Sunday, November 18, 2012

Pemandulan lelaki

SAYA berusia 45 tahun dan sudah memiliki lima orang anak, tiga orang perempuan dan dua orang lelaki. Anak bongsu saya sudah pun berusia lapan tahun.
Saya fikir, keluarga saya sudah lengkap dan isteri saya pun sudah tidak mahu mengandung lagi. Saya ada terbaca mengenai pembedahan pemandulan lelaki. Boleh kiranya doktor jelaskan mengenai pembedahan ini?
* Ayah anak lima
JAWAPAN:
Saudara, pembedahan pemandulan lelaki dikenali sebagai vasektomi. Pembedahan ini adalah teknik pemandulan kekal. Selepas pembedahan ini, seseorang lelaki tidak akan mempunyai sperma dalam air mani selepas ejakulasi.
Ketika pembedahan ini, saluran vas deferens iaitu saluran yang membawa sperma dari buah zakar akan dipotong dan diikat. Ini akan menghalang sperma dari bercampur dengan air mani yang akan keluar semasa ejakulasi.
Tanpa kehadiran sperma, telur wanita (ovum) tidak akan dipersenyawakan walaupun pancutan air mani dilakukan ke dalam faraj. Selepas pembedahan ini, kedua-dua buah zakar akan terus menghasilkan sperma tetapi oleh kerana ia tidak boleh dikeluarkan, ia akan diserap kembali ke dalam badan.
Kaedah perancang keluarga Secara lazimnya, beberapa bulan selepas pembedahan, saudara perlu menggunakan kaedah perancang keluarga seperti kondom ketika mengadakan hubungan seks bersama isteri. Ujian air mani kemudian akan dilakukan untuk memastikan tiada sperma dalam air mani saudara.
Bagaimanapun, saudara perlu faham bahawa walaupun salur vas deferen sudah diikat, saudara masih lagi mempunyai ejakulasi air mani yang normal kuantitinya. Ini adalah kerana sebahagian besar dari air mani datang dari kelenjar prostat dan kelenjar seminal.
Pembedahan vasektomi ini boleh dilakukan secara pesakit luar. Kaedah ini merupakan pembedahan ringkas dan menggunakan bius setempat sahaja. Pembedahan ini mengambil masa selama 20 ke 30 minit.
Ketika pembedahan ini kedua dua kerandut buah zakar akan dibersihkan, saluran vas deferen akan diidentifikasi dengan menggunakan jari, ubat bius akan disuntik di kawasan pangkal kerandut zakar, dua hirisan kecil akan dibuat di kedua-dua belah pangkal kerandut zakar, saluran vas derefens akan dikenal pasti, dipotong dan diikat dan akhir sekali kulit akan dijahit dan ditutup.
Pakar bedahUntuk makluman saudara, pembedahan vasektomi ini boleh dilakukan oleh pakar bedah dan pakar urologi. Selepas pembedahan, saudara akan merasa sedikit kebas pada bahagian kerandut zakar selama sejam hingga dua jam. Saudara dinasihatkan supaya berehat untuk keseluruhan hari. Seluar dalam yang ketat dapat menyokong kerandut zakar perlu dipakai untuk membantu melegakan kesakitan. Saudara juga mungkin dapat melihat sedikit bengkak pada kerandut zakar. Namun, bengkak ini akan hilang dalam masa beberapa hari.
Saudara boleh mula bekerja selepas sehari atau dua hari. Namun, kerja-kerja berat tidak boleh dilakukan sehingga seminggu. Hubungan seks boleh dimulakan selepas seminggu tetapi seperti yang saya terangkan, saudara mungkin masih boleh menyebabkan isteri saudara hamil, oleh itu pakailah kondom buat sementara waktu.
PemeriksaanJadi, saudara perlu membuat pemeriksaan air mani terlebih dulu sebelum melakukan hubungan seks dengan tidak memakai kondom. Pemeriksaan air mani ini selalunya akan dilakukan dua bulan selepas pembedahan (atau saudara boleh melakukan ejakulasi sebanyak 10 hingga 20 kali untuk membuang sperma yang sedia ada dari air mani)
Pembedahan ini tidak akan menjejaskan libido atau nafsu seks saudara. Ia juga tidak akan menjejaskan ereksi atau orgasma saudara. Prosedur ini juga tidak akan menjejaskan pancutan air mani.
Vasektomi adalah cara perancang keluarga yang kekal. Keberkesanannya adalah sebanyak 99.85 peratus. Risiko mengandung hanya akan berlaku sekiranya hubungan seks dilakukan tanpa pemeriksaan air mani untuk memastikan air mani tidak mengandungi sperma. Ianya mudah dilakukan, murah dan tidak mempunyai komplikasi yang besar jika dibandingkan dengan pembedahan sterilisasi pada wanita. Ianya lebih kos efektif jika dibandingkan dengan penggunaan kondom atau pil perancang.
Saudara perlu pastikan yang anda betul-betul tidak mahu lagi mendapatkan zuriat sebelum menjalani pembedahan ini. Ini kerana walaupun terdapat pembedahan yang boleh dilakukan untuk menyambung kembali salur vas deferens yang diikat, pembedahan penyambungan ini amat sukar dilakukan. Peratusan kejayaan untuk mencantumkan semula salur vas deferens adalah sangat rendah.
Saya harap saudara sudah mendapat sedikit gambaran mengenai pembedahan vasektomi. Fikir masak-masak dan berbincang dulu dengan isteri sebelum saudara mengambil keputusan menjalani pembedahan ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121118/kn_01/Pemandulan-lelaki#ixzz2Ce3qzAKg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tips untuk mengatasi kulit ketiak menghitam




Kulit ketiak menghitam ialah masalah yang agak biasa dialami oleh kaum wanita. Malah di Female Daily sendiri, ada beratus-ratus laman yang membincangkan tentang masalah itu. Berikut beberapa langkah untuk mengatasinya:

1.  Kenal pasti puncanya. Masalah bawah lengan menghitam adalah disebabkan oleh seringnya mencabut bulu ketiak.  Maka, hentikanlah kebiasaan itu sekarang juga! Mencabut bulu ketiak akan mengakibatkan liang roma terbuka lebih besar daripada biasa. Apabila hal ini berlaku, bakteria dan kotoran akan mudah masuk ke dalam liang-liang roma lantas menyebabkan kulit ketiak menghitam. Sebagai alternatif, cubalah kaedah pelilinan (waxing) atau lampu denyut beramatan (Intense Pulse Light-IPL) yang dapat mengurangkan pertumbuhan bulu pada ketiak.

2.  Jika ketiak tidak terlalu berpeluh, elakkanlah daripada menggunakan deodoran buat sementara waktu.  Namun jika berasa tidak selesa apabila tidak menggunakannya, pilihlah deodoran yang mengandungi bahan aktif bagi membantu mengurangkan peluh pada ketiak.

3.  Sel kulit mati dan kotoran yang menumpuk juga antara punca ketiak menghitam. Jadi bantulah proses pengelupasan kulit bawah lengan dengan menggunakan bahan penyental atau skrub yang banyak dijual dalam pasaran.  Anda juga boleh menghasilkan penyental sendiri.  Penyental semula jadi yang berkesan menanggalkan kulit kasar ialah kopi. Untuk mengetahui cara membuatnya, bacalah artikel ini.

4.  Ramai yang mengesyorkan untuk menggunakan jus perahan lemon, lebih kurang satu sudu untuk kedua-dua belah ketiak.  Bahan ini dikatakan dapat membantu mencerahkan kulit ketiak yang sudah menghitam. Walau bagaimanapun, penggunaan jus lemon yang bersifat asid pada liang-liang roma yang terbuka boleh mencetuskan rasa pedih. Jadi, cara ini hanya patut dicuba apabila kita berasa selesa.

Thursday, November 15, 2012

Was-was undang sengsara


SAYA bertemu seorang lelaki awal 30-an yang mengadu mengalami masalah was-was sehingga segala urusan kehidupan seharian termasuk ibadah terganggu.
Perasaan was-wasnya bermula secara kebetulan semasa awal remaja apabila terlupa mengunci pintu rumah dan dimarahi ibu.
Semenjak itu, lelaki ini kerap tertanya-tanya sama ada dia sudah mengunci pintu rumah setelah keluar.
Sehinggalah dewasa, keadaan lelaki ini semakin teruk sehingga terpaksa pulang ke rumah beberapa kali selepas sampai di pejabat semata-mata untuk memeriksa kunci pintu.
Tombol pintu rumahnya juga terpaksa ditukar kerana rosak akibat selalu disentak dengan kuat semasa diperiksa.
Begitu juga apabila membasuh tangan atau mandi, dia akan mengambil masa sehingga dua ke tiga jam.

Kanak-kanak kurang nutrisi


Tabiat kanak-kanak memilih makanan membuatkan mereka kurang nutrisi tertentu. - Gambar hiasan
KALAU bercakap tentang makanan, rakyat Malaysia boleh dikategorikan sebagai amat bertuah kerana mudahnya untuk mendapat makanan.
Walaupun itulah yang dilihat secara kasar, hakikatnya senario itu tidak berlaku di kalangan kanak-kanak.
Satu kajian yang dijalankan oleh Kaji Selidik Nutrisi di Asia Tenggara (SEANUTS) mendapati seorang daripada 10 kanak-kanak di Malaysia menunjukkan simptom tidak cukup zat makanan yang mana ia telah membantutkan tumbesaran mereka.
Bahkan ketinggian yang sepatutnya seiring dengan penambahan usia tidak berlaku pada golongan kanak-kanak yang tidak mendapat zat secukupnya.
Puncanya ialah diet atau cara pemakanan yang tidak baik.

Thursday, November 8, 2012

'Hadiah' untuk pesakit angin ahmar


PElbagai kisah pesakit angin ahmar dikongsikan dalam filem Against The Wind. - Gambar hiasan
NAMUN apabila pengasas Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam), Janet Yeo, mendekati Wayne yang merupakan pengarah filem terkenal dari Taiwan, bagi memintanya menghasilkan video selama lima minit mengenai persatuan itu, beliau bersetuju.
Apatah lagi selepas melawat Nasam dan melihat sendiri semangat juang yang ada pada pesakit-pesakit strok (angin ahmar) di situ, Wayne yang juga pemenang pelbagai anugerah sedar bahawa terdapat pelbagai cerita-cerita bernilai untuk dikongsikan yang tidak cukup untuk dipaparkan dalam sebuah video yang pendek.
"Kisah-kisah menyentuh perasaan ini harus dibangunkan menjadi sebuah projek yang lebih bermakna. Bukan hanya video pendek tapi lebih daripada itu," katanya sambil disambut dengan penuh gembira oleh Janet.
Sebagai pengarah berkaliber, Wayne tidak terburu-buru. Sebaliknya, beliau melakukan kajian mendalam tentang penyakit dan apa yang dialami pesakit.
Beliau sendiri mengakui tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai angin ahmar, jadi sebagai langkah permulaan, Wayne mengambil inisiatif meluangkan masa berbual dengan pesakit angin ahmar seramai yang boleh.
"Bukan hanya pesakit, ahli keluarga mereka juga mempunyai pelbagai kisah berbeza untuk dikongsikan. Selepas berbual dengan mereka, kami memilih beberapa kisah yang pada kami benar-benar memberi inspirasi.
"Secara purata, penggambaran cerita setiap watak mengambil masa tiga minggu. Tetapi ini adalah kisah sepanjang tiga tahun, kerana kami ingin merakam kisah perjalanan dan perkembangan mereka," katanya dalam majlis pratonton filem yang diberi nama Against The Wind di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Dokumentari arahan Wayne dengan kerjasama Nasam itu memaparkan kisah benar perjuangan beberapa pesakit angin ahmar untuk mengembalikan kehidupan lama mereka.
"Kami menghabiskan masa selama tiga tahun untuk penggambaran dokumentari ini. Tanpa kerjasama yang erat dengan Janet dan Nasam sendiri tentu tidak mungkin berhasil.
"Janet adalah penasihat yang baik. Dokumentari ini kami bahagikan kepada beberapa segmen untuk setiap rakaman, kemudian kami dapatkan maklum balas tentang cara penyampaian bagaimanakah yang paling berkesan untuk ditonton orang awam.
"Kami akan mengkaji semula setiap rakaman bersama para penyunting untuk mencari cara terbaik menjayakan filem tersebut dengan cara yang paling memberangsangkan. Kerja-kerja penyuntingan sebenar hanya bermula pada tahun ketiga kami," imbas Wayne.
Sebenarnya tidak mudah berkomunikasi secara mendalam dengan pesakit dan itulah cabaran yang dihadapi Wayne.
Beliau tahu hubungan perlu dibina berdasarkan kepercayaan para pesakit angin ahmar kerana sebahagian besar daripada dokumentari ini bergantung kepada kerelaan mereka untuk berkongsi kisah duka yang menyayat hati.
"Ramai antara mereka yang pada awalnya keberatan untuk menceritakan semula kisah duka tersebut. Semasa penggambaran, maruah para pesakit menjadi keutamaan kami, kerana semestinya niat kami adalah untuk tidak memaparkan angin ahmar sebagai keadaan yang menyedihkan serta menakutkan.
"Matlamat utama kami adalah berdasarkan demografi memandangkan salah satu mesej penting dalam dokumentari ini ialah memberi penekanan bahawa sesiapa sahaja mungkin menjadi mangsa angin ahmar.
"Nasam telah membantu dengan mencadangkan beberapa ciri-ciri angin ahmar yang dipaparkan dalam dokumentari ini. Matlamat akhir kami adalah untuk memaparkan kisah benar serta sebuah gambaran jujur tentang kesakitan yang ditanggung, kesedihan dan kegembiraan dalam diam demi hasrat untuk pulih oleh para pesakit angin ahmar ini.
"Mesej utama saya menghasilkan dokumentari ini sama seperti Nasam iaitu masih ada kehidupan selepas angin ahmar, jangan berputus asa.
"Kami juga ingin memberitahu bahawa angin ahmar boleh berlaku pada sesiapa sahaja, dan jika berlaku, sokongan keluarga adalah separuh daripada perjuangan mereka ke arah pemulihan.
"Ini adalah sebuah projek yang sangat teliti. Saya telah bekerja dengan imaginasi visual dan seni di dalam dokumentari-dokumentari saya yang lain," kata Wayne,
Tetapi katanya, untuk Against The Wind, dia dan krew dapat merasai keperitan para pesakit angin ahmar ini apabila melihat kepayahan mereka untuk menempuh hari-hari mereka.
"Saya berbangga kami telah melakukan projek ini ia adalah sesuatu yang tepat untuk dilakukan.
"Sekurang-kurangnya sekarang, jika sesiapa mengalami angin ahmar akan lebih menghargai ketabahan dan keazaman yang diperlukan untuk pulih melalui beberapa langkah untuk kembali menjalani kehidupan yang normal," katanya
Inspirasi
Antara pesakit yang dipaparkan dalam dokumentari itu ialah Muniandy Portoraja - bekas juruteknik tentera udara yang aktif dalam sukan rugbi dan bola sepak - kini hanya mampu duduk atas kerusi roda kerana menjadi mangsa strok.
Begitu juga Farahneza Mohd. Helmi seorang peguam berjaya yang berusia 32 dan baru melahirkan bayi apabila kedua-dua kakinya tidak dapat bergerak malah dia tidak boleh bercakap. Dia kini duduk di rumah orang tua dan hanya boleh berkomunikasi dengan tulisan. Suaminya telah tinggalkannya dan kini ibu muda itu amat merindui anak-anaknya.
Farah dan Muniandy adalah antara lapan pesakit angin ahmar yang dipaparkan di dalam dokumentari Nasam tersebut.
Dokumentari kira-kira satu jam 40 minit itu ditayangkan secara rasmi bermula 29 Oktober lalu di beberapa pawagam terpilih. - NOOR FAZRINA KAMAL

Apabila antibiotik tidak berkesan


Sudah lapan dekad, antibiotik dan antimikrob digunakan dengan meluas untuk merawat mereka yang menghidap penyakit berjangkit.
Sejak 1940-an, ubat-ubatan ini terbukti berkesan dalam merawat dan mengurangkan dengan ketara kadar kematian akibat penyakit seperti itu.
Bagaimanapun, pengamal perubatan berkata antibiotik hanya berkesan sekiranya diberi preskripsi dan digunakan secara betul.
Namun, oleh kerana digunakan secara meluas sejak sekian lama, mikroorganisme membentuk strain baharu yang mampu merintang kesan antibiotik dan ini menjadikan antibiotik kurang berkesan.
Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Jangkitan) Kementerian Kesihatan, Dr. Suraya Amir Husin berkata, penggunaan antibiotik secara tidak betul dan tidak rasional boleh menyebabkan munculnya mikroorganisme yang kebal.
"Keadaan ini dikenali dalam dunia perubatan sebagai Rintangan Antimikrob (AMR)," katanya.
AMR merujuk kepada kekebalan sesuatu mikroorganisme terhadap sesuatu agen antimikrob yang sebelumnya begitu sensitif terhadap antimikrob berkenaan.
Organisme perintang (bakteria, virus dan sesetengah parasit) mampu bertahan terhadap tindakan antimikrob seperti antibiotik dan antivirus yang menjadikan rawatan standard tidak berkesan.
Natijahnya, jangkitan terus wujud dan boleh merebak kepada orang lain.
Dr. Suraya berkata, AMR wujud akibat penyalahgunaan antimikrob dan keadaan ini berlaku apabila sesuatu mikroorganisme memutat atau menjadi kebal.
Kesedaran
Dr. Mohamed Azmi Hassali dari Universiti Sains Malaysia berkata, mengubah sikap dan meningkatkan pengetahuan orang ramai tentang penggunaan antibiotik merupakan langkah yang boleh memulihara keberkesanan antibiotik.
"Perlu difahami bahawa isu berkaitan AMR tidak hanya terhad kepada penggunaan antibiotik secara tidak rasional untuk rawatan, tetapi lebih jauh daripada itu.
"Sebagai contoh, penggunaan antibiotik secara tidak rasional dalam makanan haiwan turut menyumbang kepada kemunculan patogen dalam ekosistem kita," katanya.
Ketahanan antibiotik perlu dikaji melampaui tempat yang diinstitusikan seperti hospital kerana kebanyakan amalan paling tidak rasional dalam pemberian preskripsi dan antibiotik turut berlaku dalam masyarakat, katanya.
Kesan Jangkitan berpunca daripada mikroorganisme perintang selalunya tidak memberi respons kepada rawatan standard dan ini mengakibatkan kesakitan berpanjangan serta meningkatnya risiko kematian.
AMR mengurangkan keberkesanan rawatan kerana pesakit akan terdedah kepada jangkitan lebih lama dan berpotensi menyebarkan mikroorganisme perintang kepada orang lain. Sekali gus, ia boleh mewujudkan kembali keadaan pra-antibiotik.
Kewujudan AMR menyebabkan kebanyakan risiko jangkitan menjadi tidak boleh dikawal dan boleh memusnahkan kemajuan ke arah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa Bersatu berkaitan kesihatan menjelang 2015.
Apabila jangkitan menjadi kebal terhadap ubat-ubatan barisan awal, terapi lebih mahal perlu digunakan. Peningkatan tempoh sakit dan rawatan akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan memberi beban kewangan kepada keluarga terbabit serta masyarakat.
Sesungguhnya, kemunculan AMR mencabar kemajuan dalam bidang perubatan moden.
Tanpa wujudnya antimikrob berkesan dalam pemberian penjagaan kesihatan dan pencegahan jangkitan, kejayaan kaedah rawatan seperti pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan, sudah pasti akan terjejas.
Justeru, satu kaji selidik untuk menilai pengetahuan asas masyarakat tentang antibiotik dijalankan di Jelutong, Pulau Pinang dari 18 hingga 20 Jun tahun ini.
Ia merupakan kerjasama antara Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang (sebuah NGO di daerah Jelutong) dan para penyelidik dari USM yang melibatkan 64 responden.
Hasil kaji selidik ini mendedahkan tahap kesedaran orang ramai tentang antibiotik yang sungguh membimbangkan.
Kekurangan pengetahuan dalam kalangan majoriti responden menunjukkan langkah perlu diambil agar mereka lebih berpengetahuan tentang penggunaan antibiotik.
Kaji selidik itu juga menunjukkan wujudnya kaitan antara tahap pendidikan dan pengetahuan tentang rintangan antibiotik.
Responden yang berpendidikan hingga sekolah menengah nampaknya lebih sedar tentang ketahanan antibiotik dan ini membayangkan bahawa mereka yang mendapat pendidikan tinggi, lebih faham tentang penggunaan antibiotik.
Respons tentang bahaya yang ada kaitan dengan penggunaan antibiotik (rintangan antibiotik, kesan sampingan) didapati mempunyai perbezaan besar antara tahap pendidikan, status pekerjaan dan jumlah lawatan ke klinik atau farmasi.
Data yang dikumpul juga menunjukkan majoriti responden dalam kaji selidik ini memiliki pengetahuan berkadar sederhana tentang antibiotik dan mempunyai sikap yang betul tentang penggunaan antibiotik.
Ini menunjukkan bahawa pendidikan secara terancang tentang penyalahgunaan antibiotik perlu diberi untuk meningkatkan pengetahuan anggota masyarakat mengenai penggunaan antibiotik secara betul.

Jaga kulit dengan sentuhan


Ahli terapi AsterSpring menunjukkan teknik sentuhan unik Asterspring Touch.
KAJIAN dalam kalangan profesional bagi penjagaan kulit menyifatkan, wanita yang sering mendapatkan rawatan inginkan kesihatan kulit melalui rawatan berkesan yang diberikan oleh pakar penjagaannya.
Bagaimanapun, produk penjagaan kulit biasanya terlalu fokus kepada bahagian itu dan terlepas pandang akan 'penjagaannya'.
Memahami terapi kesihatan kulit adalah seumpama belaian tangan yang melakukannya, AsterSpring kini menjanjikan perkhidmatan profesional dengan sentuhan unik, iaitu AsterSpring Touch.
Baru dilancarkan, adalah satu kombinasi unik urutan muka, leher dan bahu yang direka khas bagi membantu melegakan tekanan fizikal dan mental serta merangsang tenaga serta pengaliran darah.
Pengurus Besar AsterSpring, Michelle Lam berkata, perkembangan dan pengenalan AsterSpring Touch itu adalah lanjutan daripada komitmen bagi memberikan pengalaman rawatan kulit yang lebih baik untuk wanita.
Katanya, mereka yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut menekankan kepentingan profesionalisme dan kebaikan ahli terapi kulit termasuk kemesraan dan pemahaman mereka tentang kulit pelanggan. Paling penting, bagaimana ahli terapi menjalankan rawatan menggunakan tangan mereka.
''Dalam erti kata lain, wanita bukan sahaja mencari rawatan kulit berprestasi tinggi tetapi mereka juga inginkan pengalaman yang menenangkan dan memulihkan tenaga,'' ujar Michelle.
AsterSpring Touch terdiri daripada tiga teknik tangan yang unik bagi membantu kelegaan dan pemulihan tenaga.
Tekanan lembut dilakukan pada pleksus solar badan untuk mengalirkan khasiat ke sel-sel kulit, tepukan lembut pada muka untuk menggalakkan pengaliran keluar toksin dan usapan serta ulian ringan pada otot muka untuk melegakan tekanan dan menggalakkan pengaliran aktif darah dan tenaga.
''Selama lebih 28 tahun pakar terapi kami yang berkelayakan dan berpengalaman telah merawat lebih daripada 10 juta wajah dan berjaya membantu pelanggan mencapai sasaran kesihatan kulit yang mereka inginkan. Dengan AsterSpring Touch, kami lebih komited untuk terus memberikan kesihatan kulit kepada pelanggan.
''AsterSpring mempunyai lebih 60 buah pusat penjagaan kulit di empat buah negara di rantau ini dan 34 daripadanya terletak di Malaysia.
"Dengan kewujudan yang mantap dalam industri kesihatan kulit dan urutan serba baharu AsterSpring Touch, wanita boleh mempercayai kami untuk memberikan perkhidmatan daripada pakar kami yang prihatin,'' katanya.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah empat orang selebriti yang pernah merasai pengalaman urutan AsterSpring Touch, iaitu Jojo Struys, Atilia, Mayjune Tan dan Thanuja Ananthan.