Saturday, September 10, 2011

Menguruskan badan secara tradisi

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto HAYAT SUEET

Pelanggan perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pengamal perubatan tradisional sebelum mengikuti program pengurusan berat badan.

TIDAK semua individu berani mencuba program pengurusan berat badan yang ditawarkan kebanyakan salon kecantikan hari ini yang kebanyakannya berteraskan penggunaan mesin elektronik.

Sebagai alternatif, Pusat Rawatan Mines TCM Wellness menawarkan satu program khusus dengan risiko minimum namun memberi kesan yang menakjubkan.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Golden Horses Health Sanctuary yang menguruskan pusat berkenaan, Indira Menon berkata, pakej yang ditawarkan hanya melibatkan beberapa rawatan tradisional Cina, senaman dan juga pemakanan.

Menurutnya, program tersebut mengambil masa lima hari empat malam dan pelanggan diberi penginapan percuma di Hotel Mines Wellness yang berdekatan.

"Sebenarnya pelanggan boleh memilih untuk pulang ke rumah. Namun dengan menginap di sini, anda akan mengikuti program dengan betul kerana tidak terpengaruh dengan dugaan di luar dan boleh meluangkan masa sepenuhnya mengikuti jadual yang kami susun tanpa diganggu," katanya.

Jelasnya, rata-rata pelanggan yang mencuba mengakui mengalami penurunan berat badan drastik walaupun untuk tempoh yang singkat. Mereka juga katanya mampu mengekalkan berat badan ideal seandainya mempraktikkan amalan yang dilakukan di situ. Lebih istimewa, program itu juga bukan setakat mampu mengurangkan berat badan malah ia mengekalkan kesihatan menyeluruh dan menjadikan tubuh badan lebih bertenaga serta kelihatan muda.

Perubatan tradisional Cina

Melalui program yang ditawarkan kata Indira, pelanggan akan diajar senaman khas Qigong yang menekankan konsep tenaga positif dalam diri.

Selama menjalani rawatan, pelanggan katanya hanya diberi sup herba sayuran organik yang perlu diambil setiap kali mereka terasa lapar.

"Walaupun kedengaran seperti berat untuk dilakukan, namun ramai yang mengakui mereka tidak berasa lapar setelah mencuba kerana sup tersebut sudah mengandungi pelbagai nutrien yang diperlukan tubuh badan," katanya.

Namun seandainya mereka gagal menahan rasa lapar, pihaknya akan menyediakan bubur nasi kosong sebagai makanan tambahan. Walaubagaimanapun, selepas dua atau tiga hari mencuba katanya, kebanyakan pelanggan menjadi biasa dan tidak akan mengadu lapar.

Sebagai permulaan, tahap kesihatan pelanggan akan diperiksa secara menyeluruh oleh Pengamal Perubatan Cina melalui pembacaan nadi dan tenaga Qi.

Menurut Indira, melalui bacaan itu mereka akan mengesyorkan rawatan yang sesuai berdasarkan keperluan tubuh masing-masing.

Kebiasaannya, pakej program itu mengandungi lima kali terapi akupuntur, tiga kali sesi pengurusan badan Shiatsu dan dua rendaman kaki herba. Turut disediakan tiga sesi meditasi muzik, tiga sesi regangan dan tiga sesi Pranayama. Selain itu, pelanggan juga akan menjalani perbincangan kesihatan bersama pengamal bertauliah sebanyak dua kali dan satu sesi penilaian kesihatan dan nasihat pengambilan makanan oleh pakar pemakanan.

Sebagai tambahan, mereka juga akan dimanjakan dengan mandian minyak aroma atau garam bagi melegakan stres.

No comments: