Monday, February 6, 2012

Menghadapi tekanan secara Islam

RAMAI yang tertekan serta menderita apabila mengalami peristiwa atau musibah seperti kerosakan harta benda, kehilangan atau kegagalan dalam kerjaya, percintaan atau rumah tangga dan sebagainya.

Musibah atau tekanan adalah satu peristiwa yang ditakuti dan tidak dikehendaki oleh mana-mana individu di dalam kehidupan seharian.

Majoriti daripada kita akan bertindak-balas secara spontan sama ada mengeluh, memaki-hamun dan marah terhadap seseorang malah ada pula yang marah kepada takdir Tuhan.

Individu yang terbabit dengan musibah mengalami gejala-gejala tekanan seperti bimbang, hilang tumpuan, cepat marah, tidak dapat tidur, hilang selera makan dan lain-lain lagi.

Berdasarkan personaliti serta cara seseorang menangani sesuatu tekanan, ada yang merasakan kehidupannya sudah tidak bererti, menjadi panik dan merasakan yang dunia ini kejam terhadapnya.

Situasi ini akan lebih menyakitkan apabila ada pula insan sekeliling yang memberi ulasan-ulasan negatif.

Sering dikatakan musibah didatangkan sebagai hukuman atau peringatan daripada Allah SWT tetapi hakikat dan tujuan yang sebenar, hanya Allah yang maha mengetahui.

Bolehkah kita mentakrifkan apa yang ditentukan Allah SWT mungkin benar atau sebaliknya?

Lupakah kita ujian-ujian yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah dan para nabi jauh lebih hebat dan apakah mereka ini melakukan banyak kesalahan serta kita lebih baik daripada mereka?

Tetapi sebagai seorang Islam, kenapa kita tidak melihat dan pelajari akan apa yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran serta sunah Rasulullah melalui hadisnya.

Allah SWT menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286, bahawa Dia tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Ini bermakna setiap individu yang mengalami musibah tersebut akan mampu mengatasinya .

Kerap seseorang individu menjadi kecewa, marah dan susah hati apabila sesuatu hajat yang diingini tidak berjaya atau sesuatu perkara lain pula yang berlaku.

Mereka lupa akan firman Allah SWT; ”Adakalanya sesuatu itu tidak baik bagimu meskipun kamu begitu menghendakinya dan adakala pula sesuatu itu baik bagimu meskipun kamu tidak menyukainya, sesungguhnya aku mengetahui tetapi kamu tidak mengetahuinya”.

Kita terlalu mengharapkan keseronokan, kemudahan serta kenikmatan dunia, sudah tentu ia tidak salah kerana itu adalah sifat naluri seseorang manusia.

Allah SWT juga menyuruh kita berbuat demikian seperti firmannya; “Dan hendaklah kamu mencari kebaikan akhirat dan jangan lupa habuan kamu di dunia.”

Masalahnya, ramai di antara kita tidak mempedulikan janji Allah SWT tentang kehidupan akhirat yang mana ia adalah kehidupan yang kekal sebenarnya dan lebih baik.

Jika kita benar bertakwa dan yakin, majoriti daripada tekanan yang kita alami tidak memerlukan kita bersedih dan merasa kecewa yang melampau bahkan dapat melihatnya secara lebih positif.

Pun begitu, janganlah ada antara kita beranggapan kita tidak memerlukan rawatan dan ubat-ubatan bahkan menasihati ahli keluarga atau rakan yang mengalami tekanan untuk tidak mendapatkan rawatan memadai hanya dengan reda.

Ramai antara kita yang tersalah faham mengenai konsep reda dalam Islam. Reda pada Islam bukan bererti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar.

Sikap terbuka

Ubat-ubatan dan kaunseling akan melengkapkan proses pemulihan emosi seseorang individu.

Dapatkan nasihat daripada mereka yang mempunyai pengalaman mengatasi masalah tersebut, berkongsilah masalah anda dengan saudara-mara atau rakan karib atau mana-mana individu yang anda percaya dapat membantu.

Cubalah amalkan mengambil sikap terbuka dan fikirlah secara positif dan objektif dalam usaha menyelesaikan sesuatu kesulitan.

Bermula sekarang, kita harus mengambil pendekatan tidak mengeluh bahkan banyakkanlah menyebut Allahuakbar, Subhanallah, Astaghfirullah berulang-kali kerana jika kita mengeluh, memaki hamun contohnya apabila terpijak paku, kita meneriak celaka sambil memaki hamun, percayalah kita akan lebih merasa sakit.

Tetapi jika kita ingat dan yakin akan apa yang diberitahu Allah SWT dan ajaran Rasulullah, kita akan merasa kurang sakit, reda serta mendapat limpahan keampunan dan rahmat Allah SWT. Kita hendaklah bersabar dan banyak berdoa serta dapatkan rawatan dan pertolongan supaya kita beroleh kejayaan, di dunia apalagi di akhirat.

Sindrom lelaki ‘menopaus’


Simptom lelaki yang menopaus ialah letih, cepat mendapat tekanan, sakit sendi, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani.


Soalan: BolehKAH Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?

*Jo, Kuala Lumpur

Saudara Jo,

Pertama, saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus sebenarnya tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza dengan wanita.

Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan reproduktif mereka iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka berlakulah apa yang sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi apabila paras hormon estrogen menjadi terlalu rendah.

Simptom seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering boleh timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus haid.

Bagi lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.

Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang ringan, sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.

Contohnya, jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi sangat rendah manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang positif dan sihat, maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.

Simptom yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom menopaus dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani serta banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.

Doktor perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan seseorang lelaki dan pasangan mereka.

Jika saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan nasihat lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan positif dalam kehidupan seharian.

Alahan penyebab resdung

ADAKAH anda sering mengalami bersin, selesema, mata gatal dan hidung tersumbat secara berterusan melebihi tempoh sebulan?

Jika keadaan begini berterusan, anda dinasihatkan berjumpa doktor bagi memastikan sama ada anda mengalami alahan hidung atau resdung.

Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Pembedahan Leher, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Samril Bokari berkata, tanda-tanda alahan hidung berkenaan yang tidak dirawat akan membawa kepada sinusitis atau resdung.

“Biasanya tanda awal alahan hidung adalah selesema, bersin, hidung tersumbat serta muka dan mata yang gatal dan berair.

“Dalam keadaan begini tidak ramai yang mendapatkan nasihat dan rawatan doktor dengan alasan penyakit yang dihidapi tidak teruk,” katanya.

Sememangnya resdung tidak membawa kepada kematian tetapi memberikan kesan kepada gaya hidup dan keyakinan diri pesakit.

Alahan hidung berlaku apabila selaput hidup membran mukus, telinga tengah dan tekak membengkak kerana menghidu debunga, hama dan habuk serta perubahan cuaca.

Apabila itu berlaku, hidung akan bertindakbalas dengan benda asing menyebabkan simptom seperti selesema, bersin, gatal mata dan hidung berterusan.

Dr. Samril berkata, jika alahan hidung dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan komplikasi seperti rongga sinus tersumbat (terdapat lapan rongga sinus).

Rongga sinus yang bertindak untuk pengudaraan terhalang dan menyebabkan bakteria terperangkap, sinusitus dan nanah terkumpul.

Pesakit juga terdedah kepada jangkitan telinga tengah atau kegagalan Tiub Euschasian.

“Ketika itu pesakit akan merasa tidak selesa di muka, bendalir hijau meleleh dari hidung dan jika tidak dirawat akan menyebabkan jangkitan kuman di otak,” katanya.

Terdapat juga pesakit yang menghidap asma akibat alahan hidung yang berterusan kerana hidung dan paru-paru bersambung.

Rawatan awal boleh dilakukan menggunakan ubat bagi mengurangkan selesema dan semburan hidung yang berterusan sehingga sembuh.

Menurut Dr. Samril, sinusitis boleh berlaku kepada sesiapa saja, bagaimanapun risiko lebih besar jika ahli keluarga terdekat menghidapinya.

Alahan hidung biasanya berlaku pada usia muda antara 8 hingga 11 tahun sementara 80 peratus menghidapinya semasa berusia 20 tahun.

Ketika usia muda, alahan hidung lebih biasa berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan tetapi bila dewasa peratusannya lebih kurang sama.

“Sejarah pesakit amat penting dalam menilai alahan hidung.

“Elemen penting termasuk menilai persekitaran, tempoh simptom, tindak balas perubatan, sejarah keluarga dalam alergi dan pekerjaan,” katanya.

Sejarah berkenaan boleh membantu mengenal pasti punca dan penawar kepada alahan berkenaan.

Simptom berkaitan dengan bersin, gatal hidung, mata dan telinga, hidung berair, sakit kepala, mata merah dan letih.

Pastikan simptom berkaitan dengan alahan sama ada debunga, kulat, haiwan tertentu, habuk atau hama.

Biasanya struktur hidung akan bengkak dan jika penyakit parah maka ruang sinus akan mengandungi nanah.

“Pesakit akan diberikan antibiotik selama 10 hari hingga dua minggu.

“Biasanya pesakit yang mengambil ubat secara berterusan akan dapat mengawal alahan,” katanya.

Bagaimanapun jika resdung tadi bertambah parah, jalan terakhir adalah melalui pembedahan.

Rehat cukup elak resah

MASALAH keresahan melampau atau “Obsessive Compulsive Disorder” (OCD) boleh memberi impak negatif yang besar terhadap mereka yang mengalaminya.

Selain daripada stres, masalah ini juga berpotensi membuatkan pesakit itu “psikotik”.

Menurut pakar-pakar neurologi (saraf), terapi terbaik bagi mereka yang mengalami OCD adalah terapi kognitif tingkah laku.

Terdapat juga ubat bagi menghilangkan kemurungan tetapi ubat sahaja jarang sekali berkesan mengurangkan simptom masalah ini.

Pegawai Perubatan Neurologi, Dr. A. Ridzwaan Talib menjelaskan bahawa terdapat dua komponen bagi terapi kognitif tingkah laku.

“Contohnya, bagi seseorang yang kerap membasuh tangan. Beliau akan disuruh menyentuh tombol atau pemegang pintu tandas awam dan kemudian dihalang daripada membasuh tangannya.

“Semasa orang itu dalam keresahan, desakan untuk membasuh tangan secara “ritual” (berulang kali) akan beransur hilang.

“Melalui cara ini, individu itu akan belajar bahawa beliau tidak perlu melakukan ritual itu dan belajar mengawal perasaan obses dan tingkahlaku kompulsif,” ujar beliau.

Katanya, terapi kognitif pula memberi fokus terhadap pemikiran yang bahaya dan rasa tanggungjawab besar individu berkenaan. Ia mengajar cara memberi respons yang sihat dan efektif terhadap pemikiran obsesif tanpa perlu melakukan tingkah laku kompulsif.

Langkah mengatasi

Pakar neurologi mengesyorkan beberapa langkah bagi mengatasi OCD.

“Kenal pasti pemikiran dan desakan OCD. Contohnya, latihkan diri mengatakan “tangan saya tidak kotor” atau “saya rasa tidak perlu basuh tangan”.

“Sedar yang pemikiran sebegitu adalah disebabkan OCD dan katakan pada diri anda, ia bukan sebenarnya saya, tetapi hanya OCD bagi mengingatkan tingkah laku itu adalah mesej-mesej palsu dan tidak bermakna yang dihantar otak,” ujarnya.

Beliau menasihati mereka yang mengalami masalah itu memberi fokus terhadap perkara lain walaupun hanya beberapa minit.

Pesakit perlu berkata “saya mengalami gejala OCD dan perlu melakukan sesuatu yang lain.” Menilai semula gejala OCD juga perlu dilakukan dengan berkata ia bukan sesuatu yang signifikan dan hanya merupakan suatu “obsesi yang bodoh” dan tidak perlu diberi perhatian.

Bantuan keluarga

OCD boleh mengganggu kehidupan sosial dan keluarga mereka yang mengalaminya.

“Keluarga boleh membantu dalam memahaminya serta mengelakkan konflik daripada berlaku. Ahli keluarga boleh memberi motivasi serta sokongan terhadap individu yang menghidapi OCD,” katanya

Beliau juga mengesyorkan aktiviti riadah seperti berjoging, jalan kaki, mendengar muzik dan melayari internet semata-mata untuk mengelakkan diri daripada tingkah laku kompulsif dan pemikiran obses.

“Cuba melengah-lengahkan respons, lagi lama dilengah-lengahkan, semakin hilang desakan melakukan gerak kompulsif itu,” kata beliau.

Elak stres

Sesuatu yang mendatangkan stres boleh mencetuskan atau memburukkan lagi episod OCD.

“Oleh itu penting bagi kita elakkan stres untuk menjauhi OCD,” nasihat beliau.

Pesakit dinasihatkan mengamalkan gaya hidup tanpa stres serta aktiviti yang mendatangkan relaks selain mengamalkan senaman serta pemakanan yang secukupnya.

“Tidur dan rehat secukupnya dan jauhi rokok, nikotin dan alkohol,” nasihat beliau.

Dr. Ridzwaan juga menasihati mereka yang menghidap OCD agar jangan bersendirian dalam mengalami masalah itu.

“Mintalah bantuan, bercerita masalah anda pada orang lain. Ada baiknya jika melibatkan diri dengan kumpulan sokongan dan berkongsi pengalaman. Elakkan daripada memberi komen-komen yang negatif.

“Yang pentingnya individu itu mestilah tenang dalam menghadapi keresahan yang ekstrem.

“Berinteraksi secara positif dalam lingkungan sosial dan anggap semuanya itu adalah satu perkara yang lucu. Dengan cara ini boleh menceriakan penghidap masalah itu,” kata beliau.

– BERNAMA

Baik, buruk yoga pada kesihatan



Sikap pengajar yoga yang memaksa para pengamal senaman itu melakukan aksi di luar kemampuan dikatakan penyumbang kepada kecederaan. - Gambar hiasan


JIKA sebelum ini ketika yoga difatwakan haram untuk diamalkan oleh umat Islam ia telah mencetuskan isu dan polemik di negara ini. Kini, perkara yang sama juga berlaku di New York, Amerika Syarikat (AS).

Tetapi, bagi masyarakat barat isunya tentu bukan soal halal haram atau yang berkaitan akidah tetapi yang membabitkan kesihatan.

Para pengamal yoga di kota raya itu ada yang tersinggung, terkejut malah akan yang terus menghentikan amalan itu apabila satu artikel yang disiarkan dalam seksyen majalah akhbar New York Time edisi Ahad mendakwa aktiviti yoga memudaratkan tubuh pengamalnya.

Sedangkan di New York, sudah menjadi pemandangan biasa bagi golongan wanita profesional muda dan langsing ke pejabat sambil mengepit tikar yoga di ketiak mereka.

Mereka berpusu-pusu menyerbu pusat yoga sama ada sesudah subuh sebelum waktu bekerja bermula atau ketika masa rehat makan tengah hari.

Matlamatnya ialah untuk kekal langsing, cantik dan sihat.

Di AS, malah di Britain jutaan penduduknya mengamalkan yoga setiap hari. Tetapi artikel dalam New York Time menyatakan yoga boleh merosakkan badan mula mencetuskan keraguan di kalangan para pengamal terbabit dan dikatakan akan menjejaskan industri itu secara keseluruhannya.

Artikel yang bertajuk Bagaimana yoga boleh merosakkan tubuh anda itu dikatakan telah menyebabkan pengamal-pengamal senaman itu di AS berfikir dua kali.

Rencana yang dimuatkan dalam beberapa muka surat dalam seksyen majalah akhbar New York Time keluaran hari Ahad itu ditulis oleh penulis sains kanan akhbar itu, William Broad.

Dalam artikelnya Broad mendakwa para pelajar dan juga para jurulatih yoga mencederakan diri mereka apabila terlalu didorong oleh cita-cita melampau dan kurangnya pengetahuan terhadap sesuatu pergerakan yoga.

Dia memetik pandangan bekas pengamal yoga veteran Glenn Black, yang mengalami kecederaan belakang serius selepas beberapa tahun mengamalkan amalan yoga.

Black berkata: "Orang ramai sepatutnya meninggalkan amalan yoga kerana ia cenderung untuk mendatang kecederaan yang serius."

Sudah tentu artikel Broad dan pandangan Black itu mendapat tentangan dan kritikan daripada wakil-wakil dari industri yoga yang membabitkan AS$5 bilion setahun dan kira-kira 20 juta pengikutnya - bertambah lima kali ganda berbanding 10 tahun lalu.

Sensasi, memalukan dan mengelirukan itu antara reaksi terhadap artikel itu daripada para pengamal dan pengikut yoga.

"Saya terperanjat. Yoga telah mengubah hidup saya dan saya suka berlatih yoga - ia menjadikan saya lebih sihat dan lebih tenang. Badan saya terasa lebih segar," katanya Jurutera Sistem, Susan Davies, 28, yang menyertai kelas di Central Park dua kali seminggu.

Katanya, dengan mengamalkan yoga hidupnya lebih seimbang, yakin dan lebih berkesan di tempat kerja.

"Kawan-kawan saya yang melakukan yoga juga berkata demikian," kata Davies.

Paula Tulsi yang mengendalikan pusat yoga di Manhattan berkata, kontroversi itu cukup besar kesannya.

"Mereka yang berada di keliling saya menjadi gila kerana ramai yang mahu mencuba yoga. Tetapi sekarang mereka takut kerana fikir yoga memberikan kesan buruk. Ia sesuatu yang tragik dan menyakitkan hati.

"Ini merupakan satu penghinaan kepada komuniti yoga," katanya.

Terapi urut Eddie Rodriguez, yang mengendalikan pusat terapi fizikal pula berpendapat kebanyakan pusat yoga terlalu sesak.

Orang ramai pula katanya, tidak sedar bahawa kebanyakan jurulatih yoga tidak terlatih walaupun mereka kelihatan seperti berpengalaman.

"Saya menggalakkan pelanggan saya mencuba yoga. Tetapi hanya setelah dicadangkan oleh orang lain. Bukannya terus ke studio yoga disebab tawaran tertentu," katanya.

Namun cerita mengenai kesan buruk yoga tidak sukar untuk ditemui di New York.

Pengurus Seni, Elizabeth Bennett, 45, memberitahu cakera lehernya terseliuh selepas didakwa dibuli oleh jurulatih yoga di sebuah studio di New York.

"Apabila saya teragak-agak malakukan sesuatu posisi, dia mengatakan saya pondan. Terdapat ramai pengajar yang terlalu mendesak pelajar melakukan sesuatu di luar kemampuan hanya untuk menjaga ego mereka," katanya.

Walaupun memiliki insurans kesihatan, dia terpaksa membelanjakan duit sendiri AS$8,000 untuk rawatan akupuntur dan fisioterapi selama sebulan bagi menghilangkan kesakitan yang ditanggung.

Bennett menambah, mereka yang mempercayai bahawa yoga adalah sumber untuk menyembuhkan bukannya mencederakan kini tentunya was-was dan mula berhati-hati dalam memilih pusat yoga.

Pakar anatomi juga memberi amaran - seperti mana rencana Broad - tentang risiko melakukan aksi luar biasa ketika yoga yang boleh menjejaskan tulang belakang dan menghalang aliran darah ke kepala sama ada secara drastik atau beransur-ansur.

Pakar Anatomi, David Patane telah berhadapan dengan kira-kira 10 pesakit yang berhadapan dengan kecederaan akibat yoga.

Katanya, zaman komputer telah memberikan banyak masalah penyakit membabitkan bahagian belakang.

Katanya, duduk terlalu lama misalnya sudah cukup untuk memberikan tekana kepada tulang belakang.

Katanya, ini kan pula posisi-posisi sukar dalam yoga terutama yang membabitkan leher.

Perkara itu katanya, bukan sahaja melemahkan leher tetapi juga tulang belakang.

Pembantu Eksekutif, Megan Branch, 22, mengalami ketegangan bahagian belakang tahun lalu hanya kerana melakukan aksi superman - iaitu meniarap sambil mengangkat tangan dan kaki serentak.

Disebabkan dia berada dalam kelas yang terlalu sesak - kira-kira 70 pelajar - dia terpaksa berbaring di tempat yang kurang selesa.

"Saya rasa sesuatu berlaku pada belakang saya. Kemudiannya saya terus sukar bergerak," katanya.

Masalahnya, terdapat banyak kelas yoga di New York tidak memiliki tenaga pengajar bertauliah.

Kelas yoga komuniti yang menawarkan harga AS$5 antara yang mempunyai ramai pengikut.

Tetapi ia tidak mempunyai pakar untuk membetulkan posisi pelajar atau memberi amaran kemungkinan apa yang mereka lakukan boleh mendatangkan kecederaan.

Di New York, yoga kini menjadi satu industri ekoran permintaan yang meningkat. Sijil untuk menjadi jurulatih atau tenaga pengajar yoga pula boleh didapati dengan mudah. Tidak perlu lesen rasmi untuk mengendalikannya.

Pengajar-pengajar yoga boleh mendapat tauliah hanya dengan mengikuti kursus secara online selama 200 jam.

Ramai pengajar yang sudah tamat latihan tidak tahu antara otot dan hamstring," kata Emilia Conradson yang menukar daripada mengajar yoga kepada perniagaan terapi badan yang turut merawat kecederaan akibat yoga.

"Pemahaman mereka mengenai tubuh badan kurang. Sedangkan yoga ialah tentang fizikal dan spiritual dan ia perlu selamat," katanya.

Salah seorang pengajar yoga Even Tulsi yang marah dengan artikel Broad itu bagaimanapun mengaku bahawa pengajar tidak berpengalaman punca pelajar yoga mengalami kecederaan.

"Bukan yoga yang tidak elok, tetapi cara mengajar yoga yang mencetuskan masalah," katanya.

Jurugambar profesional, Naomi Harris, 38, sebelum ini teruja dengan pas tanpa had untuk menyertai kelas yoga berhampiran rumahnya di Manhattan.

"Ia bercadang untuk mengamalkannya betul-betul. Selama enam bulan saya pergi lima kali seminggu dan merasa cukup baik," katanya.

Tetapi, satu hari dia terjatuh ketika di rumah yang menyebabkan lututnya bengkak.

Namun dia terus juga ke kelas yoga untuk beberapa hari, tetapi lututnya bertambah buruk.

Imbasan mendapati berlaku koyakan teruk pada tisu yang menyambung dua bahagian lututnya yang memerlukan pembedahan.

Katanya, pakar bedah bertanya apa yang dia lakukan, dan sebaik dia memberitahu melakukan yoga lima kali seminggu doktor itu berkata: "Itulah dia!"

Doktor tersebut memberitahu, dia melihat banyak kecederaan akibat yoga yang kemungkinan berpunca daripada posisi lutut dilipat ke bawah badan yang di kenali sebagai pigeon pose.

Selepas melakukan pembedahan, Harris terpaksa bertongkat. Suatu hari dia terserempak dengan pengajarnya dan bertanya apa sudah jadi.

Harris memberitahu yang doktor berkata ia berpunca akibat terlalu banyak melalukan yoga.

Tetapi pengajar itu berkata, dia cedera ketika melakukan yoga kerana karmanya buruk.

"Kini saya antiyoga," kata Harris.

Degupan kencang tanda tidak normal


Kadar degupan jantung yang tidak normal adalah sebahagian daripada simptom serangan strok. - Gambar hiasan


SERANGAN strok atau angin ahmar boleh mengubah kehidupan seseorang sepanjang hayat.

Ini kerana mangsa serangan strok yang terselamat daripada maut kebiasaannya akan mengalami lumpuh dan lemah anggota badan sama ada sebelah tubuh atau keseluruhan badan.

Ini menyebabkan pesakit memerlukan rawatan dan penjagaan berterusan lebih-lebih lagi jika terlantar di katil.

Di Malaysia, strok merupakan punca kematian yang ketiga terbesar selepas sakit jantung dan kanser.

Malangnya hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Satu masalah paling kerap menyebabkan strok ialah Fibrilasi Atrium (FA) iaitu keadaan degupan jantung tidak normal berpunca daripada kegagalan impuls elektrik jantung semula jadi.

Apabila ia berlaku, jantung berdegup dengan lebih laju.

Menurut Perunding Kanan Pulmonori dan Penjagaan Kritikal Hospital Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai, FA merupakan rentak jantung tidak normal yang paling kerap berlaku.

Ia memberikan kesan terhadap keupayaan jantung menjalankan tugasnya.

"Keadaan itu disebabkan wujudnya aktiviti elektrikal yang tidak terkawal di atrium kiri jantung dan mengganggu pusat isyarat elektrik yang berfungsi untuk mengawal kadar denyutan jantung.

"Keadaan ini menyebabkan kadar denyutan jantung dan nadi menjadi luar biasa dan tidak stabil," ujarnya.

Kadar denyutan jantung seseorang yang normal katanya, ialah 60 hingga 100 kali seminit.

Manakala dalam keadaan FA ruang atas jantung berdegup antara 350 hingga 700 kali seminit.

Keadaan ini mengakibatkan aliran darah berkurangan antara 20 hingga 30 peratus dalam sesetengah keadaan.

Kata beliau, FA memberikan kesan yang berbeza kepada para pesakit.

Malangnya ramai yang tidak sedar mereka mengalami masalah FA dan penyakit itu sebenarnya lebih mencabar daripada pesakit jantung yang lain.

Katanya, keadaan itu menyebabkan proses mengepam darah dari jantung ke seluruh badan akan terjejas.

"Pesakit akan berasa letih dan lemah. Sebahagian darah mungkin tertinggal dan bertakung dalam atrium dan akan membentuk darah beku.

Menurutnya, darah beku akibat FA mungkin terpecah dan bergerak ke otak serta bahagian tubuh yang lain, Ini yang menyebabkan strok atau kerosakan serius kepada organ lain seperti jantung (lemah jantung).

Tambah beliau, pesakit FA mempunyai risiko lima kali ganda untuk mendapat strok berbanding mereka yang tidak mempunyai penyakit struktur atau organik jantung.

Ditanya mengenai simptom-simptom penyakit itu, beliau menegaskan seseorang yang menghidapi FA biasanya mudah berdebar secara tiba-tiba, merasa cepat letih, lemah dan juga sukar untuk bernafas.

Selain itu, penglihatan juga mungkin kelihatan kabur dan leher mudah berdenyut serta berpeluh selain panas badan.

Satu cara untuk mengetahui sama ada degupan jantung normal atau tidak ialah dengan mengira dan merasa denyutan nadi di pergelangan tangan.

Jika denyutan terlalu cepat atau tidak sekata, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun pesakit FA kini tidak perlu gusar kerana terdapat penemuan baru di mana syarikat farmaseutikal, Bayer Healthcare baru-baru ini, melancarkan ubat terbaru yang dinamakan Xarelto sebagai perlindungan terhadap ancaman penyakit tersebut.

Xarelto yang juga dikenali sebagai rivaroxaban adalah ubat antipenggumpal oral yang dicadangkan pengambilannya sekali sehari pada dos yang ditetapkan tanpa perlu melakukan pemeriksaan darah secara rutin.

Pengurus Besar Bayer Healthcare Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr. Axel Bouchon berkata, Malaysia adalah negara pertama di Asia dan yang ketiga di dunia meluluskan penggunaan pil itu.

Awas! najis berdarah

KANSER kolon merupakan kanser yang terdapat di dalam usus besar (kolon) iaitu bahagian bawah sistem pencernaan anda. Kanser rektal pula terdapat di lapan hingga 10 inci terakhir kolon.

Apabila kedua-duanya bergabung, ia dikaitkan dengan kanser kolorektal dan menjadi punca kedua kematian yang melibatkan kanser di Malaysia terutamanya kaum lelaki.

Menurut Perunding Bedah Kolorektal dan Laparoskopik Hospital Prince Court, Dr. Yunus Gul Alif Gul, kes kanser kolorektal kini semakin meningkat.

“Dianggarkan 10 peratus menghidap penyakit ini di seluruh dunia. Kes pertama yang dilaporkan di Malaysia adalah pada 2002. Statistik terkini menunjukkan 14.2 peratus pesakit adalah lelaki dan sembilan peratus pesakit wanita. Secara keseluruhannya, orang Cina paling banyak menghidap kanser ini. Kanser ini juga menjadi penyakit kedua tertinggi selepas kanser payudara bagi wanita dan paling banyak di kalangan lelaki,” ujarnya.

Dr. Yunus Gul menerangkan, simptom penyakit ini adalah perdarahan dari dubur, perubahan rutin membuang air besar, sembelit, anemia (kurang darah), berat badan menurun dan ada kemungkinan tidak ada gejala. Ini bergantung pada ukuran dan kedudukan tumor.

Tambahnya, kanser ini boleh merebak tanpa mengira usia.

“Statistik menunjukkan lebih 80 peratus pesakit merupakan mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Namun, jika anda pernah mempunyai kanser atau adenoma polipus, anda berisiko lebih tinggi untuk menghidap kanser kolorektal pada masa akan datang.

Kebarangkalian anda menghidapi kanser kolorektal adalah tinggi sekiranya ahli keluarga anda mempunyai penyakit tersebut,” jelasnya.

Diagnosis

Dr. Yunus Gul menyarankan, jika terdapat simptom-simptom kanser kolorektal, segera berjumpa doktor untuk ujian penyaringan yang teratur.

Tambahnya, di Amerika Syarikat misalnya, terdapat saranan supaya penyaringan kanser kolorektal bermula pada usia 50 tahun dan ia diadakan dengan lebih kerap atau lebih awal jika anda mempunyai latar belakang keluarga yang menghidap penyakit tersebut.

“Penyaringan amat penting untuk mengesan polipus sebelum ia bertukar kanser. Pesakit juga mempunyai peluang yang baik untuk pulih jika kanser berjaya dikesan pada peringkat awal.

Kebanyakan kes yang saya temui sudah di peringkat ketiga dan keempat.

Perasaan risau dan takut untuk melakukan ujian penyaringan perlu diubah. Kebanyakan prosedur ini hanya mendatangkan ketidakselesaan yang minimum,” tambah beliau.

Dr. Yunus menjelaskan, antara penyaringan yang dilakukan adalah dengan menjalani pemeriksaan rektal secara digital.

Selain itu, doktor akan melakukan ujian darah fekal okulta untuk memeriksa sampel najis.

Kaedah lazim lain yang sering digunakan ialah sigmoidoskopi yang fleksibel dengan menggunakan tiub halus dan berlampu di hujungnya untuk memeriksa rektum dan sigmoid anda.

“Doktor juga sering menggunakan kolonoskop iaitu satu tiub yang panjang dan halus disambungkan ke kamera video dan monitor bagi membolehkan doktor melihat keseluruhan kolon dan rektum anda.

Kebiasaannya, doktor turut melakukan ujian genetik. Ini penting bagi anda yang mempunyai latar belakang sejarah kanser kolorektal,” katanya.

Golongan berisiko

Kanser ini juga dikaitkan dengan diet yang rendah fibernya dan tinggi dalam lemak dan kalori.

Keadaan semakin rumit apabila anda tidak melakukan senaman atau tidak aktif kerana sisa-sisa buangan akan berada di dalam kolon anda dengan lebih lama.

Justeru Dr. Yunus Gul menggalakkan anda melakukan aktiviti fizikal secara teratur bagi mengurangkan risiko kanser merebak.

Tambah beliau, mereka yang merokok dan minum alkohol juga berisiko tinggi menghidap penyakit ini.

Apa yang merunsingkan beliau, ramai pesakit keliru dengan simptom kanser ini dengan buasir apabila adanya darah di dalam najis.

“Ia mungkin menunjukkan tanda-tanda berlakunya kanser tetapi ia juga boleh menunjukkan keadaan-keadaan lain. Darah merah yang anda lihat pada tisu tandas mungkin akibat buasir atau koyakan kecil di dalam dubur anda. Bagaimanapun, lebih baik jika anda berjumpa doktor dengan segera jika terdapat sebarang tanda darah atau perubahan di dalam bentuk najis kerana ia boleh menunjukkan tanda yang lebih serius. Seelok-eloknya anda berjumpa doktor jika ia berlaku lebih daripada tiga hari dan berterusan,” katanya.

Rawatan dan pencegahan

Menurut Dr. Yunus Gul, rawatan yang lazim bagi kanser ini adalah pembedahan tetapi ia berbeza dengan kaedah pembedahan 10 tahun dahulu.

“Jika dahulu, pembedahan akan meninggalkan saiz parut yang besar pada bahagian perut tetapi sekarang ia hanya meninggalkan parut sebesar ibu jari. Malah, ada pesakit yang boleh bekerja selepas dua atau tiga minggu melakukan pembedahan.

“Rawatan kimoterapi pula bergantung pada tahap kanser. Walaupun kanser ini boleh dirawat, pesakit yang menjalani pembedahan perlu melakukan ujian penyaringan sepanjang 10 tahun pertama.

Ini kerana kanser ini berpotensi menyerang lagi di tempat lain atau kawasan yang sama,” ujarnya.

Sama seperti penyakit lain, ubat yang paling mujarab merawat penyakit ini adalah pencegahan.

Untuk itu, Dr. Yunus Gul menasihatkan agar mengamalkan cara hidup sihat, makan lebih sayuran dan makanan berserat tinggi, banyakkan minum air masak, elakkan alkohol, rokok dan bersenam.