Monday, September 27, 2010

Kawal paras gula

SEPANJANG bulan puasa saya gembira kerana mampu mengawal paras gula dalam darah dengan baik. Namun malangnya, pemeriksaan selepas hari raya mendapati ia meningkat dengan banyak. Bagaimana saya ingin mengembalikan paras gula gula dalam darah saya?

JAWAPAN,

Keberkesanan pengawalan gula darah banyak bergantung pada cara pemakanan dan gaya hidup. Antara cara yang masih praktikal sehingga kini adalah mengawal pemakanan, terutamanya makanan manis seperti biskut, kek dan pelbagai manisan di musim perayaan dan rumah terbuka. Tidak terkecuali juga hidangan berkarbohidrat tinggi, makanan berlemak dan berminyak yang boleh memburukkan masalah kesihatan sedia ada.

Sekiranya anda dapati peningkatan glukosa darah kian meningkat, tingkatkan aktiviti senaman. Ia merupakan antara cara berkesan untuk mengembalikan kesihatan termasuklah mengawal peningkatan berat badan. Ini tentunya penting, di mana rata-rata daripada kita mula merasai peningkatan berat badan selepas musim perayaan.

Pengambilan suplemen yang sesuai akan meningkatkan keberkesanan pelan kesihatan anda. Dalam usaha mengawal peningkatan paras gula dalam darah, kajian menunjukkan pengambilan ekstrak gymnema memberikan hasil positif. Begitu juga dengan herba-herba lain seperti peria, Holy basil (sejenis daun selasih) dan biji halba. Gabungan herba-herba ini memberikan sinergistik dalam usaha anda mengawal gula darah.

Rokok tingkat risiko pneumothorax?

Oleh BINTU RASYADA
A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

AHMAD (bukan nama sebenar) berusia 29 tahun. Menjalani gaya hidup seperti lelaki muda yang lain, pada mata kasar dia kelihatan sihat dengan susuk tubuh kurus (tidak terlalu kurus) dan tiada sebarang penyakit.

Namun anak muda itu merokok. Walaupun begitu, dia tidak pernah lupa bersenam terutama menghabiskan masa bersama teman bermain badminton, futsal dan sebagainya. Dari segi pengambilan makanan, dia tidak cerewet namun tidak juga terlalu berhati-hati.

Suatu hari, secara tiba-tiba Ahmad mengalami kesakitan di bahagian dada yang teramat sangat. Tanpa berlengah, dia terus berjumpa doktor. Ahmad tidak pernah mempunyai sebarang sejarah penyakit berkaitan jantung atau paru-paru. Dia terkejut apabila doktor mengesahkan dia mengalami pneumothorax.

Apa itu pneumothorax?

Jarang berlaku, namun ia bukan sesuatu yang mustahil.

Menurut Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Madya Dr. Mohd. Ramzisham Abdul Rahman, pneumothorax atau masalah pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga pleural antara paru-paru dan dinding dada berlaku apabila terdapat kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru atau paru-paru itu sendiri.

“Terdapat dua jenis pneumothorax. Yang pertama boleh berlaku secara tiba-tiba atau spontan dan ini dipanggil spontaneous pneumothorax. Masalah ini berlaku kepada mereka yang mempunyai gelembung udara nipis pada paru-paru sejak lahir dan apabila perubahan tekanan antara atmosfera dan rongga torasik berlebihan berlaku, ia akan pecah,” katanya.

Keadaan itu katanya, boleh terjadi kepada lelaki berusia antara 15 hingga 30 tahun dengan bentuk fizikal kurus dan tinggi.

“Sebanyak 10 peratus lelaki muda mengalami masalah ini dan di PPUKM sahaja, boleh dikatakan satu kes akan dirujuk setiap minggu,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, individu merokok meningkatkan lagi risiko pneumothorax.

Dalam sesetengah keadaan, ia berlaku apabila kebocoran udara berterusan dari paru-paru ke rongga dada dan menyebabkan tekanan pada struktur dada termasuk saluran yang membawa darah kembali ke jantung.

Bila keadaan tersebut berlaku, pesakit akan mengalami sesak nafas, sakit dada, batuk-batuk dan mungkin pengsan. Keadaan itu boleh mengundang maut andai tidak dirawat dengan segera.

Jenis kedua pneumothorax pula kata beliau, berlaku disebabkan trauma fizikal seperti kemalangan melibatkan bahagian dinding dada seperti keretakan bahagian rusuk dan sebarang kecederaan tembus dada (tembak atau tikaman).

Selain itu, pneumothorax juga boleh berlaku sebagai kesan penyakit paru-paru, termasuk

cystic fibrosis, penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD), kanser paru-paru, asma dan jangkitan paru-paru.

Atasi tompok ‘rama-rama’

TOMPOKAN hitam pada bahagian muka kini boleh dihilangkan dengan teknik rawatan terkini.

SALINA sangat risau melihat tompokan hitam pada wajahnya. Kulit wajahnya yang putih bersih seakan tercela apabila tompokan hitam mula terbentuk. Di peringkat awal hanya sedikit kesan hitam terbentuk pada pipi Salina.

Dia membeli krim muka dan losen yang disyorkan oleh seorang kawan untuk mengatasi masalah tersebut. Salina gembira kerana penggunaan krim tersebut menampakkan hasilnya apabila kesan hitam menjadi semakin berkurangan. Bagaimanapun apabila penggunaan produk tersebut dihentikan kesan hitam timbul kembali malah menjadi semakin banyak. Akibat daripada tompokan hitam itu dia mula berasa rendah diri dan tidak mahu keluar rumah. Jika keluar rumah beliau menggunakan kosmetik yang tebal bagi menutup kekurangan itu.

Semasa bertemu Salina saya bertanyakan bila tompokan hitam itu mula muncul. Menurutnya dia perasan tompokan hitam itu semasa hamil anak pertama. Saya berpendapat kemungkinan masalah Salina berkait rapat dengan hormon yang tidak seimbang. Ia juga ada kaitan dengan melasma yang sukar dirawat kerana kedudukannya yang jauh ke dalam kulit. Melasma atau tompok hitam adalah sel-sel hidup yang membiak secara aktif. Ia mempunyai jalinan kapilari darah yang memberi nutrisi dan menghidupkannya. Jalinan kapilari darah ini membekalkan sel-sel melasma dengan oksigen dan zat yang diperlukan untuk hidup dengan aktif. Jadi adalah sukar untuk mengurangkan keaktifannya sekiranya kapilari darah ini membesar dengan aktif juga.

Oleh kerana ia berada di lapisan dermal iaitu lapisan kulit yang ke bawah maka masalah tersebut memang sukar untuk dirawat.

Apabila menyapu krim, krim hanya boleh meresap di permukaan atas dan tidak sampai ke lapisan bawah kulit. Sahabat saya yang terkenal dengan kepakaran mengendalikan laser iaitu Dr. Shaharom Sulaiman menyifatkan melasma seperti tahi lalat yang hidup di bawah kulit. Bagi saya amat sesuai juga andaian seumpama ini kerana neavus atau tahi lalat juga merupakan sekelompok melanocytes yang aktif dan mempunyai salur darahnya sendirinya. Oleh itu ia hidup sebagai sel yang tersendiri. Tahi lalat yang terlalu besar atau terlalu aktif eloklah dibuang kerana ia mempunyai risiko kanser .

Lelaki juga tidak dapat lari daripada melasma. Saya sering merawat beberapa pesakit lelaki yang bermasalah melasma. Melasma lebih aktif apabila seseorang bawah pancaran matahari.

Sel-sel aktif yang mengeluarkan pigmen hitam dinamakan melanocytes. Fungsi utama melanocytes adalah untuk mengeluarkan pigmen yang dinamakan melanin. Kehadiran melanin memberi warna kulit. Melanin juga bertindak sebagai penapis menghalang cahaya yang terlalu kuat yang boleh merosakkan kulit daripada masuk menembusi kulit kita. Oleh itu bagi mereka yang mempunyai banyak melanin warna kulitnya akan menjadi gelap apabila terdedah di pancaran matahari atau pergi ke tempat beriklim panas dan apabila ia berhijrah ke tempat beriklim sejuk atau menutupi kulitnya daripada matahari maka kulitnya kembali cerah. Dewasa ini terdapat krim pelindung matahari dan pil yang boleh diambil bagi melindungi kulit daripada matahari. Apabila kulit disapu pelindung matahari ia akan menebat atau menghalang kemasukan cahaya yang mengaktifkan melanocytes. Justeru bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti yang sering terdedah kepada pancaran matahari, perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Pemakaian skrin matahari haruslah diamalkan setiap masa.

Rawatan yang sesuai bagi melasma ialah penggunaan krim mengandungi anti melanin. Suntikan transeminic dan pil mengandungi transeminic turut menghilangkan salur darah yang berada di bawah kulit. Apabila salur darah itu mengecut maka sel-sel melasma akan turut mengecut. Lama kelamaan melasma akan berkurangan. Penggunaan krim yang salah hanya akan menyebabkan melasma semakin ketara kerana sesetengah krim akan merangsang salur darah menjadi lebih aktif dan kulit menjadi lebih nipis menyebabkan melasma menjadi ketara.

Melasma yang mekar kelihatan seperti bentuk kupu-kupu yang gelap di kedua dua pipi.

Penggunaan laser bagi melasma harus dibuat dengan berhati hati kerana melasma memberi reaksi yang pelbagai apabila menggunakan laser. Sesetengah melasma menjadi lebih aktif apabila terkena laser manakala sesetengahnya pula boleh berkurangan. Oleh itu rawatan melasma haruslah sejajar dengan keputusan yang diperoleh. Penggunaan hormon juga penting kerana faktor kekurangan hormon turut menjejaskan dan membuatkan melasma menjadi aktif. Hormon yang dicadangkan ialah bioidentikal hormon yang mudah digunakan dan memberi kesan yang menyegarkan tubuh kita.

Tempoh rawatan bagi melasma sangat lama dan ada kalanya memakan masa berbulan bagi mendapat kesan yang baik. Setelah itu penggunaan krim anti melanocyte secara berkala adalah sangat penting bagi mengekangnya. Boleh dikatakan proses menentang melasma merupakan satu perjuangan seumur hidup juga. Ia menuntut disiplin dan kesabaran yang sangat tinggi

Melasma berbeza dengan pigmentasi epidermis yang mudah saja cara rawatannya. Saya menggunakan laser jenis pixel bagi memulihkannya dan mendapat hasil yang sangat menakjubkan. Pigmentasi pada epidermis adalah disebabkan oleh pengumpulan melanin pada kulit kita. Melanin adalah pigmen yang terdapat pada kulit. Apabila pigmen banyak maka kulit menjadi sangat gelap. Laser pula bertindak memecahkan melanin. Apabila melanin pecah ia akan dibuang sebagai bahan buangan dan di keluarkan daripada kulit kita. Hasil yang baik dapat diperolehi apabila kita merawat pigmen dengan laser kerana sifat pigmen melanin yang memecah dan boleh di keluarkan dari kulit.

Sekiranya anda menggunakan produk pencerah kulit yang mengandungi hydroquininone memang boleh membantu mengurangkan melasma namun apabila berhenti memakainya melasma pasti muncul kembali. Justeru itu produk itu perlulah dipakai secara berterusan. Pastikan anda berterus terang dengan doktor perihal produk yang anda gunakan kerana jika berhenti menggunakan produk akan mendatangkan kesan rebound terhadap melasma dan ini amatlah menyusahkan.

Awasi skizofrenia pada ahli keluarga

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar MOHD. NAIM AZIZ

Keluarga perlu prihatin dan mengambil langkah awal jika ada simptom kemurungan atau keganjilan tingkah laku di kalangan ahli keluarga. - Gambar hiasan

TANGGAPAN di atas sangat berbahaya dan masalah ini menyebabkan ahli keluarga terus beranggapan rawatan terbaik adalah menerusi kaedah tradisional.

Lelaki dan wanita memiliki risiko yang sama untuk menghidap penyakit ini tetapi simptom lebih cepat muncul pada lelaki. Pesakit ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk membunuh diri berbanding orang lain. Sekitar 10 peratus terutama daripada kalangan lelaki yang masih muda, membunuh diri.

Menurut statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia, risiko keturunan merupakan risiko yang diwarisi daripada keluarga terdekat adalah 10 peratus manakala sekitar 40 peratus lagi boleh menghidap skizofrenia seandainya ibu bapa atau kembar mereka menghidap penyakit ini.

Kebiasaannya simptom melibatkan proses fikiran dan juga kelima-lima deria. Proses fikiran pesakit skizofrenia biasanya terganggu dan ini membuatkan pesakit mempercayai perkara-perkara yang tidak benar, walaupun telah berkali-kali diberi penjelasan.

Kemurungan bukan tanda kelemahan tetapi masalah perubatan. Kebanyakan remaja yang murung boleh dibantu dengan rawatan. Secara tipikal, rawatan kemurungan termasuk kaunseling atau perubatan.

Malangnya, kebanyakan remaja dengan masalah kesihatan mental tidak mendapat pertolongan yang sepatutnya. Apabila kemurungan tidak dirawat, ia akan menjadi semakin teruk, berpanjangan dan menghalang remaja itu menikmati hidupnya, sedangkan kemurungan sebenarnya masalah perubatan yang boleh dirawat dan disembuhkan.

Pakar Perunding Psikologi dari Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh berkata, keluarga perlu prihatin dan mengambil langkah awal jika ada simptom kemurungan atau keganjilan tingkah laku di kalangan ahli keluarga.

"Memang sukar untuk pesakit sendiri mengetahui apa yang sedang berlaku pada diri mereka terutama apabila berkaitan dengan sakit mental.

"Justeru peranan ahli keluarga amat penting, mereka perlu prihatin dan mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan yang dilalui oleh salah seorang ahli keluarga," katanya.

Menurut Dr. Nor Hamidah, antara tanda-tanda skizofrenia ialah pesakit akan merasa seperti ada orang ingin membunuhnya, mengalami halusinasi, delusi, pendek kata dia mengalami kecelaruan tanggapan.

"Orang yang mempunyai simptom skizofrenia ini akan menganggap semua perkara sebagai serius, dia sering menganggap sesuatu yang tidak logik itu sebagai logik, kadang kala dia merasa orang lain boleh baca fikiran dia.

"Skizofrenia di kalangan kanak-kanak memang jarang berlaku namun ia tak mustahil. Lazimnya ia berlaku di peringkat awal baligh hingga dewasa, sebabnya ialah di ketika itu manusia menggunakan keseluruhan otaknya. Bila terlalu banyak perkara yang difikirkannya maka ketika itulah dia akan mengalami breakdown," katanya yang banyak menerima kes di kalangan remaja lelaki berbanding perempuan.

"Apabila kes dirujuk kepada pakar psikiatri, biasanya temu bual akan dijalankan pada pesakit dan dan ahli keluarga bagi memastikan simptom-simptom berkaitan penyakit skizofrenia itu wujud pada pesakit terbabit.

"Biasanya perbualan akan berlangsung selama sejam atau lebih bergantung kepada keperluan. Dari perbualan tersebut, pakar boleh mengesahkan penyakit pesakit tersebut berada pada tahap mana dan akan memberi cadangan rawatan kepada pesakit dan ahli keluarga," jelasnya.

Sebaik pesakit disahkan mengalami skizofrenia, rawatan yang disarankan merangkumi pengambilan ubat-ubatan, kaunseling, terapi dan juga latihan sosial, semua ini bergantung kepada kes.

"Tentang ubat-ubatan juga perbincangan akan dilakukan dengan ahli keluarga pesakit kerana ahli keluarga perlu pastikan pesakit mengambil ubat mereka mengikut masa yang telah ditetapkan doktor," ujarnya.

Dr. Nor Hamidah berkata, stigma kebergantungan kepada pengambilan ubat penenang untuk seumur hidup sering menjadi alasan kepada pesakit dan ahli keluarga pesakit agar tidak merujuk kes kepada pakar psikiatri.

Padahal mereka tidak tahu dengan kemajuan teknologi, saintis telah mencipta ubat-ubat yang lebih berkesan dan kesan sampingan yang amat minimum.

Saturday, September 18, 2010

Tingkatkan pertahanan badan

DENGAN ada sistem pertahanan yang baik, setiap individu dapat melakukan aktiviti harian dengan baik.

Sistem pertahanan badan, merupakan barisan pertahanan badan anda yang pertama, dan terdiri daripada berbilion sel darah putih (makrofages, neutrofils, sel pembunuh semulajadi dan lain-lain) yang sentiasa meronda dan mengawasi badan untuk mengenalpasti, kemudian menyelubungi dan memusnahkan sebarang organisma yang boleh menyebabkan penyakit seperti bakteria, virus, fungus dan juga sel kanser.

Setiap hari apabila anda menarik nafas, anda juga menarik masuk berjuta-juta kuman (bakteria dan virus-virus) yang wujud berkeliaran dan terapung di udara. Di samping itu, terdapat berjuta-juta lagi yang sudah pun berada dalam badan anda. Sekiranya sistem pertahanan anda kuat, ia dapat menanganinya tanpa sebarang masalah. Namun demikian, kadangkala ada kuman atau virus yang dapat mengatasi benteng pertahanan anda, menyebabkan anda dijangkiti selesema. Selesema merupakan tanda yang dapat dilihat bahawa sistem pertahanan anda adalah lemah dan bermasalah. Semua bakteria dan virus ingin melihat sistem anda menjadi lemah, kerana jika ia lemah dalam beberapa hari sahaja, ini sudah mencukupi untuk memberi peluang kepada mereka memasuki badan anda dan mula membiak.

Terpulanglah kepada sistem pertahanan badan kita untuk membantu melindungi badan daripada kuman yang luar biasa yang tercipta melalui 'penentangan antibiotik.' Beberapa jenis bakteria yang dahulunya mudah sahaja dirawat dengan menggunakan antibiotik biasa, tidak lagi memberi tindak balas seperti dahulu. Jangkitan bakteria lain seperti tuberkulosis - yang pada suatu ketika dahulu dianggap sebagai sudah terkawal, baru-baru ini muncul semula dengan lebih mencabar untuk merawatnya. Persoalan mengenai penentangan bakteria ini merupakan hanya salah satu daripada beberapa masalah kesihatan serius yang mesti ditangani oleh sistem pertahanan badan kita.

Sistem pertahanan badan dan beta glucan

Pada tahun 70-an, beta glucan telah ditemui sebagai sejenis karbohidrat gantian yang diperoleh daripada tumbuhan tertentu seperti ragi dan cendawan dan mempunyai keupayaan untuk merangsang fungsi pertahanan badan apabila ia ditulenkan dan disuntik ke dalam badan. Para penyelidik memperluaskan kajian awal yang dilakukan ke atas haiwan dan mereka dapat membuktikan beta glucan yang disuntik mampu mempertingkatkan tindakbalas pertahanan badan. Hasil kajian ini adalah amat penting, terutama sekali apabila terdapat bukti yang begitu menonjol tentang kecekapan dan keupayaan beta glucan. Tetapi kerana karbohidrat beta glucan adalah rentan terhadap penghadaman di bahagian atas saluran gastrousus, ia mesti dimasukkan ke dalam badan melalui suntikan dan tidak secara oral. Tetapi apabila satu penemuan tercapai pada tahun 90-an mengenai satu proses baru yang dipatenkan, kita sekarang boleh mendapati beta glucan dalam bentuk ragi disahkan tidak mudah hadam dan boleh berhenti buat sementara waktu dalam usus kecil dengan itu memberi peluang seterusnya untuk diserapi oleh tisu limfa. Penyelidikan telah mendokumenkan tentang keselamatan dan kecekapan cara pengambilan beta glucan secara oral.

Whole Glucan Particle - Beta glucan (WGP-BG) yang dipatenkan

Whole Glucan Particle (WGP) atau zarah glukan lengkap merupakan satu bentuk khas beta glucan yang diperolehi daripada jenis ragi yang dipatenkan. Ia merupakan sejenis suplemen semulajadi yang membantu memperkuatkan sistem pertahanan kita. WGP-BG, yang mempunyai lebih 40 paten / paten dalam pertimbangan, merupakan bentuk beta glucan yang paling tulen kini boleh didapati. Ketulenan yang tinggi ini membuatkan WGP-BG amat berkesan untuk memperkuatkan sistem pertahanan demi mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan dan kanser.

Bagaimana WGP-BG berfungsi

Banyak kajian menunjukkan pengambilan WGP-BG secara oral akan diserapi oleh reseptor dalam usus kecil bergastrik yang berhubungkait dengan tisu limfa dan kemudian ia disalurkan kepada makrofages. Makrofages selepas itu menjadi aktif. Keadaan keaktifan yang meningkat ini akan dipancarkan ke seluruh badan dengan itu mendorong makrofages agar sentiasa lebih giat dan berwaspada, demikian juga neutrophils dan sel-sel -T pembunuh.

WGP-BG telah pun didokumentasikan sebagai dapat meningkatkan dengan ketaranya prestasi sel sistem pertahanan untuk mengenalpasti dan memusnahkan patogen-patogen atau sel kanser.

WGP-BG dan kanser

Semua orang sedikit sebanyak mempunyai sel kanser yang terpendam dalam badan. Sel kanser ini dalam diam sentiasa menyelinap di seluruh badan kita sambil menyerang anggota kita serta selalu mencari jalan sama ada untuk menumpaskan sistem pertahanan kita atau melepaskan diri daripada dikenalpasti dan seterusnya dimusnahkan oleh mekanisme pertahanan semula jadi kita. Pelbagai jenis sel pertahanan sentiasa memerhati dan berwaspada terhadap sel kanser dan menandanya untuk dimusnahkan. Jika sistem pertahanan kita dikompromi dengan apa jua cara, maka risiko sel kanser itu berkembang menjadi tumor akan meningkat. WGP-BG membantu merangsangkan kekuatan sistem pertahanan anda sehingga ia menjadi cukup kuat untuk mencegah penyakit kanser.

WGP-BG khususnya bermanfaat untuk keadaan kesihatan dan situasi yang berikut:

l Untuk mereka yang berumur melebihi 50 tahun - Apabila kita semakin tua, sistem pertahanan kita menjadi kurang cekap, dengan itu meningkatkan risiko terhadap berbagai jenis penyakit.

l Mereka yang memerlukan perlindungan sistem pertahanan yang lebih kuat semasa musim wabak demam selesema.

l Mereka yang bekerja di hospital dan klinik.

l Mereka yang mempunyai sejarah kanser dalam keluarga mereka.

l Mereka yang mempunyai sejarah menghidapi virus hepatitis A, B, C, Herpes, virus Epstein - Barr (EBV), Papillomavirus (HPV) Manusia dan lain-lain.

l Mereka yang mengambil antibiotik dan ubat anti virus, anti fungus. [WGP-BG akan meningkatkan keberkesanan ubat-ubat ini]

l Mereka yang menghidapi penyakit kandidiasis faraj.

l Mereka yang menderita ketegangan - tekanan fizikal atau emosi tekanan tinggi oleh sebab gaya hidup dan kerjaya yang mereka pilih boleh memberi kesan negatif kepada sistem pertahanan badan.

Peranan GH dalam tubuh

stres kerja mempercepatkan proses penuaan sesorang individu.

Encik Kamal ialah seorang lelaki yang tegap dan cergas. Beliau berusia dalam lingkungan 57 tahun. Sewaktu masih muda (dalam usia 20-an), beliau terkenal sebagai seorang yang aktif bersukan dan sikapnya yang kekal cergas berterusan sehinggalah ke usia sekarang.

Encik Kamal seorang yang tenang dan sangat rasional. Personalitinya sangat disukai oleh orang di sekelilingnya. Sejak zaman persekolahan dan universiti beliau merupakan antara ketua pelajar yang disukai ramai lantaran sikapnya yang bertanggungjawab dalam memimpin sebarang tugas. Encik Kamal mementingkan ketepatan dan merupakan seorang yang rajin. Setiap tugas yang dipikul pasti akan dilaksanakan sehingga berjaya.

Tidak hairanlah beliau memegang jawatan yang tinggi dan dihormati ramai.

Walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ini beliau merasa tenaga dan ketenangan hatinya seolah olah tergugat. Dengan tidak semena-mena beliau merasa tidak tenang. Hatinya sering berdebar-debar. Jika dulu beliau mampu menghabiskan masa berjam-jam melakukan tugasnya di pejabat namun kini beliau kurang dapat menumpukan perhatian kepada tugas itu. Sebaliknya daya tumpuannya telah terjejas. Beliau cuba mengawalnya dan menganggap apa yang dihadapinya adalah kerana tekanan bekerja. Baru-baru ini beliau bertemu sahabatnya yang merupakan seorang doktor dan sahabatnya mengesyorkan agar beliau mengurangkan stres dalam kehidupannya. Bagi Kamal pula hidupnya begitu tenang tanpa sebarang stres namun demi memperbaiki taraf kesihatannya beliau menurut juga cadangan sahabatnya.

Beliau cuba mengurangkan stres yang dihadapi dengan bermain golf dan aktiviti lain yang sesuai bagi usianya namun keadaan yang rasai tetap tidak berubah. Hatinya tidak tenang. Tidurnya juga tidak lena. Untuk bangun dari tidur pada awal pagi dia mula berasa sukar. Seperti kehabisan tenaga .

Penampilan fizikalnya juga sudah mula berubah. Apabila memandang cermin dia berasa seperti orang asing. Wajahnya terlalu kendur .Pipinya mula cengkung dan matanya mula mengendur. Bibirnya juga mengecut. Dia makin kehilangan dirinya. Di manakah jejaka muda yang tegap dan gagah pada suatu masa dahulu?

Dia teringat kembali tidak lama dahulu otot-otot nya tegap dan berketul-ketul dek kerana kesabarannya bekerja keras di pusat senaman. Dia sering berjogging dan mengangkat berat. Namun segala kerja kerasnya telah hilang begitu saja. Otot-otot sasa mula digantikan dengan sel sel lemak yang lembik dan menggelebeh sekali. Dia risau melihat perutnya yang mula gendut dan berlemak. Puas dia cuba menjaga pemakanannya namun tetap tidak berhasil.

Sebenarnya gejala-gejala yang dialami oleh Encik Kamal mungkin disebabkan oleh kekurangan growth hormone (Gh) yang dialaminya. Hal ini boleh dibuktikan dengan ujian pengesanan aktiviti Gh dalam darah kita. Di makmal dua ujian boleh dibuat bagi memeriksa paras Gh iaitu GH assay dan IGF1 assay.

IGFi merupakan molekul yang dihasilkan oleh hati kita. Ia saling bertindak dengan Gh bagi menjalankan fungsinya. IGF 1 merupakan kaedah mengesan aktiviti Gh yang baik.

Dewasa ini kebanyakan makmal mempunyai khidmat bagi mengesan pelbagai paras hormon dalam darah dan ia nya menjadi semakin penting apabila kadar populasi warga emas semakin bertambah.

Gh merupakan hormon yang dihasilkan oleh kalenjar pineal di otak kita. Kegunaannya ialah untuk tumbesaran. Sewaktu di dalam perut ibu sehinggalah membesar menjadi dewasa gh berperanan merangsang tumbesaran sel-sel dalam tubuh. Bagi orang dewasa pula ia berperanan memperbaiki sel-sel dan membentuk otot yang kuat. Ia juga menghalang pembentukan lemak dalam badan.

Pada usia 30-an jumlah gh yang dirembeskan oleh seseorang akan berkurangan. Pemeriksaan darah menunjukkan ia berkurangan dengan banyak sehinggalah usia lima puluhan kekurangan ketara akan berlaku. Kekurangan yang ketara itu menyebabkan masalah keletihan menjadi lebih serius.

Peranan Gh:

Menjaga organ seperti saiz otak, kulit, rambut, otot, tulang dan organ dalam tubuh kita. Seseorang yang mempunyai masalah dalam penghasilan Gh akan menjadi seperti orang kerdil, saiz badan kecil dan pendek sahaja. Kekurangan hormon ini membuatkan kesan penuaan begitu cepat sekali berlaku.

Simptom kekurangan gh akibat penuaan:

l Rambut menjadi tipis.

l Wajah pipi menjadi kendur dan kulit pada mata menjadi kendur bibir tampak nipis tulang hidung dan tulang rahang menjadi nipis membuatkan wajah tampak layu.

l Leher kulit menggeleber pada leher.

l Tangan semakin halus dan meruncing .Kuku kelihatan jaluran putih. Tapak tangan kelihatan lebih rata disebabkan pengecutan otot-otot pada tapak tangan.

l Berasa kurang sihat meski pun tidak ada apa apa masalah.

l Keyakinan diri merosot.

l Kurang efisien dalam menjalani tugasan harian terutamanya yang memerlukan multiple tasking.

l Kurang kawalan diri. Berbicara dengan kasar dan mudah panik. Mudah berasa tertekan apabila menghadapi sesuatu peristiwa.

l Memerlukan tidur yang lebih banyak dari biasa dan mudah letih jika kurang tidur.

l Mudah menjadi gemuk biarpun mengamalkan diet yang ketat.

l Mudah berasa sejuk.

l Bagi lelaki ramai yang mengalami masalah seksual.

l Selera kepada daging dan protein hilang disebabkan anabolic yang rendah.

l Risiko penyakit yang mudah di perolehi ialah masalah jantung dan darah tinggi, peningkatan dalam kadar kolestrol dalam darah, kegemukan, kencing manis type 2.

Selepas rawatan

Selepas rawatan pesakit akan merasa dirinya berasa lebih tenang. Ini adalah kerana GH mempunyai pengaruh yang besar ke atas system parasimpatetik tubuh iaitu saraf-saraf yang memberi kesan tenang kepada tubuh kita.

Teknik gaya hidup yang boleh membantu meningkatkan kandungan Gh. Mengambil kalori yang mencukupi bagi tubuh kita, diet yang terlalu ketat bertahun-tahun menjadikan seseorang terlalu kurus dan cepat tua. Diet mestilah mengandungi daging, telur dan ikan.

Elakkan pengambilan alkohol, makanan bercuka dan kafein. Elakkan makanan manis bergula dan makanan berasaskan tenusu. Jangan merokok dan mengambil sebarang dadah yang mengkhayalkan. Pastikan tidur mencukupi dan akhir sekali jangan stres.

Apabila kita mengecapi kadar kemajuan dalam bidang perubatan yang tinggi dan jangka hayat kehidupan yang lebih panjang, kita perlulah juga menjaga kesihatan agar produktif dan tidak bergantung kepada sesiapa pun untuk menjalani kehidupan di usia tua.

Melindungi lebih baik daripada mengubati

Nazrudin dan Sheahnee Lee gembira kerana berjaya memberi anak mereka vaksin penumokokal pada peringkat awal.

Nazrudin dan Sheahnee Lee, dua personaliti televisyen yang dipilih oleh GSK sebagai duta vaksin pneumokokal. Baru sahaja bergelar ibu dan bapa, mereka berasa bertuah kerana mendapat kesedaran awal tentang penyakit ini.

Pada awalnya, mereka sendiri tidak pernah terfikir tentang bahaya penyakit ini.

Seperti membeli insurans, Nazrudin menyedari vaksin ini dapat memberi perlindungan jangka masa panjang untuk bayi perempuan mereka, Zara.

"Seperti yang kita ketahui, pneumokokal menyebabkan kematian sejuta setiap tahun. Kadang-kadang ibu bapa menganggap demam panas sebagai penyakit biasa. Kita tahu mungkin pneumokokal sedang menyerang anak kita," cerita Nazrudin.

Justeru itu dia dan isterinya, mengambil keputusan menerima tawaran GSK.

Anak mereka menerima tiga suntikan vaksin untuk imunisasi yang lengkap.

"Apabila mendengar tentang kematian kanak-kanak disebabkan vaksin ini kian meningkat, saya lebih berhati-hati. Harga vaksin yang ditawarkan juga berpatutan. Bayangkan jika anak kita sakit, kita perlu bawa mereka berjumpa dengan doktor. Ia memerlukan kos yang tinggi untuk rawatan penyakit," ujar Sheahnee.

Sebagai ibu baru, dia akan berasa sangat sedih jika ada sebarang masalah yang dihadapi oleh anaknya.

Berkongsi pengalaman ketika Zara demam, dia amat risau mendengar batuk dan selesema anaknya. Bagi memberi tumpuan penuh terhadap Zara, akhirnya ibu jelita ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Dia kini menjadi pembaca berita sambilan di ntv7.

Bahkan, dia memberi anaknya susu badan untuk memberi kasih sayang dan perlindungan penyakit.

Walaupun hidup di kota metropolitan, Sheahnee percaya susu ibu adalah penawar yang baik.

Mengulas tentang kesedaran masyarakat tentang pneumokokal, Nazrudin yakin ramai yang belum ada pengetahuan dengan penyakit ini.

Sebelum ini, masyarakat hanya didedahkan vaksin imunisasi yang sedia ada untuk perlindungan mereka.

"Kami dulu juga naif tentang penyakit ini. Selepas diberi penerangan, kami sedar semuanya kena bermula daripada awal. Kini anak kami berusia enam bulan dan Alhamdulillah, dia hanya pernah demam sekali," katanya.

Nasihat Nazrudin dan Sheahnee kepada ibu bapa lain, pengetahuan tentang penyakit yang mungkin dialami kanak-kanak perlu dipertingkat.

Mereka yakin, semua ibu bapa mahu menjadi yang terbaik. Justeru itu, perlindungan perlu bermula sejak lahir lagi.

Selain itu, ibu bapa perlu berhati-hati tentang pelbagai promosi vaksin yang terdapat di pasaran.

"Ibu bapa perlu melakukan pertimbangan sesetengah produk. Pelaburan ini hanya sekali dan kita perlu berwaspada. Pilihlah vaksinasi yang terbaik. Sebaiknya dapatkan vaksin pneumokokal di hospital kerajaan dan swasta," ujar Nazrudin.

Selepas ini, kedua-dua selebriti akan meneruskan promosi bersama GSK untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penumokokal.

Bagi mereka, setiap ibu bapa perlu memikirkan kesihatan masa depan kanak-kanak. Dengan adanya perlindungan menerusi vaksin, anak-anak boleh dicegah daripada penyakit serius.

"Mungkin pada masa hadapan, kerajaan boleh memberi imunisasi vaksin pneumukokal percuma kepada orang ramai," ungkap mereka.

Minyak pelembap kulit kering

Johnson's® baby oil pada lazimnya digunakan oleh para ibu untuk melembap dan mengurut bayi .

Walaupun kita berada di negara tropika yang lembap seperti Malaysia, kita masih mengalami kulit kering malah kadang-kala terlampau kering. Walaupun kita tinggal di negara yang panas dan lembap, kita banyak menghabiskan masa di persekitaran yang mempunyai penyaman udara. Prinsip penyaman udara ialah mengitar udara kering dengan suhu terkawal dalam kawasan yang tertutup. Dengan udara panas dan lembap, kebanyakan orang Malaysia lebih gemar berada di kawasan yang mempunyai penyaman udara. Ini menjejaskan kelembapan badan, terutamanya kulit kita.

Menurut Pengarah Urusan Johnson & Johnson, Joyce Lee, faktor gaya hidup lain juga menjejaskan tahap kelembapan kulit termasuklah penggunaan mekap, kurang tidur, merokok, yang kesemuanya menyebabkan kulit kita kering sekiranya kita tidak menggantikan semula kelembapan tersebut secara konsisten.

"Apabila kulit kering, kulit tidak mempunyai daya perlindungan terhadap radikal bebas yang ada di sekeliling kita seperti sinaran UV matahari dan pencemaran. Maka, kulit kering lebih cenderung kepada penuaan berbanding kulit lembap sempurna dan terlindung," katanya.

Penyelesaian bagi kulit kering mudah sahaja - terdapat banyak produk penjagaan kulit muka dan badan yang khas untuk kulit kering dan melindungi kulit.

Johnson's® baby oil pada lazimnya digunakan oleh para ibu untuk melembap dan mengurut bayi. Ia adalah kegemaran para ibu dan wanita untuk memberi pelembapan pada bahagian yang sangat kering seperti siku, lutut, buku lali, tumit malah pada rambut.

Walau bagaimanapun, dengan cuaca kita yang panas dan lembap, kadang kala timbul rasa melekit apabila kita menggunakan pelembap dan minyak terutamanya apabila kita berpeluh. Ini menjadikan kita tidak gemar menggunakan pelembap, terutamanya minyak badan bayi.

Untuk mengatasi masalah ini dan sempena dengan pelancaran semulanya tahun ini, Johnson's® baby oil Lite mengadakan cabaran kepada pengguna pada awal April untuk menamatkan mitos bahawa minyak badan bayi adalah lebih berminyak dan melekit. Dalam cabaran ini, pengguna atau pelanggan di pasar raya atau pasar raya besar ditanya beberapa soalan untuk menentukan sama ada mereka menggunakan minyak badan.

Semasa tempoh cabaran, seramai 4,450 wanita Malaysia telah mengambil bahagian dan hampir kesemuanya bersetuju bahawa Johnson's® baby oil Lite tidak berminyak dan pantas menyerap ke dalam kulit. Keputusannya adalah:

l 97% wanita menyatakan bahawa ia membuat kulit mereka selembut kulit bayi;

l 98% wanita menyatakan bahawa ia menyerap pantas ke dalam kulit;

l 95% wanita menyatakan tiada rasa berminyak selepas digunakan; dan hampir 90% daripada mereka menimbang keputusan untuk membeli produk tersebut dengan serta-merta.

Johnson's® baby oil Lite dirumus dengan formula ultra-pantas yang membantu melega dan melindungi kulit daripada kekeringan. Minyak yang pantas menyerap membolehkan kulit bernafas secara semula jadi, menjadikan kulit rasa selembut dan selicin kulit bayi. Ideal digunakan untuk mengurut, membersih dan melembapkan kulit kering dan sensitif.

Bila pandangan mula pudar

Oleh ZUHAYATI YAZID

Bayangkan melihat sebatang tiang yang tegak tetapi pada pandangan ia seperti kabur di tengah dan juga condong ke kiri atau ke kanan.

Begitu juga bila melihat sebuah kereta yang laju di jalan raya tetapi pada pandangan, kereta tersebut menyondong ke tepi seolah-olah tidak stabil dan pudar pada bahagian tengah.

Jika itu yang dialami, segerakan berjumpa pakar mata kerana ia petanda awal kepada gejala kemerosotan atau degenerasi makular berkaitan usia (Age-related Macular Degeneration - AMD)

Ia adalah sejenis penyakit mata yang boleh menjejaskan penglihatan pusat tajam yang diperlukan untuk aktiviti pandangan 'lurus ke depan' mata seperti membaca, memandu kereta, mengecam muka dan sebagainya yang memerlukan penelitian.

''Namun, jika dikenal pasti lebih awal, pesakit mempunyai peluang yang cerah untuk menghalang perkembangannya malah boleh mendapatkan semula penglihatan yang hilang melalui rawatan terkini," Kata Pensyarah Kanan Bahagian Ophtalmic Universiti Malaya, Dr. Ahmad Fauzi Mohd. Sharif.

Tegas beliau lagi, AMD adalah penyakit mata kronik dan menjadi salah satu punca utama kehilangan penglihatan yang serius di kalangan golongan dewasa yang berumur 50 tahun ke atas.

Penyakit ini berkait rapat dengan proses penuaan di mana secara perlahan-lahan ia merosakkan bahagian tengah penglihatan atau makular.

''Bahagian makular diperlukan untuk melihat objek secara jelas, selain bagi tujuan menjalankan aktiviti biasa seperti membaca atau memandu.

"Dalam kes-kes tertentu, proses perkembangan AMD berlaku terlalu perlahan sehingga penghidapnya langsung tidak merasai perubahan pada penglihatannya.

''Tambahan pula, AMD tidak menyebabkan rasa sakit. Sesetengah pesakit pula merasakan AMD berlaku terlalu pantas sehingga menjurus kepada kehilangan kedua-dua daya penglihatan," jelasnya lagi.

Dr. Ahmad Fauzi menerangkan, AMD boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu lembap atau kering.

Bagaimanapun AMD kering lebih banyak berlaku berbanding kes AMD lembap.

Bahkan daripada keseluruhan kes AMD, kira-kira 70 peratus adalah kes AMD kering berbanding 30 peratus AMD lembap.

AMD lembap terjadi apabila urat-urat darah abnormal di bahagian belakang retina mulai tumbuh di bawah makular.

Oleh kerana urat-urat darah ini masih baru dan 'mentah', kecenderungannya untuk pecah sehingga terkeluar cecair atau darah mudah berlaku.

''Darah dan cecair ini menaikkan makular daripada kedudukan normal di belakang mata. Jadi, kerosakan pada makular berlaku lebih pantas," katanya.

Oleh kerana kerosakan pada bahagian tengah penglihatan terjadi dengan pantas, maka AMD jenis ini juga dikenali sebagai AMD tahap awal - tidak seperti AMD jenis kering yang boleh berlaku secara berperingkat-peringkat.

''Begitupun simptom awal AMD lembap lebih mudah dikesan iaitu jika pesakit mendapati garisan lurus kelihatan seakan bengkang-bengkok," terang Dr. Ahmad Fauzi .

Sementara itu, AMD kering pula terjadi apabila sel yang sensitif pada cahaya di makular mati secara perlahan-lahan sehingga menyebabkan penglihatan bahagian tengah menjadi kabur. Lebih teruk, AMD kering boleh mengakibatkan penghidapnya melihat titik kabur pada tengah-tengah penglihatan.

Simptom yang dialami oleh pesakit yang mengalami AMD kering adalah penglihatan yang sedikit kabur.

''Penghidapnya mungkin sukar mengenali wajah orang lain dan memerlukan lebih banyak cahaya untuk melakukan aktiviti harian seperti membaca buku," katanya sambil memberitahu AMD kering lazimnya menjejaskan kedua-dua belah mata.

Kata Dr. Ahmad Fauzi lagi, AMD biasanya menyerang pesakit dalam keadaan senyap tanpa merasakan kesakitan pada mana-mana bahagian dan juga sebarang perubahan pada penglihatan.

Sunday, September 12, 2010

Hormon dalam lelaki

Banyak e-mel yang dihantar kepada saya datangnya daripada kaum lelaki bertanyakan teknik rawatan estetik yang sesuai bagi meningkatkan penampilan kaum Adam berusia 40-an ke atas. Di zaman ini usia 40-an melambangkan kematangan dan kestabilan kehidupan.

Gaya hidup aktif membuatkan kita mahu meningkatkan penampilan dan juga stamina diri. Bagi saya penampilan yang muda dan bergaya haruslah sejajar dengan peningkatan kualiti kesihatan. Kini umum sudah mengetahui bahawa apabila usia mula meningkat maka pelbagai penyakit seperti darah tinggi kencing manis jantung dan kanser turut meningkat. Oleh kerana fenomena ini sangat serius dan mengancam nyawa maka kita seharusnya menyekat kehadirannya sebelum ia berlaku. Bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati.

Dalam bidang perubatan anti penuaan masalah dikesan dan dihindari sebelum terjadi. Dengan kata lain doktor mengesan dan merawat sebelum terjadinya penyakit. Konsep ini sebenarnya ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Jika seseorang yang berusia 40-an mengadu keletihan dan kekurangan tenaga maka doktor perlu mengadakan pemeriksaan paras hormon dalam darah dan mengesyorkan terapi ozon dan anti oksida di samping penambahan hormon. Ia dilakukan bagi mengaktifkan kelenjar hormon dalam badan.

Apakah rawatan yang sesuai dilakukan oleh kaum Adam bagi mendapatkan semula kulit wajah yang tampak segar dan muda?

Lelaki dan wanita mempunyai kulit yang berbeza. Ini kerana kulit manusia dipengaruhi oleh hormon. Hormon testeron mempengaruhi kulit lelaki manakala hormon estrogen mempengaruhi kulit wanita.

Kulit lelaki mempunyai elastin dan kolagen yang lebih banyak dari kulit wanita. Ini menyebabkan kulit mereka 20 peratus lebih tebal dan anjal serta tahan kepada kerosakan matahari berbanding kulit wanita. Sebab itulah wanita lebih menunjukkan garis-garis halus berbanding dengan lelaki yang seusia dengannya. Namun begitu , semakin berusia kulit lelaki menjadi semakin nipis , manakala kulit wanita tidak berubah ketebalannya.

Berbanding dengan kulit wanita, kulit lelaki mempunyai pori-pori kulit yang lebih besar, kelenjar sebum yang lebih aktif dan saluran darah lebih banyak. Oleh itu kulit lelaki kelihatan lebih kasar, lebih berpeluh dan berminyak. Lelaki yang mempunyai banyak bulu muka dan suka bercukur akan hilang satu lapisan hidrolitik di permukaan kulit menyebab kan kulit menjadi lebih sensitif. Kesan bercukur yang bertahun-tahun menyebabkan kulit kusam dan pori-pori menjadi luas.

Pengaruh hormon kepada lelaki

Hormon yang penting bagi lelaki adalah

1)Testosteron

Merupakan salah satu daripada hormon seks yang penting bagi kesejahteraan lelaki. Ia meningkatkan mood dan memberi rasa segar kepada lelaki. Lelaki yang mempunyai hormone testosteron yang cukup mempunyai tubuh yang segar dan sasa. Tanpa testosteron kulit juga mula berkedut dan menjadi kecut.

Testosteron menjaga kelenjar prostat pada lelaki agar menjadi kekal sihat dan tanpanya kelenjar ini menjadi bengkak. Keadaan ini dipanggil Benign Prostatic Hyperplasia dan jika tidak dijaga akan berubah menjadi sel kanser yang menakutkan. Mereka yang mengalami masalah prostat akan mendapat jangkitan pada pundi kencing dan juga masalah kencing tidak lawas.Lelaki yang mengidapi masalah ini pastinya akan resah kerana sering terganggu akibat panggilan ke bilik air yang terlalu kerap.

Kekurangan testosteron mengakibatkan nafsu keupayaan seks terganggu. Nafsu seks dipengaruhi secara langsung oleh hormon testosteron. Hormon tersebut juga menjadikan tubuh lelaki tegap dan sasa. Tanpanya tubuh akan mula mengecut dan menjadi tidak stabil.

Hormon testosteron turut merangsang mood dan minda seorang lelaki. Lelaki yang kurang testosteron akan sering berdebar-debar, berasa resah dan cepat marah.

Dari segi kesuburan pula hormon ini mempunyai kesan terus ke atas sel-sel leydig dan sertoli pada testis bagi menghasilkan sperma. Apabila kurang testosteron maka tahap kesuburan lelaki juga akan turun. Testosteron banyak mempengaruhi darah kita. Seorang lelaki yang paras testosteronnya baik akan mempunyai tahap kolestrol yang baik. Kekurangan testosterone menjadikan tahap kolestrol dalam badan bertambah.

Dari segi rupa paras pula seseorang yang tidak cukup testosteron akan tampak tua. Kulitnya lebih berkedut berbanding mereka yang cukup testosteron. Penampilan mereka juga akan tampak murung dan kurang yakin. Apabila mendapat testosteron yang cukup seseorang menjadi lebih yakin dan perubahan yang menakjubkan dapat dilihat.

Bentuk tubuh seseorang yang kurang testosteron kelihatan agak menggeleber. Perutnya agak besar dan buncit manakala lemak pula mudah berkumpul. Ini membuatkan lelaki menjadi kurang keyakinan diri dan tenaga pula merosot.

Ujian darah

Ujian darah boleh di lakukan bagi meneliti tahap hormon dalam tubuh seseorang lelaki. Bagi saya ujian ini bagus kerana ia boleh memberikan gambaran sebaik mana peningkatan yang dapat dicapai apabila terapi dibuat.

Ia juga dapat membantu mengesan kekurangan yang ketara dan dapatlah kita memberi perhatian segera terhadap masalah yang dihadapi oleh seseorang.

Contohnya

Hisham berusia dalam lingkungan 55 tahun. Beliau sangat prihatin dalam soal penjagaan kesihatan, tidak merokok dan rajin bersenam. Beliau hairan apabila disahkan oleh doktor menghidap kencing manis. Walaupun berat badannya ideal dan jarang mengambil gula dalam makanan, namun beliau mendapat penyakit kencing manis.

Sejak akhir-akhir ini beliau berasa sangat letih dan lesu. Wajahnya juga tampak tua dan layu. Beliau juga berasa murung dan mudah bosan dalam aktiviti seharian. Menurut rekod pemeriksaan doktor, paras gula di dalam darahnya adalah normal kerana beliau mengamalkan memakan ubat kencing manis mengikut arahan dan menjaga pemakanan.

Ujian darah menunjukkan beliau mengalami masalah hormon yang rendah. Bukan saja paras hormon insulin rendah namun hormon-hormon lain juga juga telah merosot. Setelah menjalani terapi barulah dia merasa bertenaga semula dan semakin bersemangat menjalani kehidupan. Setelah terapi penambahan hormon dibuat ternyata perubahan yang menakjubkan berlaku. Bukan sahaja paras gula di dalam badannya menjadi seimbang malah beliau juga menjadi lebih bersemangat dan bertenaga semula. Beliau tidak murung lagi dan yang hatinya berasa riang dan tenang.

"Saya bagaikan mendapat kehidupan baru yang lebih indah,'' katanya.

Kolestrol dalam juadah makanan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

SYAWAL bererti kemenangan. Setelah mengharungi sebulan yang penuh godaan, inilah waktunya meraikan kejayaan. Syawal juga bererti kemaafan, kini tiba masanya untuk meleraikan segala-galanya.

Dan bagi sesetengah daripada kita Syawal juga bererti ‘masa untuk makan.’ Baru masuk hari ketiga Aidilfitri, rasanya semua hidangan sudah dicuba. Sebut saja ketupat, lemang, rendang, lontong, soto, nasi himpit, kuih muih dan kek. Masih ada yang belum tersenarai?

Siapa yang mampu menolak hidangan ini? Apatah lagi sebulan berpuasa, pasti ramai mengidam dan inilah masalah ‘membayar’ kembali apa yang diingini.

Dalam enak menjamu selera, jangan dilupa dengan tahap kesihatan diri. Sesekali cuba semak apa yang anda makan. Mungkin tatkala menjamah, kita tidak fikir. Namun jika penyakit datang, siapa yang susah, diri sendiri juga merana.

Bercakap mengenai juadah Aidilfitri, sukar untuk menafikan kebanyakan hidangan kita mengandungi kalori tinggi dan kolestrol yang akhirnya mengundang pelbagai penyakit.

Apa itu kolesterol?

Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Ramzisham Abdul Rahman berkata, kolestrol adalah lapisan lemak yang wujud secara semulajadi dalam semua bahagian dalam tubuh badan.

Kolesterol katanya, datang daripada dua sumber. Satu daripada badan dan satu lagi daripada makanan. Hati dan sel dalam badan menghasilkan kira-kira 75 peratus daripada kolesterol dalam darah. Selebihnya ia datang daripada apa yang anda makan. Kolesterol hanya ditemui dalam makanan berasaskan haiwan.

“Mungkin anda terperanjat jika dikatakan kolesterol itu sendiri tidak jahat. Sebenarnya, kolesterol adalah satu daripada bahan yang dihasilkan badan untuk kekal sihat. Sesetengah kolesterol yang kita perlukan dihasilkan secara semula jadi (boleh juga dipengaruhi sejarah keluarga), manakala sesetengah lagi diperolehi daripada makanan yang kita ambil,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan pusat perubatan tersebut.

Namun menurutnya, jika paras kolestrol terlebih dalam darah, ia akan melekat pada dinding arteri dan ini dipanggil plak.

Katanya, plak boleh mengecilkan arteri atau menyekat terus perjalanan darah dan seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Paras kolesterol juga meningkat sejajar dengan peningkatan umur.

Jelasnya lagi, tidak ada tanda seseorang itu mempunyai paras kolesterol yang tinggi dalam darah.

“Anda mungkin mempunyai paras kolestrol tinggi disebabkan keturunan, obesiti dan mengambil makanan yang berlemak terutama sekali dalam musim perayaan begini,” kata beliau.

Sambil menegaskan hari raya bukanlah tiket untuk bebas menikmati apa sahaja hidangan disebabkan telah berpuasa selama sebulan, Prof Ramzisham

menasihatkan pembaca agar berhati-hati ketika menjamu selera terutama kepada mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, diabetis, jantung dan juga kepada individu yang merokok.

Jenis kolestrol

Terdapat dua jenis kolesterol, iaitu kolestrol baik (HDL) dan kolestrol jahat (LDL). Adalah penting setiap individu memahami dan tahu paras baik dan jahat kolesterol dalam darah.

“Lebih salah satu atau kurang daripadanya meletakkan diri dengan risiko penyakit jantung koronari, serangan jantung dan strok,” katanya.

Jelas beliau, kolestrol HDL adalah kolestrol baik yang membantu kolestrol LDL daripada berkumpul dan menyekat dinding arteri.

Paras HDL yang sihat juga melindungi tubuh daripada serangan jantung dan strok, manakala paras HDL yang rendah (kurang daripada 40mg/dL untuk lelaki dan kurang daripada 50 mg/dL untuk wanita) terbukti meningkatkan risiko penyakit berkaitan jantung.

Jika anda ingin meningkatkan HDL, kajian menunjukkan senanan biasa boleh membantu badan menghasilkannya. Mengurangkan pengambilan lemak trans dan mengambil pemakanan seimbang, diet berkhasiat juga boleh membantu. Jika kedua-dua cara itu tidak berkesan, doktor akan memberi ubat khas bagi membantu meningkatkan HDL.

Dalam pada itu, jika terlalu banyak LDL dalam darah, ia boleh menyumbat arteri, meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

“LDL dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh, tetapi kebanyakan individu mewarisinya daripada ibu, bapa atau datuk dan nenek. Pemakanan mengandungi lemak tepu, lemak trans dan kolesterol juga meningkatkan paras sedia ada anda,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau lagi, jika paras kolestrol tinggi dalam darah diwarisi daripada keturunan, mengubah cara hidup dan diet masih belum mencukupi untuk menurunkan paras LDL.

Menurutnya, setiap individu berbeza. Jadi mereka perlu mendapatkan pandangan doktor untuk pelan rawatan terbaik yang patut dilakukan.

Di Amerika Syarikat katanya, penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu. Hampir 2,300 penduduknya mati akibat penyakit kardiovaskular setiap hari, secara purata satu kematian setiap 38 saat.

Beliau juga menyarankan kepada mereka yang rasa bertanggungjawab terhadap kesihatan diri terutamanya yang mempunyai risiko tinggi membuat saringan kesihatan di klinik atau pusat-pusat kesihatan di bulan Syawal ini untuk mengelakkan penyakit yang tidak diundang demi bertemu Ramadan dan Syawal tahun hadapan.

Revolusi pra-cuci rambut

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

RAMBUT cantik dan sihat pasti menjadi kegilaan setiap wanita sama ada bertudung atau tidak. Setiap rambut tumbuh dalam folikel rambut , iaitu satu tiub sel halus berhampiran dengan permukaan kulit. Setiap helai rambut mempunyai akar dan jalurnya sendiri dalam folikel itu.

Jika kita mencabut sehelai rambut dan melihatnya di bawah cahaya lampu, akar rambut jelas kelihatan umpama akar-akar bebawang pada ukuran dua hingga empat milimeter di bawah permukaan kulit. Akar-akar rambut dicipta untuk menghasilkan rambut sebenar yang secara teknikalnya dikenali sebagai jalur rambut .

Jalur-jalur rambut tidak mengandungi tisu-tisu hidup. Ia terdiri daripada protein yang diputar menjadi umpama tali halus yang tersusun rapi. Struktur inilah yang kita sebut rambut.

Justeru itu, pemilihan syampu dan perapi rambut amat penting untuk mengelakkan komplikasi kepala berlaku.

Masalah rambut yang sering dialami orang ramai seperti rambut gugur, kelemumur, kurang lembut dan kilauan. Menyedari permasalahan itu, produk berasaskan herba dan ramuan tradisional, Franch memperkenalkan Franch Herbal Hair Oil untuk membantu orang ramai yang mengalami masalah rambut.

Ia merupakan inspirasi daripada ramuan Franch Oil iaitu ubat tradisional serba guna yang dirumus khas dengan menggunakan ekstrak herba-herba asli daripada buah dan akar pokok jarak serta biji selasih.

Pilihan

Produk baru ini terdiri daripada empat pilihan iaitu Almond, Aloe Vera, Coconut dan Amla.

Menurut Pengurus Pemasaran Jenama Rayson Health, Maria Natasha, produk penjagaan rambut Franch Oil didatangkan dengan terapi pra-cuci. “Sebelum rambut dibasuh dengan syampu, anda perlu membelainya dengan menggunakan Franch Herbal Hair Oil terlebih dahulu.

Didatangkan dengan empat pilihan minyak rambut, kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri bergantung kepada masalah rambut yang anda hadapi,” ujarnya.

Minyak rambut unik ini, diformulasikan khusus untuk mempercepatkan proses penyerapan minyak ke dalam kulit kepala.

Selepas 20 minit mengaplikasinya anda boleh mencuci rambut dengan Franch Herbal Shampoo sama ada ramuan Aloe Vera atau Shikakai.

"Selepas sebulan anda mengamalkan rawatan ini, masalah rambut bercabang dan tidak sihat akan dapat diatasi," ungkap Maria.

Milk thistle untuk hati sihat

Saya ada terbaca mengenai khasiat herba Milk thistle dan juga dandelion untuk kesihatan hati. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah didiagnosis penyakit hati seperti hepatitis mahupun sirosis. Soalan saya, adakah herba-herba ini boleh saya diambil memandangkan saya mempunyai masalah obesiti .

Jawapan

Obesiti dan berat badan berlebihan merupakan fenomena yang kian meningkat di kalangan masyarakat. Berat badan berlebihan sebenarnya menjadi faktor risiko kepada beberapa masalah kesihatan seperti diabetes, jantung, penyakit hati berlemak dan beberapa lagi.

Penyakit hati berlemak pernah suatu ketika dahulu dianggap sebagai penyakit orang barat. Namun disebabkan perubahan gaya hidup dan cara pemakanan, kejadiannya kini meningkat secara dramatik termasuk di Malaysia. Hati berlemak merujuk kepada pengumpulan lemak berlebihan dalam sel-sel hati. Ia boleh disebabkan oleh pengambilan alkohol berlebihan atau juga akibat masalah metabolik seperti obesiti, glukosa atau paras lemak darah yang tidak normal.

Kajian juga mendapati sindrom metabolik di kalangan penghidap hati berlemak bukan alkohol berkait dengan berat badan berlebihan atau obesiti, terutamanya kegemukan di bahagian abdomen, paras kolesterol baik (kolesterol HDL) yang rendah, paras trigliserida yang tinggi dan intoleransi glukosa.

Hasil kajian menunjukkan bahawa silymarin, iaitu komponen yang terdapat dalam milk thistle mampu membantu memperbaiki fungsi hati dan mencegah kerosakan hati pada pesakit hati berlemak. Manakala silibin, iaitu komponen aktif dalam silymarin membantu menstabilkan membran sel terhadap bahan toksik. Sebagai anti oksida, silibin meningkatkan aktiviti enzim penentang radikal bebas dalam sel-sel tubuh, memperbaiki fungsi penyahtoksikan hati dan menggalak pemulihan hati.

Dandelion mempunyai peranan tersendiri dalam memelihara kesihatan termasuk kesihatan hati. Pengambilannya didapati membantu peningkatan aliran hempedu. Sebagai tonik umum, dandelion mempunyai bahan pembersih dan kajian menunjukkan ia memperbaiki masalah keradangan pundi hempedu, penyakit hati dengan membantu penyingkiran toksin.

Saturday, September 4, 2010

Kunyit mencegah pelbagai penyakit?

Kunyit (curcumin), sejenis rempah yang digunakan dalam masakan, merupakan salah satu penyembuh semulajadi paling mujarab. Kegunaannya telah bermula selama 2,500 tahun dahulu. Rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya.

Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit.

Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semulajadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti-kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis.

Dalam 688 kajian, lebih daripada 400 yang telah dikemukakan mengesahkan sifat anti karsinogenik, anti-radang dan anti oksida yang menakjubkan pada kunyit. Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat mempunyai empat ujian klinikal untuk menguji tindakan curcuminoid terhadap kanser kolorektum, pankreas, mieloma berganda dan Alzheimer.

Sifat anti kanser kunyit

Kajian mencadangkan mereka yang mengambil diet kaya dengan kunyit akan mempunyai kadar rendah kanser payu dara, prostat, paru-paru dan kanser kolon.

Bharat B. Aggarwal, professor perubatan kanser di Jabatan Terapeutik Pusat Kanser Anderson University of Texas M.D. telah melakukan kajian rempah ini selama satu dekad.

Penyelidik Pusat Kanser tersebut mendapati curcuminoid juga menghalang aliran biologi penting yang diperlukan dalam perkembangan melanoma dan kanser lain. Kajian tersebut diterbitkan pada 15 Ogos 2005 dalam isu jurnal Cancer dan menunjukkan bagaimana kunyit menghentikan strain melanoma di makmal daripada berganda dan mengarahkan sel kanser untuk membunuh diri sendiri.

Kunyit- Mencegah Alzheimer

Penyakit Alzheimer, sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa. Ciri Alzheimer digambarkan oleh plak amiloid yang terbentuk dalam otak. Plak amiloid adalah gugusan sejenis protin dikenali sebagai amiloid beta. Plak tersebut merosakkan sel otak dengan "mencekik" mereka. Plak amiloid juga menjana radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel otak.

Kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal. NFkB menyebabkan radang yang juga menyumbang kepada pembentukan amiloid beta. Kunyit telah menunjukkan keupayaan menurunkan pembentukan amiloid beta melalui perencatan NFkB. Dengan merencat pembentukan amiloid beta melalui mekanisme dwi-tindakan dalam perlindungan terhadap radang dan kerosakan radikal bebas, curcuminoid menjadi agen semulajadi untuk mencegah dan memperlahankan perkembangan Alzheimer. Kajian klinikal sedang dijalankan di UCLA dengan menggunakan curcumin bagi penyakit Alzheimer.

Kunyit - Kelegaan bagi sakit sendi dan radang

Arthritis adalah sejenis penyakit pro-radang. Kunyit telah digunakan berdekad lamanya untuk merawat keadaan radang seperti osteoartritis. Tindakan anti-radang adalah disebabkan oleh perencatan NFkB. Pada tahun 2006, curcuminoid bersama dengan ubat popular, Celecoxib, sejenis perencat COX-2 telah menunjukkan tindakan bersinergi mengurangkan radang. Penemuan ini adalah penting kerana perencat COX-2 mempunyai kesan sampingan. Jika anda menggabungkan rawatan ini dengan curcuminoid anda boleh mengurangkan dos ubat tersebut dan mengurangkan kesan sampingannya.

Masalah utama dalam penggunaan kunyit

Kunyit adalah bahan yang tidak larut dalam air dan ia susah diserap ke dalam peredaran darah,

Sekiranya ia berjaya diserap, ia amat cepat diuraikan. Ini mungkin merupakan sebab kebanyakan orang tidak dapat memperoleh kesemua faedah curcuminoid apabila diambil sebagai makanan tambahan yang mengandungi kunyit sahaja.

Untuk memperolehi faedah curcuminoid secara menyeluruh, sila rujuk ahli farmasi anda hari ini.

Ini penting untuk mendapat formulasi khas menggabungkan piawaian esktrak kunyit agar mengandungi 95 peratus curcuminoid dengan bioperine yang dipatenkan iaitu esktrak Lada Hitam.

Masa untuk berhenti merokok

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar HAYAT SUEET

JIKA bagi wanita, kedatangan bulan puasa masa paling baik untuk mula berdiet, berbeza pula lelaki yang lebih kepada untuk berhenti merokok.

Tapi untuk menghilangkan tabiat merokok bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi jika rokok sudah menjadi teman sejati sejak sekian lama.

Menurut Dr. Azrul Rozaiman Abdullah dari Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi, Selangor, perokok terbahagi kepada beberapa kategori dan ini ditentukan menerusi satu ujian yang dinamakan Fagerstrom test for Nicotine Dependence.

"Secara umumnya, ketagihan ada empat kategori iaitu rendah, rendah hingga sederhana, sederhana dan ketagihan tinggi.

"Dari senarai yang diberikan di atas, golongan perokok yang paling sukar membuang tabiat merokok ialah yang ketagihan tinggi," jelasnya ketika sesi ceramah sempena seminar Sakit Bukan Halangan Meraih Takwa.

Seminar tersebut anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) dengan kerja sama Hospital Pakar An-Nur (HPAN), Bangi, baru-baru ini.

Dr. Azrul Rozaiman juga memberitahu pendapat yang mengatakan perokok wanita lebih berisiko mendapat penyakit kronik berbanding lelaki tidak benar kerana semuanya bergantung kepada dos bahan-bahan kimia yang disedut ke dalam tubuh.

"Selain itu faktor mudahnya penyakit terjadi akibat merokok juga bergantung kepada kekuatan tubuh individu itu sendiri. Individu yang mempunyai sistem imunisasi yang kuat, sihat dan tanpa penyakit kronik lain.

"Ada perokok yang memberitahu bahawa apabila mereka berhenti merokok mereka akan menjadi tidak sihat. Ini berlaku kerana ketagihan rokok tegar menyebabkan mereka secara fizikal dan psikologikal terpaksa bergantung dengan aktiviti merokok untuk mengekalkan paras nikotin dalam badan. Dengan itu mereka dapat kekal 'rasa seronok' dan akan rasa sebaliknya jika tidak mengambil rokok," ujarnya.
Amalan pesakit diabetes

Walaupun umat Islam berada dalam minggu terakhir Ramadan, pesakit diabetes yang beragama Islam dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengawasi paras gula darah mereka demi mengelakkan hipoglisemia (paras gula darah yang terlalu rendah) pada siang hari dan hiperglisemia (paras gula darah yang terlalu tinggi) pada waktu malam.

Oleh demikian, pesakit-pesakit diabetes yang ingin melaksanakan ibadah puasa diminta terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada doktor mereka.

Semasa berpuasa, risiko gula darah menurun ke bawah paras normal adalah lebih tinggi daripada waktu biasa. Jika tanda-tanda hipoglisemia timbul, anda harus mempertimbangkan berhenti puasa dan mengambil jus buah-buahan ataupun satu sudu besar gula dengan segera. Lakukan ujian paras gula darah anda jika telah berhenti puasa dan juga laporkan sebarang ketidakselesaan ataupun keletihan yang dialami kepada doktor anda.

Anda boleh mengurangkan risiko hipoglisemia pada siang hari dengan:

* Tidak mengabaikan pengambilan makanan

* Makan sahur sebelum terbit fajar

* Mengambil makanan yang seimbang

* Minum air dengan mencukupi

* Dapatkan nasihat doktor tentang pengubatan yang sesuai untuk anda

* Mengubahsuai pelan pemakanan bersama doktor atau pakar diet anda

Selepas Iftar, risiko gula darah melebihi paras normal adalah semakin tinggi. Demi mengurangkan risiko hiperglisemia, anda dinasihati mengamalkan cara pemakanan sihat dengan mengambil hidangan makanan berkandungan lemak dan karbohidrat yang seimbang. Mulakan Iftar anda dengan makanan yang telah dirancang oleh pakar diet dan mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor anda.

Pengawasan secara tetap terhadap paras gula darah adalah mandatori semasa bulan Ramadan. Pengukuran tahap gula darah sebaik-baiknya dijalankan pada awal pagi sebelum puasa dan selepas Iftar dan Sahur. Walau bagaimanapun, anda adalah dinasihati supaya berhenti puasa jika bacaan gula darah menurun ke bawah paras sasaran yang sepatutnya pada waktu pagi dan tengahari

Umat Islam dengan penyakit kencing manis jenis 2 yang tidak memerlukan suntikan insulin biasanya dapat menjalankan ibadah puasa tanpa sebarang masalah semasa Ramadan. Pesakit-pesakit yang hanya memerlukan satu suntikan insulin biasanya boleh berpuasa tanpa masalah besar tetapi mereka dinasihati berjumpa doktor untuk mengetahui jenis insulin yang sesuai untuk mereka.

Semasa berpuasa, adalah penting untuk pesakit-pesakit mengenali tanda-tanda hipo dan hipeglisemia, mengetahui cara-cara manangani mereka, mengukur paras gula darah dengan cara yang tertentu, meminum air yang cukup dan mengamalkan kesederhanaan dari segi pemakanan. Di samping masalah-masalah yang tersebut di atas, terdapat satu lagi perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu mengetahui tentang tanda-tanda keto-asidosis. Ketoasidosis adalah sejenis keadaan serius yang mengancam nyawa dan ia berlaku apabila badan pesakit benar-benar kekurangan insulin dan tahap gula darah menjadi terlalu tinggi.

Pesakit-pesakit kencing manis dari kumpulan-kumpulan tertentu adalah dinasihati supaya tidak berpuasa:

* Pesakit diabetes jenis 2 yang memerlukan lebih daripada satu suntikan insulin

* Pesakit diabetes jenis 1

* Wanita mengandung yang berpenyakit diabetes

* Mereka yang menghidapi penyakit, dimasukkan ke hospital ataupun sedang menjalani rawatan jantung

Badan pear atau epal?

KITA sering melihat bentuk tubuh manusia yang berbeza-beza. Ada orang yang besar di dada dan lengan. Ada pula mempunyai dada dan lengan yang kecil namun saiz punggung lebar dan besar

Seorang sahabat saya mempunyai punggung yang serta paha yang besar walaupun jika dipandang daripada saiz tubuhnya di bahagian atas dia tampak kecil sahaja. Badan yang sebegini dinamakan bentuk pear. Ia seolah-olah buah pear yang kecil daripada tangkainya namun lebar di bawah.

''Saya terpaksa memakai skirt atau kain kembang bagi menutup kekurangan ini,'' kata kawan saya itu lantaran menurut beliau memakai seluar memang tidak sesuai kerana punggung yang terlalu lebar. Keadaan itu mendatangkan masalah kepada sahabat saya apabila mahu membeli baju. Jika bajunya muat sudah tentu kainnya ketat lantaran saiz tubuhnya yang mengembang di bahagian punggung. Seorang sahabat yang lain pula mempunyai tubuh yang berbentuk epal. Tubuhnya besar dan lebar di bahagian dada dan belakang (atas), manakala paha dan kaki pula kecil. Punggungnya juga kecil. Namun beliau kelihatan sangat gemuk kerana bahagian belakang badan dada dan pinggangnya berlemak. Dengan kata lain bentuk tubuh seperti ini diberikan gelaran bentuk epal lantaran bentuknya yang gempal di atas dan menguncup pula di bahagian bawah..

Seorang sahabat saya pula mengadu perutnya buncit. Walaupun dia tidaklah terlalu gemuk namun perutnya tidak dapat disembunyikan. Puas dia mencuba pelbagai jenis jamu dan ubat-ubatan tradisional bagi menurunkan saiz perut namun tidak berjaya. Masalah perut buncit sering berlaku kepada lelaki.

Seorang sahabat pula mengadu anaknya terlalu gemuk dan rendang sahaja. Tubuhnya seimbang dari atas ke bawah dipenuhi lemak sahaja. Dia turut berasa hairan apakah masalah yang dihadapi oleh anaknya itu. Apabila berdiet berat tidak boleh turun dengan mudah. Anaknya juga tidak makan terlalu banyak namun berat badannya sentiasa sama sahaja meskipun menjaga pemakanan dengan ketat.

Mengapakah ini berlaku? Mengapakah seseorang tidak serupa bentuk tubuhnya berbanding orang lain?

Jawapannya adalah kerana di dalam tubuh kita terdapat kelenjar hormon yang berbeza-beza keaktifannya. Kelenjar hormon yang aktif akan menjadi kelenjar yang dominan di dalam tubuh seseorang dan akan merembes lebih banyak hormon berbanding kelenjar yang kurang aktif.

Kelenjar hormon bukan sahaja mempengaruhi bentuk tubuh seseorang malah juga mempengaruhi perangai seseorang, corak pemakanan, kecenderungan terhadap cuaca dan suhu persekitaran dan sikap seseorang dalam menangani kehidupan sehariannya. Hal sebegini sangat unik. Justeru itu jika kita tahu kelenjar hormon yang dominan dalam tubuh adalah lebih mudah bagi untuk menangani masalah kesihatan kita.

Kelenjar utama dalam tubuh kita adalah kelenjar pituitary yang terletak di otak, kalenjar insulin di pankreas, kelenjar tiroid di leher dan juga kelenjar adrenal di buah pinggang kita. Kesemua kelenjar ini memainkan peranan yang berbeza, berfungsi membentuk tubuh dan menjadikan tubuh berbeza-beza bentuknya.

Tubuh kita akan terbentuk mengikut rangsangan hormon yang dominan. Jenis hormon yang dominan ditentukan oleh genetik seseorang di mana setiap daripada kita mempunyai kelenjar yang berbeza aktivitinya. Seseorang yang lahir di kalangan ahli keluarga yang mempunyai kelenjar tiroid yang dominan akan mempunyai bentuk tubuh yang tinggi lampai dan berbadan kurus. Mereka ini mempunyai kadar metabolik tubuh yang amat tinggi dan mampu membakar lemak dengan mudah dan cepat. Oleh kerana itu mereka tidak mudah gemuk melainkan jika wujudnya masalah yang membuatkan kerosakan pada kelenjar tiroid mereka. Mereka yang mempunyai kelenjar adrenal sebagai kelenjar dominan akan mempunyai tubuh berbentuk epal. Bahagian atas tubuh besar dan berlemak manakala bahagian yang lain kecil saja. Kumpulan ini mempunyai tenaga yang tinggi sepanjang hari. Mereka tidak mudah merasa letih dan mampu bekerja atau menjalankan aktiviti fizikal sepanjang hari. Mereka juga mempunyai semangat yang tinggi dan amat tekun dalam urusan pekerjaan.

Mereka yang mempunyai punggung lebar dan dikatakan berbentuk pear pula mempunyai hormon gonad sebagai kelenjar mereka yang dominan.

Sara ialah seorang gadis berusia 35 tahun dan bertubuh gemuk. Dari zaman kanak-kanak lagi tubuhnya besar dan tidak pernah turun beratnya meskipun Sara mengamalkan diet yang ketat. Sara telah mencuba pelbagai kaedah diet namun tidak juga berhasil. Perubatan tradisional dan moden juga dia telah dicuba namun tidak juga berhasil.

Sara cepat berasa letih. Dia cuba melakukan senaman namun tubuhnya terasa berat sekali. Dia juga berasa tangan dan kakinya agak sejuk. Apabila teman-teman mengajak berenang di kolam maupun pantai Sara enggan masuk ke dalam air kerana dia berasa sejuk. Sara hairan kerana dia mempunyai lemak yang banyak dalam badan namun kenapa asyik berasa sejuk. Sejak akhir akhir ini Sara berasa berat badannya naik mendadak lagi. Dia juga melihat perubahan pada struktur kulitnya yang tampak kasar dan dan di bawah matanya kelihatan agak lebam.

Rambutnya menjadi agak kasar dan gugur dengan banyak. Sara mengagak mungkin hal ini disebabkan oleh usianya yang meningkat.

Masalah yang dihadapi oleh Sara adalah kekurangan hormon tiroid di dalam tubuhnya. Ini membuatkan Sara menjadi perlahan pergerakannya dan lemak mudah berkumpul. Hormon tiroid adalah hormon yang menjana metabolik tubuh. Ia membolehkan tubuh kita menjana tenaga yang digunakan bagi aktiviti tubuh kita. Apabila usia meningkat hormon ini semakin berkurangan dan menyebabkan kita semakin lesu. Memang benar ramai di antara kita yang tidak menyedari hakikat ini namun setelah dibuat analisis barulah kita faham masalah sebenar.