Dengan kos yang sangat kecil untuk pengeluaran ubat tiruan atau palsu, perdagangannya sangatlah menarik dan menguntungkan. Di sebalik keuntungan sesetengah pihak, kegiatan ini sebenarnya memudaratkan kesihatan pengguna ubat tiruan.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendefinisikan ubat tiruan sebagai produk tiruan yang disengajakan dan berlakunya penipuan label, pengenalan untuk menjadikannya seakan-akan yang tulen. Ini termasuklah kandungan dan kuantiti yang salah serta pemalsuan pembungkusan.
WHO menganggarkan sebanyak enam hingga sepuluh peratus iaitu bersamaan USD 35 bilion (RM 121.36 bilion) ubat -ubatan yang berada di pasaran dunia adalah tiruan . Angka tersebut adalah lebih tinggi di beberapa negara terutamanya di negara-negara sedang membangun di seluruh dunia.
Statistik rampasan ubat tidak berdaftar oleh penguatkuasa Bahagian Perkhidmatan Farmasi, kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011 adalah sebanyak 344 produk ubat-ubatan tiruan daripada 17,768 jumlah rampasan.
Melalui pengalaman bahagian Penguatkuasa Farmasi, jenis ubat tiruan yang popular ialah ubat perangsang seks, ubat menguruskan badan, ubat sakit sendi, ubat mengurangkan lemak, ubat untuk mengawal alahan, gatal-gatal dan ubat selesema serta batuk.
Ketua Penolong Pengarah Farmasi (Kuatkuasa), Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Mazlan Ismail memberitahu, pemalsuan dilakukan apabila produk tiruan itu menggunakan jenama dan produk yang sama dan menjualnya dengan nama produk tulen atau asal tanpa pengetahuan pengeluar produk tulen. Ubat tiruan ini menyerupai ubat tulen yang sememangnya telah diuji serta diluluskan untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia.
" Ubat tiruan tersebut boleh dianggap sebagai parasit kerana menggunakan label serta nama dagangan yang sama dengan penyediaan tulen tetapi dikilangkan di premis yang tidak diluluskan serta menggunakan bahan mentah yang tidak berkualiti," jelasnya
Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada risiko menghidapi pelbagai penyakit seperti masalah buah pinggang, tulang rapuh, darah tinggi dan lumpuh.
Ini kerana ubat tiruan yang mengandungi logam berat dan bahan asing yang tinggi boleh merosakkan buah pinggang pengguna.
"Walau bagaimanapun, organ ini tidak akan menunjukkan sebarang masalah atau kemerosotan sehinggalah hanya tinggal sebahagian kecil sahaja yang masih berfungsi. Sekiranya ini terjadi, kemungkinan besar organ tidak dapat diselamatkan lagi," katanya.
Lebih teruk, kesan ubat tiruan itu turut boleh mengakibatkan gangguan pemikiran otak. Kegagalan fungsi otak akibat pengambilan ubat tiruan boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk mengawal pergerakan tubuh mereka walaupun pergerakan yang kecil seperti menulis.
Ubat -ubatan tiruan sebenarnya tergolong dalam kategori racun yang boleh membawa maut kerana mengandungi bahan-bahan merbahaya seperti merkuri dan arsenik.
Sebagai contoh, jika seseorang itu mengambil ubat batuk tiruan yang mengandungi steroid, kesan yang mungkin dihadapi ialah tulang rapuh, muka bengkak dan darah tinggi.
"Pada dasarnya semua produk farmaseutikal yang didaftarkan adalah selamat, berkualiti dan berkesan. Sikap tamak haloba serta tidak bertanggungjawab di kalangan segelintir masyarakat ini boleh menyebabkan kesihatan pengguna terjejas atau pengguna menghadapi risiko maut," jelasnya.
Tambahnya, jika perkara ini berlarutan dan tidak dikawal masyarakat akan lambat laun boleh menjadi kurang yakin terhadap keberkesanan pengambilan ubat sebagai penawar penyakit termasuk ubat tulen.
Seperti barang-barang tiruan lain, dengan kos yang rendah sebagai modal menyediakan ubat tiruan juga mempengaruhi peningkatan kes, malah bukti akan hilang setelah produk palsu digunakan menggalakkan lagi aktiviti pengeluaran. Aduan daripada pengguna sendiri banyak membantu pihak kementerian melakukan siasatan terhadap ubat tiruan .
"Antara langkah awal bagi mengenal pasti ubat tiruan adalah melalui pemerhatian kepada bungkusan luar seperti kotak ubat , bentuk dan rupa ubat serta kandungan ubat . Biasanya kualiti pada cetakan, bahan kotak, rupa bentuk ubat dan sebagainya pada ubat tiruan adalah pada tahap rendah. Belilah ubat - ubat dari pengedar yang sah dan boleh dipercayai," jelasnya.
Bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil ke atas penjualan ubat tiruan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan telah melakukan pindaan undang-undang ke atas Akta Jualan Dadah.
Namun demikian, kesedaran orang ramai adalah penting dan laporan segera tentang ubat tiruan perlu diajukan terus kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.
Mazlan menjelaskan, ubat tiruan dapat menipu pengguna terutamanya jika dibeli di tempat atau dari sumber yang tidak betul.
"Paling penting, pengguna perlu berhati-hati kerana ramai yang terpengaruh dengan iklan terutamanya golongan wanita," jelasnya.
Tambahnya, serbuan dan rampasan tidak dapat menghentikan penjualan produk palsu dan tiruan selagi pengguna tidak memahami bahayanya dan tetap memilih produk mengikut harga murah.
Namun, untuk memastikan produk ubat berdaftar dan tulen, perhatikan label pembungkusan pada kotak atau pembalut ubat dan pastikan ia mempunyai maklumat lengkap seperti nama pengeluar, pengilang, tarikh pembungkusan, tarikh luput, dan paling utama nombor pendaftaran serta hologram meditag KKM.
Jelas Mazlan, alat dekod meditag telah dibekalkan KKM secara percuma kepada kebanyakan farmasi di seluruh negara bagi membolehkan pengguna memeriksa ketulenan hologram KKM pada bungkusan ubat
Setakat ini, KKM telah mengedarkan meditag ke semua farmasi yang berdaftar dengan KKM.
No comments:
Post a Comment