Saturday, May 14, 2011

Intervensi awal cegah kecacatan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto DJOHAN SHAHRIN SHAH & ABDUL NAZIR MOHAMED

JANGAN lengah membawa anak bertemu doktor andai berlaku sebarang komplikasi kesihatan yang serius.

PETIKAN ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pentingnya pemahaman ibu bapa terhadap punca yang boleh menyebabkan kecacatan di kalangan kanak-kanak baru-baru mendapat perhatian ramai.

Beliau antaranya mengingatkan mengenai pencegahan awal yang boleh dilakukan segera, sekali gus dapat mengelak sebarang risiko kecacatan kekal kepada anak.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semai Bakti, Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kepada Kanak-kanak anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Ipoh, Perak.

Sebenarnya kes kecacatan yang berpunca daripada kelalaian kita bukan perkara biasa di Malaysia. Mengimbas beberapa dekad lalu, ketika bidang perubatan negara masih lagi ditahap rendah, banyak berlaku perkara disebabkan beberapa perkara sebagai contoh demam panas. Walaupun kecacatan boleh dianggap takdir namun sebagai manusia, kita sekurang-kurangnya boleh mencuba untuk mengelaknya.

Bayi dan kanak-kanak adalah insan yang sangat terdedah kepada bahaya di persekitaran mereka. Lantaran itu, pemantauan kita sebagai ibu bapa, penjaga dan masyarakat sangat penting dalam memastikan tumbesaran mereka sempurna.

Menurut Perunding Pediatrik dari Hospital Pantai Cheras, Dr. Wong Chee Yeng, kecacatan di kalangan bayi serta kanak-kanak terbahagi kepada dua iaitu kongenital (sejak lahir) dan berpunca daripada kemalangan atau jangkitan.

"Kecacatan sejak lahir biasanya berpunca daripada kromosom atau genetik. Ia memang tidak boleh dielak. Namun kita boleh mengurangkan risiko seperti mengenalpasti puncanya," kata beliau.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, ibu yang berusia 40 tahun ke atas sangat berisiko melahirkan bayi yang mempunyai masalah kecacatan. Perkara itu boleh dielakkan dengan merancang kehamilan awal. Begitu juga dengan penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia.

Beliau turut menyarankan ibu hamil agar menjaga pemakanan seperti mengambil asid folik mencukupi dan iodin bagi mengelak kecacatan pada janin.

Satu lagi kecacatan berpunca daripada kemalangan atau jangkitan kuman pada otak misalnya meningitis.

"Sebenarnya demam sahaja tidak boleh menyebabkan berlaku kecacatan pada bayi atau kanak-kanak. Memang orang selalu sebut demam panas boleh mengundang kecacatan, sebenarnya ia tidak benar. Kecacatan berlaku jika terdapat jangkitan kuman pada otak seperti meningitis atau encephalitis," katanya.

Ditanya pada umur berapakah seorang bayi itu terdedah kepada risiko kata beliau ia boleh berlaku pada sebarang usia malah kanak-kanak berusia 12 tahun juga boleh terdedah kepada meningitis.

Jangkitan kuman tersebut katanya boleh dielak melalui suntikan imunisasi.

Menurutnya, kes meningitis 20 tahun berkurangan kebelakangan ini selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mewajibkan suntikan imunisasi Hib kepada setiap kanak-kanak.

Justeru beliau sangat berharap ibu bapa mengambil langkah pencegahan dengan mematuhi jadual imunisasi yang betul dalam usaha menghalang jangkitan tersebut.

Beliau tidak menolak terdapat juga bayi atau kanak-kanak yang sensitif kepada suhu tinggi ketika demam yang menyebabkan mereka mengalami sawan, namun perkara itu tidak mengundang kecacatan.

Ditanya sama ada mampukah janin yang mengalami kecacatan dirawat ketika dalam kandungan jelas beliau, di negara maju pembedahan melibatkan janin telah terbukti berjaya namun teknologi itu belum sampai ke Malaysia. Antaranya memperbaiki masalah spina bifida.

Saranan doktor:

1. Pastikan bekalan ubat paracetamol sentiasa disimpan di rumah. Periksa suhu badan anak, jika melebihi 38.5 C hingga 39 C bermakna anak demam. Andai perlu, guna ubat dubur untuk menurunkan suhu badan.

2. Lap seluruh badan dan kepala anak juga membantu untuk menurunkan suhu.

3. Jaga kebersihan kawasan rumah. Bagi pengasuh, perlu membasuh tangan setiap kali memegang seorang bayi sebelum bertukar kepada seorang lagi bagi mengelak jangkitan.

4. Ibu bapa dan penjaga perlu peka keselamatan anak. Jika anak kecil terjadi perhatikan keadaannya. Misalnya, muntah dan bertindak di luar kebiasaan (contoh, tiba-tiba diam, menangis atau sebagainya) anak perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

5. Jangan berlengah membawa anak mendapatkan pemeriksaan doktor andai berlaku sebarang keadaan yang boleh membawa kemudaratan.

6. Pastikan anak tidak terdedah kepada bahaya kemalangan di dalam mahu pun luar rumah.

1 comment:

armouris said...

info tentang bayi demam di SIHAT SELALU - FAQ Tentang Bayi Demam