Saturday, September 10, 2011

Pengganti gula pasir

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto WAHIDIN SALIM

DIANGGARKAN antara 10 hingga 15 peratus rakyat Malaysia menghidapi penyakit kencing manis jenis II dan hampir 20 peratus lagi mempunyai pra kencing manis . Tetapi malangnya, lebih 50 peratus daripada mereka tidak menyedari mereka dihidapi oleh penyakit kencing manis . Yang menakutkan ialah bukan penyakit, tetapi akibat dari menderita penyakit ini.

Jika seseorang itu menghidapi penyakit kencing manis , maka dia menghadapi risiko lebih tinggi untuk menderita keadaan-keadaan yang berikut - tekanan darah tinggi, aterosklerosis, kegagalan jantung kongestif, neuropati, disfungsi erektil, osteoporosis, kanser, katarak, kegagalan buah pinggang dan penuaan pramasa.

Namun demikian, penyakit kencing manis jenis II boleh dicegah dan bagi mereka yang menghidapinya masih ada lagi peluang dan harapan.

Berdasarkan pengetahuan yang betul disertai dengan keazaman yang kuat, keadaan ini bukan sahaja boleh dikawal malahan dalam beberapa kes ia boleh dipulihkan sama sekali.

Atas keprihatinan tentang isu kesihatan ini, Uptrend 2U yang merupakan sebuah syarikat e-dagang memperkenalkan One Drop Sweetener,

Menurut ahli biokimia, Prof. Dr. Sofie Marzuki, One Drop Sweetener ini adalah pemanis 100 peratus semula jadi yang pertama di dunia dikeluarkan daripada pati tulen Sugar Cane Essential (SCE) yang dihasilkan dengan teknologi nano untuk memberi kelebihan tidak terdapat pada pemanis-pemanis lain.

"Ia boleh digunakan untuk memaniskan minuman panas atau sejuk dan memberi perasa kepada makanan baik yang dimasak, gril atau bakar. Ia tidak mengandungi gula atau karbohidrat yang boleh meningkatkan risiko kencing manis," Jelas Dr. Sofie.

Berkongsi

Dalam pada itu, duta Uptrend 2U, Amy Search berkongsi pengalaman mencuba pemanis ini dan mendapat reaksi yang baik daripada ahli keluarga dan kawan-kawan yang turut mencubanya.

"Saya pernah memberi kakak saya yang menghidap kencing manis untuk mencuba produk ini. Selain minum, kakak saya cuba menyapu pemanis ini di bahagian lukanya dan Alhamdulillah ia kering. Malah saya juga memberi pemain drum Search, Yazid mencubanya. Yazid juga lebih bertenaga selepas mencubanya," katanya.

Tambah Amy, One Drop Sweetener juga senang dibawa kerana disimpan dalam botol kecil. Amy menceritakan pengalamannya mengunjungi kedai makan dan memesan minuman tanpa gula. Dengan adanya pemanis ini, Amy tidak memerlukan gula pasir sebaliknya hanya mencampurkan setitik pemanis ini, rasa minuman itu sedap.

Gamat

Dalam pada itu, Uptrend 2U turut memperkenalkan produk gamat, NutriSense Nutri Gamat Gold. Produk ini diperakukan bapa gamat Malaysia, Profesor Dr. Ridwan Hashim yang mempelopori pengajian tentang nilai pemakanan gamat sejak tahun 1980.

Uptrend 2U turut memperkenalkan penapis kepala pancuran mandian jimat tenaga yang menyingkirkan klorin tosik, radikal bebas dan bakteria dengan berkesan. Pada masa sama, ia mengeluarkan bahan galian serta menambahkan kandungan oksigen dalam molekul air menyebabkan kulit dan rambut menjadi lebih sihat.

Pelancaran

Pelancaran produk-produk baru ini telah diadakan di pekarangan Wisma Uptrend 2U di pusat membeli-belah Jaya One, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pelancaran itu telah dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Susie Yeoh dan disaksikan oleh Presiden Pemasaran Antarabangsa, Gary Gan dan juga duta produk itu, penyanyi Amy Search.

Turut hadir pada majlis itu ialah dua pencipta produk terbaru tersebut iaitu Prof. Dr. Ridzuwan Hashim yang mencipta Nutri Gamat Gold dan Prof. Dr. Sofie Marzuki pencipta One Drop Sweetener.

Sehingga kini antara produk keluaran Uptrend 2U yang mendapat permintaan ramai ialah minuman kesihatan Kopi Beras Merah dan Kopi X'sotica, produk penjagaan peribadi Lumi Glow serta, haruman Confidenz.

Symptom kencing manis

l Kerap rasa dahaga dan membuang air kecil.

l Menghadapi masalah jangkitan kulat pada kemaluan.

l Penglihatan kurang jelas.

l Pesakit datang dengan komplikasi seperti penyakit buah pinggang.

Individu yang berisiko

l Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes seperti ibu bapa, adik-beradik atau datuk nenek.

l Wanita yang mengalami keguguran atau melahirkan bayi yang besar iaitu melebihi 9 oz atau 4 kilogram.

l Mereka yang gemuk.

l Mereka yang mengalami GTG.

l Mereka yang menghidap hipertensi.

l Paras kolesterol yang tinggi.

l Mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Saturday, September 3, 2011

Makan secara berhemah

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ABDUL NAZIR MOHAMED


SEBULAN berpuasa tidak patut dijadikan ‘tiket’ untuk kita menikmati apa saja menjelang Hari Raya. Apatah lagi dengan trend penganjuran rumah terbuka sepanjang Syawal.

Pasti kecur liur dibuatnya dengan segala jenis hidangan yang tersedia di depan mata.

Mungkin ada yang menganggapnya sebagai pesta menjamu selera. Namun kita sepatutnya lebih bertanggung-jawab terhadap kesihatan sendiri.

“Saya setuju kalau dikatakan rumah terbuka ibarat ‘perangkap’ kalori kepada tetamunya. Malah bukan saja pada bulan Syawal atau perayaan, ia termasuk ketika musim cuti sekolah, ketika kita berkumpul bersama keluarga atau rakan-rakan, kita biasanya terlupa dengan pengambilan makanan secara berlebihan,” kata Dr. Barakatun Nisak.

Beliau yang mesra disapa sebagai Dr. Nisak berkata, setiap kali berkumpul, kita pastinya tidak mengambil berat tentang makanan yang diambil dan secara tidak sedar makan lebih daripada yang sepatutnya.

Tambahan pula kebanyakan hidangan tradisi masyarakat kita terdiri daripada makanan yang tinggi kalori atau dalam bahasa saintifiknya makanan yang padat dengan tenaga (energy dense food). Semua itu kata beliau, menjadikan pengambilan makanan cukup mencabar buat semua terutama sekali mereka yang berpenyakit dan ingin menurunkan berat badan. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan hidangan yang diambil.

“Cuba bayangkan tiga keping dodol (sebesar syiling lima puluh sen) mengandungi 200 kalori. Ini bersamaan dengan satu setengah cawan nasi putih atau tiga keping roti putih. Itu belum lagi dikira dengan hidangan lain,” katanya.

Menurutnya, jika dilihat menu makanan tradisi kita seperti lemang, ketupat palas, rendang dan lontong, kebanyakannya menggunakan santan dan juga pulut yang dikelaskan sebagai makanan padat tenaga. Tiga keping lemang misalnya, mengandungi lebih kurang 400 kalori.

Begitu juga dengan kek dan biskut yang diperbuat daripada marjerin dan mentega yang dikenalpasti mengandungi kandungan kolesterol tinggi. Menurut beliau, sekeping biskut bersamaan dengan 20 hingga 30 kalori dan biasanya kita tidak makan biskut dengan sedikit.

Selain kolesterol, biskut dan kek yang diperbuat daripada mentega berasaskan sayuran (kecuali sumber kelapa sawit kerana ia lebih stabil) juga katanya lebih berbahaya kerana ia mengandungi asid lemak trans.

“Asid lemak trans tidak mudah dihapuskan seperti kolesterol yang boleh dikurangkan dengan bersenam dan penjagaan makanan,” katanya.

Penurunan berat badan

Menurutnya, setelah berpuasa selama sebulan kita tak patut mengamalkan makan apa saja kerana penurunan berat badan pada bulan tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang jitu.

“Memang kita biasanya turun berat sekitar dua atau tiga kilogram. Sebenarnya itu belum mencukupi buat mereka yang ingin menurunkan berat badan kerana ia hanya sekadar kehilangan air dari dalam tubuh,” katanya.

Ini kata beliau berikutan 70 peratus komposisi dalam tubuh terdiri daripada air dan beliau menyarankan seseorang itu patut menurunkan berat badan antara tujuh hingga 10 kilogram seandainya bertekad mengurangkan berat.

Malah ada juga katanya yang menambah berat badan atau tiada perubahan langsung ketika berpuasa kerana makan seperti biasa dan tidak bersenam.

Kata Dr. Nisak, dalam satu kajian yang dilakukan di negara Asia Barat, berpuasa sebenarnya tidak memberi kesan pada komposisi tubuh langsung.

“Ada orang berat badannya kekal kerana kalau kita kaji, ketika berpuasa kita hanya merehatkan perut sekitar sembilan jam. Sebenarnya kita tetap makan seperti biasa kerana sahur boleh diibaratkan seperti sarapan, berbuka pula makan malam manakala bagi sesetengah orang, mereka makan lewat malam lagi,” katanya.

Tambahan pula bulan puasa biasanya aktiviti senaman dikurangkan atau tidak dijalankan langsung. Ketika berpuasa, tahap metabolisma badan juga menjadi perlahan. Dengan makan yang banyak dimalam hari, akan menjadikan bulan puasa adalah waktu 'terbaik' mereka mengumpul lemak-lemak dalam tubuh. Dalam satu kajian yang pernah dijalankan pada tahun 2006, 60.1 peratus rakyat Malaysia langsung tidak mengamalkan cara hidup yang aktif.

Pengumpulan lemak pada perut ini kata Dr. Nisak akhirnya mengundang penyakit kronik seperti diabetis, sakit jantung, tekanan darah tinggi dan pelbagai lagi.

Kawal

Bagi Dr. Nisak, tetamu dan tuan rumah berperanan dalam menjaga pengambilan makanan ketika rumah terbuka.

Dari segi individu, mereka perlu memikirkan kesan jangka pendek dan panjang jika mengambil makanan secara berlebihan.

“Kesan jangka pendek adalah masalah yang akan berlaku pada perut kerana kita sudah berpuasa selama sebulan lamanya. Antaranya menyebabkan perut mengalami kembung, sakit sehingga mengalami cirit-birit,” kata beliau.

Dari segi kesan jangka panjang pula katanya ia boleh menyebabkan kegemukan yang mengundang pelbagai jenis penyakit jika tidak dikawal dari mula.

Perkara itu katanya tidak terjadi dalam masa pendek, ia memakan masa bertahun kerana secara purata, berat badan individu akan meningkat antara dua hingga tiga kilo setiap tahun manakala kadar metabolisme pula semakin menurun.

Beliau turut menasihatkan tetamu makan terlebih dahulu sebelum mengunjungi rumah terbuka bagi mengelakkan perasaan lapar yang menyebabkan kita mengambil makanan secara berlebihan.

“Sekurang-kurangnya alas perut sedikit dahulu. Cuba bayangkan kita pergi membeli juadah berbuka ketika masih berpuasa, memang kita teringin membeli pelbagai jenis makanan bukan? Namun bila berbuka nanti, kita tak mampu menghabiskannya,” kata beliau.

Dalam pada itu Dr. Nisak berkata, penganjur atau tuan rumah juga memainkan peranan penting bagi memastikan tetamu menikmati makanan yang menyihatkan dan berkhasiat.

Menurutnya, tuan rumah patut menyediakan makanan mengambil kira pendekatan 5M yang disarankan Kementerian Kesihatan iaitu mengurangkan gula, mengurangkan garam, mengurangkan lemak dan minyak, melebihkan sayur-sayuran dan melebihkan buah-buahan.

Katanya, tuan rumah patut menyediakan pilihan kepada kepada tetamu dengan menyajikan makanan berkhasiat dan kaya nutrien.

“Mungkin kita boleh gantikan santan dengan susu rendah lemak atau sediakan hanya satu makanan bergoreng manakala selebihnya kepada jenis panggang, berkuah atau sup. Selain itu tuan rumah juga boleh menggantikan kerepek dan biskut dengan melebihkan hidangan buah atau salad,” katanya.

Begitu juga dengan air yang dihidangkan, beliau berkata sepatutnya tuan rumah menyediakan pilihan air kosong bersama kordial. Atau pun menghidangkan minuman panas seperti teh atau kopi tanpa gula.

“Sediakan gula di dalam bekas supaya tetamu boleh tentukan sendiri rasa manis yang mereka perlukan. Cara ini lebih sesuai terutama untuk tetamu yang berpenyakit dan perlu kawal jumlah pengambilan gula mereka,” katanya.

Bagi Dr. Nisak, peranan tuan rumah sangat penting dalam memastikan hidangan sihat kerana sebagai tetamu mereka perlu menjamah hidangan yang tersedia demi menjaga hati orang yang menjemput.

“Sepatutnya makna rumah terbuka itu saling mengunjungi dan beramah mesra, bukannya dijadikan waktu untuk menjamu selera tanpa memikirkan kesannya,” kata beliau lagi.

Pengawalan kolesterol

sayur-sayuran antara pilihan makanan sihat.

SAYA membuat pemeriksaan kolesterol lebih kurang dua bulan yang lalu dan bacaan kolesterol total saya adalah 6.35 mmol/L dan dikatakan berada pada tahap tinggi.

Sebolehnya, saya ingin mencuba vitamin atau suplemen terlebih dahulu sebelum memulakan pengambilan ubat. Apakah yang sesuai untuk memandangkan saya juga sedang mengambil glukosamin untuk osteoartritis pada lutut?

JAWAPAN

Makanan seimbang yang disertai dengan aktiviti fizikal merupakan aspek yang harus diutamakan dalam usaha menangani kebanyakan penyakit masyarakat masa kini. Mungkin sesetengah dari kita sudah jemu mendengar cadangan ini, namun percayalah ia masih relevan dan terbukti berkesan hingga kini.

Kebanyakan daripada kita boleh melihat perubahan yang positif selepas sebulan berpuasa, terutamanya penurunan berat badan atau perut yang lebih kempis. Namun, ramai juga yang akan mengeluh apabila keadaan akan kembali kepada asal selepas sebulan hari raya. Begitu juga dengan masalah kesihatan lain seperti diabetes dan kolesterol.

Makan secara berlebihan dan tidak terkawal terutamanya dalam sebulan selepas hari raya dengan undangan rumah terbuka yang kebanyakannya menyajikan hidangan lazat yang sukar untuk ditolak. Makanan seperti kek, pelbagai biskut, kuih-muih yang seringkali menjadi hidangan wajib banyak mengandungi lemak trans akan meningkatkan pengambilan lemak yang tidak sihat. Tidak terkecuali hidangan lain seperti rendang ayam, daging, sate yang rata-ratanya mengandungi kolesterol dan lemak tepu yang sukar ditentukan kandungannya. Oleh yang demikian, hadkan pengambilannya dan makanlah secara sederhana.

Sementara mengawal pengambilan makanan adalah penting, mengambil suplemen untuk mengawal kolesterol mungkin berbaloi untuk dipertimbangkan. Red Yeast Rice yang mengandungi sejenis statin semula jadi hasil dari penapaian beras dan yis merah merupakan antara hasil penyelidikan yang bermanfaat dan seringkali disyorkan untuk pengawalan kolesterol.

Red yeast rice yang mengandungi monacolins merencatkan penghasilan kolesterol yang menyamai ubat statin dan dengan itu membantu mengurangkan paras kolesterol tubuh. Ia merupakan cara alternatif untuk menangani peningkatan paras kolesterol bagi mereka yang tidak mengambil ubat anti kolesterol.

Kita dinasihatkan agar menjauhi pengambilan lemak berbahaya, sebaliknya pengambilan lemak baik seperti asid lemak omega-3 akan memberi manfaat kesihatan. Asid lemak omega-3 tergolong dalam kumpulan asid lemak perlu yang tidak boleh dihasilkan tubuh, maka memperolehinya daripada makanan adalah perlu. Bagi masalah kolesterol, pengambilan asid lemak omega-3 seharusnya diambil sebagai suplemen harian kerana ia didapati memberi kesan tambahan dalam usaha mengawal peningkatan kolesterol. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengambilan kombinasi Red yeast rice dan asid lemak omega-3 dengan dos yang sesuai boleh bantu mengawal peningkatan kolesterol setara dengan pengambilan ubat anti kolesterol.

Asid lemak omega-3 daripada ikan atau suplemen minyak ikan boleh membantu mencegah masalah jantung di kalangan individu yang sihat dan juga bermanfaat kepada mereka yang sudah ada penyakit jantung. Asid Eikosapentaenoik (EPA) dan Asid Dokosaheksaenoik (DHA) yang terkandung dalam minyak ikan dari kumpulan omega-3 dibuktikan bermanfaat kepada jantung dengan menstabilkan plak pada arteri dan tekanan darah.

Amalan pengambilan minyak ikan juga diketahui mengurangkan risiko aterosklerosis; iaitu pembekuan arteri akibat pemendapan lemak, serangan jantung dan kegagalan jantung. Sumber omega-3 yang baik termasuklah salmon, sardin, trout, herring dan beberapa lagi. Bagaimanapun, ramai yang mempertimbangkan pengambilan suplemen minyak ikan untuk memperolehi jumlah yang mencukupi untuk perlindungan jantung yang optimum.

Pesakit diabetes kekang keinginan

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar BARIQ RAMADHAN RASMION (Pelatih Kolej Komuniti Paya Besar, Gambang, Pahang)

Pada hari raya, pesakit diabetes perlu mengawal pemakanan mereka bagi memastikan kandungan gula dalam badan tidak meningkat mendadak. - Gambar hiasan

SEKALIPUN hidangan makanan melimpah-ruah ketika menyambut Syawal tetapi itu sebenarnya bukannya untuk pesakit diabetes.

Pesakit diabetes mungkin rasa perit kerana sekadar melihat sahaja dan terpaksa mengekang keinginan demi mengekalkan paras gula dalam badan.

Setelah menunjukkan prestasi baik sepanjang berpuasa di bulan Ramadan, sudah tentu ia perlu diteruskan.

''Hendak makan boleh tetapi jamah sedikit sahaja supaya tidak terkilan untuk merasa makanan yang dihidangkan tetapi bukan dimakan sehingga kenyang,'' kata Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd, Dr. Zainordin Md. Noor.

Katanya, sekalipun perit bagi pesakit diabetes untuk mengawal selera makan pada musim perayaan yang sememangnya penuh dengan makanan tetapi hanya itu sahaja jalan terbaik untuk mereka.

Dr. Zainordin memberitahu, adalah merugikan jika pesakit diabetes tidak mengawal selera makan kerana kebiasaannya kandungan gula telah terkawal sepenuhnya pada bulan puasa.

''Jangan rosakkan paras gula yang terkawal selama sebulan itu dengan sekelip mata disebabkan pengaruh makanan yang dihidangkan dengan banyak di bulan Syawal,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, sepanjang bulan Ramadan kebanyakan pesakit diabetes dapat menurunkan paras gula selepas berpuasa sepanjang hari.

''Ada sesetengah pesakit, tahap gula antara empat hingga lima sahaja dan pencapaian ini sebenarnya cukup baik bagi pengidap diabetes,'' katanya.

Katanya, walaupun selepas berbuka puasa biasanya paras gula akan kembali tinggi antara 10 hingga 11 tetapi akan kembali normal setelah berpuasa pada siangnya.

Jelas Dr. Zainordin, untuk mengelakkan pesakit daripada terjebak dengan longgokan hidangan yang banyak maka ada baiknya jika mereka disediakan dengan hidangan sendiri.

''Ahli keluarga kena membantu menyediakan makanan untuk pesakit dalam bekas berasingan supaya jumlah makanan yang diambil itu tidak berlebihan,'' katanya.

Sehubungan itu katanya, pesakit masih boleh makan bersama dengan keluarga tetapi tidak perlu terikut-ikut mengambil makanan bersama orang lain dengan sesuka hati.

Katanya, tidak boleh juga disalahkan pesakit kerana sesiapa sahaja akan terpengaruh untuk makan kalau makanan yang enak terhidang dengan banyak di atas meja.

Selain itu, kata Dr. Zainordin, pesakit juga dinasihatkan supaya makan ubat yang telah diberikan oleh doktor selama setengah jam sebelum makan.

''Pengambilan ubat amat penting kerana pesakit diabetes tidak boleh mengabaikan ubat untuk mengawal paras gula masing-masing,'' katanya.

Selain itu, pesakit juga dinasihatkan tidak mengambil makanan tradisional yang dihidangkan pada hari raya seperti ketupat, lemang dan rendang dengan banyak.

Menurut beliau, semua makanan itu sememangnya kaya dengan kolesterol yang cukup mudah untuk meningkatkan paras gula.

''Cukuplah jika ingin makan lemang itu hanya sepotong kerana jika lebih sebenarnya ia mengundang lebih banyak kalori,'' kata Dr. Zainordin.

Katanya, pesakit diabetes masih boleh makan tetapi dalam jumlah yang kecil hanya selepas empat jam.

''Ini untuk memberikan masa supaya kandungan gula yang terdapat dalam makanan dapat diserap sepenuhnya,'' katanya.

Biasanya kata beliau, pesakit diabetes digalakkan makan kerap iaitu empat hingga lima kali sehari tetapi dalam jumlah yang kecil.

Dr. Zainordin memberitahu, cara pemakanan yang kerap tetapi sedikit itu lebih baik supaya kadar gula dapat dikawal dan tidak naik mendadak.

''Pesakit perlu sedar adalah penting menjaga makanan di peringkat terkawal ini bagi mengelak penyakit ini lebih teruk sehingga terpaksa melakukan suntikan insulin,'' katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Zainordin pesakit yang sudah di peringkat teruk yang terpaksa menggunakan suntikan insulin lebih mudah mengawal gula khususnya di musim perayaan.

''Ini kerana mereka biasanya akan lebih berhati-hati ketika mengambil makanan dan jika terlebih makan biasanya mereka akan menambah dos insulin yang diperlukan,'' katanya.

Disebabkan makanan punca pesakit diabetes bermasalah, maka Dr. Zainordin menasihatkan agar memakan buah-buahan yang mengandungi banyak serat dan lebihkan minum air kosong untuk menstabilkan kandungan gula.

Katanya, motivasi dalam diri pesakit diabetes itu amat penting kerana pada peringkat ini tidak ada siapa yang akan dapat membantu tetapi ia banyak terserah kepada diri sendiri.

Beliau berkata, jadikan latihan sebulan berpuasa di sepanjang Ramadan itu berterusan bukan sahaja pada bulan Syawal tetapi pada bulan-bulan seterusnya.

Dr. Zainordin memberitahu, apa pun selain mengawal makanan pesakit dinasihatkan juga sesekali tidak meninggalkan ubat yang telah disyorkan oleh doktor.

Pembendungan air punca obes?

Pembendungan air menjadi salah satu faktor seseorang itu sukar menurunkan berat badan. - Gambar hiasan

KALAU waktu haid saya rasa badan seolah olah mengembang saja. Baju menjadi ketat dan kaki seakan akan membengkak. Bila saya timbang berat naik meski pun saya mengamalkan diet yang ketat.

‘‘Benarkah air boleh bertakung dalam badan kita? Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan masalah ini,’’ tanya Shima.

Pembendungan air di dalam badan merupakan masalah yang dipengaruhi oleh hormon kita. Maka tidak hairanlah kaum wanita lebih terdedah kepada gejala ini berbanding lelaki. Ini kerana wanita mempunyai hormon yang lebih banyak dan lebih sensitif kepada kandungan air. Ia juga mudah menyerang mereka yang mengalami obesiti. Ini kerana mereka yang obes sememangnya mempunyai kadar hormon tidak seimbang dan obesiti akan merosakkan hormon di dalam tubuh.

Dari manakah air ini muncul dan bagaimanakah terjadi begini?

Water retention atau pembendungan air di dalam badan merujuk kepada masalah pengumpulan cecair yang terlampau di dalam saluran darah dan di dalam tisu pada tubuh.

Sebanyak 90 peratus air dalam tubuh berada di dalam salur darah manakala 10 peratus lagi di dalam tisu tubuh. Air membentuk darah kita menjadi medium di mana oksigen dan zat makanan larut di dalamnya. Oksigen dan zat makanan kemudiannya dibawa ke seluruh tubuh dan diambil oleh kelenjar, tulang dan otot kita.

Air diregulasikan oleh hormon bernama prostaglandin yang kehadirannya banyak pengaruh kepada buah pinggang. Air diserap semula jika tubuh kekurangan air dan jika berlebihan pula air dibuang menjadi air kencing.

Hormon yang mempengaruhi kehadiran air dalam sel ialah progesteron, tiroid, kortisol dan insulin. Jika di perhatikan hormon ini juga banyak terlibat dan dikatakan penyebab masalah obesiti.

Di dalam tubuh mereka yang obes adakalanya mekanisme kawalan air menjadi rosak dan mereka mudah menjadi sembap.

bengkak

Kelebihan progesterone biasanya menyebabkan air berkumpul pada sel sel perut dan buah dada. Payu dara terasa bengkak dan sakit. Selain itu air juga boleh berkumpul pada perut dan lama kelamaan perut membesar menjadi buncit seperti wanita hamil. Ini kerana hormon tersebut terlibat secara langsung dalam kehamilan.

Masalah kekurangan hormon tiroid menyebabkan pegangan air pada muka leher dan belakang tubuh. Sel-sel akan dipenuhi oleh cecair melekit yang menyerupai hyaluronik asid. Selain itu pengidap juga akan mudah keletihan dan cepat dilanda stres. Oleh kerana kekurangan tiroid boleh merosakkan fungsi jantung, maka biasanya pengidap akan berasa kurang senang dengan jantung yang berdebar-debar. Keadaan ini dinamakan myexedema.

Kelebihan kortisol juga menyebabkan air berkumpul di dalam sel menjadikan sel lemak terutamanya akan bengkak. Belakang leher akan membonjol dan ini dinamakan sebagai buffalo hump. Muka juga kelihatan bengkak dan bulat dan ini dinamakan moon face dalam bahasa perubatan. Kortisol seterusnya akan menurunkan paras insulin menjadikan seseorang mempunyai paras gula yang tinggi.

Insulin merupakan hormon yang paling banyak dikaitkan dengan obesiti. Kajian terkini menunjukkan adalah benar insulin yang tinggi membuatkan kita semakin gemuk kerana insulin menggalakkan pengumpulan lemak terutamanya pada perut dan merosakkan hormon yang lain secara tidak langsung mencetuskan pembendungan air.

Bagi mereka yang mempunyai masalah jantung pembendungan air dalam tubuh membuatkan kaki menjadi bengkak dan nafas menjadi semput sekiranya air mula berkumpul di paru paru. Keadaan ini memerlukan rawatan spesifik dan ubat-ubatan perlu sentiasa diambil.

Satu lagi organ tubuh yang memantau air di dalam tubuh ialah buah pinggang. Kerosakannya turut menjadikan air berkumpul terlalu banyak dalam tubuh. Keadaan ini berbahaya kerana kekotoran tidak dapat dikeluarkan dari darah menyebabkan sisa toksik berkumpul dalam badan.

tekanan

Sebab lain menimbulkan masalah pembendungan air sebegini ialah apabila seseorang mengalami kekurangan protein darah yang serius. Kekurangan seperti ini menyebabkan tekanan osmosis kurang dan air mula bergerak ke sel-sel menghasilkan keadaan tubuh yang sembab. Kerosakan hati boleh menimbulkan keadaan sebegini kerana hati merupakan organ yang mensistesiskan protein kita. Kerosakan hati membuatkan protein darah menjadi kurang.

Satu sebab menarik yang membuatkan perut menjadi buncit ialah kehadiran histamine. Histamine merupakan bahan yang terhasil apabila berlakunya radang pada perut. Makanan yang tidak sesuai, kehadiran parasit mungkin mengundang penghasilan histamine. Apabila histamine keluar sel-sel menjadi kembang dan perut menjadi buncit.

Rawatan yang terbaik adalah dengan mengenal pasti punca berlakunya pembendungan air dalam tubuh anda dan merawat punca tersebut.

Bersenam, mengamalkan diet yang betul dan meningkatkan meningkatkan metabolik akan membantu mengatasi masalah ini dan menjurus ke arah kehidupan yang lebih sihat dan gembira.

Pesakit AF kembali aktif

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto RIDUAN RIZAL


KEHIDUPAN pesakit Atrial Fibrillation (AF) atau pemfibrilan atrium sebenarnya lebih mencabar daripada pesakit jantung yang lain.

Selain berhadapan dengan rutin rawatan yang rumit, mereka juga melalui proses diet yang ketat.

Demi kesihatan mereka sanggup melakukannya dengan pemantauan doktor yang lebih kerap.

Lebih membimbangkan pesakit, mereka akan menjadi beban kepada keluarga.

Bercerita pengalaman saat perit berhadapan dengan AF, Jamaludin Kamarudin, 58, mula diserang penyakit itu pada 2003.

“Ketika itu saya di rumah dan tiba-tiba saya mula berpeluh. Kemudian, saya tidak boleh bergerak. Isteri saya, Maimun Majin yang ditemani anak kami, Johana Intan Suria bergegas membawa saya ke hospital. Saya koma selama empat hari.

Selepas sedar daripada koma, saya telah didiagnosis dengan AF.

Saya sebenarnya mempunyai sejarah penyakit lain, sudah biasa mengambil ubat dan bersedia menjalani rawatan,” ujarnya.

Di sebalik ketenangan Jamaludin, Johana mengakui sangat risau melihat keadaan bapanya yang koma.

“Saya bimbang dia telah mati. Kini saya belajar untuk menghargai masa dengan bapa,” ujar Johana.

Dalam pada itu, pesara pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri itu mengekalkan gaya hidup sihat walaupun mengakui agak sukar meneruskan rawatan di hospital.

“Saya berjalan lebih kurang lima kilometer sehari. falsafah saya sangat mudah, saya hanya membawa tablet ubat dua kali sehari dan sekiranya saya tidak mengambil ubat, saya akan mati,” kata Jamaludin sambil tersenyum.

Perubahan

Kehidupan Jamaludin kini semakin ceria apabila dia mula menggantikan ubat AF yang lama kepada ubat yang ditadbir di bawah kajian RE-LY.

Dia tidak perlu lagi mengawal pemakanan seperti dahulu dan terikat dengan rawatan hospital.

Pada usia emas ini, Jamaludin yang menetap di Seremban, negeri Sembilan dapat bergerak bebas tanpa perlu rasa takut.

Melalui pengalaman yang hampir sama, Quek Swan Leng, 71, yang sebelum ini bekerja dalam industri pembinaan menghidap AF lebih daripada 18 tahun. .

Dengan rawatan konvensional, anak perempuannya, Bey Leei, 37, berkata tiada banyak perubahan yang dialami bapanya selama ini.

“Bapa saya meneruskan rawatan ubat, menjauhi sayur-sayuran seperti brokoli. Di samping itu, bapa saya tidak boleh mengambil makanan tambahan atau herba tradisional seperti ginseng tertentu. Cuma selama ini kami bimbangkan rawatan AF yang lama mungkin menyebabkan darah beku atau strok. Namun masalah ini seolah-olah telah diselesaikan dengan mengambil ubat yang ditadbir di bawah kajian RE-LY,” ujar Bey Leei.

Walaupun lega, Quek mengakui dia akan mengambil ubat seumur hidup.

Adakah anda berisiko?

Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr. Razali Omar menjelaskan, AF adalah keadaan membabitkan bahagian atrium jantung tidak berdenyut seperti biasa sebaliknya bergetar dengan laju.

Keadaan itu disebabkan wujudnya aktiviti elektrikal yang tidak terkawal di atrium kiri jantung.

“Kehadiran impuls elektrik yang luar biasa mengganggu pusat isyarat elektrik iaitu sinoatrial node (SAN) yang berfungsi mengawal kadar denyutan jantung.

“Ia menyebabkan kadar denyutan jantung dan nadi menjadi luar biasa dan tidak stabil,” ujarnya.

Jelas Dr. Razali, apabila gangguan itu berlaku, proses mengepam darah dari jantung ke seluruh badan akan terjejas.

Gara-gara tidak dipam kaluar secara berkesan dari jantung seperti kebiasaannya, darah mula bertakung di atrium, terutamanya di ruang kosong yang dipanggil apendaj atrium kiri (LAA).

“Takungan darah akan bergumpal membentuk ketulan darah beku.

Darah beku ini sangat mudah tertanggal dan dibawa aliran darah melalui arteri ke bahagian otak lalu menyebabkan serangan strok,” katanya.

Menurut Dr. Razali , antara simptom-simptom AF ialah rasa berdebar-debar, kadar denyutan nadi tidak konsisten, pitam, kesukaran bernafas dan kelesuan.

“Individu yang mengalami AF biasanya akan dirujuk kepada pakar kardiologi. Kaedah rawatan bergantung kepada jenis AF, tahap keseriusannya dan tahap kesihatan pesakit,” katanya.

Keistimewaan urutan saraf

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto NOOR AZLINA JAAFAR

GADAFI menunjukkan cara rawatan urat. Manakala Saiful nampak tenang dan lega.

MOHD. Saiful Azhar sering mengalami kembung perut dan berangin. Mungkin tekanan kerja menyebabkan dia sering letih dan tiada masa berehat. Ini menyebabkan badannya letih dan sentiasa berangin.

Menerusi seorang rakan, Saiful mengenali pemilik Darul Irsyad , Gadafi Mohd Zuki.

Sebelum mendapatkan rawatan, Saiful bertanya pada Gadafi tentang perbezaan rawatan tradisional dan saraf.

“Urutan saraf menggunakan titik saraf manakala urutan tradisional lebih kepada daging tubuh badan kita. Sebaiknya anda melakukan refleksiologi terlebih dahulu supaya saya dapat memeriksa apa sebenar punca penyakit anda,” terang Gadafi.

Selepas melakukan urutan kaki, Gadafi mendapati perut Saiful berangin dan dia boleh membantu mengurangkan rasa sakit dengan urutan saraf pada perut.

Tanpa mengambil masa yang lama, Saiful bersetuju. Dia mendapati ada kesan positif.

Berminat dengan urutan saraf, Saiful mengambil keputusan belajar di Darul Irsyad.

Selepas beberapa kali menghadiri kelas, Saiful mendapati dia boleh mencari titik saraf dan melakukan rawatan sendiri.

Sekarang dia lebih bertenaga dan segar walaupun bebanan kerja di pejabat masih sama seperti dahulu.

Melegakan kesakitan

Menurut Gadafi, selain berehat, proses urutan dikatakan sedikit sebanyak dapat melegakan kesakitan dan sengal pada sendi.

Tidak hairanlah urut refleksiologi, tradisional dan saraf semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat.

“Urutan bermula dengan terapi pengurutan tapak kaki untuk merangsang dan mengesan penyakit berpunca daripada urat saraf.

Melaluinya, ia bukan sahaja dapat membantu membenarkan badan melakukan penyembuhan sendiri, tetapi turut melancarkan perjalanan darah, menghilangkan lenguh serta melegakan tekanan,” ujarnya.

Lazimnya, apabila bercakap mengenai urutan saraf, banyak kelebihan tersembunyi yang orang ramai tak tahu.

“Ada yang kata boleh menyembuhkankencing manis. Namun secara umum, ia membantu melancarkan darah dalam badan. Sesi bergantung kepada penyakit seseorang dan rawatan masalah pesakit,” katanya.

Tambah Gadafi, urat-urat yang bengkak dan berlendir akan dipecahkan melalui urutan saraf. Misalnya, urutan kepala melancarkan perjalanan darah dan mengurangkan sakit kepala.

Dengan menggunakan minyak biasa, urutan saraf sesuai untuk wanita atau lelaki untuk membantu melancarkan darah seluruh badan.

Bagi rawatan ini, Gadafi menjelaskan tiada pantang tetapi pesakit digalakkan minum air kosong.

Dalam pada itu, Darul Irsyad turut mengadakan latihan atau kursus urutan saraf mengikut titik penyakit dalam badan.

“Ramai yang menyalahgunakan urutan untuk menawarkan urutan batin. Justeru kursus yang kami sediakan dapat membantu orang ramai belajar tentang keistimewaan urutan saraf. Selain itu kami menawarkan kos rawatan RM 50 hingga RM 100 setiap sesi dan sesi rawatan bergantung kepada jenis penyakit,” jelas Gadafi yang boleh dihubungi di talian 013-3595036 atau layari melayari http://darulirsyadblog.spot.com.