Saturday, September 17, 2011

Kempen kesihatan jalanan

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

BUKAN mudah memberikan ilmu yang mampu dimanfaatkan secara berterusan. Ini ditujukan bukan sahaja kepada anak-anak malah untuk ibu bapa juga. Justeru apakah cara terbaik untuk memastikan ilmu yang diberikan dipraktikkan secara berkekalan?

Hasil kaji selidik kepuasan ibu bapa mendapati lebih 95 peratus daripada mereka menganggap kempen kesihatan jalanan yang berlangsung di kalangan pelajar tadika baru-baru ini berjaya.

Kejayaan tersebut diukur menerusi pemahaman anak-anak tentang kesihatan yang diberikan dalam cara interaktif dan praktikal.

Kempen dianjurkan oleh Persatuan Tadika Malaysia (PTM) dan GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) itu turut memberikan ibu bapa maklumat dan panduan tentang penyakit-penyakit yang lazimnya menyerang kanak-kanak pada usia lima hingga enam tahun.

Tambah menarik, kanak-kanak yang terbabit dalam kempen tersebut turut terbabit dalam permainan interaktif.

Kempen jalanan tersebut diadakan di i 10 tadika di sekitar Lembah Klang dan mengambil masa selama tiga bulan.

Sebanyak 271 ibu bapa bertuah terpilih untuk berkomunikasi secara terus dengan doktor pakar kanak-kanak tentang apa jua permasalahan yang dialami anak mereka.

Tema kempen Kanak-kanak Yang Sihat Aadalah Kanak-Kanak Yang Gembira bermatlamat menghasilkan satu platform bagi memupuk kesedaran dan memperlengkapkan anak-anak, ibu bapa, guru tentang maklumat penyakit dan pembangunan diri kanak-kanak secara langsung.

“Majoriti ibu bapa berpendapat kempen tersebut membantu mereka memahami tentang penyakit yang sering dialami kanak-kanak.

“Selain itu mereka turut mendapat ilmu keibubapaan yang membantu mereka membesarkan anak-anak dengan cara yang betul,” ujar Presiden Persatuan Tadika Malaysia, Jayawathi Perera.

Sementara itu, pakar kanak-kanak, Dr. Chai Pei Fan yang bercakap tentang kepentingan vaksin di kalangan kanak-kanak berkata, demam campak, beguk, cacar air dan rubella adalah empat jenis penyakit yang mengancam kesihatan seluruh penduduk dunia.

“Mungkin ramai menganggap penyakit demam campak contohnya sebagai penyakit biasa. Namun kesan yang dialami seperti tidak ke sekolah dan parut memberi kesan secara tidak langsung kepada anak-anak,” jelasnya.

Kempen kesihatan jalanan tersebut turut mengadakan pertandingan dalam talian yang diberi nama What Kids Say. Pertandingan itu menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat mereka tentang apa yang boleh dibuat untuk mendapatkan kehidupan yang aktif dan lebih sihat.

Ibu bapa juga boleh turut serta dalam pertandingan itu dengan cara mengambil gambar anak mereka dan memuat naik dalam laman web PTM. Orang ramai juga boleh mengundi calon yang mereka suka dan peserta yang mendapat undian terbanyak menjadi pemenang.

Seramai 13 pemenang bakal membawa pulang hadiah menarik seperti iPod Touch, kamera digital, skuter dan set Lego. Pertandingan ini berlangsung hingga 15 September ini dan caranya ialah dengan memasuki laman web www.ptm.org.my.

No comments: