Saturday, November 13, 2010

Pesakit asma bebas bersukan

NOR Jannah Hassan (dua dari kiri) bersama duta-duta Kempen Asma di Sekolah menunjukkan kit asma.

Adeeba Brooks, 16, minat bersukan sejak kecil lagi. Setelah mengetahui dia menghidap asma, Adeeba tidak pernah berhenti untuk melakukan aktiviti sukan.

Dia mula dikesan menghidap penyakit ini apabila mengalami sesak nafas setibanya di Malaysia. Menderita 12 jam kerana lelah dan sukar bernafas, membuatkan dia fobia. Namun, dia kini berasa yakin dan selesa kerana dapat meneruskan kehidupan seperti remaja lain.

Dengan bantuan ubat seperti pelega asma dan mengawal pernafasan ketika bergerak aktif dengan betul, dia masih boleh bersukan.

Walaupun masih ada pesakit asma yang malu untuk mengakuinya, Adeeba sebaliknya.

“Memang rasa lain apabila semua orang tengok kita menyedut ubat pelega asma. Tetapi kita perlu ingat, sukan seperti gimnastik dan berenang dapat membantu memperbaiki pernafasan kita. Selain itu, sebagai pesakit asma, kita boleh melatih diri kita berjalan setiap hari. Bukan setakat bantuan ubat-ubatan, gaya hidup sihat juga membantu pesakit hidup dengan lebih selesa.,” ujar anak kelahiran Amerika Syarikat ini yang ditemubual di Sekolah Islam Antarabangsa (IIS), Gombak, Selangor.

Berbeza dengan Adeeba, Ashraf Zain, 18 menghidap asma sejak kecil lagi . Masuk ke alam persekolahan, Ashraf mula aktif bersukan. Ashraf sentiasa ditemani ubat pelega asma kerana dia sering berasa kepenatan di sekolah.

“Asma tidak mengehadkan pergerakan saya. Apa yang perlu dilakukan, apabila anda berasa penat atau lelah, cuba berehat selama 15 minit. Jangan lupa untuk sentiasa membawa ubat. Ibaratnya anda yang sentiasa membawa dompet atau telefon bimbit, jangan lupa membawa ubat bersama anda,” katanya yang mempunyai sejarah keluarga menghidap asma.

Dengan adanya Kempen Asma di Sekolah, Ashraf yang berasal dari Sudan berpendapat, ia boleh membantu pesakit lain kerana penyakit ini bukan sekadar gurauan.

Kempen tersebut dilaksanakan oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Malaysia (GSK) dengan kerjasama Majlis Asma Malaysia (ACM), Persatuan Torasik Malaysia (MTS) dan Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM).

Pendapat Ashraf disokong Irfan Rahman, 16 yang aktif bermain futsal. Baginya, kempen tersebut dapat membantu pesakit lain mengetahui cara lain untuk mengawal asma.

Bahkan, pelajar dari Malaysia ini banyak mendapat pengetahuan tambahan asma melalui pek asma yang diberi kepada setiap pelajar di IIS.

Irfan yang menghidap asma tidak pernah takut untuk bersukan kerana dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika berlakunya kes kecemasan.

Bagi rakan mereka yang tidak menghidap asma, Hebatullah, 15, dia dapat menyampaikan maklumat asma kepada rakan-rakan yang lain menerusi kempen tersebut.

Kempen

“Seperti yang diajar melalui kempen ini, kami diminta agar tidak panik. Jika ada rakan di kelas diserang asma, buka tingkap. Kemudian, hubungi pihak sekolah dan ibu bapa. Malah pek asma yang diberikan kepada kami ringkas dan mudah difahami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengetua IIS, Nor Jannah Hassan berpendapat, Kempen Asma di Sekolah dapat memberi maklumat kepada pelajar dan khususnya pesakit asma untuk berdepan dengan penyakit ini. Ia juga memberi pendedahan kepada pihak sekolah bagaimana berhadapan dengan kes pelajar yang tiba-tiba diserang asma.

Statistik terkini menunjukkan, seorang daripada 10 kanak-kanak di negara ini menghidapi penyakit asma .

Bilangan tersebut memang merisaukan semua pihak apabila mempertimbangkan kesan asma terhadap pertumbuhan kanak-kanak dan perkembangan mereka.

Bukan itu sahaja, satu kajian terbaru menyatakan bahawa Asia Pasifik mencatat tahap ketidakhadiran ke sekolah yang lebih tinggi akibat asma berbanding negara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Dengan adanya pek asma yang diberikan secara percuma kepada pelajar menerusi Kempen Asma di Sekolah, orang ramai menerima informasi bantuan kecemasan ketika seseorang diserangi asma .

No comments: