Tuesday, October 27, 2009

Orgasma: pengukur kepuasan seks

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

KEPUASAN seks akan dapat dicapai andai pasangan saling bekerjasama ketika melakukan hubungan intim. - Gambar hiasan.

MAAF. Rencana ini agak sensitif. Terutama bagi masyarakat kita yang menjunjung tinggi kesopanan dan adat budaya.

Namun, ia sebenarnya isu yang sangat menarik dan perlu dilihat dari perspektif pendidikan kesihatan, kerana setiap insan hampir pasti akan melaluinya.

"Kesihatan seksual adalah keperluan asas manusia. Semua insan tidak kira lelaki atau wanita berhak memilikinya demi kesejahteraan hidup secara menyeluruh," kata Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Perubatan PrimaNora.

Menurut beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan seksualiti sebagai sebahagian daripada personaliti yang dimiliki oleh setiap individu; lelaki dan perempuan.

"Ia adalah keperluan asas manusia yang penting sama seperti aspek lain kehidupan," ujarnya.

Orgasma

Hubungan seks bermaksud hubungan kelamin antara dua individu berlainan jantina. Orgasma pula bermaksud mencapai kemuncak kepuasan syahwat ketika melakukan hubungan seks atau lebih mudah disebut klimaks.

Ia adalah dua perkara yang berbeza. Setiap pasangan yang melakukan hubungan seks belum pasti memperoleh orgasma.

"Semua pasangan berkahwin pernah melakukan hubungan seks. Namun, bagaimana pula dengan orgasma?" soal Dr. Nor Ashikin.

Bagi lelaki kata beliau, ia merupakan perkara biasa ketika melakukan hubungan kelamin namun wanita pula sebaliknya.

"Ada wanita yang mencapai orgasma setiap kali melakukan hubungan namun peratusannya sangat rendah, ada juga yang hanya sesekali dan jangan terperanjat, andai ada yang langsung tidak pernah merasainya," kata beliau.

Beliau merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh Durex pada tahun 2007/ 2008 di kalangan pasangan suami isteri di Malaysia, hanya 25 peratus wanita yang melakukan hubungan kelamin mencapai orgasme berbanding lelaki 62 peratus.

Kajian itu juga menunjukkan hanya 58 peratus wanita berpuas hati dengan intensiti orgasma mereka berbanding lelaki iaitu 66 peratus. Kajian tersebut mendedahkan wanita Malaysia ketinggalan dari segi pengalaman orgasma berbanding wanita Sepanyol (52 peratus), Mexico (51 peratus) dan Afrika Selatan (49 peratus).

"Orgasma membantu menyuburkan kesihatan seksual. Ia adalah sesuatu yang patut kita (sebagai wanita) kecapi dan rasa bangga. Katakan kepada suami anda, saya mahukannya kerana ia adalah hak saya," kata beliau.

Menurutnya, kesihatan seksualiti yang baik mempengaruhi fikiran, perasaan, tindakan dan perhubungan seperti juga kesihatan mental dan fizikal.

"Jangan terperanjat andai seks yang baik mampu menjana prestasi kerja yang lebih bagus," katanya lagi.

Seksualiti

Ditanya mengenai faktor utama mengapa wanita Malaysia sukar mencapai orgasma, Dr. Nor Ashikin berkata, ia banyak dipengaruhi oleh kepercayaan masyarakat kita.

"Bagi orang timur, berbicara mengenai seks adalah sesuatu yang tabu dan memalukan. Ilmu mengenai pendidikan seks tidak dibincangkan secara terbuka, kerana itu masyarakat kita terutama wanita tidak mendapat gambaran sebenar mengenai hubungan seksual yang sewajarnya," katanya.

Jelas beliau lagi, sudah menjadi adat orang Timur mengharapkan anak mereka 'faham' sendiri mengenai perkara berkaitan seks tanpa mahu memberi panduan mengenainya.

"Apabila berumah tangga, seandainya mereka tiada komunikasi yang baik antara suami isteri masalah ini akan berlaku," katanya.

Selain itu katanya, faktor umur juga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap orgasma individu, begitu juga dengan faktor kesihatan, pengalaman peribadi dan hubungan suami isteri.

Jelas Dr. Nor Ashikin, tahap seksualiti bergantung kepada sistem hormon, neurologi dan vaskular (salur darah).

"Organ seks sebenar yang paling penting dalam menentukan kebolehan untuk mencapai orgasma adalah otak kita sendiri," tekan beliau.

Katanya, hubungan intim mempengaruhi kitaran tindakbalas seks wanita. Ia bermula dengan keintiman emosi yang menjadi motivasi kepada seksualiti neutral wanita. Seterusnya ia merangsang seks yang mana faktor psikologi dan biologi memainkan peranan untuk meningkatkan tahap seks.

Keinginan seks akan meningkat lalu mencapai tahap kepuasan fizikal dan emosi.

Kitar tindak balas seks wanita

1. Peringkat pertama adalah keterujaan atau ransangan yang mana dicetuskan oleh stimulasi psikologi dan fizikal. Tanda-tandanya adalah perubahan emosi, peningkatan kadar denyutan jantung, respirasi dan penebalan dinding serta pengeluaran pelincir dari vagina.

2. Pengekalan rangsangan dipanggil plateau iaitu tahap kedua. Vagina akan menebal, kadar denyutan jantung dan ketegangan otot meningkat sekali gus stimulasi akan berterusan. Payu dara akan membengkak, puting payu dara menegang dan uterus terbenam.

3. Akhir kemuncak adalah orgasma.

4. Fasa terakhir adalah resolusi melibatkan pengaliran darah dari vagina ke seluruh tubuh, pengecutan payu dara dan puting payu dara serta penurunan denyutan jantung, respirasi dan tekanan darah.

"Orgasma adalah sensasi menakjubkan. Ada pendapat yang mengatakan bahawa malam yang baik mengundang kepada pagi yang baik di pejabat," kata Dr. Nor Ashikin sambil tersenyum.

Orgasma katanya, disebut juga sebagai destinasi terakhir dalam setiap hubungan seksual.

"Ironinya, tekanan yang kita letakkan pada diri untuk mencapai orgasma boleh memacu kita untuk memdapatkannya," kata Dr. Nor Ashikin.

Sebaliknya kata beliau, jika kita tidak fikirkan sangat mengenai orgasma dan tidak belajar bagaimana untuk memperolehnya (teori dan praktikal), peluang untuk memperoleh nikmat hubungan seksual termasuk orgasma samar.

Jelas beliau lagi, orgasma terbahagi kepada tiga jenis iaitu klitoris orgasma, orgasma dan gabungan kedua-duanya.

"Orgasma vagina berlaku ketika stimulasi di titik G (G-spot) menyebabkan orgasma tercapai lalu melibatkan sistem uterus dan juga reproduksi," katanya.

Intensiti orgasma

l tempoh dan intensiti orgasma berbeza antara seorang wanita dengan seorang yang lain dan satu pengalaman dengan pengalaman yang lain.

l orgasma berbeza antara satu pengalaman singkat yang cepat hilang berbanding sensasi pengalaman menakjubkan dalam tempoh sedikit panjang, hingga kemuncak nikmat.

l wanita biasanya mengambil masa yang lama untuk mencapai tahap orgasma

Punca sukar mencapai orgasma

Selain persekitaran, faktor utama yang menyebabkan wanita sukar mencapai orgasma adalah disfungsi seksual. Masalah ini berlaku di kalangan 20 hingga 50 peratus wanita.

"Ia melibatkan banyak faktor; biologi, psikologi dan personaliti. Juga tekanan emosi dan fizikal termasuk peningkatan umur," kata Dr. Nor Ashikin.

Ia termasuk masalah keinginan seksual, sukar mencapai kepuasan, orgasma dan sakit ketika melakukan hubungan seks.

"Masalah keinginan seks terbahagi kepada dua iaitu masalah keinginan seks hipoaktif dan masalah tidak suka seks.

"Masalah kesakitan pula antaranya dyspareunia (kekeringan bahagian labia), vaginismus (jangkitan kulat vagina) dan lain-lain masalah kesakitan.

Dari segi biologi kata beliau, faktor jantina dan umur, endokrin, kemurungan, kesihatan keseluruhan dan perubatan memainkan peranan.

Masalah emosi dan berkaitan tekanan, penderaan seks dan konflik hubungan antara faktor psikologi yang sering berlaku.

Selain itu kara Dr. Nor Ashikin, masalah pengaliran darah seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, paras kolestrol tinggi, merokok menyebabkan orgasma sukar dicapai.

"Masalah hormon seperti menopaus, masalah endokrin, kekurangan hormon selepas bersalin dan diabetes juga boleh menjejaskan orgasma," katanya.

Pilihan rawatan

"Mereka yang mengalami masalah mencapai orgasma perlu mendapatkan rawatan sewajarnya kerana ia menjejaskan kesihatan keseluruhan kita," kata beliau.

Bagi Dr. Nor Ashikin, pasangan perlu menjalani kaunseling untuk memulihkan semula tahap keinginan seks mereka.

Selain itu katanya, dapatkan juga terapi gantian hormon estrogen atau estrogen bersama androgen.

Rawatan bukan hormon seperti menggunakan pelembap atau pelincir ketika melakukan hubungan seks, akupuntur dan terapi herba juga boleh membantu.

Bagi mengurangkan kesakitan, Dr. Nor Ashikin mengesyorkan agar pasangan bertenang sebelum melakukan hubungan, mempraktikkan senaman Kegel, menggunakan pelincir dan mencuba posisi atau kaedah baru.

"Yang paling penting adalah berbincang dengan pasangan. Kembalikan kehangatan ketika baru berumah tangga, barulah anda boleh mencapai kemuncak ketika melakukan hubungan," kata beliau.

Syor beliau lagi, pasangan perlu merancang setiap kali ingin melakukan hubungan intim.

"Tanamkan dalam fikiran untuk mendapatkan seks yang terbaik, buangkan perasaan tidak selesa dan takut, nikmati masa anda berdua sebaiknya," kata beliau.

Seks ketika usia emas

Dr. Nor Ashikin berkata, usia emas tidak patut dijadikan alasan untuk tidak mengecapi nikmat hubungan seks.

"Pasangan masih boleh menikmatinya andai mereka benar-benar mahukan dan ia mampu menceriakan hidup mereka," katanya.

Beliau menyarankan agar pasangan tidak berasa gusar kerana seks pada usia ini memerlukan toleransi masa yang lebih panjang serta memerlukan stimulasi manual yang lebih.

"Berbincanglah dengan pasangan. Kongsi apa yang buat anda suka kepada pasangan," katanya.

Selain itu katanya, mengingati saat manis berdua ketika baru menjejak kaki ke alam rumah tangga mampu mengembalikan keseronokan bersama.

"Ambil masa untuk menjelajah semua aspek keseronokan bersama dengan memaksimumkan kemahiran rasa anda,"

Saturday, October 10, 2009

Kombinasi rawatan moden, tradisional

Oleh ZUHAYATI YAZID

Bilik terapi yang menyamankan.

BERSANTAI merehatkan badan di spa menjadi satu keperluan dominan pada masa kini khususnya bagi warga kota yang sememangnya sibuk seharian dengan pelbagai tugasan.

Kadang kala kehidupan yang semakin mencabar membebankan fikiran dan diselubungi tekanan yang meletihkan.

Apabila ini berlaku, tidak salah sekiranya meluangkan sedikit masa untuk membelai dan memanjakan tubuh yang telah dikerah bekerja sepanjang minggu.

Menawarkan hanya yang terbaik daripada ahli terapi yang betul-betul berpengalaman dan berkelayakan, kini St. Gregory di Hotel Park Royal Kuala Lumpur tampil dengan pengalaman rawatan spa yang menenangkan.

Kombinasi kaedah rawatan tradisional dan juga moden, spa ini merupakan lokasi terbaik untuk lari seketika daripada kesibukan kota.

Dengan keluasan 1,881 kaki persegi, St. Gregory Spa menampilkan persekitaran eksklusif dan mewah, hasil kombinasi mantap hiasan dalaman serta seni bina kontemporari.Lebih menarik, spa yang dilengkapi dengan lima bilik terapi, dua bilik terapi Jepun yang dikenali 'Mu Tong' serta sebuah bilik urutan kaki, turut menawarkan khidmat lain seperti rawatan muka, urut, rawatan lulur, mandian garam dan penjagaan kesihatan lain.

Salah satu pakej menarik dan ringkas di spa ini adalah urutan badan yang direka khas untuk menghilangkan sakit badan, ketegangan, masalah sendi otot serta tekanan badan.

Satu kombinasi untuk mengembalikan kecergasan badan dan minda, rawatan ini dimulakan dengan spa kaki aroma selama setengah jam dan diikuti pula dengan urutan menghilangkan tekanan ke seluruh badan.

Kurangkan stres di pejabat

DUDUK di kerusi dengan kedua-dua tangan memegang kerusi di celah paha. Biarkan kepala tunduk sambil melengkungkan badan anda ke belakang atau biarkan kepala dongak ke belakang sambil melengkungkan badan/pinggang ke depan.

RAMAI di antara kita akan mengalami ketegangan pada bahagian leher, bahu serta pinggang semasa atau selepas duduk lama di pejabat atau menggunakan komputer. Ketegangan ini biasanya disebabkan oleh otot-otot di bahagian leher, bahu serta pinggang bekerja atau berkontraksi secara statik (isometric contraction) dalam jangkamasa yang panjang.

Keadaan ini berlaku ketika melakukan kerja-kerja pejabat terutama jika bekerja dalam keadaan statik melebihi satu hingga dua jam dalam satu-satu masa.

Kontraksi statik otot-otot ini akan menyebabkan gangguan bekalan darah bernutrien dan beroksigen ke bahagian otak serta bahagian anggota pinggiran badan seperti tangan dan kaki.

Gangguan bekalan darah ini menyebabkan permintaan keperluan metabolisma sel meningkat, pengurangan sumber tenaga melalui proses metabolisma sel-sel, pengumpulan toksin hasil metabolisma sel serta menyebabkan sistem saraf kita lebih sensitif terhadap rangsang toksin.

Ini menyebabkan lebih lama anda mengekalkan kedudukan statik maka akan lebih tegang serta sakit yang akan anda alami pada bahagian otot leher, bahu serta pinggang.

Kontraksi statik otot di bahagian leher dan bahu yang lama akan menyebabkan kita berasa :

l Pening dan sakit kepala

2 Ketegangan serta sakit leher serta bahu

3 Ketegangan serta sakit otot di antara tulang belikat

4 Kebas dari bahu hingga ke hujung jari

5 Kelemahan otot bahagian leher, bahu serta tangan sehingga kita merasa tangan kita amat berat untuk menulis atau menaip

Ini juga boleh dialami pada bahagian pinggang:

l Ketegangan dan sakit otot di bahagian sendi pinggul serta punggung

2 Kebas dari punggung hingga ke hujung jari kaki

3 Kelemahan otot sekitar sendi pinggul, punggung serta kaki sehingga kita merasa kaki kita amat berat untuk berdiri atau berjalan

4 Kesukaran untuk menundukkan badan apabila hendak mengambil sesuatu yang terjatuh di atas lantai

Selain pengambilan ubat penahan sakit (analgesic) atau ubat bagi mengurangkan ketegangan otot (muscle relaxant) daripada pegawai perubatan, teknik senaman dari ahli fisioterapi juga boleh dilakukan bagi mengurang dan mengelakkan keadaan ini berlaku pada anda semasa bekerja di pejabat.

Senaman regangan ini selain membantu memperbaiki postur badan, penjagaan badan (body awareness), meningkatkan koordinasi badan.

Ia juga dapat meningkatkan pengaliran darah, meningkatkan tenaga, menggalakkan relaksasi serta mengurangkan stres.

Tip senaman berikut boleh diamalkan jika sekiranya anda terpaksa melakukan kerja pejabat dalam satu tempoh yang lama:

l Sentiasa bergerak bebas selepas setiap jam bekerja dengan mengubah posisi duduk, berdiri atau berjalan selama 1 - 5 minit

2 Minum air suam atau air mineral yang secukupnya kerana ia membantu badan menyingkirkan toksin dan membantu mengangkut nutrien dan oksigen ke seluruh badan

3 Melakukan senaman pernafasan dengan menarik dan menghembus nafas secara perlahan 5 - 10 kali kerana ia membantu mengurangkan ketegangan otot dan meningkatkan pengaliran darah bernutrien dan beroksigen.