Wednesday, July 29, 2009

Menyedut udara bersih Pusat Anti-Oksida

Oleh MERAN ABU BAKAR

Pelanggan berbaring di atas jubin panas selama 40 minit.

SEBIJI telur yang telah dipecahkan kering di dalam piring. Tidak busuk, tidak berbau, rupanya masih sama seperti telur yang baru dipecahkan.

Di sebelah piring telur, terdapat sebuah lagi piring yang di dalamnya sekeping roti. Keras seperti biskut roti, seolah-olah telah lama terdedah. Namun tidak kelihatan cendawan.

Apa relevannya telur kering dan roti keras itu dibiarkan untuk tatapan pengunjung yang mungkin akan membuatkan mereka mual. Pasti ada sesuatu yang istimewa di Pusat Anti-Oksida yang dikunjungi penulis kali ini.

Kata Pengurusnya, Cindy Wong, telur dan roti itu telah hampir setahun terbiar, tidak busuk dan tidak bercendawan. Itulah kuasa anti-oksida yang mampu memperbaiki kesihatan seseorang.

"Percayakah anda bahawa oksigen yang kita sedut sebenarnya berbahaya. Lihat sahaja kepada proses karat besi. Kaedah oksidasi yang sama berlaku di dalam tubuh setiap kali menyedut oksigen dan proses ini melepaskan radikal bebas dari tubuh,'' kata Cindy ketika ditemui di Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini.

Menurutnya, radikal bebas mendapatkan elektron daripada molekul berhampiran, mengganggu fungsi normal, mempercepatkan proses penuaan dan menyebabkan pelbagai penyakit.

Pencemaran, asap rokok, gaya hidup penuh tekanan dan diet yang tidak sihat merangsang kepada pembentukan radikal bebas.

Sehubungan itu, Pusat Anti-Oksida yang asalnya sebuah banglo persendirian dibina sebegitu rupa menawarkan rawatan melawan kehadiran radikal bebas dan menyedut persekitaran anti oksida.

"Pusat ini mengunakan bahan-bahan binaan seperti simen, kayu dan sebagainya yang telah dianti-oksida. Udara di sini segar dan tidak dicemari dengan radikal bebas,'' kata Cindy.

Justeru, Pusat Anti-Oksida yang satu-satunya di Malaysia ini dikunjungi oleh mereka yang ingin memperoleh kesihatan yang baik.

Menceritakan mengenai pembinaan pusat ini, kata Cindy, semua bahan binaan di pusat ini dicampur dengan larutan pekat anti-oksida yang diperoleh daripada mikro organisma ciptaan saintis Jepun, Shinichi Aida.

"Proses binaan yang unik ini dikatakan sama dengan Caldarium Roman, di mana air panas disalirkan di bawah jubin yang telah dirawat anti-oksida. Ia memanaskan jubin dan melepaskan anti-oksida ke dalam udara,'' ujarnya.

"Rejuvenasi anti-oksida yang ditawarkan di pusat ini membantu mengatasi anti penuaan dan berkesan untuk pelangsingan, memperbaiki pengaliran darah, metabolisme dan tekanan darah, mengurangkan tahap kolesterol dan melegakan kesakitan akibat sengal tulang, kebengkakan, selesema dan sembelit.

"Pesakit diabetes pula mendapati tahap gula di dalam darah mereka menurun pada normal selepas beberapa kali mendapatkan rawatan di sini.

''Cara rawatannya mudah dan menenangkan. Mereka yang datang akan diminta memakai pakaian yang longgar. Kemudian berbaring selama 40 minit di atas jubin panas. Pelanggan dinasihatkan minum segelas air anti-oksida selepas 20 minit pertama dan selepas rawatan.

"Bekas air di sini dicampur dengan seramik anti-oksida yang menukar air paip menjadi air ion alkali yang membantu melancarkan perjalanan darah,'' jelas Cindy

No comments: