Saturday, October 29, 2011

Sindrom carpal tunnel berterusan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

PERNAHKAH anda rasa berdenyut-denyut dan kebas pada bahagian pergelangan tangan? Jika sakit yang dialami berpanjangan, anda mungkin mengalami keadaan yang dipanggil sindrom Carpal Tunnel (CTS).

Perunding Ortopedik, Artoroskopi dan Pembedahan Kecederaan Sukan dari Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Kol (B) Dr. Azmi Abdul Latiff berkata, CTS terjadi apabila saraf median yang terletak pada pergelangan tangan tersepit.

"Ia menyebabkan rasa kebas dan sakit pada ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan setengah bahagian pada jari kecil," katanya.

Terowong yang terletak di bahagian tengah pergelangan tangan katanya memberi laluan dan perlindungan kepada saraf median ke bahagian tangan. Tekanan yang berlaku menyebabkannya tidak berfungsi dengan normal serta menimbulkan rasa sakit dan kebas, seterusnya melemahkan bahagian tangan.

Menurutnya, simptom CTS bermula secara perlahan-lahan dengan rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan yang boleh melarat ke bahagian tangan dan lengan.

Sekitar dua hingga 15 peratus daripada populasi dunia dikatakan mengalami keadaan CTS dan ia biasanya lebih meluas di kalangan wanita berbanding lelaki.

Antara simptom yang biasanya terjadi adalah:

1. Kebas - pada bahagian tangan dan jari-jari tangan terutamanya ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dansebahagian jari manis tetapi tidak pula berlaku pada jari kecil kerana berlainan saraf. Rasa kebas ini akan menjadi lebih kuat terutamanya semasa memandu, semasa memegang objek seperti telefon atau surat khabar atau semasa bangun dari tidur.

2. Sakit dan berdenyut - yang terjadi pada sendi pergelangan tangan sehingga ke lengan atas, bahu atau ke tapak tangan dan jari, terutamanya selepas menggunakan tangan secara berterusan atau menggunakan tangan dengan kuat.

3. Rasa lemah - pada bahagian tangan dan boleh menyebabkan objek yang dipegang akan jatuh.

Risiko

Menurut Dr. Azmi, mereka yang berisiko menghidap sindrom ini adalah golongan yang mengalami tekanan pada tangan atau penggunaan tangan yang berlebihan dalam pekerjaan, terutamanya melibatkan penggunaan tangan atau pergelangan tangan secara berlebihan, berulang-ulang dan dengan kuat.

Contoh pekerjaan yang melibatkan pergerakan adalah seperti bekerja di kilang pemasangan yang menggunakan jentera berat. Selain itu, kerja berulang yang melibatkan menaip, memandu kereta, menjahit dan melukis turut dikaitkan dengan masalah itu.

Mereka yang melibatkan diri dengan sukan yang menggunakan pergelangan tangan seperti pemain bola baling dan badminton turut tidak ketinggalan menghidapi masalah CTS, begitu juga dengan pemain muzik profesional.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko menghidap sindrom ini adalah:

1. Penyakit artritis iaitu penyakit sendi mudah diserang sakit pada sendi pergelangan tangan.

2. Penyakit lain yang melibatkan gangguan hormon seperti diabetes, gangguan tiroid dan menopaus atau keadaan yang menyebabkan takungan cecair badan seperti wanita hamil.

3. Kegemukan. Apabila berat badan bertambah, maka lemak-lemak turut bertambah pada bahagian tertentu seperti tangan menyebabkan saraf median menyempit.

4. Wanita mengalami tiga kali lebih risiko berbanding dengan lelaki. Kebanyakannya berlaku selepas menopaus.

5. Wanita yang hamil dan mereka yang menggunakan pil perancang keluarga. CTS yang berlaku semasa hamil biasanya akan hilang selepas melahirkan anak.

6. Mereka yang merokok juga akan mengalami simptom CTS yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Diagnosis

Sekiranya ada simptom dan tanda CTS, doktor akan mencadangkan untuk melakukan beberapa ujian seperti:

1. Electromygram: Untuk menentukan bahawa kerosakan otot pada bahagian tangan sudah berlaku atau tidak.

2. Nerve conduction study: Untuk melihat sama ada impuls elektrik saraf menjadi perlahan atau tidak.

Saraf median yang menyebabkan terjadinya simptom CTS tidak memberikan perubahan deria rasa pada jari kecil tangan.

Tanda lain seseorang menghidap sindrom ini adalah masa berlakunya simptom tersebut.

Masa simptom CTS timbul adalah semasa memegang objek seperti telefon, surat khabar, memegang stereng ketika memandu atau ketika bangun dari tidur pada waktu pagi.

Doktor juga akan memeriksa deria rasa pada jari dan kekuatan otot-otot pada tangan.

Dengan menekan tangan secara membongkokkan pergelangan tangan (phalen's sign) atau mengetuk pada bahagian pergelangan tangan (tinel's sign) turut akan menyebabkan simptom CTS semakin jelas dan teruk.

Pesakit yang mendapatkan rawatan perlu memastikan dan memaklumkan doktor tempat di mana simptom dan tanda-tanda CTS berlaku sekitar bahagian tangan.

Rawatan

Pesakit yang mengalami simptom yang tidak teruk boleh mengurangkan rasa sakit dan kebas dengan mengambil lebih banyak masa untuk merehatkan tangan atau membuat pek ais untuk mengurangkan bengkak pada tangan.

Terdapat juga kaedah rawatan lain yang melibatkan pembedahan atau tanpa bedah.

Kaedah tanpa pembedahan melibatkan:

Anduh: mengurangkan pergerakan pada pergelangan tangan akan mengurangkan simptom terutamanya pada waktu malam (layari laman web futuro.com.my). Namun alat ini hanya berkesan untuk keadaan CTS pada peringkat awal.

non-steroidal anti-inlammatory drug (NSAIDs): Menggunakan ubat mengurangkan bengkak untuk mengurangkan rasa sakit terutamanya mereka yang mengalami kesakitan disebabkan oleh keadaan yang berkaitan dengan pembengkakan bahagian tangan.

steroid: Suntikan ubat jenis steroid ke dalam bahagian carpal tunnel boleh mengurangkan kesakitan. Pengambilan steroid secara oral pula mungkin tidak dapat mengurangkan simptom.

Kaedah pembedahan pula mungkin terpaksa dilakukan dalam keadaan di mana simptom tidak dapat dirawat menggunakan cara lain atau simptom terus berlarutan dan bertambah teruk.

Pembedahan boleh dilakukan dengan cara endoskop atau dengan membuat pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan.

Doktor akan membuat hirisan pada ligamen carpal yang memberi tekanan pada saraf median.

Pembedahan boleh memberi perubahan yang ketara pada simptom Sindrom Carpal Tunnel tetapi kadangkala kesan seperti kebas, lemah tangan dan kesakitan mungkin akan berlarutan untuk satu tempoh masa tertentu. Menurut Dr Azmi, walaupun begitu, pembedahan diyakini mampu mengatasi masalah CTS daripada berulang lagi. Lebih 70 peratus pesakit mengakui kesakitan mereka hilang selepas pembedahan.

Perubahan di tempat kerja boleh membantu mengatasi masalah CTS anda. Cuba:

1. Peralatan khas termasuk papan menaip, tetikus yang berlainan jenis dan alas tetikus yang empuk.

2. Pastikan papan menaip idak terlalu rendah untuk memastikan tangan anda tidak membengkok ke atas semasa menaip.

3. Pastikan juga kedudukan siku diampu ketika menaip bagi menggalakkan sokongan pada seluruh tangan. Ergonomik ketika melakukan kerja mampu mengelakkan masalah CTS.

4. Lakukan senaman pada kawasan pergelangan tangan dengan kerap. Ambil masa untuk merehatkan tangan selepas melakukan sesuatu untuk tempoh yang lama dan berterusan.

Cantik dengan sel stem

Sejak kebelakangan ini ramai wanita bertanya kepada saya mengenai rawatan "stem cell". Ini kerana terdapat pelbagai rawatan sel stem yang ditawarkan seperti rawatan sel stem buah-buahan atau rawatan sel stem manusia. Tetapi apakah sebenarnya sel stem?

Sel stem adalah sel asas organisme. Ini bermakna ia boleh berubah menjadi apa-apa sel lain di dalam badan. Oleh itu ia sangat berguna dalam merawat dan memperbaiki tisu-tisu . Sebagai contoh jika kita mengalami kecederaan otot atau sel otak, sel stem akan membahagi dan bertukar kepada sel otot atau sel otak untuk merawat dan menggantikan sel tercedera agar organ terlibat sembuh.

Sel stem manusia terbahagi kepada dua. Sel stem embryonic dan sel stem dewasa. Sel stem embryonic diambil dari embrio dan berupaya berubah menjadi apa-apa sel organ seperti jantung atau otak. Banyak kajian sel stem embryonic dilakukan di dalam makmal untuk perubatan moden. Di antara penyakit yang berpotensi dirawat dan disembuhkan dengan sel stem embryonic adalah penyakit parkinson, diabetes, kerosakan saraf tunjang, duchenne's muscle dystrophy, pekak dan buta.

Namun begitu, di bidang kecantikan, sel stem yang kita berminat adalah sel stem dewasa. Berbeza dengan sel stem embryonic yang boleh bertukar menjadi apa-apa sahaja sel organ, sel stem dewasa hanya boleh bertukar menjadi sel-sel tertentu bertujuan merawat sel-sel yang telah rosak atau pupus. Sebagai contoh, apabila sel stem ini disuntik ke bahagian muka, ia boleh memudakan wajah dengan menggantikan sel-sel yang telah tercedera dan rosak. Jika ia disuntik di kulit kepala, ia mampu membuatkan rambut kita lebih lebat dan sihat.

kecantikan

Stem sel dewasa terdapat banyak di sel-sel lemak, sum-sum tulang dan darah. Dalam bidang kecantikan, doktor menggunakan darah sebagai sumber untuk mendapatkan sel stem. Ia lebih mudah untuk diproses daripada sumber dari lemak atau sum-sum tulang. Doktor selalunya akan mengambil 10cc ke 30cc darah dan diletakkan di dalam tabung uji khas untuk memisahkan serum dan sel-sel darah merah. Setelah menjalani beberapa tahap pemprosesan, serum yang mengandungi sel stem, platelet, dan hormon dihasilkan. Serum ini akan di suntik kembali ke bahagian kulit muka. Apabila kulit muka menerima serum yang mengandungi sel stem dan pelbagai bahan lain, ia akan mula menyembuh dan memudakan kulit muka secara semula jadi. Kulit akan menjadi lebih gebu, bersinar, bersih dan tegang. Untuk mendapatkan hasil yang berkekalan, proses rawatan perlulah diulang setiap dua ke empat bulan.

Adakah ia selamat? Ya, sudah semestinya kerana kita menggunakan sumber sel stem dari badan kita sendiri. Oleh itu tidak timbul masalah alahan atau kesan samping yang lain.

Adakah ia berkesan? Sudah semestinya. Ini kerana hanya sel stem manusia sahaja boleh digunakan untuk merawat dan memudakan sel manusia. Sel stem buah-buahan contohnya sel stem durian tidak boleh bertukar dan merawat sel manusia. Satu lagi faktor penting adalah sel stem tidak boleh dibotolkan atau disimpan di bawah suhu biasa. Sel stem sama ada disimpan di makmal dengan persekitaran dan suhu tertentu atau diproses dan digunakan serta merta. Ini dijelaskan oleh seorang profesor di sebuah universiti di Korea baru baru ini.

Manusia

Saya ada terbaca bahawa sel stem tumbuhan boleh "merangsang" sel manusia untuk memperbaiki diri sendiri. Di pasaran sebenarnya sudah ada krim krim yang mengandungi tretinoin yang sudah terbukti boleh merangsang sel-sel kulit untuk memudakan kulit tersebut. Ini bukan sesuatu penemuan baru di bidang kosmetik.

Ada juga kajian yang menunjukkan sebenarnya sel stem tumbuhan ini mengandungi anti oksida yang tinggi untuk memudakan kulit.

Walau apa pun, ada juga yang mengaku bahawa rawatan sel stem tumbuhan berkesan kepada mereka, tetapi kurang pasti kesannya sama ada daripada "bahan" yang merangsang sel atau kesan anti oksida.

Namun begitu yang pasti, sel stem yang terbaik untuk manusia adalah sel stem manusia dan untuk merawat diri sendiri, sel stem terbaik adalah sel stem diri sendiri. Kini banyak klinik kecantikan menawarkan rawatan sel stem. Namun begitu ada yang memproses 10cc darah dan ada yang memproses sehingga 30 cc darah. Lagi banyak darah diproses, lagi banyak sel stem akan dihasilkan. Lagi banyak sel stem digunakan di dalam rawatan kecantikan, hasilnya pasti lebih memuaskan dan cantik. Oleh itu berbincang dahulu dengan doktor anda mengenai rawatan sel stem sebelum melakukannya. Dapatkan rawatan yang paling berkesan dan paling selamat. PENULIS boleh dihubungi di 09-5164777.

Hioxy bantu cegah penyakit

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Pengguna turut diuji untuk memastikan mereka memiliki tenaga selepas seminit meminum Hioxy.

SETIAP kali bercakap tentang rawatan kesihatan, ramai yang mahukan keselesaan, jaminan dan kos berpatutan. Namun kerana kos semakin meningkat, rawatan yang diperoleh biasanya mengikut kemampuan kewangan. Situasi ini mendorong anda untuk mencari rawatan alternatif bagi merawat sakit yang dihidapi.

Prinsip inilah yang cuba diketengahkan Pengarah Urusan Debella, Puziah Saad supaya masyarakat memilih untuk mencegah daripada merawat.

"Ramai yang merungut apabila giliran menunggu untuk dibedah lewat jika berada di hospital kerajaan. Kos di hospital swasta pula dikatakan mahal. Namun tidak pula mereka memilih kaedah untuk mencegah penyakit.

''Justeru kami di De Bella memperkenalkan Hioxy , minuman kesihatan bertenaga tinggi untuk merawat dan memulihkan fungsi tubuh badan," katanya.

Produk ini terhasil selepas Puziah melihat cara hidup masyarakat yang terdedah kepada penyakit berbahaya. Melalui penyelidikan, Puziah mendapati cara menangani situasi ini adalah dengan mengamalkan khasiat semula jadi buah-buahan.

Hioxy terdiri daripada campuran 20 jenis buah-buahan seperti acai beri, anggur dan kiwi yang kaya dengan antio ksida, vitamin serta air tenaga yang mampu memberikan tenaga.

Katanya, agak mustahil untuk seseorang makan semua jenis buah-buahan bagi mendapatkan khasiat.

Oleh itu, beliau menggabungkan kesemua buah-buahan yang berkhasiat untuk dijadikan minuman tambahan untuk membantu memulihkan fungsi tubuh badan dan membaiki tisu-tisu yang rosak," ujarnya.

Tenaga

Selain membantu memulihkan fungsi tubuh akibat pengambilan ubat yang terlalu lama dan membaiki tisu-tisu yang rosak, ia dicampur dengan energy water untuk peningkatan tenaga pengguna hanya beberapa minit selepas meminumnya.

Dengan mengamalkan 30 milimeter setiap pagi secara berterusan, masalah pengguna akan berkurangan.

Selepas diperkenalkan sejak pertengahan Julai lalu, produk ini mendapat reaksi positif daripada beberapa pengguna yang bermasalah radang kulit yang kronik (ekzema), alahan, gastrik, lenguh-lenguh sendi dan keletihan.

" Hioxy diperkenal untuk bertindak dengan produk Litchin bagi memberikan hasil terbaik kepada pelanggan.

''Kebanyakan pengguna dengan berat badan berlebihan turut mengidap kencing manis dan darah tinggi, menyebabkan pengambilan Litchin menjadi kurang sesuai.

''Hioxy mampu memperbaiki tahap kesihatan dan fungsi tubuh pengguna, jadi mereka bukan sahaja mampu mengawal berat badan tetapi juga menjadi lebih sihat dan bertenaga berbanding sebelumnya," katanya.

Puziah menambah, Hioxy telah didaftarkan di bawah Kementerian Kesihatan dan dijual dengan harga RM290 satu set di Semenanjung Malaysia dan RM310 di Sabah dan Sarawak.

Bedak padat punca jerawat?

Oleh DR. NURHALINA AZLY MINHAT

JERAWAT merupakan masalah yang sering dilalui oleh remaja, perempuan mahupun lelaki. Jerawat pada kulit muka boleh menyebabkan seseorang itu rasa rendah diri kerana ia mengganggu penampilan diri.

Namun begitu, jerawat boleh diubati. Sekiranya anda menghadapi masalah jerawat, penjagaan kulit muka harus diutamakan kerana jerawat akan meninggalkan parut berlubang dan kesan hitam yang lebih sukar dirawat.

Sebab-sebab terjadinya jerawat

1. Faktor yang menyebabkan jerawat terjadi berpunca daripada proses pembaharuan sel kulit berlebihan oleh sel keratinosit yang melitupi liang pori-pori dan mengakibatkan liang tersebut tersumbat yang dikenali sebagai "microcomedo".

2. Apabila mencapai umur remaja, hormon androgen yang tinggi akan mengaktifkan pengeluaran sebum iaitu minyak.

3. Akibatnya, kolonisasi bakteria Propionibacterium acnes bertambah kerana keadaan sangat sesuai untuk pembiakannya.

4. P. acnes akan menyebabkan radang dan penghasilan sel keratinosit yang berlebihan.

Cara merawat jerawat

1. Penggunaan produk penjagaan muka yang tidak sesuai akan memburukkan keadaan. Gunalah produk penjagaan muka sedikit berasid yang mengandungi PHA (Poly Hydroxy Acid) atau Lactobionic Asid dari Neostrata menyebabkan eksfoliasi minimum dan tidak merengsakan kulit. Triclosan di dalam pencuci muka ini dapat membunuh bakteria pada muka. Selepas mencuci muka, perlulah menggunakan pelembap. Walaupun kulit muka berminyak, penggunaan pelembap pada muka masih diperlukan untuk mengawal pengeluaran sebum supaya muka tidak berminyak.

2. Penggunaan antibiotik pada permukaan muka juga dapat membantu membunuh bakteria yang ada pada kulit. Sekiranya jerawat tidak banyak, memadai dengan antibiotik sapuan sahaja. Sekiranya perlu, doktor akan menasihatkan supaya pesakit mengambil antibiotik dalam bentuk pil untuk ditelan dan perlu diteruskan untuk sekurang-kurangnya enam minggu seperti minocycline, tetracycline, doxycycline. Penggunaan krim tretinon atau retinol pada waktu malam juga dapat merawat jerawat. Jerawat yang tidak terkawal boleh dirawat dengan Ro-Accutane tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan dan memerlukan pemantauan pakar kulit.

3. Rawatan "peel" dengan glikolik asid, salicylic asid atau Jessner's mampu merawat jerawat yang aktif. Rawatan ini dapat membunuh bakteria pada muka, mengurangkan pengeluaran sebum, membersihkan liang pori-pori dan melakukan exfoliation. Bagi salicylic asid dan jessner's peel, kulit akan merasa panas sedikit semasa rawatan, jerawat akan kering dan kulit mengelupas sedikit beberapa hari selepas rawatan dilakukan. Sapu pelembap kulit supaya kulit cepat sembuh. Rawatan peel boleh dilakukan sebulan sekali sehingga masalah jerawat dapat dikawal. Rawatan peel selamat jika dilakukan atas nasihat doktor.

4. Pastikan kesemua produk penjagaan muka tidak menyebabkan muka berminyak. Gunalah krim penghalang matahari yang berasaskan gel supaya muka tidak berminyak atau makan pil penghalang matahari seperti heliocare oral (dari sejenis paku pakis polypodeum leucotomus) untuk mengelak parut kehitaman akibat radang dari jerawat.

5. Elak mengguna bedak padat kerana span yang lembap, digunakan berkali-kali, terperap di dalam bekas menggalakkan pembiakan bakteria. Gunalah bedak berasaskan mineral seratus peratus tanpa sebarang campuran bendasing yang mempunyai sifat anti-inflammatori, tidak menutupi liang pori-pori kerana molekulnya besar dan bedak yang kering tidak menggalakkan pembiakan bakteria seperti Kiss mineral mekap.

6 Selain itu, makanlah lebih sayur-sayuran dan buah-buahan untuk zat dan vitamin pada kulit muka. Perbanyakkan minum air kosong, ambil probiotik untuk mengimbangkan bakteria dalam badan.

7. Sesetengah kaedah perancangan keluarga boleh menyebabkan hormon tidak stabil dan masalah jerawat. Pil perancang kehamilan Diane-35 boleh diambil untuk mengawal jerawat ataupun boleh merancang keluarga dengan alat cegah kehamilan IUCD Cu250, yang tidak berasaskan hormon.

8 Jangan sesekali memicit atau menekan jerawat, ini akan menyebabkan bakteria tersebar dan kulit luka akan meninggalkan parut hitam dan berlubang.

Pada peringkat awal rawatan, jerawat mungkin akan bertambah dahulu sebelum ia berkurangan. Ini merupakan perkara biasa, janganlah cemas, lakukan penjagaan muka dengan tekun dan ikutilah nasihat doktor. Jangan hentikan pengambilan antibiotik sesuka hati. Percayalah, setiap penyakit itu ada penawarnya.

PENULIS boleh dihubungi di 0378808486, 0172661868.

Saturday, October 22, 2011

Akibat hormon tidak stabil

JOHARI merupakan seorang lelaki yang serius dan kuat bekerja. Beliau juga seorang tegas dan pandai mengawal suasana. Sikapnya yang rasional dan berhemah menjadikannya pekerja contoh. Tidak hairanlah dia cepat dinaikkan pangkat .

Fauziah pula seorang wanita berkerjaya yang disegani oleh kawan-kawannya. Dia lemah lembut dan tidak mudah melatah selain prihatin dengan masalah teman sepejabat. Sifat fauziah amat disenangi oleh Johari dan pasangan itu mendirikan rumah tangga pada usia awal dua puluhan.

Kini usia perkahwinan mereka mencecah dua 25 tahun dan masing-masing menjangkau usia 40-an.

Sejak akhir akhir ini Fauziah merasakan Johari tidak lagi seperti dahulu. Perjumpaan sosial kawan-kawan dan ahli keluarga yang dahulunya sering dilakukan kini tidak lagi menjadi perhatian Johari. Fauziah terpaksa pergi bersendirian demi untuk menjaga hati sahabat dan saudara-maranya. Johari juga tidak mahu lagi menemani isterinya bersiar-siar di hujung minggu sebagaimana lazimnya. Fauziah yang gemar membeli-belah di hujung minggu terpaksa pergi bersama kawan-kawannya.

Pada suatu hari Fauziah berselisih faham dengan kawan wanita sepejabat. Entah mengapa dia gagal mengawal emosi. Kalau dulu Fauziah terkenal dengan sifat prihatin dan lemah lembut, kini dia menjadi agresif dan mudah melatah.

Apabila pulang ke rumah dan bercerita kepada Johari perihal masalahnya, suaminya gagal memberi sokongan moral yang diperlukan. Hal ini menimbulkan pertengkaran kecil pula di antara mereka dan masing-masing merasakan hidup mereka tidak sehaluan lagi.

Hari demi hari semakin banyak konflik yang tercetus dan masing-masing menjadi sukar untuk memahami satu sama lain.

Fauziah berfikir besar kemungklinan Johari berubah kerana faktor penuaan. Usia menjadikan Johari semakin lemah dan tidak ceria seperti dulu. Seperkara lagi, dia juga merasakan faktor kematangan hidup menjadikannya lebih tegas dan boleh meluahkan segala pendapat dengan berani. Dia juga tidak kisah meskipun kata-katanya itu melukakan hati orang lain.

Apakah yang terjadi sebenarnya? Mengapakah penuaan mempengaruhi sikap dan emosi seseorang?

Apabila seorang lelaki kehilangan sebilangan besar hormon testosterone maka dia akan berubah sikap menjadi kurang agresif dan kurang pertimbangan. Hormon testosterone begitu penting buat lelaki kerana ia membuatkan seorang lelaki berasa tenang, selesa dan berfikiran rasional.

Bagi wanita pula hormon progesterone dan estrogen amat penting. Tanpa hormon yang cukup wanita menjadi emosi dan sukar menghadapi suasana tegang.

Proses penuaan menyebabkan hormon berkurangan sehingga berlaku perubahan sikap, emosi, serta perlakuan lelaki dan wanita. Akibatnya pasangan terlibat mula merasakan kelainan dan seringkali hubungan yang erat mula renggang dan terganggu. Seringkali mereka menyalahkan satu sama lain dan ini menimbulkan kerumitan dalam rumahtangga.

Apabila rawatan penggantian hormon dibuat ternyata keadaan banyak berubah. Pasangan mula kembali tenang dan boleh menyelesaikan masalah mereka dengan lebih terbuka.

Tubuh kita terbina dari sel-sel seni yang bereplikasi dan sentiasa silih berganti. Sel-sel tubuh kita mempunyai tempoh hayat. Sel jantung, buah pinggang, hati, otak dan lain-lain semuanya mempunyai kadar pertumbuhan yang berbeza-beza. Enzim yang penting dalam proses replikasi sel ialah enzim telomerase. Tanpa enzim telomerase yang cukup sel-sel menjadi tua kerana ia tidak boleh bereplikasi. Mereka yang dilahirkan tanpa enzim telomerase mengalami sindrom penuaan di mana mereka menjadi tua meskipun baru berusia lima atau sepuluh tahun.

Gejala ini sangat menarik dikaji kerana ciri-ciri penuaan dapat dilihat dengan nyata meskipun mereka sebenarnya masih di peringkat kanak-kanak sahaja. Memerhatikan ciri-ciri penuaan kita dapat saksikan kulit yang berkedut dan berpigmentasi. Kepala mereka juga botak dengan rambut yang nipis. Wajah pula tampak mengecut dengan dagu mengecil. Tulang-tulang mereka mengalami osteoporosis yang ketara. Dari segi emosi mereka juga pelupa dan mudah tersinggung.

Mereka juga terdedah kepada masalah tulang rapuh, sakit sendi, kanser, jantung dan masalah berkaitan dengan imuniti yang rendah.

Jelas bahawa penuaan bukan berlaku kepada satu bahagian tubuh saja. Ia adalah satu proses yang melibatkan keseluruhan tubuh kita. Apabila penuaan bermula maka ia akan terus melanda dan merosakkan tubuh.

Kita juga dapat menyaksikan bahawa penuaan bukan berlaku berdasarkan usia semata-mata. Usia yang muda juga tidak lari daripada gejala penuaan apabila enzim dan hormon rosak.

Justeru pengetahuan dalam ilmu anti penuaan perlu dipertingkatkan agar kita dapat mengharungi usia tua dengan sihat, cergas dan gembira.

PENULIS boleh dihubungi di 03-87234808 dan 0132448484.

Rungkai misteri kesihatan manusia

Oleh KARIM HERCUS

Kanser atau barah merupakan salah satu punca utama kematian manusia yang dihidapi oleh berjuta-juta individu di serata dunia. Lebih kurang 7.5 juta pesakit meninggal dunia akibat kanser setiap tahun. Gambaran ini lebih suram sekiranya kita mempertimbangkan bahawa menjelang 2030, kanser dijangka menyebabkan kira-kira 12 juta kematian setiap tahun.

Di Malaysia, kanser dilaporkan sebagai punca kematian awal ketiga paling utama di kalangan masyarakat negara ini, dan kajian menunjukkan bahawa 10 peratus daripada penduduk terdedah kepada ancaman kanser sebelum mencecah usia 75 tahun.

Namun begitu, masih terdapat sinar harapan di sebalik statistik yang membimbangkan ini.

Bidang yang dinamakan genomik (pengajian genom) menjadi kunci kepada usaha untuk mengesan penyakit ini di peringkat awal, menghasilkan prognosis dan diagnosis yang boleh mengubah kehidupan penghidap kanser. Matlamat utama sudah tentunya untuk mencari 'penawar' kepada penyakit yang membawa maut ini. Apa yang diperlukan hari ini adalah pendekatan berkesan untuk mengenal pasti individu yang lebih cenderung menghidap kanser.

Apakah sebenarnya genomik? Untuk menjawab soalan ini, pertamanya kita perlu memahami bahawa semua sel hidup mengandungi DNA. DNA ialah singkatan bagi Asid Deoksiribonukleik (DeoxyriboNucleic Acid) yang menyimpan semua maklumat genetik sesuatu organisma yang diturunkan daripada ibu bapa kepada anak mereka. Secara ringkas, genomik adalah rangka genetik bagi semua jenis hidupan. DNA turut mengandungi bahagian yang menentukan rupa dan fungsi kita - segmen ini dipanggil gen. Kita mewarisi gen daripada kedua ibu bapa, dan gen ini menentukan ciri yang diwarisi - termasuk warna mata, jenis darah dan sama ada kita boleh menggulung lidah atau tidak.

Bilangan gen berbeza dari satu organisma ke organisma yang lain. Manusia mempunyai lebih kurang 25,000 gen, iaitu sama dengan jumlah gen yang terdapat dalam tikus, manakala jagung pula mempunyai kira-kira 32,000 gen. Jumlah gen di dalam organisma tidak semestinya berkaitan dengan saiz atau kompleksnya organisma tersebut.

Himpunan semua gen di dalam organisma dinamakan 'genom'. Seperti gen, saiz genom berbeza dari satu organisma ke organisma yang lain. Saiz genom manusia adalah kira-kira 3Gb dan saiz genom pokok kelapa sawit adalah lebih kurang 1.8Gb, namun ia amat kecil berbanding genom ameba yang bersaiz 290Gb.

Secara umumnya, genomik ditakrifkan sebagai kajian dan analisis mengenai genom. Bidang ini telah muncul sebagai salah satu cabang yang paling penting di dalam biologi dan sains hayat. Saiz dan kandungan genom sesuatu organisma menjadi tumpuan para saintis dan penyelidik di seluruh dunia. Kemajuan pesat bidang genomik telah membuka beberapa bidang kajian menarik untuk diterokai daripada pertanian dan kepelbagaian biologi sehinggalah ke bidang penjagaan kesihatan dan penghasilan ubat-ubatan.

Genomik kini memainkan peranan yang semakin penting di dalam bidang penyelidikan perubatan. Para penyelidik dan pakar genetik telah berjaya memetakan gen manusia melalui jujukan DNA, yang seterusnya mendorong pelaksanaan Projek Genom Manusia. Projek mercu jaya ini membolehkan pakar genetik membezakan dan mengasingkan gen yang sangat penting kepada proses biologi. Sebab itulah genomik kini memainkan peranan yang semakin penting dalam usaha memerangi kanser.

Penyelidik perubatan boleh mengekstrak sel tumor, menentukan jujukan genom dan mengenalpasti punca sel tersebut menjadi sel kanser. Ini dilakukan menerusi sains biomaklumat - iaitu gabungan teknologi maklumat dan biologi - yang merujuk kepada tafsiran jujukan DNA menggunakan perisian komputer khas dan algoritma matematik.

Genomik rungkai misteri kesihatan manusia

Menurut satu laporan, satu daripada setiap 20 kes barah dikaitkan dengan gen keturunan. Keupayaan untuk meramalkan dan mengenal pasti barah di peringkat awal adalah amat penting untuk meningkatkan kadar menentang dan mengatasi kanser. Genomik dan biomaklumat dapat memberikan maklumat penting dalam soal ini. Dengan mengkaji genom pesakit kanser dan individu yang sihat, pada suatu hari nanti para pengamal perubatan akan dapat memeriksa sebarang mutasi yang mungkin berlaku di dalam setiap orang, membolehkan penyakit dikesan di peringkat yang sangat awal.

Kini beberapa syarikat dalam sektor biomaklumat menghasilkan perisian dan kaedah untuk membantu para penyelidik memahami sepenuhnya kanser dan cara penyakit ini merebak. Malah, tidak mustahil penawar bagi penyakit yang membawa maut ini akan ditemui. Bidang genomik bakal merintis jalan ke arah penyelesaian yang dicari-cari selama ini.

l PENULIS ialah Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC), pembekal perkhidmatan biomaklumat yang terkemuka di Asia Tenggara, yang menawarkan khidmat penjujukan dan analisis berkomputer yang pantas dan berkualiti tinggi kepada pelanggan di serata dunia. Perkhidmatan utama yang disediakan termasuk khidmat Genom Kontrak, Penjujukan Genom, dan Akses Data Genom.

Karim Hercus mempunyai pengalaman lebih daripada 40 tahun dalam bidang sains maklumat. Beliau menubuhkan syarikat pemegang utama MGRC iaitu, Neuramatix Sdn. Bhd. pada 2002, yang memberi tumpuan kepada usaha mencipta aplikasi dan peranti pintar dalam pelbagai bidang, termasuk bioinformatik, penterjemahan mesin, dan robotik lanjutan.

Kasut selesa elak sakit kaki

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Kenapa ibu jari kaki saya berdenyut?” tanya seorang pesakit kepada Pakar Bedah Ortopedik, Sukan dan Trauma Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Bazam Abdul Rani.

Pada awalnya, dia tidak sedar denyutan ibu jari kakinya tetapi selepas beberapa bulan, dia merasakan satu kelainan. Justeru dia segera berjumpa Dr. Bazam untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Melalui penelitian Dr. Bazam, pesakit ini mempunyai masalah sakit kaki.

Latar belakang pesakit yang bekerja sebagai pengawai kerajaan itu menunjukkan dia menghabiskan masa sehariannya dengan memakai kasut bertutup.

Dia juga tidak kisah jenis kasut asalkan muat dengan saiz kakinya. Baginya, itu sudah memadai tanpa mengira keselesaan.

“Banyak penyakit atau masalah kaki bersangkut paut dengan pemilihan kasut, terutamanya di kalangan wanita,’’ kata Dr. Bazam. Menurut kajian Persatuan Kaki dan Sendi Buku Lali Amerika (AOFAS), 80 peratus wanita mempunyai masalah sakit pada kaki.

Ini kerana lebih daripada 88 peratus wanita memakai kasut bersaiz lebih kecil dari saiz kaki mereka. Kasut yang terlalu ketat, terlalu longgar, terlalu kedap udara dan bentuk kasut yang tidak natural boleh menyebabkan atau menggalakkan masalah kaki.

Jenis sakit kaki

Antara masalah yang sering berlaku adalah sakit kaki pada wanita (A Woman‘s Aching Feet).

Menurut Dr. Bazam, hampir separuh daripada wanita mempunyai pengalaman sakit berdenyut-denyut pada kaki.

Mungkin disebabkan terlalu lama berdiri atau berjalan, tetapi punca utama pemakaian kasut yang tidak sesuai.

“Masalah ini lebih kerap dialami wanita yang lebih tua kerana ketebalan lapisan lemak pada tapak kaki yang bertindak sebagai kusyen semakin menipis mengikut usia,” katanya.

Selain itu, sakit kaki juga boleh dikategori kepada kaki atlet (Athlete‘s Foot).

Walaupun namanya begitu, keadaan ini tidak terhad hanya kepada pelari jarak jauh atau atlet lain sahaja.

“Rasa gatal, sakit seperti terbakar dan kulit mengelupas yang selalu terjadi di celah-celah jari atau pada tapak kaki adalah gejala kaki atlet. Ia disebabkan jangkitan mikroskopi kulat yang dipanggil trichophyton mentagrophytes.

‘‘Organisma ini berkembang biak dengan baik pada permukaan bilik air yang hangat dan lembap, stokin yang menyebabkan peluh yang banyak dan kasut yang ketat,”ujarnya.

Orang ramai juga berisiko menghidap kulit melepoh (Blisters).

Dr. Bazam menjelaskan, kasut yang terlalu longgar atau terlalu ketat, permukaan kasut atau stoking yang kasar akan menyebabkan kulit bergesel dan cedera.

Kulit yang sensitif akan bertindak balas dengan pembentukan kusyen berair pada kulit iaitu melepoh.

Kawasan kulit ini radang dan menyakitkan ketika berjalan. Kulit melepoh akan sembuh sekiranya dijaga bersih dan geselan pada kulit tersebut dihentikan.

Sakit kaki juga boleh dikelaskan kepada corn dan calluses. Ia terjadi kerana kulit akan melindungi dirinya daripada geseran dan tekanan yang berulang dengan membentuk lapisan keras daripada sel-sel kulit pada bahagian di mana gangguan itu berlaku.

“Apabila ini berlaku pada kulit di atas atau di celah jari kaki, sel-sel kulit akan membentuk bengkak bulat keras seperti ‘kernel’ yang dipanggil corn. Sementara sel-sel kulit keras dan tebal yang terbentuk pada tapak kaki kita dipanggil sebagai calluses,” ujarnya.

Secara purata, 14 peratus orang dewasa mempunyai calluses manakala sembilan peratus orang dewasa terutamanya wanita mempunyai corn.

Sakit tumit (heel pain) merupakan masalah kaki yang kerap berlaku. Ia terdiri daripada masalah tapak kaki rata, tapak kaki terlalu melengkung atau aktiviti fizikal seperti berlari yang boleh mencetuskan radang dan kesakitan pada ligamen plantar fascia (lapisan pelindung keras) pada tapak kaki (satu keadaan yang dipanggil plantar fasciitis (PF) ).

Dr. Bazam memberitahu, sakit yang berpunca daripada PF biasanya dicirikan oleh sakit pada langkah pertama berjalan atau selepas tempoh yang lama tidak berpijak.

“Regangan otot kaki dan memakai kasut yang padan saiznya boleh membantu mengelak masalah ini. PF juga boleh membawa kepada klasifikasi seterusnya pembentukan taji tumit pada titik di mana faskia melekat ke tumit. Kedua-dua PF dan taji tumit terjadi mungkin kerana kasut yang kurang sesuai, peningkatan aktiviti fizikal secara tiba-tiba, atau tekanan pada kaki yang disebabkan pertambahan berat badan secara drastik.

Gabungan kasut ortotik, regangan dan urutan serta mengambil ubat anti-keradangan seperti ibu profen mampu merawat masalah ini,” jelas beliau.

Membeli Kasut

Dr. Bazam berpendapat, kasut tumit tinggi dan berhujung runcing adalah musuh semula jadi untuk kaki.

Walaupun kasut tumit tinggi boleh membuatkan kaki anda kelihatan panjang dan anggun, ia juga meningkatkan tekanan pada jari kaki dan menganggu keseimbangan badan ketika berjalan.

“Pastikan anda menggunakan kasut tumit tinggi pada tahap yang minimum, dan memilih untuk memakai kasut yang lebih rendah tumitnya.

Selain itu, anda perlu meminimumkan kecederaan kaki berkaitan dengan aktiviti yang dilakukan dengan memakai kasut tertentu. Kasut latihan (cross trainers) yang baik adalah memadai untuk aktiviti sukan yang disertai,” nasihatnya.

Beliau tidak menafikan kasut sukan boleh dipakai setiap hari untuk keselesaan. Namun kasut akan kehilangan kesan kusyen dari masa ke masa dan perlu diganti jika lapisan kusyen tersebut tidak lagi melantun kembali apabila ditekan di atasnya.

Tambah Dr. Bazam, kasut harus mempunyai pengaliran udara yang baik, kain yang poros atau berlubang untuk pengudaraan bagi mengelak kaki daripada menderita kepanasan. “Hujung kasut hendaklah lebih lebar dan membulat bukannya meruncing kerana ia lebih mengikut bentuk semula jadi kaki,’’ katanya.

Tapak kasut juga hendaklah lebih fleksibel untuk memudahkan kaki melangkah dan tapak hendaklah mempunyai rekaan yang dapat mencengkam dengan baik pada setiap permukaan untuk mengelak tergelincir dan terjatuh.

Apabila mahu mengukur panjang kaki untuk menentukan saiz kasut pastikan ia dilakukan pada waktu lewat petang kerana kaki adalah lima hingga lapan peratus lebih besar berbanding pada awal pagi. Kedua-dua kaki hendaklah diukur kerana panjang kaki mungkin berbeza antara kanan dan kiri.

Saiz kasut mestilah mengikut kaki paling besar dan ruangan jari hendaklah lebih kurang setengah inci antara hujung jari dan hujung kasut.

Nasihat Dr. Bazam, pastikan mencuba dahulu kasut sebelum membelinya dengan berjalan-jalan untuk merasai keselesaan.

Keselesaan merupakan aspek paling utama kerana kasut dengan fesyen yang hebat tetapi kaki menderita kesakitan dan berjalan terenjut-enjut adalah merugikan.

“Kasihanilah kaki kerana kaki yang akan membawa anda ke mana-mana anda hendak pergi,” ujar Dr. Bazam.

Rawat pundi hempedu

Oleh Profesor Madya Dr. Sheikh Anwar Abdullah

Fakta memang tidak berbohong: penyakit sistem penghadaman semakin meningkat saban hari dan kini menjadi 10 punca kematian paling tinggi di Malaysia. Ketahui lebih lanjut dari para pakar sistem penghadaman tentang bagaimana risiko dapat dikurangkan dan cara pengurusan kepada masalah penghadaman anda. Panel pakar kami akan cuba menjawab persoalan atau menjelaskan segala keraguan anda tentang kesihatan penghadaman. Hantarkan persoalan anda bersama dengan nama, jantina, umur, alamat dan nombor telefon ke emel: digestivehealth@versa-group.com dan faks ke: 03-5638 9909.

Kandungan artikel ini adalah sebagai panduan atau rujukan sahaja, dan tidak bertujuan menggantikan nasihat perubatan daripada doktor.

Soalan: Saya kerap mengalami sakit perut, dan didiagnosis menghidap radang pundi hempedu. Apakah punca-punca permasalahan ini? Bolehkah ia menjadi lebih buruk? Adakah pilihan lain selain menjalani pembedahan membuang pundi hempedu?

* Hasmah Latib

Pundi hempedu adalah organ kecil berhampiran dengan hati yang berperanan mencernakan makanan. Ia mengandungi bendalir penghadaman dikenali sebagai hempedu, yang disalurkan ke dalam usus kecil untuk membantu penghadaman kita.

Keradangan pundi hempedu juga dikenali sebagai Cholecystitis, dan disebabkan oleh batu karang. Batu karang akibat ketidakseimbangan dalam bahan-bahan seperti hablur garam kalsium, asid urik dan beberapa zat lain, ataupun disebabkan oleh ketidakupayaan pundi hempedu untuk mengosongkan pundi dengan betul. Batu karang kemudiannya menghalang tiub yang membawa hempedu daripada pundi hempedu, dan seterusnya menyebabkan sakit perut seperti yang anda alami. Cholecystitis juga mungkin disebabkan oleh masalah atau ketumbuhan pada salur tersebut.

Lain-lain aduan lazim tentang Cholecystitis termasuklah loya dan muntah-muntah. Ada juga yang mungkin mengalami demam, sakit teruk semasa menarik nafas yang dalam, serta kesakitan selama lebih daripada 8 jam, terutama selepas setiap hidangan.

Anda boleh merawat keradangan pundi hempedu dengan membuang batu karang tesebut, yang boleh dilakukan dengan menggunakan sejenis asid hempedu. Asid hempedu ini dipanggil asid ursodeoxycholic (ursodiol), dan digunakan untuk membantu melarutkan batu karang kolesterol dan mengurangkan gejala-gejala masalah ini. Bagaimanapun, rawatan ini hanya digunakan jika tiada tanda-tanda jangkitan seperti demam dan mengigil. Jika ianya disyaki sebagai jangkitan, antibiotik akan diberi terlebih dahulu.

Membuang pundi hempedu melalui pembedahan biasanya dicadangkan oleh pakar perubatan, apatah lagi jika anda kerap mengalami keradangan pundi hempedu. Pembedahan ini dikenali sebagai Cholecystectomy, yang menggunakan sama ada Laparoskopi (beberapa luka kecil), atau Laparotomy (pembedahan terbuka dengan insisi yang lebih besar) untuk membuang pundi hempedu.

Tanpa rawatan yang sepatutnya akan membawa kepada Cholecystitis jangka panjang atau kronik, yang berlaku apabila pundi hempedu masih bengkak dalam jangka masa panjang, menyebabkan dinding pundi hempedu untuk menjadi tebal dan keras.

SOALAN: Saya disahkan menghidap gastroenteritis akut. Apakah perbezaan gastroenteritis dan gastritis? Adakah kedua-duanya mempunyai gejala yang sama?

* Azmi Jaafar

Gastroenteritis adalah radang perut dan usus, yang mungkin disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit, yang biasanya adalah dari makanan atau air yang tercemar. Kanak-kanak mungkin juga mengalami gejala gastroenteritis disebabkan oleh tindak balas apabila menerima makanan baru. Bayi yang menyusu juga boleh bertindak balas kepada perubahan dalam diet ibu. Akhir sekali, gastroenteritis juga boleh disebabkan oleh tindak balas kepada ubat-ubatan tertentu.

Antara beberapa gejala gastroenteritis termasuklah loya atau muntah-muntah, cirit-birit, kekejangan perut, kembung, dan kadang-kadang demam.

Gastroenteritis tidak memerlukan rawatan formal. Cara terbaik dan terpantas untuk pemulihan adalah melalui penghidratan. Muntah-muntah dan cirit-birit akan menyebabkan anda kehilangan banyak air. Oleh itu penting meminum air yang mencukupi. Tidak terdapat ubat khusus untuk merawat gastroenteritis. Bagaimanapun, jika muntah- muntah, cirit-birit atau kekejangan abdomen menjadi lebih buruk, terdapat ubat untuk merawat gejala tersebut secara berasingan.

Jika gastroenteritis disebabkan bakteria tertentu dan menyebabkan dehidrasi yang teruk dan demam bersuhu tinggi serta cirit-birit berdarah, antibiotik tertentu digunakan untuk merawat di samping gantian bendalir intravena yang agresif. Mengenal pasti bakteria yang betul adalah penting, kerana menggunakan sebarang antibiotik, atau antibiotik yang salah boleh memburukkan sesetengah jangkitan, atau membuat ia bertahan lebih lama.

Sebaliknya, gastritis adalah keradangan pada lapisan perut. Gastritis biasanya dikaitkan dengan penggunaan ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAIDs) yang berpanjangan, atau sebagai hasil daripada jangkitan bakteria yang menyebabkan ulser perut, seperti H. pylori. Bagaimanapun, perkara-perkara tertentu seperti kecederaan, kokain, radiasi, ataupun minum terlalu banyak alkohol juga boleh menyumbang kepada gastritis. Dalam kes-kes yang serius, seseorang mungkin menunjukkan tanda-tanda seperti darah dalam muntah, najis hitam dan bertar, ataupun darah dalam najis.

Antara ubat yang boleh diambil termasuklah ubat antasid, histamine 2 blockers dan perencat pam proton. Nasihat percuma hubungi 03-5621 1408.

Lutut berbunyi

Soalan:
Semenjak dua minggu lalu lutut saya berbunyi ketika berjalan iaitu dalam posisi meluruskan sendi lutut. Puncanya disedari sewaktu berjoging kemudian rehat sehari digantikan dengan aktiviti berbasikal.

Masalah lutut berbunyi juga berlaku selepas bermain futsal. Ia tidak menyakitkan tetapi bunyi tersebut merisaukan, tambahan ketika melakukan duduk antara sujud seolah-olah sendi lutut saya tidak berada pada posisi lipatan kaki yang betul. Apabila ditekan sedikit dengan jari terasa sakit pada lipatan antara tulang kaki bawah dengan tulang paha. Masalah ini telah berpanjangan hampir empat tahun. Saya pernah melakukan ultraskopik pada lutut sebelah lagi untuk membuang tulang rawan dan simptom kesakitan tidak serupa. Apakah nasihat tuan pakar dalam hal ini?

Lelaki Risau

Saudara,

Saya secara jujurnya tidak pasti apa masalah yang dihadapi oleh saudara tetapi mungkin boleh membuat andaian berdasarkan cerita saudara iaitu bunyi keletuk tersebut mungkin disebabkan oleh terkehel patela/tempurung lutut. Ini boleh menyebabkan berlaku kepayahan semasa lipatan kaki.

Bunyi tersebut juga mungkin boleh berpunca daripada masalah penyakit di sendi lutut. Bagaimanapun daripada cerita saudara, kemungkinan besar ia tidak serius tetapi eloklah kiranya saudara dapat berjumpa dengan doktor bagi gambaran yang lebih jelas. Mungkin saudara perlu dirujuk kepada pakar otopedik berkenaan permasalahan yang dihadapi.

Beza kanser lelaki dan wanita

Soalan:

Golongan lelaki diingatkan supaya tidak pandang remeh kanser payu dara kerana mereka juga berisiko diserang penyakit itu bahkan implikasinya lebih teruk berbanding wanita. Benarkah perkara ini doktor?

Jejaka L.

Saudara Jejaka L,

Benar seperti kata saudara bahawa kaum lelaki tidak boleh memandang remeh kanser payu dara kerana ia juga boleh berlaku kepada mereka. Elok di kesempatan ini dapat saya ceritakan sedikit berkenaan dengan kanser payu dara lelaki. Lebih kurang satu peratus daripada kanser payu dara berlaku di kalangan lelaki walaupun insiden dilihat meningkat dari tahun ke tahun.

Kanser ini berlaku dalam julat umur yang besar tetapi secara tipikalnya timbul di kalangan lelaki berumur 60-an atau 70-an. Antara faktor-faktor risiko termasuklah terdedah kepada radiasi atau hormon wanita iaitu estrogen. Ia juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan atau genetik.

Pendedahan kepada hormon estrogen boleh disebabkan oleh ubat-ubatan, kegemukan atau penyakit hati manakala faktor genetik berlaku di kalangan saudara-mara wanita terdekat yang mengidap kanser payu dara. Pengambilan alkohol berlebihan juga dikaitkan dengan kanser payu dara lelaki. Bagaimanapun risiko paling tinggi bagi kanser payu dara lelaki adalah di kalangan lelaki yang mengidap sindrom klinefelter iaitu suatu keadaan di mana seseorang lelaki itu mempunyai lebihan kromosom X.

Ada perbezaan ketara antara kanser payu dara lelaki dan wanita. Kanser (atau ketumbuhan) di kalangan lelaki lebih mudah dikesan kerana saiz payu dara lelaki adalah kecil berbanding wanita. Bagaimanapun mungkin disebabkan kurang kesedaran, biasanya mereka sering menangguhkan dari menjalani pemeriksaan lebih-lebih lagi jika lelaki tersebut juga ada ginekomastia iaitu perkembangan kelenjar payu dara yang tidak normal dan menyebabkan pembesaran payu dara.

Kanser payu dara lelaki lebih mudah merebak dan mereka kerap datang pada tahap yang agak lewat untuk dirawati. Sama ada implikasinya lebih buruk berbanding dengan wanita lebih bergantung kepada tahap mana mereka datang mendapatkan rawatan. Jika di peringkat awal, InsyaAllah boleh dirawat sepenuhnya.

Sunday, October 16, 2011

Kulit kekal anjal

Bagi pengamal perubatan anti penuaan seperti saya, setiap kali berpeluang menyertai seminar anti penuaan dan estetik di luar negara saya tidak melepaskan peluang melihat pameran ubat ubatan dan teknologi yang berkaitan. Bagi saya ia begitu menarik sekali. Kepakaran anti aging negara Eropah sangat menakjubkan dan sudah tentu saya begitu teruja untuk memberi khidmat yang terbaik buat semua pelanggan.

Ramai yang bertanya antara kolagen, vitamin C dan placenta mana yang lebih baik. Menurut kajian persepsi pengguna , kesemuanya memberi manfaat yang baik terhadap kulit kita. Mereka menyatakan penggunaannya membuatkan kulit menjadi licin, gebu, bersih dan cerah.

Kolagen

Kolagen merupakan sebahagian daripada kulit kita dan merupakan pembangun utama pada dermis , salah satu lapisan kulit. Kolagen penting untuk menjaga kulit tetap tegang dan anjal. Apabila usia meningkat maka kulit mula berkedut dan tidak bermaya. Teori masa kini menyatakan kulit berkedut dan lesu kerana tidak mampu menyimpan air. Kandungan air dalam kulit yang tua sangat sedikit menjadikannya mengecut.

Dengan bertambahnya usia, kolagen pada kulit mulai susut. Saat kulit kita masih sehat, helaian-helaian kolagen meluncur dengan mudah satu sama lain sehingga kulit kembali normal selepas kita meregangkan wajah kerana tersenyum atau mengerutkan dahi. Namun, ketika kolagen mulai hilang, kulit kehilangan elastik dan tidak kembali normal. Maka garis kedut mula kelihatan.

Pada usia sekitar 25 tahun, tubuh juga mulai kehilangan kolagen sebanyak 1.5 peratus setiap tahun. Akibatnya, kolagen yang rosak tidak mampu memberikan sokongan yang baik untuk lapisan kulit teratas. Saat itulah kulit mulai menjadi kedut yang membawa maksud kolagen tidak berfungsi lagi.

Vitamin C

Askorbik asid ataupun vitamin C merupakan salah satu agen yang menjaga kulit. Tanpanya proses penghasilan kulit yang baik tidak dapat berlaku. Sesetengah daripada kita mengalami masalah di mana penyerapan vitamin dari perut tidak berkesan. Apabila makan vitamin hampir kesemuanya larut dan dibuang semula melalui najis dan air kencing.

Selain suntikan, vitamin C juga digunakan sebagai agen pencerah secara titisan ke dalam kulit. Vitamin C juga turut dimasukkan ke dalam bahan kosmetik bagi memberi kesan pencerahan pada kulit.

Vitamin C merupakan vitamin larut air. Vitamin c bertindak sebagai agen pembaik pulih tisu dalam tubuh. Ia membantu tubuh membentuk kolagen sejenis protein yang penting untuk menguatkan kulit, rawan, tendon ligamen dan salur darah. Ia penting untuk membaik pulih luka dan meningkatkan kepadatan tulang dan gigi.

Vitamin C juga bertindak sebagai anti oksida bersama dengan vitamin E dan beta-carotene. Anti oksidan menghalang kerosakan disebabkan radikal bebas iaitu bahan yang merosakkan DNA. Kerosakan DNA menyebabkan barah, masalah jantung dan artritis.

Placenta

placenta mengandungi Growth factors, hormon, antibodi dan kandungan nutrisi yang mampu memudakan semula tisu organik. Ia mengandungi protein istimewa yang meregulasi proses hormon dan menguatkan sistem imunisasi.

Kelebihan placenta ialah sebagai agen anti penuaan, mencantikkan kulit, meningkatkan keupayaan fizikal dan memberi kesihatan yang baik. Terdapat banyak jenis placenta yang diproses dengan kaedah recombinant DNA teknologi. Placenta menjadi agenda yang penting dalam perubatan anti aging. Teknologi recombinant membolehkan sintesis placenta sintetik yang begitu baik sekali dapat dihasilkan.

Penjagaan luka kencing manis

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto ZULKARNAIN MOHD SAIDIN

Perawat The Golden Steps membersihkan luka kencing manis Zaharah.

ZAHARAH SENAWI, 77 kini gembira dengan perubahan positif kesihatannya. Ketika mula-mula disahkan menghidap kencing manis, dia reda. Baginya, peningkatan usia dan kesihatan yang kian uzur mungkin menjadi faktor utama. Segalanya berubah apabila doktor membuat keputusan untuk memotong kakinya. Pada peringkat awal, ibu jari kakinya terpaksa dipotong. Kemudian doktor mahu memotong jari kakinya yang lain. Dia segera menolak keputusan itu.

Seorang jiran memperkenalkan Zaharah tentang perkhidmatan mencuci luka kencing manis oleh Pusat Rawatan Alternatif, The Golden Steps.

Pada awalnya, dia sendiri seperti tidak yakin dengan keberkesanan rawatan di pusat tersebut. Kemudian pihak pengurusan The Golden Steps mengunjungi Zaharah di rumah dan mencuci luka kaki Zaharah.

Bermula pada 2 Mei 2011, Zaharah dirawat menggunakan cara alternatif atau perubatan tradisional dan selang tujuh hari luka di kakinya menunjukkan perubahan.

Menggunakan gamat dan suplemen herba, Zaharah menunjukkan peningkatan yang positif.

Hampir lima bulan menjalani rawatan di sini, dia kini ibarat nenek angkat yang menceriakan suasana di pusat rawatan ini. Lukanya kini hampir sembuh sepenuhnya.

Walaupun lukanya kini sudah mencapai tahap minimum, Zaharah masih melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital.

"Nenek sebenarnya sudah lima tahun disahkan kencing manis. Nenek sedar keputusan yang diambil pihak doktor mempunyai alasan yang kukuh. Tetapi nenek tidak dapat membayangkan kehilangan anggota badan. Alhamdulillah mereka di pusat rawatan ini melayan nenek seperti keluarga di sini dan rawatan tidak menyakitkan," ujar Zaharah yang membahasakan dirinya dengan panggilan nenek.

Membantu

Pengasas The Golden Steps, Aminah Yem memberitahu, pusat ini ditubuhkan untuk membantu pesakit-pesakit kencing manis untuk mendapatkan kehidupan yang optimum dan lebih baik.

"Kami telah bersepakat menubuhkan sebuah pusat rawatan yang memberikan rawatan profesional kepada pesakit yang menghidapi luka kencing manis untuk mengelakkan amputasi serta memberi penjagaan dan pendidikan kesihatan kepada pesakit untuk mengelak daripada luka kencing manis," ujar Aminah.

Oleh sebab kesibukan penjaga, ramai pesakit yang terabai penjagaan lukanya hingga menyebabkan keadaan luka yang dihadapi menjadi lebih kronik dan risiko kehilangan nyawa. Justeru itu, pusat rawatan ini telah mewujudkan satu perkhidmatan yang pastinya memberi penyelesaian dan memberi harapan kepada pesakit dan penjaga.

Antara perkhidmatan yang disediakan di seni ialah rawatan di rumah, penjagaan harian, rawatan pembersihan luka kencing manis, rawatan kaki diabetes dan rawatan lintah.

Dalam pada itu, ketua perawat The Golden Steps, Liz See memberitahu memotong kaki atau bahagian yang luka bukan satu jalan penyelesaian kepada pesakit luka kencing manis. Menurutnya, sekiranya doktor memutuskan untuk melakukannya, pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan rawatan alternatif lain.

"Kebiasaannya, rawatan mencuci dan membersihkan luka ini hendaklah di lakukan oleh mereka yang berkemahiran, seperti jururawat atau perawat yang berpengalaman dan biasa mengendalikan pesakit luka kencing manis. Di sini kami mencuci luka pesakit sekali sehari. Kami menggunakan gamat terpilih. Orang ramai sering salah faham tentang penyapuan gamat pada luka. Jika teknik yang salah digunakan, daging berlebihan akan tumbuh pada kaki.

Sekiranya luka yang kecil segera dirawat dan dibersihkan menggunakan ubatan dan peralatan yang sesuai serta di lakukan oleh mereka yang berkepakaran dan berkemahiran, tentu sekali luka dapat disembuhkan atau menjadi minimum.

Malahan dengan cara ini dan dengan penjagaan kebersihan diutamakan, luka yang agak serius boleh pulih sehingga berkulit semula," ujarnya.

Berbeza dengan pusat rawatan lain, The Golden Steps mengambil satu pendekatan menyediakan perkhidmatan rawatan di rumah pesakit itu sendiri.

Selain membantu pesakit yang kurang berupaya untuk bergerak dan perlukan bantuan ahli keluarga untuk membawa mereka ke pusat rawatan, klinik atau hospital, kakitangan The Golden Steps dapat mengenali lebih dekat keluarga pesakit. Justeru itu, mereka mudah memberi panduan atau memantau keadaan kesihatan pesakit.

Gatal bahagian luar faraj

Soalan
SAYA ingin meminta pandangan dan nasihat doktor mengenai kesihatan saya. Saya mempunyai masalah gatal pada bahagian luar faraj sejak tiga tahun lalu. Akibat daripada menggaru, kawasan tersebut menjadi pedih apatah lagi ketika saya ingin membuang air.

Masalah ini hanya berlaku pada waktu malam sahaja iaitu ketika saya tidur, namun ada kalanya, ia berlarutan sehingga siang dan saya berasa amat tidak selesa. Saya telah mendirikan rumah tangga sejak setahun yang lalu. Masalah saya masih tidak berkurang malah bertambah teruk. Dan kebelakangan ini, saya menyedari terdapat beberapa lagi masalah timbul iaitu saya sukar untuk membuang air kecil atau besar.

Ketika saya bersama dengan suami pula, tiada cecair yang keluar dari faraj saya dan ini menyebabkan saya berasa sakit . Saya ingin mengetahui apakah sebenarnya masalah yang saya hadapi ini dan bagaimana saya perlu mengatasinya.

Untuk pengetahuan doktor, saya tidak pernah berjumpa mana-mana doktor kerana malu. Saya amat berharap doktor dapat membantu saya dalam masalah saya ini.

- Sofia, Lembah Klang.

JAWAPAN

Saya tahu kebanyakan wanita malu untuk berjumpa doktor apabila menghadapi masalah pada kemaluan atau faraj (vagina). Keadaan seperti rasa gatal, keluar lendir, sering membuang air kecil dan alat sulit berbau bukan perkara biasa yang dialami dan anda sebenarnya boleh mendapatkan rawatan bagi menangani masalah berkenaan.

Malangnya ramai wanita menganggap keadaan berkenaan berlaku seiring dengan usia atau masalah biasa selepas kedatangan haid. Ada kalanya, keadaan itu boleh menjejaskan mutu kehidupan termasuk aktiviti harian tidak berjalan dengan lancar berikutan rasa kurang selesa.

Masalah jangkitan pada faraj sering kali berlaku pada wanita tanpa mengira latar belakang dan usia, sama ada bagi yang sudah mendirikan rumah tangga dan juga yang masih remaja. Bagaimanapun masih ramai lagi wanita pada masa kini, kurang berpengetahuan mengenai punca gejala masalah itu dan sering mengabaikan cara rawatan yang betul.

Infeksi

Ada juga penyebab lain yang menimbulkan masalah yang sama seperti mana yang dihadapi oleh puan. Salah satunya adalah, infeksi cacing kremi (Oksiuriasis, Enterobiasis). Ia adalah suatu infeksi parasit yang terutama menyerang anak-anak, dimana cacing Enterobius vermicularis berkembang biak di dalam usus. Kebiasaannya ia menyebabkan rasa gatal yang hebat di sekitar anus, kurang tidur (biasanya kerana rasa gatal yang timbul pada malam hari ketika cacing betina dewasa bergerak ke kawasan anus (dubur) dan menyimpan telurnya di sana), rasa gatal atau iritasi pada bahagian faraj (jika cacing dewasa masuk ke dalam faraj) dan di sekitar anus menjadi melecet, kasar, atau terjadi infeksi (akibat kerap menggaru).

Infeksi cacing kremi dapat disembuhkan melalui pemberian ubat anti-parasit seperti mebendazole, albendazole atau pirantel pamoat. Seluruh anggota keluarga dalam satu rumah harus mengambil ubat tersebut kerana infeksi berulang boleh menyebar dari satu orang kepada yang lainnya. Untuk mengurangi rasa gatal, boleh dioleskan krim anti gatal ke kawasan sekitar anus sebanyak dua hingga tiga kali/hari.

Kudis buta

Penyakit lain yang boleh menimbulkan gejala gatal pada luar faraj adalah penyakit scabies atau dikenali juga sebagai kudis buta. Scabies adalah penyakit kulit yang disebabkan oleh infestasi hama anthropod yang dikenali sebagai Sarcoptes scabie. Penyakit ini disebarkan melalui pendedahan yang berpanjangan kepada mereka yang mengidap scabies ini.

Organ utama yang terlibat adalah kulit di mana hama scabies betina akan masuk ke dalam kulit dan meninggalkan bahan-bahan buangannya (debris), telur dan najis hama ini. Keadaan ini menyebabkan tindakbalas alergi berlaku dan menyebabkan kesan gatal-gatal dan reaksi imunologi pada kulit. Kesan utama apabila terkena scabies adalah gatal pada badan terutamanya pada waktu malam.

Rawatan

Rawatan adalah dengan memberi ubat sapu (untuk membunuh scabies dewasa, larva dan telur) pada seluruh anggota badan (leher ke bawah) yang perlu disapu pada waktu malam untuk tiga malam berturut-turut dan dibiarkan sehingga esok pagi baru dicuci.

Adalah penting untuk merawat anggota keluarga yang tinggal serumah bagi mengelakkan jangkitan ini daripada berulang. Pakaian, selimut, sarung bantal serta apa-apa yang dipakai perlulah dicuci dan direndam dalam air panas mendidih untuk membunuh scabies, larva atau telur yang melekat pada pakaian tersebut.

Hanya dengan cara meniadakan penyebab gatal-gatalnya, keluhan yang biasa mengganggu tidur malam itu, boleh diredakan. Kebersihan kemaluan ditingkatkan dengan membersihkan menggunakan air bersih, pemakaian pakaian dalam yang tidak ketat dan dibuat dari bahan kain kapas. Hindarkan pemakaian sabun, pengharum pada faraj (vagina), serta jenis ubat-ubatan yang dapat mengiritasi permukaan kemaluan. Pilihlah sabun bayi dan bukan sabun wangi apalagi deterjen.

Bagi Puan Sofia, usah malu dan janganlah melengah-lengahkan untuk mendapat perawatan. Berjumpalah dengan doktor dan rawatan yang terbaik dapat diberikan.

Menorrhagia jejas kualiti hidup

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto AMIN FARIJ HASSAN

MUNGKIN ramai yang tidak biasa mendengar perkataan menorrhagia. Namun ia bukan sesuatu yang asing.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Haw Wan Lye berkata, hampir tiga puluh peratus atau tiga daripada 10 wanita mengalami haid yang berlebihan atau menorrhagia dari tempoh mereka baligh sehingga menopaus.

"Namun mereka mungkin malu untuk berbicara mengenainya dan ramai yang tidak faham bahawa menorrhagia sebenarnya satu masalah yang boleh dirawat.

"Kebanyakan mereka hanya membiarkan sahaja walaupun menyedari ia sebenarnya sangat mengganggu aktiviti harian, sosial dan kekeluargaan," kata beliau.

Malah katanya, lebih merunsingkan kerana menorrhagia juga sangat berkait dengan mood seseorang.

Mereka yang mengalami masalah ini akan mendapat simptom seperti sakit ketika haid, rasa pening disebabkan anemia, sesak nafas dan sakit kepala.

"Bayangkan jika anda perlu berdepan dengan masalah ini setiap kali haid, pasti ia mengganggu aktiviti dan mood seharian bukan?" katanya.

Jelas beliau, haid luar biasa dengan kuantiti yang berlebihan untuk tempoh yang lama boleh dikelaskan sebagai menorrhagia. Atau andai anda mengalami haid melebihi tujuh hari atau ia terlalu banyak sehingga memaksa anda menukar lampin wanita setiap satu atau dua jam, itu menandakan anda sedang mengalami masalah menorrhagia.

"Sebenarnya untuk menentukan sama ada seseorang itu mengalami menorrhagia tidak sukar. Namun kadangkala ia agak subjektif kerana dari segi pertukaran lampin wanita, ada sesetengahnya kerap menukar kerana berasa tidak selesa," kata beliau.

Bagaimanapun kata kata Dr. Haw, seseorang itu mungkin tidak sedar mereka mengalami menorrhagia kerana menganggap pendarahan mereka normal kerana ia berlaku setiap bulan tanpa berbincang dengan orang lain.

Tambah Dr. Haw lagi, masalah itu bukan sekadar melibatkan keadaan fizikal sahaja malah 60 peratus wanita yang mengalaminya terpaksa melupakan aktiviti sosial dan bersukan, 80 peratus terganggu aktiviti seksual manakala 33 peratus lagi menjejaskan urusan di tempat kerja.

Dari segi emosi pula, 77 peratus mengalami kemurungan dan moody, 75 peratus rasa berdebar-debar dan 57 peratus lagi hilang keyakinan diri.

Punca & rawatan

Masalah haid berlebihan sering berlaku kepada wanita pada peringkat berbeza dalam kehidupan mereka, kata Dr. Haw.

Biasanya ia berlaku kepada wanita berusia 30 hingga 45 tahun yang melakukan perancangan keluarga melalui kaedah mengikat salur falopian, sedang mengambil hormon atau berhenti pengambilan hormon serta wanita yang menghampiri menopaus.

Dr Haw berkata, terdapat pelbagai punca yang sering dikaitkan dengan menorrhagia.

"Ia mungkin disebabkan hormon tiriod yang tidak aktif, fibroid, polip atau kanser di dalam rahim. Namun seandainya tiada masalah yang disebutkan tadi, maka ia baru dipanggil menorrhagia," kata beliau.

Pakar kata beliau akan melakukan ujian bagi mengenal pasti andai mengalami masalah tersebut melalui beberapa siri ujian seperti anemia dan pap smear bagi mengenal pasti masalah berkaitan kanser rahim.

Selain itu, imbasan pada rahim untuk melihat sebarang keganjilan juga dilakukan bagi mengenalpasti jika terdapat masalah fibroid atau polip.

Jika tiada masalah tadi (disebut pendarahan rahim disfungsi- DUB), maka doktor akan menyarankan rawatan menorrhagia berdasarkan kepada tiga kategori.

"Biasanya ia dirawat melalui simptom terlebih dahulu misalnya, mereka yang hanya berasa sakit akan diberi ubat tahan sakit, manakala seandainya mengalami anemia akan diberi zat besi," kata beliau.

Pilihan rawatan lain adalah dengan pengambilan sejenis ubat bagi mengurangkan haid seperti ponstan dan transexamic acid dengan keberkesanan sehingga 66 peratus.

Jika cara di atas tidak membantu, pesakit akan disarankan menggunakan alat dalam rahim (IUD) seperti yang digunakan sebagai kaedah rancang kehamilan. Alat tersebut menurut doktor boleh bertahan selama lima tahun di dalam rahim.

Selain itu pil yang mengandungi hormon boleh membantu dan pengambilan perlu dilakukan selama tiga hingga enam bulan.

Mengikut prosedur lama, seandainya kesemua

Sekiranya kesemua cara di atas tidak berkesan, doktor akan menyarankan tiga kaedah bagi memusnahkan lapisan selaput dalam rahim melalui beberapa cara iaitu belon haba (75 peratus keberkesanan), gelombang mikro (80 peratus dan Novasure (95 peratus keberkesanan).

Rawat menorrhagia dengan Novasure

Digunakan lebih 10 tahun di Amerika Syarikat sebagai penyelesaian berkesan bagi mengatasi menorrhagia. Produk ini baru memasuki pasaran Malaysia lebih setahun yang lalu.

"Kaedah ini hanya melibatkan pembedahan invasif minimum yang tidak memerlukan pesakit bermalam di hospital," kata Dr. Haw.

Namun pesakit tetap akan diberi bius setempat atau keseluruhan bergantung kepada keadaan dan satu rod yang mengandungi tenaga radiofrekuensi dimasukkan melalui rahim. Menurut beliau, ia hanya mengambil masa lebih kurang 90 saat dan pesakit boleh pulang ke rumah selepas rawatan dijalankan.

Pesakit katanya tidak akan merasa sakit dan haid yang dialami berkurangan atau terhenti terus.

Mungkin ramai yang risau kerana bimbang mengalami menopaus apabila haid terhenti namun kata Dr. Haw, ia tidak berlaku.

"Perlu diingat bahawa hanya haid yang tidak datang tetapi pengeluaran hormon dan penghasilan telur pada ovari tetap berjalan seperti biasa. Jadi, proses menopaus tidak berlaku selagi ia belum sampai masanya," katanya.

Menurut beliau, rasa sakit yang berlaku ketika haid adalah disebabkan pengeluaran sejenis hormon dari badan akibat pendarahan iaitu prostagladin. Sekiranya pendarahan itu dihentikan, maka rasa sakit juga akan hilang.

Melalui kaedah Novasure jelas beliau lagi, kadar keberkesanan sangat tinggi iaitu sehingga 95 peratus dan sehingga kini, ia telah membantu lebih setuju wanita menangani masalah menorrhagia.

Menurutnya, kaedah itu kurang berisiko kecederaan ketika pembedahan dan pesakit pastinya tidak memerlukan histerektomi.

Namun katanya kaedah ini hanya sesuai bagi mereka yang merancang untuk tidak memiliki anak lagi dan tidak sesuai buat wanita yang tidak berkahwin.

Seandainya rawatan Novasure masih tidak berkesan, langkah terakhir iaitu histerektomi terpaksa juga dijalankan.

Kecederaan boleh bawa maut

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar IZHAM JAAFAR

Khidmat terapi pertuturan juga diperlukan untuk membantu pesakit kelumpuhan korda vokal.

SUARA merupakan aset penting yang dimiliki setiap individu. Ia merupakan satu tenaga bunyi dengan getaran yang mempunyai ukuran gelombang tertentu dan terhasil daripada tekanan udara dari dalam binaan rongga tubuh manusia melibatkan paru-paru, korda vokal (vocal cord ) dan otot-otot di dalam peti suara (larinks) serta bahagian atas laluan (trek) suara iaitu lidah, lelangit, pipi (sinus) dan bibir .

Suara terhasil apabila berlaku getaran di korda vokal yang merupakan sepasang jaluran tisu di bahagian paling atas saluran pernafasan trakea di dalam kotak atau peti suara.

Korda vokal diselaputi oleh tulang rawan tiroid (thyroid cartilage) di bahagian hadapan dan tulang rawan aritenoid (arytenoids cartilage ) di bahagian belakang.

Korda vokal bersama-sama otot dan tulang rawan yang menyokongnya dipanggil larinks (kotak atau peti suara)

Dari segi biologi, larinks bertindak sebagai injap untuk melindungi bahagian pernafasan serta paru-paru.

Kedudukannya adalah bertepatan di mana saluran pernafasan dan makanan (esophagus) terpisah.

Bagi korda vokal, ia akan berada pada kedudukan membuka untuk membolehkan pernafasan berlaku dan menutup semasa menelan untuk mengelakkan makanan daripada memasuki paru-paru dan ia juga tertutup semasa bercakap.

Menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Kelana Jaya Medical Centre, Dr. Samril Bokari, sekiranya berlaku kecederaan saraf pada korda vokal ia mampu menjejaskan fungsi-fungsi yang dilakukan oleh korda vokal seperti pernafasan, menelan dan juga bertutur.

Tambah beliau lagi, kedua-dua korda vokal ini dikawal oleh saraf yang dipanggil Rekuren Larinks (Recurent Laryngeal Nerve).

"Jika terjadinya kerosakan pada saraf tersebut sama ada sepenuhnya (total paralysis) atau separa (paresis), kelumpuhan korda vokal boleh berlaku.

"Dalam keadaan tersebut korda vokal tidak dapat membuka dan menutup secara sepenuhnya bagi kelumpuhan separa manakala dalam kelumpuhan sepenuhnya korda vokal tidak bergerak langsung.

"Begitupun, apa yang boleh menyebabkannya membawa maut ialah sekiranya kedua-dua korda vokal tidak berfungsi ia akan mengakibatkan seseorang itu sukar untuk bernafas," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, antara penyebab berlakunya kelumpuhan korda vokal ialah ketumbuhan di peti suara, trauma di bahagian leher akibat kemalangan pembedahan leher (terutamanya kelenjar tiroid) dan pembedahan bahagian atas dada.

Selain itu, neurotoxin atau terdedah kepada bahan-bahan seperti berbahaya seperti lead, arsenik dan merkuri, jangkitan kuman, jangkitan virus, kecacatan kontigental serta idiopatik (tidak diketahui punca) juga boleh menyebabkan kelumpuhan korda vokal.

Menurut Dr. Samril, apabila korda vokal mengalami kelumpuhan, individu tersebut akan mendapati ada perubahan serta kelainan pada dirinya.

Katanya, kelumpuhan pada korda vokal terbahagi kepada dua iaitu kelumpuhan melibatkan sebelah korda vokal sahaja (unilateral) atau melibatkan kedua-dua belah korda vokal (bilateral).

Mengikut statistik, kelumpuhan unilateral adalah lebih kerap berlaku berbanding dengan kelumpuhan bilateral dan korda vokal sebelah kiri mempunyai kebarangkalian cedera atau lumpuh dua kali ganda berbanding sebelah kanan atas faktor anatomi saraf tersebut.

Daripada statistik tersebut juga turut mencatatkan perempuan mempunyai risiko 33 peratus lebih tinggi berbanding lelaki mengalami kelumpuhan ini.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, simptom yang dapat dilihat jika seseorang mengalami kelumpuhan unilateral ialah suara yang termengah-mengah, suara menjadi kasar atau serak, tidak boleh bertutur dengan suara yang kuat dan kualiti suara juga berubah.

Manakala simptom bagi individu yang mengalami kelumpuhan bilateral pula mereka akan mengalami kesukaran bernafas, pernafasan berbunyi dengan kuat (stridor), kesukaran menelan menyebabkan batuk atau tersedak semasa makan serta komplikasi akibat tersedak makanan seperti pneumonia.

Begitupun, bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, mereka yang mengalami simptom-simptom di atas bolehlah membuat pemeriksaan di mana-mana klinik atau hospital.

Malah menurut Dr. Samril lagi, kelumpuhan korda vokal boleh dikesan pada peringkat awal dengan melakukan pemeriksaan menggunakan kamera endoskopi sama ada dimasukkan melalui hidung ataupun mulut.

"Pemeriksaan menggunakan kamera endoskopi ini membolehkan korda vokal dilihat serta pergerakannya boleh diuji dengan mengeluarkan suara atau semasa rehat.

"Dalam masa yang sama, anatomi sekelilingnya juga boleh diperiksa atau dilihat untuk mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang ketumbuhan," katanya.

Sudah pasti setiap penyakit ada cara rawatannya dan begitu juga bagi mereka yang mengalami kelumpuhan korda vokal.

Bagi pesakit kelumpuhan bilateral rawatannya ialah melalui pembedahan trakeostomi atau pembedahan laser (laser cordectomy), manakala kelumpuhan korda vokal unilateral boleh dirawat dengan i suntikan kolagen, lemak, tisu graf dan teflon.

Selain itu, khidmat terapi pertuturan juga diperlukan untuk membantu pesakit-pesakit kelumpuhan korda vokal menjalani rehabilitasi suara sebelum atau selepas pembedahan atau pun untuk kes-kes yang tidak memerlukan pembedahan.

Jadi dalam erti kata lain, korda vokal anda perlulah dijaga agar ia tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun kelumpuhan agar tidak mengganggu sebarang tugasan mahupun komunikasi harian anda.

Ketahui risiko pasangan

Oleh DR L.Y. KAM

UJIAN kesihatan membantu mengenal pasti masalah dan risiko yang bakal dihadapi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga serta anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemofilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 ialah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir tahun 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan ialah wujudnya peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada tahun 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Sebanyak 70 peratus daripada wanita mendapat jangkitan virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Lebih membimbangkan, pengetahuan penduduk negara ini mengenai jangkitan HIV masih belum memuaskan.

Hanya setengah (49.6 peratus) tahu dengan tepat cara jangkitan virus HIV dan dua pertiga (63 peratus) tahu bahawa risiko mendapat HIV boleh dikurangkan dengan menggunakan kondom secara betul ketika melakukan hubungan seks.

Antara ujian lain yang turut disarankan ialah saringan penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan tiga hingga lima peratus atau satu dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga satu juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini. 3

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Di negara kita, imunisasi Hepatitis B sudah dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan sejak 1989, jadi semua bayi yang lahir pada atau selepas 1989 sudah mendapat perlindungan daripada virus berkenaan. Bagaimanapun individu yang lahir sebelum 1989 disaran menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan vaksin.

Ujian kesihatan pra perkahwinan ini bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif. 2

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang akan dihadapi oleh pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Ini kerana jika dua pembawa penyakit berkahwin, kebarangkalian mempunyai anak-anak yang mendapat penyakit adalah sangat tinggi. Apa yang dikhuatiri ialah kemungkinan anak mewarisi penyakit pada tahap yang serius.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatan yang perlu demi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

PENULIS ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB

Saturday, October 8, 2011

Senaman udara dan terbalik

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Amira berasa lebih rileks, segar dan tidak mudah letih selepas mengamalkan senaman ini.

SEBELUM ini, Amira Hani Umar sering mengalami masalah tidur tak lena hampir setiap malam. Dia cepat berasa letih dan kadang-kadang terjaga daripada tidur. Apa yang merisaukan, dia sering mengalami kekejangan kaki.

"Seperti kebanyakan wanita yang sibuk dengan kerjaya, saya sering keletihan. Bukan masalah tidur sahaja bahkan saya merasakan bentuk badan besar dan rangka seperti lelaki. Suatu hari, saya mengalami kekejangan kaki yang merumitkan keadaan. Esoknya saya bangun dengan letih walaupun tidur cukup lapan jam,” ceritanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemubual di sebuah studio tarian, Dreams di Subang Jaya, Selangor.

Namun, penderitaan yang disangka berpanjangan itu kini mulai berkurangan. Semuanya gara-gara amalan teknik senaman yang mungkin tidak pernah terlintas di ruang pemikiran iaitu menggunakan fabrik lycra untuk bergantung dan bergayut yang dikenali sebagai fly fitness.

“Banyak perubahan. Saya berasa lebih rileks, segar dan tidak mudah letih. Kelas fly fitness juga menolong saya mengawal emosi. Lenturan tubuh memberikan lebih fleksibiliti kepada pergerakan anggota badan dan ini membantu saya tidur nyenyak pada waktu malam. Semasa berada dalam bilik bersuhu panas, saya juga berpeluang mengeluarkan peluh yang tidak baik untuk kesihatan,” katanya konsultan perhubungan awam dan pengajar fly fitness itu.

Mungkin kedengaran pelik dan tidak masuk akal tetapi jangan terkejut jika senaman ini sudah pun mewujudkan fenomena baru di kalangan masyarakat tempatan yang mahukan senaman ceria tanpa risiko kecederaan yang tinggi.

Populariti senaman ini hampir menyamai taraf yoga yang sudah lama dikenali ramai. Menurut Amira, amalan senaman seperti terbang itu telah mengurangkan masalah kekejangan yang dihadapinya.

Bebanan pelbagai penyakit yang dialaminya termasuk artritis, perut buncit dan kelesuan ekoran kepenatan bekerja juga telah menampakkan perbezaan ketara selepas hampir setahun tahun dia mempraktikkan senaman ini.

Fly fitness direka untuk membentuk keseimbangan, fleksibiliti, penguatan otot dan pembentukan abdomen dengan lembut dan tenang.

Gabungan

Berbeza dengan senaman lain yang mungkin hanya berkaitan dengan kekuatan otot, fly fitness dikatakan memberi ketenangan fizikal dan rohani.

Fly fitness di Malaysia ilham pengasas Studio Tarian Dreams, Reiko Soo, membabitkan senaman menggunakan fabrik lycra yang digantung seperti buai. Kain lycra digunakan untuk bersenam atau mengantungkan diri termasuk berada dalam keadaan terbalik.

“Dengan berada dalam keadaan terbalik, kepala ke bawah, kaki ke atas, ia dapat mengimbangi tubuh dan baik untuk tulang belakang,” ujar Reiko.

Dia mendapati berada dalam keadaan terbalik dalam buaian, posisi ini turut melegakan tubuh.

Senaman ini juga akan menggunakan kain yang digantung sebagai sebahagian daripada senaman.

Ia bukanlah peralatan menarik untuk terbang atau menggantungkan diri tetapi cara terbaik untuk melegakan tulang belakang.

Ia berbeza dengan senaman di lantai kerana masalah pergelangan tangan dan kaki yang boleh menyebabkan kekejangan atau terseliuh.

“Jika tulang seseorang mengalami tekanan akibat senaman di lantai, ia memberi kesan pada otot dan tulang belakang. Sebaliknya, saya mendapati senaman di udara lebih berjaya. “Menggunakan buaian tidak memberi tekanan kepada pergelangan tangan saya malah ia lebih menyeronokkan. Dalam buaian, anda boleh melupakan segala-galanya kecuali kesedaran terhadap minda dan tubuh.

Menurut Reiko, bergantung dalam keadaan terbalik memberi kesegaran sistem tubuh, melancarkan peredaran darah dan menyegarkan semula sistem tubuh.

Fly Fitness menggunakan beberapa disiplin senaman manakala kain yang digantung membolehkan peserta bergerak secara bebas dengan pelbagai kedudukan.

Sebagai permulaan, fly fitness hanya memberi tumpuan senaman asas seperti di atas lantai dan kemudiannya bergantung di dalam kain yang mungkin mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mahir sepenuhnya.

“Kini kami mempunyai kelas khusus untuk semua golongan. Orang ramai yang berminat boleh layari www.dreamsdancestudio.com atau hubungi talian 017-3311688.

Mereka perlu tahu, mengikuti kelas ini tiada persaingan kemahiran sebaliknya peserta dapat berinteraksi antara satu sama lain,” ujar Reiko yang menggalakkan orang ramai mengikuti latihan fly fitness satu jam sekali dalam seminggu.

Ketahui risiko pasangan

Oleh DR L.Y. KAM

UJIAN kesihatan membantu mengenal pasti masalah dan risiko yang bakal dihadapi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga serta anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemofilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 ialah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir tahun 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan ialah wujudnya peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada tahun 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Sebanyak 70 peratus daripada wanita mendapat jangkitan virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Lebih membimbangkan, pengetahuan penduduk negara ini mengenai jangkitan HIV masih belum memuaskan.

Hanya setengah (49.6 peratus) tahu dengan tepat cara jangkitan virus HIV dan dua pertiga (63 peratus) tahu bahawa risiko mendapat HIV boleh dikurangkan dengan menggunakan kondom secara betul ketika melakukan hubungan seks.

Antara ujian lain yang turut disarankan ialah saringan penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan tiga hingga lima peratus atau satu dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga satu juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini. 3

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Di negara kita, imunisasi Hepatitis B sudah dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan sejak 1989, jadi semua bayi yang lahir pada atau selepas 1989 sudah mendapat perlindungan daripada virus berkenaan. Bagaimanapun individu yang lahir sebelum 1989 disaran menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan vaksin.

Ujian kesihatan pra perkahwinan ini bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif. 2

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang akan dihadapi oleh pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Ini kerana jika dua pembawa penyakit berkahwin, kebarangkalian mempunyai anak-anak yang mendapat penyakit adalah sangat tinggi. Apa yang dikhuatiri ialah kemungkinan anak mewarisi penyakit pada tahap yang serius.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatan yang perlu demi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

PENULIS ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB

Sindrom Koronari Akut

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

RAMLI dalam usia lewat 30-an sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif. Terlalu sibuk hinggalah tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu Ramli hendak ke pejabat, dia mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar bernafas dan tiba-tiba pitam.

Apabila Ramli pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

"Ramli, anda telah mengalami serangan jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda," terang doktor.

Kisah Ramli adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung tetapi belum lagi didiagnosis. Oleh yang demikian, mereka menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung .

Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya merupakan gejala-gejala sakit jantung .

Umum sudah mengetahui dan mengakui bahawa penyakit kardiovaskular (CVD) adalah pembunuh utama di dunia.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit jantung adalah punca utama kematian yang dilaporkan di hospital-hospital kerajaan, iaitu 17 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia.

Jumlah ini tidak mengambil kira kematian di luar hospital kerajaan atau di rumah, yang tidak disahkan secara perubatan. Kita boleh membuat andaian bahawa CVD mungkin menjadi puncanya dalam kes-kes ini.

Insiden CVD ini jelas sedang meningkat. Pada tahun 2006, penyakit jantung adalah penyebab kedua kematian, iaitu 15.5 peratus daripada mereka yang meninggal dunia di hospital kerajaan.

Mulai 1996 hingga 2006, Malaysia menunjukkan peningkatan mendadak dalam penyakit yang dikaitkan dengan gaya hidup, termasuk 43 peratus peningkatan untuk darah tinggi, 88 peratus peningkatan dalam diabetes dan 250 peratus kenaikan bagi obesiti.

Semua penyakit berkaitan gaya hidup ini adalah faktor risiko bagi CVD, dan jika digabungkan dengan tabiat merokok serta kurang senaman fizikal, maka, risiko penyakit jantung dan kemungkinan serangan jantung akan meningkat dengan ketara.

Apakah Penyakit Kardiovaskular?

Bagi kebanyakan mereka yang bukan daripada latar belakang perubatan, terma "penyakit kardiovaskular" merujuk kepada serangan jantung. Dalam terma perubatan, "penyakit kardiovaskular" merujuk kepada satu kelas penyakit yang melibatkan jantung dan pembuluh darah. Sekiranya tidak diuruskan, didiagnosis atau dirawat dengan perubatan yang betul serta perubahan dalam gaya hidup, mungkin akan menjurus kepada keadaan yang dikenali sebagai sindrom koronari akut atau ACS.

Sindrom koronari akut adalah terma umum untuk menerangkan sakit dada secara tiba-tiba dan simptom-simptom lain akibat bekalan darah yang tidak mencukupi ke jantung. ACS menerangkan sakit dada yang dirasai seseorang semasa serangan jantung, atau dalam kes yang ekstrem, apabila seseorang terlibat dalam aktiviti fizikal ringan. Selalunya, ACS didiagnosis di hospital, apabila pesakit mengalami simptom awal atau semasa pemeriksaan perubatan berkala.

Dalam ACS, penyakit arteri koronari yang wujud boleh menyebabkan pengurangan aliran darah ke jantung. Selain itu, punca utama pengurangan aliran darah tersebut adalah aterosklerosis (iaitu pengumpulan plak pada dinding dalam arteri, menyebabkan arteri menjadi sempit dan mengehadkan aliran darah). ACS juga merujuk kepada angina tidak stabil (menandakan serangan jantung) atau serangan jantung yang sebenar (myocardial infarction), bergantung kepada tahap sekatan yang ada pada pembuluh darah. Namun, ACS boleh dirawat sekiranya cepat didiagnosis.

Biasanya, jika seseorang itu mengalami serangan jantung dan menerima rawatan dan penjagaan pada saat-saat genting, doktor mungkin membenarkannya keluar hospital dengan arahan untuk rawatan susulan dan menasihatinya supaya mengubah tabiat gaya hidupnya. Masalah mungkin timbul sekiranya pesakit menerima penjagaan optimum di hospital tetapi mungkin berhadapan dengan risiko kematian yang tinggi apabila keluar hospital dan kembali kepada rutin hariannya.

Rawatan ACS

Pesakit yang pernah mengalami insiden ACS mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk serangan jantung yang berikutnya, sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang, terutamanya apabila meninggalkan hospital dan kembali kepada komuniti. Risiko sebenar ini telah membawa kepada kaedah baru untuk penjagaan dan pengurusan pesakit serangan jantung yang efektif.

Spektrum penjagaan bagi pesakit ACS bukan sahaja terhad kepada ubat-ubatan untuk pengurusan kolesterol atau darah tinggi. ACS dilihat sebagai penyakit kronik yang memerlukan tindakan secara muafakat di kalangan penyedia penjagaan kesihatan. Selain itu, persekitaran tempat tinggal dan kerja juga mempunyai peranan dalam membantu pesakit kembali kepada tugas. Bergantung kepada keadaan ACS serta nasihat daripada doktor, pelarasan mungkin diperlukan bagi memastikan persekitaran yang kondusif bagi proses penyembuhan dan pemulihan.

Bagi mereka yang pernah mengalami ACS, kaedah baharu bermaksud mengelakkan "jerat" ACS - sokongan akut jangka pendek berbanding penjagaan dan pengurusan jangka panjang. Kaedah baru ini bermaksud pesakit ACS menerima tahap keselesaan di semua spektrum penjagaan, termasuk ubat-ubatan. Pemeriksaan berkala dengan doktor, pakar kardiologi klinikal atau pakar kardiologi intervensi untuk memantau keadaan jantung, serta pakar pemulihan profesional yang lain boleh memberikan perlindungan jangka panjang yang berkesan serta penambahbaikan yang jelas kepada kualiti kehidupan pasca-ACS.

B17 aprikot bantu terapi kanser

JIKA disebut mengenai penyakit kanser, ia boleh dihidap oleh sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan status.

Merujuk kepada data, kanser merupakan antara penyebab utama kematian di seluruh dunia d imana 40,000 kes kanser dikesan setiap tahun di Malaysia dengan 1 daripada 4 rakyat menghadapinya.

Pakar pemakanan dan perubatan dari seluruh dunia mengakui, faktor pemakanan merupakan antara penyumbang utama kepada kanser.

Ini kerana di zaman yang serba moden dan canggih ini, setiap hari kita tidak terlepas dari pengambilan makanan yang merupakan agen kepada kanser.

Menurut mereka, hampir 90 peratus makanan yang diambil bersifat asid dan mengandungi kandungan aditif yang tinggi seperti pewarna dan perasa tiruan, pemanis buatan, pengawet dan pelbagai lagi campuran bahan kimia yang merbahaya untuk kesihatan dan boleh menyebabkan kanser.

Akibatnya kita terdedah kepada keadaan tubuh berasid seterusnya system antibodi dan imunisasi badan menjadi lemah dimana keadaan ini boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kanser, darah tinggi, diabetis dan lain-lain yang boleh membawa maut dan membunuh manusia secara perlahan.

Pada 1952, Dr Ernes T Krebs, seorang Bio Kimia dan beberapa saintis perubatan mendakwa, penyakit kanser adalah penyakit kekurangan nutrisi tubuh badan.

Kajian terhadap haiwan liar yang hidup di hutan dikelilingi oleh persekitaran tumbuh-tumbuhan kaya dengan kompaun vitamin B17, tidak akan dijumpai mati akibat kanser. Sebaliknya haiwan yang dipelihara dalam zoo berkemungkinan besar mati akibat kanser walaupun diberi makanan yang kaya nutrien namun tidak mengandungi B17.

Puak Hunza di pergunungan Pakistan didapati hidup sehingga usia 120 tahun. Makanan utama mereka adalah biji-bijian aprikot yang kaya dengan vitamin B17. Pihak saintis perubatan turut kagum apabila mereka memiliki kesihatan yang tinggi dan tidak pernah dengar mengenai penyakit kanser.

Pakar perubatan berpengalaman dan bekas ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM, Prof Madya Dr Sayed Zainal Husin, mengakui biji aprikot mengandungi vitamin B17 paling tinggi yang dapat membantu mencegah dan merawat penyakit kanser. Menurutnya, dalam terapi metabolik, apabila vitamin B17 bertemu dengan sel kanser, enzim betaglucosidase yang hanya terdapat dalam sel kanser akan menguraikan elemen vitamin B17 seterusnya membunuh sel kanser.

Vitamin B17 yang berlebihan juga akan ditukar kepada elemen-elemen positif oleh enzim Rhodanese yang terdapat dalam tubuh badan untuk kesihatan sel-sel dan membantu mengurangkan keasidan serta toksin dalam darah seterusnya membantu meningkatkan keseimbangan PH dalam tubuh serta memperlahankan penyebaran kanser, mengurangkan kandungan kolestrol dan membantu merawat penyakit jantung dan diabetis.

Prof Madya Dr syed Zainal, merupakan penaung produk Apricon Farmas Health.

Katanya, vitamin B17 aprikot bukan sahaja diperkatakan di Malaysia malah keberkesanannya membantu melawan kanser turut diperakui oleh saintis-sainstis di seluruh dunia berdasarkan kajian saintifik dan ujian klinikal yang dilaksanakan.

Pandangan pakar & saintis mengenai Vitamin b17

Dr. Micheal Tait, Fountain of Life Clinic, Gold Coast, Australia

“Kanser adalah penyakit metabolik, terdapat bukti kukuh bahawa berlaku pengurangan Vitamin B17 daripada makanan harian kita adalah penyebab utama seseorang mendapat kanser”

Dr. Dean Burk, Pakar Kanser Jerman.

“Di bawah Mikroskop, kami masukkan vitamin B17 ke atas sel kanser dan kami dapati sel-sel kanser tersebut mati dengan cepat sekali”

Namun katanya, biji aprikot mentah yang diambil dan dimakan begitu sahaja amat berbahaya kerana ia terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantaran dari luar negara ke Malaysia. Ia boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan negatif terhadap tubuh bahan.

Untuk mengatasi masalah tersebut, syarikat pengeluar barangan kesihatan, TK Farmas Solution & Industries komited mengeluarkan satu produk Aprikot Vitamin B17 di mana biji aprikot tersebut diproses terlebih dahulu dengan penyelidikan klinikal dan teknologi farmaseutikal yang tinggi supaya bakteria, kulat dan sebarang radikal bebas dapat disingkirkan dan selamat dimakan.

Syarikat tersebut tampil dengan produknya yang dikenali sebagai Apricon Farmas Health yang merupakan produk pertama di Malaysia yang berunsurkan vitamin B17 yang amat diperlukan dalam tubuh badan manusia untuk meningkatkan sistem ketahanan dan imunisasi tubuh badan.

Produk ini mengandungi 100 peratus kapsul biji aprikot dimana biji aprikot diproses dengan kawalan piawaian farmaseutikal yang tinggi dimana pemprosesannya dijamin bersih dan selamat serta bebas dari sebarang campuran kimia bagi mengekalkan kandungan vitamin B17 yang tinggi.

Sementara itu, Presiden Kelab Prostar Malaysia,Dr Ismail Lasa berkata, Apricon Farmas Health kaya dengan vitamin B17 dan dapat membantu meningkatkan kecergasan seseorang sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan yang lain.

Syarikat TK Farmas Solution & Industries merupakan sebuah syarikat yang dinamik dan terdiri dari kakitangan yang sangat berpengalaman dan mahir dalam bidang perubatan, menghasilkan produk kesihatan terbaik dan berkualiti tinggi dengan harga yang kompetitif dan berpatutan.

Bagi mereka yang telah menggunakan produk Apricon ia ternyata memberi kesan memuaskan.

Khairun Nisa, 36, yang merupakan pesakit kanser payudara telah mengambil aprikot sebagai alternatif bagi membantu merawat penyakit yang dihidapinya. Ternyata ia memberikan perubahan positif.

Katanya, selepas beberapa bulan mengamalkan pemakanan aprikot yang kaya dengan vitamin B17, benjolan pada payudaranya makin menyusut dan menghilang.

Apricon Farmas Health mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berada di pasaran.