Saturday, November 27, 2010

kemerosotan mitokondria

MITOKONDRIA ialah sebuah “kilang tenaga” sel badan. Lebih daripada 200 jenis penyakit yang diwarisi telah dikaitkan dengan gangguan fungsi mitokondria termasuk kebanyakan penyakit tua yang paling biasa seperti penyakit Alzheimer, diabetes, kanser, penyakit jantung, penyakit Parkinson dan angin ahmar.

Mitokondria dikenali sebagai “kilang tenaga” bagi sel kerana ia menghasilkan adenosina trifosfat (ATP), yang merupakan bekalan tenaga biologi yang mengawal kegiatan badan. Semasa muda, mitokondria menghasilkan ATP yang cukup untuk kita kekal aktif. Kebanyakan sel mengandungi 200 - 5,000 mitokondria. Sel yang mempunyai lebih banyak bilangan mitokondria, maka lebih banyak tenaga yang boleh dihasilkan. Sel badan kita mempunyai lebih kurang sebanyak 10 juta billion, dan membentuk 10 peratus daripada berat badan anda.

Mitokondria tidak berfungsi

Sejak ketidakfungsian mitokondria diterangkan pada tahun 1960-an, bidang perubatan telah mempertingkatkan pemahaman tentang peranan mitokondria dalam kesihatan, penyakit dan penuaan. Berbagai jenis gangguan kesihatan telah akhirnya dihubungkaitkan dengan kelemahan fungsi mitokondria. Kerosakan mitokondria juga telah disabitkan sebagai suatu penyumbang utama kepada proses penuaan.

Pemeliharaan mitokondria

Satu penyelidikan yang diterbitkan dalam “Journal of Clinical Nutrition” mendapati gabungan Asid Alfa Lipoik dan Acetyl L-Carnitine mengurangkan radikal bebas dengan lebih baik berbanding dengan penggunaan mana-mana bahan itu secara berasingan. Gabungan berfungsi secara bersinergi untuk membantu mengelakkan kerosakan Mitokondria dan mengembalikan fungsinya semasa proses penuaan.

Sokongan jantung

Jantung berdegup sepanjang hayat dan memerlukan jumlah tenaga yang banyak. Oleh kerana Mitokondria menghasilkan tenaga, maka tidak hairanlah yang lebih kurang 50% daripada isipadu jantung adalah Mitokondria! Lebih banyak bilangan Mitokondria yang dipunyai oleh sel jantung, lebih banyak tenaga yang boleh dihasilkan. Jika bilangan Mitokondria kurang atau berfungsi dengan lemah, ia akan memberi kesan buruk kepada jantung. Kajian mendapati penggunaan Asid Alfa Lipoik akan menurunkan tekanan oksidatif (kerosakan akibat radikal bebas) secara mendadak dalam jantung. Jika tekanan oksidatif berkurangan, kerosakan Mitokondria juga berkurangan. Oleh itu, mitokondria berfungsi dengan lebih baik dengan kehadiran Asid Alfa Lipoik.

Melalui proses penuaan, anda cenderung untuk hilang upaya membakar asid lemak (lemak) untuk mendapatkan tenaga. Acetyl L-Carnitine terlibat dalam pengangkutan asid lemak ke dalam Mitokondria untuk menukarkannya kepada tenaga. (Nota: Koenzim Q10 adalah diperlukan untuk menukar asid lemak dan glukosa kepada tenaga). Takat Acetyl L-Carnitine menurun mengikut peningkatan usia dan pengangkutan asid lemak menjadi tidak berfungsi dengan baik. Jantung menjadi kebuluran sumber bekalan tenaga utama iaitu lemak. Jika anda mengambil Acetyl L-Carnitine, anda mempertingkatkan pengangkutan dan lebih asid lemak boleh dibawa masuk ke dalam Mitokondria agar dipergunakan dengan lebih cekap untuk menyokong fungsi jantung.

Sokongan daya ingatan

Gabungan Asid Alfa Lipoik dan Acetyl L-Carnitine membantu mempertingkatkan prestasi ingatan dan pemikiran di kalangan golongan dewasa. Terdapat bukti bahawa Mitokondria dalam otak adalah amat penting dalam fungsi daya ingatan dan pemikiran kerana penghasilan tenaganya dan kesannya ke atas kerosakan akibat radikal bebas. Ketidakfungsian Mitokondria adalah berkaitan dengan banyak jenis demensia senil seperti Alzheimer dan Parkinson. Asid Alfa Lipoik and Acetyl L-Carnitine melintasi rintangan darah-otak dan dengan itu akan memanfaatkan otak.

Anti penuaan

Banyak teori mengenai penuaan telah diketengahkan, teori paling menarik perhatian adalah teori penuaan mitokondria. Teori ini mencadangkan radikal bebas terjadi sebagai hasil sampingan daripada penghasilan tenaga dalam mitokondria yang seterusnya mengakibatkan kerosakan ke atas DNA dan membran Mitokondria.

Koenzim Q10 (CoQ10)

Co Q10 memainkan peranannya dalam fungsi mitokondria, amat melengkapi tindakan Asid Alfa Lipoik dan Acetyl L-Carnitine:

l Peranan Co Q10 dalam penghasilan ATP telah dibuktikan dengan baik. Tanpa Co Q10 Mitokondria tidak boleh menjana tenaga.

l Hanya Asid Alfa Lipoik boleh mengangkut asid lemak ke dalam mitokondria untuk dibakar menjadi tenaga oleh Co Q10 dan kedua-duanya berfungsi secara bersinergi untuk mempertingkatkan fungsi mitokondria.

l Co Q10 adalah antioksidan berkuasa. Terletak di Mitokondria, tempat di mana radikal bebas terjadi adalah terbukti berfaedah dalam mengelak kerosakan kepada membran Mitokondria dan mtDNA yang boleh menurunkan penghasilan tenaga secara langsung. Dalam konteks ini, Co Q10 melengkapi tindakan Asid Alfa Lipoik yang juga merupakan antioksidan berkuasa.

Penjagaan Mitokondria

Mengambil suplemen yang menggabungkan Asid Alfa Lipoik dan Acetyl L-Carnitine ditambah dengan Co Q10 larut-air akan membantu mencegah kerosakan mitokondria dan menambah penghasilan tenaga. Penjagaan mitokondria adalah peluang paling baik untuk memelihara kesihatan sel, organ dan badan anda apabila anda meningkat usia.

Setiap orang boleh memperolehi faedah daripada pengambilan makanan tambahan kombinasi Asid Alfa Lipoik dan Acetyl L-Carnitine bersama-sama dengan tambahan Co Q10 larut air. Golongan berusia dalam tahun 40an atau yang lebih muda boleh mengalami kesan berfaedah yang ketara. Faedah yang paling biasa dilaporkan adalah pertambahan tenaga sepanjang hari dan kecerdasan mental lebih tinggi.

Harapan pesakit neurovaskular

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

MUNGKIN anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukan sakit kepala biasa.

JARI tangan Pakar Bedah Saraf terkemuka dunia, Profesor Dr. Micheal K. Morgan memegang lembut alat bedah ketika melakukan pembedahan neurovaskular pesakit yang disahkan mengalami Arteriovenous Malformation atau Malformasi arterio vena (AVM).

Suasana di bilik bedah itu senyap seketika apabila Dr. Morgan memulakan torehan kepala seorang pemuda. Hanya sesekali bunyi alat penyedut cecair memecah kesunyian. Bau hanyir darah seperti tidak mengganggu langsung pasukan pembedahan Dr. Morgan yang dibantu oleh Perunding Pakar Bedah Saraf dari Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Jagdeep Singh (terdapat 20 orang dalam pasukan pembedahan termasuk jururawat dan pakar anestisia).

Dengan penuh teliti umpama melukis sesuatu, perhatian dua pakar tersebut tertumpu pada mikroskop digital. Torehan itu mendedahkan selaput otak yang berwarna putih kemerah-merahan.

Kemudian, seorang petugas membersihkan kawasan itu supaya saraf otak lebih jelas kelihatan. Bahagian itu dicuci sebelum proses pembedahan dimulakan.

Empat tahun lalu, pemuda yang berusia 22 tahun itu mengalami sakit kepala yang teruk. Dia menyangkakan sakit kepala itu hanya perkara normal seperti yang dialaminya sebelum ini.

Pemuda itu telah menjalani ujian imbasan (CT Scan) otak dan ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) pada 2006. Akhirnya, penderitaan sakit kepalanya terjawab apabila dia didiagnosis mengalami AVM.

Kehadiran Dr. Morgan tahun ini ternyata membawa tuah kepada pemuda itu apabila Dr. Morgan telah menjalinkan kerjasama dengan Gleneagles bagi memulakan rawatan neurosurgeri bertahap tinggi di Malaysia.

Pesakit neurovaskular itu kini mempunyai harapan.

Pendarahan

Kebanyakan masyarakat pada hari ini sering mengaitkan sakit kepala dengan penyakit “migrain”. Namun, hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tentang penyakit AVM. Penyakit itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia tua mahupun muda. Mungkin anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukan sakit kepala biasa.

Pada 21 November lalu, Dr. Morgan telah mengendalikan dua prosedur pembedahan secara langsung yang membabitkan AVM dan pembedahan aneurisme.

Jika diperhatikan, kedua-dua kes itu mempunyai simptom yang sama iaitu sakit kepala yang teruk, mual, muntah dan kejang di bahagian leher.

Menurut Dr. Morgan, AVM merupakan pengumpulan saluran darah secara tidak normal di otak. Keadaan ini disusuli dengan pendarahan dalam otak atau sawan.

“Kebiasaannya rawatan untuk AVM sangat kompleks dan boleh membabitkan pelbagai kaedah. Diagnosis terhadap AVM boleh dilakukan dengan menjalankan prosedur angiogram dan imbasan MRI,” ujarnya.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, pendarahan dalam otak yang berulang boleh mengancam nyawa. Pilihan rawatan bagi AVM adalah termasuk pembedahan atau terapi radiasi.

Tambah Dr. Morgan, embolisasi iaitu pemotongan peredaran darah ke AVM boleh digunakan sebagai tambahan kepada kaedah rawatan AVM.

“Dalam kes tertentu pesakit akan memerlukan kombinasi kaedah pembedahan, terapi radiasi atau embolisasi,” ujarnya.

AVM adalah gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena. Ini menyebabkan pertukaran tekanan yang tidak terurus secara berkala di antara arteri dan vena. Menurut Pakar Bedah saraf Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramesh Narenthiranathan, tekanan yang tinggi dari arteri menyebabkan pengembangan salur vena yang tidak terkawal dan tidak normal.

“Pengembangan ini, jika tidak dibendung, akan menipis dan akhirnya pecah disebabkan tekanan darah yang tinggi. Pandangan dan nasihat pakar bedah otak adalah perlu bagi memastikan rawatan yang paling sesuai dan berkesan bagi merawat penyakit ini,” ujar beliau.

Dr. Ramesh menjelaskan AVM boleh berlaku di mana sahaja di dalam bahagian otak kita, sama ada besar mahupun kecil. Apabila pendarahan berlaku, pendarahan ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan pendarahan yang berpunca akibat daripada pendarahan ‘‘hypertensive”. Ramai pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sebenarnya pengidap penyakit AVM. Antara tanda-tandanya ialah kesakitan di bahagian sebelah kiri mahupun kanan kepala dan apabila perkara ini berlaku, pesakit perlulah menjalani rawatan imbasan CT atau MRI.

Awas memilih kosmetik

PENGGUNAAN alat pencerah yang menggunakan bahan kimia berlebihan boleh merosakkan kulit.

NANI ingin mendapatkan kulit muka yang cerah. Sahabatnya Siti menggunakan sejenis produk pencerah dan mencadangkan kepada Nani agar turut mencuba. Menurut Siti selepas menggunakan produk itu selama tiga minggu hasil yang ketara akan terlihat.

Selepas mencuba selama beberapa minggu kulit Nani menjadi gatal gatal dan kemerahan. Dia alah dengan produk tersebut dan terpaksa berjumpa doktor bagi rawatan alahan.

Namun Nani tidak putus asa. Setelah kulit mukanya pulih semula dia mencuba pula produk yang lain. kali ini kulitnya cerah dan tidak ada sebarang masalah.

Oleh itu Nani terus menggunakan produk itu selama setahun. Selepas setahun Nani bertukar pula ke produk baru yang disyorkan oleh temannya. Nani terpengaruh lantaran melihat kulit temannya yang halus dan licin. Namun selepas dua bulan Nani mendapati kulitnya kusam. Dia juga melihat kesan pigmentasi mula terjadi dan membuatkan hatinya risau.

Nani berjumpa saya kerana dia telah membaca berkenaan produk kecantikan yang beracun bakal mencetus masalah kanser dan pigmentasi kulit jika di gunakan terlalu lama. Dia meminta saya memberi nasihat berkenaan pemilihan produk kecantikan yang sesuai pada kulit. Beliau juga ingin tahu apakah yang dilakukan oleh produk tersebut kepada kulit kita.

Saya mendapati ramai daripada kita mengalami pigmentasi akibat penggunaan bahan kosmetik yang tidak terkawal. Untuk membaik pulih kes seperti ini adalah rumit. Ini kerana ia memerlukan rawatan bersiri termasuklah suntikan vitamin dan transeminic ke dalam kulit bagi mengurangkan angiogenesis pada sel sel melanocyte itu.

Bahan-bahan pencerah boleh didapati daripada alam semulajadi dan juga menerusi proses sintetik.

Berikut dihuraikan serba sedikit mengenai bahan pencerah dalam kosmetik.

Arbutin

Sejenis hidroquinone yang sudah mengalami proses glycosylated. Ini bermakna struktur kimianya adalah sama seperti hydroquinone namun mempunyai molekul glukosa yang melekat padanya. Arbutin terdapat secara semulajadi di dalam buah-buahan seperti kranberi, pear, bluberi dan buah-buahan jenis beri yang lain. Arbutin menghalang tindakan tyrosinase (sejenis enzim yang menggalakkan pembentukan melanin iaitu pigmen pada kulit). Apabila arbutin disapukan kepada kulit ia meresap jauh ke dalam dan menentang pembentukan melanin. Hasilnya kulit menjadi cerah perlahan-lahan.

Asid kojik

Bahan semulajadi yang terhasil daripada sejenis kulat. Ia sering digunakan dalam proses membuat tapai di Jepun. Ia terbentuk dari aspergillus oryzae iaitu spesies kulat yang sering digunakan dalam proses pembuatan sake di negara Matahari Terbit. Pada awalnya kojik digunakan sebagai pengawet bagi bahan makanan dan kosmetik. Penggunaan kojik menyebabkan warna makanan dan kosmetik kekal cantik dan tidak kusam. Kajian saintifik menunjukkan kojik sesuai untuk kulit manusia dan pigmentasi seperti melasma dan bintik-bintik hitam. Oleh kerana sifatnya yang berasid, anda mungkin berasa gatal sedikit di peringkat awal penggunaannya. Ia bertindak menghalang pembentukan melanin melalui proses oksidasi.

Hidroquinon

Hidroquinne merupakan agen penting dalam menangani pigmentasi. Ia mampu menyerang sel-sel melanocyte dan merosakkan DNA dan RNA pada sel tersebut. Ini menjadikan sel-sel itu rosak dan tidak mampu menghasilkan pigmen. Namun begitu sifat hydroquinione yang toksik tidak terhad pada sel melanocyte sahaja. Sekiranya digunakan dalam kuantiti berlebihan ia turut merosakkan sel-sel lain juga. Oleh itu penggunaannya haruslah terhad kepada empat bulan dan mengikut nasihat doktor sahaja. Selepas empat bulan anda harus merehatkan kulit beberapa bulan sebelum menggunakannya semula. Penggunaan hydroquinone membuatkan kulit kita menjadi berubah dari segi sifat semulajadinya. Sel-sel seolah olah menjadi mutant dan berubah dari segi komposisi semulajadinya. Ini mewujudkan keadaan bergantung kepada hydroquinone. Tanpa hydroquinone kulit gelap semula.

Asid azelaic

Bahan semulajadi di dalam pyhtosporum ovale yang merupakan sejenis yis atau kulat. Fungsi asid azelaic adalah bagi membunuh melanocytes melalui sifatnya yang menghalang thioredoxin reductase sejenis enzim dalam mitokondria sel melanocytes.

Azelaic asid turut berguna dalam rawatan jerawat, lentigines, rosacea dan pigmentasi yang disebabkan keradangan.

Retinoids

Retinoids seperti trenitoin dan adapalene adalah derivatif kepada vitamin A. Ia turut menghalang aktiviti tyrosinase menyebabkan pigmentasi tidak terjadi.

Niacinamide

Vitamin B3 yang aktif dan menghalang proses warna terjadi pada sel kulit.

Protein soya

Mengandungi enzyme serine protease yang menghalang pembentukan melanin. Namun kesannya agak lambat. Dengan menyapu sebanyak dua kali sehari ke muka kesan pencerahan dapat dilihat selepas 12 minggu.

Pengelupasan dengan asid buah buahan atau asid lembut

Fungsinya ialah meningkatkan proses pembentukan epidermis baru dan membuang melanin yang lama. Jenis asid yang sering digunakan adalah alfa hydroxyl asid, glycolic asid, trichloroacetik asid.

Aleosin

Sejenis molekul glycoprotein yang terdapat di dalam tumbuhan aloevera. Ia menghalang tyrosinase tanpa menunjukkan sebarang sifat toksik seperti hydroquinone.

Asid tranexamic

Menghalang cahaya UV daripada merosakkan kulit. Ia juga menghalang daripada pembentukan melanosit.

Saturday, November 20, 2010

Herba rangsang detoksifikasi

SAYA mudah rasa letih dan lesu sejak kebelakangan ini walaupun saya cuba mendapatkan tidur yang lebih baik. Ada yang berpendapat agar saya memulakan program detoks untuk mengurangkan pengumpulan toksik tubuh dan membantu mengembalikan kesihatan. Adakah ia membantu saya?

Jawapan,

Mungkin saranan yang paling kerap didengar untuk mengekalkan kesihatan adalah makan secara sihat dan seimbang serta kekalkan amalan gaya hidup aktif, iaitu bersenam. Sebenarnya saranan ini masih praktikal, berkesan dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

Tabiat pemakanan yang tidak sihat, sama ada pengambilan makanan proses atau segera yang tinggi, makan secara berlebihan mahupun mengabaikan kandungan zat yang diperlukan oleh tubuh. Amalan pemakanan menjadi antara penyumbang terbesar kepada pelbagai masalah kesihatan. Mengawal pengambilan makanan sebenarnya menjadi satu cabaran bagi kita, namun harus diingat bahawa kesederhanaan merupakan kunci penting. Makan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah tidak hadam, pedih ulu hati, kembung, ketidakselesaan perut, sembelit, peningkatan berat badan, keletihan dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, detoks sebenarnya bukan hanya tertumpu kepada sistem pencernaan ataupun usus, tetapi hati juga perlu diberi perhatian. Penyingkiran toksin daripada hati juga penting memandangkan ia memainkan peranan penting dalam pelbagai fungsi seperti menapis atau membersihkan darah, menyimpan vitamin, mineral, gula, lemak dan nutrien-nutrien lain, mengawal hormon, berperanan dalam penghadaman lemak dan pelbagai lagi.

Apabila hati terlalu dibebankan, sama ada akibat pemakanan, gaya hidup ataupun faktor persekitaran, maka fungsinya boleh terjejas dan seseorang itu mula mengalami ketidakselesaan. Nafas berbau atau bau badan, masalah kulit, lingkaran hitam bawah mata, kelesuan merupakan antara beberapa contoh lazim. Masalah penghadaman lemak pula boleh menjurus kepada simptom-simptom seperti tidak hadam, refluks, kekurangan vitamin larut lemak, intolerans terhadap makanan berlemak, loya dan muntah, kembung dan juga sembelit.

Memandangkan hati merupakan organ pembersih yang sangat penting, ia tidak terlepas daripada menerima kesan akibat pendedahan kepada bahan berbahaya.

Dalam usaha menyokong fungsi hati, milk thistle merupakan antara herba yang paling banyak dicadangkan dan dengan itu ia dikenali sebagai tonik hati. Penyingkiran toksik daripada hati merupakan proses yang penting sama ada sebagai pencegahan mahupun menyokong rawatan sedia ada. Dengan itu pengambilan milk thistle sesuai untuk merangsang penyingkiran bahan toksik berbahaya atau detoksifikasi hati.

Komponen aktif dalam herba milk thistle seperti silymarin didapati membantu menstabilkan membran sel, dan dengan itu mencegah kimia berbahaya daripada memasuki sel-sel dan menyingkirkannya sebelum ia mendatangkan kerosakan. Selain itu, silibin juga bertindak sebagai anti oksida untuk melawan radikal bebas, meningkatkan aktiviti superokside dismutase dan glutathione peroksidase dalam sel. Ini juga penting kerana glutathion merupakan enzim anti oksida utama tubuh yang memperbaiki detoksifikasi hati dengan melekat pada toksin serta meneutralkan kesan berbahayanya.

Minum air secukupnya, makan secara seimbang yang merangkumi buahan dan sayuran yang berserat tinggi bukan sahaja bermanfaat untuk membantu menyingkirkan bahan kumuh secara normal, tetapi nutriennya juga mampu membantu menyubur dan memulih kesihatan tubuh.

Pelbagai manfaat PRP

PROSEDUR PRP juga digunakan untuk merawat luka akibat diabetes.

1) Rejuvenasi kulit
PRP digunakan bagi rejuvenasi kulit muka dan badan. Sebulan selepas suntikan PRP kulit akan lebih segar dan tampak lebih anjal berbanding sebelumnya. Kaedah ini sesuai bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas kerana pada peringkat ini kulit mula mengalami kesan penuaan. Hormon yang berkurangan turut memburukkan keadaan menyebabkan seseorang tampak tua dan kaedah PRP mengembalikan semula keremajaan kulit seseorang.

2) Mengurangkan parut

Bagi yang mempunyai parut terutamanya parut jerawat pada muka kaedah ini adalah baik sekali. Kebiasaannya doktor akan menggabungkan rawatan PRP dengan kaedah laser yang boleh membantu mendapatkan kesan maksimum. Pada mulanya wajah dibersihkan dan dipancarkan dengan laser. Selepas itu PRP dimasukkan ke bawah kulit. Keseluruhan prosedur akan mengambil masa 40 minit. Dalam tempoh tiga minggu barulah kita akan dapat merasa perubahan yang ketara.

3) Menghilangkan pigmentasi

Pigmentasi adalah cabaran terbesar bagi doktor dan pakar kecantikan. Pigmentasi terhasil disebabkan oleh gangguan pada sistem melanocyte kulit kita. Apabila melanocyte menjadi aktif ia mengeluarkan banyak pigmen yang dinamakan melanin. Melanin yang banyak dan berkelompok menyebabkan kulit tampak hitam dan kusam. PRP membantu menstabilkan aktiviti melanocyte. Ia membuatkan masalah pigmentasi menjadi terkawal.

4) Garis dan lekuk pada wajah

PRP juga boleh bertindak sebagai natural filler yang berupaya mengisi ruang pada garis dan lekuk di wajah kita. Untuk itu PRP akan diaktifkan dengan campuran kalsium sehingga berubah bentuk menjadi filler semulajadi. Filler bererti bahan atau matrik kulit yang mengisi wajah. Penuaan membuatkan garisan pada wajah menjadi ketara. Garis-garis ini akan membuatkan wajah tampak murung. Garisan di antara kening misalnya menjadikan kita tampak seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

4) Alopecia

Alopecia bermaksud kepala botak yang berkait rapat dengan factor usia dan juga hormon pada badan. Seseorang yang mengalami alopecia sukar sembuh disebabkan hormon dan faktor-faktor pertumbuhan yang kurang. Kehadiran PRP membuatkan rambut mula tumbuh kembali.

5) Ulser diabetes

Apabila seseorang mengidap kencing manis atau diabetes, dia akan mudah mendapat luka dan luka yang terjadi juga lambat sembuh. Ini kerana pada sel sel terdapat kurang faktor rangsangan sel endotelium yang mustahak bagi merangsang penyembuhan luka. Oleh kerana pesakit kencing manis mempunyai kadar gula yang tinggi di dalam tubuhnya maka kuman juga mudah menyerang. Apabila terkena jangkitan kuman maka luka makin menjadi teruk. Antibiotik sangat mustahak bagi membunuh kuman dan pembersihan setiap hari perlu dibuat. Laser boleh digunakan untuk membunuh kuman di dalam luka. Apabila kuman sudah mati luka tidak akan berbau lagi dan PRP boleh digunakan bagi merangsang penyembuhan.

Untuk maklumat lanjut mengenai rawatan PRP boleh hubungi Marissa Esthetic, No. 26, Jalan 4, Semenyih Sentral, 43500 Semenyih, Selangor. Tel: 03-87234808, 013-2448484 atau layari www.marissa-esthetic.com.

Hapuskan kulit kusam

Oleh Dr. Rushmini Maris Ismail

"SAYA tidak yakin dengan penampilan diri. Setiap masa saya perlu menggunakan bedak dan mekap jika tidak kulit tampak kusam. Kesan parut lama juga kelihatan.

''Apabila memakai bedak pula tak sampai dua jam bedak akan tertanggal. Akibatnya terpaksa touch up semula bedak setiap beberapa jam. Hal ini menjadikan saya berasa rendah diri.

Ada tak cara untuk saya mendapatkan kulit yang sekata dan tampak hebat biarpun tanpa solekan?" tanya Suriati.

Tidak dapat dinafikan faktor kecantikan kulit dan tubuh badan amat penting bagi wanita. Seseorang wanita yang memiliki kulit halus dan susuk tubuh menarik lebih berkeyakinan meningkatkan keterampilan sekali gus menjadikannya anggun dan berpersonaliti. Kulit yang segar dan berseri pasti menawan sesiapa sahaja yang memandang. Seri wajah tidak bergantung kepada warna kulit. Mereka yang berkulit gelap atau sawo matang juga tampil cantik berseri jika kulitnya segar dan bersih.

Kecantikan perlu dijaga dan dipupuk. Sejak zaman dahulu lagi petua petua kecantikan dibisikkan ke telinga anak-anak gadis. Arang di dapur dijadikan pemutih gigi, beras yang direndam dilumur ke muka menjadikan wajah bersih dan berseri. Putih telur pula dijadikan masker yang membuang noda pada kulit sekali gus menegangkan kulit kita.

Kulit kusam terjadi disebabkan oleh masalah sel-sel kulit yang bercampur-campur. Sel kulit yang mati dan sel baru saling bercampur menyebabkan kulit tampak gelap dan bernoda. Pertumbuhan sel-sel juga lambat dan sel-sel baru kurang berkembang. Ini menyebabkan kulit tampak pudar.

Kulit sebegini sering mendapat white heads iaitu pengumpulan lemak dalam pori-pori kulit. Lemak ini berasal dari kelenjar sebum atau kelenjar minyak yang terlalu aktif. Oleh kerana pengeluaran lemak terlalu banyak maka kulit jadi berminyak dan memudahkan jerawat tumbuh. Begitu juga dengn noda hitam akibat sel-sel sebum dan bulu roma yang bercampur. Noda hitam yang banyak menyebabkan warna kulit menjadi tidak sekata. Kulit tampak kotor meskipun telah dicuci.

Satu lagi masalah yang menjadikan kulit tampak kusam ialah kesan parut lama. Apabila kulit berparut akibat daripada jerawat ataupun masalah lain maka kesan kehitaman mula terlihat. Mencuci muka sahaja tidak boleh membantu mengatasinya. Jika seseorang wanita itu bekerja di lapangan atau selalu terdedah kepada sinaran matahari, kulit akan menjadi lebih kasar, pigmentasi dan cepat berkedut. Ini kerana sinaran matahari boleh menyebabkan berlakunya pigmentasi. Pigmentasi akan menyebabkan kita kelihatan lebih tua. Sinaran UVA dan UVB juga menyebabkan kulit cepat kehilangan kolagen. Kolagen pada kulit tidak boleh diganti dengan menyapu kolagen pada kulit atau dengan mengambil kolagen dari pemakanan. Oleh itu kita kena menjaga kulit daripada kehilangan kolagen dengan melindunginya daripada dirosakkan oleh sinaran matahari. Apabila kulit kehilangan banyak kolagen, maka berlakulah kedut-kedut di muka. Ini menyebabkan kita kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Satu lagi sebab utama yang menjadikan kulit tampak kusam adalah penggunaan produk kecantikan yang tinggi bahan kimia. Apabila sel kulit rosak ia menjadi kusam. Pemakainya tidak boleh berhenti menggunakan produk itu selama-lamanya. Kulit menjadi "ketagih" kepada bahan kimia itu. Tanpanya ia layu dan menjadi gelap.

Jenis jenis kulit

Kebiasaannya kulit kita adalah jenis campuran. Namun untuk memudahkan kita memahami ragam kulit, saya akan mengkelaskannya kepada beberapa jenis.

Kulit normal

Kulit yang segar dan kelihatan kemerahan. Pori-porinya kecil dan kelihatan segar.

Kulit jenis ini tidak banyak masalah.

Kulit kering

kulit jenis ini sering kering dan kadang kala pecah di bibir dan pipi. Pori-pori tidak kelihatan memandangkan kelenjar sebaceous yang menghasilkan kelembapan kulit tidak banyak. Justeru ia memerlukan krim dan bantuan untuk melembapkannya.

Kulit berminyak

Kulit kasar dan berkilat. Kelenjar sebaceous terlalu aktif dan pori-pori kelihatan besar. Kulit jenis ini memerlukan penjagaan rapi. Ia mudah berjerawat .

Kulit kombinasi

Kebanyakan kita memiliki kulit kombinasi. Bahagian tengah muka, dahi, hidung dan dagu berminyak dan tampak kasar manakala bahagian lain akan kelihatan halus dan licin.

Pixel Laser

Pada masa kini teknologi laser digunakan dengan meluas bagi meningkatkan kecantikan kulit. Laser pixel laser merangsang kulit dan mengelakkan masalah kulit kusam. Apabila pixel dibuat, pancaran laser yang menusuk kulit akan mengeluarkan sel-sel mati dan meningkatkan aktiviti sel-sel baru. Ini membolehkan sel lama dikeluarkan dan aktiviti penggantian kulit akan lancar. Dengan ini kita akan mendapat sel-sel baru yang lebih baik. Laser juga mengecilkan kelenjar sebum. Apabila minyak kurang keluar maka wajah tampak lebih sekata dan lebih berseri. Begitu juga dengan white head. Penggunaan laser menghapuskan white head akibat dari minyak yang banyak. Bagi saya penggunaan laser yang berkualiti adalah sangat mustahak bagi menghasilkan kesan yang diingini. Laser ada pelbagai jenis dan setiap satunya amat spesifik tindakannya. Laser jenis pixel bertindak menghapuskan jenis parut berlubang dan membuang sel-sel mati yang melekat pada kulit. Justeru itu ia amat sesuai bagi rawatan kulit kusam. Pixel sesuai bagi semua jenis kulit.

Selepas rawatan laser dijalankan amat mustahak bagi kita menjaga kulit agar tidak terkena pancaran matahari selama seminggu. Pada waktu ini amat penting sekali bagi kita menggunakan pelindung cahaya matahari yang baik dan krim pelembap yang disyorkan oleh doktor. Sekiranya langkah-langkah ini diikuti kita pasti mendapat hasil yang sangat baik dan kulit yang benar-benar halus dan mulus.

Kulit yang halus mudah diuruskan. Ia sukar berjerawat berbanding kulit yang kasar. Ini kerana kelenjar minyaknya adalah sekata dan tidak berlebihan. Ia juga tampak sempurna apabila disapu bedak atau mekap. Pori-porinya yang kecil membuatkan sapuan mekap sempurna dan sama rata.

Apabila berbedak dan bermekap ia mampu menyimpan bedak dan mekap jauh lebih lama. Ini membuatkan anda kelihatan segar dan berseri sepanjang hari. Mereka yang berkulit halus juga tidak berasa ragu untuk tampil tanpa mekap. Ini kerana kulit yang cantik dan licin akan tetap menarik meskipun tiada sebarang solekan dikenakan.

Bagi anda yang bermasalah kulit kasar dan ingin mengubah strukturnya menjadi lebih baik anda bolehkah mencuba kaedah ini kerana rawatan laser yang tepat sangat bermanafaat kepada kulit kita.

Gula ada manfaatnya

BIASANYA gula hanya dikaitkan dengan penyebab pelbagai jenis penyakit terutama diabetes. Namun tidak ramai yang mengetahui gula juga mempunyai manfaat tersendiri.

Bukan dari segi penggunaan dalam makanan atau minuman, kerana jika terlebih kandungan, ia pasti memudaratkan.

Perlu diingat, gula tidak mengandung vitamin, serat dan hanya mengandungi sejumlah kecil mineral.

Kandungan kalori pula cukup banyak, sekitar 394 kkal dalam 100 gram bahan. Boleh dikatakan gula langsung tiada nutrisi kerana semua bahan yang bernilai seperti vitamin, mineral dan sebagainya hilang selama proses penghasilan gula putih.

Dalam dunia kecantikan, penggunaan gula telah lama dipraktikkan masyarakat dahulu kala sebagai salah satu rawatan alami. Gula boleh diolah menjadi aneka produk kecantikan khususnya untuk melembutkan kulit. Dikatakan ia mengandungi zat pelembut yang mampu menghilangkan sel-sel kulit mati.

Masyarakat Romania misalnya menggunakan campuran madu, gula dan susu untuk merawat kulit. Caranya adalah dengan mencampurkan bahan tadi dan kemudian ia dilumur pada tubuh. Selepas kering ia disental lalu dibilas dengan air.

Wanita Mesir purba pula menggunakan campuran gula organik dan lemon untuk dijadikan penyental bagi mendapatkan kulit yang halus dan putih.

Dalam perubatan Cina pula, gula batu banyak dicampur dalam minuman herba yang baik untuk kesihatan. Ia dikatakan bermanfaat membantu membuang panas badan dan juga melegakan batuk serta kahak.

Cubalah sendiri, pasti anda menyedari manfaat gula dalam kehidupan sehari!

Platelet agen kecantikan

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Foto NOOR BAINI MASRI

DUNIA perubatan mendapati PRP berkesan untuk merawat masalah sendi.

TENTU ramai masih ingat kisah Raja Bersiong. Bayam bercampur darah menyebabkan hidangan yang dinikmatinya terasa lebih enak. Akibatnya Raja Bersiong ketagihan darah sehingga sanggup berlaku zalim mengorbankan rakyatnya. Gara-gara menghirup gulai bayam bercampur darah, dia ditumbuhi siong.

Biarpun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran kisah seorang raja ketagihan gulai bayam berdarah itu namun tentu ada jawapan mengapa hidangan tersebut begitu enak.

Mungkin kerana rasa manis darah atau kandungan darah yang kaya dengan sel-sel hidup menyebabkan rasa gulai bayam berbeza dengan hidangan biasa.

Justeru tidak hairanlah penemuan terkini dunia perubatan dan kecantikan menyaksikan penggunaan darah sebagai alternatif semulajadi untuk meremajakan kulit dan mencantikkan penampilan diri seperti mana Botox.

Teknik Platelet Rich Plasma (PRP) yang juga dikenali sebagai Vampire Filler itu semakin mendapat tempat dalam dunia perubatan kecantikan. Bukan itu saja, PRP turut diamalkan untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan mengatasi pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Tentu menarik menyelongkar kaedah terbaru yang turut tidak ketinggalan diamalkan di negara ini.

Pelopor penggunaan PRP dalam rawatan kecantikan, Dr. Julio F. Gallo merumuskan bahawa teknik terbaru itu sama seperti penggunaan filler kosmetik yang disuntik ke muka pesakit.

''Prosedur ini digelar vampire filler kerana kami menggunakan darah anda sendiri,'' kata Dr. Gallo yang berkhidmat dengan Institut Pengurusan Usia dan Intervensi di Miami.

Pengamal perubatan yang turut mendalami bidang kesihatan kecantikan Dr. Rushmini Maris Ismail ketika ditanya rawatan terkini itu menarik perhatian mengenai fungsi serta kandungan darah itu sendiri. Menurut beliau, darah terbina daripada sel sel hidup. Katanya, terdapt empat sel utama yang membina darah iaitu:

1) Sel darah merah

2) Sel darah putih

3) Platelet

4) Plasma darah

Setiap sel, kata beliau, mempunyai fungsi tersendiri dan merupakan struktur yang amat penting dalam perjalanan dan fungsi tubuh seorang manusia.

Sel darah merah, menurut Dr. Rushmini, berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh manakala sel darah putih pula merupakan sel hidup yang membantu melawan penyakit. Sel pula darah putih sangat aktif melawan bakteria dengan cara mengepung dan menelannya. Ia juga berupaya merembeskan bahan kimia tertentu bagi memusnahkan bakteria.

Ditanya tentang platelet, Dr. Rushmini memberitahu, ia berupa sel-sel kecil dan paling seni yang penting bagi pembekuan darah. Selain itu platelet turut mengeluarkan beberapa faktor lain yang penting bagi keperluan manusia.

''Apabila darah tidak cukup platelet sebagaimana terjadi kepada pesakit yang diserang denggi maka perdarahan akan berlaku.

''Maka jelaslah kepada kita bahawa platelet juga mempunyai kepentingan dalam penyembuhan,'' katanya.

Menurut beliau, sifat platelet yang sebegitu telah lama dikaji oleh para saintis. Pada peringkat awalnya penggunaan platelet sebagai agen penyembuhan digunakan oleh sekumpulan pakar pembedahan pergigian 20 tahun lalu di Eropah. Oleh kerana kejayaan yang lihat sangat memberangsangkan maka pakar-pakar tulang turut menggunakannya bagi menyembuhkan tendon yang terkoyak.

Katanya, dalam bidang esthetik teknik tersebut turut digunakan melibatkan penggunaan plasma yang kaya dengan platelet. Ini kerana platelet adalah partikel kecil dalam darah yang mempunyai nilai estetik yang tinggi.

Platlet mengandungi:

1. Hormon Tumbesaran atau Growth Hormones (GH) dan sitokin (cytokines). GH yang terlibat pada darah adalah:

Faktor rangsangan pertumbuhan kulit atau Epidermal Growth Factor (EGF).

Fungsi GH antara lainnya adalah:

* Merangsang penyembuhan

sel-sel

* Merangsang pembaharuan

sel-sel

* Meningkatkan keupayaan sel

bagi bermetabolik.

* Mengubah GF Beta yang merangsang pembentukan kolagen yang merupakan matriks kulit kita. Ia bertindak sebagai pemenuh ruang di mana sel-sel saling bertautan. Ia juga memberi keanjalan kepada kulit. Apabila usia meningkat sudah tentu keupayaan kulit seseorang mengeluarkan kolagen akan berkurangan dan kulit mula tampak mengecut. Kehadiran platelet mampu membuatkan seseorang tampak lebih muda semula.

Merangsang angiogenesis.

Angiogenesis bermaksud pembentukan salur-salur darah baru. Apabila salur-salur darah kecil (kapilari) tidak dapat dihasilkan maka luka akan lambat sembuh. Hal ini terjadi kepada pesakit kencing manis sehingga menyebabkan luka lambat sembuh. Justeru aplikasi PRP dikatakan dapat membantu dan digunakan oleh para doktor bagi proses penyembuhan dalam kes-kes yang teruk.

Saturday, November 13, 2010

Estrogen punca lelaki gemuk

SAYA tidak menyangka bertemu dengan sahabat lama, Zack. Semasa sama menuntut di universiti dia merupakan seorang pemuda yang kacak dan diminati ramai. Saya terkejut melihat penampilan Zack yang sungguh merosot. Tubuhnya gemuk, berlemak dan perutnya buncit. Wajah Zack juga kelihatan bengkak dan bawah mata terdapat banyak lemak yang menjadikan dia tampak lebih berusia.

Meskipun begitu Zack tatap seorang lelaki budiman dan berhemah tinggi. Menurut Zack dia mengidap masalah kencing manis dan tahap kolesterolnya meningkat. Isteri Zack sempat berbisik kepada saya bahawa suaminya sangat emosional dan tertekan dengan keadaan dirinya sekarang. Pelbagai amalan diet dan senaman telah dilakukan namun tidak berkesan. Dia ingin tahu jika ada kaedah anti penuaan boleh membantu memulihkan keadaan suaminya.

Pada usia yang baru mencapai 42 tahun Zack sepatutnya terus sihat menikmati kehidupan yang penuh warna-warni. Sebaliknya dia kelihatan keletihan dan tidak bermaya. Saya simpati kepadanya.

Beberapa dekad yang lalu jangka hayat seseorang manusia hanyalah setakat 45 tahun sahaja. Pada tahun 1950-an, 45 merupakan usia emas. Mereka yang mencecah 45 tahun dianggap terlalu tua. Oleh itu pada usia 50-an mereka disuruh bersara dan dianggap tidak lagi produktif.

Kemajuan kesihatan yang pesat membolehkan jangka hayat meningkat ke usia 6o-an. Pada tahun 1980-an dan terkini jangka hayat seseorang dijangka meningkat sehingga 90 tahun pula.

Jelaslah kepada kita kemajuan sains perubatan bukan sahaja membawa peningkatan dalam kualiti kesihatan malah ia turut meningkatkan jangka hayat. Maka usia 40-an bukanlah dianggap sebagai usia emas lagi. Sebaliknya usia 40-an dianggap paling stabil bagi seseorang kerana pada usia sebegini beliau sudah matang dalam mengendalikan kehidupan dan mencapai tahap memberangsangkan dalam kerjaya.

Malangnya apabila usia mencecah angkat 40 kita dihadapkan dengan pelbagai masalah kesihatan yang lain. Syarikat-syarikat insurans mula menawarkan pelbagai skim perlindungan dan kos penjagaan kesihatan turut meningkat.

Mengapakah pada usia yang sebegini kita mula didatangi gejala pelbagai penyakit.

Masalah jantung, paru-paru, kolesterol, penyakit hati, kencing manis dan lain-lain lagi akan turut menyerang. Begitu juga kanser dan masalah prostatik bagi lelaki selain masalah dementia (hilang ingatan atau nyanyuk) dan atherosklerosis (penebalan arteri). Kualiti kehidupan turut merosot dengan tubuh badan mengecut dan lemah serta tulang yang rapuh. Apabila lemak berkumpul di sana-sini dan perut menjadi buncit maka pasti mengundang rasa kecewa kepada lelaki.

Banyak kajian telah membuktikan bahawa prinsip mengurang berat badan dan mengawal daripada berlakunya pertambahan berat badan bukannya hanya dengan berdiet semata-mata. Ia perlu mengikut kaedah saintifik dan bukanlah secara paksaan sehingga mendera tubuh badan anda.

Anda perlu menyayangi diri dan mendengar bisikan hati nurani anda. Jika anda memberi tubuh anda apa yang ia perlukan ia akan selesa dan anda akan berasa gembira melalui hari hari berdiet dengan penuh semangat dan dedikasi. Sebaliknya jika anda cuba memaksanya menjadi kurus, anda akan dibelenggu perasaan kecewa dan keletihan semata-mata.

Untuk membakar lemak tubuh memerlukan bahan api iaitu hormon memecah lemak yang cukup. Tubuh juga perlu mengurangkan penyimpanan lemak. Hormon yang bertanggungjawab bagi penyimpanan lemak adalah hormon estrogen.

Apabila usia meningkat makan paras hormon turut merosot. Hormon yang penting bagi lelaki ialah testosteron, DHEA dan juga hormon GH (growth hormone). Selain itu hormon tiroid (T3 dan T4) juga penting kerana ia membolehkan aktiviti metabolisme menjadi lancar. Tanpanya seseorang akan menjadi gemuk dan sukar kurus meskipun mengamalkan diet yang ketat.

Estrogen merupakan hormon yang banyak dihasilkan oleh lemak kita. Tidak kira lelaki atau wanita semuanya mempunyai hormon estrogen di dalam tubuh bagi aktiviti tubuh kita. Sedikit hormon estrogen adalah penting tetapi apabila sel lemak meningkat ia turut menghasilkan hormon yang tidak berkualiti (bad estrogen). Hormon jenis ini hanya akan bersifat mengumpul lemak sahaja. Ini bermakna lemak yang sedia ada akan memanggil lemak-lemak baru dan akhirnya kuantiti lemak menjadi banyak. Justeru hormon estrogen terdapat dengan banyak dalam tubuh kita. Kekurangan hormon lain membuatkan estrogen semakin banyak sehingga kita menjadi sukar untuk kurus semula.

Pengambilan anti-estrogen adalah penting bagi memastikan lemak dapat dilepaskan. Setelah anti estrogen diberi barulah seorang lelaki dapat memecahkan lemak dengan efektif. Setiap senaman yang dilakukan akan berkesan dan perut mula menjadi kempis. Lelaki juga akan merasakan tenaganya meningkat, stamina bagi aktiviti berat menjadi lebih baik. Begitu juga keperluan seks mereka akan lebih terpenuh disebabkan kestabilan dalam emosi dan tenaga seksual yang bertambah. Apabila lemak berkurang maka pengeluaran estrogen juga akan berkurangan daripada lemak-lemak itu. Pengurangan dalam kuantiti estrogen memberi kesan yang baik kepada lelaki kerana ia membolehkan hormon lelaki iaitu testosteron berfungsi. Kehadiran hormon estrogen yang banyak merosakkan hormon testosteron.

Sebenarnya makanan berasaskan tumbuhan juga mengandungi hormon estrogen yang banyak yang boleh menambahkan saiz perut seseorang. Adalah tidak benar jika seseorang mahu cepat kurus maka dia harus makan sayuran sahaja. Diet yang berasakan sayuran sahaja belum menjamin seorang itu boleh cepat kurus. Seorang teman yang mengamalkan diet sayuran mengeluh tidak dapat mengecilkan saiz pinggang setelah sebulan berdiet memakan sayuran. Estrogen yang tinggi di dalam sayur-sayuran itu membuatkan saiz badannya tetap gempal. Setelah diberikan anti estrogen dan dikenal pasti hormon tambahan yang diperlukan barulah dia dapat merubah bentuk badannya sebagaimana yang diinginkan.

Tidak dinafikan senaman dan gaya hidup sihat perlu diamalkan kerana ia mampu menstimulasikan kelenjar hormon kita agar bekerja secara optimum. Apabila paras hormon tinggi maka darah kita menjadi muda semula. Dengan cara ini kesihatan dapat diperolehi dengan menyeluruh dan anda pasti kembali tampan dan kacak semula.

Pesakit asma bebas bersukan

NOR Jannah Hassan (dua dari kiri) bersama duta-duta Kempen Asma di Sekolah menunjukkan kit asma.

Adeeba Brooks, 16, minat bersukan sejak kecil lagi. Setelah mengetahui dia menghidap asma, Adeeba tidak pernah berhenti untuk melakukan aktiviti sukan.

Dia mula dikesan menghidap penyakit ini apabila mengalami sesak nafas setibanya di Malaysia. Menderita 12 jam kerana lelah dan sukar bernafas, membuatkan dia fobia. Namun, dia kini berasa yakin dan selesa kerana dapat meneruskan kehidupan seperti remaja lain.

Dengan bantuan ubat seperti pelega asma dan mengawal pernafasan ketika bergerak aktif dengan betul, dia masih boleh bersukan.

Walaupun masih ada pesakit asma yang malu untuk mengakuinya, Adeeba sebaliknya.

“Memang rasa lain apabila semua orang tengok kita menyedut ubat pelega asma. Tetapi kita perlu ingat, sukan seperti gimnastik dan berenang dapat membantu memperbaiki pernafasan kita. Selain itu, sebagai pesakit asma, kita boleh melatih diri kita berjalan setiap hari. Bukan setakat bantuan ubat-ubatan, gaya hidup sihat juga membantu pesakit hidup dengan lebih selesa.,” ujar anak kelahiran Amerika Syarikat ini yang ditemubual di Sekolah Islam Antarabangsa (IIS), Gombak, Selangor.

Berbeza dengan Adeeba, Ashraf Zain, 18 menghidap asma sejak kecil lagi . Masuk ke alam persekolahan, Ashraf mula aktif bersukan. Ashraf sentiasa ditemani ubat pelega asma kerana dia sering berasa kepenatan di sekolah.

“Asma tidak mengehadkan pergerakan saya. Apa yang perlu dilakukan, apabila anda berasa penat atau lelah, cuba berehat selama 15 minit. Jangan lupa untuk sentiasa membawa ubat. Ibaratnya anda yang sentiasa membawa dompet atau telefon bimbit, jangan lupa membawa ubat bersama anda,” katanya yang mempunyai sejarah keluarga menghidap asma.

Dengan adanya Kempen Asma di Sekolah, Ashraf yang berasal dari Sudan berpendapat, ia boleh membantu pesakit lain kerana penyakit ini bukan sekadar gurauan.

Kempen tersebut dilaksanakan oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Malaysia (GSK) dengan kerjasama Majlis Asma Malaysia (ACM), Persatuan Torasik Malaysia (MTS) dan Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM).

Pendapat Ashraf disokong Irfan Rahman, 16 yang aktif bermain futsal. Baginya, kempen tersebut dapat membantu pesakit lain mengetahui cara lain untuk mengawal asma.

Bahkan, pelajar dari Malaysia ini banyak mendapat pengetahuan tambahan asma melalui pek asma yang diberi kepada setiap pelajar di IIS.

Irfan yang menghidap asma tidak pernah takut untuk bersukan kerana dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika berlakunya kes kecemasan.

Bagi rakan mereka yang tidak menghidap asma, Hebatullah, 15, dia dapat menyampaikan maklumat asma kepada rakan-rakan yang lain menerusi kempen tersebut.

Kempen

“Seperti yang diajar melalui kempen ini, kami diminta agar tidak panik. Jika ada rakan di kelas diserang asma, buka tingkap. Kemudian, hubungi pihak sekolah dan ibu bapa. Malah pek asma yang diberikan kepada kami ringkas dan mudah difahami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengetua IIS, Nor Jannah Hassan berpendapat, Kempen Asma di Sekolah dapat memberi maklumat kepada pelajar dan khususnya pesakit asma untuk berdepan dengan penyakit ini. Ia juga memberi pendedahan kepada pihak sekolah bagaimana berhadapan dengan kes pelajar yang tiba-tiba diserang asma.

Statistik terkini menunjukkan, seorang daripada 10 kanak-kanak di negara ini menghidapi penyakit asma .

Bilangan tersebut memang merisaukan semua pihak apabila mempertimbangkan kesan asma terhadap pertumbuhan kanak-kanak dan perkembangan mereka.

Bukan itu sahaja, satu kajian terbaru menyatakan bahawa Asia Pasifik mencatat tahap ketidakhadiran ke sekolah yang lebih tinggi akibat asma berbanding negara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Dengan adanya pek asma yang diberikan secara percuma kepada pelajar menerusi Kempen Asma di Sekolah, orang ramai menerima informasi bantuan kecemasan ketika seseorang diserangi asma .

Lindungi anak daripada PnD

Oleh ZUHAYATI YAZID

KEHADIRAN anak sememangnya ditunggu-tunggu oleh pasangan yang berumah tangga. Anak bukan sahaja bertindak sebagai penyeri rumah tangga tetapi permata yang menambah sinaran kebahagiaan rumah tangga.

Begitupun, kegembiraan menyambut 'ahli baru' dalam keluarga boleh bertukar menjadi mimpi ngeri kepada ibu bapa akibat kurang pengetahuan asas mengenai penjagaan dan keperluan kesihatan bayi khususnya di peringkat tahun pertama kelahiran.

Ini termasuk perkara-perkara yang sering dianggap mudah seperti rutin rawatan di klinik bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zulkifli Ismail berkata, ramai kurang prihatin terhadap masalah penyakit berjangkit di kalangan kanak-kanak.

''Seharusnya perkara ini di pandang serius kerana kira-kira dua juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati setiap tahun akibat penyakit berjangkit.

"Antara penyakit berjangkit dan kematian utama di kalangan kanak-kanak yang semakin disedari di seluruh dunia ialah pneumokokal (PnD).

''Penyakit ini antara penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit pada hari ini. Dianggarkan seorang bayi meninggal dunia setiap satu minit di seluruh dunia akibat jangkitan bakteria pneumokokus,'' ujarnya pada majlis memperkenalkan Vaksin Prevenar 13, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Negara bagi Pfizer, Angela Choi.

Anggaran yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mendapati, setiap tahun penyakit itu menyebabkan kematian kepada lebih sejuta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negara-negara membangun.

Dr. Zulkifli memberitahu, kira-kira 60 peratus kanak-kanak tadika dan prasekolah juga menjadi pembawa bakteria pneumokokus. Ia boleh disebarkan kepada kanak-kanak lain dalam pergaulan seharian di tadika atau taman asuhan.

Jelasnya, terdapat satu bakteria lagi iaitu S. Pneumoniae yang menyebabkan penyakit mengancam nyawa seperti pneumonia, meningitis dan bakteremia (keracunan darah) serta otitis media (jangkitan bahagian tengah telinga).

Setiap tahun bakteria S. Pneumoniae dianggarkan membunuh lebih 735,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun di seluruh dunia terutama di negara membangun.

''Jika dulu pakar pediatrik mendapati kes jangkitan Hib merupakan penyebab utama kepada penyebaran pneumokokus dan kematian membabitkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, tetapi sejak 2005 kajian mendapati, PnD adalah punca utamanya.

''Penyakit ini bukan saja menjangkiti kanak-kanak, malah juga warga emas berikutan sistem pertahanan badan yang agak lemah,'' jelasnya.

Walaupun tiada sebarang ubat khusus untuk merawat PnD, ia masih boleh di atasi dengan penggunaan vaksin.

Malah kanak-kanak kini boleh mendapatkan perlindungan daripada penyakit pneumokokal (PnD) dengan vaksin Prevenar 13 terbaru.

''Vaksin baru ini mampu meluaskan perlindungan kepada enam lagi stereotaip bakteria S. Pneumoniae yang menyebabkan jangkitan kepada otak, paru-paru dan bahagian tengah telinga,'' katanya lagi.

Menurutnya, mengikut sejarah, vaksin pertama telah dihasilkan oleh Louis Pasteur pada tahun 1888. Vaksin itu dicipta untuk melindungi manusia daripada serangan penyakit anjing gila. Ia diikuti dengan vaksin terhadap difteria dan tetanus yang diperkenalkan pada awal tahun 1900-an.

Pada tahun 1963, vaksin demam campak diperkenalkan dan hasilnya hanya 81 kes penyakit tersebut dicatatkan pada tahun tersebut di Amerika Syarikat (AS). Perkara yang sama juga berlaku kepada penyakit polio yang boleh diubati dengan vaksin.

Beliau memberitahu, penyakit polio suatu ketika dahulu merupakan antara ancaman yang terbesar yang pernah dialami oleh masyarakat AS. Angkanya hampir mencecah sehingga 20,000 kes.

Vaksin polio yang diperkenalkan telah memberi sinar baru kepada pesakit

"Justeru kita melihat, vaksin sangat penting bagi merangsang sistem imunisasi tubuh bagi melawan jangkitan yang seterusnya. Penyakit demam campak misalnya pernah meragut 432 nyawa pada sekitar tahun 1958 hingga 1962,'' katanya.

Menurut Zulkifli lagi, vaksin diibaratkan sebagai perisai yang sangat penting untuk semua bayi yang baru lahir. Perlindungan menerusi vaksin adalah antara cara terbaik untuk melindungi tubuh daripada serangan penyakit apabila usia meningkat.

"Jika tiada imunisasi mungkin nyawa anak kecil yang tidak berdosa berada dalam bahaya. Kesihatan anak yang masih kecil tidak terjamin daripada sebarang ancaman penyakit.

"Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati, justeru pencegahan penyakit adalah kunci kepada kesejahteraan manusia selain melindungi insan tidak berdosa seperti anak-anak kecil,'' katanya lagi.

Katanya, apabila kanak-kanak disahkan menghidap PnD, kesannya amat besar dan mencabar bagi seluruh keluarga.

Namun melalui pelindungan Prevenar 13 ia mampu mengurangkan risiko PnD di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil.

Jelasnya, PnD diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2005 untuk melindungi bayi dan kanak-kanak kecil daripada terus dijangkiti PnD.

Beliau menegaskan, tiada seorang pun kanak-kanak yang boleh dibiarkan tanpa vaksin.

Sebaik sahaja antibodi dihasilkan dalam tindak balas terhadap vaksin yang disuntik, ia akan menjadi antara bahagian paling kukuh dalam sistem imunisasi badan manusia.

Bagaimanapun, jika seseorang itu dibiarkan terdedah kepada jangkitan semula jadi, antibodi akan bertindak melawan jangkitan tersebut.

Tambah beliau, kebanyakan vaksin akan diberikan sejak kanak-kanak lagi kerana sebahagian besar penyakit lebih terdedah pada awal usia memandangkan sistem imunisasi kanak-kanak tidak kuat.

Kini, jelasnya, ibubapa boleh mendapatkan suntikan vaksin Prevenar 13 itu di semua hospital swasta.

Kopi Desire untuk kesihatan

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar WAHIDAH ZAINAL

ORANG Asia Barat amat gemar, meminum kopi yang bercampur dengan herba atau dalam istilah Melayunya kopi yang ‘tajam.’ “‘Bagi mereka, kopi berherba memberikan kepuasan dan kenikmatan serta mampu menghangatkan badan.

Berbanding dengan orang Malaysia, mereka kurang menggemari kopi ‘tajam’ ini,’’ kata Penolong Pengurus Syarikat 2A Solution, Ryan Fazli Sabaruddin.

Syarikat 2A Solution yang ditubuhkan lima tahun lalu dipertanggungjawabkan bagi mengedar dua jenis produk minuman kopi kesihatan, iaitu Premium Desire dan Detoxifier. Kedua-dua jenis minuman itu telah lama berada di pasaran negara-negara Asia Barat seperti Jordan dan Arab Saudi.

Katanya, sambutan di negara-negara tersebut cukup menggalakkan kerana Premium Desire dan Detoxifier memenuhi cita rasa orang-orang di sana.

Bagaimanapun bagi memberi peluang kepada penggemar kopi di Malaysia, kandungan herba yang terdapat di dalam Premium Desire dan Detoxifier telah diubah supaya ketajaman herba atau rasa pahitnya tidak terasa namun fungsi herbanya tetap sama.

“Antara bahan-bahan yang terdapat di dalam kedua-dua jenis minuman ini ialah whey manis, ekstrak ashwaganda, ekstrak tongkat Ali, ekstrak ginseng dan banyak lagi. Herba-herba ini berfungsi membekalkan tenaga baik kepada lelaki mahupun wanita.

‘‘”Selain itu, kami turut menambah krimer bukan tenusu yang kurang kandungan lemak. Justeru sesiapa sahaja boleh mengambil minuman ini dan tidak perlu bimbang mengenai lemak atau pertambahan berat badan.

‘‘Kelebihan Premium Desire ialah meningkatkan keinginan seks lelaki dan wanita, membantu masalah tidur, mengekalkan tahap kolesterol dan paras gula yang seimbang, mengatasi masalah saluran kencing lelaki, mengatasi masalah sindrom prahaid wanita atau yang telah putus haid dan meningkatkan sistem imunisasi wanita,’’ ujar Ryan lagi.

Tambahnya, sementara itu, Detoxifier dapat membantu masalah penyakit pundi kencing dan ginjal, sakit sendi, sembab dan sengal, kencing manis dengan mengurangkan paras gula dalam darah, melegakan ketidakselesaan dalam perut, bertindak sebagai agen anti oksida, antikanser, antikencing manis dan antimikrob.

Detoxifier juga dapat membantu masalah sembelit dan menyingkirkan bahan buangan daripada sistem pencernaan, membantu masalah stres atau sukar tidur serta mengurangkan kesan demam panas dan selesema.

Ryan berkata, Premium Desire dan Detoxifier boleh dijadikan minuman seharian dan mereka yang meminumnya akan terasa lebih cergas. Mereka yang alah kepada kopi seperti migran dan sebagainya juga boleh meminum minuman.

Lebih menarik kerana kedua-dua jenis minuman kopi ini tidak mengandungi bahan kimia kerana dirumus dengan 99 peratus herba terpilih berkualiti tinggi.

‘‘Pengguna tidak perlu berasa was-was kerana minuman kopi ini dikilangkan bertaraf Amalan Pengilangan Baik dan mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan serta mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia

Ryan juga mencari pengedar di seluruh Malaysia. Kepada yang berminat, boleh hubungi 012-6316891 atau facebook twoasolutions.

Penuaan dan kemerosotan mitokondria

LEBIH 200 jenis penyakit keturunan mempunyai hubungkait dengan fungsi mitokondria yang telah rosak termasuklah kebanyakan penyakit penuaan yang paling biasa seperti penyakit Alzheimer, kencing manis, kanser, jantung, Parkinson dan angin ahmar. Mitokondria mempunyai kaitan dengan hampir setiap proses penting dalam sel.

Penyelidik di Institut Penuaan Kebangsaan Baltimore, Rafael de Cabo, menerangkan mengapa anda boleh mengesan hampir sebarang keadaan yang mempunyai hubungan dengan keseimbangan tenaga. Misalnya, penyakit kencing manis atau sarkopenia (sejenis penyakit yang kemerosotan otot).

Mitokondria ialah “loji janakuasa” sel-sel dalam badan. Ia merupakan struktur halus yang terdapat dalam setiap sel dan ia bertindak sebagai relau atau dapur leburan yang mengeluarkan sebahagian besar tenaga yang digunakan oleh badan. Kebanyakan sel dalam badan manusia mengandungi kira-kira 500 hingga 2,000 mitokondria.

Mitokondria merupakan pembentukan agak luar biasa di kalangan struktur yang terdapat dalam sel sebab ia mempunyai gennya sendiri iaitu DNA-nya sendiri (semua DNA lain dijumpai dalam nukleus sel). DNA Mitokondria (mtDNA) lebih berkemungkinan akan rosak dalam menjalankan kegiatan kehidupan harian kita.

Sebagai jentera untuk mengeluarkan tenaga, kecekapan mitokondria adalah amat menakjubkan. Daripada oksigen yang digunakan oleh sel-sel biasa, Mitokondria dengan bantuan Koenzim Q10 (CoQ10), akan menukarkan 95 peratus daripada oksigen itu untuk mengubah makanan iaitu lemak-lemak dan karbohidrat menjadi bahan bakar kimia yang dikenali sebagai adenosine triphosphate atau ATP. Ini bermakna setiap kali kita bernafas, kita memberi lonjakan tenaga kepada sel kita.

Dalam pada itu, setiap kali mitokondria mengeluarkan tenaga, pada masa yang sama ia juga mengeluarkan radikal bebas yang amat merosakkan dan mestilah dihapuskan (dineutralkan) dengan segera sebelum ia dapat melakukan sebarang kerosakan. Radikal bebas ini, jika tidak dineutralkan, boleh menyebabkan kerosakan yang dahsyat kepada setiap bahagian mitokondria, termasuk membran-membrannya dan DNA. Membran mitokondria merupakan kunci bagi pengeluaran tenaga. Jika membran itu rosak, maka kurang tenaga akan dikeluarkan dan toksin akan mula mengumpul yang akhirnya akan merosakkan sel-sel itu. Sekiranya banyak sel yang rosak, ini akan mengganggu kefungsian organ berkenaan. Untuk mencegah kerosakan angkara radikal bebas, sel-sel menggunakan sekumpulan antioksidan. Satu gabungan antara Asid Alfa Lipoik (ALA) dan Acetyl L-Carnitine (ALCAR) boleh membantu mengurangkan kerosakan mitokondria oleh radikal bebas di samping menjaga fungsi mitokondria dalam semua sel.

Kesihatan jantung

I) Acetyl L-Carnitine (ALCAR)

Acetyl L-Carnitine (ALCAR) merupakan unsur semula jadi bagi membran dalaman mitokondria, terutama sekali dalam jantung, otak, dan otot-otot. Oleh itu untuk mengekalkan kesihatan optimum bagi jantung, daya pemikiran (kognitif) dan fungsi daya ingatan (memori), kita perlu pastikan kita mempunyai ALCAR yang mencukupi dalam badan kita. Oleh kerana paras ALCAR merosot apabila kita semakin tua, maka mengambil suplemen ALCAR adalah penting; di samping itu ia juga membantu mengembalikan semula fungsi mitokondria.

Satu lagi fungsi ALCAR yang amat penting ialah keupayaannya membakar asid-asid lemak (lemak) untuk ditukarkan menjadi tenaga. ALCAR terbabit dalam pengangkutan asid-asid lemak yang berantai panjang memasuki Mitokondria untuk ditukarkan menjadi tenaga oleh Koenzim Q10. Kefungsian jantung akan terjejas sekiranya jantung mengalami kebuluran sumber bahan bakar utamanya, iaitu lemak. Jika anda mengambil ALCAR, anda akan menambah baik pengangkutan, dengan itu lebih banyak asid lemak boleh dibawa masuk ke dalam mitokondria untuk digunakan dengan lebih cekap bagi menyokong kefungsian jantung.

II) Asid Alfa Lipoik (ALA)

Asid Alfa Lipoik merupakan sejenis anti oksidan yang amat mujarab dan ia membantu meneutralisasikan radikal bebas yang dijanakan sebagai produk sampingan pengeluaran tenaga. Kajian mendapati dengan menggunakan ALA akan menurunkan secara mendadak tekanan oksidatif (kerosakan radikal bebas) di dalam jantung. Jika anda menurunkan tekanan oksidatif, anda akan mengurangkan kerosakan ke atas mitokondria. Oleh itu, mengambil suplemen ALA membantu melindungi mitokondria daripada kerosakan radikal bebas.

Daya ingatan dan pemikiran

Gabungan antara ALA dan ALCAR membantu memperbaiki prestasi daya ingatan dan daya pemikiran (kognitif) pada orang dewasa yang lebih tua. Ini juga melibatkan mitokondria. Terdapat bukti bahawa mitokondria dalam otak adalah amat penting dalam kefungsian daya ingatan dan daya pemikiran kerana ia mengeluarkan tenaga serta kesannya terhadap kerosakan radikal bebas.

Komponen acetyl dalam Acetyl L-Carnitine dikaitkan dengan pembentukan pemancar neuro (neurotransmitter) acetylcholine. Acetyl L-Carnitine menyumbang terhadap pengeluaran pemancar neuro acetylcholine, sejenis sebatian yang dipercayai dapat mempengaruhi fungsi mental. Kepincangan fungsi metabolisme acetylcholine dalam otak, yang membawa kepada ketakcukupan, adalah dipercayai mempunyai kaitan dengan dementia akibat penuaan, sebagaimana penyakit Alzheimer.

Kepincangan fungsi mitokondria dikaitkan dengan beberapa demensia akibat penuaan seperti penyakit Alzheimer dan Parkinson. Kedua-dua ALA dan ALCAR dapat melintasi halangan darah otak, dengan itu dapat memberi manfaat kepada otak.

Walaupun ALA dan ALCAR berfungsi secara berlainan tetapi jika bertindak bersama, ia dapat mengawasi tekanan oksidatif dan kemerosotan pengeluaran tenaga yang berlaku dalam proses penuaan, maka dengan itu membolehkan jantung dan otak berfungsi dengan lebih baik.

Acetyl L-Carnitine, Asid Alfa Lipoik dan Koenzim Q10

Peranan CoQ10 dalam pengeluaran tenaga (ATP) telah pun diketahui dengan mantap. Tanpa CoQ10, mitokondria tidak dapat mencipta tenaga. Walaupun Acetyl L-Carnitine boleh mengangkut asid-asid lemak ke dalam mitokondria untuk dibakar menjadi tenaga, CoQ10 adalah diperlukan untuk menukar asid-asid lemak itu menjadi tenaga. Oleh itu, kedua-duanya akan bekerja bersama secara bersinergi dalam mengeluarkan tenaga.

CoQ10, sejenis anti oksidan yang amat berkuasa terletak secara strategik pada mitokondria betul-betul di tempat di mana radikal bebas itu dijanakan. Ini terbukti dapat mencegah kerosakan terhadap membran-membran mitokondria dan mtDNA, yang mungkin secara langsung akan mengurangkan pengeluaran tenaga. Dari segi ini, Koenzim Q10 melengkapi tindakan ALA yang juga merupakan satu lagi jenis anti oksidan yang sangat berkuasa.

Aneurisme aorta abdomen - penyakit maut

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui, antara simptom penyakit ini ialah sakit bahagian perut dan pinggang.

MASALAH hari esok tidak akan dapat diselesaikan dengan kaedah hari ini. Ia memerlukan kaedah hari esok.” Pepatah ini hasil ilham ahli saintis, Albert Einstein apabila beliau telah menghidap penyakit aneurisme aorta abdomen yang telah gagal dirawat oleh pakar bedah pada ketika itu.

Mungkin anda tidak biasa dengan pepatah ini tetapi bagi pakar penyakit aneurisme aorta abdomen, ia menjadi kata-kata semangat untuk mencari kaedah baru rawatan penyakit ini. Pada tahun 1955, aneurisme Albert telah pecah dan beliau berkata pada detik kematiannya, “ Saya mahu pergi apabila saya mahu. Ia hambar untuk memanjangkan kehidupan dengan cara yang dibuat-buat. Saya sudah lakukan apa yang perlu dikongsi, ini adalah untuk saya pergi. Saya akan lakukannya sebaik mungkin.”

Dua tahun berikutnya, seorang pakar bedah terulung, Dr. Michael DeBakey telah berjaya mencipta graf daripada kain fabrik dacron bagi mengganti salur darah aorta yang rosak. Teknik ini digunakan sehinggalah ke hari ini.

Apakah itu Aorta?

Salur darah utama yang paling besar di badan manusia dinamakan aorta. Salur darah ini membawa darah yang padat kandungan oksigen dari jantung ke seluruh organ tubuh. Aorta abdomen ialah bahagian aorta yang berada di lokasi abdomen, iaitu kawasan di bawah dada dan di atas ruang pelvis. Ia bermula di bawah salur darah ginjal dan berakhir dengan bercabang dua menjadi salur darah utama, iaitu salur darah kaki dan pelvis.

Apakah itu aneurisme?

Disebabkan faktor umur, sebahagian daripada dinding saluran darah akan menjadi lemah. Ini akan menyebabkan sebahagian daripada dinding salur darah bengkak yang dinamakan aneurisme. Perkataan aneurisme ini diambil daripada perkataan Greek yang bermaksud pelebaran. Apabila aneurisme ini membesar, dinding salur darah akan menjadi nipis dan lemah menyebabkan ia boleh pecah dan pesakit akan hilang darah yang banyak. Apabila ini berlaku, pesakit memerlukan rawatan pakar bedah vaskular dengan amat segera. Risiko kematian untuk aneurisme aorta yang pecah menjangkau 90 peratus.

Apakah gejala penyakit aneurisme aorta abdomen?

Kebanyakan pesakit aneurisme abdomen tidak mengalami sebarang gejala. Semasa pemeriksaan kesihatan, doktor mungkin dapat merasakan satu ketulan yang berdenyut di bahagian abdomen. Kadangkala aneurisme ini ditemui tanpa sengaja melalui pemeriksaan ultrabunyi atau ujian imbasan semasa pesakit menjalani siasatan untuk penyakit lain.

Gejala yang paling utama ialah sakit perut dan belakang. Pesakit aneurisme aorta abdomen mengalami sakit yang bersifat dalam yang berlaku pada bahagian abdomen atau di bahagian pinggang. Kadangkala pesakit merasakan denyutan nadi di bahagian kawasan perut. Pembesaran aneurisme aorta abdomen yang cepat juga boleh menyebabkan pemecahan dinding aorta. Ini menyebabkan kesakitan yang teramat sangat di bahagian belakang dan pinggang. Pesakit mungkin pitam atas sebab kesakitan yang amat sangat atau atas sebab tekanan darah yang turun secara mendadak. Pesakit juga akan kelihatan pucat, berpeluh sejuk serta bernafas secara laju. Lima puluh peratus pesakit akan mati secara mendadak disebabkan oleh pendarahan dalaman yang tidak terkawal.

Segelintir pesakit mengalami kesan sampingan aneurisme abdomen seperti jari kaki yang menjadi biru-kebiruan disebabkan oleh darah beku yang terkandung dalam aneurisme telah menghalang perjalanan darah di kaki pesakit.

Apakah punca-punca (faktor risiko) penyakit ini?

Antara risiko utama penyakit aneurisme aorta abdomen ialah faktor umur. Hampir kesemua pesakit berumur 50 tahun ke atas dan kebanyakan penghidap adalah lelaki. Faktor utama yang lain ialah darah tinggi dan merokok. Merokok bukan sahaja menambah risiko seseorang itu menghidap aneurisme aorta abdomen malah kejadian kebocoran penyakit ini boleh membawa maut lebih kerap terjadi pada orang yang menghisap rokok. Faktor keturunan juga dianggap penting. Individu yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit ini lebih kerap mengalami penyakit yang sama. Malah bagi golongan ini, penyakit ini boleh berlaku pada usia yang lebih muda dan mempunyai kadar kebocoran yang lebih tinggi.

Jika pesakit mempunyai penyakit kencing manis dan paras kolesterol yang tinggi, risiko untuk aneurisme aorta abdomen juga akan meningkat. Mereka memerlukan rawatan bukan sahaja untuk menghindari aneurisme aorta abdomen, tetapi juga untuk mengurangkan risiko apabila rawatan pembedahan dijalankan.

Antara punca-punca lain penyakit ini ialah artritis Takayasu, sindrom Marfan dan sindrom Ehlers-Danlos dan juga jangkitan kuman. Jangkitan kuman pada aorta boleh berlaku pada penagih dadah, pesakit injap jantung dan juga pesakit yang mempunyai ketahanan badan yang rendah. Kes-kes seperti ini lebih banyak dilaporkan di rantau Asia berbanding dengan di negara Barat.

Bagaimanakah aneurisme aorta abdomen ini dapat dikesan?

Sekiranya pesakit mempunyai susuk badan yang kurus atau sederhana, doktor yang membuat pemeriksaan fizikal akan dapat mengesan aneurysm aorta abdomen sekiranya saiznya besar. Sekiranya pesakit berbadan gemuk, aneurysm ini sukar dikesan. Pemeriksaan ultrabunyi atau ujian imbasan adalah cara yang berkesan untuk membuat diagnosis yang tepat.

Adakah penyakit ini merbahaya?

Aneurisme aorta abdomen ini boleh membesar dan dindingnya boleh pecah jika dibiarkan.

Sekiranya ini berlaku penghidap penyakit ini akan mengalami pendarahan dalaman yang banyak dan boleh menyebabkan kematian serta-merta.

Saturday, November 6, 2010

Lemak di sana sini

STRES salah satu punca kegemukan

ZURA berasa risau dengan keadaan tubuhnya yang semakin gemuk. Baju-baju yang dibeli pada tahun lepas semakin sendat. Melihat baju-bajunya yang dibeli tiga tahun lalu, Zura dapat merasakan perbezaan yang ketara. Ternyata tubuhnya semakin mengembang. Tahun demi tahun 'pengembangan' itu semakin ketara.

Tahun lepas dia menghabiskan RM10,000 di sebuah pusat pelangsingan dengan harapan dapat menyusutkan badan yang mengembang. Penurunan berat badan yang diperolehi hanya bersifat sementara sahaja. Tahun ini berat badannya naik kembali dengan cepat.

Tubuhnya mengumpul lemak di belakang, lengan perut dan bahagian pinggang. Untuk memakai korset juga amat sukar kerana tubuhnya yang mengembang berasa amat tidak selesa dan ketat di sana-sini. Apabila memakai tudung dia juga dapat merasakan wajahnya seolah-olah menjadi bengkak.

Sejak kebelakangan ada sesuatu yang menjadi kebimbangannya. Beliau berasa sukar menelan. Makanan yang ditelan seolah-olah tersengkang di kerongkong. Apabila menelan sebiji panadol dia merasakan seolah-olah panadol itu terlekat di tekaknya. Tekaknya juga berasa loya dan mulut seolah-olah berbau biarpun telah berkumur lama.

Zura bertekad untuk melakukan senaman. Sewaktu di universiti dia amat gemar bersukan namun kini setiap kali dia cuba melakukan senaman tubuhnya terasa amat berat. Aktiviti senaman menjadi amat membosankan. Lama kelamaan dia menghentikan banyak aktiviti yang digemarinya. Masalah sering bosan melanda dirinya. Dia juga berasa bosan untuk berjalan-jalan atau bersiar-siar dengan keluarga. Dia memaksa diri demi membahagiakan keluarga. Zura juga kurang bertemu kawan-kawannya. Wanita yang cantik dan gemar bergaya kini hilang dari pandangan. Yang tinggal ialah seorang wanita yang gemuk dan murung. Wanita itu bagaikan kehabisan tenaga. Setiap hari dia tercari-cari bagaimanakah cara untuk keluar dari kepompong itu. Apakah yang terjadi? Penyakit apakah ini? Setiap kali bertemu doktor, laporan perubatan menunjukkan paras tekanan darahnya dan kandungan gula dalam darah rendah.

Masalah Zura sememangnya disebabkan paras metabolisme yang rendah. Banyak faktor yang mencetuskan hal ini. Di dalam tubuh kita terdapat hormon dan enzim yang menukarkan lemak kepada tenaga. Apabila hormon dan enzim merosot maka proses ini terhalang. Sebab utama yang mengganggu kelenjar hormon adalah tekanan atau stres.

Bayangkan jika anda mahu membakar sampah setinggi gunung dengan hanya 10 batang anak mancis. Selepas mancis pertama dinyalakan ia hanya mampu membakar sedikit sahaja sampah itu. Apabila angin kencang atau hujan maka nyalaan itu padam dan anda terpaksa menyalakan yang lain pula. Akhirnya setelah 10 mancis habis dinyalakan sampah setinggi gunung belum dapat dihapuskan. Lori sampah datang dan menambahkan lagi sampah yang sedia ada.

Begitulah tubuh kita. Apabila berdiet bahan pembakar lemak yang sedikit tidak mampu menghilangkan lemak. Selepas sedikit penurunan berat badan, maka kadar metabolik merosot kerana tidak cukup bahan bakar itu. Setelah penambahan hormon metabolik barulah proses diet menjadi efektif.

Minggu lepas saya telah menghuraikan dua masalah metabolik yang utama mengikut keadaan tubuh seseorang. Setiap rawatan adalah berbeza mengikut masalah yang dihadapi. Minggu ini saya akan menghuraikan tiga lagi masalah metabolik yang mengakibatkan kegemukan.

1) Pengumpulan lemak pada muka.

Masalah pengumpulan lemak pada muka dan belakang leher. Biasanya tangan dan kaki adalah agak kecil. Perut mungkin membesar sedikit dan terdapat banyak kesan rekahan. Rekahan ini di namakan striae. Sekali pandang ia kelihatan striae yang sering muncul pada perut wanita hamil. Keadaan seperti ini dinamakan cushinoid. Ia mungkin terjadi kerana faktor steroid yang tinggi dalam tubuh. Stimulasi adrenal sering membuatkan masalah ini menjadi-jadi. Besar kemungkinan faktor mengamalkan ubat-ubatan menyebabkan stimulasi pada kelenjar adrenal yang berlebihan. Banyak ubat pelangsing mencetuskan stimulasi yang sebegini. Pada jangka panjang mereka yang mengamalkan ubat sebegini mengalami masalah muka yang kelihatan bengkak.

2) Pengumpulan lemak pada perut dan pinggang sahaja

Bagi lelaki, masalah ini berlaku disebabkan sel-sel tidak sensitif kepada insulin. Tubuh jenis ini berisiko mendapat kencing manis. Sel sel dalam tubuhnya tidak efektif terhadap insulin menyebabkan insulin dikeluarkan dengan banyak. Kesan insulin yang banyak akan membuatkan gula di dalam tubuh menjadi rendah dan tenaga menjadi lemah. Mereka juga kerap berasa lapar. Oleh itu mereka akan kerap makan. Akibat kerap makan maka berat semakin bertambah. Mereka juga kerap merasa berdebar-debar dan mungkin berdarah rendah. Paras gula yang rendah membuatkan mereka lebih senang berehat sahaja. Golongan ini lebih suka makan dan minum minuman yang banyak gula. Apabila mengambil makanan manis mereka berasa sedikit segar dan sebentar kemudian lemah kembali menyebabkan mereka kerap makan. Golongan ini mudah stres dan pergerakan juga agak lambat.

3) Pengumpulan lemak pada punggung.

Masalah pengumpulan lemak pada punggung berlaku akibat kelebihan hormon gonadal. Ia mungkin berlaku pada lelaki mahu pun wanita. Kelebihan hormon gonadal atau hormon seks membawa kepada pengumpulan lemak ada kawasan ini. Mereka yang mengalami masalah ini disarankan mengambil hormon bloker dan juga mengelak daripada mengambil makanan seperti organ dalaman haiwan yang kaya dengan hormon seperti ini. Hormon yang dimaksudkan ialah estrogen. Bagi lelaki adalah baik jika mereka meningkatkan paras hormon testosteron dalam tubuhnya dan bagi wanita pula rawatan penggantian hormon adalah sesuai

Melegakan gangguan mata

Saya mudah mengalami kerengsaan (kelesuan) mata. Ini termasuklah mata saya merah dan terasa kering. Akibat masalah ini saya tidak boleh menggunakan komputer dan membaca dalam tempoh yang lama. Apakah yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki masalah ini?

Jawapan

Simptom-simptom lazim mata kering termasuklah gatal, pedih dan ketidakselesaan serta mata cepat letih, seterusnya menyukarkan kita memberi tumpuan dan penelitian terhadap apa juga aktiviti yang dilakukan. Mata yang letih juga boleh berpunca daripada kurangnya nutrien dan bekalan oksigen ke mata. Seperti anggota tubuh yang lain, mata juga memerlukan nutrien yang baik agar ia kekal baik dan segar bercahaya.

Makanan yang sihat merupakan asas penting kepada kesihatan, termasuk kesihatan mata. Melengkapkan diet seharian dengan suplemen tambahan juga dicadangkan dan memberi manfaat kepada kesihatan mata, terutamanya apabila amalan pemakanan tidak seimbang atau apabila adanya gangguan pada mata. Antaranya termasuklah antosianin, iaitu flavonoid yang dijumpai dalam buah Bilberi. Walaupun ia juga boleh dijumpai dalam buahan dan sayuran lain, namun bilberi didapati menjadi sumber yang paling kaya.

Bilberi ini mengandungi vitamin A dan C, membekalkan perlindungan anti oksida yang membantu mencegah kerosakan radikal bebas kepada mata. Vitamin A diperlukan untuk ketajaman penglihatan, manakala vitamin C membantu pembentukan kolagen yang diperlukan untuk pertumbuhan dan pembaikan tisu-tisu serta salur darah.

Antosianin juga membantu melindungi retina serta penghantaran saraf impuls ke bahagian penglihatan dalam otak. Kajian ke atas herba ini mencadangkan antosianin yang terkandung dalam bilberi boleh memperbaiki pelbagai simptom berkaitan gangguan penglihatan seperti rabun jauh, katarak dan kemerosotan makula.

Antara manfaat lain termasuklah:

1. Memperbaiki kekuatan kapilari dan fleksibiliti

2. Meningkatkan aliran darah

3. Meningkatkan pemulihan enzim yang bertanggungjawab kepada penghasilan tenaga kepada mata

4. Mengandungi bahan antioksida

Di Eropah tumbuhan yang dikenali sebagai Eyebright digunakan secara tradisional untuk merawat iritasi mata. Tumbuhan ini bermanfaat untuk mengurangkan kemerahan dan keradangan serta bengkak mata. Kini, ia banyak digabungkan dalam satu formulasi dengan Bilberi dalam suplemen untuk mengekalkan kesihatan mata.

Rawat obes akibat stres

SETELAH mendalami bidang perubatan dan melaksanakan program diet menggunakan hormon bioidentikal saya berasa begitu gembira dapat membantu mereka yang bermasalah seperti itu. Tanpa rawatan yang spesifik tidak mungkin pesakit saya dapat menurunkan berat badan dengan mudah.

Ini kerana masalah yang dihadapi bukanlah kerana faktor makan berlebihan semata-mata. Sebaliknya pesakit yang berkunjung ke Marissa Estetik tidak mempunyai masalah untuk mengawal pemakanan mereka. Mereka mencuba pelbagai ubat-ubatan dan produk pelangsingan namun hampa. Untuk bersenam pun tidak mampu kerana tubuh terasa berat dan tenaga juga berkurangan. Oleh kerana itu ramai yang menjadi kecewa. Rawatan dari klinik-klinik biasa juga tidak mampu membantu. Puas sudah menahan selera dan mengikat perut namun badan tetap juga mengembang. Sebenarnya ini adalah masalah dalam metabolisme tubuh mereka. Apabila badan tidak boleh membakar makanan dan lemak segalanya terkumpul sebagai cecair yang melekit dan menyumbatkan sel-sel kita. Akibatnya sel-sel tubuh menjadi rosak dan mengalami metabolisme yang tidak efektif sehingga lemak dan karbohidrat tidak dapat dibakar. Masalah ini ibarat satu kitaran yang merosakkan tubuh badan kerana makanan yang tidak diproses menjadi tenaga akan hanya menjadi bahan berupa lendir dan mukuous mucous. Bahan tersebut akhirnya menyumbatkan sel-sel dan akhirnya menjadi rosak. Sel yang rosak hilang upaya untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh dan akhirnya seseorang itu akan menjadi sangat lemah.

Masalah metabolik saya bahagikan kepada lima jenis yang utama. Untuk minggu ini saya menghuraikan dua daripadanya terlebih dahulu.

1) Masalah lemak pada belakang tubuh.

Lemak berkumpul dengan banyak pada bahagian belakang terutamanya di bawah leher. Ia berbonggol. Dalam bahasa saintifik (perubatan) ia dikenali sebagai buffalo hump. Bagi mereka yang mengidap masalah ini lemak juga banyak berkumpul pada kawasan scapular (tulang selangka). Ada kalanya ia terletak di bawah ketiak sehinggakan sukar memakai coli dengan baik. Keadaan itu juga membuatkan buah dada kelihatan besar dan tidak di bentuk dengan menarik. Mereka yang mempunyai masalah ini tidak dapat menurunkan berat badan dengan mengamalkan diet semata-mata. Ini kerana dalam tubuh mereka terdapat hormon cortisol yang terlalu tinggi. Hormon ini sangat cenderung mengumpulkan lemak. Cortisol adalah hormon yang dikeluarkan oleh kelenjar adrenal dalam tubuh kita. Peningkatan adrenal adalah disebabkan faktor tekanan (stres) dan juga makanan tertentu seperti gula yang tinggi yang meningkatkan aktiviti adrenal. Ubat-ubat untuk diet juga boleh membuatkan adrenal aktif. Oleh kerana itulah mereka yang mengamalkan ubat diet apabila berhenti mengambil ubat akan mengalami kenaikan berat badan yang banyak disebabkan oleh kelenjar adrenal terlalu aktif.

Sebenarnya hormon cortisol amat mustahak kepada kita dalam kuantiti yang optimum. Apabila tubuh mengalami stres seperti membuat kerja berat atau bersenam, tubuh menggunakan banyak tenaga dan perlu mengumpul semula tenaga itu. Pada masa itulah hormon cortisol memainkan peranan yang sangat penting. Hormon ini menjadikan tubuh kita mengumpul tenaga dalam bentuk lemak. Pada zaman moden stres yang melanda bukannya dari segi fizikal tetapi kebanyakannya melibatkan mental. Namun tubuh kita mengenalinya sebagai stres fizikal menyebabkan cortisol terhasil dengan banyak. Boleh dikatakan mereka yang mengalami masalah obesiti melibatkan pengumpulan lemak yang tinggi pada belakang mempunyai stres yang agak tinggi dalam kehidupan mereka. Mereka gagal berdiet di sebabkan faktor ini. Rawatan yang sesuai sudah tentulah penggunaan hormon bioidentikal yang membantu mengurangkan paras cortisol. Selepas paras cortisol berkurangan akan berlaku perubahan berat badan menakjubkan. Begitu juga bentuk tubuh di mana perubahan yang berlaku akan menjadi ketara.

2) Masalah lemak pada bahagian depan tubuh iaitu pada buah dada, ketiak, perut termasuk lengan.

Lemak yang berkumpul pada bahagian ini adalah disebabkan oleh faktor hormon yang tidak seimbang. Di dalam tubuh wanita terdapat hormon yang penting iaitu estrogen dan progestron. Kehadiran kedua-dua hormon ini perlu seimbang. Apabila estrogen terlalu banyak maka akan berlaku ketidak seimbangan. Estrogen cenderung untuk mengumpulkan lemak pada perut, dada, lengan dan ketiak. Mereka yang mengalami masalah ini cepat letih dan sukar memakai korset atau pakaian ketat kerana saiz badannya lebih besar apabila waktu petang atau malam. Korset yang dipakai terasa seolah-olah semakin ketat di sebabkan perkara ini. Sebenarnya tubuh mereka menyimpan air yang banyak. Semakin lama air menjadi semakin banyak dalam sel menyebabkannya mengembang sehingga baju yang yang dipakai terasa semakin ketat. Rawatan yang sesuai sudah tentulah rawatan yang meningkatkan progestron dan mengurangkan estrogen bagi wanita. Bagi lelaki pula kita akan meningkatkan hormon testosterone yang penting bagi lelaki dan mengurangkan estrogen juga.

Pendekatan menangani obesiti haruslah dibuat menerusi pelbagai aspek kerana mengawal makan sahaja bukanlah penyelesaiannya. Selepas rawatan barulah doktor akan mengenalpasti makanan yang sesuai dengan komposisi tubuh seseorang. Ini membuatkan seseorang lebih mudah menjaga dirinya bagi mengelakkan stimulasi hormon cortisol dan estrogen. Perubahan gaya hidup juga penting iaitu dengan menjauhi ketegangan dan bijak menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian.

Kempen mendalami punca strok

Oleh ZUHAYATI YAZID

Prof. Dr. Hamidon Basri (kiri) bersama Dr. Razali Omar dan Pengarah Urusan Boehringer Ingelheim, Cheong Yee Kok (kanan sekali ) menunjukkan poster kempen kesedaran strok 1 Misi 1 Juta - Mendalami Punca Strok di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SERANGAN strok atau angin ahmar boleh mengubah kehidupan seseorang untuk sepanjang hayatnya. Ini kerana jika mangsa serangan strok terselamat daripada maut, kebiasaannya akan mengalami lumpuh dan lemah anggota badan sama ada sebelah tubuh atau keseluruhan badan.

Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof. Dr. Hamidon Basri berkata, ramai yang mengetahui kewujudan penyakit ini tetapi tidak ramai yang mengetahui sejauhmana ia boleh menyerang dan kekerapan serangannya terhadap mangsa.

''Penyakit strok tidak boleh dipandang mudah, ia mampu merubah kehidupan seseorang dan lazimnya pesakit memerlukan penjagaan yang rapi sepanjang hayatnya,'' katanya

Beliau yang juga seorang pakar runding neurologi, berkata, kira-kira 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko besar terhadap penyakit tersebut.

Malah hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran atau maklum tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Tegasnya lagi, strok merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah tersumbat dan gangguan bekalan darah ke bahagian-bahagian otak yang mengakibatkan bahagian tersebut tidak mendapat cukup oksigen.

Biasanya penyakit ini menyerang seseorang secara tiba-tiba sehingga boleh menyebabkan kematian atau lumpuh separuh badan.

Strok juga dikenali sebagai 'serangan otak' kerana strok berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu.

"Kejadian ini boleh berlaku dalam dua cara yang berbeza, apabila salur darah di dalam otak pecah (dikenali sebagai strok berdarah) atau apabila terdapat salur darah tersekat (yang dikenali sebagai strok iskemia),'' kata Dr. Hamidon lagi.

Menurut beliau, orang ramai juga perlu memahami bahawa strok, khususnya strok iskemia boleh dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan kepada otak.

Jelasnya lagi, serangan strok boleh berlaku secara tiba-tiba dan pesakit tidak mengalami sebarang tanda amaran kedatangan penyakit ini sehinggalah tiba waktunya dia mengalami rasa lemah-lemah dan lumpuh sebelah badan sama ada kiri atau kanan.

''Lemah dan lumpuh akibat strok ini akan menyebabkan mangsa mengalami kesukaran untuk bercakap atau kemungkinan kehilangan terus keupayaan bercakap atau dikenali sebagai aphasia.

''Antara masalah lain ialah kemungkinan berlakunya gangguan pada bahagian otak yang lebih penting peranannya,'' katanya ditemui pada majlis pelancaran Kempen 1 Misi 1 Juta Mendalami Punca Strok.

Menurut Dr. Hamidon lagi, lagi, bukan semua jenis strok akan menyebabkan lumpuh. Ini kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan.

Katanya lagi, otak sama seperti bahagian tubuh yang lain, harus menerima bekalan berterusan melalui pembuluh darah dan arteri.

''Jika salah satu daripada arteri tersumbat, bahagian otak yang tidak mendapat bekalan darah akan mati kerana tidak mendapat bekalan oksigen," katanya.

Mengetahui khasiat timun

TIMUN sememangnya mempunyai pelbagai khasiat. Ia tergolong dalam kumpulan yang sama dengan labu. Luaran timun berwarna hijau agak gelap, manakala sebaik dihiris isi putih kehijauan terserlah. Terdapat dua jenis timun iaitu yang boleh dibuat acar dan untuk dihiris. Timun yang digunakan untuk dibuat acar kebiasaannya bersaiz lebih kecil.

Timun diketahui kaya dengan bahan yang boleh menyejukkan. Malah ketika cuaca panas sayuran itu amat bermanfaat untuk membantu melegakan mata yang tertekan akibat panas terik. Selain itu, timun juga menawarkan pelbagai manfaat lain yang berguna untuk menusia.

Nilai nutrisi bagi setiap 100 gram timun yang belum dikupas

Karbohidrat - 3.63 gm

Gula - 1.67 gm

Serat - 0.5 gm

Lemak - 0.11 gm

Protein - 0.65 gm

Thiamin (Vitamin B1) - 0.027 mg

Riboflavin (Vitamin B2) - 0.033 mg

Niacin (Vitamin B3) - 0.098 mg

Asid Pantotenik Acid (Vitamin B5) - 0.259 mg

Vitamin B6 - 0.040 mg

Folat (Vitamin B9) - 7 μg

Vitamin C - 2.8 mg

Kalsium - 16 mg

Besi - 0.28 mg

Magnesium - 13 mg

Fosforus - 24 mg

Potasium - 147 mg

Zink - 0.20 mg

* Timun yang disapu ke

wajah boleh mengurangkan

kepanasan dan radang pada

kulit.

* Bahan diuretik, menyejuk dan membersih yang terdapat di

dalam timun menjadikan sayuran tersebut baik untuk kulit.

* Timun yang segar boleh memberi kelegaan kepada masalah

ulser, gastritis dan pedih ulu hati.

* Hiris timun mampu mengurangkan bengkak pada mata.

* Pengambilan timun setiap hari membantu mengawal

ekzema, artritis dan juga gout.

* Timun juga bermanfaat kepada mereka yang mengalami

masalah pada paru-paru, perut dan dada.

* Potasium di dalam timun menjadikannya sangat berguna

untuk membantu mengurangkan masalah tekanan darah

rendah.

* Timun mengandungi Erepsin - enzim yang membantu

menghadamkan protein.

* Jus timun membantu menggalakkan pertumbuhan rambut

terutamanya jika ditambah jus lobak merah, kubis dan

bayam. Campuran jus timun dan lobak mereka juga bagus

untuk masalah reumatik disebabkan lebihan asid urik di

dalam badan.

* Kaya dengan mineral, timun boleh membantu menghalang

masalah kuku.