Saturday, September 3, 2011

Makan secara berhemah

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ABDUL NAZIR MOHAMED


SEBULAN berpuasa tidak patut dijadikan ‘tiket’ untuk kita menikmati apa saja menjelang Hari Raya. Apatah lagi dengan trend penganjuran rumah terbuka sepanjang Syawal.

Pasti kecur liur dibuatnya dengan segala jenis hidangan yang tersedia di depan mata.

Mungkin ada yang menganggapnya sebagai pesta menjamu selera. Namun kita sepatutnya lebih bertanggung-jawab terhadap kesihatan sendiri.

“Saya setuju kalau dikatakan rumah terbuka ibarat ‘perangkap’ kalori kepada tetamunya. Malah bukan saja pada bulan Syawal atau perayaan, ia termasuk ketika musim cuti sekolah, ketika kita berkumpul bersama keluarga atau rakan-rakan, kita biasanya terlupa dengan pengambilan makanan secara berlebihan,” kata Dr. Barakatun Nisak.

Beliau yang mesra disapa sebagai Dr. Nisak berkata, setiap kali berkumpul, kita pastinya tidak mengambil berat tentang makanan yang diambil dan secara tidak sedar makan lebih daripada yang sepatutnya.

Tambahan pula kebanyakan hidangan tradisi masyarakat kita terdiri daripada makanan yang tinggi kalori atau dalam bahasa saintifiknya makanan yang padat dengan tenaga (energy dense food). Semua itu kata beliau, menjadikan pengambilan makanan cukup mencabar buat semua terutama sekali mereka yang berpenyakit dan ingin menurunkan berat badan. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan hidangan yang diambil.

“Cuba bayangkan tiga keping dodol (sebesar syiling lima puluh sen) mengandungi 200 kalori. Ini bersamaan dengan satu setengah cawan nasi putih atau tiga keping roti putih. Itu belum lagi dikira dengan hidangan lain,” katanya.

Menurutnya, jika dilihat menu makanan tradisi kita seperti lemang, ketupat palas, rendang dan lontong, kebanyakannya menggunakan santan dan juga pulut yang dikelaskan sebagai makanan padat tenaga. Tiga keping lemang misalnya, mengandungi lebih kurang 400 kalori.

Begitu juga dengan kek dan biskut yang diperbuat daripada marjerin dan mentega yang dikenalpasti mengandungi kandungan kolesterol tinggi. Menurut beliau, sekeping biskut bersamaan dengan 20 hingga 30 kalori dan biasanya kita tidak makan biskut dengan sedikit.

Selain kolesterol, biskut dan kek yang diperbuat daripada mentega berasaskan sayuran (kecuali sumber kelapa sawit kerana ia lebih stabil) juga katanya lebih berbahaya kerana ia mengandungi asid lemak trans.

“Asid lemak trans tidak mudah dihapuskan seperti kolesterol yang boleh dikurangkan dengan bersenam dan penjagaan makanan,” katanya.

Penurunan berat badan

Menurutnya, setelah berpuasa selama sebulan kita tak patut mengamalkan makan apa saja kerana penurunan berat badan pada bulan tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang jitu.

“Memang kita biasanya turun berat sekitar dua atau tiga kilogram. Sebenarnya itu belum mencukupi buat mereka yang ingin menurunkan berat badan kerana ia hanya sekadar kehilangan air dari dalam tubuh,” katanya.

Ini kata beliau berikutan 70 peratus komposisi dalam tubuh terdiri daripada air dan beliau menyarankan seseorang itu patut menurunkan berat badan antara tujuh hingga 10 kilogram seandainya bertekad mengurangkan berat.

Malah ada juga katanya yang menambah berat badan atau tiada perubahan langsung ketika berpuasa kerana makan seperti biasa dan tidak bersenam.

Kata Dr. Nisak, dalam satu kajian yang dilakukan di negara Asia Barat, berpuasa sebenarnya tidak memberi kesan pada komposisi tubuh langsung.

“Ada orang berat badannya kekal kerana kalau kita kaji, ketika berpuasa kita hanya merehatkan perut sekitar sembilan jam. Sebenarnya kita tetap makan seperti biasa kerana sahur boleh diibaratkan seperti sarapan, berbuka pula makan malam manakala bagi sesetengah orang, mereka makan lewat malam lagi,” katanya.

Tambahan pula bulan puasa biasanya aktiviti senaman dikurangkan atau tidak dijalankan langsung. Ketika berpuasa, tahap metabolisma badan juga menjadi perlahan. Dengan makan yang banyak dimalam hari, akan menjadikan bulan puasa adalah waktu 'terbaik' mereka mengumpul lemak-lemak dalam tubuh. Dalam satu kajian yang pernah dijalankan pada tahun 2006, 60.1 peratus rakyat Malaysia langsung tidak mengamalkan cara hidup yang aktif.

Pengumpulan lemak pada perut ini kata Dr. Nisak akhirnya mengundang penyakit kronik seperti diabetis, sakit jantung, tekanan darah tinggi dan pelbagai lagi.

Kawal

Bagi Dr. Nisak, tetamu dan tuan rumah berperanan dalam menjaga pengambilan makanan ketika rumah terbuka.

Dari segi individu, mereka perlu memikirkan kesan jangka pendek dan panjang jika mengambil makanan secara berlebihan.

“Kesan jangka pendek adalah masalah yang akan berlaku pada perut kerana kita sudah berpuasa selama sebulan lamanya. Antaranya menyebabkan perut mengalami kembung, sakit sehingga mengalami cirit-birit,” kata beliau.

Dari segi kesan jangka panjang pula katanya ia boleh menyebabkan kegemukan yang mengundang pelbagai jenis penyakit jika tidak dikawal dari mula.

Perkara itu katanya tidak terjadi dalam masa pendek, ia memakan masa bertahun kerana secara purata, berat badan individu akan meningkat antara dua hingga tiga kilo setiap tahun manakala kadar metabolisme pula semakin menurun.

Beliau turut menasihatkan tetamu makan terlebih dahulu sebelum mengunjungi rumah terbuka bagi mengelakkan perasaan lapar yang menyebabkan kita mengambil makanan secara berlebihan.

“Sekurang-kurangnya alas perut sedikit dahulu. Cuba bayangkan kita pergi membeli juadah berbuka ketika masih berpuasa, memang kita teringin membeli pelbagai jenis makanan bukan? Namun bila berbuka nanti, kita tak mampu menghabiskannya,” kata beliau.

Dalam pada itu Dr. Nisak berkata, penganjur atau tuan rumah juga memainkan peranan penting bagi memastikan tetamu menikmati makanan yang menyihatkan dan berkhasiat.

Menurutnya, tuan rumah patut menyediakan makanan mengambil kira pendekatan 5M yang disarankan Kementerian Kesihatan iaitu mengurangkan gula, mengurangkan garam, mengurangkan lemak dan minyak, melebihkan sayur-sayuran dan melebihkan buah-buahan.

Katanya, tuan rumah patut menyediakan pilihan kepada kepada tetamu dengan menyajikan makanan berkhasiat dan kaya nutrien.

“Mungkin kita boleh gantikan santan dengan susu rendah lemak atau sediakan hanya satu makanan bergoreng manakala selebihnya kepada jenis panggang, berkuah atau sup. Selain itu tuan rumah juga boleh menggantikan kerepek dan biskut dengan melebihkan hidangan buah atau salad,” katanya.

Begitu juga dengan air yang dihidangkan, beliau berkata sepatutnya tuan rumah menyediakan pilihan air kosong bersama kordial. Atau pun menghidangkan minuman panas seperti teh atau kopi tanpa gula.

“Sediakan gula di dalam bekas supaya tetamu boleh tentukan sendiri rasa manis yang mereka perlukan. Cara ini lebih sesuai terutama untuk tetamu yang berpenyakit dan perlu kawal jumlah pengambilan gula mereka,” katanya.

Bagi Dr. Nisak, peranan tuan rumah sangat penting dalam memastikan hidangan sihat kerana sebagai tetamu mereka perlu menjamah hidangan yang tersedia demi menjaga hati orang yang menjemput.

“Sepatutnya makna rumah terbuka itu saling mengunjungi dan beramah mesra, bukannya dijadikan waktu untuk menjamu selera tanpa memikirkan kesannya,” kata beliau lagi.

No comments: