Saturday, February 21, 2009

Ancaman sendi, tulang rapuh

KESIHATAN sendi dan tulang merupakan antara perkara yang merisaukan mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Dua penyakit degeneratif yang paling biasa dialami golongan ini ialah osteoartritis dan osteoporosis. Oste atau osteo bermakna 'tulang' dalam bahasa Yunani.

Tulang yang rapuh akibat osteoporosis telah lama dianggap sebagai satu faktor risiko penyakit osteoartritis.

Osteoartritis ada kaitan dengan radang, haus dan lusuh tulang sementara osteoporosis pula berkaitan dengan kekuatan dan kepadatan tulang.

Kita memerlukan tulang yang kuat dan dapat menampung fungsi seperti biasa untuk menjalankan kegiatan harian.

Osteoartritis (OA) berlaku akibat rawan yang meliputi penghujung tulang atau sendi menjadi haus.

Dikenali sebagai artritis haus dan lusuh, OA menyebabkan kesakitan sendi, bengkak dan kecacatan struktur.

Anda mungkin menyedari tentang tanda-tanda seperti kekejangan pada waktu pagi, sendi sedikit membengkak dan juga sakit.

Ia merangkumi setiap sendi termasuk leher dan belakang. Jika teruk, OA boleh menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan dan hilang upaya.

Sokongan nutrisi OA

Glukosamina dan kondroitin merupakan komponen semula jadi dalam tisu sendi yang sihat.

Tugasnya ialah untuk membekalkan bahan mentah semula jadi yang diperlukan oleh rawan untuk memperbaiki dan membina semula strukturnya di samping menentang kesan enzim semula jadi yang merosakkan rawan.

l Glukosamina merupakan perintis bagi molekul yang dikenali sebagai glikosaminoglikan. Molekul ini digunakan dalam pembentukan dan membaikpulih rawan.

Tidak seperti NSAIDS dan aspirin, glukosamina bukan sahaja menghilangkan kesakitan tetapi juga membantu membina semula rawan

l Kondroitin merupakan glikosaminoglikan yang paling banyak dijumpai dalam rawan dan bertanggungjawab untuk mempastikan ketahanan rawan.

Ia bertindak seperti 'daya penarik air'. Keupayaan kondroitin untuk membendung kehilangan air memberi ketegasan kepada rawan dan bertindak sebagai 'penyerap hentakan'.

Kajian menunjukkan keberkesanan meningkat sebanyak 24 peratus apabila rawatan digabungkan dengan glukosamina sulfat.

Mengambil suplemen glukosamina dan kondroitin boleh membantu membina dan membaiki rawan, memperlahankan perkembangan OA, melincirkan sendi-sendi, mengurangkan kesakitan sendi-sendi dan rasa kaku, serta meningkatkan keselesaan pergerakan.

Peningkatan besar pengguna suplemen glukosamina dan kondroitin telah mendorong pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan kajian klinikal terbesar pernah dilakukan terhadap kedua-dua bahan tersebut untuk menguji keberkesanannya.

Maklumat terperinci ujian yang dikenali sebagai GAIT itu telah diterbitkan dalam Medical Journal New England pada 23 Februari 2006.

GAIT

Ujian GAIT disifatkan sebagai 'ujian paling ketat dan rapi sehingga kini' dalam menilai keberkesanan glukosamina dan kondroitin terhadap sakit lutut yang berkaitan dengan OA.

Ujian GAIT telah membuktikan bahawa gabungan dua suplemen ini (glukosamina dan kondroitin) adalah lebih berkesan untuk merawat sakit lutut OA di peringkat sederhana sehingga peringkat teruk berbanding Celecoxib, sejenis perencat COX-2 (ubat anti inflamasi).

Pencegahan Osteoporosis

Osteoporosis ialah keadaan kekurangan khasiat dikenali 'tulang rapuh'. Keadaan ini berlaku, terutamanya pada tulang belakang, pergelangan tangan dan pinggul, apabila tulang menjadi nipis dan lemah serta mudah retak.

Tulang sebenarnya adalah tisu hidup dan selalunya mempunyai tindak balas biokimia di mana ia bergantung kepada nutrien mikro dan sistem enzim yang berbeza-beza.

Seperti mana tisu hidup lain, tulang memerlukan pelbagai bekalan khasiat. Pemakanan moden hari ini seperti roti putih, gula putih dan lemak yang tinggi adalah tersangat kurang khasiatnya untuk tulang.

Pengambilan daging dan air berkarbonat yang banyak turut menyumbang kepada pengurangan kadar penyerapan kalsium oleh badan.

Kekurangan pengambilan khasiat yang diperlukan tulang seterusnya boleh menyumbang kepada osteoporosis.

Sekiranya osteoporosis tidak dicegah atau dibiarkan tanpa rawatan, ia akan berkembang perlahan-lahan tanpa berasa sakit sehingga salah satu daripada tulang itu mengalami keretakan atau patah.

Kalsium

Meskipun kalsium begitu penting, didapati di AS hanya 25 peratus wanita yang menghidap osteoporosis mengalami kekurangan kalsium.

Bukti baru ini dengan jelas menunjukkan vitamin D, magnesium, kuprum, zink, boron dan mangan juga penting untuk mewujudkan tulang yang kuat dan sihat.

Semua nutrien ini hendaklah diambil bersama untuk mendapatkan metabolisme tulang yang optimum.

Malah, ketiadaan hanya satu nutrien sekalipun boleh mengakibatkan tulang menjadi lemah dan membawa kepada osteoporosis.

Lelaki dan wanita seharusnya mengambil suplemen kalsium sebanyak 800 hingga 1,500 miligram (mg) sehari bersama dengan makanan untuk penyerapan yang optimum.

Vitamin D

Vitamin D membantu badan menyerap kalsium. Paras vitamin D yang rendah adalah perkara biasa bagi wanita terutama yang sudah berumur.

Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan kekurangan kalsium dan akan menyebabkan tulang menjadi lembut (osteomalacia).

Pakar mengesyorkan pengambilan harian vitamin D antara 400 dan 800 unit antarabangsa (IU).

Magnesium

Magnesium perlu untuk pemeliharaan dan pergerakan kalsium dalam tulang dan diperlukan untuk penggunaan vitamin D.

Kekurangan magnesium sudah menjadi perkara biasa dan merupakan faktor risiko utama bagi osteoporosis.

U.S. RDA untuk magnesium ialah 400 mg setiap hari. (U.S. RDA yang disebut di sini ialah untuk orang dewasa, kecuali wanita hamil atau ibu-ibu menyusu, dan kanak-kanak yang berumur lebih empat tahun).

Mangan

Mangan merupakan mineral surih diperlukan untuk membentuk tisu-tisu penyambung yang membentuk matriks, tempat pengumpulan mineral berlaku. Pengambilan harian yang disyorkan untuk mangan ialah 2 mg.

Boron

Boron diperlukan untuk menukar vitamin D kepada bentuk aktif. Ini menerangkan mengapa kekurangan boron akan menjejaskan metabolisme kalsium dan pembentukan tulang.

Boron mengurangkan kesusutan kalsium daripada tulang-tulang. Walaupun tidak ada RDA rasmi bagi boron, dosej harian yang mengandungi antara 1.5 hingga 3.0 mg boron adalah selamat dan mencukupi.

Zink

Zink menyokong pembentukan tulang dengan memperkuatkan tindakan vitamin D. Zink juga membantu mengekalkan struktur tulang dan terbabit dalam pembinaan tulang.

Kuprum

Kekurangan kuprum mungkin akan menyebabkan pengumpulan tulang yang tidak normal. Kuprum membantu membentuk blok-blok binaan untuk tulang-tulang.

Panduan membeli suplemen

Apabila anda mencari suplemen untuk kesihatan sendi dan tulang, pilihlah suplemen Ostepakej 3 dalam 1 yang baik yang menggabungkan glukosamina dengan kondroitin bersama kalsium, serta manfaat-manfaat tambahan daripada magnesium, vitamin D, boron, mangan, zink dan kuprum.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

Lawak

SAPE HEBAT
Man : Bapa aku hebat. Dia polis. Semua orang takut ngan dia.
Ali : Eleh, bapa aku lagi terer. Kalau dia suruh orang tunduk, mesti orang tu tunduk.
Man : Wow! Bapa kau keja apa?
Ali : Tukang gunting rambut.

KELAS BI
Ayah : Apasal B.I kamu nie asyik dapat kosong jer...! Apasal hah?
Anak : Eh, ayah! Tu bukan kosong. Tadi cikgu adik dah kasi bintang banyak kat bebudak lain. Ada dapat 5 bintang la, 4 bintang la. Bila turn adik jer, bintang dah abis. Sebab tu cikgu bagi kat adik bulan.

SUDU
Doktor : Encik kena ambil 3 sudu ubat ni setiap hari.
Pesakit : Eh! tak boleh la doktor.
Doktor : Kenapa?
Pesakit : Rumah saya ada dua sudu jer.

MAYAT
Cikgu : Hasan,sambungkan 2 ayat ini menjadi satu. 'Ali menaiki
basikal ke sekolah. Ali ternampak mayat.'
Hasan : Ali ternampak mayat menaiki basikal ke sekolah.

TIRU
Cikgu : Encik,anak awak didapati meniru Ali dalam exam.
Bapa : Apa bukti awak?
Cikgu : Encik tengok soalan nombor 4 nie. Siapakah menemui Pulau Pinang?Seman tulis "Saya tak tahu"dan anak encik tulis "Kalau engkautak tahu, aku lagi la tak tahu".

DOKTOR
Suatu petang datang seorang lelaki berumur ke kelinik ENT, kerana telinganya di masuki biji kacang hijau semasa dia membeli barang dapur di pasar.
Doktor : "Selamat petang..."
Pesakit : "Selamat petang Doktor!"
Doktor : " Ada masaalah apa .....?"
Pesakit : "Telinga saya dimasuki biji kacang hijau, Doktor..."
Doktor : "Biar saya periksa telinga anda!"
setelah diperiksa....
Doktor : " Ada2 cara untuk mengeluarkan biji tersebut..."
Pesakit : "Apa caranya doktor?"
Doktor : "Pembedahan kecil kosnya 2 ribu ringgit dan pilihan kedua
pula percuma..."
Pesakit : "Mahal sangat Doktor, kalau yang percuma bagaimana?"
Doktor : "Yang percuma kena sabar..."
Pesakit : "Baik, saya sabar, dan bagaimana caranya...?"
Doktor : "Anda sirami telinga anda 2 kali sehari dan nanti jika
sudah jadi tauge' anda tinggal tarik keluar."
Pesakit : "Huh

Thursday, February 5, 2009

Seribu satu khasiat ulam

MAKAN ulam baik untuk kesihatan. Ayat itu sudah biasa didengar, tetapi tidak semua mengetahui akan khasiat sebenar yang terselindung di sebalik ulam-ulaman yang banyak dijual di Pasar Malam Sayur Kampung, Chow Kit, Kuala Lumpur ini.

Dahulu, ulam mungkin hanya terkenal di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Tetapi, kini hidangan ulam-ulaman semakin digemari warga kota termasuk masyarakat bukan Melayu, malah turut menjadi antara hidangan wajib di hotel-hotel terkemuka.

Ulam adalah sayuran atau tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap di dalam air panas. Ada juga sesetengah ulam perlu direbus terlebih dahulu, baru sedap dimakan seperti ulam pucuk ubi. Biasanya ulam dijamu bersama sambal belacan, budu atau cencaluk untuk dimakan bersama nasi.

Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan, antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.

Ada antara ulam cukup popular dan mudah didapati di pasaran seperti rebung, cekur manis, jering, petai, ulam raja dan sebagainya.

Sementara ulam beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus antara ulam yang sukar dicari, malah ia juga kurang dikenali walaupun dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

Ulam dikatakan mempunyai banyak khasiat sebab ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba.

Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan perkumuhan.

Antaranya, ulam pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Kangkung pula sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di tepi-tepi sumber air, dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.

Jering pula didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.

Sementara petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus. Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Khasiat petai bergantung kepada umur dan kesegaran biji petai tersebut. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat, dikatakan kurang mempunyai kandungan khasiat yang tinggi. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.

Disebabkan khasiat yang terselindung, ulam-ulaman diminati ramai biarpun rasanya pahit dan baunya busuk.

Sebolehnya, jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan kerana selain ia mampu membuka selera, turut 'dijamu' khasiatnya yang tinggi tidak kira dari segi pemakanan mahupun perubatan.

Untuk itu, para petani perlu memainkan peranan menanam pokok-pokok ulam secara komersial bukan hanya mengharapkan ia tumbuh melata di hutan atau kebun mereka.