ASSALAMUALAIKUM, Tuan Haji. Saya mengalami penyakit batu karang sejak empat tahun lalu. Saya sudah menjalani pembedahan membuang batu dari buah pinggang tahun lepas. Tetapi penyakit itu kembali dan saya selalu mengalami kesakitan hingga ke hari ini.
Kadang-kala keluar darah semasa saya buang air kecil. Bolehkah perubatan Islam merawat penyakit batu karang?
* Akmal, Langkawi
Jawapan
Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah kerap menerima pesakit dengan masalah batu karang. Dianggarkan 15 hingga 20 peratus rakyat Malaysia mengalami penyakit ini semasa hayat mereka.
Batu karang kerap berlaku di kalangan lelaki berumur antara 20 hingga 40 tahun. Namun, ada juga wanita yang mengalami masalah batu karang.
Sakit yang dialami biasanya teruk dan tidak hairan jika lelaki dewasa boleh menangis bila sakit batu karang menyerang.
Batu karangBatu karang merupakan butir-butir pepejal keras yang terbentuk di dalam air kencing. Ia boleh terbentik di mana-mana organ badan yang berkait dengan proses pembentukan dan pembuangan air kencing seperti buah pinggang, pundi kencing dan saluran ureter (saluran menghubungkan buah pinggang dan pundi kencing).
Bagaimana terbentukBatu karang terbentuk apabila kandungan bahan seperti kalsium, oxalate, cysteine atau asid urik di dalam air kencing pada kadar yang tinggi. Batu boleh terbentuk jika bahan tersebut pada kuantiti biasa tetapi jumlah air kencing sangat rendah.
Bahan tersebut akan membentuk kristal halus yang kemudian melekat pada dinding buah pinggang dan membesar hingga menjadi batu karang. Biasanya, batu karang akan bergerak melalui saluran air kencing dan keluar dari badan apabila kita membuang air kecil. Batu karang akan menyebabkan rasa sakit jika saiznya besar dan tersekat di saluran air kencing.
Punca Pakar perubatan percaya pembentukannya dipengaruhi genetik, persekitaran, diet dan jangkitan kuman di saluran kencing. Oleh itu, sukar untuk menjangka siapa mendapatnya. Jika ada ahli keluarga pernah mendapat batu karang, maka anda mungkin boleh dapatnya. Mereka yang pernah dijangkiti kuman di saluran kencing mudah mendapatnya.
Simptom Simptom utama adalah rasa sakit teramat sangat di belakang atau pinggang, digambarkan lebih teruk daripada sakit bersalin.
Apabila sakit menyerang, ia berlanjutan selama 20 hingga 60 minit dan dalam tempoh itu, sakit akan datang dan pergi. Hampir semua pesakit batu karang ada kesan darah di dalam air kencing atau hematuria.
Ramai pesakit turut rasa sakit atau panas apabila kencing dan boleh nampak butiran pasir halus di dalam air kencing. Ada mengadu demam, menggigil, rasa loya dan muntah.
Namun, ramai pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom. Mereka hanya tahu mengenai batu karang melalui pemeriksaan kesihatan bertujuan mengesan penyakit lain.
Rawatan moden Rawatan bergantung pada saiz dan lokasi, kadar kesakitan dan keupayaan pesakit untuk minum. Jika doktor merasakan batu karang boleh keluar melalui air kencing kerana pesakit boleh tahan sakit, makan minum seperti biasa, mereka boleh berehat di rumah dan menunggu batu karang keluar sendiri.
Jika pesakit mengalami kesakitan teruk atau loya, doktor akan menahannya di hospital dan memberi ubat tahan sakit dan memasukkan air melalui saluran darah anda (IV fluids).
Jika pesakit mengalami demam dan sakit teruk, mereka akan ditahan di hospital untuk rawatan dan mengelak jangkitan kuman lebih serius.
Jika batu karang tidak dapat keluar sendiri melalui air kencing, doktor mungkin mengesyorkan pembedahan kecil atau prosedur perubatan lain antaranya proses Lithotripsy yang sesuai untuk batu karang bersaiz kurang 1 cm.
Pencegahan Pengambilan air yang banyak membantu mencegah kristal halus bercantum dan membentuk batu karang lebih besar. Ia juga memudahkan badan membuang batu karang yang bersaiz sangat kecil.
Pemakanan memainkan peranan mencegah pembentukan batu karang. Antara makanan yang menyebabkan pembentukan batu karang jika diambil berlebihan, daging, organ dalaman haiwan, garam, kacang, bayam, coklat, keledek, supplemen kalsium dan supplemen vitamin C berlebihan.
Rawatan al-Quran Ayat al-Quran memiliki mukjizat dan kelebihan untuk membantu penyembuhan masalah batu karang. Daripada pengalaman kami, ramai mengalami perubahan sangat positif selepas menerapkan rawatan menggunakan ayat suci al-Quran.
Kami memeriksa setiap pesakit yang datang berubat, jika ada gangguan makhluk halus, perawat akan membuang gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan.
Ayat-ayat tersebut adalah:
Surah al-Anbiyaa' ayat 74 hingga 81
Surah al-Qasas ayat 61 hingga 75
Surah al-Mukminun ayat 75
hingga 100
Surah al-Maidah ayat 48 hingga 55
Cara amalan ialah pesakit membaca surah pertama sebanyak tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu, pesakit perlu berdoa kepada Allah memohon sembuh.
Ayat di atas dan daripada surah al-Anbiyaa' berfungsi memecahkan atau menghancurkan batu karang di dalam buah pinggang atau pundi kencing. Bila batu hancur dan halus seperti pasir, ia mudah dikeluarkan dari tubuh pesakit semasa buang air kecil.
Pesakit harus ingat penyembuhan hanya dengan izin Allah. Kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; "….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
PenutupAllah berfirman di dalam al-Quran, surah at-Taghabun ayat 11, yang lebih kurang bermaksud;"Tidak ada sesuatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
Di dalam ayat suci al-Quran di atas, Allah menerangkan bahawa setiap musibah atau dugaan yang dihadapi oleh setiap insan di dunia hanya boleh berlaku dengan izin Allah.
Kesimpulannya, setiap sakit yang dideritai adalah satu bentuk ujian Allah; yang harus ditempuhi dengan sabar dan usaha penuh yakin dengan janji Allah yang pasti akan ada ganjaran buat hamba-Nya yang bersabar di atas musibah yang diturunkan. Insya-Allah, setiap usaha, doa dan kesabaran kita akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment