Oleh Profesor Madya Dr. Sheikh Anwar Abdullah
Fakta memang tidak berbohong: penyakit sistem penghadaman semakin meningkat saban hari dan kini menjadi 10 punca kematian paling tinggi di Malaysia. Ketahui lebih lanjut dari para pakar sistem penghadaman tentang bagaimana risiko dapat dikurangkan dan cara pengurusan kepada masalah penghadaman anda. Panel pakar kami akan cuba menjawab persoalan atau menjelaskan segala keraguan anda tentang kesihatan penghadaman. Hantarkan persoalan anda bersama dengan nama, jantina, umur, alamat dan nombor telefon ke emel: digestivehealth@versa-group.com dan faks ke: 03-5638 9909.
Kandungan artikel ini adalah sebagai panduan atau rujukan sahaja, dan tidak bertujuan menggantikan nasihat perubatan daripada doktor.
Soalan: Saya kerap mengalami sakit perut, dan didiagnosis menghidap radang pundi hempedu. Apakah punca-punca permasalahan ini? Bolehkah ia menjadi lebih buruk? Adakah pilihan lain selain menjalani pembedahan membuang pundi hempedu?
* Hasmah Latib
Pundi hempedu adalah organ kecil berhampiran dengan hati yang berperanan mencernakan makanan. Ia mengandungi bendalir penghadaman dikenali sebagai hempedu, yang disalurkan ke dalam usus kecil untuk membantu penghadaman kita.
Keradangan pundi hempedu juga dikenali sebagai Cholecystitis, dan disebabkan oleh batu karang. Batu karang akibat ketidakseimbangan dalam bahan-bahan seperti hablur garam kalsium, asid urik dan beberapa zat lain, ataupun disebabkan oleh ketidakupayaan pundi hempedu untuk mengosongkan pundi dengan betul. Batu karang kemudiannya menghalang tiub yang membawa hempedu daripada pundi hempedu, dan seterusnya menyebabkan sakit perut seperti yang anda alami. Cholecystitis juga mungkin disebabkan oleh masalah atau ketumbuhan pada salur tersebut.
Lain-lain aduan lazim tentang Cholecystitis termasuklah loya dan muntah-muntah. Ada juga yang mungkin mengalami demam, sakit teruk semasa menarik nafas yang dalam, serta kesakitan selama lebih daripada 8 jam, terutama selepas setiap hidangan.
Anda boleh merawat keradangan pundi hempedu dengan membuang batu karang tesebut, yang boleh dilakukan dengan menggunakan sejenis asid hempedu. Asid hempedu ini dipanggil asid ursodeoxycholic (ursodiol), dan digunakan untuk membantu melarutkan batu karang kolesterol dan mengurangkan gejala-gejala masalah ini. Bagaimanapun, rawatan ini hanya digunakan jika tiada tanda-tanda jangkitan seperti demam dan mengigil. Jika ianya disyaki sebagai jangkitan, antibiotik akan diberi terlebih dahulu.
Membuang pundi hempedu melalui pembedahan biasanya dicadangkan oleh pakar perubatan, apatah lagi jika anda kerap mengalami keradangan pundi hempedu. Pembedahan ini dikenali sebagai Cholecystectomy, yang menggunakan sama ada Laparoskopi (beberapa luka kecil), atau Laparotomy (pembedahan terbuka dengan insisi yang lebih besar) untuk membuang pundi hempedu.
Tanpa rawatan yang sepatutnya akan membawa kepada Cholecystitis jangka panjang atau kronik, yang berlaku apabila pundi hempedu masih bengkak dalam jangka masa panjang, menyebabkan dinding pundi hempedu untuk menjadi tebal dan keras.
SOALAN: Saya disahkan menghidap gastroenteritis akut. Apakah perbezaan gastroenteritis dan gastritis? Adakah kedua-duanya mempunyai gejala yang sama?
* Azmi Jaafar
Gastroenteritis adalah radang perut dan usus, yang mungkin disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit, yang biasanya adalah dari makanan atau air yang tercemar. Kanak-kanak mungkin juga mengalami gejala gastroenteritis disebabkan oleh tindak balas apabila menerima makanan baru. Bayi yang menyusu juga boleh bertindak balas kepada perubahan dalam diet ibu. Akhir sekali, gastroenteritis juga boleh disebabkan oleh tindak balas kepada ubat-ubatan tertentu.
Antara beberapa gejala gastroenteritis termasuklah loya atau muntah-muntah, cirit-birit, kekejangan perut, kembung, dan kadang-kadang demam.
Gastroenteritis tidak memerlukan rawatan formal. Cara terbaik dan terpantas untuk pemulihan adalah melalui penghidratan. Muntah-muntah dan cirit-birit akan menyebabkan anda kehilangan banyak air. Oleh itu penting meminum air yang mencukupi. Tidak terdapat ubat khusus untuk merawat gastroenteritis. Bagaimanapun, jika muntah- muntah, cirit-birit atau kekejangan abdomen menjadi lebih buruk, terdapat ubat untuk merawat gejala tersebut secara berasingan.
Jika gastroenteritis disebabkan bakteria tertentu dan menyebabkan dehidrasi yang teruk dan demam bersuhu tinggi serta cirit-birit berdarah, antibiotik tertentu digunakan untuk merawat di samping gantian bendalir intravena yang agresif. Mengenal pasti bakteria yang betul adalah penting, kerana menggunakan sebarang antibiotik, atau antibiotik yang salah boleh memburukkan sesetengah jangkitan, atau membuat ia bertahan lebih lama.
Sebaliknya, gastritis adalah keradangan pada lapisan perut. Gastritis biasanya dikaitkan dengan penggunaan ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAIDs) yang berpanjangan, atau sebagai hasil daripada jangkitan bakteria yang menyebabkan ulser perut, seperti H. pylori. Bagaimanapun, perkara-perkara tertentu seperti kecederaan, kokain, radiasi, ataupun minum terlalu banyak alkohol juga boleh menyumbang kepada gastritis. Dalam kes-kes yang serius, seseorang mungkin menunjukkan tanda-tanda seperti darah dalam muntah, najis hitam dan bertar, ataupun darah dalam najis.
Antara ubat yang boleh diambil termasuklah ubat antasid, histamine 2 blockers dan perencat pam proton. Nasihat percuma hubungi 03-5621 1408.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment