Thursday, May 16, 2013

Bedah dalam sedar


Pemedahan Awake Craniotomy dilakukan semasa pesakit dalam sedar.
PADA pertengahan bulan Januari lalu, sebelah kiri badan saya terasa kebas. Mula-mula tangan saya tidak boleh menggenggam," kata pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Is yang berjaya menjalani pembedahan otak secara sedar.
Pembedahan berkenaan dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ramesh Kumar.
Kemudian sebelah badannya terasa kebas sehingga ke bahagian pinggang dengan kekerapan tiga kali seminggu.
�Saya yang merasa tidak sedap hati dengan keadaan kesihatan pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berhampiran rumah.
�Doktor menganjurkan saya ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana saya mungkin mengalami minor strok," katanya.
Pada 23 Januari, Is memilih untuk mendapatkan rawatan di PPUKM kerana berhampiran dengan rumah.
Di sana doktor melakukan pelbagai jenis pemeriksaan dan dia terus mendapatkan rawatan.
Selepas berulang-alik ke hospital, akhirnya Is dimasukkan ke wad pada 4 Februari untuk menjalani pembedahan.
Imbasan MRI menunjukkan Is mempunyai kelainan seperti tumor di bahagian otak kanan dan memerlukan pembedahan segera untuk membuangnya.
�Tetapi saya rasa terperanjat apabila Pakar Bedah Neurologi Prof Madya Dr. Ramesh Kumar memberikan dua pilihan kepada saya.
Pertama, pembedahan biasa yang mempunyai risiko untuk lumpuh separuh badan.
Kedua, pembedahan yang dilakukan dalam keadaan sedar yang dapat menyelamatkan daripada risiko lumpuh. Apa yang diberitahu oleh Dr. Ramesh sebagai Awake Craniotomy," katanya.
Pembedahan dengan sedar? Pening kepala Is memikirkannya. Dr. Ramesh memberitahu bagaimana pembedahan dijalankan.
Dr. Ramesh semasa ditemui semasa sidang media Awake Craniotomy di PPUKM baru-baru ini menjelaskan, pembedahan begini sering dijalankan untuk mengeluarkan ketumbuhan yang berada di bahagian otak dikenali sebagai �Eloquent Brain�.
�Ini adalah bahagian yang mengawal fungsi penting seperti komunikasi, persepsi, interaksi dan pergerakan.
�Bahagian tersebut mengurus deria, pergerakan dan pertuturan yang merupakan fungsi penting untuk kehidupan normal," katanya.
Dr Ramesh menjelaskan, pesakit perlu disedarkan semasa pembedahan berlangsung bagi membolehkan pemotongan maksimum.
Ini juga jelas beliau dapat memastikan tidak ada kecederaan atau hanya kecederaan minimum berlaku kepada tisu otak yang normal.
�Ini adalah untuk menentukan pesakit tidak mengalami kehilangan fungsi yang boleh menjejaskan pesakit semasa pembedahan dilakukan," katanya.
Dr. Ramesh berkata, ini adalah cara terbaik untuk memastikan pesakit tidak mengalami kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan itu melalui maklum balas dari pesakit sendiri.
�Kami tidak memaksa tetapi kami memberikan Is peluang berbincang dengan ahli keluarganya sebelum mengambil keputusan," kata Dr. Ramesh.
Selepas berbincang dengan isteri dan ahli keluarga lain, Is bersetuju untuk menjalani pembedahan dalam keadaan sedar.
�Walaupun bersetuju, saya sentiasa berdoa agar keputusan yang saya ambil adalah yang terbaik," kata Is.
Pada 8 Februari lalu Is menjalani pembedahan secara sedar di PPUKM.
Pembedahan yang diketuai oleh Dr. Ramesh dibantu oleh pakar bedah neuro, Dr. Toh Charng Jeng dan Dr. Sanmugarajah Paramasvaran, pakar bius Dr. Esa Kamuruzaman, pakar neuroradiologi, Prof Madya Dr. Shahizon Azura Mohamed Mukari dan Dr. Syazarina Syariz Osman.
Disarankan
Dr. Ramesh berkata, bukan semua pesakit disarankan menjalani pembedahan secara sedar.
Sebelum menjalani pembedahan, Is telah diberikan maklumat terperinci bagaimana ia akan dijalankan secara terperinci.
Pukul 9 pagi, 8 Februari, Is disorong masuk ke bilik bedah diberikan ubat bius seluruh badan.
Dr. Ramesh berkata, pesakit akan diberi anestesia (ubat bius) am sebelum pembedahan dimulakan untuk melalikannya.
Pakar bedah akan memulakan pembedahan dengan membuka tempurung kepala untuk sampai kebahagiaan otak.
�Pesakit perlu menerima bius kerana kulit kepala dan perikranium (tisu di yang menyelaputi tempurung) berasa sakit sementara otak tidak mempunyai deria sakit.
�Selepas tempurung kepala pesakit dibuka, anestesia dibalikkan menyebabkan pesakit terjaga," kata Dr. Ramesh.
Menurut Is, semasa membuka mata, orang yang pertama dilihat adalah pakar bius Dr. Esa sama seperti yang dijanjikan.
�Saya boleh melihat jam di dinding dewan bedah, berbual dan menggerakkan jari kaki dan tangan apabila disuruh.
�Cuma kepala saya tidak boleh digerakkan kerana telah dipasangkan dengan alat," katanya.
Ditanya mengenai kesakitan semasa tumor dikeluarkan, Is menjawab, �Saya hanya merasa seperti kepala diketuk-ketuk perlahan tetapi tidak sakit."
Dr Ramesh berkata pesakit perlu disedarkan semasa pembedahan berlangsung.
�Ia adalah untuk membolehkan pemotongan maksimum sambil memastikan tidak ada kecederaan atau hanya kecederaan minimum berlaku kepada tisu otak yang normal," katanya.
Ini adalah untuk menentukan pesakit tidak mengalami kehilangan fungsi yang boleh menjejaskan pesakit.
�Cara terbaik untuk memastikan pesakit tidak mengalami kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan itu adalah melalui maklum balas dari pesakit sendiri.
�Ini tidak dapat diketahui jika pesakit berada dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.
Beliau menambah pesakit akan ditanya berapa soalan dan disuruh melakukan beberapa perkara yang mudah semasa ketumbuhan dipotong.
�Ini bagi melihat sama ada bahagian otak yang mengawal fungsi tersebut tidak mengalami kerosakan akibat pembedahan yang dibuat.
�Perubahan fungsi yang dikawal oleh bahagian otak tersebut diperhatikan dengan rapi.
�Jika terdapat perubahan yang negatif pada fungsi dan reaksi pesakit pembedahan akan dihentikan," katanya.
Dr. Ramesh berkata, walaupun terdapat teknologi MRI yang dapat mengesan di mana lokasi ketumbuhan tetapi ia masih belum cukup tepat.
�Dengan hanya berpandukan imbasan MRI pembedahan boleh diumpamakan seperti meredah kawasan yang penuh dengan perangkap samar.
Sebarang kerosakan kepada bahagian ini, walaupun cuma satu milimeter boleh menyebabkan pesakit terpaksa hidup dengan kecacatan yang hakiki," katanya.
Beliau menambah walaupun imbasan MRI dapat menunjukkan bahagian pertuturan dan pergerakan. Ia mungkin tidak menunjukkan bahagian yang penting dengan tepat.
�Oleh itu pemetaan otak dibuat dengan rangsangan elektrik kepada otak semasa pesakit sedar. Ini adalah cara yang paling berkesan bagi melindungi saraf," kata Dr Ramesh.
Otak tidak mempunyai sistem penyembuhan sendiri jadi jika mana-mana bahagian mengalami kerosakan ia tidak akan pulih atau tumbuh kembali.
Selepas pemotongan ketumbuhan dibuat, pesakit dilalikan semula untuk menutup kembali tempurung kepala.
Oleh sebab pembedahan tersebut agak menggerunkan bagi pesakit mereka diberi kaunseling yang terperinci sebelum pembedahan dilakukan.
Selepas menjalani pembedahan Is hanya berada di Unit Penjagaan Rapi (ICU) selama hanya beberapa jam sebelum dipindah ke wad biasa.
Selepas sedar, tangan kiri Is rasa sedikit kebas tetapi akhirnya hilang tidak berapa lama selepas melakukan fisioterapi.
�Kini saya telah sihat dan amat berterima kasih kepada doktor yang telah membedah dan merawat saya selama ini," katanya.

No comments: