Sunday, September 12, 2010

Milk thistle untuk hati sihat

Saya ada terbaca mengenai khasiat herba Milk thistle dan juga dandelion untuk kesihatan hati. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah didiagnosis penyakit hati seperti hepatitis mahupun sirosis. Soalan saya, adakah herba-herba ini boleh saya diambil memandangkan saya mempunyai masalah obesiti .

Jawapan

Obesiti dan berat badan berlebihan merupakan fenomena yang kian meningkat di kalangan masyarakat. Berat badan berlebihan sebenarnya menjadi faktor risiko kepada beberapa masalah kesihatan seperti diabetes, jantung, penyakit hati berlemak dan beberapa lagi.

Penyakit hati berlemak pernah suatu ketika dahulu dianggap sebagai penyakit orang barat. Namun disebabkan perubahan gaya hidup dan cara pemakanan, kejadiannya kini meningkat secara dramatik termasuk di Malaysia. Hati berlemak merujuk kepada pengumpulan lemak berlebihan dalam sel-sel hati. Ia boleh disebabkan oleh pengambilan alkohol berlebihan atau juga akibat masalah metabolik seperti obesiti, glukosa atau paras lemak darah yang tidak normal.

Kajian juga mendapati sindrom metabolik di kalangan penghidap hati berlemak bukan alkohol berkait dengan berat badan berlebihan atau obesiti, terutamanya kegemukan di bahagian abdomen, paras kolesterol baik (kolesterol HDL) yang rendah, paras trigliserida yang tinggi dan intoleransi glukosa.

Hasil kajian menunjukkan bahawa silymarin, iaitu komponen yang terdapat dalam milk thistle mampu membantu memperbaiki fungsi hati dan mencegah kerosakan hati pada pesakit hati berlemak. Manakala silibin, iaitu komponen aktif dalam silymarin membantu menstabilkan membran sel terhadap bahan toksik. Sebagai anti oksida, silibin meningkatkan aktiviti enzim penentang radikal bebas dalam sel-sel tubuh, memperbaiki fungsi penyahtoksikan hati dan menggalak pemulihan hati.

Dandelion mempunyai peranan tersendiri dalam memelihara kesihatan termasuk kesihatan hati. Pengambilannya didapati membantu peningkatan aliran hempedu. Sebagai tonik umum, dandelion mempunyai bahan pembersih dan kajian menunjukkan ia memperbaiki masalah keradangan pundi hempedu, penyakit hati dengan membantu penyingkiran toksin.

No comments: