Sunday, October 17, 2010

Menopaus tapi anggun

Oleh RABIATUL ADAWIYAH
KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Dr. Alice Prethima

SEKALI pandang, wajahnya seperti baru berumur awal 30-an. Hakikatnya, pengasas Dr. Alice Total Wellness Specialist dan Alice Anti-Aging Clinic, telah melalui pra-menopaus.

Mengamati wajah Dr. Alice Prethima, keanjalan kulitnya terserlah, selain bersih dan bertenaga. Malah, bentuk badannya tidak seperti orang berusia setengah abad.

Sempena Hari Menopaus Sedunia yang disambut 10 Oktober lalu, Dr. Alice tidak keberatan berkongsi pengalamannya melalui detik awal menopaus.

Wanita berusia 50 tahun itu mengakui kesihatan dan kecantikan menjadi keutamaan.

Berbeza dengan wanita lain, beliau bekerja kuat untuk melalui menopaus dengan tenang.

“Dengan bekerja kuat, kita akan lupa sejenak yang kita melalui usia emas ini. Pada masa yang sama, jangan lupa bersenam, jaga pemakanan dan mengambil suplemen,” ungkap Dr. Alice.

Mengakui tempoh menopaus sangat genting bagi setiap wanita, beliau berfikiran optimis apabila perubahan hormon pada dirinya dimulai dengan kitaran haid yang tidak menentu.

“Saya menyedari perubahan itu apabila darah haid mula berkurangan, rasa sakit ketika haid dan kitaran mula tidak menentu. Jika dulu kita akan haid selama tujuh hari tetapi sekarang tidak. Pra-menopaus mungkin berlaku,” ujarnya.

Tindakan awal

Apabila menyedari simptom itu, Dr. Alice mula mengambil tindakan awal. Sejak sepuluh tahun lalu, dia mula mengambil langkah pencegahan. Pemeriksaan awal amat penting untuk mengetahui keadaan hormon, toksin, anti oksida dan keperluan vitamin dalam badan.

Walaupun usia semakin lanjut, dia juga tidak mengabaikan berat badan.

“Saya memang gemarkan tauhu, buah-buahan, kacang dan salad. Makanan ini banyak membantu saya menjaga berat badan dan mengawal lemak.

‘‘Ini kerana kalau kita hendak bersenam pada usia emas, kita perlu mengikut kemampuan. Misalnya kita tidak boleh berjoging setiap hari seperti orang muda. Aktiviti mengeluarkan peluh penting untuk menguatkan otot dan tulang wanita,” katanya.

Sokongan keluarga juga amat penting untuk wanita melalui zaman menopaus. Beliau memberitahu, mereka perlu dibantu untuk memberi sokongan kepada emosi.

Akhirnya, Dr. Alice menyarankan wanita seusianya mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman yang sesuai dan gaya hidup yang betul merupakan penyelesaian terbaik. Selain itu, beliau turut menyediakan pemeriksaan kesihatan khusus untuk wanita di semua cawangan kliniknya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Menopaus Malaysia, Dr. Ho Choon Moy berkata, ramai wanita tertekan ketika melalui tempoh tersebut.

“Kurangnya pengetahuan mengenai menopaus menyebabkan terdapat ramai wanita yang terpaksa mengorbankan kehidupan normal mereka serta memberi kesan kepada hubungan suami isteri,” kata nya dalam seminar anjuran Persatuan Menopos Malaysia bertemakan ‘Memperkasa Masa yang Indah’.

Pengalaman beliau merawat wanita menopaus menunjukkan ada kalangan mereka yang melalui detik-detik itu enggan keluar rumah atau berjalan jauh hanya kerana masalah hilang kawalan pundi kencing atau urine incontinence (UI). Sedangkan masalah yang timbul itu boleh diselesaikan dengan rawatan sewajarnya dan tidak perlu berpanjangan hingga menjejaskan kualiti hidup mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan oleh Persatuan Menopos Malaysia, layari www.mms.org.my

Resveratrol untuk hidup lebih lama?

RESVERATROL, sejenis ramuan yang dijumpai dalam tumbuhan perubatan yang dikenali sebagai Polygonum cuspidatum (pokok Knotweed Jepun) boleh melanjutkan usia ragi sehingga 60 peratus, cacing 15 peratus, lalat buah 29 peratus dan tikus 31 peratus.

Kajian baru-baru ini juga menunjukkan Resveratrol mempunyai manfaat kesihatan berganda yang dapat membantu mengurangkan risiko beberapa jenis penyakit degeneratif (sakit kerana penuaan). Mengambil Resveratrol mungkin akan membantu anda hidup lebih lama dan lebih sihat. Sebagai maklumat tambahan, Resveratrol juga terdapat dalam wain merah.

Pada awal tahun 2006, para penyelidik Itali mendapati Resveratrol boleh melanjutkan jangka hayat ikan turquoise killfish sebanyak 50 peratus. Ikan Killfish hanya mampu hidup selama tiga bulan sahaja dalam peliharaan. Hasil kajian ini menunjukkan dengan menambahkan Resveratrol ke dalam diet harian ikan ini akan memanjangkan jangka hayatnya. Kajian terhadap ikan ini adalah amat menarik dan berguna kerana ikan, sebagai sejenis vertebrat, menduduki tangga yang jauh lebih atas berbanding ragi, cacing dan lalat buah dari segi perkembangan evolusi. Kajian ini juga menunjukkan Resveratrol memperlahankan perkembangan otot-otot ikan dan masalah memori ketika usianya meningkat.

Resveratrol: agen anti kanser

Penyakit kanser barangkali merupakan satu bidang yang paling dinamik dari segi penyelidikan ke atas Resveratrol. Resveratrol merupakan ubatan semula jadi pertama kerana bukti menunjukkan ia dapat menyekat ataupun menghentikan sama sekali beberapa peringkat penyakit kanser. Resveratrol telah dibuktikan dapat menentang penyakit kanser in vitro di semua ketiga-tiga peringkatnya iaitu permulaan, penggalakan dan kemaraan. Resveratrol bukan sahaja mencegah kanser, ia juga kini disyorkan sebagai rawatan tambahan. Institut Kesihatan Nasional (NIH, USA) kini sedang menganjurkan satu ujian klinikal untuk menyiasat keupayaan Resveratrol untuk menentang kanser usus besar.

Resveratrol baik untuk jantung dan saluran darah

Resveratrol didapati boleh membawa beberapa kesan potensi untuk melindungi jantung, termasuk:

* Peningkatan paras lipoprotein berkepadatan tinggi (HDL) ataupun kolesterol baik yang melindungi daripada penyakit jantung.

* Mencegah lipoprotein berkepadatan rendah (LDL) atau kolesterol jahat daripada dioksidasikan oleh radikal bebas, kerana LDL yang dioksidasikan itulah yang membentuk plak-plak yang akan menyebabkan aterosklerosis ataupun pengerasan dan penebalan arteri-arteri.

* Menyekat penggumpalan platelet kerana Resveratrol mencegah sel-sel darah daripada melekat kepada satu sama lain dengan itu membentuk gumpalan. Gumpalan ini akan menyumbatkan saluran kecil pada jantung, dengan itu menyebabkan serangan jantung, ataupun jika tersumbat dalam saluran-saluran otak akan menyebabkan serangan angin ahmar.

* Menggalakkan vasodilatasi dengan meningkatkan pengeluaran Nitrik Oksida yang membolehkan saluran darah itu mengendur, dengan itu menghasilkan peningkatan aliran darah.

Pencegahan penyakit Alzheimer

Kajian juga menunjukkan Resveratrol mungkin dapat membantu mencegah atau meringankan penyakit Alzheimer. Salah satu ciri penyakit Alzheimer ialah pengumpulan plak di dalam otak. Plak ini terjadi disebabkan oleh apa yang dikenali sebagai “amyloid-beta peptides.”

Satu kajian makmal menunjukkan dengan memasukkan Resveratrol ke dalam sel-sel akan mengurangkan perembesannya dan juga menurunkan jumlah amyloid-beta peptides di peringkat sel. Resveratrol tidak menyekat pengeluaran amyloid-beta, tetapi sebaliknya menggalakkan kehancurannya dalam sel-sel. Meskipun masih di peringkat awal, namun penemuan ini menyarankan bahawa mungkin wujud peranan potensi bagi Resveratrol untuk menentang pengumpulan plak amyloid-beta dalam otak para penghidap penyakit Alzheimer.

Resveratrol: Manfaat-manfaat Lain

Kajian menunjukkan Resveratrol mempunyai banyak ciri-ciri kesihatan bermanfaat yang lain seperti:

* Antioksidan yang mujarab – menentang radikal bebas yang merosakkan

* Agen anti radang

* Mengurangkan gejala-gejala menopaus – perubahan perasaan, simbahan panas dan lain-lain

* Mengurangkan risiko menghidapi penyakit kencing manis.

Formula Resveratrol

Jika anda ingin mencari suplemen Resveratrol, carilah suplemen Resveratrol yang mengandungi ramuan tambahan Quercetin untuk memanjangkan masa tindakan perlindungan Resveratrol dalam badan kita dan untuk meningkatkan lagi penyerapan Resveratrol.

Satu lagi kelebihan daripada tambahan Quercetin dalam formula ini ialah Quercetin juga mempunyai beberapa ciri manfaat kesihatan yang sama seperti Resveratrol, iaitu anti radang dan antioksidan.

Jangan terlalu bergantung Resveratrol

Mengikut para penyelidik yang membuat penyelidikan ke atas Resveratrol, seseorang itu seharusnya tidak terlampau mengharapkan kepada suplemen ini untuk meningkatkan jangka hayat mereka sehingga enam kali ganda seperti yang dialami oleh cacing, ataupun 31 peratus sebagai dalam kes tikus. Walaubagaimanapun, adalah tidak keterlaluan bagi seseorang yang mula mengambil suplemen Resveratrol pada usia 50 tahun untuk mengharapkan penambahan umur sekurang-kurangnya sebanyak 10 tahun lagi kepada jangka hayatnya dan pada masa yang sama, dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat.

Kebaikan daripada suplemen

Resveratrol ini ialah ia tidak mendatangkan apa-apa kesan sampingan buruk. Walaupun anda mungkin tidak dapat menambah 5, 10, atau 15 tahun kepada usia anda, meskipun kemungkinannya kecil, anda masih boleh mendapat manfaat daripada ciri-ciri Resveratrol yang telah terbukti keberkesanannya untuk mencegah begitu banyak masalah kesihatan.

Anda tidak perlu menunggu sehingga umur anda mencecah 50 tahun untuk menjadikan Resveratrol sebagai sebahagian daripada program suplemen harian anda. Anda sepatutnya memulakan pengambilan Resveratrol seawal usia 30 tahun untuk mengambil kesempatan daripada manfaat-manfaat kesihatan yang begitu banyak diperolehi daripada Resveratrol.

Kempen selamatkan penglihatan

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ISMAIL KAMADIN

Orang ramai berpeluang melakukan pemeriksaan mata menggunakan alat-alat canggih yang disediakan secara percuma.

SETIAP lima saat seorang manusia di muka bumi ini akan kehilangan penglihatannya. Sedangkan 80 peratus daripada punca hilang penglihatan tersebut boleh dielakkan dan boleh dirawat.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan mata secara berkala.

Pakar Optalmologi bagi Pakar Rawatan Mata VISTA, Dr. Shamala Ganesan berkata, fakta tersebut seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia khususnya yang berasakan mereka mempunyai masalah penglihatan.

"Setakat ini tiga penyakit utama yang boleh menyebabkan buta iaitu katarak, glaukoma dan Kemerosotan Makular Berkaitan Usia (AMD)," jelasnya pada majlis pelancaran kempen Hak Untuk Melihat anjuran bersama Kelab Rotary dan Pakar Rawatan Mata VISTA baru-baru ini.

Kempen tersebut sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia yang disambut setiap 14 Oktober.

Menurut Dr. Shamala, katarak adalah sejenis penyakit di mana selaput menyelubungi kanta mata. Ia menyebabkan penglihatan kabur.

Memang ia sering berlaku kepada orang yang lebih tua, namun yang pasti ia mengganggu kehidupan.

Antara simptomnya ialah nampak objek seperti berkabus, pudar atau penglihatan malam terganggu, kaca mata tidak berfungsi, hilang sensitiviti kontra seperti ketepatan warna, jarak dan kecerahan.

"Jika anda mempunyai simptom seperti itu cepatlah berjumpa pakar mata kerana ia boleh dirawat.

"Satu lagi penyakit mata ialah glaukoma yang disebabkan oleh kerosakan pada saraf optik.

"Pada awalnya penghidap glaukoma akan merasa sakit di bahagian mata, sekali gus tahap penglihatan merosot, ditambah dengan sakit kepala, mata merah, mual-mual, pening dan muntah.

"Sila ambil serius apabila ini berlaku dan pengabaian tentangnya mungkin menyebabkan anda kehilangan penglihatan," ujarnya .

Dr. Shamala turut menyarankan rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun.

Hak untuk melihat

Sementara itu, kempen Hak Untuk Melihat merupakan projek khidmat masyarakat yang berlangsung selama enam bulan.

Aktiviti utama sepanjang kempen tersebut ialah memberi pemeriksaan dan rawatan kerosakan mata secara percuma kepada orang ramai.

Istimewanya, kempen itu mendapat pembiayaan daripada Yayasan CIMB dan sokongan Persatuan Glaukoma Malaysia.

Jurucakap penganjur dari Kelab Rotary Damansara West, Yim Ken Fei berkata, kempen mata tersebut adalah rentetan daripada kejayaan kelab itu mewujudkan kesedaran tentang penyakit buah pinggang sebelum ini.

"Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu dengan VISTA bagi memerangi tiga penyebab utama kehilangan daya penglihatan yang boleh dielak ini.

"Bagi kami kesihatan mata merupakan isu yang mampu memberi kesan besar kepada komuniti.

"Mungkin ramai tidak sedar bahawa sebuah keluarga boleh kehilangan punca pendapatan apabila individu yang menjadi tonggak keluarga seperti bapa kehilangan daya penglihatan kerana salah satu dari tiga punca masalah mata tersebut," jelasnya.

Justeru Ken Fei menyeru orang ramai supaya mengambil peluang ini bagi memastikan nasib keluarga yang dibayangi bahana kebutaan ini terbela.

"Kita juga perlu ingat bahawa kitalah yang perlu bertanggung jawab atas kesihatan mata kita sendiri," ujarnya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif VISTA, Lim Boon Siong berkata, kerjasama itu diharap dapat menjana kesedaran sekali gus meningkatkan kefahaman kepada orang ramai tentang kesihatan mata.

"Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun sebagai pakar mata, kami sedar bahawa tidak ramai yang mempunyai kesedaran tentang pemeriksaan mata yang sebenarnya sama penting dengan kesihatan tubuh.

"Dengan melakukan pemeriksaan yang kerap, diagnosis awal dan rawatan pantas menghalang kehilangan daya penglihatan," katanya.

Menurut Boon Siong, kebanyakan penyakit mata tidak menunjukkan simptom-simptom awal, malah sesiapa sahaja tidak mengira usia atau status kesihatan boleh menghidapinya.

"Maka dengan itu, rakyat Malaysia dari semua peringkat umur mestilah belajar untuk menjaga kesihatan mata kerana kehilangan daya penglihatan boleh dicegah jika penyakit mata dapat dikesan dan dirawat dengan lebih awal," ujarnya.

Hapuskan parut jerawat

PARUT jerawat membuatkan kulit muka kelihatan gelap dan kurang menarik.

SALLY merenung ke bayangnya di cermin. Jerawat sudah sembuh hasil rawatan yang dijalani dengan bersungguh-sungguh. Selain berubat di klinik, dia juga rajin ke salon untuk mencuci mukanya. Tak cukup dengan itu dia turut mengamalkan rejim mencuci muka dan pemakanan sihat.

Setahun yang lalu masalah jerawat bagaikan tragedi ngeri yang menimpa Sally. Syukurlah dengan teknologi perubatan moden maka mimpi ngeri tersebut sudah berakhir dan kini hanya tinggal kesan parut kehitaman.

Baru-baru ini Sally datang bertemu saya. Dia bertanya sama ada parut parut tersebut dapat dipulihkan atau tidak.

“Bagaimanakah cara terbaik bagi memulihkah parut. Jika ada apakah peratusan ia boleh pulih semula?” tanya beliau bertalu-talu.

Semangat Sally tetap kental sebagaimana saya mengenalinya setahun lalu.

Saya yakin Sally akan berjaya merealisasikan impiannya.

Apakah sebenarnya

parut jerawat?

Apabila jerawat sembuh, ia akan meninggalkan kesan kemerahan atau kesan parut hitam. Ini sebenarnya bukan parut jerawat tetapi kesan daripada radang jerawat . Jika tiada jerawat baru yang tumbuh, kulit akan sembuh dengan sendiri . Proses penyembuhan ini boleh mengambil masa 6 hingga 12 bulan. Kesan akibat jerawat lebih daripada setahun dikenali parut jerawat. Biasanya parut ini kekal dan membuatkan kulit muka kelihatan gelap dan kurang menarik. Untuk mengelakkannya rawatan awal boleh dilakukan.

Rawatan awal

Radang kulit disebabkan oleh jerawat adalah satu proses penyembuhan yang normal. Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu merawat peringkat awal parut jerawat.

Pendedahan kepada matahari melambatkan proses penyembuhan radang jerawat dan boleh merosakkan kulit. Oleh itu pengunaan sunblock yang sesuai amat penting

Doktor boleh memberi krim tretinoin untuk mempercepatkan proses remodeling kulit.

Penggunaan peeling agent seperti AHA (Alpha Hydroxy Acid) yang bersesuaian juga boleh mempercepat kan proses remodeling kulit

Jangan memicit jerawat atau parut jerawat . Ini akan mengganggu proses penyembuhan jerawat. Ia juga boleh menyebabkan bakteria yang terdapat di dalam jerawat tersebar lebih ke dalam kulit. Ini boleh menyebabkan parut jerawat yang lebih dalam berlaku

Penggunaan krim antioksidan seperti Vitamin C juga membantu memulihkan kesan jerawat.

Rawatan parut jerawat

Dengan kemajuan teknologi laser dermatologi/ aesthetic , kini rawatan yang paling berkesan untuk rawatan parut jerawat adalah dengan menggunakan laser. Dua jenis laser yang paling berkesan adalah laser CO2 (karbon dioksida ) atau Erbium Yag. Kedua-dua laser ini adalah dalam kategori ablative. Ia bermaksud akan meratakan kawasan kulit yang dirawat dengan laser. Ia juga akan merangsang kulit untuk membentuk kolagen. Ini menyebabkan kulit akan kelihatan lebih tegang, kesan parut jerawat kurang dalam serta pori pori muka kelihatan lebih halus. Proses rawatan ini perlu dilakukan beberapa sesi di antara enam ke lapan minggu.

Masalah jerawat adalah masalah utama untuk remaja . Masalah ini menjadi lebih rumit apabila remaja mula mencuba pelbagai jenis produk. Saya boleh memberi beberapa tip dan panduan untuk remaja yang mempunyai masalah jerawat.

1. Amalkan banyak pemakanan yang mengandungi antioksidan yang tinggi seperti buah-buahan citrus, nenas, kiwi dan anggur. Kebanyakan sayur sayuran juga mempunyai antioxidan yang tinggi .

2. Stres juga boleh menjadikan jerawat tumbuh dengan banyak. Oleh itu lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan stres dan menyihatkan seperti bersukan

3. Apa-apa produk yang diletakkan di muka mestilah bebas minyak, berasaskan air dan non-comedogenic (tidak menyumbat pori-pori muka). Gunakan pencuci muka yang sesuai dan jangan mencuci muka dengan sabun mandi.

4. Jika peralatan kosmetik anda menyebabkan tumbuh whitehead atau blackhead, tukar kepada jenama lain. Yang terbaik adalah kosmetik berasaskan mineral. Kosmetik di muka mesti dicuci sebelum tidur .

Perubahan hormon juga boleh menyebabkan jerawat yang teruk. Jika langkah langkah di atas tidak dapat membantu, rawatan seperti antibiotik, chemical peeling, photofacial dan rawatan hormon boleh membantu. Sila berjumpa dengan pakar kulit.

Parut di muka selalunya disebabkan oleh kesan jerawat. Namun begitu ia juga boleh disebabkan kesan kecederaan seperti terbakar atau luka. Setakat ini belum ada produk yang boleh merawat kesan parut dengan berkesan. Jika parut itu tidak dalam, rawatan seperti chemical peeling dan microdermabrasion boleh membantu mengurangkan masalah parut. Tetapi jika parut itu dalam dan banyak, rawatan yang sesuai adalah laser CO2 atau Erbium YAG. Rawatan yang diperlukan adalah sebanyak tiga ke lima sesi. Rawatan ini adalah yang terbaik untuk masalah parut.

Jerawat di badan

Untuk merawat Jerawat di badan , saya nasihatkan untuk mengambil antibiotik yang sesuai seperti Minocycline HCL. Ini bertujuan membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat itu bengkak dan sakit. Semasa rawatan antibiotik , nada perlu menggunakan krim Benzoyl peroxide (seperti jenama Oxy) agar rawatan lebih berkesan. Jika jerawat tersebut mempunyai blackhead, rawatan seperti krim tretinoin perlu digunakan. Namun begitu anda dinasihatkan bertemu doktor untuk mengenal pasti rawatan yang sesuai.

Untuk rawatan terkini, terdapat dua jenis laser yang sangat berkesan untuk merawat jerawat iaitu Isolaz yang mendapat kelulusan untuk merawat jerawat tahap 1 hingga tahap 6 dan laser long pulse Nd:Yag. Kelebihan rawatan ini adalah ia ringkas, tidak sakit dan sangat berkesan.

Saturday, October 9, 2010

Risiko biarkan tubuh kontang

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

BIBIR kering merupakan salah satu tanda dehidrasi yang perlu diberi perhatian.

Tubuh manusia memerlukan air untuk mengekalkan darah dan cecair-cecair lain secukupnya bagi membolehkannya berfungsi dengan sempurna. Di samping cecair badan, tubuh juga memerlukan bahan elektrolit, yang terdiri daripada garam yang lazimnya terdapat di dalam darah, cecair tubuh yang lain dan sel-sel.

Dehidrasi merupakan kehilangan air dan garam daripada badan. Dalam bahasa Melayu secara umumnya, ia boleh dimaksudkan sebagai kekontangan. Badan kita boleh kehilangan cecair melalui pelbagai cara. Antaranya adalah:

* Ketika membuang air kecil.

* Semasa muntah atau mengalami cirit-birit.

* Ketika berpeluh.

* Melalui paru-paru semasa bernafas.

Jika badan kehilangan sejumlah besar cecair dan garam dan tidak digantikan dengan segera seperti meminum air, badan akan kekeringan atau kekontangan. Walaupun sesiapa sahaja boleh mengalami dehidrasi, golongan yang paling mudah mengalami masalah ini adalah:

* Bayi yang berumur di bawah 1 tahun.

* Warga tua.

* Mereka yang mengalami demam.

* Penduduk yang tinggal di kawasan beriklim panas.

Apabila disebut dehidrasi kita juga terbayang manusia di tengah padang pasir yang sedang kehausan atau seorang atlet baru selesai menghabiskan acara sukan berat.

Benda yang paling berharga dalam keadaan itu adalah air yang dianggap penyambung nyawa.

Namun dehidrasi bukan setakat itu. Bukan sekadar rasa dahaga yang kemudiannya boleh dihilangkan dengan hanya meminum air. Sebaliknya dehidrasi boleh mengakibatkan pelbagai kesan sampingan lantaran air merupakan elemen paling penting dalam tubuh manusia. Justeru kehilangan air dalam badan yang banyak mengancam nyawa seseorang, dalam keadaan itu kita sebenarnya mengalami dehidrasi kronik.

Mungkin tidak ramai yang tahu tentang dehidrasi kronik dan bagaimana untuk mengetahui jika seseorang mengalami keadaan tersebut.

Kebanyakan kita percaya badan hanya memerlukan air apabila kita berasa dahaga. Sebenarnya tidak begitu. Apabila mulut berasa kering dan kita berasa dahaga, tubuh kita sebenarnya telah benar-benar kontang. Mungkin sesuatu yang mengejutkan jika diberitahu mulut yang kering adalah petunjuk keadaan dehidrasi teruk. Ketika itu anda telah berada pada paras dehidrasi kronik.

Badan kita dilengkapi dengan sistem pintar. Sebelum sampai ke tahap mulut berasa kering, badan akan menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan memulakan proses mengagihkan semula air yang masih ada di dalam badan. Apabila tubuh dalam keadaan dehidrasi kronik maka rasa letih, hilang tenaga, sukar membuang air besar, kesukaran penghadaman, tekanan darah rendah atau tinggi, ulser perut, kesukaran pernafasan, ketidakseimbangan asid/alkali, lebihan berat badan dan obesiti, ekzema, kolesterol, jangkitan air kencing reumatisme dan penuaan akan berlaku.

Tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air, otak pula mengandungi 80 peratus air, komposisi darah terdiri daripada 90 peratus air. Ini bermakna kita bergantung kepada air sebagai asas kewujudan kita di muka bumi dan bukannya soda, jus, kopi, teh atau minuman keras. Kita memerlukan air untuk membolehkan sel-sel dalam dalam berfungsi mengikut yang sepatutnya.

Kita perlu tahu bahawa kehilangan satu peratus air daripada keseluruhan berat badan akan mengakibatkan kita hilang 10 peratus keupayaan fizikal. Apabila tubuh terdedah kepada suhu 30 darjah celcius, air yang hilang adalah sebanyak tiga liter setiap jam atau lebih daripada 4 peratus berat badan, bermakna kita boleh menjangkakan kehilangan 40 peratus keupayaan fizikal. Jika kita bekerja di bawah terik matahari maka kadar kehilangan tenaga adalah lebih.

Dalam suasana persekitaran yang panas, anda memerlukan lebih banyak air untuk kekal bertenaga. Untuk kesejahteraan fizikal dan mental, kualiti serta kuantiti air yang diambil mesti diambil kira.

Lapar atau dahaga?

Jika kita memerlukan air, biasanya kita memilih sama ada minum air atau mengambil makanan yang mengandungi air. Kebiasaannya kita akan memilih makanan daripada air. Dalam kebanyakan kes, kita tersilap antara lapar dan dahaga menyebabkan kita makan banyak untuk memenuhkan keperluan air dalam badan. Hasilnya kita menambah lemak terkumpul terutama jika makanan yang diambil adalah makanan siap proses atau makanan segera.

Semakin banyak kita makan, semakin banyak air diperlukan untuk proses penghadaman dan menyingkirkan sisa buangan dari badan.

Tubuh kita terdiri daripada air dan tanpa air, kita bernasib baik jika dapat bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari. Biarpun begitu, ramai daripada kita berhadapan dengan suasana tidak selesa dan masalah kesihatan semata-mata kerana kita tidak minum air yang mencukupi.

Albert Einstein pernah berkata, melakukan perkara yang sama berkali-kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza adalah. Oleh itu pastikan air dalam badan kita mencukupi dan lakukannya setiap hari kerana hasilnya adalah sama iaitu untuk mengekalkan kecergasan dan membolehkan sel-sel badan berfungsi.

Menangani kesan radikal

Saya membelikan ibu suplemen Asid alfa lipoik atas saranan ahli farmasi sebagai vitamin tambahan untuk menangani kesihatan saraf memandangkan ibu seorang penghidap diabetes. Memandangkan ia juga suplemen anti oksida, saya bercadang ingin mengambilnya untuk menangani kesan radikal bebas dan menjaga kesihatan. Penerangan mengenainya mungkin boleh membantu saya.

Jawapan

Radikal bebas adalah produk sampingan yang terhasil daripada proses pengoksidaan. Namun, radikal bebas juga berpunca daripada persekitaran yang tercemar, asap rokok dan asap kenderaan, pendedahan berlebihan kepada sinaran ultra ungu, tekanan fizikal dan emosi, pengambilan lemak tepu yang tinggi dan pelbagai lagi.

Kehadiran radikal bebas berlebihan dalam tubuh akan merosakkan sel dan menjejaskan fungsi normal sel. Radikal bebas merosakkan membran (menjadikan kapilari lebih rapuh dan ini dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular), merosakkan protein yang boleh menjurus kepada katarak serta pemecahan elastin dan kolagen yang berkait rapat dengan kedut dan penuaan.

Selain boleh mengakibatkan reaksi kimia yang boleh merosakkan sel dalam tubuh, radikal bebas berlebihan ini akan menyukarkan tubuh untuk melawan jangkitan yang seterusnya boleh menjurus kepada kerosakan tisu-tisu dan organ-organ dalaman tubuh.

Untuk menangani kesan radikal bebas, tubuh kita memerlukan nutrien anti oksida yang mencukupi. Walaupun tubuh kita menghasilkan nutrien anti oksida seperti asid alfa lipoik, namun adakalanya ia tidak memadai akibat terdedahnya kepada pencemaran yang berlebihan, masalah kesihatan, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat mahupun akibat penuaan.

Di kalangan penghidap diabetes ia juga didapati mampu meningkatkan fungsi insulin dengan mengurangkan kerintangan insulin dalam usaha untuk mengawal glukosa darah dan melegakan diabetic neuropati (kerosakan saraf akibat diabetes). Kerosakan saraf ini merupakan antara komplikasi lazim diabetes yang menjurus kepada banyak masalah kesihatan seperti masalah penglihatan, buah pinggang dan sebagainya.

Hasil kajian mendapati bahawa nutrien anti oksida iaitu asid alfa lipoik memberi kesan yang menyakinkan sebagai pelindung kepada radikal bebas untuk sel-sel tubuh. Ini memandangkan ia anti oksida yang larut lemak dan air.

Nutrien anti oksida ini boleh diserap dan menembusi membran sel. Sifat uniknya ini memberi kesan perlindungan terhadap radikal bebas yang baik untuk kedua-dua persekitaran sel berbanding anti oksida lain yang boleh melindungi salah salah satu daripadanya. Sifat yang dimilikinya ini tentunya memberi manfaat bukan sahaja kepada penghidap diabetes, tetapi juga untuk kesihatan umum secara amnya.

Mahu dagu bulat atau panjang?

TEKNOLOGI moden menaawarkan pelbagai kaedah untuk mendapatkan dagu yang cantik bersesuaian dengan bentuk wajah.

Sahabat saya Sherry gemar membelek belek gambar-gambar artis dan model dari luar negara. Dia sukakan wajah jelita model tersebut yang rata-ratanya berhidung mancung dan berdagu runcing.

"Kalaulah saya dapat wajah macam ni....alangkah seronoknya,'' kata Sherry. ''Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan bentuk wajah yang sempurna seperti ini?" Tanya Sherry kepada saya pada suatu hari.

Sebenarnya wajah model-model tersebut kelihatan cantik didalam gambar kerana ia sangat simetri. Simetri memainkan peranan yang penting bagi membolehkan seseorang kelihatan menarik di dalam gambar atau fotogenik. Fotogenik adalah suatu aset yang penting sekiranya seseorang ingin menjadi model foto.

Lagipun dengan kemajuan teknologi komputer dan wujudnya facebook ramai juga yang ingin tampil fotogenik kerana mahu setiap gambar yang dimuat naik ke facebook kelihatan cantik dan persis gaya seorang model.

Simetri wajah boleh dicapai apabila peratusan jarak dari dahi ke hidung, dari hidung ke bibir dan dari bibir ke dagu adalah 33 peratus iaitu sama banyak. Apabila wajah tidak simetri maka ia kelihatan tidak sempurna.

Tulang rahang atau mandible ialah satu struktur yang membentuk dagu kita dan mempunyai struktur khusus bagi perlekatan gigi. Didalamnya terdapat saraf yang menghubungkan gigi kita dan juga salur darah halus yang memberi nutrisi pada gigi. Di kiri dan kanan tulang mandible bersambung dengan tulang tengkorak yang dinamakan tulang temporal. Penyambungan ini dinamakan TMJ (temporo mandibular joint).

TMJ merupakan satu struktur penting kerana ia merupakan tempat yang membolehkan kita menggerakkan rahang untuk bercakap, makan dan sebagainya.

Selain tulang ini dagu juga dibentuk oleh sekelompok tisu yang terdiri daripada sel lemak, sel kolagen, sel elastin dan hyaluronik yang di sebut sebagai tisu tisu konektif. Kehadiran tisu-tisu sebegini yang seimbang membentuk dagu runcing dan tajam membawa kepada keseimbangan wajah.

Sebenarnya tidak semua orang perlukan dagu yang runcing bagi kelihatan cantik dan menarik. Seseorang berwajah bulat memerlukan dagu yang tajam bagi kelihatan menarik manakala seseorang yang berwajah panjang dan cengkung pula perlu mempunyai bentuk dagu yang bulat sedikit bagi menghasilkan wajah yang simetri. Pendek kata bentuk dagu perlulah disesuaikan juga dengan wajah seseorang bagi menghasilkan bentuk yang seimbang. Ada juga mereka yang mempunyai dagu berlekuk. Dagu berlekuk berlaku di sebabkan struktur tulang mandible.

Dagu yang pendek membuatkan wajah tampak bulat. Lemak di bawah dagu juga mudah berkumpul di kalangan mereka yang mempunyai dagu pendek.

Apabila saya diminta membuat analisis wajah seseorang, saya akan terlebih dahulu melihat keadaan simetri pada wajahnya. Selepas itu barulah perbincangan diadakan bagi memastikan apakah yang di mahukan oleh para pelanggan itu.

Rawatan bagi membentuk simetri pada wajah boleh dilakukan dengan banyak cara. Teknik serdev misalnya mengangkat pipi agar tidak kendur. Ia juga boleh mengubah bentuk dagu. Teknik serdev bagi dagu menggunakan benang serdev yang sangat halus. Ia boleh memanjangkan dagu dan menjadikan dagu tampak kecil dan runcing. Teknik ini juga sesuai digunakan bagi mereka yang mahu kan dagu yang bulat. Teknik berbeza akan menghasilkan bentuk yang berbeza. Kelebihan teknik serdev adalah kita tidak memasukkan apa apa pun ke dalam kulit. Benang halus di gunakan bagi mengikat dan mengumpulkan lelemak dan elastin semula jadi pada dagu. Ia di ikat bagi menghasilkan bentuk yang dikehendaki. Ubat bius suntikan sahaja yang digunakan dan ia juga tidak mengambil masa yang panjang. Memadai hanya sepuluh minit sahaja bagi mendapatkan hasil yang baik.

Selepas rawatan tidak ketara bengkaknya dan dalam masa tiga hingga lima hari sudah pasti kita dapat melihat perubahan yang sangat ketara.

Kaedah filler juga sesuai bagi membentuk wajah terutamanya dagu. Filler dari jenis bio alcamid bagus digunakan kerana ia tahan lama dan mampu memberikan bentuk yang cantik dan runcing. Dewasa ini terdapat juga jenis filler yang berasaskan kalsium. Ia juga sangat baik kerana mudah di bentuk dan memberikan rupa bentuk yang sangat natural.

Cara suntikan filler dibuat juga terdapat banyak cara. Doktor akan memastikan bentuk yang paling sesuai sebelum suntikan dibuat. Dengan penggunaan filler kita juga dapat mendapat bentuk dagu yang kita sukai.

Sudah tentulah teknologi implan merupakan yang paling baik kerana kita dapat memilih saiz dan bentuk implan yang sesuai dengan bentuk wajah seseorang. Implan yang diperbuat daripada plastik tahan lama. Dagu yang comel menarik perhatian. Ia menjadikan wajah seseorang tampak lebih jelita.

Selain wajah yang simetri mempunyai kulit yang licin juga adalah penting. Kulit yang licin dan pori-pori yang kecil apabila disapukan mekap akan tampak licin dan cerah. Ini membantu menjadikan seseorang tampak lebih jelita apabila berfoto.

Untuk mendapatkan kulit yang licin tanpa noda hitam dan biji-biji putih, rawatan yang sesuai adalah laser pixel yang mencerahkan kulit dan laser jenis Isolaz yang membuang sebum serta mematikan kuman jerawat dalam kulit.

Laser isolaz baik bagi menyedut semua minyak dan mematikan jerawat. Ia mempunyai dua fungsi iaitu mematikan kuman jerawat manakala dan mengurangkan sebum. Apabila simetri wajah dicapai dan kulit pula mulus dan halus sudah tentu penampilan lebih cantik dan bergaya.