Saturday, October 29, 2011

Sindrom carpal tunnel berterusan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

PERNAHKAH anda rasa berdenyut-denyut dan kebas pada bahagian pergelangan tangan? Jika sakit yang dialami berpanjangan, anda mungkin mengalami keadaan yang dipanggil sindrom Carpal Tunnel (CTS).

Perunding Ortopedik, Artoroskopi dan Pembedahan Kecederaan Sukan dari Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Kol (B) Dr. Azmi Abdul Latiff berkata, CTS terjadi apabila saraf median yang terletak pada pergelangan tangan tersepit.

"Ia menyebabkan rasa kebas dan sakit pada ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan setengah bahagian pada jari kecil," katanya.

Terowong yang terletak di bahagian tengah pergelangan tangan katanya memberi laluan dan perlindungan kepada saraf median ke bahagian tangan. Tekanan yang berlaku menyebabkannya tidak berfungsi dengan normal serta menimbulkan rasa sakit dan kebas, seterusnya melemahkan bahagian tangan.

Menurutnya, simptom CTS bermula secara perlahan-lahan dengan rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan yang boleh melarat ke bahagian tangan dan lengan.

Sekitar dua hingga 15 peratus daripada populasi dunia dikatakan mengalami keadaan CTS dan ia biasanya lebih meluas di kalangan wanita berbanding lelaki.

Antara simptom yang biasanya terjadi adalah:

1. Kebas - pada bahagian tangan dan jari-jari tangan terutamanya ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dansebahagian jari manis tetapi tidak pula berlaku pada jari kecil kerana berlainan saraf. Rasa kebas ini akan menjadi lebih kuat terutamanya semasa memandu, semasa memegang objek seperti telefon atau surat khabar atau semasa bangun dari tidur.

2. Sakit dan berdenyut - yang terjadi pada sendi pergelangan tangan sehingga ke lengan atas, bahu atau ke tapak tangan dan jari, terutamanya selepas menggunakan tangan secara berterusan atau menggunakan tangan dengan kuat.

3. Rasa lemah - pada bahagian tangan dan boleh menyebabkan objek yang dipegang akan jatuh.

Risiko

Menurut Dr. Azmi, mereka yang berisiko menghidap sindrom ini adalah golongan yang mengalami tekanan pada tangan atau penggunaan tangan yang berlebihan dalam pekerjaan, terutamanya melibatkan penggunaan tangan atau pergelangan tangan secara berlebihan, berulang-ulang dan dengan kuat.

Contoh pekerjaan yang melibatkan pergerakan adalah seperti bekerja di kilang pemasangan yang menggunakan jentera berat. Selain itu, kerja berulang yang melibatkan menaip, memandu kereta, menjahit dan melukis turut dikaitkan dengan masalah itu.

Mereka yang melibatkan diri dengan sukan yang menggunakan pergelangan tangan seperti pemain bola baling dan badminton turut tidak ketinggalan menghidapi masalah CTS, begitu juga dengan pemain muzik profesional.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko menghidap sindrom ini adalah:

1. Penyakit artritis iaitu penyakit sendi mudah diserang sakit pada sendi pergelangan tangan.

2. Penyakit lain yang melibatkan gangguan hormon seperti diabetes, gangguan tiroid dan menopaus atau keadaan yang menyebabkan takungan cecair badan seperti wanita hamil.

3. Kegemukan. Apabila berat badan bertambah, maka lemak-lemak turut bertambah pada bahagian tertentu seperti tangan menyebabkan saraf median menyempit.

4. Wanita mengalami tiga kali lebih risiko berbanding dengan lelaki. Kebanyakannya berlaku selepas menopaus.

5. Wanita yang hamil dan mereka yang menggunakan pil perancang keluarga. CTS yang berlaku semasa hamil biasanya akan hilang selepas melahirkan anak.

6. Mereka yang merokok juga akan mengalami simptom CTS yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Diagnosis

Sekiranya ada simptom dan tanda CTS, doktor akan mencadangkan untuk melakukan beberapa ujian seperti:

1. Electromygram: Untuk menentukan bahawa kerosakan otot pada bahagian tangan sudah berlaku atau tidak.

2. Nerve conduction study: Untuk melihat sama ada impuls elektrik saraf menjadi perlahan atau tidak.

Saraf median yang menyebabkan terjadinya simptom CTS tidak memberikan perubahan deria rasa pada jari kecil tangan.

Tanda lain seseorang menghidap sindrom ini adalah masa berlakunya simptom tersebut.

Masa simptom CTS timbul adalah semasa memegang objek seperti telefon, surat khabar, memegang stereng ketika memandu atau ketika bangun dari tidur pada waktu pagi.

Doktor juga akan memeriksa deria rasa pada jari dan kekuatan otot-otot pada tangan.

Dengan menekan tangan secara membongkokkan pergelangan tangan (phalen's sign) atau mengetuk pada bahagian pergelangan tangan (tinel's sign) turut akan menyebabkan simptom CTS semakin jelas dan teruk.

Pesakit yang mendapatkan rawatan perlu memastikan dan memaklumkan doktor tempat di mana simptom dan tanda-tanda CTS berlaku sekitar bahagian tangan.

Rawatan

Pesakit yang mengalami simptom yang tidak teruk boleh mengurangkan rasa sakit dan kebas dengan mengambil lebih banyak masa untuk merehatkan tangan atau membuat pek ais untuk mengurangkan bengkak pada tangan.

Terdapat juga kaedah rawatan lain yang melibatkan pembedahan atau tanpa bedah.

Kaedah tanpa pembedahan melibatkan:

Anduh: mengurangkan pergerakan pada pergelangan tangan akan mengurangkan simptom terutamanya pada waktu malam (layari laman web futuro.com.my). Namun alat ini hanya berkesan untuk keadaan CTS pada peringkat awal.

non-steroidal anti-inlammatory drug (NSAIDs): Menggunakan ubat mengurangkan bengkak untuk mengurangkan rasa sakit terutamanya mereka yang mengalami kesakitan disebabkan oleh keadaan yang berkaitan dengan pembengkakan bahagian tangan.

steroid: Suntikan ubat jenis steroid ke dalam bahagian carpal tunnel boleh mengurangkan kesakitan. Pengambilan steroid secara oral pula mungkin tidak dapat mengurangkan simptom.

Kaedah pembedahan pula mungkin terpaksa dilakukan dalam keadaan di mana simptom tidak dapat dirawat menggunakan cara lain atau simptom terus berlarutan dan bertambah teruk.

Pembedahan boleh dilakukan dengan cara endoskop atau dengan membuat pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan.

Doktor akan membuat hirisan pada ligamen carpal yang memberi tekanan pada saraf median.

Pembedahan boleh memberi perubahan yang ketara pada simptom Sindrom Carpal Tunnel tetapi kadangkala kesan seperti kebas, lemah tangan dan kesakitan mungkin akan berlarutan untuk satu tempoh masa tertentu. Menurut Dr Azmi, walaupun begitu, pembedahan diyakini mampu mengatasi masalah CTS daripada berulang lagi. Lebih 70 peratus pesakit mengakui kesakitan mereka hilang selepas pembedahan.

Perubahan di tempat kerja boleh membantu mengatasi masalah CTS anda. Cuba:

1. Peralatan khas termasuk papan menaip, tetikus yang berlainan jenis dan alas tetikus yang empuk.

2. Pastikan papan menaip idak terlalu rendah untuk memastikan tangan anda tidak membengkok ke atas semasa menaip.

3. Pastikan juga kedudukan siku diampu ketika menaip bagi menggalakkan sokongan pada seluruh tangan. Ergonomik ketika melakukan kerja mampu mengelakkan masalah CTS.

4. Lakukan senaman pada kawasan pergelangan tangan dengan kerap. Ambil masa untuk merehatkan tangan selepas melakukan sesuatu untuk tempoh yang lama dan berterusan.

No comments: