Tuesday, May 10, 2011

Jalani mamogram awal

Pemeriksaan mamogram lebih awal mampu mengurangkan 30 peratus kematian akibat kanser payu dara. - Gambar hiasan

Lebih awal seseorang wanita menjalankan ujian pengesanan kanser payu dara, semakin cepat dan berkesan kaedah rawatan yang boleh diambil jika mereka berisiko atau diserang penyakit itu.

Justeru, selain ujian Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) yang perlu dilakukan setiap bulan untuk mengesan simptom kanser pembunuh nombor satu kaum hawa itu, wanita digalakkan menjalani mamogram.

Mamogram adalah ujian pemeriksaan payu dara menggunakan Sinar-X yang memaparkan imej-imej terperinci payu dara termasuk keadaan lemak, kelenjar susu dan saluran darah selain kelenjar di bahagian ketiak.

Mamogram amat berkesan dalam mengesan kanser payu dara pada peringkat awal walaupun ketika ia hanya dilihat umpama sekumpulan kalsium halus atau disebut mikrokalsifikasi.

Pakar Bedah Am Hospital Ampang, Dr. Suraya Baharudin berkata, mamogram perlu dilakukan wanita berusia 40 tahun ke atas dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun sekali.

Katanya, bagi wanita berusia di bawah usia 40 tahun, mereka tidak digalakkan menjalankan Mamogram kerana tisu payu dara yang lebih tebal menyebabkan hasil ujian itu kurang berkesan.

Suraya memberitahu, wanita di bawah usia 40 tahun digalakkan melakukan PSP tiga atau empat hari selepas haid setiap bulan.

"Ujian mamogram amat penting kerana ia dapat mengesan sehingga 97 peratus simptom barah payu dara dan hasil kajian perubatan yang dijalankan, mamogram mampu mengurangkan 30 peratus kematian akibat penyakit ini.

"Bila doktor mengesyaki ada simptom barah payu dara, doktor akan menghantar tisu pesakit ke makmal bagi mengesahkannya.

"Jadi sekiranya disahkan barah, ia adalah peringkat satu yang mana boleh dirawat dengan mudah tanpa menggunakan kimoterapi," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga berpenyakit barah payu dara harus menjalani mamogram lebih awal, iaitu pada usia 35 tahun.

Saturday, May 7, 2011

Hormon untuk pertahan tulang

SENAMAN dan penjagaan makanan mampu mencegah osteoporosis peringkat awal di kalangan wanita.

Apabila bapa mertua saya mengalami kemalangan di rumah, kami semua berasa risau. Bapa mertua saya berusia 80 tahun. Beliau ialah seorang lelaki yang tegap dan kacak meskipun sudah lanjut usia.

Kesihatan bapa mertua saya sangat baik sekali. Beliau tidak ada penyakit jantung mahupun kencing manis. Tubuhnya sederhana, tidak terlalu gemuk atau kurus kerana amalan pemakanannya yang baik. Ingatannya juga sangat tajam. Beliau mampu bercerita kisah lalu dan kisah terkini melalui pembacaan surat khabar setiap hari.

Apabila bapa terjatuh, beliau mengadu sakit belakang. Kami membawa bapa berjumpa pakar tulang kerana khuatir tulangnya retak atau patah. Kadar patah tulang di kalangan orang tua sangat tinggi maka kerana itulah saya begitu prihatin dengan keadaannya.

Menurut doktor tulangnya tidak patah. Sebagaimana orang tua yang lain tulang bapa mengalami osteoporosis. Ini dapat dilihat melalui gambar sinar-x yang diambil. Tulangnya kelihatan berongga dan tidak kukuh.

Sakit yang dialami mungkin hanya sekadar kesan lebam pada ototnya. Ia tidak ada kena mengena dengan tulang. Bapa bernasib baik. Tulangnya yang nipis mudah patah.

Masalah osteoporosis ini sudah lama kami ketahui. Beberapa tahun lalu, bapa juga telah terjatuh dari motosikal. Oleh kerana khuatir maka kami telah membawanya ke hospital dan doktor mengatakan dia hanya mengalami osteoporosis.

Pelbagai usaha kami lakukan untuk meningkatkan jisim tulang bapa termasuklah dengan rawatan chelation, pengambilan kalsium tinggi serta menjaga makan minumnya. Namun begitu kami tidak berjaya meningkatkan jisim tulangnya.

"Mahukah puan mencuba hormon untuk tulang?" doktor pakar itu bertanya.

Saya amat tertarik dengan saranannya itu. Sebagai seorang doktor dan juga pengamal hormon saya teruja apabila seorang pakar tulang mengaplikasikan hormon ke dalam bidangnya.

Hormon parathyroid merupakan hormon yang terpenting bagi tulang. ''Sebagai anaboloik hormon, ia mampu meningkatkan jisim tulang dengan cara membolehkan pembinaan tulang baru," terangnya.

Bagaimanakah tulang terbina?

Pembentukan tulang manusia dimulai pada saat masih janin dan umumnya akan bertumbuh dan berkembang terus sampai sehingga 35 tahun. Berikut adalah gambaran pembentukan tulang. Sekiranya dari awal proses pertumbuhan, banyak kalsium ada dalam darah maka tulang akan terbentuk dengan baik.

Pada usia 0 - 30/35 tahun, proses ini dinamakan modeling kerana pada masa ini terbentuknya model tulang seseorang. Ini bermakna tulang kita tidak sama antara satu sama lain. Kerana itulah kita mempunyai rupa paras yang berbeza.

Mencegah

Pada usia 30 - 35 tahun, pertumbuhan tulang sudah selesai, waktu ini disebut remodeling di mana modeling sudah selesai tinggal proses penggantian tulang yang sudah tua dengan tulang baru yang masih muda. Setelah pembentukan tulang selesai, maka akan terjadi penurunan jisim tulang. Hal ini bisa dicegah dengan menjaga kandungan kalsium setelah tercapainya puncak jisim tulang.

Dengan mengambil kalsium 800 - 1200 mg sehari, jisim ini boleh dipertahankan.

Untuk mencegah penurunan jisim tulang, di mana penurunan ini akan mengakibatkan berkurangnya kepadatan tulang dan tulang akan mengalami osteoporosis.

Osteoporosis lebih baik dicegah dengan cara pengambilan kalsium yang cukup setelah usia 30 atau 35 tahun.

Kesimpulan:

Dalam proses pembentukan tulang, tulang mengalami regenerasi iaitu penggantian tulang-tulang yang sudah tua dengan tulang baru yang masih muda, proses ini berjalan seimbang sehingga terbentuk puncak jisim tulang. Setelah terbentuk puncak jisim tulang, tulang masih mengalami penggantian tulang yang sudah tua dengan tulang yang masih muda. Tetapi proses ini tidak berjalan seimbang di mana tulang yang diserap untuk diganti lebih banyak daripada tulang yang akan menggantikan, maka terjadi penurunan jisim tulang. Apabila keadaan ini berjalan terus menerus, akan terjadi osteoporosis.

Komposisi tulang

Tulang terdiri daripada dua bahan:

Matrik yang kaya mineral (70%) > Tulang yang sudah matang)

Bahan-bahan organik (30%) yang terdiri dari:

Sel (2%) : 1) Sel Osteoblast : yang membuat matrik (bahan) tulang / sel pembentuk tulang. 2) Sel Osteocyte : mempertahankan matrik tulang. 3) Sel Osteoclast : yang menyerap osteoid (95%) (resorbsi) bahan tulang (matrik) / sel yang menyerap tulang.

Osteoid (98%) : Matrik (bahan) tulang yang mengandung sedikit mineral (osteoid>tulang muda)

Hormon yang mempengaruhi tulang secara langsung ialah parathyroid hormone.

Kelenjar parathyroid berada berhampiran dengan kelenjar tiroid kita iaitu di leher. Akibat penuaan maka aktiviti hormon ini merosot. Ini membuatkan kalsium tidak dapat didepositkan dengan baik. Malahan kalsium yang dimakan tidak mampu di serap dan keluar semula daripada tubuh kita.

Dengan pendekatan moden iaitu meningkatkan kembali paras hormon parathyroid kepadatan tulang akan dapat ditambahkan secara semulajadi dan ini merupakan berita gembira buat kita
Stres boleh mengurangkan mood untuk melakukan kerja di pejabat.

PELBAGAI kejadian dan tragedi yang melibatkan tekanan atau stres dan kemurungan teruk sebenarnya boleh dielak dan diatasi, jika orang ramai mengambil berat mengenainya. Malah, ia boleh menjadi penyakit yang serius andai tidak diurus dan dikawal dengan baik.

Walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.

Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari bahawa stres juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda.

"Ia boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain di pejabat dan rumah," ujar Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh ketika menyampaikan ceramah dalam Bengkel Stres Kehidupan anjuran Hospital Gleneagles.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan punca mengapa wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki.

Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan.

Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi 'lelaki sejati', iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya.

Banyak kes yang dirawat di hospital melibatkan pesakit yang tidak membiasakan diri menyelesaikan masalah dari peringkat awal lagi.

Kadang-kadang masalah di tempat kerja juga memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporak-perandakan perkahwinan itu sendiri.

Bagi penghidap stres, mereka bimbang, masyarakat akan memandang serong terhadap mereka dan tidak mahu dilabel kurang siuman.

Ujar Dr. Nor Hamidah, sebab itu masyarakat juga perlu prihatin dan sedar betapa stres dan kemurungan yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.

Ramai wanita stres?

Menurut Dr. Nor Hamidah, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Arizona terhadap 166 pasangan berkahwin mendapati, wanita melalui episod stres yang tinggi berbanding lelaki.

Bercerita mengenai punca masalah yang semakin meningkat itu katanya, desakan hidup dan persekitaran sebenarnya menjadi penyebab utama.

Kebanyakan wanita pada peringkat umur 35 hingga 45 tahun mengalami emosi yang stabil kerana ramai yang mula bijak menguruskan kewangan sementara anak-anak pula sudah membesar. Berbeza dengan wanita yang baru mendirikan rumah tangga atau mempunyai anak, mereka belum bijak menguruskan hal rumah dan kerja. Bagi wanita yang berumur 45 tahun ke atas, mereka pula berhadapan dengan perubahan hormon akibat menopaus.

Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.

Bijak

Namun seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti.

Jelas Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

"Mengambil berat tentang kesihatan mental membantu kita untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara ini saling berkait," katanya.

Dr. Nor Hamidah turut menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya ambil masa untuk rehat dan berani untuk berbincang mengenainya bersama saudara atau teman terdekat.

"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti akan sedar mengenainya. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi," katanya.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan. Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.

Pengurusan stres di pejabat

Justeru itu, setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak menganggu produktiviti pekerja.

"Kita lihat banyak kejayaan menerusi perlaksanaan pengurusan kerja di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada tahun 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada tahun 1995, Perkhidmatan Salah Tingkahlaku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja telah menurunkan 35 peratus masalahstres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang pengurusan ini, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor.

Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.

Ini penting untuk mengurangkan berlakunya darah tinggi - lelah - masalah kulit yang semakin teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema - serangan jantung - sinus/resdung - hilangan fungsi seksual dan pembiakan - strok - masalah berat badan - gangguan tidur - cirit-birit atau sembelit - migrain - gangguan kebimbangan - ulser perut - sakit kepala - kemurungan.

Homeopati rawat secara holistik

Oleh BINTU RASYADA A.RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

Dos penawar diberi kepada pesakit berdasarkan punca kesakitan dan keadaan tubuh badan. Maklumat lanjut layari www.mphm.org.my

MASIH ramai yang tidak tahu mengenai apa sebenarnya perubatan homeopati. Justeru kami sangat berharap satu rang undang-undang mengenainya akan diluluskan supaya tidak ada yang tertipu," kata Pengerusi Majlis Perubatan Homeopati Malaysia (MPHM), Zainul Azmi Ahmad.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini berkata, perubatan homeopati bukan sesuatu yang luar biasa di Malaysia kerana ia sudah bertapak selepas perang dunia kedua lagi.

Menurut beliau, perubatan alternatif itu dibawa oleh Kolonel Sheikh Amin Rajah, iaitu seorang pegawai perubatan tentera British sekitar tahun 1930-an lagi di Singapura. Ketika itu ia digunakan bagi merawat tentera yang sakit dan juga cedera ketika perang.

Selepas itu, tokoh politik terkenal, Dr. Burhanuddeen Helmi pula meneruskan rawatan tersebut sehinggalah ia dibawa ke Kuala Lumpur pada tahun 1960-an dan berkembang dengan pesat ke seluruh negara.

Mengimbas asal-usul perubatan homeopati kata beliau, ia diasaskan oleh Dr. Samuel Hahnemann sekitar abad ke 18 di Jerman dan kemudian ia berkembang ke seluruh Eropah. Banyak peristiwa membuktikan rawatan itu berkesan menyembuhkan penyakit. Antaranya Perang Leipsig yang berlaku pada 1813 melibatkan tentera Napolean Bonaparte mengalami typhoid ketika kembali ke Perancis. Sebanyak 180 daripada mereka berjaya dirawat oleh Hahnemann dan hanya seorang menemui maut.

Selepas kematian Hahnemann, kaedah homeopati tersebar di seluruh dunia malah rawatan jenis itu turut diluluskan di Parlimen United Kingdom, India dan Pakistan.

Rawatan

"Homeopati adalah rawatan secara holistik dan bersifat individualistik. Tiada dua orang yang mengalami keadaan yang sama. Kita boleh bercakap mengenai sakit kepala contohnya, namun puncanya tidak sama," kata beliau.

Bercakap mengenai rawatan yang diberikan kata Zainal Azmi, ia lebih kepada penawar yang diberikan berdasarkan keperluan seseorang. Pengamal homeopati katanya akan mengenal pasti punca kesakitan terlebih dahulu dan latar seseorang sebelum sesuatu penawar diberi.

Ia berdasarkan kepada Prinsip Kesamaan yang bermaksud apabila simptom penyakit dikenalpasti berpandukan simptom yang dialami oleh individu sihat ketika tempoh percubaan rawatan, maka ia dirawat dengan cara memperbaiki dan menghilangkan simptom penyakit selepas diberi penawar yang spesifik.

"Sebagai contoh pengambilan allium cepa (bahan terdapat dalam bawang merah) oleh individu sihat, lalu simptom viral rhinitis dan demam biasa dikenalpasti wujud. Justeru dengan pengambilan sedikit dos allium cepa oleh mereka yang mengalami viral rhinitis mampu menghilangkan keadaan tersebut," katanya.

Beliau tidak menafikan homeopati sememangnya bukan penawar segala penyakit kerana ia mempunyai batas-batas tertentu. Misalnya penyakit berkaitan dengan jantung yang semestinya memerlukan pembedahan. Begitu juga akibat kemalangan dan sebagainya.

Namun bagi sesetengah penyakit kronik yang jika dirawat dari awal menggunakan pendekatan homeopati, ia mampu menyekat penularan penyakit secara perlahan-lahan dan seterusnya tidak mustahil mampu menyembuhkan.

"Kadangkala pesakit datang kepada kita bila keadaan sudah berada pada tahap kritikal. Memang kita tak mampu untuk berbuat apa-apa," kata beliau yang mempunyai klinik homeopati sendiri di Alor Setar, Kedah.

Bercakap mengenai ubat atau lebih tepat disebut penawar yang diberikan jelas beliau, ia berdasarkan kepada sumber tumbuh-tumbuhan dan tidak mengandungi dadah. Jenis-jenis rawatan ubat makan berbentuk tablet, globul, kapsul dan sirap. Kadangkala untuk rawatan tertentu, krim dan losyen turut digunakan.

Di negara Barat kata beliau, terdapat juga rawatan homeopati dalam bentuk suntikan tetapi tidak di Malaysia.

Perubatan komplimentari

Dalam usaha memartabatkan rawatan homeopati sebagai perubatan alternatif dan komplimentari kata Zainul Azmi, pihaknya sedang berusaha bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan undang-undang mengenainya diluluskan dalam masa terdekat.

"Kami mahu homeopati menjadi salah satu rawatan yang dipercayai dan tidak ada lagi pihak yang menjalankan penipuan atas nama rawatan ini untuk mencari keuntungan peribadi," kata beliau.

Selain itu menurutnya, pihak MPHM juga katanya akan menganjurkan satu persidangan antarabangsa mengenai homeopati yang bakal diadakan pada Julai nanti.

Pada persidangan tersebut, pakar-pakar homeopati dari seluruh dunia akan berkumpul untuk berkongsi maklumat dan pendedahan mengenai rawatan tersebut.

Antara yang menarik perhatian katanya jurucakap dari Cuba yang akan berkongsi pengalaman perubatan homeopati dalam merawat masalah virus leptospirosis di negara tersebut. Disebabkan berstatus negara dunia ketiga, keterbatasan kewangan menyebabkan pakar-pakar di situ cuba mendapatkan rawatan alternatif dalam mengekang sesetengah penyakit.

"Sebenarnya rawatan homeopati sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia. Malah jika ke negara seberang, rawatan ini dianggap mewah dan mereka yang mampu sahaja mendapatkannya," kata beliau.

Sunday, May 1, 2011

Vitamin untuk kulit

Soalan: Saya ingin memperbaiki masalah kulit berjerawat dan mempunyai kesan parut lama. Kini saya menukar produk penjagaan kulit sebagai langkah memperbaiki masalah jerawat. Saya juga tercari-cari vitamin yang membantu kesihatan kulit.

Jawapan

Kesihatan kulit boleh dipelihara dan dikekalkan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh. Ia bukan sekadar bergantung kepada penjagaan luaran dan kosmetik semata-mata. Apa jua tabiat pemakanan turut memberi kesan kepada kesihatan kulit.

Tahap kesihatan kulit juga menjadi penanda luaran kepada kesihatan dalaman. Adakalanya penggunaan krim, losen dan rawatan luaran kulit tidak banyak membantu sekiranya ia berpunca daripada faktor dalaman seperti akibat sesetengah nutrien. Mengambil makanan yang betul dan mengelak makanan yang tidak sesuai boleh menyerlahkan kecantikan, kulit lebih awet muda tanpa kosmetik mahal.

Kajian American Journal of Clinical Nutrition terbitan Julai 2007 menunjukkan kaitan antara makanan yang rendah dengan indeks glisemik dan pembaikan masalah jerawat. Kajian mendapati dalam tempoh 12 minggu, jerawat berjaya dikurangkan dengan lebih baik di kalangan kumpulan peserta yang mengambil makanan dengan kandungan glisemik gula yang rendah berbanding kumpulan yang mengambil makanan yang tinggi dengan karbohidrat.

Secara umumnya, selain makanan berkarbohidrat ringkas yang tinggi, pengambilan makanan tinggi lemak tepu, makanan berminyak dan bergoreng, bergula akan memberi impak yang lebih ketara kepada masalah jerawat.

Minum air secukupnya sangat penting. Air yang bersih boleh membantu kulit menjadi remaja. Air penting untuk melembapkan sel-sel selain memudahkan penyingkiran toksin dan dalam masa yang sama menyenangkan kemasukan nutrien. Apabila tubuh dihidrat dengan sempurna, perpeluhan berlaku dengan lebih efisien yang membantu kulit kekal bersih dan cerah.

Dari segi vitamin, vitamin anti oksida membantu meneutralkan radikal bebas yang merosak serta mengurangkan kerosakan sel. Antara vitamin anti oksida yang memberi manfaat kepada kesihatan kulit termasuklah vitamin A, C dan Vitamin E.

Vitamin A diperlukan untuk pembinaan dan pengekalan sel-sel kulit. Nutrien ini membantu menentang kekeringan kulit, kulit berkuping dan penebalan lapisan luar kulit. Vitamin C diperlukan dan membantu dalam pembentukan tisu-tisu penghubung, kolagen dan pemeliharaannya. Manakala vitamin E boleh memperlahankan penuaan tisu. Untuk kesihatan kulit terutamanya kulit bermasalah, mineral zink diperlukan untuk membantu fungsi normal kelenjar sebum kulit dan penyembuhan jerawat.

Oleh itu, pengambilan gabungan anti oksida seperti beta-karoten (pro-vitamin A), C, E, mineral zink dan selenium yang mencukupi akan membantu mencegah kerosakan sel-sel kulit akibat radikal.

Asid-asid lemak yang mencukupi penting untuk mengekalkan kecantikan dan keremajaan kulit. Ini merangkumi asid lemak omega-3 dan omega-6. Asid-asid lemak perlu ini diperlukan untuk menguat dan meningkatkan kebendaliran membran sel kulit. Membran sel merupakan pelindung kulit, mengeluarkan toksin dan memberi lembapan serta nutrien. Ia juga meningkatkan pengaliran darah dengan mencairkan darah dan memperbaiki keanjalan sel darah merah supaya lebih banyak oksigen yang membantu menyubur dan melembap yang penting untuk keremajaan kulit.

Kajian mendapati pengambilan Gamma linolenic acid (GLA) daripada minyak Evening Primrose secara berterusan membantu masalah jerawat, ekzema atopik, sindrom pra-haid (PMS), psoriasis dan kesihatan kulit. Mereka yang sering dibelenggu masalah ini lazimnya mempunyai paras GLA yang lebih rendah daripada normal. Ujian menunjukkan pengambilan minyak evening primrose yang kaya dengan GLA boleh memperbaiki kelicinan kulit, lembapan serta memperbaiki masalah dermatitis.

Sihat mulut, sihat badan

Pemeriksaan secara berkala penting untuk kesihatan gigi. - Gambar hiasan

PEPATAH Cina ada menyebut, mulut itu pintu masuk kepada kesihatan tubuh badan kerana semua penyakit datangnya dari mulut. Manakala semua masalah datangnya daripada pertuturan.

Bagaimanapun, mulut didiami ribuan bakteria yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit periodontal atau gusi, kata Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Datuk Dr. How Kim Chuan.

Penyakit periodontal ialah jangkitan bakteria yang merosakkan tulang sekeliling akar gigi menyebabkan gigi menjadi longgar.

Ia disebabkan plak bakteria, selaput kekuningan melekit yang sentiasa terbentuk di gigi.

Antara simptom sakit periodontal ialah gusi merah, bengkak dan berdarah, kemunculan poket-poket periodontal, gigi longgar dan nafas berbau.

Walaupun begitu, tidak ramai pesakit sedar akan kehadiran penyakit itu kerana simptom-simptom biasanya tidak disertai kesakitan, kata Dr. Kim Chuan.

Mujurlah tanda-tanda keradangan itu dapat dirawat sepenuhnya jika disertai dengan langkah pencegahan, motivasi serta kerjasama daripada pesakit, katanya.

Ujarnya, terdapat banyak kajian yang menyelidik kemungkinan berkaitnya penyakit oral (mulut) dengan kesihatan sistemik tubuh badan.

"Para penyelidik mendapati periodontitis (keradangan gusi), peringkat mendalam penyakit periodontal, mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti penyakit kardiovaskular, strok, kencing manis dan pneumonia bakteria.

" Kajian juga menunjukkan bakteria dan keradangan memainkan peranan lebih bahaya dalam penyakit sistemik seperti kencing manis kerana mengurangkan ketahanan tubuh terhadap risiko jangkitan dan membuatkan penyakit periodontal semakin teruk.

"Jadi mereka yang menghidap kencing manis selalunya juga mempunyai penyakit periodontal. Malah ada kajian yang mengatakan periodontitis memberi kesan ke atas kawalan gula dalam tubuh badan," terang Dr. Kim Chuan.

Beberapa kajian turut mengaitkan bengkak yang kronik dari periodontitis dengan masalah kardiovaskular, arteri tersumbat dan strok.

Beliau menerangkan, plak gigi mungkin berkaitan dengan plak yang melekat pada lapisan dalam pembuluh darah iaitu arteri. Ini menyebabkan arteri mengeras dan mengehadkan aliran darah.

Penghasilan arteriosklerosis itu diburukkan lagi dengan mendakan lemak dan kolesterol. Ini boleh berlaku di mana-mana arteri, terutama arteri jantung yang menyebabkan sakit jantung dan arteri otak yang menyebabkan strok.

Beliau menerangkan, penyelidik juga mendapati penjagaan oral yang kurang baik boleh meningkatkan risiko mendapat pneumonia jenis aspirasi.

Pneumonia jenis ini berlaku apabila seseorang tersedut bendasing seperti makanan atau cecair yang menyebabkan iritasi kepada paru-paru. Ini seterusnya menyebabkan jangkitan bernanah, keradangan dan sakit pneumonia.

Bakteria di mulut ekoran kaviti dan penjagaan oral yang tidak sempurna juga boleh tersedut ke dalam paru-paru dan menyebabkan pneumonia jenis itu, kata Dr. Kim Chuan.

Rawatan akupuntur laser

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Rawatan akupuntur laser pada perut.

BERBEZA dengan perubatan akupuntur yang menggunakan jarum, pena laser yang merupakan teknologi dari Korea diyakini lebih selamat dan mudah diguna.

Dengan pemegang seakan pen, hujung pena ini didatangi dengan tiga 'kepala' berlainan saiz.

Rawatan laser akupuntur ini mampu memberi kesan seperti kaedah klasik akupuntur tanpa rasa sakit hanya dengan tekanan pada satu butang.

"Ini merupakan kesan pena laser yang juga dikenali dengan gelaran Microcurrent Pulse Stimulator ini dikatakan 500 kali ganda lebih kuat dan pantas berbanding tusukan jarum klasik. Di kalangan masyarakat Korea, alat ini diberi jolokan 'Doktor Rumah'," ujar seorang pakar akupuntur yang berpengalaman lebih empat dekad dalam bidang ini, Dr. Muhammad Kim, 76.

Inovasi rawatan akupuntur laser ini dijangka dapat mengatasi masalah individu yang gerun pada jarum akupuntur.

Menurut Dr. Muhammad, penggunaan alat akupuntur laser ini mempunyai kesan yang lebih baik dan ia hanya melibatkan luaran kulit.

Rawatan laser akupuntur menggunakan alat berbentuk seperti pen. Bebola di hujungnya berfungsi menyalurkan tenaga laser pada poin yang tertentu untuk melancarkan peredaran darah.

Kelegaan

Dalam pada itu, penulis berpeluang mencuba rawatan itu pada bahagian pergelangan tangan yang kemudiannya dipindahkan ke poin kepala.

Seperti terkena aliran elektrik ringan, namun ia memberi sedikit kelegaan. Menurut Dr. Muhammad Kim, ia berfungsi untuk melancarkan aliran darah dengan cara merangsang poin-poin akupuntur.

"Poin-poin ini terletak berdekatan dengan sistem saraf. Apabila disalurkan laser , ia akan memberi rangsangan terus dan memindahkan impuls elektrik melalui spinal cord dan otak hingga ke bahagian badan yang bermasalah.

"Kajian perubatan moden juga menunjukkan stimulasi pada poin akupuntur tertentu merangsang penghasilan kimia dari saraf tunjang ke sistem endokrin. Mekanisme ini adalah semula jadi dalam tubuh kita sekali gus mengawal kesakitan," katanya.

Rawatan bekam dan jed

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Kim turut menunjukkan fungsi pen bekam yang lebih moden dan tidak sakit. Jika rawatan tradisional menggunakan satu pen bekam dan dicucuk pada kawasan bekam lebih daripada sembilan kali untuk mengeluarkan darah, pen bekam daripada Korea ini hanya berfungsi sebanyak tiga kali.

Pada asasnya, prosedur bekam yang dilakukan Dr. Muhammad Kim adalah untuk mengeluarkan darah kotor daripada badan.

Untuk memperlengkapkan proses rawatan akupuntur laser dan bekam , pesakit juga diberi menggunakan peralatan canggih dari Korea seperti katil urutan badan menggunakan batu jed serta katil elektrik kristal.

Kombinasi rawatan ini disarankan untuk mereka yang mengalami sakit pinggang dan melancarkan perjalanan darah untuk mengurangkan risiko strok.

Pusat rawatan yang terletak di Kelab Golf Titiwangsa PDRM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dibuka antara hari Isnin hingga hari Ahad dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap minggu. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-26980595 atau 019-2652966.

Sementara itu, isteri Dr. Muhammad Kim, Rozita Mior Badri mengalu-alukan orang ramai yang ingin menjadi pengedar pen akupuntur laser yang diimport dari Korea.