Monday, February 22, 2010

Cinta lewat usia

Benarkah usia mempengaruhi hasrat cinta seseorang?

DALAM urusan percintaan, ada beberapa persamaan yang pastinya dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia.

Misalnya, bangkit perasaan berbunga-bunga saat sedang jatuh cinta, sehingga ada di antara anda mengalami tekanan perasaan, rasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya, ia jelas berbeza.

Usia 30-an

Ini merupakan saat di mana anda mula memikirkan alam perkahwinan dan mencari seseorang untuk dijadikan teman hidup. Tetapi malangnya, anda seringkali diketemu dengan orang yang tidak tepat, di saat atau di tempat yang tidak sepatutnya anda menjalinkan hubungan dengannya.

Anda juga akan berfikir, kenapa begitu sulit untuk bertemu dengan seseorang seperti yang diidam-idamkan selama ini.

Selain itu, anda akan memikirkan impaknya apabila anda mula jatuh cinta dengan seseorang yang tidak secocok, seperti yang didambakan selama ini. Akhirnya, masalah besar akan timbul. Agar tidak terlepas daripada segala kebimbangan, langkah yang disenaraikan minggu ini seharusnya diterapkan.

* Tentukan batas waktu

Saat anda merencanakan untuk mendirikan rumah tangga, tetapi pasangan tidak sependapat dengan anda dengan memberi pelbagai alasan serta pertimbangan, langkah pertama adalah dengan menentukan batasan waktu.

Beri kekuatan kepada diri sendiri, bilakah masa terbaik bagi menamatkan zaman bujang. Misalnya, anda menetapkan satu tarikh lain untuk memulakan bicara pernikahan dengan pasangan.

Tiba sahaja waktu yang telah anda tentukan, katakan kepadanya hasrat atau tujuan dan keinginan anda yang terpendam.

Sekiranya, tiada sebarang perubahan atau si dia masih terpinga-pinga untuk menjawab lamaran anda, kenapa harus membuang masa. Jadi, lakukan perkara yang difikirkan terbaik untuk anda.

* Fleksibel

Setiap orang mempunyai minat dan hobi yang berbeza-beza. Oleh itu, walaupun anda saling menyintai, masih timbul hal-hal kecil yang harus dihadapi. Dalam hal ini, bincang sebab dan cara penyelesaiannya.

Apabila pasangan memilih untuk menonton televisyen di rumah dan anda pula mengajaknya keluar, cari jalan penyelesaian. Misalnya, ajak dia minum kopi di sebuah kafe, kemudian barulah membawanya menonton pertandingan bola sepak kegemarannya di rumah. Ingat, tiada siapa yang dapat mengubah seseorang, selain insan yang benar-benar dia sayangi.

Dalam urusan percintaan, terdapat beberapa persamaan yang pastinya akan dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia. Misalnya, perasaan berbunga-bunga saat sedang dilamun cinta, sehingga membuatkan seseorang berasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya jelas berbeza.

Usia 40-an

Biasanya pada usia ini, mereka yang gagal dalam perkahwinan akhirnya akan memilih jalan singkat iaitu penceraian. Mereka yang gagal dalam perkahwinan pertama dulu, sekiranya kembali bercinta, biasanya mereka sudah lupa cara-cara menjalin hubungan atau berasa ragu untuk melakukan sesuatu walaupun telah menemui pasangan yang secocok.

* Perbaiki keterampilan bercinta

Apabila anda ingin bercinta buat kali kedua selepas putus ikatan perkahwinan, anda seharusnya menenangkan diri dahulu. Lakukan introspeksi dengan meminta seorang rakan menjadi teman kamu. Tanyakan kepadanya, apa kekurangan yang ada pada diri anda atau adakah anda perlu memperbaiki penampilan. Mungkin anda tidak menyedarinya secara langsung.

Satu perkara yang perlu diingatkan, perubahan yang anda lakukan tidak bererti anda harus berubah secara drastik. Anda tidak perlu melakukan pembedahan plastik untuk memperbaiki hidung atau anggota lain yang dianggap boleh memberi tuah kepada anda.

* Elak bercinta selepas cerai

Bagi sesetengah pasangan, mereka dilihat begitu terdesak untuk bercinta lagi sebaik sahaja baru bercerai. Apabila bercerai, anda memerlukan waktu untuk menyembuhkan luka lama dan bermuhasabah diri, misalnya mengapa terjadi perceraian. Ini penting agar kegagalan tersebut tidak berulang kembali.

Untuk mengetahui bahawa anda benar-benar ingin bercinta lagi, tanyakan kepada diri sendiri:

Adakah anda menganggap semua lelaki tidak guna?

Atau adakah semua wanita materialistik?

Adakah anda terikat dengan pelbagai kegiatan, selain anak-anak dan pekerjaan?

Adakah anda dapat mengendalikan diri dan dapat membentuk kehidupan percintaan baru?

Sekiranya jawapan anda 'ya' untuk semua pertanyaan di atas, bererti anda memiliki sikap dan pendirian yang sebenar.

* Hati-hati dengan buah hati

Tiada masa untuk bercinta? Luangkan waktu untuk bercinta dengan membawa anak-anak ke rumah sanak keluarga mahupun ibu bapa atau pengasuh yang boleh dipercayai. Anda tidak perlu memperkenalkan teman baru kepada anak-anak, tetapi cukup hanya mengatakan kepada mereka bahawa jika mereka memiliki kawan, maka anda juga memerlukan teman baik.

Perlu diiingatkan, anda seharusnya berterus-terang kepada anak-anak tentang apa juga yang anda rasakan ketika itu. Jangan sesekali menyimpan rahsia, takut nanti perkara tersebut terlepas ke telinga mereka tanpa diduga daripada pihak lain. Jika ini berlaku, masalah lain pula akan muncul. - NOOR HASLIZA NUSI

Saturday, February 13, 2010

Gout penyakit eksklusif lelaki

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

KEADAAN gout yang kronik dengan tofus jelas kelihatan.

GOUT adalah penyakit eksklusif untuk lelaki dan jarang sekali berlaku kepada wanita. Jika ada pun, kemungkinan berlaku hanya selepas wanita mengalami menopaus.

Apabila gout menyerang, kaki akan menjadi bengkak, panas dan amat sakit hingga ada sesetengah pesakit tidak boleh berjalan. Gout kronik berupaya untuk mengganggu kehidupan harian yang normal. Paling digeruni adalah kecacatan sendi dan otot, sama ada kecacatan ringan atau berat.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit gout juga berisiko untuk mendapat penyakit sistem kardiovaskular serta berupaya menyebabkan kegagalan ginjal.

Penulis mendapatkan pandangan Pakar Perunding Rheumatik, Dr. Anwar Samhari Mat Arshad dari Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang mengenai penyakit yang digelar 'Disease of King' ini.

Bagaimana serangan gout berlaku?

1 Akibat pemendapan kristal asid urik dalam rongga sendi. Lama kelamaan akan menyebabkan kristal garam dan mencetuskan rasa sakit sendi teramat sangat. Selalunya bermula dari sendi ibu jari kaki dan menular ke sendi lain.

2 Serangan gout berpunca dari peningkatan kadar asid urik dalam darah (hyperuriceamia).

Jenis-jenis gout:

Gout boleh dibahagikan kepada empat peringkat; -asimptomatik (tiada simptom), -akut -simptom gout berlaku secara cepat dan tiba-tiba; biasanya hanya menyerang tisu lembut pada beberapa sendi.

l interkritikal

2 kronik -serangan gout boleh berlaku berulang-ulang yang dipanggil polyarticular gout. Pesakit akan berasa amat sakit, kejang dan kaki berubah bentuk. Ada juga yang mungkin menghadapi masalah kaki bengkak, merah, panas dan demam.

Tofus

Pengumpulan asid urik boleh dilihat melalui pembentukan benjolan kecil di permukaan kulit yang dipanggil tofus. Pada keadaan yang lebih serius, tofus yang terlalu besar mungkin pecah dan mengeluarkan bahan seperti kapur. Selain kaki, gout juga boleh berlaku pada anggota badan yang lain seperti buku lali, lutut, tangan dan pergelangan tangan.

Jumlah tofus berkait rapat dengan berat badan dan kadar asid urik di dalam badan manusia. Tofus akan berkurangan apabila kadar asid urik berada di bawah paras empat mg/dl, dan menjadi lebih besar berat jika paras asid urik berlebihan dari 11 mg/dl.

Bagaimanapun, bukan semua sakit sendi disebabkan kristal asid urik kerana pemendapan kalsium pirofosfat dihidrat juga boleh menyebabkan kesakitan pada pergelangan kaki, lutut dan pergelangan tangan - yang dipanggil gout palsu atau pseudogout.

Risiko

l Jantina - lelaki lebih berisiko mendapat gout pada kadar 90 peratus.

2 Gaya hidup - Individu yang banyak minum minuman keras terutama bir dikatakan lebih berisiko mendapat gout.

3 Obesiti - individu yang mempunyai berat badan lebih 66 kilogram daripada berat badan normal.

4 Sesetengah penyakit - tekanan darah tinggi yang tidak dikawal, diabetes, hiperdislipidemia (paras lemak dan kolesterol yang tinggi) dan arteriosklerosis (penyempitan salur darah)

5 Individu yang menjalani pembedahan atau mendapat sakit tenat secara tiba-tiba.

6 Ubat tertentu - ubat mengawal tekanan darah dan kemoterapi juga dikenal pasti boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.

7 Genetik - kajian mendapati satu daripada empat pesakit datang daripada keluarga yang ada masalah gout.

8 Umur - gout biasa menyerang pesakit tua tetapi kini banyak kes membabitkan pesakit berumur 30 hingga 50 tahun. Manakala bagi wanita, kebanyakan kes bermula selepas umur putus haid.

Bila sepatutnya mendapatkan rawatan?

Dapatkan rawatan doktor dengan segera apabila sendi berasa panas, bengkak dan sakit kerana jika tidak dirawat masalah ini akan bertambah buruk serta boleh menyebabkan kerosakan sendi.

Rawatan

Buat masa sekarang, tiada rawatan khas untuk menyembuhkan gout tetapi masalah ini boleh dikawal dengan mengambil ubat penahan sakit bukan steroid (NSAIDs) seperti endomethacin, diclofenac atau ubat penahan sakit generasi baru seperti celebrex dan arcoxia.

Individu yang kerap mengalami serangan gout akan dibekalkan dengan ubat allopurinol oleh doktor untuk mengimbangkan paras asid urik dalam badan yang perlu diambil sepanjang hayat.

Beberapa ubat yang dicadangkan bagi rawatan jangka panjang termasuk uricosuric (probenecid dan sulphinpyrazone).

Manakala untuk serangan mendadak, pesakit boleh mengambil ubat antiinflamatori bukan steroid (NSAIDs), colchicine (untuk serangan yang kurang kerap) dan corticosteroids.

Untuk pesakit darah tinggi yang juga mengalami gout, disarankan untuk mengambil ubat darah tinggi yang dipanggil Losartan yang juga berkebolehan untuk menurunkan paras asid urik. Sejenis ubat anti-kolesterol yang dipanggil Lipanthyl juga mempunyai fungsi yang sama.

Diet untuk pesakit gout:

l buah ceri dan strawberi didapati mampu mengurangkan asid urik.

2 elakkan makanan tinggi purin iaitu yang berasal dari sumber protein

3 hadkan memakan daging kepada satu hidangan sehari

4 kurangkan memakan organ dalaman haiwan, sardin dan ikan bilis dan hasil daging.

Makan secara sederhana:

l asparagus, kacang lentil, kacang pea, cendawan, bunga kobis dan bayam.

2 minum banyak cecair, terutamanya air, untuk mencairkan dan membantu proses penyingkiran asid urik.

3 berhati-hati dengan ubat seperti aspirin, diuretik, vitamin C

Saturday, February 6, 2010

Ego atasi keinginan lelaki rawat penyakit

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto SHEFRY MONIZ

SIAPA lebih peka perihal penyakit dan mendapatkan rawatan? Wanita atau lelaki? Persoalan itu memang biasa dibangkitkan. Wanita selalunya lebih terbuka membincangkan masalah kesihatan mereka.

Bagaimana pula dengan kaum lelaki? Adakah mereka terbuka untuk berbuat demikian apatah lagi jika penyakit itu berkaitan dengan seksual dan urologi? Atau lebih tepat lagi, sanggupkah anda bertemu pakar untuk mendapatkan nasihat profesional andai mempunyai masalah sedemikian?

Persoalan yang menarik kerana lelaki secara keseluruhan jarang mengambil berat mengenai tahap kesihatan mereka dan kurang kesedaran berbanding wanita. Seperkara lagi lelaki biasanya enggan mengakui kelemahan diri apatah lagi jika berkaitan dengan kekurangan dari sudut keupayaan seksual.

Perunding Pembedahan Urologi, Prof. Madya George Lee Eng Geap mengakui kaum lelaki tidak begitu peka perihal penyakit sambil menarik perhatian empat sebab mengapa mereka bersikap demikian.

Pakar dari Pusat Perubatan Gleneagles Intan Kuala Lumpur menghuraikan sebab-sebab itu iaitu:

l Malu

Sikap malu menjadi sebab utama lelaki enggan bertemu doktor apabila mengalami masalah. Mereka risau jika keadaan mereka diketahui oleh rakan, saudara atau jiran dan menjadi bualan orang ramai.

l Takut

Sukar dan takut menerima hakikat mereka sakit. Kebanyakan berfikiran kalau ditakdirkan sudah sampai ajal (akibat diserang penyakit), maka mereka akan mati tanpa mahu berusaha mengubati penyakit tersebut.

l Tidak tahu

Tidak seperti kebanyakan penyakit yang menyerang wanita, penyakit lelaki kurang dihebahkan. Kita sering mendengar kempen kanser payu dara, kanser pangkal rahim dan sebagainya, tetapi kurang kempen prostat dan masalah lelaki yang lain.

l Tidak kisah

Jika diadakan kempen pun, mereka tidak kisah. Tidak seperti wanita yang aktif untuk menyertai sebarang aktiviti berkaitan dengan kesihatan mereka.

Tanggapan

Prof. Lee berkongsi penglibatan awalnya dalam bidang urologi. Niatnya kerana ingin memecah tembok kepercayaan lelaki yang tidak selesa membicarakan masalah kesihatan mereka apatah lagi bila menyentuh mengenai masalah seksual dan urologi.

Di awal pertemuan, beliau merujuk kepada tempoh hayat manusia di seluruh dunia. Secara umumnya jangka hayat wanita lebih panjang berbanding lelaki sebanyak lima tahun.

Di Malaysia sendiri, katanya, secara purata hayat wanita sehingga 75 tahun manakala lelaki 70 tahun tetapi adakah gambaran itu bermakna lelaki lemah.

Tahap kesihatan lelaki dilihat daripada dua aspek iaitu semula jadi (nature) dan penjagaan (nurture).

Semula jadi menurutnya, adalah faktor genetik yang tidak boleh diubah tetapi penjagaan perlu dititikberatkan untuk kehidupan yang lebih berkualiti.

"Wanita biasanya menghidap banyak penyakit, tapi peratus survivor adalah lebih tinggi manakala lelaki kurang dibebani penyakit, namun mereka kerap menemui ajal akibat penyakit yang menyerang secara senyap dan tiba-tiba," katanya.

Sikap

Semua ini kata beliau bergantung kepada sikap lelaki itu sendiri yang tidak suka diri mereka menjadi bahan bualan. Semestinya keadaan itu berkait rapat dengan psikologi lelaki yang dirumuskan oleh pakar perubatan itu sebagai sangat kompleks.

Lelaki akan rasa malu seandainya rakan-rakan mengetahui mereka mempunyai masalah kesihatan apatah lagi yang berkaitan dengan seksual.

Sebab itu dalam kes pasangan yang tidak mempunyai anak, wanita sering dipersalahkan biarpun ia mungkin disebabkan suami tidak subur.

Senario itu, menurut Dr. Lee adalah biasa biarpun masyarakat semakin terbuka tetapi mereka tetap meletakkan kesalahan kepada wanita.

Soal tahap kesedaran mengenai penyakit lelaki juga boleh dilihat menerusi jumlah jumlah Pakar Sakit Puan (Ginekologi) yang lebih ramai berbanding Pakar Urologi atau Sakit Tuan.

Di GIMC sendiri, pakar Urologi hanya sekitar lima orang manakala pakar Ginekologi jumlahnya dua kali ganda.

"Keterbukaan wanita menyebabkan mereka selesa berbicara dengan pakar Ginekologi lelaki mengenai masalah berkaitan seksual mereka tetapi lelaki pula sebaliknya. Tidak hairanlah jika negara ini hanya mempunyai seorang pakar Urologi wanita," katanya.

Kaedah psikologi terbalik

Meneruskan perbincangan mengenai tahap kesedaran lelaki mengenai kesihatan mereka, Dr. Lee sambil tersenyum mengakui secara dasarnya lelaki adalah insan yang sensitif dan mengambil berat.

Justeru untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang penjagaan kesihatan diri perlu menggunakan psikologi terbalik (reverse psychology). Misalnya, peringatan mengenai kesan kepada isteri dan keluarga akibat ketiadaan mereka kelak.

Mereka akan diingatkan tentang isteri dan anak-anak yang terpaksa meneruskan hidup bersendirian jika ditakdirkan mereka meninggal dunia.

Dr. Lee mengambil contoh mudah keberkesanan kempen yang dijalankan di United Kingdom.

Kempen yang berbunyi, "Anda akan mati jika memandu dalam keadaan mabuk" kurang berkesan berbanding mesej "Anda akan membunuh isteri dan anak seandainya memandu dalam keadaan mabuk."

Pendekatan

Ditanya pendekatan yang digunakan dalam merawat pesakit lelaki, beliau berkongsi rahsia iaitu dengan menganggap mereka sebagai kawan dan berkongsi masalah dengan mereka.

"Kerana itu saya cipta ruang yang lebih selesa untuk mereka mendapatkan rawatan di sini kerana pesakit lelaki mementingkan suasana," katanya.

Prof. Lee juga menyarankan agar pesakit lelaki yang mengalami masalah membawa rakan ketika mendapatkan nasihat profesional seandainya mereka malu.

"Kadangkala rakan mereka yang akan menjelaskan mengenai masalah tersebut. Lelaki biasanya lebih selesa memberitahu rakan," katanya.

Menyentuh sikap wanita yang tidak kisah dengan ruang dalaman klinik, katanya, lelaki akan berfikir berkali-kali untuk mendapatkan rawatan di klinik andainya mempunyai jururawat wanita dan poster di sekeliling pula hanya mengenai penyakit wanita.

Seksual lelaki dan urologi

Bercerita lebih lanjut mengenai masalah urologi. Dr. Lee menegaskan, ia berkait rapat dengan kesihatan seksual lelaki.

Tiga masalah kesihatan utama yang sering menyerang lelaki adalah berkaitan dengan kardio (jantung), risiko kanser dan kesihatan seksual serta penjagaan prostat.

Antara masalah seksual yang biasa dialami oleh lelaki adalah jangkitan penyakit seksual (STD), mati pucuk (ED), ejakulasi pramatang (PE), kemandulan, saiz dan bentuk zakar serta testis.

Manakala urologi pula seperti batu karang, kanser prostat, kanser testikular, pembesaran saiz prostat dan pelbagai lagi.

Lelaki muda, menurut beliau, malu untuk bertemu doktor sekiranya mempunyai masalah dengan alat kelamin mereka. Sedangkan perlu diingat kanser testikular hanya berlaku di kalangan lelaki muda.

Kebiasaannya pesakit hanya datang bertemu beliau ketika penyakit sudah pun melarat.

Friday, February 5, 2010

Penawar Hati daj Ketenangan

Ramai yang mengadu jiwa tidak tenteram, hati tidak bahagia kerana pelbagai masalah yang menimpa. Segala keperluan dunia cukup belaka, namum hati tetap resah gelisah. Sehingga apa yang ada di tangan seumpama tiada nilainya walaupun pada pandangan orang lain dianggap bertuah dan bahagia.

Untuk mendapat kebahgian dan ketenangan ini ramai yang sanggup berbelanja besar hanya untuk merasa bahagia sekejap. Ada yang terpaksa ke hujung dunia, kutub utara dan selatan, ada yang merentasi samudera yang terbentang luas, mendaki kemuncak gunung tertinggi bahkan meneroka hutan belantara hidup, bersama binatang semata hendak mencari kebahagian.

Begitulah kehidupan manusia yang tidak ada matlamat akhirat. Tiada tuhan dalam diri mereka. Pahala dan dosa bagaikan tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan mereka. Bagi mereka hanya material yang akan menjadi kayu pengukur untuk segala-gala perkara. Akhirnya mereka tewas, jatuh longlai tak bermaya. Kebahagian amatlah dekat dengan diri mereka. bahkan ianya bersemadi kukuh dalam jiwa manusia. Oleh kerana karat dosa dan noda menjadi penghijapnya, maka terhalang dia untuk menjumpainya.

Ibrahim Al-Khawwas pernah berkata bahawa penawar hati lima perkara:

1.
Membaca dan mentadabbur Al-Quran
2.
Mengosongkan perut (banyakkan puasa)
3.
Mendirikan solat malam
4.
Sentiasa bermunajat
5.
Mendampingi majlis-majlis orang yang soleh

Lihatlah, semua penawar hati yang resah dan gelisah ini dek berjuta masalah bukanlah sesuatu yang memerlukan modal yang besar untuk mendapatkannya. Ianya amat murah dan terlalu hampir dengan kita. Ayuh! Berfikirlah untuk mendapatkan kebahgian yang sebenar.