Sunday, April 18, 2010

Tidur & sarapan rahsia kekal cergas

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SIBUK berkerja hingga tiada masa untuk berehat? Apabila tiba malam, mata sukar terlelap dan keesokan harinya, anda terpaksa bangun awal. Namun, anda bangun lewat dan tidak sempat bersarapan. Sampai sahaja di pejabat, anda terus memulakan tugasan. Masuk waktu tengah hari anda sudah berasa letih. Ini menyebabkan anda tidak bersemangat membuat kerja.

Berdasarkan kajian berkenaan tekanan yang dijalankan pada akhir tahun lalu oleh jenama produk tenusu, Magnolia, 63 peratus daripada responden yang terdiri daripada orang dewasa muda Malaysia yang tinggal di kawasan bandar di Semenanjung Malaysia selalunya tidur selepas pukul 12 tengah malam. Manakala 55 peratus daripada mereka sentiasa terasa letih sepanjang masa. Kajian yang sama juga menunjukkan bahawa 73 peratus daripada mereka memerlukan rangsangan tenaga untuk menghadapi cabaran harian.

Tidur yang berkualiti dan sarapan berkhasiat kurang diambil berat oleh para pemuda yang bekerja disebabkan oleh jadual harian mereka yang sibuk.

Memahami trend kehidupan di kalangan orang muda Malaysia yang membimbangkan ini, Magnolia baru-baru ini melancarkan kempen gaya hidup 'Selamat malam, Selamat pagi (Good Night, Good Morning). Menerusi usaha ini, jenama produk tenusu yang mantap ini menyeru golongan muda yang sentiasa bekerja untuk menggalakkan mereka mempertingkatkan produktiviti dan merasa cergas sepanjang hari. Caranya mudah iaitu tidur nyenyak yang mengembalikan tenaga pada waktu malam dan sarapan yang berkhasiat pada waktu pagi.

Menurut pakar panel kempen ini, Dr. Edward Chan, yang juga adalah Perunding Psikologi Prinsipal untuk Persatuan Psikologi Malaysia (www.psychology.com.my), dan salah satu daripada ahli pengamal Malaysia Association of Psychotherapy, rehat yang optimum pada waktu malam dan makanan yang berkhasiat pada waktu pagi merupakan cara terbaik untuk menyediakan diri untuk menghadapi cabaran akan datang.

Malangnya golongan muda cuba mencapai sebanyak yang mungkin setiap hari demi kerja dan persaingan. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kebanyakan mereka terpaksa menanggung terlalu banyak tanggungjawab demi menyara diri dan keluarga mereka. Kadang-kala, beban ini ditambah pula dengan hubungan yang tidak menggembirakan dan kesesakan lalu lintas setiap hari.

"Tanpa perlu dijelaskan lagi, golongan muda yang bekerja kini hidup dengan bebanan tekanan dan kerisauan yang membimbangkan. Ini merupakan faktor utama gangguan tidur pada waktu malam," kata beliau.

Dr. Chan menerangkan tanpa rehat yang mencukupi pada waktu malam, seseorang akan merasa pening dan terganggu sepanjang hari. Emosi pula akan menjadi tidak stabil dan sukar membuat pertimbangan yang jelas. Akhirnya, mereka mungkin akan melakukan pelbagai kesilapan dan ini hanya akan menambah tekanan dan turut memberi kesan yang lebih serius untuk tidur pada waktu malam.

Selain daripada tidur yang optimum, sarapan pagi yang penuh berkhasiat juga penting untuk meningkatkan tahap tenaga dan produktiviti seseorang.

"Malangnya, tekanan akan menjejaskan selera makan dan menyebabkan orang tergesa-gesa pada waktu pagi. Akibatnya, ramai orang yang bekerja tidak bersarapan tanpa menyedari bahawa tabiat ini membawa keburukan kepada produktiviti harian. Tanpa sarapan, anda akan berasa cepat letih dan tidak selesa sepanjang hari. Ini akan memburukkan lagi keadaan saraf yang sentiasa keletihan dan seterusnya menjejaskan tidur anda sekali lagi," terang beliau.

Dr. Chan juga mengingatkan bahawa tekanan yang tidak terkawal akan menjejaskan kesihatan fizikal dan mental, termasuklah gangguan kardiovaskular, gangguan makanan dan penghadaman, kemahiran sosial yang terganggu dan juga mengurangkan libido.

Kempen gaya hidup Magnolia ini disasarkan kepada golongan muda bekerja dengan menjemput mereka mencuba susu ini. Selain daripada sampel susu, Magnolia turut mengedarkan risalah gaya hidup yang menarik, menampilkan sesi soalan lazim mengenai tekanan untuk membantu mereka yang bekerja untuk mengenal pasti tahap tekanan mereka di samping memberikan maklumat akan cara mengurangkan tekanan berdasarkan keputusan soalan lazim mereka.

Menurut Pengurus Jenama Magnolia, F&N Dairies (M) Sdn Bhd, Liew Ching Ching, untuk membantu golongan muda yang bekerja supaya dapat mengawal tahap tekanan mereka dan kekal bertenaga, Magnolia menggalakkan dua tabiat gaya hidup yang mudah.

Pertama, mengoptimumkan masa tidur pada waktu malam dan makan sarapan yang berkhasiat pada waktu pagi untuk memulakan hari mereka.

Susu lemak rendah Magnolia Good Night mengandungi laktium, sejenis protein susu yang unik, diperkembangkan dari Perancis, mempunyai fungsi untuk merehat dan menenangkan saraf supaya badan bersedia untuk tidur dengan lena dan nyenyak.

Selepas tidur nyenyak pada waktu malam, bermula dengan pagi yang segar. Walau bagaimanapun, permulaan hari yang segar tidak akan lengkap sekiranya kekurangan rangsangan yang berkhasiat. Maka, sarapan berkhasiat diambil bersama susu Magnolia Good Morning mungkin dapat mengekalkan kecergasan dan lebih bertenaga. Diperkuatkan dengan segala nutrien yang sesuai, susu ini mampu meningkatkan tahap tenaga anda untuk sepanjang hari," tambah Liew.

Apa kata mereka

Penyampai radio Fly FM, Ben

"Percayalah, saya tahu bagaimana rasanya memulakan hari dengan pagi yang tidak baik akan merosakkan seluruh hari anda. Tambahan pula, hari saya bermula lebih awal berbanding dengan orang lain, maka saya akan menderita lebih sekiranya saya rasa tidak selesa sepanjang hari! Oleh itu, sebelum saya pergi kerja setiap pagi, saya akan mengambil sarapan yang mengenyangkan dan meningkatkan tenaga. Bagi saya, itulah yang terbaik untuk mood saya."

Tuesday, April 13, 2010

Lelaki Malaysia menderita dalam senyap

Oleh Zuhayati yazid

"Tidak malam ini sayang, saya letih di pejabat.'' Mungkin ungkapan ini biasa diucapkan oleh isteri kepada suami. Bagaimana pula jika ucapan sama keluar dari mulut lelaki yang bergelar suami yang kehilangan perasaan keintiman.

Mungkin apa yang terfikir hanya keletihan atau tekanan menjadi faktor penyebab kelembapan rangsangan seksual.

Namun ia sebenarnya turut dikaitkan dengan faktor kesihatan, emosi dan gaya hidup seseorang yang amat berkait dengan kesihatan seksual.

Berbanding topik penjagaan kesihatan lain seperti amalan gaya hidup sihat, senaman dan pemakanan seimbang, topik ini amat jarang diperkatakan.

Selain kurang kesedaran mengenainya rasa malu dan ego adalah penyebab utama kenapa ia jarang dibincangkan.

Tetapi hakikatnya, kini semakin ramai lelaki di Malaysia sedang menderita dalam senyap.

Bagi masyarakat Asia, adalah sesuatu yang amat mengaibkan untuk memperkatakan tentang masalah seksualsecara terbuka kerana takut digelar 'tidak sempurna'. Ini kerana banyak beranggapan 'kejantanan' lelaki terletak pada kehebatan mereka di atas katil.

Justeru, untuk tidak berasa malu atau dimalukan golongan adam ini lebih rela menderita dalam diam.

Bukan kerana kesakitan yang mudah dikesan melalui pandangan orang lain tetapi masalah yang terlalu sulit sehingga menjejaskan semangat dan keyakinan diri empunya badan.

Apa yang dimaksudkan itu adalah masalah berkaitan keupayaan biologi anggota sulit yang dipanggil disfungsi erektil (ED) atau lebih dikenali dengan mati pucuk.

Menurut Pakar Urologi Universiti Hertfordshire, London, Profesor Michael Kirby, lemah tenaga batin dikaitkan sebagai ketidakupayaan yang berterusan untuk mencapai atau mengekalkan ketegangan yang secukupnya bagi menghasilkan satu aktiviti seks yang memuaskan.

''Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan akan membawa kepada kesan yang bahaya pada diri lelaki tersebut,'' katanya.

Terangnya, permasalahan ini sebenarnya berlaku akibat daripada gangguan vaskular yang menjejaskan bekalan darah ke zakar.

Perjalanan darah boleh terganggu akibat pengerasan arteri (arteriosclerosis), diabetes, tekanan darah tinggi atau tahap kolestrol dalam darah yang luar biasa tingginya.

Katanya lagi, diabetes adalah satu-satunya masalah utama yang boleh dikaitkan dengan lemah tenaga batin.

''Kesan penyakit yang dihadapi itu akan menyebabkan mangsa mengalami penyakit ED,'' katanya.

Peratusan pesakit diabetes yang mengalami mati pucuk adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki biasa.

''Ini kerana mereka yang mengalami diabetes cenderung mengalami kerosakan saraf dan risiko kerosakan saraf akan semakin meningkat seiring dengan jangka masa seseorang itu mengidap diabetes.

''Kerosakan saraf turut menjejaskan pengaliran darah ke bahagian anggota badan yang boleh menyumbang kepada keletihan, selain menjejaskan keupayaan ereksi atau mengekalkan ereksi lelaki,'' terangnya pada satu majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, penyakit yang dihidapi juga turut menyumbang kepada keletihan dan kelesuan. Tambahan pula pengambilan ubat-ubatan dalam jangka panjang juga mungkin memburukkan lagi keadaan.

Oleh itu katanya, pemakanan seimbang adalah kunci utama kepada kesihatan. Patuhilah panduan pemakanan daripada doktor untuk memastikan diabetes dalam keadaan terkawal.

''Keadaan ini boleh menimbulkan kesukaran seksual lelaki pada sebarang usia melalui gangguan sistem perjalanan darah dan saraf yang terlibat untuk merangsang ketegangan.

''Kesannya kira-kira setengah daripada pengidap diabetes lelaki akan menghadapi masalah tenaga batin,'' ujarnya

Jelasnya, dalam satu kajian yang dilakukan oleh The Asia Pacific Sexual Healty and Overall Wellness Survey (AP SHOW) mendapati ramai lelaki di 13 buah negara termasuk Malaysia menderita penyakit berkenaan.

Malah hasil daripada kajian yang terdiri daripada 3,957 responden mendapati 57 peratus golongan lelaki dan 64 peratus wanita menyatakan tidak mendapat kepuasan yang sepenuhnya dalam hubungan intim bersama pasangan mereka.

Keadaan ini menjadi kebimbangan jika tidak mendapat rawatan yang sepatutnya pada peringkat awal.

Kini, para penyelidik mendapati empat daripada lima yang menderita masalah tersebut mempunyai masalah yang berpunca daripada keadaan fizikal

''Adalah tidak munasabah jika memberi alasan malu untuk mendapat rawatan pada peringkat awal. Malah akan wujud implikasi yang serius jika dibiarkan berterusan,'' terangnya.

Bagaimanapun, menurut kajian yang telah dijalankan berkaitan rawatan lemah tenaga batin di Asia mendapati, 25 peratus pesakit lemah tenaga batin juga menghidapi tekanan darah berlebihan, 15 peratus menghidap prostatik hyperlasia ringan, 13 peratus menghidap diabetes, sembilan peratus menghidap keadaan psikitri, tujuh peratus menghidap trauma pelvik, dan dua peratus mengalami kecederaan tulang belakang.

Dalam pada itu, pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan masalah yang melanda lelaki ini.

''Hasil kajian mendapati, antara 10 hingga 20 peratus daripada kes mati pucuk adalah disebabkan faktor psikologi,'' katanya.

Bagaimanapun tegasnya, bagi kebanyakan lelaki, ED menambahkan lagi kemurungan mereka sehingga boleh menyebabkan kehilangan keyakinan diri, rendah diri, resah dan tekanan antara mereka dan pasangan.

''Kesemua gangguan emosi itu turut menjejaskan kesejahteraan emosi dan boleh menyebabkan masalah fizikal yang mendorong kepada kepada kegagalan untuk mencapai ereksi.

Sementara itu, gaya hidup yang tidak sihat turut menyumbang kepada masalah seks seperti merokok, meminum minuman keras.

Amalan merokok katanya, bukan sahaja boleh menyebabkan kanser tetapi turut menjejaskan perjalanan darah serta mengganggu pencapaian ereksi.

Namun dengan ledakan teknologi baru terkini, kaum adam tidak perlu malu lagi dan boleh melakukan pemeriksaan sendiri tahap ketegangan ED di rumah.

Ukuran diognostik baru itu dikenali markah ketegangan ereksi (EHS). Ia mampu mengesan tahap awal ED dengan menggunakan skala empat markah yang mengenal pasti ereksi gred satu untuk lelaki yang mengalami ED hingga gred empat.

Terangnya, gred satu dinilai dengan zakar membesar tetapi tidak tegang, manakala gred dua pula keadaan yang tegang tetapi tidak cukup untuk melakukan hubungan intim.

Sementara itu, terangnya lagi, gred tiga pula di nilai dengan cukup tegang untuk seks tetapi tidak tegang sepenuhnya dan yang paling terbaik ialah gred empat, tegang dan keras sepenuhnya.

Beliau menambah, individu yang melakukan penilaian itu boleh mendapatkan rawatan dan perbincangan terperinci dengan pakar perubatan untuk mengembalikan fungsi seksual keseluruhan.

Wednesday, April 7, 2010

Darjat keranda

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
2010/04/04
sebelum - selepas

Sebanyak 37 keranda 'menguasai' Muzium Negara, termasuk bersadur emas yang dilengkapi pendingin hawa

BAGI kebanyakan orang, perkataan keranda memang cukup meremangkan bulu roma. Mungkin disebabkan terlalu banyak dimomokkan dengan cerita tahyul, mistik dan mitos, sebarang perbincangan serta majlis ilmu mengenainya menjadi tidak popular serta menerima sambutan dingin.

Bahkan, di kalangan mereka yang ekstrem, ada beranggapan berbincang perihal keranda sama saja dengan membayangkan saat ajal bakal menjengah.
Bermatlamat mengubah persepsi dan pandangan mengenai pantang larang dalam masyarakat, Muzium Negara menganjurkan pameran Keranda, Tradisi dan Misteri bermula 1 April lalu dan berakhir 20 Jun depan. Dalam tempoh tiga bulan pameran berlangsung, pengunjung bukan saja dihidangkan pelbagai ragam serta rupa keranda, bahkan diperlihatkan amalan penggunaan keranda dan kaitannya dengan upacara sebelum serta selepas pengebumian berpandukan fahaman berbilang etnik serta negara serantau.

Selain itu, dipaparkan juga unsur universal dan unik membabitkan dunia keranda yang belum diketahui ramai. Ini membabitkan perlambangan motif, bahan digunakan, kaedah pengebumian unik, kedudukannya sebagai wadah kasih sayang dan simbol perbezaan taraf, selain diselitkan unsur kemanusiaan serta ketamadunan bermula masyarakat prasejarah, tradisional hingga zaman moden.

Keranda bersadur emas bernilai hampir RM500,000 dijangka menarik perhatian umum. Keranda dibentuk daripada kayu tahan lasak dan kalis cuaca serta dilengkapi sistem pendingin hawa dipinjamkan oleh Nirwana Multi Corporation Berhad bakal dipertontonkan selama tiga hari saja.

Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, berkata keranda berkenaan bakal disaksikan pengunjung pada minggu pertama pameran berlangsung. “Mengikut perbincangan, Nirwana bersetuju meminjamkannya selama tiga hari. Bagaimanapun, sekiranya sambutan menggalakkan, tidak mustahil tempoh pameran akan dilanjutkan,” katanya.

Erong, keranda tersohor di kalangan sekumpulan masyarakat Melayu-Polynesia yang mendiami kawasan tanah Toraja di daerah Sulawesi Selatan tidak kurang hebatnya.

Disebut orang Toraja, sebahagian besar golongan ini masih mempercayai amalan animisme, terikat dengan amalan ritual seperti pemujaan roh dan semangat, mempunyai pandangan hidup sendiri terhadap alam kematian dan kuasa kosmos.

Rambu Solo adalah upacara pemakaman bagi masyarakat itu yang masih berpegang kuat kepada kepercayaan Aluk To Dolo.

Menurut kepercayaan ini, semakin tinggi tempat mayat diletakkan, maka semakin cepat rohnya menemui tuhan serta syurganya.

Erong atau keranda ini diukir dalam pelbagai bentuk, antaranya menyerupai binatang (kerbau atau babi), perahu dan lesung. Setiap bentuk dan ukiran mewakili nilai serta status tertentu masyarakat, misalnya, yang berbentuk kerbau atau tangkonan (rumah) menandakan si mati adalah kalangan bangsawan.

Erong berbentuk babi, lesung dan rumah dikhaskan kepada masyarakat kelas menengah dan orang biasa. Keranda jenis ini didatangkan secara polos tanpa ragam hias menawan.

Erong dengan penutup diibaratkan seperti bumbung rumah. Lazimnya, ia direka khas bagi erong kerbau. Penutup mirip tanduk kerbau itu dikatakan sebagai tindak balas masyarakat terhadap peraturan kosmos iaitu penutup melambangkan atap syurga, manakala badan tempat menyimpan mayat ditafsirkan sebagai alam bumi.

Pengebumian suku kaum Bateq daripada kelompok Negrito yang menghuni beberapa kawasan di Kuala Tahan dan Kuala Lipis ringkas, namun sesuai mengikut adat resam serta struktur muka buminya. Penghormatan dilakukan dengan meletakkan mayat di atas para kayu yang dibina atas dahan sebatang pokok besar lagi rimbun.

Sesetengahnya diletak di ancak iaitu gantungan diperbuat daripada kayu atau rotan sebelum ditempatkan di pokok. Ketinggian ancak bergantung kepada kesesuaian, misalnya, mayat dipastikan tidak diganggu dan dicekuh binatang darat, selain semakin tinggi tempatnya, semakin dapat dihindari bau busuk mayat berkenaan.

Sebelum penggunaan keranda papan, mayat suku kaum Mah Meri daripada kelompok Senoi terdahulu disemadikan dalam jalinan buluh dan rotan yang sekali pandang mirip bubu ikan. Sesudah dibalut dengan kulit kayu terap atau kayu mabang, si mati dimasukkan dalam jalinan buluh tadi lalu dikebumikan.

Perahu keranda dibentuk daripada kayu padu dan banyak dijumpai di gua Kain Hitam, Niah mendedahkan kepada pengunjung mengenai amalan pengebumian manusia prasejarah. Ia sebenarnya direka khusus pengebumian sekunder iaitu setelah mayat reput, tulangnya dikumpulkan untuk dikebumikan semula.

Penemuan menakjubkan ini selalunya disertai dengan lukisan primitif di gua yang mengisahkan perjalanan si mati ke alam roh. Lukisan berkenaan ditafsirkan sebagai ‘perjalanan perahu kematian’. Salah sebuah keranda ditemui dianggarkan berusia lebih 1,000 tahun berdasarkan rekod penemuan beberapa seramik dari China dikira menerusi pentarikhan radiokarbon dipercayai wujud di antara 1 hingga 780 Masihi.

Pengebumian tempayan juga dikategorikan sebagai amalan sekunder dan kewujudannya dikesan sejak zaman prasejarah neolitik membabitkan kawasan Kepulauan Melayu khasnya masyarakat pelaut yang tinggal di pesisir pantai.

Penemuan tempayan tembikar berfungsi sebagai tempat menyimpan tulang manusia membuktikan kesahihannya. Tempayan berkenaan dipercayai disimpan dan disembunyikan di gua batu dan celah banir pokok. Selain mempunyai bentuk unik, di badan tempayan dipaparkan ragam hias yang dapat menggambarkan pengembaraan roh ke alam akhirat.

Kaedah pengebumian tempayan turut dikesan di kalangan masyarakat pribumi Filipina, khususnya di kawasan utara Pulau Luzon, Mindanao, Palawan, Lembah Cagayan dan beberapa kawasan lain.

Sebelum 1951, dilaporkan pengebumian seumpamanya dipraktikkan masyarakat Tagbanwa di Pulau Palawan terutama di kalangan bidan dan dukun (babalyan) yang begitu dihormati di kalangan masyarakat. Mayat mereka diletakkan di pelantar berlapik tikar, dibiarkan sehingga daging terlerai dari tulang dan akhirnya tinggal rangka. Tulang-tulang berkenaan kemudiannya disemadikan dalam tempayan dan diberi tempat khas dalam rumah.

Jabatan Muzium menerusi kerjasama beberapa agensi termasuk Finas, NV Multi Corporation Bhd, Jabatan Filem Negara, Persatuan Hindu Sangam dan pelbagai pihak lain berjaya mengumpul 37 unit keranda untuk tatapan umum. Selain digunakan dalam amalan pengebumian manusia prasejarah serta suku kaum asli negara ini, keranda yang dipamerkan turut didatangkan dari Thailand, Filipina dan Indonesia.

Keranda Cina mewakili penganut Buddha, Toisme; keranda kuku kambing (dari Besut, Terengganu), keranda berkaki (Kedah serta belindan (Kelantan) yang popular dalam masyarakat Melayu, selain keranda buluh dan tempat persemadian masyarakat India.

Di samping itu, pendedahan terperinci mengenai amalan pengebumian luar negara mampu diperoleh menerusi kerusi mayat dari Filipina, tempat simpan abu mayat Cort dari Thailand, di samping keranda dayak Kalimantan dari Indonesia.

'Hargai keranda, jangan gerun'

KERANDA tidak perlu digeruni, sebaliknya perlu diterjemahkan sebagai sebahagian amalan serta budaya yang melengkapi kitaran hidup manusia.

Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, berkata kewujudan keranda patut dihargai berdasarkan fungsinya sebagai tempat menyimpan mayat sebelum dikebumikan merujuk upacara serta amalan keagamaan sesuatu kaum.

“Apa yang berlaku kini, masyarakat cuba menidakkan peranan serta kedudukan keranda dalam amalan tradisi serta kehidupan seharian. Seperti adat berkhatan bagi meraikan peralihan alam kanak-kanak kepada dewasa, istiadat perkahwinan bersandarkan matlamat mengembangkan zuriat, secara evolusinya, keranda perlu dilihat sebagai bahan perantaraan perjalanan akhir ke alam kekal abadi,” katanya.

Kajian selama tiga bulan bagi pengisian Pameran Keranda, Tradisi dan Misteri yang berlangsung April dan berakhir Jun dianggap Ibrahim detik terbaik pengunjung mendekati, mempelajari, memahami seterusnya menghormati amalan dan adat pengebumian masyarakat majmuk negara ini.

“Melalui pendedahan berkenaan amalan pengebumian, masyarakat akan lebih jelas mengenai pantang larang perlu dituruti ketika menziarahi kematian rakan berlainan bangsa dan agama,” katanya.

Di samping itu, masyarakat juga mendapat gambaran jelas cara penghormatan perlu diberikan andai kematian membabitkan hierarki serta strata sosial si mati dalam kelompok pergaulannya.

“Keranda dan amalan pengebumiannya mampu mengungkap status serta kedudukan seseorang dalam masyarakat. Jelas, keranda berfungsi menyatakan penghormatan bagi kepada mereka yang mati,” ” katanya yang turut menyasarkan kehadiran pelancong luar negara pada pameran kali ini.

Ibrahim yakin mampu mencapai sasaran menarik pengunjung tempatan dan luar negara berdasarkan keunikan ditawarkan, antaranya sejarah dan asal-usul pengebumian manusia prasejarah yang memfokuskan kepada penemuan di Lenggong, Perak, Kuala Selinsing, Gua Cha di Kelantan dan Gua Niah di Sarawak.

Segmen Misteri dan Kepercayaan Tradisi menghimpunkan motif, falsafah, amalan serta ritual yang digambarkan melalui beragam motif ukiran flora dan fauna di samping geometri.

Segmen variasi keranda memaparkan jenis keranda, proses pembuatan dan kaedah penyimpanannya berdasarkan material berbeza, manakala segmen tradisi di negara Asia Tenggara diyakini Ibrahim memberikan daya tarikan tambahan kerana memaparkan kaedah pengebumian serta amalan tradisi Nusantara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Tuesday, April 6, 2010

Nyah toksin atasi masalah usus

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Peningkatan makanan berasaskan fiber boleh dilakukan dengan menambah pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.

PENGUMPULAN toksin banyak dipengaruhi cara hidup yang kurang sihat seperti pencemaran udara, air dan makanan yang dipenuhi dengan pelbagai toksin. Ditambah pula dengan cara hidup yang kurang bersenam mengakibatkan bahan buangan bertoksin terkumpul di dalam usus dan terjadinya sembelit dan najis terlonggok. Najis terlonggok adalah sejenis toksin yang boleh menjejaskan kesihatan badan.

Mengikut kajian usus yang dilakukan oleh pakar, walaupun kita membuang air besar secara normal setiap hari, tetapi terdapat 6 hingga 10 paun najis terlonggok di dalam usus kita. Seringkali keseluruhan usus besar terlonggok dengan najis lama dan bahan kumuh yang mengeras. Ia hanya membenarkan najis yang lembik dan kecil untuk melalui saluran usus yang sempit. Akibatnya kebanyakan dari kita mempunyai masalah sembelit.

Sembelit merupakan masalah yang disebabkan kesukaran untuk membuang air besar dan najis terlonggok adalah bahan toksin yang terlekat di usus akibat daripada perkumuhan yang tidak sihat. Bahan toksin ini akan diserap oleh mukus usus dan boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti kanser kolon, tekanan darah tinggi, masalah kesihatan jantung, hati, buah pinggang, kencing manis dan sebagainya. Bukan itu sahaja, ia juga boleh membawa masalah seperti kulit yang berkedut, jerawat dan sakit ketika datang haid. Justeru itu, cara paling berkesan untuk mengatasi masalah tersebut adalah menghapuskan sembelit dan menyahkan najis yang terlonggok di dalam usus.

Ketua Pegawai Eksekutif Zazen Health Solution, Yasotha Krishna, berkata Zazen FIR Thermal System berfungsi membantu membuang toksin secara semula jadi.

Ia merupakan pilihan gaya hidup zaman moden untuk menjamin kesihatan termasuk sistem usus. "Rawatan Sinar inframerah jauh (FIR) memberi pelbagai manfaat dan kesan terapeutik kepada tubuh yang biasanya diganggu bahan toksin yang menyekat pemulihan secara semula jadi," katanya.

Malah, terapi pemanasan dalam FIR ini juga boleh mengeluarkan air daripada tubuh badan antara 80 hingga 85 peratus yang mengandungi kolesterol, toksin, ammonia dan asid urik FIR iaitu satu bentuk tenaga dari matahari telah diperluaskan penggunaannya bagi tujuan kesihatan kerana ia membantu proses pemulihan dalam sistem tubuh seseorang.

Menurut Pakar Pediatrik, Dr. Sharmila Kylasam, tubuh badan memerlukan pembuangan toksin secara semula jadi untuk memastikan badan berfungsi secara sempurna.

Dengan itu, kualiti kesihatan lebih baik dan badan lebih bertenaga.

Mengnyahtoksik untuk kekal sihat

Penyahtoksinkan secara kerap untuk menyingkirkan bahan buangan dan toksin yang berbahaya ini membantu meningkatkan kesihatan dan kecergasan.

Menurut kajian terdapat beberapa masalah yang timbul akibat pengumpulan toksin termasuk sering keletihan, daya tumpuan dan daya ingatan yang lemah, sembelit atau cirit-birit yang kerap, peredaran darah yang lemah, kemurungan dan sebagainya.

Jika badan melalui proses membuang toksin secara baik, ia mampu menjamin kesihatan keseluruhan yang lebih baik dan rasa lebih bertenaga dan cergas. Selain itu, badan mempunyai daya ketahanan, fungsi penghadaman yang lebih baik. Bahkan, seseorang akan melalui pembuangan air besar yang kerap. Sebarang pertanyaan tentang Zazen FIR boleh hubungi 03-61577746.

Rawatan sembelit

l Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang masalah perubatan, campur tangan utama ialah penambahan kandungan cecair (terutamanya air) dan makanan yang berasaskan fiber.

l Peningkatan makanan berasaskan fiber boleh dilakukan dengan menambah pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, roti yang tinggi serat dan biji rami dalam pemakanan.

l Amalan pengambilan ubat pelawas secara rutin tidak digalakkan kerana ini akan menyebabkan usus bergantung penuh kepada penggunaan pelawas.

l Disimpaksi secara manual (pembuangan feses terimpak) dilakukan dengan bantuan sedasi atau anestatik am (pembiusan menyeluruh) - bagi menahan kesakitan dan melonggarkan sfinkter anal.

l Dalam perubatan alternatif dan tradisional, pengairan berkolon, enema, senaman, diet dan herba digunakan dalam mengubati sembelit.

l Bagi sembelit yang terjadi akibat penyakit usus besar yang menyempitkan saluran najis seperti kanser usus ataupun hernia, maka rawatannya adalah pembedahan.

Sembelit penyebab buasir

Rawatan buasir yang paling baik adalah pencegahan tetapi ia boleh dirawat melalui ubat dan pembedahan seperti ligasi pita getah, hemorhoidektomi, eksisi dan igasi Arteri Buasir (HAL Doppler).

MENGIKUT pendapat umum, buasir adalah topik yang jarang dibincang secara terbuka. Ini adalah kerana perasaan malu iaitu buasir terjadi di bahagian sulit. Kehadiran tisu buasir adalah sebagai komponen normal di dalam anatomi manusia. Buasir biasanya terdiri daripada kusyen vaskular (yang kaya dengan saluran darah) di dubur yang bertindak sebagai lapik termampat untuk membenarkan dubur tutup sama sekali. Buasir akan menaikkan simptom atau membawa masalah apabila ia membesar, lazimnya hasil daripada tekanan atau stres yang berlebihan.

Bagi kebanyakan dewasa, di satu tahap atau lain terpaksa menghadapi dengan pendarahan, kegatalan, lelehan lendir dan kadangkala kesakitan yang memaklumkan akan situasi buasir. Malangnya, buasir cenderung untuk menjadi lebih teruk hari demi hari. Situasi ini harus dirawat secepat mungkin selepas mendapat tahu mengenainya kerana terdapatnya perubatan dan rawatan yang berkesan. Selalunya, buasir memerlukan hanya penjagaan sendiri dan perubahan dalam cara hidup di peringkat awal tanpa memerlukan rawatan yang kompleks. Paras pesakit yang mengalami buasir yang lama dan kronik akan memerlukan rawatan pembedahan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup untuk pendarahan, kesakitan dan buasir prolaps (tergelincir keluar).

Pakar Bedah Kolorektal Pusat Perubatan Prince Court, Prof. Dr. Yunus Gul Alif Gul berkata, buasir merujuk kepada urat darah di dalam dinding dubur.

"Kedudukannya berada di bawah selaput lendir iaitu lapisan dubur yang paling dalam.

Tekanan berlebihan di bahagian rektum menyebabkan dinding vena darah teregang dan membonjol, kadangkala boleh pecah, menyebabkan buasir," katanya.

Menurut Dr. Yunus Gul, di dalam saluran dubur manusia terdapat kusyen vaskular di antara anus dengan rektum bawah, menjadikan otot-otot dubur menjadi elastik atau kenyal.

Apabila seseorang mengalami sembelit dan cuba meneran najis yang mengeras di dalam kolon dengan kuat ketika membuang air besar, struktur ini akan membengkak.

Lama-kelamaan ia menjadi kurang memberi dan akhirnya terjulur keluar daripada dubur bersama darah yang berwarna merah cerah yang menitis, tersembur atau meninggalkan kesannya apabila dikesat tisu tandas.

Walaupun pendarahan dan sembelit dilihat sebagai gejala utama buasir, cirit-birit juga boleh menjadi puncanya.

Tambah Dr. Yunus Gul, pendarahan yang berlaku daripada dubur tidak semestinya buasir tetapi boleh jadi petunjuk kepada lain-lain penyakit yang lebih serius seperti kanser kolorektal.

"Mereka yang mempunyai sebarang gejala atau pendarahan dubur lebih baik terus berjumpa doktor. Ada juga pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala awal," katanya.

Dr. Yunus Gul turut melahirkan kekecewaannya apabila kebanyakan pesakit hanya berjumpa doktor setelah buasir memasuki peringkat teruk.

Pada ketika itu, katanya, pilihan rawatan yang ada hanyalah pembedahan yang sepatutnya boleh dielakkan jika mereka merujuk pendarahan awal kepada doktor.

Punca-punca buasir

l Sembelit dan meneran berlebihan ketika membuang buasir.

l Pekerjaan yang melibatkan keadaan duduk atau berdiri dalam masa yang lama.

l Obesiti, kehamilan dan melahirkan anak.

Walaupun kadangkala buasir dikatakan lebih cenderung untuk diwarisi, ini adalah lebih kepada faktor gaya hidup atau tabiat pemakanan di kalangan ahli keluarga yang menyebabkan kecenderungan untuk mendapat buasir. Penyakit ini boleh dicegah dan simptomnya dapat dikawal jika diurus pada peringkat awal. Walaupun dengan rawatan, pesakit harus mengubah cara hidup mereka untuk mengelakkan berulangnya masalah.

Rawatan

Rawatan buasir melibatkan langkah-langkah yang boleh dilakukan sendiri berdasarkan nasihat daripada doktor anda. Rawatan yang paling baik adalah pencegahan. Diet makanan yang tinggi dengan serat dan sebahagian besar dapat mengelakkan sembelit dan meneran berlebihan. Kadangkala ubat-ubatan atau prosedur pembedahan juga diperlukan untuk tujuan rawatan.

Rawatan perubatan

Ini adalah amat berguna terutamanya bagi pesakit buasir dengan tahap pertama. Jika buasir anda hanya wujud dengan ketidakselesaan yang sedikit, doktor anda boleh mencadangkan krim dari kaunter farmasi atau salap yang selalunya mengandungi anestetik sederhana atau agen melegakan kesakitan atau steroid. Bentuk rawatan perubatan ini, dengan gabungan nasihat untuk perubahan diet dan pembukaan usus yang betul, dilengkapkan dengan mandian air panas setiap hari yang dapat melegakan simptom tersebut.

Walau bagaimanapun, salap telah dikenal pasti menyebabkan tahap sensitif kulit yang tinggi dengan penggunaan jangka panjang. Pesakit dinasihatkan untuk mengelak penggunaan bagi tempoh yang lama. Daflon adalah sejenis ubat yang diestrak daripada sejenis kulit oren khas yang selalunya digunakan dalam merawat buasir. Ubat ini bertindak melindungi dan memperkuat saluran pembuluh darah di dalam tisu buasir dan mengurangkan pengembangan saluran tersebut. Ini adalah lebih sesuai bagi pesakit buasir dengan tahap pertama atau kedua dan tidak sesuai untuk merawat buasir yang di tahap seterusnya serta buasir luaran.

Prosedur lain termasuk pembedahan

l Ligasi pita getah

n Satu atau dua pita getah yang kecil akan diikat di sekitar dasar buasir dalaman untuk menghentikan pengedarnya. Dalam masa beberapa hari, buasir itu akan tanggal sendiri tanpa rasa sakit.

l Jika prosedur lain tidak berjaya atau jika anda mempunyai buasir yang besar, doktor pakar anda akan membuang tisu berkenaan dalam satu prosedur yang dikenali sebagai hemorhoidektomi. Pembedahan ini dilakukan sama ada dengan menggunakan bius setempat digabungkan dengan sedatif (ubat penenang), anestetik spina atau bius umum.

l Pembedahan eksisi. Ia dikaitkan dengan tahap kesihatan yang lebih tinggi kerana bahagian bawah kulit dan saluran anus yang kaya dengan saraf fiber akan dieksisi ketika pembedahan.

l Ligasi Arteri Buasir (HAL Doppler) lazimnya sesuai untuk buasir berdarah termasuk buasir tahap ketuga. Sejenis alat ultrabunyi yang menggunakan gelombang bunyi untuk mengenal pasti arteri buasir yang akan diligasi. Ini mengurangkan pengaliran darah kepada buasir dan mengecutkan sebahagian besar longgokan dan perhentian pendarahan. Ia adalah prosedur sehari yang tidak sakit dan dilakukan di bawah anestetik umum atau spina, memberi hasil yang baik dan harapan yang cerah.