yang sesuai untuk anda

* Mengubahsuai pelan pemakanan bersama doktor atau pakar diet anda

Selepas Iftar, risiko gula darah melebihi paras normal adalah semakin tinggi. Demi mengurangkan risiko hiperglisemia, anda dinasihati mengamalkan cara pemakanan sihat dengan mengambil hidangan makanan berkandungan lemak dan karbohidrat yang seimbang. Mulakan Iftar anda dengan makanan yang telah dirancang oleh pakar diet dan mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor anda.

Pengawasan secara tetap terhadap paras gula darah adalah mandatori semasa bulan Ramadan. Pengukuran tahap gula darah sebaik-baiknya dijalankan pada awal pagi sebelum puasa dan selepas Iftar dan Sahur. Walau bagaimanapun, anda adalah dinasihati supaya berhenti puasa jika bacaan gula darah menurun ke bawah paras sasaran yang sepatutnya pada waktu pagi dan tengahari

Umat Islam dengan penyakit kencing manis jenis 2 yang tidak memerlukan suntikan insulin biasanya dapat menjalankan ibadah puasa tanpa sebarang masalah semasa Ramadan. Pesakit-pesakit yang hanya memerlukan satu suntikan insulin biasanya boleh berpuasa tanpa masalah besar tetapi mereka dinasihati berjumpa doktor untuk mengetahui jenis insulin yang sesuai untuk mereka.

Semasa berpuasa, adalah penting untuk pesakit-pesakit mengenali tanda-tanda hipo dan hipeglisemia, mengetahui cara-cara manangani mereka, mengukur paras gula darah dengan cara yang tertentu, meminum air yang cukup dan mengamalkan kesederhanaan dari segi pemakanan. Di samping masalah-masalah yang tersebut di atas, terdapat satu lagi perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu mengetahui tentang tanda-tanda keto-asidosis. Ketoasidosis adalah sejenis keadaan serius yang mengancam nyawa dan ia berlaku apabila badan pesakit benar-benar kekurangan insulin dan tahap gula darah menjadi terlalu tinggi.

Pesakit-pesakit kencing manis dari kumpulan-kumpulan tertentu adalah dinasihati supaya tidak berpuasa:

* Pesakit diabetes jenis 2 yang memerlukan lebih daripada satu suntikan insulin

* Pesakit diabetes jenis 1

* Wanita mengandung yang berpenyakit diabetes

* Mereka yang menghidapi penyakit, dimasukkan ke hospital ataupun sedang menjalani rawatan jantung

Badan pear atau epal?

KITA sering melihat bentuk tubuh manusia yang berbeza-beza. Ada orang yang besar di dada dan lengan. Ada pula mempunyai dada dan lengan yang kecil namun saiz punggung lebar dan besar

Seorang sahabat saya mempunyai punggung yang serta paha yang besar walaupun jika dipandang daripada saiz tubuhnya di bahagian atas dia tampak kecil sahaja. Badan yang sebegini dinamakan bentuk pear. Ia seolah-olah buah pear yang kecil daripada tangkainya namun lebar di bawah.

''Saya terpaksa memakai skirt atau kain kembang bagi menutup kekurangan ini,'' kata kawan saya itu lantaran menurut beliau memakai seluar memang tidak sesuai kerana punggung yang terlalu lebar. Keadaan itu mendatangkan masalah kepada sahabat saya apabila mahu membeli baju. Jika bajunya muat sudah tentu kainnya ketat lantaran saiz tubuhnya yang mengembang di bahagian punggung. Seorang sahabat yang lain pula mempunyai tubuh yang berbentuk epal. Tubuhnya besar dan lebar di bahagian dada dan belakang (atas), manakala paha dan kaki pula kecil. Punggungnya juga kecil. Namun beliau kelihatan sangat gemuk kerana bahagian belakang badan dada dan pinggangnya berlemak. Dengan kata lain bentuk tubuh seperti ini diberikan gelaran bentuk epal lantaran bentuknya yang gempal di atas dan menguncup pula di bahagian bawah..

Seorang sahabat saya pula mengadu perutnya buncit. Walaupun dia tidaklah terlalu gemuk namun perutnya tidak dapat disembunyikan. Puas dia mencuba pelbagai jenis jamu dan ubat-ubatan tradisional bagi menurunkan saiz perut namun tidak berjaya. Masalah perut buncit sering berlaku kepada lelaki.

Seorang sahabat pula mengadu anaknya terlalu gemuk dan rendang sahaja. Tubuhnya seimbang dari atas ke bawah dipenuhi lemak sahaja. Dia turut berasa hairan apakah masalah yang dihadapi oleh anaknya itu. Apabila berdiet berat tidak boleh turun dengan mudah. Anaknya juga tidak makan terlalu banyak namun berat badannya sentiasa sama sahaja meskipun menjaga pemakanan dengan ketat.

Mengapakah ini berlaku? Mengapakah seseorang tidak serupa bentuk tubuhnya berbanding orang lain?

Jawapannya adalah kerana di dalam tubuh kita terdapat kelenjar hormon yang berbeza-beza keaktifannya. Kelenjar hormon yang aktif akan menjadi kelenjar yang dominan di dalam tubuh seseorang dan akan merembes lebih banyak hormon berbanding kelenjar yang kurang aktif.

Kelenjar hormon bukan sahaja mempengaruhi bentuk tubuh seseorang malah juga mempengaruhi perangai seseorang, corak pemakanan, kecenderungan terhadap cuaca dan suhu persekitaran dan sikap seseorang dalam menangani kehidupan sehariannya. Hal sebegini sangat unik. Justeru itu jika kita tahu kelenjar hormon yang dominan dalam tubuh adalah lebih mudah bagi untuk menangani masalah kesihatan kita.

Kelenjar utama dalam tubuh kita adalah kelenjar pituitary yang terletak di otak, kalenjar insulin di pankreas, kelenjar tiroid di leher dan juga kelenjar adrenal di buah pinggang kita. Kesemua kelenjar ini memainkan peranan yang berbeza, berfungsi membentuk tubuh dan menjadikan tubuh berbeza-beza bentuknya.

Tubuh kita akan terbentuk mengikut rangsangan hormon yang dominan. Jenis hormon yang dominan ditentukan oleh genetik seseorang di mana setiap daripada kita mempunyai kelenjar yang berbeza aktivitinya. Seseorang yang lahir di kalangan ahli keluarga yang mempunyai kelenjar tiroid yang dominan akan mempunyai bentuk tubuh yang tinggi lampai dan berbadan kurus. Mereka ini mempunyai kadar metabolik tubuh yang amat tinggi dan mampu membakar lemak dengan mudah dan cepat. Oleh kerana itu mereka tidak mudah gemuk melainkan jika wujudnya masalah yang membuatkan kerosakan pada kelenjar tiroid mereka. Mereka yang mempunyai kelenjar adrenal sebagai kelenjar dominan akan mempunyai tubuh berbentuk epal. Bahagian atas tubuh besar dan berlemak manakala bahagian yang lain kecil saja. Kumpulan ini mempunyai tenaga yang tinggi sepanjang hari. Mereka tidak mudah merasa letih dan mampu bekerja atau menjalankan aktiviti fizikal sepanjang hari. Mereka juga mempunyai semangat yang tinggi dan amat tekun dalam urusan pekerjaan.

Mereka yang mempunyai punggung lebar dan dikatakan berbentuk pear pula mempunyai hormon gonad sebagai kelenjar mereka yang dominan.

Sara ialah seorang gadis berusia 35 tahun dan bertubuh gemuk. Dari zaman kanak-kanak lagi tubuhnya besar dan tidak pernah turun beratnya meskipun Sara mengamalkan diet yang ketat. Sara telah mencuba pelbagai kaedah diet namun tidak juga berhasil. Perubatan tradisional dan moden juga dia telah dicuba namun tidak juga berhasil.

Sara cepat berasa letih. Dia cuba melakukan senaman namun tubuhnya terasa berat sekali. Dia juga berasa tangan dan kakinya agak sejuk. Apabila teman-teman mengajak berenang di kolam maupun pantai Sara enggan masuk ke dalam air kerana dia berasa sejuk. Sara hairan kerana dia mempunyai lemak yang banyak dalam badan namun kenapa asyik berasa sejuk. Sejak akhir akhir ini Sara berasa berat badannya naik mendadak lagi. Dia juga melihat perubahan pada struktur kulitnya yang tampak kasar dan dan di bawah matanya kelihatan agak lebam.

Rambutnya menjadi agak kasar dan gugur dengan banyak. Sara mengagak mungkin hal ini disebabkan oleh usianya yang meningkat.

Masalah yang dihadapi oleh Sara adalah kekurangan hormon tiroid di dalam tubuhnya. Ini membuatkan Sara menjadi perlahan pergerakannya dan lemak mudah berkumpul. Hormon tiroid adalah hormon yang menjana metabolik tubuh. Ia membolehkan tubuh kita menjana tenaga yang digunakan bagi aktiviti tubuh kita. Apabila usia meningkat hormon ini semakin berkurangan dan menyebabkan kita semakin lesu. Memang benar ramai di antara kita yang tidak menyedari hakikat ini namun setelah dibuat analisis barulah kita faham masalah sebenar.