Sunday, September 12, 2010

Hormon dalam lelaki

Banyak e-mel yang dihantar kepada saya datangnya daripada kaum lelaki bertanyakan teknik rawatan estetik yang sesuai bagi meningkatkan penampilan kaum Adam berusia 40-an ke atas. Di zaman ini usia 40-an melambangkan kematangan dan kestabilan kehidupan.

Gaya hidup aktif membuatkan kita mahu meningkatkan penampilan dan juga stamina diri. Bagi saya penampilan yang muda dan bergaya haruslah sejajar dengan peningkatan kualiti kesihatan. Kini umum sudah mengetahui bahawa apabila usia mula meningkat maka pelbagai penyakit seperti darah tinggi kencing manis jantung dan kanser turut meningkat. Oleh kerana fenomena ini sangat serius dan mengancam nyawa maka kita seharusnya menyekat kehadirannya sebelum ia berlaku. Bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati.

Dalam bidang perubatan anti penuaan masalah dikesan dan dihindari sebelum terjadi. Dengan kata lain doktor mengesan dan merawat sebelum terjadinya penyakit. Konsep ini sebenarnya ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Jika seseorang yang berusia 40-an mengadu keletihan dan kekurangan tenaga maka doktor perlu mengadakan pemeriksaan paras hormon dalam darah dan mengesyorkan terapi ozon dan anti oksida di samping penambahan hormon. Ia dilakukan bagi mengaktifkan kelenjar hormon dalam badan.

Apakah rawatan yang sesuai dilakukan oleh kaum Adam bagi mendapatkan semula kulit wajah yang tampak segar dan muda?

Lelaki dan wanita mempunyai kulit yang berbeza. Ini kerana kulit manusia dipengaruhi oleh hormon. Hormon testeron mempengaruhi kulit lelaki manakala hormon estrogen mempengaruhi kulit wanita.

Kulit lelaki mempunyai elastin dan kolagen yang lebih banyak dari kulit wanita. Ini menyebabkan kulit mereka 20 peratus lebih tebal dan anjal serta tahan kepada kerosakan matahari berbanding kulit wanita. Sebab itulah wanita lebih menunjukkan garis-garis halus berbanding dengan lelaki yang seusia dengannya. Namun begitu , semakin berusia kulit lelaki menjadi semakin nipis , manakala kulit wanita tidak berubah ketebalannya.

Berbanding dengan kulit wanita, kulit lelaki mempunyai pori-pori kulit yang lebih besar, kelenjar sebum yang lebih aktif dan saluran darah lebih banyak. Oleh itu kulit lelaki kelihatan lebih kasar, lebih berpeluh dan berminyak. Lelaki yang mempunyai banyak bulu muka dan suka bercukur akan hilang satu lapisan hidrolitik di permukaan kulit menyebab kan kulit menjadi lebih sensitif. Kesan bercukur yang bertahun-tahun menyebabkan kulit kusam dan pori-pori menjadi luas.

Pengaruh hormon kepada lelaki

Hormon yang penting bagi lelaki adalah

1)Testosteron

Merupakan salah satu daripada hormon seks yang penting bagi kesejahteraan lelaki. Ia meningkatkan mood dan memberi rasa segar kepada lelaki. Lelaki yang mempunyai hormone testosteron yang cukup mempunyai tubuh yang segar dan sasa. Tanpa testosteron kulit juga mula berkedut dan menjadi kecut.

Testosteron menjaga kelenjar prostat pada lelaki agar menjadi kekal sihat dan tanpanya kelenjar ini menjadi bengkak. Keadaan ini dipanggil Benign Prostatic Hyperplasia dan jika tidak dijaga akan berubah menjadi sel kanser yang menakutkan. Mereka yang mengalami masalah prostat akan mendapat jangkitan pada pundi kencing dan juga masalah kencing tidak lawas.Lelaki yang mengidapi masalah ini pastinya akan resah kerana sering terganggu akibat panggilan ke bilik air yang terlalu kerap.

Kekurangan testosteron mengakibatkan nafsu keupayaan seks terganggu. Nafsu seks dipengaruhi secara langsung oleh hormon testosteron. Hormon tersebut juga menjadikan tubuh lelaki tegap dan sasa. Tanpanya tubuh akan mula mengecut dan menjadi tidak stabil.

Hormon testosteron turut merangsang mood dan minda seorang lelaki. Lelaki yang kurang testosteron akan sering berdebar-debar, berasa resah dan cepat marah.

Dari segi kesuburan pula hormon ini mempunyai kesan terus ke atas sel-sel leydig dan sertoli pada testis bagi menghasilkan sperma. Apabila kurang testosteron maka tahap kesuburan lelaki juga akan turun. Testosteron banyak mempengaruhi darah kita. Seorang lelaki yang paras testosteronnya baik akan mempunyai tahap kolestrol yang baik. Kekurangan testosterone menjadikan tahap kolestrol dalam badan bertambah.

Dari segi rupa paras pula seseorang yang tidak cukup testosteron akan tampak tua. Kulitnya lebih berkedut berbanding mereka yang cukup testosteron. Penampilan mereka juga akan tampak murung dan kurang yakin. Apabila mendapat testosteron yang cukup seseorang menjadi lebih yakin dan perubahan yang menakjubkan dapat dilihat.

Bentuk tubuh seseorang yang kurang testosteron kelihatan agak menggeleber. Perutnya agak besar dan buncit manakala lemak pula mudah berkumpul. Ini membuatkan lelaki menjadi kurang keyakinan diri dan tenaga pula merosot.

Ujian darah

Ujian darah boleh di lakukan bagi meneliti tahap hormon dalam tubuh seseorang lelaki. Bagi saya ujian ini bagus kerana ia boleh memberikan gambaran sebaik mana peningkatan yang dapat dicapai apabila terapi dibuat.

Ia juga dapat membantu mengesan kekurangan yang ketara dan dapatlah kita memberi perhatian segera terhadap masalah yang dihadapi oleh seseorang.

Contohnya

Hisham berusia dalam lingkungan 55 tahun. Beliau sangat prihatin dalam soal penjagaan kesihatan, tidak merokok dan rajin bersenam. Beliau hairan apabila disahkan oleh doktor menghidap kencing manis. Walaupun berat badannya ideal dan jarang mengambil gula dalam makanan, namun beliau mendapat penyakit kencing manis.

Sejak akhir-akhir ini beliau berasa sangat letih dan lesu. Wajahnya juga tampak tua dan layu. Beliau juga berasa murung dan mudah bosan dalam aktiviti seharian. Menurut rekod pemeriksaan doktor, paras gula di dalam darahnya adalah normal kerana beliau mengamalkan memakan ubat kencing manis mengikut arahan dan menjaga pemakanan.

Ujian darah menunjukkan beliau mengalami masalah hormon yang rendah. Bukan saja paras hormon insulin rendah namun hormon-hormon lain juga juga telah merosot. Setelah menjalani terapi barulah dia merasa bertenaga semula dan semakin bersemangat menjalani kehidupan. Setelah terapi penambahan hormon dibuat ternyata perubahan yang menakjubkan berlaku. Bukan sahaja paras gula di dalam badannya menjadi seimbang malah beliau juga menjadi lebih bersemangat dan bertenaga semula. Beliau tidak murung lagi dan yang hatinya berasa riang dan tenang.

"Saya bagaikan mendapat kehidupan baru yang lebih indah,'' katanya.

No comments: