Saturday, November 13, 2010

Penuaan dan kemerosotan mitokondria

LEBIH 200 jenis penyakit keturunan mempunyai hubungkait dengan fungsi mitokondria yang telah rosak termasuklah kebanyakan penyakit penuaan yang paling biasa seperti penyakit Alzheimer, kencing manis, kanser, jantung, Parkinson dan angin ahmar. Mitokondria mempunyai kaitan dengan hampir setiap proses penting dalam sel.

Penyelidik di Institut Penuaan Kebangsaan Baltimore, Rafael de Cabo, menerangkan mengapa anda boleh mengesan hampir sebarang keadaan yang mempunyai hubungan dengan keseimbangan tenaga. Misalnya, penyakit kencing manis atau sarkopenia (sejenis penyakit yang kemerosotan otot).

Mitokondria ialah “loji janakuasa” sel-sel dalam badan. Ia merupakan struktur halus yang terdapat dalam setiap sel dan ia bertindak sebagai relau atau dapur leburan yang mengeluarkan sebahagian besar tenaga yang digunakan oleh badan. Kebanyakan sel dalam badan manusia mengandungi kira-kira 500 hingga 2,000 mitokondria.

Mitokondria merupakan pembentukan agak luar biasa di kalangan struktur yang terdapat dalam sel sebab ia mempunyai gennya sendiri iaitu DNA-nya sendiri (semua DNA lain dijumpai dalam nukleus sel). DNA Mitokondria (mtDNA) lebih berkemungkinan akan rosak dalam menjalankan kegiatan kehidupan harian kita.

Sebagai jentera untuk mengeluarkan tenaga, kecekapan mitokondria adalah amat menakjubkan. Daripada oksigen yang digunakan oleh sel-sel biasa, Mitokondria dengan bantuan Koenzim Q10 (CoQ10), akan menukarkan 95 peratus daripada oksigen itu untuk mengubah makanan iaitu lemak-lemak dan karbohidrat menjadi bahan bakar kimia yang dikenali sebagai adenosine triphosphate atau ATP. Ini bermakna setiap kali kita bernafas, kita memberi lonjakan tenaga kepada sel kita.

Dalam pada itu, setiap kali mitokondria mengeluarkan tenaga, pada masa yang sama ia juga mengeluarkan radikal bebas yang amat merosakkan dan mestilah dihapuskan (dineutralkan) dengan segera sebelum ia dapat melakukan sebarang kerosakan. Radikal bebas ini, jika tidak dineutralkan, boleh menyebabkan kerosakan yang dahsyat kepada setiap bahagian mitokondria, termasuk membran-membrannya dan DNA. Membran mitokondria merupakan kunci bagi pengeluaran tenaga. Jika membran itu rosak, maka kurang tenaga akan dikeluarkan dan toksin akan mula mengumpul yang akhirnya akan merosakkan sel-sel itu. Sekiranya banyak sel yang rosak, ini akan mengganggu kefungsian organ berkenaan. Untuk mencegah kerosakan angkara radikal bebas, sel-sel menggunakan sekumpulan antioksidan. Satu gabungan antara Asid Alfa Lipoik (ALA) dan Acetyl L-Carnitine (ALCAR) boleh membantu mengurangkan kerosakan mitokondria oleh radikal bebas di samping menjaga fungsi mitokondria dalam semua sel.

Kesihatan jantung

I) Acetyl L-Carnitine (ALCAR)

Acetyl L-Carnitine (ALCAR) merupakan unsur semula jadi bagi membran dalaman mitokondria, terutama sekali dalam jantung, otak, dan otot-otot. Oleh itu untuk mengekalkan kesihatan optimum bagi jantung, daya pemikiran (kognitif) dan fungsi daya ingatan (memori), kita perlu pastikan kita mempunyai ALCAR yang mencukupi dalam badan kita. Oleh kerana paras ALCAR merosot apabila kita semakin tua, maka mengambil suplemen ALCAR adalah penting; di samping itu ia juga membantu mengembalikan semula fungsi mitokondria.

Satu lagi fungsi ALCAR yang amat penting ialah keupayaannya membakar asid-asid lemak (lemak) untuk ditukarkan menjadi tenaga. ALCAR terbabit dalam pengangkutan asid-asid lemak yang berantai panjang memasuki Mitokondria untuk ditukarkan menjadi tenaga oleh Koenzim Q10. Kefungsian jantung akan terjejas sekiranya jantung mengalami kebuluran sumber bahan bakar utamanya, iaitu lemak. Jika anda mengambil ALCAR, anda akan menambah baik pengangkutan, dengan itu lebih banyak asid lemak boleh dibawa masuk ke dalam mitokondria untuk digunakan dengan lebih cekap bagi menyokong kefungsian jantung.

II) Asid Alfa Lipoik (ALA)

Asid Alfa Lipoik merupakan sejenis anti oksidan yang amat mujarab dan ia membantu meneutralisasikan radikal bebas yang dijanakan sebagai produk sampingan pengeluaran tenaga. Kajian mendapati dengan menggunakan ALA akan menurunkan secara mendadak tekanan oksidatif (kerosakan radikal bebas) di dalam jantung. Jika anda menurunkan tekanan oksidatif, anda akan mengurangkan kerosakan ke atas mitokondria. Oleh itu, mengambil suplemen ALA membantu melindungi mitokondria daripada kerosakan radikal bebas.

Daya ingatan dan pemikiran

Gabungan antara ALA dan ALCAR membantu memperbaiki prestasi daya ingatan dan daya pemikiran (kognitif) pada orang dewasa yang lebih tua. Ini juga melibatkan mitokondria. Terdapat bukti bahawa mitokondria dalam otak adalah amat penting dalam kefungsian daya ingatan dan daya pemikiran kerana ia mengeluarkan tenaga serta kesannya terhadap kerosakan radikal bebas.

Komponen acetyl dalam Acetyl L-Carnitine dikaitkan dengan pembentukan pemancar neuro (neurotransmitter) acetylcholine. Acetyl L-Carnitine menyumbang terhadap pengeluaran pemancar neuro acetylcholine, sejenis sebatian yang dipercayai dapat mempengaruhi fungsi mental. Kepincangan fungsi metabolisme acetylcholine dalam otak, yang membawa kepada ketakcukupan, adalah dipercayai mempunyai kaitan dengan dementia akibat penuaan, sebagaimana penyakit Alzheimer.

Kepincangan fungsi mitokondria dikaitkan dengan beberapa demensia akibat penuaan seperti penyakit Alzheimer dan Parkinson. Kedua-dua ALA dan ALCAR dapat melintasi halangan darah otak, dengan itu dapat memberi manfaat kepada otak.

Walaupun ALA dan ALCAR berfungsi secara berlainan tetapi jika bertindak bersama, ia dapat mengawasi tekanan oksidatif dan kemerosotan pengeluaran tenaga yang berlaku dalam proses penuaan, maka dengan itu membolehkan jantung dan otak berfungsi dengan lebih baik.

Acetyl L-Carnitine, Asid Alfa Lipoik dan Koenzim Q10

Peranan CoQ10 dalam pengeluaran tenaga (ATP) telah pun diketahui dengan mantap. Tanpa CoQ10, mitokondria tidak dapat mencipta tenaga. Walaupun Acetyl L-Carnitine boleh mengangkut asid-asid lemak ke dalam mitokondria untuk dibakar menjadi tenaga, CoQ10 adalah diperlukan untuk menukar asid-asid lemak itu menjadi tenaga. Oleh itu, kedua-duanya akan bekerja bersama secara bersinergi dalam mengeluarkan tenaga.

CoQ10, sejenis anti oksidan yang amat berkuasa terletak secara strategik pada mitokondria betul-betul di tempat di mana radikal bebas itu dijanakan. Ini terbukti dapat mencegah kerosakan terhadap membran-membran mitokondria dan mtDNA, yang mungkin secara langsung akan mengurangkan pengeluaran tenaga. Dari segi ini, Koenzim Q10 melengkapi tindakan ALA yang juga merupakan satu lagi jenis anti oksidan yang sangat berkuasa.

No comments: