Saturday, October 1, 2011

Sukar mahu bebas obes

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah@utusan.com.my
Foto DJOHAN SHAHRIN SHAH

Selain senaman TRX dua kali seminggu, Jean mengawal cara pemakanannya dengan tidak memakan daging tetapi melebihkan buaha-buahan dan sayur-sayuran.

HAMPIR lima tahun, Jean Loh, 34, mencuba pelbagai kaedah untuk menurunkan berat badan, namun usahanya masih menemui jalan buntu.

Dia berdiet dan mengambil pil untuk mengurangkan berat badannya yang mencecah 86 kilogram (kg), tetapi masih tidak berubah. Dia sering rasa letih dan tidak bermaya ketika melakukan kerja harian.

Jean mula mengalami masalah berat badan selepas bergelar Pegawai Perhubungan Awam(PR) dengan syarikat Estee Lauder kira-kira enam tahun lepas. Keadaan diburukkan dengan amalan pemakanan yang tidak sihat sepanjang tempoh berkenaan.

"Ketika melakukan pemeriksaan kesihatan, doktor nasihatkan saya supaya turunkan berat badan bagi mengelak menghidapi penyakit lain yang teruk.

"Sejak itu saya terfikir untuk menurunkan berat badan. Kebetulan pekerjaan saya banyak melibatkan orang lain. Penampilan adalah aspek penting untuk memastikan saya berasa yakin berkomunikasi dengan orang lain," katanya.

Sehinggalah pada awal tahun lepas dia mengambil keputusan untuk bersenam di gim dalam usaha menguruskan berat badannya.

Seorang rakan mengesyorkan senaman latihan penuilan (daya tuil) berat badan yang dikenali TRX. Jean berjaya menurunkan berat badan sebanyak 24 kilogram dalam tempoh setahun.

"Melalui TRX, saya dapat memperbaiki stamina badan dan otot-otot saya lebih fleksibel. Pertama kali melakukan TRX, seluruh badan saya terasa sakit. Bayangkan saya sudah lama tidak bersenam dan tiba-tiba melakukan TRX, memang memberi kesan.

''Namun lama-kelamaan badan saya sudah biasa apatah lagi saya memperuntukan dua kali seminggu untuk ke Chi Fitness, Pusat Membeli-belah Bangsar (BSC) untuk mengikuti latihan TRX.

''Hampir setahun mengikuti kelas ini, saya lebih bertenaga dan tidak cepat penat walaupun kerja lebih masa. Kawan-kawan juga terkejut dengan perubahan berat badan saya sehingga ada yang tak kenal saya lagi.

''Masalah selalu penat dan tak bertenaga juga sudah hilang. Saiz baju yang saya pakai dulu XL juga dah bertukar jadi M," katanya.

Pembahagian masa

Ditanya tentang pembahagian masa kerja dan latihan, Jean berpendapat, ia sebenarnya bergantung kepada individu.

Pada awalnya, dia sendiri seperti tidak menyangka berjaya mengikut jadual tetapi disebabkan azam bebas obesiti, dia nekad mahu melakukannya.

"Saya akui bertugas sebagai PR memerlukan pengorbanan masa di tempat kerja. Apa yang saya lakukan ialah, siapkan semua kerja lebih awal setiap hari Rabu dan Jumaat. Sekiranya kita berusaha melakukannya, tiada yang mustahil. Akhirnya, saya sudah biasa dengan jadual itu. Malah saya tidak pernah berasa letih tetapi lebih segar pada keesokan harinya,'' katanya.

Makanan sihat

Jean berkata, stigma kebanyakan masyarakat yang menganggap senaman sudah cukup untuk kurus perlu dibuang jauh.

Sebenarnya memilih makanan sihat juga penting sebagai pelengkap proses diet.

Katanya, jika dahulu dia cintakan makanan daging tetapi kini kegemaran tersebut dibuang jauh-jauh. Seorang rakan pernah memberitahu, tiada jalan mudah untuk memiliki berat badan yang ideal. ''Saya kena menikmati makanan sihat seperti makanan laut masak stim dan mengurangkan pengambilan karbohidrat terutamanya pada waktu malam.

''Dalam kamus diet saya juga tiada istilah makanan ringan dan daging termasuk ayam dan lembu," ujarnya,

Tambah Jean, adalah penting bagi orang ramai menyedari bahawa untuk menguruskan badan dan hidup secara sihat bukanlah sesuatu yang mudah. Sebaliknya ia memakan masa yang panjang dan perancangan yang baik.

Dalam pada itu, Jean terlibat dalam menguruskan Kempen Kesedaran Kanser Payu Dara anjuran Estee Lauder sepanjang Oktober ini yang telah bermula 27 September lalu di Chi Fitness, BSC.

Jean menggalakkan orang ramai untuk menyokong kempen ini dengan membeli Pasport Pink Estee Lauder bernilai RM50 mengandungi nilai diskaun, tawaran dan hadiah istimewa.

Estee Lauder juga akan mengadakan Kempen Kesedaran Kanser Payu Dara dengan menyaksikan bangunan Pavilion, Menara Kuala Lumpur dan Sultan Abdul Samad berwarna pink pada 14 Oktober depan.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari www.elcbca.com.my

No comments: