Friday, June 21, 2013

Panas bawa maut

SETIAP hari kita pasti terdengar rungutan orang di sekeliling berkenaan cuaca yang teramat panas di negara kita. Manakan tidak, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan cuaca panas dan kering dijangka berlaku sehingga September ini berikutan musim Monsun Barat Daya yang baru sahaja bermula bulan lalu.
Menurut JMM, kebanyakan kawasan di negara ini akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan serta liputan awan yang berkurangan dan tempoh penerimaan cahaya matahari yang lebih lama menyebabkan suhu persekitaran meningkat.
Maka semakin ramailah yang mula berdoa dan berharap hujan akan turun bagi menghilangkan rasa panas yang membuatkan semua orang lesu dan tidak produktif.
Namun, di sebalik cuaca hangat dengan suhu yang mencecah sehingga lebih daripada 35 darjah Celcius, ramai yang masih tidak memandang berat akan kesannya terhadap tubuh badan kita.
Ramai yang dengan santainya bersiar-siar di bawah terik matahari tanpa mengambil langkah berjaga-jaga. Alasannya panas adalah perkara biasa di Malaysia.
Bagi mereka yang keadaan pekerjaannya memerlukan mereka berjemur panas seperti buruh binaan terus gigih bekerja tanpa berehat secukupnya dan menghiraukan bahaya yang mereka berdepan dengan panas mentari.
Ujar Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Hazlee Abdul Hadi, pendedahan terhadap panas yang melampau dan berpanjangan boleh menyebabkan penyakit berkaitan dengan cuaca panas iaitu (heat related illness (HRI)).
�HRI adalah pelbagai dari sederhana iaitu ruam panas, kelesuan dan pitam akibat panas kepada teruk seperti kekejangan, keletihan yang melampau akibat panas dan strok haba.
�Keadaan yang paling teruk boleh berlaku akibat HRI ialah kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati malah ia boleh menyebabkan maut.
�Di Amerika Syarikat (AS), kematian akibat HRI sejak 1979 hingga 2003 dilaporkan sebanyak 8,015 pesakit, bilangan kematian yang lebih ramai daripada mereka yang kehilangan nyawa akibat gabungan taufan, banjir, gempa bumi dan puting beliung.
�Di Malaysia sendiri ada kes kematian akibat panas yang melampau," ujarnya yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, baru-baru ini.
Gejala
Ujar Dr. Hazlee, Gejala masalah HRI ialah pelbagai bergantung kepada tahap keseriusan masalah itu.
Antaranya ialah sakit kepala, keletihan, tumpuan lemah, pening, lemah otot-otot badan atau kekejangan, mual dan muntah.
Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dinyahhidrat (kekeringan), kekeliruan, dan tidak sedarkan diri atau koma.
Komplikasi boleh berlaku jika lambat melakukan rawatan terutamanya mereka yang berdepan dengan strok haba iaitu kerosakan organ badan seperti ginjal, otak, jantung dan hati serta boleh menyebabkan maut.
Kumpulan berisiko
Ujar Dr. Hazlee, sesiapa sahaja boleh berdepan dengan masalah HRI tetapi beberapa kumpulan yang berisiko terutama kanak-kanak yang berusia kurang lima tahun kerana lebih sensitif terhadap kesan panas dan mereka memerlukan bantuan dari orang dewasa untuk menyejukkan badan serta memberi hidrasi yang cukup.
Golongan tua berumur lebih daripada 65 tahun turut berisiko tinggi kerana sistem tubuh mereka mungkin tidak lagi efektif untuk menurunkan suhu badan dan mereka juga tidak dapat mengesan kenaikan suhu badan dengan baik.
Orang dewasa iaitu yang berusia 40 tahun ke atas adalah 10 kali ganda lebih berisiko berbanding dengan orang yang lebih muda.
HRI juga berisiko kepada mereka yang secara fizikal telah sakit terutama masalah sakit pernafasan, lemah jantung, dan mereka yang mengambil ubat untuk penyakit kemurungan.
Selain itu, mereka yang mempunyai masalah obesiti turut lebih berisiko kerana badan mereka menyimpan lebih banyak haba.
Ada sesetengah penyakit membuatkan HRI lebih senang berlaku seperti penyakit tiroid yang menyebabkan suhu badan tinggi.
Pengambilan ubat-ubatan yang menyebabkan badan panas dan keadaan bertambah buruk apabila berjemur juga menambah risiko berlakunya HRI.
Selain itu, cara pakaian tebal dan berlapis yang tidak sesuai dengan suhu, aktiviti fizikal serta keadaan pekerjaan dan beban kerja seperti mereka yang bekerja menyelenggara lebuh raya dan buruh binaan berisiko berdepan dengan HRI.
Maut
Pengsan akibat cuaca panas yang melampau dilihat seperti perkara biasa. Namun, serangan strok haba itu sebenarnya boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
Ini kerana organ-organ penting tidak dapat air yang membawa mineral-mineral penting lalu ia akan gagal berfungsi satu demi satu jika tidak mengganti air secepat mungkin.
Oleh itu, rawatan kecemasan perlu dilakukan segera jika mempunyai tanda-tanda strok haba.
Pencegahan
�Mencegah adalah baik daripada mengubati terutamanya untuk mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi.
�Kumpulan ini dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan melakukan langkah-langkah pencegahan.
�Apa yang penting ialah menjaga suhu badan normal, memastikan kekal hidrat serta mendapatkan maklumat yang tepat," ujarnya.
Apabila berdepan dengan musim panas yang melampau seperti sekarang, golongan yang berisiko digalakkan berada di dalam rumah atau bangunan, lebih baik dengan kemudahan alat pendingin hawa.
Ujar Dr. Hazlee kebanyakan majikan di AS telah menyediakan pendingin hawa bagi setiap ruang untuk pekerjanya.
Hadkan aktiviti luar semasa awal pagi dan lewat petang sahaja kerana ia kurang merbahaya dan kurang panas serta berehat dengan kerap sekiranya terdedah kepada pancaran matahari.
Lakukan langkah pencegahan seperti memakai topi atau payung yang besar dan pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang serta longgar.
Jangan lupa memakai krim pelindung matahari yang mempunyai SPF 15 atau lebih 30 minit sebelum terdedah kepada sinaran matahari untuk mengelakkan sinaran UVA dan UVB dan gunakan secara berterusan.
Sentiasa mengamalkan konsep pusingan kerja dan rehat seperti yang dicadangkan terutama mereka yang bekerja di bawah terik matahari.
Kita sebenarnya boleh menyesuaikan badan dengan suhu yang panas daripada biasa dengan cara mengehadkan aktiviti luar secara berperingkat sehingga badan dapat mengadaptasi dengan cuaca panas tersebut.
Elakkan makanan yang pedas dan kuantiti yang banyak, kerana ini akan menyebabkan suhu badan naik, berpeluh dan kehilangan cecair badan.
Air yang cukup
Terang Dr. Hazlee, musim panas ini memerlukan kita minum air yang banyak bagi mengembalikan kelembapan badan kerana kita kehilangan cecair badan melalui peluh dan mudah menjadi kering.
�Jika melakukan aktiviti fizikal di bawah panas terik, minum air dua hingga empat cawan setiap jam tanpa mengira tahap aktiviti anda.
�Minum air isotonik bagi menggantikan garam dan mineral yang hilang melalui peluh.
�Jangan minum minuman berkafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi, kerana ia boleh mempengaruhi fisiologi badan dan menyebab kita kehilangan cecair badan.
�Jika doktor mengehadkan pengambilan air, garam dan mineral disebabkan penyakit tertentu seperti sakit buah pinggang dan lemah jantung, dapatkan nasihat doktor tentang jumlah pengambilan yang selamat semasa cuaca panas," terangnya terperinci.

Mesej kesihatan melalui seni

Pelajar Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist 2, Melaka, meraikan kemenangan mereka selepas menerima hadiah daripada Angeline Sim (belakang, enam dari kiri).
MENGGABUNGKAN seni dan kesihatan ternyata memberi cabaran menyeronokkan kepada para peserta Pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan Antabax Peringkat Kebangsaan.
Pertandingan anjuran Antabax dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan melalui program Doktor Muda Kementerian Kesihatan Malaysia, bertujuan mempromosi amalan kebersihan diri terutama di kalangan murid sekolah.
Pengurus Produk Kumpulan, Penjagaan Rumah dan Diri, Bahagian Pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd, Angeline Sim, berkata, sebanyak 38 buah sekolah rendah mempamerkan mural masing-masing yang penuh imaginasi dengan kebersihan tangan sebagai tema.
Katanya, program yang dilancarkan tahun lepas itu memanfaatkan kreativiti kanak-kanak di samping mengingatkan mereka tentang pentingnya amalan kebersihan diri yang baik untuk gaya hidup yang sihat.
" Program tersebut merupakan antara yang pertama di negara ini yang memberikan pendidikan tentang kebersihan diri kepada pelajar sekolah rendah menerusi seni, khususnya seni lukisan mural.
"Kami menggunakan pertandingan ini untuk mendekati generasi muda dan mendidik mereka tentang kepentingan kesihatan dan kebersihan.
"Pada masa sama kami dapat mengenal pasti bakat-bakat muda baru dalam seni," kata Sim pada majlis penyampaian hadiah pemenang pertandingan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, usaha tersebut sebagai platform bagi kanak-kanak mempelajari amalan kebersihan diri yang baik. Pepatah ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kanak-kanak ini akan mengamalkan tabiat yang mereka perolehi ini sehingga mereka dewasa dan seterusnya akan mengajar pula kepada generasi berikutnya.
Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist 2, Melaka , muncul sebagai juara dengan lukisan mural bertajuk Tangan Bersih Hidup Sihat.
Sekolah tersebut meraih hadiah wang tunai RM10,000 yang 80 peratus daripadanya akan disalurkan ke Kelab Doktor sekolah manakala 20 peratus lagi akan digunakan bagi tujuan kebajikan pelajar.
Mereka juga menerima bekalan selama setahun barang-barang jenama Antabax untuk digunakan di kawasan umum.
Guru Besarnya, Noriati Abdul Kadir, menyifatkan kemenangan tersebut adalah hasil daripada kesungguhan dan kerjasama semua murid yang terbabit.
"Terima kasih kepada Antabax kerana memilih mural sekolah kami. Inspirasi di sebalik lukisan kami datang daripada tanah air kita yang aman damai.
"Lukisan ini menggambarkan lima orang kanak-kanak daripada pelbagai bangsa berganding bahu mengamalkan tabiat kebersihan diri yang baik dan semangat 1Malaysia yang sihat dan ceria.
"Hasil wang kemenangan ini sudah tentu akan banyak membantu pelajar kami dalam mencipta kecemerlangan akademik," katanya.
Setiap lukisan mural dinilai dua pensyarah dari Universiti LimKokWing iaitu Lum Weng Wah dan Harris Hassan, yang turut memberi input artistik dalam memilih mural paling berkesan.
Menurut Weng Wah, penilaian dibuat berdasarkan kreativiti dan penyampaian mesej amalan kebersihan diri paling berkesan.
"Bukan mudah memilih lukisan mural yang terbaik memandangkan penyertaan sekolah-sekolah yang bertanding dari seluruh negara berkualiti tinggi.
"Ternyata Malaysia mempunyai ramai bakat muda dalam seni," katanya.

Flos gigi anda

SESEORANG yang mengalami sakit gigi akibat gigi berlubang datang berjumpa doktor gigi untuk rawatan. Selepas pemeriksaan rapi, doktor gigi menerangkan bahawa masalah berpunca daripada kurangnya kebersihan gigi.
"Gigi anda tidak bersih", kata doktor gigi. Pesakit itu kelihatan bingung dan menjawab: "Tetapi saya memberus dua kali sehari setiap hari".
Inilah yang sering difikirkan apabila kita menyebut mengenai kebersihan gigi. Hanya dengan memberus gigi.
Apa yang perlu difahami ialah kebersihan gigi tidak tertakluk kepada memberus gigi sahaja. Kebersihan gigi melibatkan memberus, memflos dan berkumur. Gigi anda akan hanya separa bersih sekiranya anda tidak melakukan ketiga-tiga kaedah tersebut.
Apabila anda memberus, anda akan terlepas banyak sisa makanan yang akan menjadi semakin bertambah di dalam mulut. Tidak ada berus gigi yang direka untuk mencapai setiap sudut di dalam mulut. Di kawasan tersebut, sisa makanan dan plak akan terus bertambah dan seterusnya menyebabkan lubang atau pereputan.
Selain daripada memberus, anda juga harus memflos gigi setiap hari. Mengapa? Kerana memflos akan menanggalkan plak dan sisa makanan di kawasan yang tidak dicapai berus gigi. Pertambahan plak akan membawa kepada penyakit gusi atau pereputan gigi menjadikan aktiviti memflos sebagai sesuatu yang penting. Sekiranya anda memflos sebaik saja selepas memberus gigi, anda akan mendapati gusi dan gigi anda menjadi lebih sihat.
Apabila anda meneliti flos yang digunakan, terdapat dua jenis - nilon dan filamen tunggal. Anda boleh mendapatkan nilon yang bersalut lilin atau tidak. Flos nilon diperbuat daripada beberapa lembaran nilon menjadikan ia mudah putus dan koyak sekiranya terperangkap di celah gigi yang tajam. Meskipun flos filamen tunggal lebih mahal daripada nilon, ia lebih mudah dilalukan di celah-celah gigi terutamanya di kawasan yang sempit. Tidak seperti nilon, flos filamen tunggal sukar untuk koyak atau putus.
Tidak kira apa jenis flos yang anda pilih, asalkan anda memflos dengan kerap, kaedah ini akan menanggalkan sisa makanan dari gigi dan gusi. Sekiranya anda tidak pernah memflos sebelum ini, anda mungkin akan terkejut betapa banyak sisa makanan yang mampu dibuang dengan memflos.
Berkumur (dengan ubat kumur) adalah sama penting seperti memberus dan memflos untuk mencapai kawasan yang sukar dicapai oleh flos ataupun berus gigi yang paling kecil.
Sisa makanan akan mendap di celah gigi dan pada celahan gingival yang menjadikan berkumur penting. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa terdapat celahan gingival sedalam tiga milimeter yang boleh menjadi kawasan mendapan sisa makanan termasuklah nasi goreng, jus, tappanyaki, spagetti dan sebagainya. Celahan gingival ini boleh dibersihkan dengan berkumur.
Akhir sekali, sekiranya anda mahukan gigi anda kekal lama, berhati-hati dengan teknik memberus yang anda gunakan. Terdapat perbezaan nyata antara memberus dengan mata tertutup dan memberus dengan berhati-hati dengan memastikan kedudukan berus mengenai kawasan yang sukar dicapai. Anda perlu lebih berhati-hati sekiranya anda memiliki gigi yang kurang teratur kerana terdapat lebih banyak kawasan yang sukar dicapai.
Sekiranya anda hanya memberus selama ini, sudah tiba masanya untuk memflos dan berkumur untuk memastikan gigi dan gusi anda sihat. Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan rutin (setiap 6 bulan) dengan pakar pergigian. Namun begitu terpulang kepada anda untuk melakukan penjagaan di rumah dengan memberus, memflos dan berkumur. Siapa kata gigi anda mesti reput apabila anda tua? Sesetengah haiwan masih memiliki gigi sempurna selepas mereka mati.
n DR . FAIZ KHALEED merupakan jurucakap bagi kempen Oral-B, "Complete Care for a Confident Smile".