Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Amira berasa lebih rileks, segar dan tidak mudah letih selepas mengamalkan senaman ini.
SEBELUM ini, Amira Hani Umar sering mengalami masalah tidur tak lena hampir setiap malam. Dia cepat berasa letih dan kadang-kadang terjaga daripada tidur. Apa yang merisaukan, dia sering mengalami kekejangan kaki.
"Seperti kebanyakan wanita yang sibuk dengan kerjaya, saya sering keletihan. Bukan masalah tidur sahaja bahkan saya merasakan bentuk badan besar dan rangka seperti lelaki. Suatu hari, saya mengalami kekejangan kaki yang merumitkan keadaan. Esoknya saya bangun dengan letih walaupun tidur cukup lapan jam,” ceritanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemubual di sebuah studio tarian, Dreams di Subang Jaya, Selangor.
Namun, penderitaan yang disangka berpanjangan itu kini mulai berkurangan. Semuanya gara-gara amalan teknik senaman yang mungkin tidak pernah terlintas di ruang pemikiran iaitu menggunakan fabrik lycra untuk bergantung dan bergayut yang dikenali sebagai fly fitness.
“Banyak perubahan. Saya berasa lebih rileks, segar dan tidak mudah letih. Kelas fly fitness juga menolong saya mengawal emosi. Lenturan tubuh memberikan lebih fleksibiliti kepada pergerakan anggota badan dan ini membantu saya tidur nyenyak pada waktu malam. Semasa berada dalam bilik bersuhu panas, saya juga berpeluang mengeluarkan peluh yang tidak baik untuk kesihatan,” katanya konsultan perhubungan awam dan pengajar fly fitness itu.
Mungkin kedengaran pelik dan tidak masuk akal tetapi jangan terkejut jika senaman ini sudah pun mewujudkan fenomena baru di kalangan masyarakat tempatan yang mahukan senaman ceria tanpa risiko kecederaan yang tinggi.
Populariti senaman ini hampir menyamai taraf yoga yang sudah lama dikenali ramai. Menurut Amira, amalan senaman seperti terbang itu telah mengurangkan masalah kekejangan yang dihadapinya.
Bebanan pelbagai penyakit yang dialaminya termasuk artritis, perut buncit dan kelesuan ekoran kepenatan bekerja juga telah menampakkan perbezaan ketara selepas hampir setahun tahun dia mempraktikkan senaman ini.
Fly fitness direka untuk membentuk keseimbangan, fleksibiliti, penguatan otot dan pembentukan abdomen dengan lembut dan tenang.
Gabungan
Berbeza dengan senaman lain yang mungkin hanya berkaitan dengan kekuatan otot, fly fitness dikatakan memberi ketenangan fizikal dan rohani.
Fly fitness di Malaysia ilham pengasas Studio Tarian Dreams, Reiko Soo, membabitkan senaman menggunakan fabrik lycra yang digantung seperti buai. Kain lycra digunakan untuk bersenam atau mengantungkan diri termasuk berada dalam keadaan terbalik.
“Dengan berada dalam keadaan terbalik, kepala ke bawah, kaki ke atas, ia dapat mengimbangi tubuh dan baik untuk tulang belakang,” ujar Reiko.
Dia mendapati berada dalam keadaan terbalik dalam buaian, posisi ini turut melegakan tubuh.
Senaman ini juga akan menggunakan kain yang digantung sebagai sebahagian daripada senaman.
Ia bukanlah peralatan menarik untuk terbang atau menggantungkan diri tetapi cara terbaik untuk melegakan tulang belakang.
Ia berbeza dengan senaman di lantai kerana masalah pergelangan tangan dan kaki yang boleh menyebabkan kekejangan atau terseliuh.
“Jika tulang seseorang mengalami tekanan akibat senaman di lantai, ia memberi kesan pada otot dan tulang belakang. Sebaliknya, saya mendapati senaman di udara lebih berjaya. “Menggunakan buaian tidak memberi tekanan kepada pergelangan tangan saya malah ia lebih menyeronokkan. Dalam buaian, anda boleh melupakan segala-galanya kecuali kesedaran terhadap minda dan tubuh.
Menurut Reiko, bergantung dalam keadaan terbalik memberi kesegaran sistem tubuh, melancarkan peredaran darah dan menyegarkan semula sistem tubuh.
Fly Fitness menggunakan beberapa disiplin senaman manakala kain yang digantung membolehkan peserta bergerak secara bebas dengan pelbagai kedudukan.
Sebagai permulaan, fly fitness hanya memberi tumpuan senaman asas seperti di atas lantai dan kemudiannya bergantung di dalam kain yang mungkin mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mahir sepenuhnya.
“Kini kami mempunyai kelas khusus untuk semua golongan. Orang ramai yang berminat boleh layari www.dreamsdancestudio.com atau hubungi talian 017-3311688.
Mereka perlu tahu, mengikuti kelas ini tiada persaingan kemahiran sebaliknya peserta dapat berinteraksi antara satu sama lain,” ujar Reiko yang menggalakkan orang ramai mengikuti latihan fly fitness satu jam sekali dalam seminggu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment