Saturday, May 9, 2015

Rezeki ke Tanah Suci datang tanpa diduga

APABILA sampai seruan untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci sama ada bagi mengerjakan umrah atau haji, tunaikanlah tuntutan itu kerana Insya Allah dengan izin-Nya, semua urusan serta perancangan berjalan lancar. Siapa yang tidak teringin menjejakkan kaki ke Tanah Suci, namun soal perbelanjaan dan kos ke sana kerap menjadi persoalan utama. Ada berpendapat, jika sampai seru tetapi duit tidak mencukupi pun tidak akan terlaksana hasrat itu. Penulis ingin berkongsi pengalaman mengenai rezeki ketika mengerjakan umrah bersama keluarga baru-baru ini. Sebaik saja dimaklumkan nama terpilih untuk menyertai program umrah anjuran syarikat, perasaan risau mengenai kos perbelanjaan itu memang ada. Alhamdulillah, majikan memang sudah menyediakan subsidi kepada staf dan keluarga. Itu juga dikira sebagai rezeki untuk kakitangan dan kami sekeluarga. Rakan yang sudah menunaikan haji serta umrah mengingatkan, jangan sesekali lupa berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan segala urusan dan ditambah rezeki. Bajet yang saya ada sebenarnya cuma untuk tiga orang termasuk isteri dan Irmy Umaira, anak perempuan sulung berusia 11 tahun. Sebaik saja memaklumkan hasrat itu kepada anak yang lain, nampak jelas di wajah anak kedua berusia sembilan tahun, Khadeja Ulfa, gambaran mengharapkan supaya diberi peluang ikut serta tetapi mungkin tidak berani untuk bersuara. Diterangkan secara baik, belum tiba masanya untuk dia ke sana kerana kekangan bajet. Namun, kira-kira empat bulan sebelum tarikh berangkat ke Tanah Suci, semuanya berubah. Tanpa diduga, keluarga mentua menawarkan untuk membayar kos tambahan bagi anak kedua. Itu rezeki anak dan kami menerima dengan hati terbuka. Walaupun begitu, timbul persoalan apakah kami boleh menambah jumlah peserta kerana borang menyertai program menunaikan umrah anjuran syarikat sudah diselesaikan tiga bulan sebelum itu. Sekadar mencuba nasib, nama anak kedua didaftarkan tetapi kata penganjur, semuanya belum pasti dan bayarannya lebih mahal berbanding kos untuk tiga orang yang pertama. Selepas agak lama menunggu, penganjur mengesahkan kami empat beranak layak untuk menyertai rombongan kali ini. Sebulan sebelum berangkat, syarikat mengumumkan bonus serta kenaikan gaji. Alhamdulillah, penulis sendiri terkejut menerima imbuhan kadar kenaikan gaji yang diterima. Terdetik di hati, inilah rezeki yang ditetapkan Allah SWT, apatah lagi kami dalam persiapan mahu menunaikan umrah. Sujud syukur tanda kegembiraan Sebagai persediaan, kami membeli barang keperluan, menghadiri taklimat dan kursus umrah. Dijadikan cerita, satu lagi kejutan berlaku sehari sebelum berangkat apabila rakan memaklumkan kami layak menerima komisen untuk satu tugasan yang dilakukan pada pertengahan tahun 2014. Nilai komisen itu tidak banyak selepas diagihkan antara kami berdua tetapi bagi saya ia cukup besar dan sujud syukur menandakan kegembiraan di hati. Tidak pernah disangka-sangka imbuhan itu dibayar pada masa yang dianggap paling tepat. Semua itu menguatkan lagi keyakinan diri bahawa rezeki di tangan Allah SWT, kita perlu berusaha, berdoa dan tawakal. Apatah lagi niat untuk menunaikan umrah, ibadah yang dituntut agama, tentu dimudahkan hasrat suci itu. Selepas empat hari berada di Madinah, kami berangkat ke Makkah dan di sana anak-anak kami cukup murah rezeki mereka. Tiap kali singgah di beberapa premis perniagaan di sekitar hotel dan Masjidil Haram, mereka berdua kerap menerima hadiah daripada peniaga. Walaupun sekadar lima riyal (RM5) seorang itu adalah rezeki mereka dan boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang bersedekah kepada mereka. Betullah kata-kata, anak pembawa rezeki. Jumlah sedekah itu apabila dikumpul, cukup untuk membeli sehelai jubah harga patut untuk mereka sebagai tanda kenangan. Itu belum lagi rezeki diterima mereka melalui sedekah wang tunai daripada rakan kerja penulis dan isteri. Bukanlah banyak tetapi nilainya cukup besar dan bermakna bagi kami. Itu tandanya rakan juga tumpang gembira dan mengharapkan kami dipermudahkan segala urusan. Pastinya jemaah lain juga sama seperti penulis, memohon doa kepada Allah SWT supaya sentiasa dimurahkan rezeki. Cuma bagaimana dan bila rezeki itu datang, tiada siapa yang tahu. Tambahan berada di sana kita boleh berdoa di Raudah di Masjid Nabawi dan depan Kaabah, tempat paling diidamkan untuk berdoa memohon hajat. Rezeki diterima berterusan sepanjang kami berada di sana. Dua hari sebelum berangkat pulang, sekali lagi penulis menerima berita gembira apabila seorang teman lama menghubungi melalui aplikasi 'WhatsApp' mengatakan mahu membayar hutang lama. Dia meminta nombor akuan bank untuk dimasukkan duit itu. Penulis sendiri terlupa perkara itu kerana sudah terlalu lama rakan tadi tidak berhubung. Pernah terlintas di hati, jika dia tidak mampu membayar hutang, penulis akan menghalalkannya. Itulah yang dikatakan rezeki tanpa diduga. Walaupun dia memohon untuk membayar separuh daripada jumlah hutang, penulis anggap itu rezeki daripada Allah SWT. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan bekalan belanja sehingga hujung bulan sebaik saja pulang ke tanah air. Tanpa jemu berdoa Semua perkara yang terjadi itu meninggalkan kesan mendalam kepada penulis. Jika kita sentiasa memohon kepada Allah SWT tanpa jemu, Insya Allah kita tidak sesekali akan dilupakan dan semoga sentiasa dilimpahi nikmat. Bagi penulis, tiada jalan mudah dalam mencari rezeki. Islam tidak mengajar dengan doa semata-mata tanpa perlu berusaha rezeki akan datang bergolek. Penulis percaya gabungan usaha dan doa adalah pakej terbaik untuk mencari nikmat rezeki. Allah SWT sentiasa menolong hamba-Nya yang berusaha seperti termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud: "Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."(Surah at-Thalaq, ayat 2-3)