Saturday, July 31, 2010

Kekal cantik walau menyusu

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

Eh, tak malukah?” tanya seorang teman. Dia bertanya begitu ketika membelek-belek album gambar saya yang sedang menyusukan bayi di kawasan tempat duduk kompleks membeli-belah. Mungkin gambar menyusu di tempat duduk kawasan orang lalu-lalang itu sedikit membuatkan dia rasa tidak selesa.

Dengan selamba saya menjawab; “Mengapa pula perlu malu? Rasa bangga adalah.”

Entah apa sebabnya, menyusu bayi bagi kebanyakan ibu kini menjadi antara perkara yang memalukan mereka. Lebih mengecewakan, ada yang menganggap menyusu di khalayak kelihatan selekeh, tidak cantik dan kolot.

Menyusu terlalu lama (sehingga anak melebihi usia dua tahun) juga kata mereka menyebabkan payu dara cepat mengendur, sekali gus menjejaskan penampilan.

Sejauh mana fahaman mereka dalam hal itu, saya percaya semua disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan sokongan daripada orang sekeliling.

Apa yang pasti, menyusu sememangnya mempunyai banyak manfaat kepada ibu dan bayi sama ada dari segi kecantikan, kesihatan, mental serta emosi.

Payu dara kendur?

“Pandangan itu tidak benar sama sekali,” kata Kaunselor Laktasi dari Pusat Perubatan Prince Court, Chuah Pek Chin.

Beliau yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam bidang perbidanan berkata, menyusu tiada langsung kaitan dengan payu dara kendur dan ‘mahkota’ wanita itu tetap berubah bentuknya apabila sampai masanya.

Perubahan bentuk payu dara, katanya, disebabkan rangkaian tisu-tisu pada bahagian itu lemah sejajar dengan peningkatan usia.

Malah wanita yang tidak pernah menyusukan sekali pun akan mengalami pengenduran payu dara lebih awal sekiranya mereka tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk bersenam.

Bagi Pek Chin, menyusu sebenarnya mempunyai seni tersendiri. Ibu-ibu katanya, perlu tahu cara yang betul melekap bayi ke payu dara, barulah penyusuan akan berjaya.

Ibu-ibu yang menyusu juga sebenarnya memiliki payu dara yang lebih cantik dan penuh. Pemakaian coli yang sesuai untuk menyokong payu dara yang penuh amat membantu dalam mengekalkan bentuknya.

Bagaimanapun katanya, selepas bercerai susu ibu-ibu akan mendapati payu dara mereka sedikit ‘jatuh’ daripada biasa.

“Namun beberapa bulan selepas itu, hormon akan kembali stabil dan mereka perlu melakukan senaman untuk membuatkan ia kembali kepada bentuk asal,” kata Pek Chin yang pernah berkhidmat di Eropah dan Singapura.

Tambahnya lagi, menyusu sememangnya mempunyai banyak kebaikan kepada ibu dan bayi.

Tentu sekali faktor kecantikan fizikal antara tarikan yang sepatutnya diambil berat oleh mereka yang ingin menyusukan bayi.

Menurutnya, daripada sesi bual bicara selepas bersalin yang beliau hadiri, ramai ibu mengaku menyusu membantu mereka kembali langsing secara semula jadi dengan pantas.

“Lemak-lemak berlebihan yang tersimpan dalam badan akan dibakar ketika menyusu. Bukankah ini antara bentuk senaman yang paling mudah dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ibu-ibu perlu memastikan berat badan yang ideal sepanjang mengandung iaitu tambahan hanya sekitar 11 hingga 15 kilogram. Ini amat penting dalam usaha mendapatkan bentuk badan yang diingini selepas kelahiran kelak. Pengambilan makanan yang seimbang dapat membantu, begitu juga dengan senaman.

“Menyusu dapat mengurangkan risiko obesiti jangka masa panjang,” katanya.

Bagi mengekalkan kesihatan ibu sepanjang menyusukan bayi, Pek Chin menyarankan agar mereka melakukan senaman ringkas seperti berjalan, regangan ringan dan senaman lantai sejurus badan kembali selesa (empat atau lima hari selepas bersalin).

Selepas enam hingga lapan minggu, mereka sudah boleh melakukan senaman berat seperti aerobik.

Tiada pemakanan khas diperlukan oleh ibu dalam menjayakan sesi penyusuan mereka. Yang paling utama adalah pengambilan makanan berkhasiat dan lengkap dengan pelbagai vitamin.

“Jika seorang dewasa memerlukan 2000 kcal setiap hari, ibu mengandung pula memerlukan tambahan antara 300 hingga 500 kcal lagi,” kata beliau.

Menurutnya, sebanyak 700 hingga 800 kcal diperlukan untuk pengeluaran susu yang mana 500 kcal diperolehi daripada diet harian. Manakala 250 hingga 300 kcal lagi daripada penyimpanan lemak dalam badan.

Bagi ibu yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan pula katanya, mereka tidak memerlukan kalori tambahan.

Pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam penghasilan susu. Bagaimanapun kata beliau, meminum susu tidak bererti memperbanyakkan susu badan. Yang paling utama adalah pengambilan cecair bagi menggantikan air yang hilang melalui penyusuan.

“Ibu menyusu perlu mengambil banyak sayur segar, produk tenusu rendah lemak, daging merah dan juga protein,” katanya.

Pengambilan kafein pula katanya perlu dihadkan antara satu atau dua cawan saja sehari, itu pun selepas menyusukan bayi. Jika tidak, bayi akan meragam dan tidak selesa.

Mengenai pengambilan suplemen pula, Pek Chin berkata sebenarnya ia tidak perlu jika kita mengambil makanan yang berkhasiat. Namun, ibu-ibu boleh meneruskan pengambilan suplemen yang dipreskrip doktor atau juga mencuba petua bergantung kepada keselesaan mereka.

“Walaupun begitu, vitamin B6 diketahui mampu meningkatkan pengeluaran susu,” jelasnya.

Bagi ibu yang mengamalkan vegetarian pula, mereka mungkin mengalami kekurangan vitamin B12 yang terkandung dalam protein haiwan. Oleh itu, mereka perlu mengambil suplemen tambahan mengikut panduan yang diberikan pakar.

Ketahui kaedah buang bulu

Hari ini saya didatangi wanita lingkungan 40-an bersama anak gadisnya yang berusia 15 tahun Nina yang mempunyai masalah bulu roma lebat di keseluruhan tubuhnya. Masalah tersebut menyebabkan dia enggan ke sekolah kerana malu dengan wajahnya yang bermisai seperti lelaki. Nina mula datang haid pada usia 12 tahun tetapi haidnya tidak teratur. Saya mendapati Nina mungkin menghadapi masalah hormon tidak stabil. Hasil pemeriksaan saya mendapati bulu roma tumbuh pada kaki, paha dan juga perut Nina. Mukanya juga turut ditumbuhi bulu roma yang banyak sehingga menyerupai misai dan janggut.

Saya merumuskan Nina menghadapi masalah polisistic ovarian cyst (PCOS). Ia merupakan masalah di mana bebola kecil iaitu cyst tumbuh pada ovari dan mengeluarkan hormon yang tidak seimbang. Keadaan itu menyebabkan kadar testosteron tinggi dan estrogen menjadi rendah sekali gus mengakibatkan bulu tumbuh dengan banyak.

Saya melakukan kaedah diode laser iaitu dengan menggunakan sistem soprano. Kaedah ini mudah, cepat, tidak menyakitkan serta sesuai untuk semua jenis kulit. Ia juga amat berkesan. Dalam rawatan pertama hampir 70 peratus bulu roma dapat dihapuskan. Saya mencadangkan enam hingga 10 kali rawatan dalam jangkamasa setahun bagi mendapat hasil yang benar-benar hebat. Kelebihan sistem ini adalah ia mematikan bulu roma secara kekal, memutihkan kulit serta menjadikannya lebih tegang.

Masalah bulu di bahagian muka amat sesuai menggunakan kaedah ini. Muka bukan sahaja bebas daripada bulu malah kulit wajah menjadi bersih dan cerah. Apabila saya menggunakannya pada pesakit yang berusia 40 tahun ke atas kulit mereka menjadi lebih tegang disebabkan peningkatan mutu kolagen dalam kulit.

Setelah laser, bulu hilang dan tumbuh halus. Rawatan susulan berjaya mengatasinya sehingga tidak lagi kelihatan.

Kitar hidup rambut/bulu

Memahami kitar hidup bulu/rambut membolehkan kita memahami dengan lebih mendalam proses membuang bulu badan. Rambut menjalani tiga fasa dalam satu kitaran hidup.

Fasa pertama, Anagen iaitu peringkat aktif pertumbuhan rambut. Pada fasa ini rambut dalam keadaan paling tebal dan mengandungi melanin yang tinggi.

Catagen adalah fasa perantara manakala Telogen pula adalah fasa tua/rehat.

Perubahan antara fasa pertumbuhan bulu adalah di antara satu dan tiga bulan bergantung kepada kawasan bulu itu tumbuh.

Kaedah hilangkan rambut/bulu sementara

1. Bercukur

Ia bersifat sementara. Bercukur tidak menyebabkan rambut tumbuh lagi tebal, cepat atau banyak. Ia hanya memotong bulu di bahagian atas kulit. Pangkal rambut yang lebih tebal bila memanjang menyebabkan bulu atau rambut yang tumbuh selepas dicukur kelihatan lebih tebal.

2. Mencabut bulu

Agak menyakitkan tetapi kesannya lebih lama berbanding bercukur. Namun begitu bulu tetap akan tumbuh semula.

3. Melilin

Lilin yang panas dituang pada kulit. Apabila sejuk rambut akan melekat pada lilin dan ditarik keluar daripada kulit. Selain itu kaedah ini juga menggunakan gula seakan-akan karamel yang panas dituang di atas kulit. Caranya sama cuma apabila selesai, proses mencuci sugar wax lebih mudah berbanding kaedah tradisional.

4. Depilatories

Bahan kimia yang digunakan adalah thioglycolate dicampur dengan sodium hydroxide atau calcium hydroxide. Ia secara langsung 'mencairkan' rambut . Masalah utama adalah kesan sampingannya kerana bahan kimia ini boleh 'mencairkan' sel kulit juga.

Kaedah kekal

1. Elektrolisis

Menggunakan jarum halus untuk mengalirkan elektrik terus ke folikel rambut. Secara teorinya, kesan elektrik ini membakar folikel rambut. Elektrolisis adalah salah satu cara untuk membuang rambut secara kekal. Namun begitu, masa yang diambil untuk prosedur ini adalah lama, sakit dan memerlukan seorang yang mahir untuk melakukannya.

Prosedur ini perlu dilakukan setiap 12 ke 18 bulan. Kesan sampingan adalah pembentukan keloid, hyperpigmentation dan hypopigmentation.

2. Laser

Rawatan laser adalah yang terbaik dan paling berkesan. Jenis-jenis laser yang digunakan untuk membuang bulu adalah Ruby, Alexandrite, Diode dan Long Pulse Nd:YAG. Konsep membuang bulu menggunakan laser adalah mudah. Secara saintifiknya, ia berkonsepkan selektif photo termolysis. Menerusi kaedah ini akar rambut dimusnahkan secara selektif oleh haba. Sebenarnya laser akan diserap oleh pigmen pada akar bulu tersebut. Laser yang diserap akan bertukar menjadi haba dan terus membunuh akar rambut. Ini akan menyebabkan bulu kekal mati. Untuk kulit orang Asia, laser yang sesuai adalah jenis Diode dan Long Pulse Nd:YAG.

Oleh kerana laser diserap oleh pigmen akar bulu, ia sangat berkesan pada bulu yang mengalami fasa Anagen atau fasa pertumbuhan aktif. Pada fasa ini bulu roma adalah tebal maka penyerapan laser paling tinggi dan bertindak paling berkesan untuk mematikan akar bulu roma. Bulu yang tumbuh pada fasa Telogen atau Catagen tidak menyerap laser dengan baik. Kandungan melaninnya yang rendah maka ia tidak mati. Oleh itu laser perlu dibuat beberapa sesi selang 6 hingga 12 minggu. Ini bertujuan membolehkan bulu roma di fasa Telogen dan Catagen menjadi fasa Anagen.

Diode laser sangat berkesan untuk orang yang berkulit cerah mana kala mereka yang berkulit gelap, rawatan yang terbaik adalah dengan menggunakan laser Long Pulse Nd:YAG.

Di klinik Marissa Esthetic saya menggunakan sistem soprano iaitu diod laser keluaran Alma Laser yang merupakan syarikat pengeluar laser terunggul dalam dunia perubatan. Ia begitu hebat dan sesuai bagi kulit orang Asia serta mampu menghapuskan bulu roma dengan berkesan.

Kopi baik atau buruk?

Adakah kopi baik atau buruk untuk kesihatan? Hakikatnya ia terpulang kepada pilihan kita.

Menambah tenaga

Kopi dikatakan berguna untuk menambah tenaga dan membuatkan orang terjaga daripada ngantuk. Kandungan utama dalam kopi adalah kafein, yang berfungsi sebagai perangsang susunan saraf pusat (otak), sistem pernafasan, serta sistem pembuluh darah dan jantung. Sebab itu tidak hairan setiap kali kita minum kopi dalam jumlah yang sederhana (1 - 3 cawan), tubuh kita terasa segar, daya berfikir lebih cepat, tidak mudah penat dan mengantuk.

Ubat sakit kepala

Kafein sering kali dijadikan salah satu bahan pelengkap ubat sakit kepala. Ini kerana kafein memiliki kemampuan menyempitkan pembuluh darah ke otak sehingga pelebaran pembuluh darah di daerah otak yang merupakan penyebab sakit kepala berkurangan

Mengurangkan lemak

Lebih menarik, kafein dikatakan dapat menyusutkan lemak. Secara psikologi, tubuh badan yang gemuk kurang mampu membakar lemak ketika bersukan berbanding mereka yang bertubuh normal. Hasilnya, badan akan membakar karbohidrat sebagai sumber tenaga, sehingga kadar gula darah cepat merosot. Sebab itulah orang gemuk rasa lapar berlebihan setelah bersukan atau bersenam dan akhirnya cenderung makan lebih banyak. Dengan minum tiga cawan kopi, tubuh mereka akan bertindak balas untuk membakar lebih banyak lemak. Kafein membantu memecah lemak menjadi sumber tenaga sedia guna. Perkara ini mendorong badan lebih banyak memanfaatkan lemak, sehingga pembakaran karbohidrat menjadi lebih terbatas. Yang perlu diperhatikan kandungan gula dalam kopi terkawal.

Sunday, July 25, 2010

Kegagalan hati

Penyakit kuning ypada bayi yang baru lahir biasanya dialami dalam jangka masa pendek dan tidak berbahaya. Tetapi di kalangan orang dewasa menunjukkan mereka mengalami masalah kesihatan yang serius dan perlu dirawat segera oleh doktor.

Penyakit kuning adalah tanda bagi banyak penyakit. Ia boleh dikesan apabila kulit dan sklera (bahagian putih mata) berubah menjadi kuning, Ini berlaku kerana lebihan bilirubin. Keadaan kulit kuning disertai kencing bewarna gelap dan najis berwarna pucat (berlaku apabila salur hempedu tersekat). Selain itu, pesakit mengalami kegatalan pada kulit, muntah dan hilang nafsu makan.

Gejala

Secara umum, penyakit kuning boleh dikategorikan kepada dua jenis: obstructive jaundice (sakit kuning disebabkan sekatan pada salur hempedu) dan hepatocellular jaundice (sakit kuning disebabkan masalah hati).

Obstructive Jaundice

Obstructive jaundice, atau cholesistik jaundice disebabkan sumbatan pada salur pundi hempedu akibat batu hempedu, kanser pankreas atau kanser salur hempedu. (kolangiokarsinoma).

Pesakit akan mengalami kencing berwarna gelap dan najis yang pucat disebabkan oleh kurangnya pengeluaran cecair hempedu dan bilirubin ke dalam usus. Sakit dan demam adalah gejala sekiranya salur hempedu tersumbat oleh batu hempedu. Disebabkan gejala yang dihidapi adalah sakit pada bahagian atas abdomen, pesakit selalunya disalah tafsirkan sebagai sakit gastrik.Bagaimanapun kesakitan boleh merebak ke bahagian belakang badan.

Hepatocellular jaundice

Ia disebabkan oleh kecederaan atau radang sel hati. Ubatan moden atau herba tradisional tertentu boleh mengganggu fungsi hati. Keadaan ini boleh menghalang bilirubin yang dihapuskan dari darah atau dikeluarkan dari hempedu, yang boleh menyebabkan sakit kuning. Hepatitis alkohol juga adalah penyebab utama hepatoselluler jaundice.

Virus Hepatitis

Hepatitis adalah keadaan di mana hati menjadi terangsang dan keupayaan hati untuk memproses dan merembeskan bilirubin terhalang. Penyakit virus hepatitis termasuk virus hepatitis A, B dan C. Virus hepatitis A biasanya dijangkiti melalui dari makanan bercengkerang, manakala virus hepatitis B dan C dijangkiti melalui darah atau cairan badan.

Penyakit hati kronik akan menyebabkan hati tidak boleh berfungsi seperti hati sihat. Jika terdapat lebih parut pada tisu hati menggantikan tisu normal, fungsi hati akan mengurang (misalnya tidak boleh membersihkan darah, mencernakan makanan dan menyimpan tenaga). Akhirnya sakit kuning akan berlaku. Selalunya apabila pesakit sedar mengalami sakit kuning, keadaan mungkin telah menjadi tahap serius dan pesakit mungkin mengalami kegagalan hati dan komplikasi dari serosis hati (hati menjadi keras).

Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia yang disokong oleh Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku mengenai kesihatan sistem penghadaman secara percuma, sila hubungi 03-5621 1408.

Khasiat untuk mata

Lutein dan zeaxanthin adalah dua pigmen berwarna kuning dalam kumpulan karotenoid. Karotenoid terdiri daripada sekumpulan pigmen merah, kuning dan jingga yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna jingga kekuningan, sayuran berdaun hijau dan jagung.

Fungsi lutein dan zeaxanthin bukan sekadar memberi warna yang cantik kepada tumbuh-tumbuhan. Di dalam mata, lutein dan zeaxanthin membentuk pigmen makula dan terdapat dengan banyaknya pada kanta dan retina mata. Selain itu, kedua-duanya juga merupakan anti oksida yang berpotensi melindungi mata daripada kecederaan akibat cahaya biru dengan menapis cahaya tersebut daripada mengenai lapisan sel-sel dalam mata.

Banyak kajian telah melaporkan lutein dan zeaxanthin mengurangkan risiko mendapat penyakit mata yang kronik, termasuk katarak dan kemerosotan fungsi makula akibat peningkatan usia (age-related macular degeneration-AMD). Di seluruh dunia, lebih 25 juta orang didapati terlibat dengan AMD dan katarak. Di dunia barat, AMD adalah penyebab kebutaan utama di kalangan mereka yang berusia 55 tahun ke atas dan dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda menjelang 2025.

Membeli suplemen

Agak sukar mendapatkan lutein dan zeaxanthin terutamanya daripada makanan kerana memerlukan jumlah hidangan sayuran dan buahan yang banyak. [Nota: secara purata, dalam makanan, zeaxanthin adalah 10 ke 20 kali lebih sedikit daripada lutein].

Cara lain adalah dengan mengambil suplemen yang mengandungi ekstrak bunga Marigold yang dipiawaikan, yang kaya dengan lutein dan zeaxanthin.

Dua perkara yang perlu diberi perhatian ketika membeli suplemen lutein dan zeaxanthin:

i) Suplemen itu menggunakan ekstrak bunga Marigold (Tagetes erecta) yang dipiawaikan agar mengandungi sekurang-kurangnya 15 peratus ester lutein dan 40 peratus zeaxanthin, supaya jumlah dalam setiap kapsul adalah jelas, seperti tertera pada label.

Tidak seperti produk herba lain yang menggunakan ekstrak tidak dipiawaikan, ekstrak bunga Marigold yang dipiawaikan menjamin kemujaraban untuk kesan yang lebih baik.

ii) Suplemen itu mengandungi jumlah lutein dan zeaxanthin yang tinggi

Pastikan suplemen itu mengandungi sekurang-kurangnya 6mg lutein yang dipiawaikan, namun 10mg adalah lebih baik. Kebanyakan suplemen lutein dan zeaxanthin mengandungi zeaxanthin dalam jumlah yang terlalu sedikit - mikrogram (mcg) sedangkan kajian mendapati zeaxanthin hanya bermanfaat jika jumlahnya lebih tinggi iaitu sekurang-kurangnya 5mg setiap hari.

Sendawa tanda bayak angin

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SELAIN sendawa, angin dalam badan menyebabkan seseorang berasa letih, hilang selera makan dan sakit kepala.

SETIAP tahun, Fauzi menjalani pemeriksaan keseluruhan badan di hospital. Tidak terkecuali juga pada tahun ini. Namun, sejak akhir-akhir badannya sering berasa letih.

Terlalu stres memikirkan masalah tersebut, Fauzi berjumpa doktor untuk mengetahui punca sebenar. Dia mengambil cuti sakit kerana sakit kepala, hilang selera makan dan demam.

Adakah Fauzi mengalami demam biasa? Apakah punca masalah yang sebenar? Doktor menjelaskan, dia sebenarnya mempunyai masalah angin di dalam badan.

Semua orang mempunyai angin di dalam badan dan sebaiknya mengakulah kepada doktor anda kerana angin selalunya berkait rapat dengan pemakanan. Masalah tersebut boleh dirawat menerusi pengubahsuaian makanan selain produk-produk yang banyak dijual di farmasi.

Ada beberapa punca lain yang boleh mencetuskan masalah angin dan bukannya terhad kepada pemakanan seperti kekacang.

Ramai pula yang mengaitkan masalah itu menjadi punca demam, stres dan hilang tumpuan kerja.

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, angin di dalam badan berpunca daripada gas di dalam sistem penghadaman atau sistem gastro usus. Sistem tersebut mengandungi gas yang tidak berbau iaitu 99 peratus gas buangan dari usus manakala gas yang tidak menyenangkan pula mungkin disebabkan oleh gas yang mengandungi sulfur.

“Ia dilepaskan oleh bakteria di dalam usus besar. Angin disebabkan oleh gas atau angin di dalam sistem penghadaman badan datang daripada dua sumber iaitu udara yang disedut dan bakteria di dalam usus besar.

‘‘Bakteria ini terjadi akibat gangguan daripada makanan yang tidak dapat dihadamkan dengan baik,” katanya.

Secara umumnya, penyakit atau masalah angin adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang.

Walaupun tiada statistik sebenar, anggaran 30 hingga 40 peratus masyarakat mengalami masalah angin iaitu minimum sekali dalam hidup mereka.

Realitinya, masalah angin tidak menyebabkan kemudaratan teruk. Ia hanya perasaan tidak selesa dan kurang menyenangkan serta mengganggu kerja harian.

Rawatan

Seperti kebanyakan penyakit lain, angin di dalam badan sering dikaitkan dengan pemakanan.

Justeru ia boleh diatasi dengan melebihkan makanan berzat serat (fiber), sayur-sayuran, buah-buahan dan senaman harian.

“Jikalau kesemua di atas tidak mendatangkan manfaat, kita boleh memberikan ubat-ubatan tertentu,” ujarnya.

Selain itu, berurut, sauna, bersenam dan gaya hidup sihat dapat membantu mengatasi masalah stres.

Terdapat kepercayaan amalan mandi waktu malam menjadi punca masalah tersebut.

Menurut Dr. Malik, tiada bukti saintifik mandi waktu malam boleh menyebabkan angin di dalam badan.

Seseorang boleh mengesan dia mengalami masalah angin di dalam badan jika sentiasa sendawa dan mengalami kembung perut.

Keadaan itu menyebabkan rasa kurang selesa, sakit dan seterusnya mengurangkan selera makan juga sakit kepala.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala tersebut mendapat rawatan doktor di samping menjaga pemakanan serta bersenam.

Saturday, July 17, 2010

Tua tapi bertenaga

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

LEBIH 25 juta lelaki di Amerika Syarikat (AS) sedang melalui fasa ‘menopaus’ manakala 52 peratus lelaki berusia antara 40 dan 70 tahun mengalami masalah mati pucuk.

Lelaki seperti juga wanita mengalami rentak hormon yang agak kompleks sehingga memberi kesan kepada mood, fizikal dan seksualiti. Simptom lain termasuk rasa bimbang tanpa sebab, tertekan, letih, pelupa dan tidur yang terganggu.

Manakala dari sudut seksual, lelaki yang melalui fasa itu sering risau tidak mampu beraksi di ranjang sehingga ke satu peringkat mencari pasangan lebih muda semata-mata untuk membuktikan mereka boleh melakukannya.

Menopaus bagi kaum lelaki (andropaus) boleh saja disimpulkan seperti melalui pusingan kedua akil baligh di mana mereka berhadapan dengan isu-isu identiti, seksualiti, kebergantungan dan kebebasan.

Pakar psikiatri mengakui simptom-simptom fasa andropaus sememangnya wujud sebagaimana golongan wanita berhadapan dengan gejala menopaus. Bagaimanapun ramai lelaki enggan mengakui bahawa mereka turut melalui pengalaman tersebut.

Malah di AS menyaksikan ada kalangan lelaki yang tidak dapat menerima perubahan yang berlaku pada badan, fikiran dan gaya hidup sehingga sanggup merosakkan diri mereka sendiri serta rumahtangga yang telah dibina.

Dr. Rushmini Maris Ismail ketika ditanya perihal tersebut menarik perhatian mengenai peningkatan jangka hayat manusia dari 45 tahun pada tahun 1950-an kini mencecah 80 dan dijangka menjangkau 90 tahun. Katanya, kepesatan teknologi perubatan bukan sahaja meningkatkan kualiti kesihatan malah turut memanjangkan jangka hayat manusia.

Namun mencecah usia 40-an baik wanita mahu pun lelaki mula didatangi pelbagai penyakit berkaitan jantung, paru paru, kolestrol, hati dan kencing manis. Begitu juga kanser dan masalah prostatik bagi lelaki selain dementia (pelupa atau nyanyuk) dan atherosklerosis (penebalan arteri). Kualiti kehidupan turut merosot manakala tubuh semakin mengecut dan lemah serta tulang menjadi rapuh. Menurut Dr. Rushmini, menjadi tua memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan namun untuk menikmati usia tua dalam keadaan sihat dan produktif sepatutnya menjadi sasaran utama. Tidak ada gunanya jika jangka hayat seseorang bertambah tetapi menjadi beban kepada orang lain.

Maksud sebenar penuaan

Apakah sebenarnya erti penuaan? Mengapa sel menjadi tua dan lemah? Apakah yang sebenarnya berlaku kepada tubuh badan kita sehingga berlaku perubahan seumpama itu?

Teknologi anti penuaan berjaya mengupas isu sebenar di sebalik penuaan. Pelbagai kajian saintifik mendapati manusia menjadi tua kerana kekurangan hormon di dalam tubuh badannya.

Dr. Rushmini berkongsi pengalaman seorang pesakit bernama Adam berusia 56 tahun. Semasa mudanya, lelaki itu dikategorikan sebagai gagah dan tampan. Bagaimanapun sejak beberapa tahun lalu dia mula berasa otot-otot pada tubuhnya tidak sekuat dulu meskipun Adam rajin mengamalkan senaman. Baru baru ini dia mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing dan terpaksa berulang alik ke klinik bagi mendapatkan antibiotik. Dia hairan melihat perutnya makin lembik dan berlemak. Masalah yang sama berlaku pada bahagian dadanya. Adam seorang lelaki yang riang dan cergas berubah menjadi tertekan gara-gara masalah tersebut. Dia mula kurang bergaul dan tidak lagi aktif bersenam kerana tiada tenaga. Paling merisaukan Adam apabila mendapati kemampuan seksualnya juga semakin hilang. Isterinya yang 10 tahun lebih muda turut mengesahkan perkara itu.

Semasa bertemu Dr. Rushmini, hampir semua tanda andropaus dapat dilihat pada diri lelaki itu. Selepas rawatan dengan hormon bio identikal ternyata Adam berubah sama sekali. Dalam erti kata lain dia menjadi ‘muda’ semula kerana hormon yang diambil membantu meningkatkan kualiti hidupnya. Jika jawapan kepada 20 soalan yang disertakan dalam ruangan ini jawapannya `Ya’, maka tidak salah bagi kaum lelaki mencuba hormon bioidentikal.