Saturday, September 18, 2010

Melindungi lebih baik daripada mengubati

Nazrudin dan Sheahnee Lee gembira kerana berjaya memberi anak mereka vaksin penumokokal pada peringkat awal.

Nazrudin dan Sheahnee Lee, dua personaliti televisyen yang dipilih oleh GSK sebagai duta vaksin pneumokokal. Baru sahaja bergelar ibu dan bapa, mereka berasa bertuah kerana mendapat kesedaran awal tentang penyakit ini.

Pada awalnya, mereka sendiri tidak pernah terfikir tentang bahaya penyakit ini.

Seperti membeli insurans, Nazrudin menyedari vaksin ini dapat memberi perlindungan jangka masa panjang untuk bayi perempuan mereka, Zara.

"Seperti yang kita ketahui, pneumokokal menyebabkan kematian sejuta setiap tahun. Kadang-kadang ibu bapa menganggap demam panas sebagai penyakit biasa. Kita tahu mungkin pneumokokal sedang menyerang anak kita," cerita Nazrudin.

Justeru itu dia dan isterinya, mengambil keputusan menerima tawaran GSK.

Anak mereka menerima tiga suntikan vaksin untuk imunisasi yang lengkap.

"Apabila mendengar tentang kematian kanak-kanak disebabkan vaksin ini kian meningkat, saya lebih berhati-hati. Harga vaksin yang ditawarkan juga berpatutan. Bayangkan jika anak kita sakit, kita perlu bawa mereka berjumpa dengan doktor. Ia memerlukan kos yang tinggi untuk rawatan penyakit," ujar Sheahnee.

Sebagai ibu baru, dia akan berasa sangat sedih jika ada sebarang masalah yang dihadapi oleh anaknya.

Berkongsi pengalaman ketika Zara demam, dia amat risau mendengar batuk dan selesema anaknya. Bagi memberi tumpuan penuh terhadap Zara, akhirnya ibu jelita ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Dia kini menjadi pembaca berita sambilan di ntv7.

Bahkan, dia memberi anaknya susu badan untuk memberi kasih sayang dan perlindungan penyakit.

Walaupun hidup di kota metropolitan, Sheahnee percaya susu ibu adalah penawar yang baik.

Mengulas tentang kesedaran masyarakat tentang pneumokokal, Nazrudin yakin ramai yang belum ada pengetahuan dengan penyakit ini.

Sebelum ini, masyarakat hanya didedahkan vaksin imunisasi yang sedia ada untuk perlindungan mereka.

"Kami dulu juga naif tentang penyakit ini. Selepas diberi penerangan, kami sedar semuanya kena bermula daripada awal. Kini anak kami berusia enam bulan dan Alhamdulillah, dia hanya pernah demam sekali," katanya.

Nasihat Nazrudin dan Sheahnee kepada ibu bapa lain, pengetahuan tentang penyakit yang mungkin dialami kanak-kanak perlu dipertingkat.

Mereka yakin, semua ibu bapa mahu menjadi yang terbaik. Justeru itu, perlindungan perlu bermula sejak lahir lagi.

Selain itu, ibu bapa perlu berhati-hati tentang pelbagai promosi vaksin yang terdapat di pasaran.

"Ibu bapa perlu melakukan pertimbangan sesetengah produk. Pelaburan ini hanya sekali dan kita perlu berwaspada. Pilihlah vaksinasi yang terbaik. Sebaiknya dapatkan vaksin pneumokokal di hospital kerajaan dan swasta," ujar Nazrudin.

Selepas ini, kedua-dua selebriti akan meneruskan promosi bersama GSK untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penumokokal.

Bagi mereka, setiap ibu bapa perlu memikirkan kesihatan masa depan kanak-kanak. Dengan adanya perlindungan menerusi vaksin, anak-anak boleh dicegah daripada penyakit serius.

"Mungkin pada masa hadapan, kerajaan boleh memberi imunisasi vaksin pneumukokal percuma kepada orang ramai," ungkap mereka.

No comments: