SESEORANG yang mengalami sakit gigi akibat gigi berlubang datang
berjumpa doktor gigi untuk rawatan. Selepas pemeriksaan rapi, doktor
gigi menerangkan bahawa masalah berpunca daripada kurangnya kebersihan
gigi.
"Gigi anda tidak bersih", kata doktor gigi. Pesakit itu kelihatan
bingung dan menjawab: "Tetapi saya memberus dua kali sehari setiap
hari".
Inilah yang sering difikirkan apabila kita menyebut mengenai kebersihan gigi. Hanya dengan memberus gigi.
Apa yang perlu difahami ialah kebersihan gigi tidak tertakluk kepada
memberus gigi sahaja. Kebersihan gigi melibatkan memberus, memflos dan
berkumur. Gigi anda akan hanya separa bersih sekiranya anda tidak
melakukan ketiga-tiga kaedah tersebut.
Apabila anda memberus, anda akan terlepas banyak sisa makanan yang
akan menjadi semakin bertambah di dalam mulut. Tidak ada berus gigi
yang direka untuk mencapai setiap sudut di dalam mulut. Di kawasan
tersebut, sisa makanan dan plak akan terus bertambah dan seterusnya
menyebabkan lubang atau pereputan.
Selain daripada memberus, anda juga harus memflos gigi setiap hari.
Mengapa? Kerana memflos akan menanggalkan plak dan sisa makanan di
kawasan yang tidak dicapai berus gigi. Pertambahan plak akan membawa
kepada penyakit gusi atau pereputan gigi menjadikan aktiviti memflos
sebagai sesuatu yang penting. Sekiranya anda memflos sebaik saja
selepas memberus gigi, anda akan mendapati gusi dan gigi anda menjadi
lebih sihat.
Apabila anda meneliti flos yang digunakan, terdapat dua jenis -
nilon dan filamen tunggal. Anda boleh mendapatkan nilon yang bersalut
lilin atau tidak. Flos nilon diperbuat daripada beberapa lembaran nilon
menjadikan ia mudah putus dan koyak sekiranya terperangkap di celah
gigi yang tajam. Meskipun flos filamen tunggal lebih mahal daripada
nilon, ia lebih mudah dilalukan di celah-celah gigi terutamanya di
kawasan yang sempit. Tidak seperti nilon, flos filamen tunggal sukar
untuk koyak atau putus.
Tidak kira apa jenis flos yang anda pilih, asalkan anda memflos
dengan kerap, kaedah ini akan menanggalkan sisa makanan dari gigi dan
gusi. Sekiranya anda tidak pernah memflos sebelum ini, anda mungkin
akan terkejut betapa banyak sisa makanan yang mampu dibuang dengan
memflos.
Berkumur (dengan ubat kumur) adalah sama penting seperti memberus
dan memflos untuk mencapai kawasan yang sukar dicapai oleh flos ataupun
berus gigi yang paling kecil.
Sisa makanan akan mendap di celah gigi dan pada celahan gingival
yang menjadikan berkumur penting. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa
terdapat celahan gingival sedalam tiga milimeter yang boleh menjadi
kawasan mendapan sisa makanan termasuklah nasi goreng, jus, tappanyaki,
spagetti dan sebagainya. Celahan gingival ini boleh dibersihkan dengan
berkumur.
Akhir sekali, sekiranya anda mahukan gigi anda kekal lama,
berhati-hati dengan teknik memberus yang anda gunakan. Terdapat
perbezaan nyata antara memberus dengan mata tertutup dan memberus
dengan berhati-hati dengan memastikan kedudukan berus mengenai kawasan
yang sukar dicapai. Anda perlu lebih berhati-hati sekiranya anda
memiliki gigi yang kurang teratur kerana terdapat lebih banyak kawasan
yang sukar dicapai.
Sekiranya anda hanya memberus selama ini, sudah tiba masanya untuk
memflos dan berkumur untuk memastikan gigi dan gusi anda sihat. Anda
dinasihatkan menjalani pemeriksaan rutin (setiap 6 bulan) dengan pakar
pergigian. Namun begitu terpulang kepada anda untuk melakukan penjagaan
di rumah dengan memberus, memflos dan berkumur. Siapa kata gigi anda
mesti reput apabila anda tua? Sesetengah haiwan masih memiliki gigi
sempurna selepas mereka mati.
n DR . FAIZ KHALEED merupakan jurucakap bagi kempen Oral-B, "Complete Care for a Confident Smile".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.jpg)
No comments:
Post a Comment