Wednesday, May 22, 2013

Kebaikan epal hijau

Amalan memakan buah-buahan sememangnya digalakkan kerana ia mempunyai banyak khasiat untuk tubuh anda, namun tahukah anda kebaikan memakan epal hijau. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Ini kerana ia bukan sekadar mempunyai pelbagai khasiat malahan ia juga mampu mengurangkan kadar kolesterol dalam badan.

Epal hijau mengandungi zat besi, magnesium, potassium, kalsium, soldium, vitamin C, vitamin A dan vitamin B serta merupakan sumber serat yang mudah larut. Anda digalakkan memakan epal bersama dengan kulitnya kerana sebahagian kandungan vitamin C terletak di bawah kulitnya.

Epal hijau boleh juga boleh membantu mencegah:

• Pembinaan kolesterol dalam dinding salur darah.
• Mengurangkan risiko penyakit jantung.
• Membantu kesihatan membran paru-paru.
• Membantu kesihatan tulang dengan menambah bahan kimia (boron) pada mineral tulang.
• Membantu kesihatan sistem kardiovaskular dengan mengekalkan tahap kolesterol darah.
• Membantu mengekalkan berat badan.
• Mengurangkan tekanan penyakit asma.
• Mengurangkan risiko barah.
Bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit atau penghadaman, kisarkan epal hijau dengan saleri dan diminum setiap pagi sebelum sarapan. Ia dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksid dengan pantas menerusi system pencernaan. Zat masam epal hijau merupakan pembersih tubuh yang sangat baik.

Epal hijau juga bertindak sebagai penyegar kulit wajah. Potong epal hijau dan rendamkan seketika di dalam air batu selama 5 minit. Kemudian letakkan di muka, biarkan selama 15 minit. Anda akan dapat rasakan kesegarannya. Jika diamalkan selalu ia boleh melicinkan kulit.

Thursday, May 16, 2013

Mengapa lelaki tidak subur?


Sekiranya kepekatan sperma kurang daripada 20 juta per milimeter, peluang untuk hamil berkurangan.
SOALAN: Saya berumur 24 tahun dan berkahwin sebulan lalu. Suami yang berusia 35 tahun mengalami masalah kekurangan air mani. Mungkinkah ia menyebabkan saya tidak akan hamil? Untuk makluman doktor, kitaran haid saya normal setiap bulan.
Suami saya juga mengalami sakit kaki, terutama ketika cuaca sejuk. Adakah ia mempengaruhi air mani suami dan adakah cara untuk mengubati penyakitnya?
Mohon doktor jelaskan berkenaan masalah air mani ini.
- Aida, Kota Kinabalu
Jawapan
Anda menyatakan air mani suami kurang. Adakah perkara ini disahkan doktor atau hanya tekaan anda? Dalam kebanyakan kes infertiliti atau kesuburan dalam kalangan lelaki, puncanya adalah kurang jelas. Walau bagaimanapun, punca utama adalah disebabkan testis yang tidak normal. Punca yang lain adalah seperti duktul yang tersumbat, masalah kelenjar aksesori yang menghasilkan cairan seminal, gangguan hormon, teknik hubungan seks yang kurang berkesan dan faktor psikologi. Masalah testis tidak normal berlaku apabila testis tidak turun ke skrotum (walaupun telah menjalani pembedahan) dan jangkitan beguk merupakan punca utama infertiliti.
Punca lain yang dikenal pasti adalah seperti proses inflamasi yang berlaku daripada jangkitan atau kecederaan pada testis. Pengembangan vena varikosel (varicose) dalam skrotum atau dikenal sebagai varikosel boleh mengurangkan bilangan dan motiliti sperma. Sesetengah bahan kimia dan ubat-ubatan boleh mengakibatkan kegagalan fungsi testis. Keadaan ini biasanya terjadi selepas penggunaan ubat yang dipanggil sitotoksik (cytotoxics) untuk rawatan kanser, terutamanya kanser darah atau kanser kelenjar testis. Terapi kesan radiasi atau X-ray ke atas testis juga boleh menyebabkan infertiliti dengan merosakkan tubul seminiferous. Sperma tidak boleh dihasilkan apabila saluran duktus yang tersumbat. Hal ini terjadi akibat jangkitan gonorea, atau sesetengah lelaki memang dilahirkan dengan saluran duktus yang sempit. Kelenjar-kelenjar seperti seminal vesikel, prostat dan bulbouretra dipanggil kelenjar seks aksesori dan menyumbang ke arah pembentukan air mani. Sekiranya kelenjar-kelenjar ini turut dijangkiti, maka sperma tidak normal akan terhasil. Selalunya, masalah kawalan hormon menyebabkan hormon perangsang folikel dan hormon peluteinan yang dihasilkan tidak mencukupi.
Mati pucukHubungan seks yang tidak normal berlaku apabila penetrasi yang kurang berjaya, lelaki yang mati pucuk atau disfungsi ereksi dan bukaan zakar yang tidak berada di hujung. Seperti yang dibincangkan sebelum ini, masalah kawalan otot pada bahagian bawah zakar menyebabkan air mani diejakulasi ke dalam pundi kencing atau dikenal juga sebagai retrograde ejaculation. Masalah psikologi, masalah kesihatan atau stres juga mengganggu penghasilan air mani. Gangguan emosi boleh merencatkan penghasilan hormon dan pengaliran darah ke testis.
Secara purata, amaun air mani yang diejakulasi oleh seorang lelaki sebanyak 1 hingga 4 milimeter. Biasanya, lebih daripada 50 juta sperma yang terkandung setiap 1 milimeter yang diejakulasi. Sekiranya kepekatan sperma kurang daripada 20 juta per milimeter, peluang untuk hamil berkurangan. Selain itu, bilangan sperma yang mampu untuk bergerak juga sangat penting. Bagi lelaki yang subur, terdapat sekurang-kurangnya 50 peratus sperma yang mampu bergerak aktif. Semasa analisis air mani dijalankan, sperma yang bergerak dalam garisan lurus diperhatikan. Sekurang-kurangnya, 25 peratus sperma yang bergerak secara progresif. Aspek lain yang dilihat ialah rupa bentuk atau morfologi sperma. Apabila dilihat di bawah mikroskop, sperma manusia yang normal mempunyai kepala yang bujur dan ekor. Ada juga sperma mempunyai kepala, saiz dan ekor yang abnormal. Akan tetapi, sperma yang normal hendaklah merangkumi sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan sperma. Jika peratusan sperma yang abnormal melebihi 75 peratus, kualiti kesuburan akan merosot.
Pengiraan bilangan sperma dilakukan di makmal dengan menggunakan mikroskop. Amaun air mani yang diejakulasi diukur dan kepekatan sperma ditentukan dalam satu juta per milimeter. Spesimen sperma diproses di atas slaid mikroskop, diletakkan bahan kimia khas dan dibiarkan kering. Proses ini membolehkan bentuk sperma dikaji dengan lebih teliti.
Mengenai sakit tumit ketika cuaca sejuk, suami puan perlu jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan tapak kakinya. Daripada pemeriksaan itu, doktor boleh tahu jika struktur tumit dan tapak kakinya normal atau tidak. Masalah ini tiada kaitan dengan masalah kurang air mani.
Anda berdua perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan dan dengan itu perawatan sebenar dapat diberikan.

Bedah dalam sedar


Pemedahan Awake Craniotomy dilakukan semasa pesakit dalam sedar.
PADA pertengahan bulan Januari lalu, sebelah kiri badan saya terasa kebas. Mula-mula tangan saya tidak boleh menggenggam," kata pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Is yang berjaya menjalani pembedahan otak secara sedar.
Pembedahan berkenaan dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ramesh Kumar.
Kemudian sebelah badannya terasa kebas sehingga ke bahagian pinggang dengan kekerapan tiga kali seminggu.
�Saya yang merasa tidak sedap hati dengan keadaan kesihatan pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berhampiran rumah.
�Doktor menganjurkan saya ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana saya mungkin mengalami minor strok," katanya.
Pada 23 Januari, Is memilih untuk mendapatkan rawatan di PPUKM kerana berhampiran dengan rumah.
Di sana doktor melakukan pelbagai jenis pemeriksaan dan dia terus mendapatkan rawatan.
Selepas berulang-alik ke hospital, akhirnya Is dimasukkan ke wad pada 4 Februari untuk menjalani pembedahan.
Imbasan MRI menunjukkan Is mempunyai kelainan seperti tumor di bahagian otak kanan dan memerlukan pembedahan segera untuk membuangnya.
�Tetapi saya rasa terperanjat apabila Pakar Bedah Neurologi Prof Madya Dr. Ramesh Kumar memberikan dua pilihan kepada saya.
Pertama, pembedahan biasa yang mempunyai risiko untuk lumpuh separuh badan.
Kedua, pembedahan yang dilakukan dalam keadaan sedar yang dapat menyelamatkan daripada risiko lumpuh. Apa yang diberitahu oleh Dr. Ramesh sebagai Awake Craniotomy," katanya.
Pembedahan dengan sedar? Pening kepala Is memikirkannya. Dr. Ramesh memberitahu bagaimana pembedahan dijalankan.
Dr. Ramesh semasa ditemui semasa sidang media Awake Craniotomy di PPUKM baru-baru ini menjelaskan, pembedahan begini sering dijalankan untuk mengeluarkan ketumbuhan yang berada di bahagian otak dikenali sebagai �Eloquent Brain�.
�Ini adalah bahagian yang mengawal fungsi penting seperti komunikasi, persepsi, interaksi dan pergerakan.
�Bahagian tersebut mengurus deria, pergerakan dan pertuturan yang merupakan fungsi penting untuk kehidupan normal," katanya.
Dr Ramesh menjelaskan, pesakit perlu disedarkan semasa pembedahan berlangsung bagi membolehkan pemotongan maksimum.
Ini juga jelas beliau dapat memastikan tidak ada kecederaan atau hanya kecederaan minimum berlaku kepada tisu otak yang normal.
�Ini adalah untuk menentukan pesakit tidak mengalami kehilangan fungsi yang boleh menjejaskan pesakit semasa pembedahan dilakukan," katanya.
Dr. Ramesh berkata, ini adalah cara terbaik untuk memastikan pesakit tidak mengalami kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan itu melalui maklum balas dari pesakit sendiri.
�Kami tidak memaksa tetapi kami memberikan Is peluang berbincang dengan ahli keluarganya sebelum mengambil keputusan," kata Dr. Ramesh.
Selepas berbincang dengan isteri dan ahli keluarga lain, Is bersetuju untuk menjalani pembedahan dalam keadaan sedar.
�Walaupun bersetuju, saya sentiasa berdoa agar keputusan yang saya ambil adalah yang terbaik," kata Is.
Pada 8 Februari lalu Is menjalani pembedahan secara sedar di PPUKM.
Pembedahan yang diketuai oleh Dr. Ramesh dibantu oleh pakar bedah neuro, Dr. Toh Charng Jeng dan Dr. Sanmugarajah Paramasvaran, pakar bius Dr. Esa Kamuruzaman, pakar neuroradiologi, Prof Madya Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari dan Dr. Syazarina Syariz Osman.
Disarankan
Dr. Ramesh berkata, bukan semua pesakit disarankan menjalani pembedahan secara sedar.
Sebelum menjalani pembedahan, Is telah diberikan maklumat terperinci bagaimana ia akan dijalankan secara terperinci.
Pukul 9 pagi, 8 Februari, Is disorong masuk ke bilik bedah diberikan ubat bius seluruh badan.
Dr. Ramesh berkata, pesakit akan diberi anestesia (ubat bius) am sebelum pembedahan dimulakan untuk melalikannya.
Pakar bedah akan memulakan pembedahan dengan membuka tempurung kepala untuk sampai kebahagiaan otak.
�Pesakit perlu menerima bius kerana kulit kepala dan perikranium (tisu di yang menyelaputi tempurung) berasa sakit sementara otak tidak mempunyai deria sakit.
�Selepas tempurung kepala pesakit dibuka, anestesia dibalikkan menyebabkan pesakit terjaga," kata Dr. Ramesh.
Menurut Is, semasa membuka mata, orang yang pertama dilihat adalah pakar bius Dr. Esa sama seperti yang dijanjikan.
�Saya boleh melihat jam di dinding dewan bedah, berbual dan menggerakkan jari kaki dan tangan apabila disuruh.
�Cuma kepala saya tidak boleh digerakkan kerana telah dipasangkan dengan alat," katanya.
Ditanya mengenai kesakitan semasa tumor dikeluarkan, Is menjawab, �Saya hanya merasa seperti kepala diketuk-ketuk perlahan tetapi tidak sakit."
Dr Ramesh berkata pesakit perlu disedarkan semasa pembedahan berlangsung.
�Ia adalah untuk membolehkan pemotongan maksimum sambil memastikan tidak ada kecederaan atau hanya kecederaan minimum berlaku kepada tisu otak yang normal," katanya.
Ini adalah untuk menentukan pesakit tidak mengalami kehilangan fungsi yang boleh menjejaskan pesakit.
�Cara terbaik untuk memastikan pesakit tidak mengalami kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan itu adalah melalui maklum balas dari pesakit sendiri.
�Ini tidak dapat diketahui jika pesakit berada dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.
Beliau menambah pesakit akan ditanya berapa soalan dan disuruh melakukan beberapa perkara yang mudah semasa ketumbuhan dipotong.
�Ini bagi melihat sama ada bahagian otak yang mengawal fungsi tersebut tidak mengalami kerosakan akibat pembedahan yang dibuat.
�Perubahan fungsi yang dikawal oleh bahagian otak tersebut diperhatikan dengan rapi.
�Jika terdapat perubahan yang negatif pada fungsi dan reaksi pesakit pembedahan akan dihentikan," katanya.
Dr. Ramesh berkata, walaupun terdapat teknologi MRI yang dapat mengesan di mana lokasi ketumbuhan tetapi ia masih belum cukup tepat.
�Dengan hanya berpandukan imbasan MRI pembedahan boleh diumpamakan seperti meredah kawasan yang penuh dengan perangkap samar.
Sebarang kerosakan kepada bahagian ini, walaupun cuma satu milimeter boleh menyebabkan pesakit terpaksa hidup dengan kecacatan yang hakiki," katanya.
Beliau menambah walaupun imbasan MRI dapat menunjukkan bahagian pertuturan dan pergerakan. Ia mungkin tidak menunjukkan bahagian yang penting dengan tepat.
�Oleh itu pemetaan otak dibuat dengan rangsangan elektrik kepada otak semasa pesakit sedar. Ini adalah cara yang paling berkesan bagi melindungi saraf," kata Dr Ramesh.
Otak tidak mempunyai sistem penyembuhan sendiri jadi jika mana-mana bahagian mengalami kerosakan ia tidak akan pulih atau tumbuh kembali.
Selepas pemotongan ketumbuhan dibuat, pesakit dilalikan semula untuk menutup kembali tempurung kepala.
Oleh sebab pembedahan tersebut agak menggerunkan bagi pesakit mereka diberi kaunseling yang terperinci sebelum pembedahan dilakukan.
Selepas menjalani pembedahan Is hanya berada di Unit Penjagaan Rapi (ICU) selama hanya beberapa jam sebelum dipindah ke wad biasa.
Selepas sedar, tangan kiri Is rasa sedikit kebas tetapi akhirnya hilang tidak berapa lama selepas melakukan fisioterapi.
�Kini saya telah sihat dan amat berterima kasih kepada doktor yang telah membedah dan merawat saya selama ini," katanya.

Berus gigi dengan betul


Untuk mendapatkan yang terbaik daripada proses memberus gigi, anda perlu memiliki berus gigi yang baik.
* Dua Minit,
Dua Kali Sehari
Memberus gigi adalah sesuatu yang dipelajari sejak kecil lagi. Mempelajari bagaimana untuk memberus gigi dengan betul adalah langkah pertama untuk mencapai gigi dan gusi yang sihat. Cara yang betul memberus gigi hanya memerlukan hanya dua minit menggunakan teknik memberus yang betul meskipun ramai yang memberus kurang dari dua minit.
Kebanyakan dewasa memberus kurang dari seminit, satu tempoh yang tidak cukup untuk membersihkan gigi. Memandangkan kebanyakan berus gigi manual tidak mempunyai pemasa dua minit terbina dalam, anda mungkin mahu melihat kepada jam untuk memastikan anda memberus mengikut tempoh yang ditetapkan. Jika difikirkan, menghabiskan 30 saat untuk setiap kuadran mulut (atas kanan, atas kiri, bawah kanan dan bawah kiri) setiap pagi dan malam adalah memadai, bukan?
* Sebelum Anda Bermula
Terdapat pelbagai kaedah memberus gigi menggunakan berus manual. Sekiranya anda tidak pasti atau keliru, tanyalah pakar pergigian untuk mendapatkan nasihat. Sebagai permulaan, gunakan ubat gigi berfluorida dengan berus gigi yang lembut.
Semasa memberus, anda perlu mengelak menggunakan tekanan tetapi gunakan gerakan pendek yang lembut. Tumpukan kepada kawasan yang sukar dicapai (makanan/kotoran mendap) adalah penting. Jangan lupakan permukaan menggigit, di samping gusi atas dan bawah. Sekiranya anda menumpukan kepada semua kawasan mulut, anda akan akan membersih dengan sempurna dengan berus gigi seperti mengilat semua sisi kereta anda.
Di samping teknik memberus gigi yang betul, anda juga perlu menggunakan ubat gigi yang betul. Terdapat pebagai jenis ubat gigi di pasaran yang direka untuk membantu anda dalam pelbagai keadaan. Terdapat ubat gigi anti pereputan (berfluorida), ubat gigi untuk gigi sensitif, ubat gigi anti-plak, ubat gigi kawalan tartar (anti-culculus) dan ubat gigi memutih. Ubat gigi adalah cara terbaik untuk melindungi gigi, jadi anda harus sentiasa merujuk kepada pakar pergigian untuk mengetahui ubat gigi yang sesuai dengan anda.
Untuk mendapatkan yang terbaik daripada proses memberus gigi, anda perlu memiliki berus gigi yang baik. Terdapat pelbagai model untuk dipilih, menjadikan sukar untuk memilih yang terbaik untuk anda. Apabila anda membuat keputusan, anda perlu melihat kepada berus yang lembut. Berus yang lembut adalah baik untuk gusi anda dan akan menanggalkan plak dan kotoran dengan lebih berkesan. Kepala berus yang kecil juga lebih berfaedah kerana ia dapat mencapai tempat yang sukar dicapai.
Anda juga perlu ingat untuk menukar berus beberapa bulan sekali kerana berus mampu menyimpan kuman dan sesetengah kuman adalah kuat dan mampu menjadikan anda sakit. Ia adalah satu langkah pencegahan yang baik. Berus gigi yang menunjukkan kesan lusuh harus diganti kerana ia akan merosakkan gusi. Sekiranya berus mulai lusuh, ia tidak lagi berkesan untuk menanggalkan plak jadi mengapa simpan?

Posisi Berus Gigi
Bagaimana anda memegang berus gigi bergantung kepada bahagian gigi yang hendak diberus.
Langkah 1: Mulakan dengan permukaan luar dan dalam dan berus pada sudut 45 darjah dengan gerakan yang pendek bertentangan dengan gusi. Pastikan anda memberus sehingga ke belakang gigi.
Langkah 2: Berus pada permukaan mengunyah. Pegang berus anda rata dan berus sepanjang permukaan.
Langkah 3: Apabila anda memberus bahagian dalam gigi hadapan, pusing berus secara menegak dan gunakan gerakan lembut ke atas dan bawah dengan hujung berus.
Langkah 4: Pastikan anda memberus dengan lembut sepanjang garisan gusi.
Langkah 5: Berus lidah dengan gerakan ke depan dan belakang untuk menanggalkan cebisan makanan dan menanggalkan bakteria yang menyebabkan bau mulut busuk.
Memberus gigi dapat membantu menjadikannya sihat, mengelakkan pembentukan plak dan tartar. Perlu diingat bahawa memberus gigi dapat membantu menyihatkan gigi namun anda masih perlu menjalani pemeriksaan rutin dengan pakar pergigian. Sekiranya anda menjaga gigi anda dan memberus dengan kerap, anda akan mengelak daripada jangkitan dan kaviti. Malah, ia dapat mengurangkan risiko penyakit gusi yang menjadi punca kerosakan gigi.
Kini anda telah mengetahui cara yang betul untuk memberus, pastikan anda mengamalkannya setiap hari untuk membiasakan diri dengannya. Ia adalah satu cara mudah untuk memastikan kesihatan gigi dan gusi anda.

Derita akibat masalah kencing


RAMLI, 26 (bukan nama sebenar) masih ingat lagi rasa takutnya untuk membuang air kecil sendirian terutama pada waktu malam sejak di bangku sekolah lagi. Akibat sikap penakut itu, dia lebih sanggup menahan diri dari ke tandas sehinggalah hari menjelang siang.
Sebagai pengawas sekolah, hari itu Ramli perlu berdiri di pentas utama ketika Ketua Pengawas membacakan ikrar. Seperti biasa gesaan untuk kencing tiba-tiba datang dan dia terpaksa menahan diri kerana masih di pentas. Selesai sesi perhimpunan Ramli terus bergegas ke tandas, malangnya ketika membuang air hanya beberapa titis saja yang keluar. Malah dia terasa panas dan pedih serta sakit selepas membuang air.
Ramli masih ingat lagi ketika pertama kali mengundi pada usia 21 tahun. Dia paling takut beratur panjang dan tiba-tiba rasa ingin membuang air kecil.
Pada tahun ini, Ramli tidak mahu masalah ini berulang. Ramli berjumpa doktor dan dia disahkan menghidap air kencing tidak lawas pada Januari tahun lalu. Setelah menjalani rawatan, Ramli kini lebih bersedia untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Dia tidak lagi berasa gusar beratur panjang untuk mengundi.