Saturday, November 20, 2010

Platelet agen kecantikan

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Foto NOOR BAINI MASRI

DUNIA perubatan mendapati PRP berkesan untuk merawat masalah sendi.

TENTU ramai masih ingat kisah Raja Bersiong. Bayam bercampur darah menyebabkan hidangan yang dinikmatinya terasa lebih enak. Akibatnya Raja Bersiong ketagihan darah sehingga sanggup berlaku zalim mengorbankan rakyatnya. Gara-gara menghirup gulai bayam bercampur darah, dia ditumbuhi siong.

Biarpun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran kisah seorang raja ketagihan gulai bayam berdarah itu namun tentu ada jawapan mengapa hidangan tersebut begitu enak.

Mungkin kerana rasa manis darah atau kandungan darah yang kaya dengan sel-sel hidup menyebabkan rasa gulai bayam berbeza dengan hidangan biasa.

Justeru tidak hairanlah penemuan terkini dunia perubatan dan kecantikan menyaksikan penggunaan darah sebagai alternatif semulajadi untuk meremajakan kulit dan mencantikkan penampilan diri seperti mana Botox.

Teknik Platelet Rich Plasma (PRP) yang juga dikenali sebagai Vampire Filler itu semakin mendapat tempat dalam dunia perubatan kecantikan. Bukan itu saja, PRP turut diamalkan untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan mengatasi pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Tentu menarik menyelongkar kaedah terbaru yang turut tidak ketinggalan diamalkan di negara ini.

Pelopor penggunaan PRP dalam rawatan kecantikan, Dr. Julio F. Gallo merumuskan bahawa teknik terbaru itu sama seperti penggunaan filler kosmetik yang disuntik ke muka pesakit.

''Prosedur ini digelar vampire filler kerana kami menggunakan darah anda sendiri,'' kata Dr. Gallo yang berkhidmat dengan Institut Pengurusan Usia dan Intervensi di Miami.

Pengamal perubatan yang turut mendalami bidang kesihatan kecantikan Dr. Rushmini Maris Ismail ketika ditanya rawatan terkini itu menarik perhatian mengenai fungsi serta kandungan darah itu sendiri. Menurut beliau, darah terbina daripada sel sel hidup. Katanya, terdapt empat sel utama yang membina darah iaitu:

1) Sel darah merah

2) Sel darah putih

3) Platelet

4) Plasma darah

Setiap sel, kata beliau, mempunyai fungsi tersendiri dan merupakan struktur yang amat penting dalam perjalanan dan fungsi tubuh seorang manusia.

Sel darah merah, menurut Dr. Rushmini, berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh manakala sel darah putih pula merupakan sel hidup yang membantu melawan penyakit. Sel pula darah putih sangat aktif melawan bakteria dengan cara mengepung dan menelannya. Ia juga berupaya merembeskan bahan kimia tertentu bagi memusnahkan bakteria.

Ditanya tentang platelet, Dr. Rushmini memberitahu, ia berupa sel-sel kecil dan paling seni yang penting bagi pembekuan darah. Selain itu platelet turut mengeluarkan beberapa faktor lain yang penting bagi keperluan manusia.

''Apabila darah tidak cukup platelet sebagaimana terjadi kepada pesakit yang diserang denggi maka perdarahan akan berlaku.

''Maka jelaslah kepada kita bahawa platelet juga mempunyai kepentingan dalam penyembuhan,'' katanya.

Menurut beliau, sifat platelet yang sebegitu telah lama dikaji oleh para saintis. Pada peringkat awalnya penggunaan platelet sebagai agen penyembuhan digunakan oleh sekumpulan pakar pembedahan pergigian 20 tahun lalu di Eropah. Oleh kerana kejayaan yang lihat sangat memberangsangkan maka pakar-pakar tulang turut menggunakannya bagi menyembuhkan tendon yang terkoyak.

Katanya, dalam bidang esthetik teknik tersebut turut digunakan melibatkan penggunaan plasma yang kaya dengan platelet. Ini kerana platelet adalah partikel kecil dalam darah yang mempunyai nilai estetik yang tinggi.

Platlet mengandungi:

1. Hormon Tumbesaran atau Growth Hormones (GH) dan sitokin (cytokines). GH yang terlibat pada darah adalah:

Faktor rangsangan pertumbuhan kulit atau Epidermal Growth Factor (EGF).

Fungsi GH antara lainnya adalah:

* Merangsang penyembuhan

sel-sel

* Merangsang pembaharuan

sel-sel

* Meningkatkan keupayaan sel

bagi bermetabolik.

* Mengubah GF Beta yang merangsang pembentukan kolagen yang merupakan matriks kulit kita. Ia bertindak sebagai pemenuh ruang di mana sel-sel saling bertautan. Ia juga memberi keanjalan kepada kulit. Apabila usia meningkat sudah tentu keupayaan kulit seseorang mengeluarkan kolagen akan berkurangan dan kulit mula tampak mengecut. Kehadiran platelet mampu membuatkan seseorang tampak lebih muda semula.

Merangsang angiogenesis.

Angiogenesis bermaksud pembentukan salur-salur darah baru. Apabila salur-salur darah kecil (kapilari) tidak dapat dihasilkan maka luka akan lambat sembuh. Hal ini terjadi kepada pesakit kencing manis sehingga menyebabkan luka lambat sembuh. Justeru aplikasi PRP dikatakan dapat membantu dan digunakan oleh para doktor bagi proses penyembuhan dalam kes-kes yang teruk.

No comments: