Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
BERMULA dengan cakera padat cetak rompak
kemudian pakaian, beg tangan dan jam tangan tiruan berjenama mewah.
Kini jenayah terancang itu semakin berani apabila menjadikan
ubat-ubatan sebagai 'mangsa' terbaru yang mampu memberikan mereka
keuntungan berlipat kali ganda.
Dengan kos yang sangat kecil untuk pengeluaran ubat tiruan atau
palsu, perdagangannya sangatlah menarik dan menguntungkan. Di sebalik
keuntungan sesetengah pihak, kegiatan ini sebenarnya memudaratkan
kesihatan pengguna ubat tiruan.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendefinisikan ubat tiruan sebagai
produk tiruan yang disengajakan dan berlakunya penipuan label,
pengenalan untuk menjadikannya seakan-akan yang tulen. Ini termasuklah
kandungan dan kuantiti yang salah serta pemalsuan pembungkusan.
WHO menganggarkan sebanyak enam hingga sepuluh peratus iaitu
bersamaan USD 35 bilion (RM 121.36 bilion) ubat -ubatan yang berada di
pasaran dunia adalah tiruan . Angka tersebut adalah lebih tinggi di
beberapa negara terutamanya di negara-negara sedang membangun di
seluruh dunia.
Statistik rampasan ubat tidak berdaftar oleh penguatkuasa Bahagian
Perkhidmatan Farmasi, kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011
adalah sebanyak 344 produk ubat-ubatan tiruan daripada 17,768 jumlah
rampasan.
Melalui pengalaman bahagian Penguatkuasa Farmasi, jenis ubat tiruan
yang popular ialah ubat perangsang seks, ubat menguruskan badan, ubat
sakit sendi, ubat mengurangkan lemak, ubat untuk mengawal alahan,
gatal-gatal dan ubat selesema serta batuk.
Ketua Penolong Pengarah Farmasi (Kuatkuasa), Bahagian Perkhidmatan
Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Mazlan Ismail memberitahu,
pemalsuan dilakukan apabila produk tiruan itu menggunakan jenama dan
produk yang sama dan menjualnya dengan nama produk tulen atau asal
tanpa pengetahuan pengeluar produk tulen. Ubat tiruan ini menyerupai
ubat tulen yang sememangnya telah diuji serta diluluskan untuk
digunakan oleh masyarakat Malaysia.
" Ubat tiruan tersebut boleh dianggap sebagai parasit kerana
menggunakan label serta nama dagangan yang sama dengan penyediaan tulen
tetapi dikilangkan di premis yang tidak diluluskan serta menggunakan
bahan mentah yang tidak berkualiti," jelasnya
Risiko penyakit Menurut Mazlan, ubat tiruan
dikatakan berbahaya kerana boleh mengakibatkan peningkatan kos rawatan
dan menghidap penyakit lambat atau sukar sembuh . Pengguna turut
terdedah kepada bahaya bahan racun terkawal atau bahan tercemar.
Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada risiko
menghidapi pelbagai penyakit seperti masalah buah pinggang, tulang
rapuh, darah tinggi dan lumpuh.
Ini kerana ubat tiruan yang mengandungi logam berat dan bahan asing yang tinggi boleh merosakkan buah pinggang pengguna.
"Walau bagaimanapun, organ ini tidak akan menunjukkan sebarang
masalah atau kemerosotan sehinggalah hanya tinggal sebahagian kecil
sahaja yang masih berfungsi. Sekiranya ini terjadi, kemungkinan besar
organ tidak dapat diselamatkan lagi," katanya.
Lebih teruk, kesan ubat tiruan itu turut boleh mengakibatkan
gangguan pemikiran otak. Kegagalan fungsi otak akibat pengambilan ubat
tiruan boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk mengawal pergerakan
tubuh mereka walaupun pergerakan yang kecil seperti menulis.
Ubat -ubatan tiruan sebenarnya tergolong dalam kategori racun yang
boleh membawa maut kerana mengandungi bahan-bahan merbahaya seperti
merkuri dan arsenik.
Sebagai contoh, jika seseorang itu mengambil ubat batuk tiruan yang
mengandungi steroid, kesan yang mungkin dihadapi ialah tulang rapuh,
muka bengkak dan darah tinggi.
BerdaftarMazlan seterusnya menjelaskan Bahagian
Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan melalui Biro Pengawalan
Farmaseutikal Kebangsaan bertanggungjawab melalui peruntukan
undang-undang mendaftar semua produk farmaseutikal yang ingin
dipasarkan.
"Pada dasarnya semua produk farmaseutikal yang didaftarkan adalah
selamat, berkualiti dan berkesan. Sikap tamak haloba serta tidak
bertanggungjawab di kalangan segelintir masyarakat ini boleh
menyebabkan kesihatan pengguna terjejas atau pengguna menghadapi risiko
maut," jelasnya.
Sikap pengguna"Dengan sikap pengguna yang mempunyai
tahap kesedaran yang lemah dan masih membeli ubat -ubatan tiruan di
pasaran menjadikan kes-kes ubat tiruan semakin meningkat," katanya.
Tambahnya, jika perkara ini berlarutan dan tidak dikawal masyarakat
akan lambat laun boleh menjadi kurang yakin terhadap keberkesanan
pengambilan ubat sebagai penawar penyakit termasuk ubat tulen.
Seperti barang-barang tiruan lain, dengan kos yang rendah sebagai
modal menyediakan ubat tiruan juga mempengaruhi peningkatan kes, malah
bukti akan hilang setelah produk palsu digunakan menggalakkan lagi
aktiviti pengeluaran. Aduan daripada pengguna sendiri banyak membantu
pihak kementerian melakukan siasatan terhadap ubat tiruan .
"Antara langkah awal bagi mengenal pasti ubat tiruan adalah melalui
pemerhatian kepada bungkusan luar seperti kotak ubat , bentuk dan rupa
ubat serta kandungan ubat . Biasanya kualiti pada cetakan, bahan kotak,
rupa bentuk ubat dan sebagainya pada ubat tiruan adalah pada tahap
rendah. Belilah ubat - ubat dari pengedar yang sah dan boleh
dipercayai," jelasnya.
Bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil ke atas penjualan
ubat tiruan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan telah
melakukan pindaan undang-undang ke atas Akta Jualan Dadah.
Namun demikian, kesedaran orang ramai adalah penting dan laporan
segera tentang ubat tiruan perlu diajukan terus kepada Bahagian
Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.
Mazlan menjelaskan, ubat tiruan dapat menipu pengguna terutamanya jika dibeli di tempat atau dari sumber yang tidak betul.
"Paling penting, pengguna perlu berhati-hati kerana ramai yang terpengaruh dengan iklan terutamanya golongan wanita," jelasnya.
Tambahnya, serbuan dan rampasan tidak dapat menghentikan penjualan
produk palsu dan tiruan selagi pengguna tidak memahami bahayanya dan
tetap memilih produk mengikut harga murah.
Namun, untuk memastikan produk ubat berdaftar dan tulen, perhatikan
label pembungkusan pada kotak atau pembalut ubat dan pastikan ia
mempunyai maklumat lengkap seperti nama pengeluar, pengilang, tarikh
pembungkusan, tarikh luput, dan paling utama nombor pendaftaran serta
hologram meditag KKM.
Jelas Mazlan, alat dekod meditag telah dibekalkan KKM secara percuma
kepada kebanyakan farmasi di seluruh negara bagi membolehkan pengguna
memeriksa ketulenan hologram KKM pada bungkusan ubat
Setakat ini, KKM telah mengedarkan meditag ke semua farmasi yang berdaftar dengan KKM.