Saturday, November 28, 2009

Petua menghadapi diabetes

PENGHIDAP diabetes perlu mengawal paras gula dalam darah dan mengelakkan makanan serta minuman terlalu manis.

KEBANYAKAN mereka yang didiagnosis mengalami diabetes atau pra diabetes, sentiasa dimaklumkan mengenai komplikasi jangka panjang akibat diabetes yang boleh menyebabkan serangan jantung dan strok, buta, sakit buah pinggang dan pemotongan anggota badan.

Malangnya, hanya sebilangan sahaja yang diberitahu kesemua komplikasi tersebut umumnya boleh dicegah melalui perubahan gaya hidup yang disyorkan seperti diet, makanan tambahan, kerap bersenam dan mengambil perhatian kepada ujian perubatan seperti HbA1c, pemeriksaan mata yang kerap dan sebagainya. Kebanyakan penghidap diabetes boleh mencegah atau melambatkan kebangkitan komplikasi itu.

Menurut Laporan oleh USA Today keluaran April 2009, walaupun ujian HbA1c mudah diperolehi, terdapat kurang daripada 42 peratus penghidap diabetes telah melakukannya atau memahami makna kesimpulan yang dicapai.

Di bawah ini merupakan beberapa cara yang mudah namun penting untuk mencegah terjadinya komplikasi yang berkaitan dengan takat gula darah tinggi:

Perubahan gaya hidup yang merangkumi:

1. Diet

Walaupun anda mengalami pra-diabetes atau diabetes, ini tidak bermakna anda tidak boleh menikmati pelbagai makanan. Matlamatnya ialah mempelajari pengambilan makanan seimbang dalam jumlah yang betul. Di sini terdapat beberapa petua mengenai pemilihan makanan berkhasiat bagi anda sekeluarga:

"Makan banyak sayuran dan buahan. Cuba pilih dari warna yang berlainan agar kepelbagaian dimaksimumkan.

"Makan sayuran yang tidak berkanji seperti bayam, lobak merah, brokoli atau kekacang hijau.

"Pilih makanan bijirin penuh dan bukan makanan bijirin yang diproses. Makan nasi beras perang, bukan nasi putih serta pilih roti perang dan bukan roti putih.

"Keluarkan kulit daripada sebarang jenis daging seperti ayam, daging lembu dan sebagainya..

"Minum air dan minuman "diet" tanpa kalori dan bukan minuman soda biasa, teh yang manis dan lain-lain minuman yang dimaniskan dengan gula.

"Kurangkan makanan ringan berkalori tinggi dan pembasuh mulut seperti keropok, biskut, kek, dan ais krim lemak penuh.

2. Kerap bersenam

Senaman adalah sebahagian daripada gaya hidup sihat bagi semua orang terutamanya penting bagi mereka yang mengalami pra diabetes dan diabetes. Tetapi, senaman bukan bermaksud berlari marathon atau menekan tubi 300 kali. Matlamatnya adalah untuk menjadi aktif dan kekal aktif dengan melakukan perkara yang anda gemari seperti berkebun atau bersiar-siar.

3. Pemeriksaan perubatan tetap terutamanya:

a) Ujian Darah HbA1c

HbA1c (hemoglobin A1c, haemoglobin A1c terglikosilat, glikohemoglobin A1c atau ujian A1c) merupakan ujian makmal yang mengemukakan purata glukosa darah untuk jangkamasa merangkumi dua hingga tiga bulan.

Secara khusus, ia mengukur bilangan molekul glukosa yang terikat kepada hemoglobin, suatu bahan dalam sel darah merah. Orang yang tidak mengalami diabetes biasanya mempunyai takat HbA1c kurang daripada 6 peratus. Ini bermakna kurang daripada 6 peratus molekul hemoglobin terikat secara kekal kepada glukosa.

Berdasarkan kepada hasil kajian seperti Percubaan Pengawalan dan Komplikasi Diabetes (DCCT), yang menunjukkan kawalan ketat glukosa darah boleh mengurangkan risiko mata, buah pinggang dan penyakit saraf akibat diabetes, Persatuan Diabetes Amerika mengesyorkan supaya penghidap diabetes cuba mengawal takat HbA1c di bawah 7 peratus.

b) Pemeriksaan mata

Jika anda menghidap diabetes, dapatkan pemeriksaan mata menyeluruh sekurang- kurangnya sekali setahun dan jika anda mempunyai diabetes retinopati, anda mungkin memerlukan pemeriksaan mata lebih kerap. Orang yang mempunyai retinopati proliferatif boleh mengurangkan risiko mereka menjadi buta sebanyak 95 peratus dengan mendapatkan rawatan tepat pada masa dan rawatan susulan yang betul.

4. Suplemen nutrien

Suplemen multivitamin dan mineral berpotensi tinggi dirumus untuk menyokong keperluan nutrien khas bagi golongan yang mempunyai paras gula darah yang tinggi, termasuk diabetes. Pembekalan nutrien utama tambahan kepada mereka yang mengalami pra diabetes dan diabetes telah menunjukkan pengawalan gula yang lebih baik dan juga mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi utama diabetes.

Contoh khusus nutrien utama yang diperlukan oleh pesakit diabetes dalam jumlah yang lebih tinggi daripada kandungan dalam formula multivitamin dan mineral harian yang biasa adalah Asid Alfa Lipoik, Vanadium Sulfate dan Kromium. Pesakit diabetes memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik, sejenis antioksidan "sejagat" yang boleh berfungsi dalam sel berair dan berlemak.

Sekumpulan badan penyelidikan telah menemui sejenis vitamin B12 yang bersifat aktif secara neurologi dikenali sebagai mecobalamin (atau methylcobalamin) yang boleh membantu dalam menumbuhkan kembali saraf yang rosak, iaitu komplikasi paling umum yang berkaitan dengan takat glukosa darah tinggi.

Mecobalamin

Saintis Jepun telah mengetahui bahawa Mecobalamin memberi perlindungan terhadap penyakit neurologi (saraf) dan penuaan melalui mekanisma yang berbeza daripada terapi masa kini. Beberapa gangguan yang mungkin boleh dicegah atau dirawat dengan terapi vitamin semulajadi ini termasuk neuropati periferal.

Perkataan neuropati berasal daripada dua bahagian: "neuro" merujuk kepada saraf dan "pati" menunjukkan penyakit. Nueropati periferal adalah sejenis keadaan yang melibatkan saraf-saraf di luar sistem saraf pusat terutamanya pada lengan dan kaki.

Saraf merupakan laluan komunikasi badan. Isyarat elektrik dari otak bergerak melalui saraf dan memberi arahan kepada pelbagai bahagian badan. Badan menerima maklumat daripada persekitaran melalui deria dan menghantar maklumat tersebut ke otak melalui saraf.

Kebanyakan saraf periferal bertanggungjawab untuk keupayaan perasaan yang anda perolehi seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Terdapat jutaan penghujung saraf tersebut di jejari anda, tangan, jari kaki dan kaki yang direka untuk melindungi anda daripada bahaya dan menjauhi perkara-perkara yang panas, sejuk, tajam dan sebagainya.

Gejala-gejala neuropati periferal mungkin merangkumi:

"Kekebasan atau tidak sensitif terhadap kesakitan atau suhu

"Rasa berdenyut-denyut, panas membahang atau rasa menyucuk

"Rasa sakit menusuk atau kekejangan

"Terlalu sensitif terhadap sentuhan, sekalipun sentuhan yang lembut

"Hilang keseimbangan dan koordinasi

Membeli suplemen

Pesakit diabetes berada pada tahap risiko lebih tinggi terhadap jangkitan dan penyembuhan luka yang lambat. Kajian menunjukkan pesakit diabetes yang mengambil suplemen harian selama setahun telah mengalami kadar jatuh sakit dan jangkitan yang berkurangan jika dibandingkan dengan subjek kajian yang mengambil plasebo.

Jika anda adalah seorang pesakit pra-diabetes atau diabetes, keperluan pemakanan anda adalah berbeza. Dengan itu, anda harus beringat untuk mendapatkan suplemen multivitamin dan mineral harian yang mengandungi kesemua bahan kandungan tersebut di atas yang didapati dalam potensi lebih tinggi. Ambillah jenis yang dirumus khas untuk pesakit diabetes dan pra diabetes untuk membantu dalam penjagaan optimum kesihatan dan mencegah penyakit.

Walaupun betapa pentingnya suplemen, multivitamin dan mineral harian yang baik perlu dipilih bagi mereka yang mengalami paras gula darah tinggi. Gabungan vitamin B12 dan mecobalamin yang aktif secara neurologi adalah disyorkan kerana keupayaannya untuk membantu dalam pencegahan dan penyembuhan kembali saraf yang rosak - sejenis komplikasi umum yang dialami oleh mereka yang mempunyai takat gula darah tinggi.

Artikel ini disumbangkan oleh Pahang Pharmacy Sdn. Bhd. Untuk maklumat lanjut mengenai Mecobalamin, Asid Alfa Lipoik, Vanadium Sulfate dan Kromium, sila e-mel ke livewell2u@pahangpharmacy.com.my atau hubungi Stay-well to Live-well INFOline 03-61407605, Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.

Suplemen kesihatan khusus untuk lelaki

TESTOSTERON merupakan hormon lelaki yang memainkan peranan penting dalam menentukan daya seksual seorang lelaki. Selain merangsang pembinaan otot, mengekalkan jisim tulang, mengawal perubahan perasaan dan membantu pembentukan sel darah merah, testosteron juga amat penting dalam mengawal atur struktur pembentukan sifat seksual sekunder lelaki - pembentukan misai, bulu badan dan suara garau.

Pada asasnya, paras testosteron akan menurun seiring dengan peningkatan usia. Fenomena yang hampir sama dengan menopaus ini dikenali sebagai andropos. Jika menopaus berlaku di kalangan wanita berusia, andropos pula berlaku di kalangan lelaki berusia. Dengan penurunan paras hormon testosteron dalam badan, perubahan emosi dan fizikal akan terjadi. Antara adalah:

* Stamina berkurangan dan sentiasa kelesuan

* Perubahan perasaan menjadi cepat letih, cepat meradang, sedih dan pemarah

* Paras libido (nafsu seks) menjadi rendah
* Daya tumpuan menjadi lemah dan berkurangan
* Peningkatan lemak tubuh
* Saiz dan kekuatan otot berkurangan
* Osteoporosis (tulang rapuh dan nipis)

Kesan-kesan tersebut sudah semestinya akan mengganggu aktiviti seharian dan juga perhubungan kekeluargaan. Ditambah dengan pelbagai faktor gangguan luaran seperti tekanan tempat kerja, diet yang tidak seimbang, gaya hidup yang tidak sihat serta pencemaran yang berleluasa sudah semestinya akan menyebabkan seorang lelaki andropos menjadi letih, lesu dan tidak bermotivasi.

Untuk mengatasi masalah ini, doktor selalunya akan mengesyorkan rawatan terapi gantian hormon. Akan tetapi terapi gantian hormon ini adakalanya akan memberikan kesan sampingan seperti bengkak kaki dan masalah hati.

Kini, terdapat cara yang lebih mudah dan selamat iaitu dengan mengambil suplemen kesihatan berasaskan ginseng dan herba. Dengan mengamalkan suplemen campuran Korean Ginseng, Siberian Ginseng, herba Muira Puama dan herba Tribulus, ia bukan sahaja dapat meningkatkan paras hormon testosteron, tetapi dapat juga memulihkan tenaga dan kesihatan pesakit.

Herba Tribulus atau nama saintifiknya Tribulus terrestris, telah digunakan sejak ratusan tahun yang lampau dalam merawat masalah libido dan fungsi seksual kaum lelaki. Bagi mengatasi masalah keletihan dan kelesuan pula, Korean Ginseng dan Siberian Ginseng dapat membantu badan memulihkan semula tenaga. Korean Ginseng atau lebih dikenali dengan nama Panax Ginseng telah digunakan oleh masyarakat Cina sejak ratusan tahun yang lalu untuk mengatasi masalah letih, lemah dan lesu. Ia juga dipercayai dapat melancarkan peredaran darah dan meningkatkan kecerdasan minda.

Herba Muira Puama pula tidak asing lagi dalam perubatan tradisional masyarakat orang asli Brazil. Mereka menggunakan herba ini sebagai tonik untuk merawat sistem saraf, kelesuan dan tidak bermaya. Namun, herba Muira Puama lebih terkenal sebagai herba untuk meningkatkan keupayaan seksual. Suplemen kesihatan yang mengandungi campuran kesemua ginseng dan herba ini adalah lengkap kerana ia dapat membantu kaum lelaki mengatasi masalah-masalah yang bukan sahaja berkaitan dengan kekurangan hormon testosteron, malahan dapat memulihkan tenaga dan kesihatan mereka secara keseluruhan.

Jika dahulu suplemen kesihatan lelaki yang lengkap seperti ini sukar didapati, tetapi kini Safwa Health™ Products Sdn Bhd telah mengeluarkan suplemen kesihatan lelaki yang mengandungi campuran kesemua ginseng dan herba tradisional tersebut. Produk suplemen kesihatan ini diperbuat di New Zealand dan telah mendapat pengesahan halal dari New Zealand Islamic Processed Food Management serta diiktiraf oleh JAKIM. Produk yang diberi nama Safwa Health™. Ia sesuai untuk vegetarian tetapi tidak sesuai untuk kanak-kanak dan wanita. Untuk maklumat lanjut mengenai produk ini, sila hubungi talian info Safwa Health™ Products Sdn Bhd di 03-5569 3522.

Monday, November 23, 2009

Ulat lalat - perubatan alternatif

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


KAEDAH menggunakan rawatan ulat daripada lalat bermula sejak Perang Dunia Pertama.

SEKARANG saya boleh buat kerja lasak dan berjalan. Mungkin terapi ini membantu saya,” ujar seorang pesakit diabetes, Farawahida Mohamad Yusof, 44.

Bagi sebahagian masyarakat ulat adalah sesuatu yang menggelikan.

Namun, terapi ulat atau Maggot Debridement Therapy (MDT) ini perlu dikongsi sebagai sumber maklumat pesakit-pesakit kencing manis yang mempunyai luka-luka yang sukar sembuh di luar sana.

Terdapat empat asas terapi ulat ini, ia membersihkan luka, membasmi kuman, merangsang penyembuhan luka, merosak dan menghalang pembuatan biofilem.

Seperti kes Farawahida, dia mengalami luka yang teruk sebelum melakukan rawatan ulat.

Lukanya berair dan lembap. Farawahida sukar bergerak dan selepas pembedahan, dia banyak bergerak menggunakan kerusi roda.

Berbekalkan sedikit duit, dia mencuba nasib dengan melakukan rawatan ulat di sebuah klinik swasta di Jalan Tenggiri, Seksyen 17, Shah Alam, Selangor.

Selepas mencuba rawatan untuk pertama kali, lukanya semakin kering.

“Selepas dua hari, anak saya pimpin ke klinik. Banyak ulat keluar. Pada awal rawatan, saya berasa geli juga. Seolah-olah ada benda bergerak. Tetapi melihat hasilnya, saya yakinulat ini boleh menyembuhkan luka selain menggunakan rawatan lain seperti ubat dan sebagainya,” jelas ibu kepada empat orang anak ini.

Menurut Ketua Unit Entomologi Perubatan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. Lee Han Lim, penggunaan ‘ulat lalat’ di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

“Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh IMR. Spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia cuprina iaitu lalat tempatan, manakala di negara-negara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia sericata. Kedua-dua spesies ini telah dikenal pasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ia dikenali sebagai Lucilia cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka”, ujar beliau.

Tambah Dr. Han Lim, penyelidikan ini telah menerima peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi pada tahun 2002. Pada mulanya kami mengenal pasti jenis lalat yang sesuai yang boleh diguna untuk terapi ini.

“Bukan semua jenis lalat boleh digunakan. Spesies lalat yang hanya akan memakan tisu yang nekrotik (reput) boleh diguna. Ada sesetengah spesies yang memakan tisu hidup. Apabila tisu hidup diserang fenomena ini dinamakan sebagai myiasis. Spesies seperti ini tidak sekali boleh diguna untuk rawatan ini.

Selepas kita sudah kenal pasti lalat, kemudian kita kena biarkan lalat itu membiak dalam makmal dengan menggunakan bahan yang sesuai untuk dapatkan pembiakan yang optimum. Ini juga merupakan salah satu aspek penyelidikan kerana bermacam-macam bahan telah diguna untuk mendapat hasil yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik IMR, Dr. Nazni Wasi Ahmad, berkata, spesies lalat yang digunakan di Malaysia ialah spesies Lucilia cuprina manakala di barat ialah Lucilia sericata.

“Spesies lalat ini boleh hidup di negara beriklim sederhana sahaja. Teknik mensterilkan larva yang merupakan teknik yang penting adalah berbeza dari luar negara. Objektifnya adalah sama iaitu membasmikan kuman-kuman yang ada pada ulat lalat. yang membezakan kuman-kuman di ulat dan juga kaedah mengklon lalat,” katanya. Ulat lalat yang digunakan terhadap pesakit mesti melalui proses pensterilan iaitu tidak ada kuman pada ulat lalat ini

Dr. Nazni menambah, terapi ini telah diamal di Malaysia sejak tahun 2003 apabila mendapat peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

Tambah beliau, pada Mei 2003, percubaan klinikal yang pertama dijalankan di Hospital Tentera di Lumut.

“Terapi ini baru bermula di Malaysia kerana kita perlu mengkaji banyak isu-isu pengunaan terapi ini sebelum boleh digunakan kepada pesakit. Kelulusan etika perubatan adalah sangat penting sebelum ia dilaksana kepada pesakit,” katanya.

Dr. Nazni menambah, proses mendapatkan larva yang steril mengambil masa dua hari. Penyakit-penyakit yang boleh menggunakan terapi ulat ialah ulser yang disebabkan kencing manis (diabetes), bedsore ulcer, pressure wound dan ulser disebabkan kanser.

“Disebabkan ulat (daripada lalat) telah disteril, ia selamat diguna. Mekanisme tindak balas ulat terhadap tisu yang dicadang ialah ulat merembes sejenis enzim proteolitik yang mencairkan tisu-tisu nekrotik, faktor ulat menginges (memakan) tisu-tisu reput dan kehadiran ulat pada luka mempengaruhi pembasmian bakteria daripada luka-luka.

Selain itu, rembesan cecair daripada ulat menukar pH luka, bakteria yang dimakan oleh ulat biasanya dimusnahkan dalam saluran perut, rembesan cecair daripada ulat mempengaruhi penyembuhan luka sembuh dengan pantas dan tindak balas pergerakan ulat di atas luka menyebabkan stimulasi pembentukan tisu baru,” katanya.

Dr. Nazni memberitahu, ulat ini bebas daripada kuman. Penggunaan terapi ulat telah menunjukkan bahawa ulat lalat boleh membersihkan luka daripada bakteria jenis Gram- positif dan Gram- negatif, bakteria jenis aerobik dan anaerobik.

“Ulat lalat biasanya dengan pantas dapat membersihkan tisu-tisu nekrotik dan membolehkan terbentuknya tisu baru yang sihat. Malahan faktor yang paling utama ialah ulat dapat digunakan dengan mudah ke atas tisu-tisu yang parah” ujarnya.

Ditanya adakah rawatan ini menggelikan pesakit, Dr. Nazni menjelaskan, setakat ini pesakit memang setuju dan tiada reaksi sebaliknya dengan penggunaan terapi ulat.

“ Lebih-lebih lagi mereka inginkan terapi ini daripada kaki mereka dipotong. Kita harus menyedari bahawa kos bagi insan yang kehilangan sebahagian anggota badan mereka tidak mungkin dapat dinilai. Ini adalah kos sosial misalnya, insan-insan yang tidak mempunyai kaki akan menjadi beban kepada keluarga dan negara. Ini secara tidak langsung mempengaruhi ekonomi negara,” jelasnya.

Merawat luka kronik

Dalam pada itu, Pengurus Edaran Arif Medik Sdn. Bhd., Mohd. Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy berkata, syarikat Medical Biotheraphy Sdn. Bhd., anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di negara ini.

Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

Mohd Ashraf memberitahu, ulat lalat ini mampu membantu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.

Contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

Kesukaran pesakit diabetik sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku,” katanya.

Ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulat-ulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Namun, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami pesakit.

“Kalau luka di peringkat awal, ada tisu mati, kita letak ulat (larva) ini selama 48 jam, iaitu hanya sekali penggunaan. Maksudnya jika kita letak ulat itu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu,” jelasnya.

Mohd Ashraf menjelaskan, selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis. Ia juga penawar untuk luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 03-61891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com.

ED petanda awal penyakit jantung

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Dr. Zulkifli Md. Zainuddin (kiri) bersama wakil Bayer Schering Pharma, Andy Siow semasa pelancaran Kempen Kesihatan Kardiovaskular di Petaling Jaya, baru-baru ini.

DISFUNGSI erektil (ED) sering dianggap sementara atau merupakan isu psikologi. Bagaimanapun, pengamal perubatan kini memberi amaran bahawa ED - subjek yang selalunya dipinggirkan, mempunyai implikasi mengancam nyawa.

Sekiranya rawatan gagal didapati, terdapat peningkatan bukti perubatan yang menunjukkan bahawa ED merupakan amaran awal kepada penyakit kardiovaskular.

Pakar perunding dan Ketua Unit Urologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zulkifli Md. Zainuddin menyokong fakta berkenaan.

Jelas beliau, kedua-duanya berkongsi punca yang sama dan salah satu penyakit vaskular adalah kardiovaskular atau penyakit arteri yang membawa risiko serangan jantung.

"Meskipun tidak semestinya semua lelaki yang mengalami ED menghadapi risiko penyakit jantung, namun kami sarankan pesakit mengambil langkah proaktif dan berjumpa doktor untuk mengenal pasti faktor-faktor risiko," katanya ketika menyampaikan ceramah Fungsi Ereksi pada Pelancaran Kempen Kesihatan Kardiovaskular, baru-baru ini.

Di Malaysia, secara purata dianggarkan tiga dalam lima lelaki (3:5) urban berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah ED.

Insiden ini meningkat mengikut usia di mana ED turut didapati berlaku kepada satu dalam lima (1:5) lelaki berusia antara 50 dan 59 tahun, lelaki berusia 60 hingga 69 tahun (2:5) serta lelaki berusia 70 tahun ke atas (3:5).

Risiko

Menurut Dr. Zulkifli, mendapatkan bantuan rawatan ED bukan sahaja boleh mengurangkan risiko penyakit jantung malah mampu mengembalikan keyakinan diri, meningkatkan pencapaian seksual dan memulihkan hubungan dengan pasangan.

Aspek kekerasan dan tempoh ereksi merupakan pertimbangan yang diambil semasa rawatan.

Bagaimanapun bilangan pesakit ED yang tampil mendapatkan rawatan terlalu sedikit.

"Ramai yang menganggap ED sebagai masalah psikologikal, sementara, tidak serius atau sebahagian daripada proses penuaan.

"Apabila tidak berkongsi atau mendapatkan bantuan doktor, pesakit mengambil jalan mudah dan mencuba pelbagai jenis 'ubat kuat' yang boleh memudaratkan," kata beliau.

Tambahnya lagi, lelaki perlu meningkatkan pengetahuan mengenai ED dan memahami punca serta akibatnya terhadap kesejahteraan hidup mereka.

Sebenarnya, ereksi bermula dengan stimulasi deria atau mental. Impuls dari otak dan saraf berkaitan menyebabkan otot 'corpora cavernosa' berehat.

Ini membolehkan darah disalurkan dan mewujudkan tekanan dalam 'corpora cavernosa' sekali gus menjadikan zakar mengembang.

Sekiranya ereksi gagal dicapai dan dikekalkan dalam perhubungan seksual, maka seseorang itu dikatakan mengalami ED.

Punca

Terdapat beberapa penyebab fizikal ED. Bagaimanapun punca yang paling lazim ialah ke kurangan aliran darah ke zakar dan kerosakan saraf.

Simptom ini mencadangkan 'arteriosclerosis' (pengerasan dan pengecutan arteri) yang memperlahan atau mengurangkan penyaluran darah ke seluruh tubuh dan boleh menjurus kepada impoten (mati pucuk).

"ED boleh menjadi simptom kepada penyakit berterusan yang menjejaskan harga diri lelaki dan perhubungan dengan pasangannya, jika dibiarkan tanpa rawatan," ujarnya.

Tetapi, kata Dr. Zulkifli, ED perlu diambil serius kerana boleh menjadi petanda kewujudan dan 'serangan senyap' penyakit arteri koronari.

Secara purata ED muncul dua hingga tiga tahun sebelum simptom penyakit berkenaan. Jadi, jika pesakit mengalami masalah mendapat atau mengekalkan ereksi, dia perlu mendapatkan nasihat doktor.

Rawatan

Hari ini, ED boleh dirawat dengan terapi dan ubat-ubatan. Walaupun terdapat terapi ED boleh membantu mengembalikan ereksi dan ketegangan, pesakit perlu bertanya diri mereka adakah ia turut membantu mengekalkan ketahanan?

Kaji selidik Bayer Schering Pharma mendedahkan, pesakit menganggap ketahanan sebagai elemen utama untuk mencapai kepuasan normal.

Semasa kaji selidik itu, satu kajian Endurance atau ketahanan menggunakan pendekatan 'jam randik' bagi mengukur kekuatan pesakit ED dan jangka masa ereksi dengan tepat dijalankan.

Menerusi kajian itu, pesakit mengambil pil yang lazim digunakan untuk merawat ED bagi membantu melegakan otot serta meningkatkan pelepasan darah ke alat kelamin sewaktu stimulasi seksual.

"Hasilnya mendapati pesakit ED kini bukan sahaja menikmati kespontanan tetapi ereksi yang lebih memuaskan hati pasangan.

"Bahkan jangka panjang ereksi lelaki turut berjaya dicapai dan memuaskan pasangan masing-masing,'' katanya.

Saturday, November 14, 2009

Kelebihan berkhatan

MUSIM cuti sekolah yang panjang menjadi waktu kebiasaan ibu bapa menghantar anak untuk berkhatan sama ada mengikut cara kampung (mudim) atau di klinik dan hospital kerajaan. - Gambar hiasan.

MUSIM cuti sekolah sudah tiba. Kanak-kanak melompat gembira kerana cuti persekolahan hujung tahun agak panjang. Berbagai rancangan telah diatur ibu bapa agar cuti kali ini memberi manfaat kepada anak-anak. Namun, sesetengah kanak-kanak lelaki mula gementar lutut apabila mereka diatur untuk berkhatan di musim cuti sekolah ini.

Berkhatan adalah pembedahan kecil yang dilakukan bagi membuang kulit hujung (muncung) zakar. Tujuan utamanya ialah untuk menjaga kebersihan. Sebagai satu tuntutan agama, berkhatan adalah satu kebiasaan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Prosedur ini dilakukan ketika kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun dan amat digalakkan ketika mereka berumur 10 tahun ke bawah bagi menghindar sifat malu dan mereka perlu bersih dari najis dan kekotoran sebelum mengerjakan solat lima waktu.

Kelebihan khatan

Kulit yang berlebihan pada hujung zakar mempunyai iklim yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering cedera, lembap dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran saki baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk yang dikenali sebagai 'smegma'. Smegma ialah najis yang membatalkan air wuduk dan sembahyang. Smegma juga menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil.

Kajian telah membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali lebih rendah kadar risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.

Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser terutama kanser zakar, prostat, serta kanser serviks (pangkal rahim) dan payudara kepada wanita. Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan kanser payudara.

Kajian pemerhatian turut menunjukkan risiko kanser zakar rendah di kalangan mereka yang berkhatan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhatan pada umur kurang dari satu tahun. Hasil dari kajian ini, ramai orang bukan Islam juga mengamalkan khatan. Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan lelaki yang berkhatan mempunyai kadar risiko kanser prostat dua kali lebih rendah. Kejadian kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin di mana lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit tersebut.

Pada 28 Mac 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan itu berbunyi, 'kajian saintifik telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya, berkhatan dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah'. Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV seperti di beberapa buah negara di benua Afrika.

Kesediaan anak

Adakah anak-anak anda bersedia untuk dikhatankan? Sebagai ibu bapa, amat penting bagi kita memastikan fizikal dan minda anak kita sihat sebelum berkhatan. Ia dapat mengurangkan komplikasi. Kanak-kanak berada di dalam ketakutan bila mana ayah dan ibu menyuruh mereka berkhatan. Prosedur lebih mudah apabila kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan tenang dan faham apa yang akan dilakukan oleh doktor kepada mereka. Maklumat yang tidak tepat menyebabkan ada kanak-kanak menjerit semasa prosedur dijalankan, malah ada yang cabut lari.

Minda kanak-kanak lelaki perlu dipersiapkan terlebih dahulu sebelum prosedur dapat dilakukan dengan mudah dan selamat. Berilah asuhan agama yang mendalam kepada mereka. Terangkan kenapa berkhatan digalakkan dalam agama Islam. Beritahu mereka kelebihan berkhatan. Membawa kanak-kanak lelaki ke majlis kenduri berkhatan adalah cara yang baik. Ia memberi idea kepada kanak-kanak tersebut betapa pentingnya berkhatan. Kadang kala, kita perlu menjanjikan benda kesukaan mereka seperti alat permainan komputer atau basikal jika mereka bersetuju berkhatan. Ianya bukanlah rasuah tetapi sekadar pemudah cara.

Andai anak lelaki anda bersetuju untuk berkhatan, maka bawalah mereka berjumpa doktor atau mereka yang bertauliah. Anak anda perlu diperiksa oleh doktor bagi mengetahui tahap kesihatan dan juga bagi menghindarkan komplikasi prosedur tersebut. Doktor perlu mengetahui dan memastikan zakar anak anda normal, anak anda tiada penyakit hemofilia (penyakit gangguan pembekuan darah), tidak mengambil ubat yang boleh mengakibatkan pendarahan seperti aspirin atau warfarin, tidak menghidap penyakit jantung reumatik dan penyakit lain seperti kencing manis, sawan, asma dan alahan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sebegini akan dirujuk kepada doktor pakar bedah bagi menentukan kaedah berkhatan yang sesuai dan selamat.

Prosedur

Bagi kanak-kanak yang normal dan sihat, pembedahan 'dorsal slit' adalah kaedah berkhatan pilihan Kementerian Kesihatan kerana ia mudah dan selamat. Kaedah-kaedah menggunakan peralatan moden seperti Tara Klamp atau Smart Klamp juga boleh digunakan. Walaubagaimanapun, kaedah ini hanya dilakukan di klinik atau hospital swasta kerana kosnya adalah lebih tinggi berbanding kaedah pembedahan di hospital atau klinik kerajaan.

Pada pagi sebelum ke hospital atau klinik, pastikan anak anda mandi dan beri penekanan kepada kebersihan zakar. Sebelum prosedur dilakukan, pastikan anak anda sudah membuang air besar atau kecil agar tiada sebarang masalah semasa prosedur dilakukan.

Selepas mendaftar dan borang keizinan prosedur ditandatangani, anak anda akan dimasukkan ke bilik pembedahan kecil. Anda boleh menemani anak anda dengan syarat segala prosedur bilik bedah diikuti. Sebelum prosedur, kawasan sekeliling zakar dibersihkan menggunakan bahan pembunuh kuman (disinfektan). Ia untuk memastikan kuman sekeliling tidak menjangkiti luka khatan kelak.

Ubat bius setempat diberikan agar anak anda tidak merasa sakit sepanjang prosedur. Malangnya suntikan ubat bius kali pertama sedikit menyakitkan. Sebaik sahaja anak anda mengatakan tidak sakit selepas kulit zakar mereka dikepit, maka doktor akan memulakan pembedahan. Untuk makluman semua, ubat bius hanya menghilangkan kesakitan. Anak anda masih boleh merasa zakar mereka disentuh dan dikhatankan.

Sebahagian kanak-kanak menganggap sentuhan gunting itu menyakitkan. Mereka akan menjerit kesakitan walaupun hakikatnya zakar mereka sudah kebas. Kanak-kanak sebegini akan diberikan ubat tidur atau ubat penenang. Pembedahan kecil ini kebiasaannya memakan masa antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada berlakunya komplikasi atau tidak.

Pemulihan

Selepas prosedur siap, zakar akan dibalut sedikit ketat bagi mengelakkan pendarahan dan mengurangkan bengkak. Anak anda akan dimasukkan ke tempat khas untuk memastikan tiada pendarahan selepas prosedur dan dibenarkan pulang selepas pendarahan dan kesakitan terkawal. Ubat penahan sakit (seperti paracetamol) dan antibiotik dibekalkan untuk lima hari berikutnya. Anak anda dinasihatkan agar mengelakkan pergerakan cergas dalam jangkamasa 24 jam selepas berkhatan.

Selepas prosedur, zakar anak anda akan membesar dan lebam. Jangan risau, keadaan ini adalah normal. Ia akan beransur sembuh dalam satu atau dua minggu. Peringatan! Ibu bapa diarahkan membawa anak mereka ke hospital dengan segera jika berlakunya pendarahan atau zakar membengkak luar biasa. Doktor akan membuat pemeriksaan dan jika perlu zakar anak anda akan dibius sekali lagi bagi membolehkan doktor mencari punca pendarahan dan menghentikannya.

Penggunaan krim berubat untuk mencegah jangkitan kuman tidak digalakkan kerana bahan ini kebanyakannya menghakis pertumbuhan tisu baru dan ini melambatkan proses penyembuhan. Cara mudah untuk mengelakkan jangkitan ialah dengan merendamkan zakar anak anda ke dalam air suam yang sudah dimasak dan diisi satu sudu garam selama 10 hingga 15 minit berulangkali setiap hari sehingga luka betul-betul sembuh.

Sakit selepas berkhatan adalah fenomena yang normal. Kadar kesakitan adalah subjektif bergantung kepada persepsi kanak-kanak tersebut. Sebahagian daripada mereka tidak merasa sakit tetapi sebahagian pula mungkin melolong kesakitan. Jika ubat penahan sakit diperlukan, sila ikut nasihat doktor. Berlebihan dos atau kekerapan mengambil ubat tanpa panduan doktor boleh membahayakan nyawa anak anda. Sebagai contoh, berlebihan mengambil dos paracetamol mengakibatkan kerosakan hati dan kes sebegini telah beberapa kali berlaku di negara kita. Berjumpalah dengan doktor jika kesakitan tidak terkawal dengan dos ubat yang diberikan.

Jangan risau berkenaan benang jahitan pada luka zakar anak anda. Ia akan diserap dalam jangkamasa dua minggu. Jika luka telah sembuh dan benang masih wujud, dapatkan khidmat doktor untuk membuangnya. Membiarkan benang terlalu lama mengakibatkan wujudnya lubang-lubang kecil pada kulit zakar. Ia menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan semasa persetubuhan apabila mereka dewasa dan berkahwin kelak.

Kesimpulannya, berkhatan adalah pembedahan kecil yang amat digalakkan kerana terdapat pelbagai kebaikan yang telah dibuktikan oleh kajian saintifik. Persediaan fizikal dan minda amat penting kepada anak anda agar prosedur yang dijalankan selamat dan anak anda akan sembuh dengan cepat. Nasihat saya, jika terdapat sebarang masalah selepas berkhatan, segera dapatkan nasihat doktor agar ianya tidak melarat. Wallahualam

Saturday, November 7, 2009

Mencari punca

NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com,.my

INFLIMASI berpanjangan akibat pendedahan bahan kimia, toksin dan bahan cemar mampu menjejaskan fungsi dan memusnahkan sel dan tisu badan.


DIABETES merupakan antara perkataan yang semakin kerap dipaparkan di dada akhbar, majalah mahupun media elektronik lain. Mengapa? Memandangkan bilangan penghidap diabetes dunia, dan juga Malaysia, telah meningkat dengan mendadak sejak dekad terdahulu, jawapannya tentu amat jelas.

Kebanyakan daripada kita juga telah atau semakin memahami apa itu diabetes, cara kawalan, pilihan rawatan dan juga komplikasi diabetes terhadap kesihatan dan kehidupan seharian. Menjadi negara yang dikenali sebagai syurga makanan, kesan diabetes pasti amat terasa di kalangan pesakit tempatan yang sekadar 'mengambil bau' sahaja.

Namun, selepas bertahun-tahun kajian, masih banyak yang kurang jelas mengenai asal usul penyakit ini, terutamanya punca ia berlaku. Mungkin sudah tiba masanya tumpuan terhadap rawatan dan penawar diabetes dikongsi bersama usaha memahami bagaimana ia bermula.

Sejarah

Sejarah sering kali dijadikan petunjuk untuk kita merancang masa hadapan supaya kesilapan sama tidak diulang dan kejayaan silam dikembangkan. Sejarah diabetes menunjukkan ia telah lama wujud, mungkin seawal bermulanya tamadun-tamadun besar manusia.

Walaupun kaedah rawatan agak terhad ketika itu, diabetes jelas dicatatkan terutamanya cara untuk mengesan pesakit melalui air kencing yang penuh dengan gula. Ibnu Sina sendiri mencatat dan berjaya membezakan ciri antara diabetes Jenis 1 dan Jenis 2 dengan jelas.

Penyakit ini juga sering dikaitkan dengan golongan yang hidup mewah, terutamanya yang obes dan tidak banyak bergerak, sejak beribu-ribu tahun lamanya. Namun, seperti juga penyakit-penyakit lain, penemuan dan perkembangan terbesar mengenai diabetes ditemui sepanjang abad ke-20. Namun, abad ke-20 juga dikatakan abad kemuncak diabetes dengan catatan pesakit baru tertinggi, walaupun di kalangan penduduk kelas pertengahan mahupun penduduk miskin.

Di sini, persoalan baru yang timbul!

Adakah penyakit yang disangka berpunca daripada genetik, gaya hidup dan pemakanan semata-mata ini mempunyai faktor risiko atau punca lain?

Mungkin dengan memahami dan merungkai punca diabetes berlaku bukan sahaja dapat mencegahnya daripada berlaku, malahan memulihkan kembali mereka yang menjadi statistik terbaru.

Teori

Sekitar pertengahan 1990-an, muncul satu teori dan penemuan baru mengenai punca penyakit kronik, tetapi ditolak kebanyakan saintis. Dengan ilmu semasa ketika itu, sesuatu yang menunjuk ke arah penjelasan terlalu mudah pastinya amat tidak logik dan 'tidak saintifik'.

Mungkinkah diabetes berpunca daripada sesuatu yang remeh, berpunca daripada masalah inflimasi (bengkak) berpanjangan?

Lebih menarik lagi, inflimasi berpanjangan mungkin menjadi punca dasar untuk banyak penyakit kronik lain selain diabetes, termasuk penyakit jantung, kanser, artritis, Parkinson, Multiple Sklerosis (MS), Alzheimer, alahan (alergi) dan juga asma (lelah).

Membezakan antara sejarah kesihatan di Timur dan Barat, jelas dilihat penyakit kardiovaskular dan juga kanser menjadi punca kematian utama di Amerika Syarikat (AS) dan juga Jepun sepanjang abad ke-20. Walaupun pengindustrian dunia menyebabkan kes penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (tibi) dan pneumonia jatuh mendadak, bilangan kes penyakit kronik pula meningkat dengan mendadak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan - "Lima penyakit (atau pembunuh) utama di Malaysia adalah penyakit jantung, masalah mental, strok, kemalangan jalan raya dan kanser. Penyakit kronik seperti jantung, diabetes dan kanser pula menjadi punca utama kemasukan dan kematian di hospital kerajaan... Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) turut menunjukkan peningkatan kes diabetes dan tekanan darah tinggi." (www.wpro.who.int/countries/2007/maa/health_situation.htm)

Dalam dunia serba moden, dengan tahap pengindustrian global untuk aspek kesihatan sejagat, mengapa penyakit kronik semakin banyak berlaku, termasuklah di kalangan individu yang tidak mempunyai risiko tinggi?

"Ubat untuk penyakit seperti asma semakin bagus tetapi bilangan kes dan kematian akibat asma terus meningkat. Mengapa?

"Puncanya, rangsangan berlebihan ke atas sistem imuniti badan - menyebabkan inflamasi berterusan (berpanjangan), seterusnya meningkatkan bilangan penghidap penyakit kronik," dakwa Dr. Duke Johnson, Pakar Pencegahan Penyakit dan Pengarah Perubatan, Pusat Kesihatan Optimum Institut Kesihatan Nutrilite.

Menurut beliau, pengindustrian global, terutamanya industri pemakanan, dikaitkan dengan peningkatan penyakit kronik di seluruh dunia.

"Pendedahan terhadap bermacam toksin dan bahan kimia (terutamanya dalam makanan) telah menjejaskan keseimbangan dalam badan.

"Ini jelas berlaku terhadap sistem imuniti yang sentiasa 'aktif' mencari musuh tetapi tidak pasti siapakah musuh itu (bahan kimia)!"

Inflamasi

Menurut Dr. Johnson, inflamasi paling mudah difahami sebagai situasi bengkak, seperti luka yang dijangkiti kuman, dengan gejala merah, panas, sakit dan membengkak. Tindak balas inflimasi secara semula jadi berlaku untuk melindungi badan daripada rangsangan berbahaya seperti jangkitan kuman, kecederaan dan juga keradangan tisu, di samping memulakan proses pemulihan.

Tanpa proses inflimasi, kecederaan dan jangkitan tidak akan pulih dan akan menjadi semakin teruk. Bagaimanapun, inflimasi berpanjangan (kronik) juga boleh membawa kepada bermacam jenis penyakit kronik. Inflimasi berpanjangan akan menyebabkan kemusnahan tisu berlaku serentak dengan proses pemulihan.

Selain kuman dan kecederaan, inflimasi juga boleh berlaku akibat rangsangan lain seperti pendedahan bahan kimia, cuaca ekstrem, radiasi berion dan toksin. Jika gagal dikawal atau menerima rangsangan berterusan, proses inflimasi berpanjangan akan menyebabkan kerosakan dan kemusnahan tisu persekitaran.

Selain konsep inflimasi berpanjangan, proses inflimasi sistemik yang melibatkan sebahagian besar tisu dan organ badan akan memberi kesan buruk ke atas badan.

"Inflimasi seluruh badan (sistemik), secara berpanjangan menjadi asas punca penyakit kronik, termasuklah diabetes.

"Inflimasi berpanjangan juga meningkatkan pengeluaran C-reactive protein (CRP) - protein yang dikeluarkan selepas inflimasi berlaku untuk memulakan proses memusnahkan tisu yang rosak," jelas Dr. Johnson.

CRP dihasilkan oleh hati apabila berlakunya inflimasi yang juga menandakan kecederaan, jangkitan ataupun penyakit. Oleh itu, CRP juga menjadi penanda aras terhadap proses inflimasi dalam badan, perkembangan penyakit dan juga keberkesanan rawatan.

Kajian terkini menunjukkan terdapat kaitan bacaan CRP yang tinggi dengan peningkatan risiko diabetes, tekanan darah tinggi dan juga penyakit kardiovaskular.

"Kehadiran CRP menandakan inflimasi berlaku akibat rangsangan tertentu, rangsangan berlebihan yang menyebabkan sistem imuniti sentiasa aktif.

"Badan yang dalam keadaan siap sedia ini cuba mengesan dan membunuh 'musuh' tersebut tetapi tidak dapat mengenal pasti siapa musuh itu," ujar Dr. Johnson.

Akhirnya, inflimasi yang sepatutnya melindungi badan dari bahaya membawa mudarat dan menyebabkan kerosakan serta kemusnahan kepada tisu berhampiran. Kerosakan sel Beta di Islets of Langerhans di dalam pankreas mungkin menjejaskan mutu dan kuantiti insulin yang dihasilkan, seterusnya membawa kepada diabetes. Proses serupa juga boleh dikaitkan dengan banyak kerosakan tisu lain yang membawa kepada penyakit kronik seperti masalah jantung, alahan, asma, artritis dan sebagainya.

Kesihatan optimum

Dr. Duke Johnson juga telah menulis buku bertajuk 'the Optimal Health Revolution' yang menceritakan secara mendalam teori dan kajian mengenai inflimasi berpanjangan sebagai punca dasar penyakit pembunuh utama dunia.

Selain menjelaskan kaitan inflimasi dan kemusnahan sel dan tisu badan, buku ini turut menumpukan kepada pencarian puncanya. Perubahan pengindustrian global turut meningkatkan pendedahan kepada bahan kimia, bahan makanan sintetik, pencemaran dan makanan diproses dikatakan sebagai punca berlakunya inflimasi berpanjangan.

Beliau turut menegaskan masalah inflimasi dapat dikawal, melalui perubahan gaya hidup dan nutrisi makanan.

"Nutrigenomik - sains interaksi gen DNA dengan nutrisi dari makanan - mungkin dapat membantu dalam proses mengawal inflimasi berpanjangan.

"Menjaga nutrisi bermakna kita mengetahui dan mengenali apa yang kita makan kerana setiap satu darinya akan memberi kesan kepada genetik dan proses dalaman badan," jelasnya.

Dr. Johnson memaklumkan nutrigenomik menunjukkan bagaimana sesuatu nutrien memberi kesan kepada DNA manusia, mengaktifkan atau mematikan gen tertentu. Sebagai contoh, beliau memaklumkan mengenai kesan vitamin D yang bukan sahaja mengurangkan risiko beberapa jenis kanser, malahan mematikan gen untuk penyakit Multiple Sklerosis (MS).

"Banyak minyak masak yang murah turut menyebabkan inflimasi. Makanan yang diproses pula lebih cenderung menggunakan bahan asas yang paling murah, bukannya yang terbaik.

"Oleh itu, kenali apa yang masuk ke dalam mulut dan perut kita, kerana kesannya lebih mendalam, sehingga ke tahap genetik sel badan," katanya.

Dari segi penjagaan berat badan, Dr. Johnson menegaskan sasaran utama bukannya saiz atau berat badan seperti seorang model.

Menurutnya, cukup sekadar mencapai berat badan ideal mengikut individu, di bawah paras berisiko membawa penyakit.

"Selain menjaga pemakanan, rehat yang cukup, senaman (asalkan bergerak), aktiviti keagamaan juga membantu kita menjaga kesihatan diri.

"Dapatkan bantuan untuk kemurungan kerana ia menjejaskan jantung. Amalkan juga pengambilan bijirin penuh kerana ia mengurangkan rintangan insulin," ujarnya.

Beliau turut memberi contoh seorang pesakit dikenali sebagai 'Larry' yang berjaya mengubah risiko penyakit hanya dalam tempoh 3 bulan (90 hari).

"Dari berat badan 129 kilogram (kg) kepada 110 kg, Larry juga berjaya menurunkan tekanan darah dari 158/100 kepada 126/76.

"Kandungan lemak badannya juga berjaya diturunkan sehingga separuh, sehinggakan Larry langsung tiada rintangan insulin selepas 3 bulan berbanding hampir menghidap diabetes sebelum itu," katanya.

Menurut Dr. Johnson, sasaran kesihatan optimum seperti yang dicapai oleh Larry memberi fokus kepada mengurangkan inflimasi kronik.

"Perlu diingat, asas utama untuk kesihatan optimum adalah mengurangkan inflimasi yang dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik," tegasnya.

Monday, November 2, 2009

Pemakanan untuk tulang sihat

ARKIB : 01/11/2009

MAKAN, satu nikmat kehidupan bagi kebanyakan daripada kita tetapi makanan juga penting dan menjadi keperluan hidup. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa tulang kita juga merupakan tisu hidup yang perlukan makanannya tersendiri untuk terus ‘hidup’!

Sambil kita berjalan, melompat dan berlari, tulang kita turut melalui kitaran terhakis dan terbina semula dengan sendirinya.

Seperti mana kita memerlukan makanan untuk terus hidup, tulang juga perlu diberikan nutrien yang diperlukannya untuk menggantikan tulang yang terhakis.

Tahukah anda apa hidangan hebat untuk tulang? Kalsium dan vitamin D.

“Kalsium bukan sahaja penting untuk pembentukan tulang tetapi turut digunakan dalam fungsi badan lain seperti penyenggaraan saraf dan otot.

“Badan kita juga akan mengambil kalsium dari tulang apabila berlaku kekurangan bekalan kalsium,” jelas Dr Winnie Chee, pakar diet dan Setiausaha Kehormat Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL).

*Pentingnya vitamin D

Vitamin D membantu dalam penyerapan kalsium. Sesungguhnya, badan kita menghasilkan Vitamin D apabila didedahkan kepada cahaya matahari.

Jadi janganlah takut untuk menghabiskan sedikit masa di bawah matahari kerana ianya baik untuk tulang anda!

Namun begitu, anda perlu mengelak daripada pengambilan (kalsium dan pendedahan kepada cahaya matahari) berlebihan.

Seperti perkara lain dalam hidup, amalkan kesederhanaan supaya anda dapat memenuhi keperluan tanpa perlu menghadapi kesan sampingan yang tidak sepatutnya.

Pengambilan kalsium perlu menepati cadangan pengambilan harian anda. Tahap umur yang berbeza memerlukan jumlah kalsium yang berlainan.

Berapa banyak yang anda perlukan setiap hari? Anda boleh merujuk kepada cadangan pengambilan nutrien untuk kalsium dalam jadual berikut:

Bagi orang dewasa, anda memerlukan kira-kira 800 miligram (mg) hingga 1,000 mg kalsium setiap hari.

Macam susah, bukan? Tetapi meminum segelas susu sehari (240 ml) sudah menyumbang kira-kira 250 ke 500 mg pengambilan kalsium harian anda. Dan susu bukan satu-satunya sumber kalsium yang sedia ada!

“Anda juga boleh mendapat kalsium dari makanan seperti sayuran hijau dan berdaun seperti kai lan dan pak choy Cina, produk berasaskan soya seperti taufu fah dan ikan bertulang lembut yang boleh dimakan seperti sardin dalam tin dan ikan bilis,” kata Dr. Chee.

Dan jangan lupa semua makanan bukan susu yang diperkaya dengan kalsium yang mudah didapati di pasaran hari ini.

Kini, banyak minuman jus oren, malt dan yogurt, dan tidak lupa juga bijirin sarapan, biskut dan roti yang diperkaya dengan kalsium.

Jadi memang terdapat banyak pilihan sewaktu memilih makanan yang kaya dengan kalsium. Tetapi ingat, bukan kalsium saja yang kita perlukan.

Nutrien lain turut menyumbang kepada kesihatan tulang. Malah, mengambil cuma sejenis hidangan saja amat membosankan.

Jadi, tambah selera anda dengan hidangan seimbang setiap hari dengan merujuk kepada piramid makanan.

Bijirin perlu membentuk asas diet anda. Ambil dari sumber seperti nasi, roti dan bijirin dan pilihlah yang diperkaya dengan kalsium yang baik untuk tulang. Dan teruskan dengan mengambil lima hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari.

“Tulang kita sentiasa terhapus dan terbina dengan sendirinya dalam proses yang dipanggil pembentukan semula tulang.

“Tetapi, apabila mencapai umur 50 tahun, kemerosotan tulang atau penghapusan berlaku lebih cepat dari pembentukannya.

“Kajian menunjukkan individu yang mengambil banyak buah-buahan dan sayuran dalam diet mereka mempunyai kadar kehilangan tulang yang lebih perlahan dan kurang keretakan akibat osteoporosis,” jelas Dr. Chee.

Kumpulan seterusnya dalam menu piramid makanan adalah makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan, ayam itik dan legum.

Dua hingga tiga sajian sehari cukup untuk keperluan harian anda.

Dan sudah tentu, lengkapkan hidangan sihat dengan satu hingga dua sajian produk berasaskan susu seperti susu dan keju setiap hari untuk tambahan kalsium.

Akhir sekali, cuba kekalkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak pada tahap minimum.

Dr. Chee turut menggalakkan pengurangan pengambilan gula dan kafein. Menurutnya, pengambilan garam dan kafein yang berlebihan meningkatkan kehilangan kalsium dalam air kencing, dan akan digantikan dengan pengambilan kalsium dari ‘tabung simpanan badan’ - tulang anda sendiri!

Berat badan juga turut memainkan peranan dalam penjagaan tulang. Kekalkan berat badan yang ideal kerana malnutrisi bukan saja menjejaskan kesihatan tetapi tulang juga.

Elakkan tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti anoreksia, bulimia dan makan mengikut perasaan. Ianya tidak sihat dan merampas semua nikmat makanan yang dari lidah anda.

Siapa sangka menjaga tulang boleh juga memberikan nikmat hidup, bukan? Anda makan makanan yang enak dan berkhasiat dan pada masa yang sama menjaga tulang anda!

Dan semuanya bermula dengan kesedaran bahawa tulang juga perlu makan, sama seperti semua benda hidup yang lain.

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL) ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands Sdn. Bhd. dan Rottapharm Madaus. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat (Ultra Works) di talian 03-56300791 atau 03-56301668.