Saturday, January 14, 2012

Pneumokokal boleh bawa maut


IMUNISASI melalui suntikan vaksin boleh dianggap sebagai cara paling cekap dan menjimatkan kos untuk mengurangkan penyakit dan kematian PnD.


RAMAI yang kurang prihatin terhadap masalah penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak. Perkara ini harus dipandang serius kerana kira-kira dua juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati setiap tahun. Antara penyakit berjangkit dan kematian utama yang semakin disedari di seluruh dunia adalah pneumokokal (PnD).

PnD merupakan penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit pada hari ini. Dianggarkan seorang bayi meninggal dunia setiap seminit di seluruh dunia akibat jangkitan bakteria pneumokokus.

Anggaran yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu mendapati, setiap tahun PnD menyebabkan kematian lebih sejuta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negara membangun.

Menurut Pakar Runding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, lebih separuh kejadian dan kematian akibat PnD berlaku di rantau Asia Pasifik.

Ia merangkumi 28 peratus daripada kematian berkaitan pneumokokus global.

"Kita perlu mendidik ibu bapa dan orang ramai tentang cara melindungi kanak-kanak daripada penyakit. Kesan PnD adalah amat buruk tetapi sebenarnya boleh dielakkan. Kaedah pencegahan berkesan perlu disediakan untuk semua kanak-kanak di Malaysia," ujar beliau yang juga ahli pengasas Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP).

Walaupun PnD menyebabkan kematian,WHO menjelaskan, ia masih boleh dicegah dengan vaksin.

Dr. Musa memberitahu, imunisasi melalui suntikan vaksin boleh dianggap sebagai cara paling cekap dan menjimatkan kos untuk mengurangkan penyakit dan kematian PnD.

Vaksinasi

Dalam pada itu, Pengurus Negara Pfizer Malaysia dan Brunei, Angel Choi menjelaskan, vaksin pneumokokus pertama diperkenalkan pada tahun 2000 untuk memberi perlindungan tujuh jenis bakteria pneumokokus.

Tambahnya, kemajuan dalam bidang penyelidikan vaksin penyakit ini berjaya memberi perlindungan daripada 13 bakteria pneumokokus yang utama.

"Menyedari hakikat ini, lebih 50 negara telah memperkenalkan Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV) dalam Program Imunisasi Kebangsaan termasuk di Hong Kong, Singapura dan Macau.

" Pfizer telah bekerjasama dengan beberapa buah negara dari seluruh dunia untuk mengasaskan program pencegahan penyakit PnD bagi melindungi 22 juta kanak-kanak di seluruh dunia," katanya yang turut melancarkan sebuah laman web baru, www.abc4pneumococcal.com.

Laman web ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang PnD dan menekankan hakikat bahawa penyakit ini boleh dicegah menerusi vaksinasi. Ia mengandungi pelbagai maklumat tentang segala perkara yang berkaitan dengan penyakit ini dan bagaimana ibu bapa boleh melindungi anak mereka daripada jangkitan.

Selain itu, ibu bapa dan individu digalakkan untuk menandatangani ikrar sokongan bagi menyeru agar vaksinasi PnD disenaraikan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Pengalaman pesakit

Presiden dan Pemimpin Serantau Asia Pasifik bagi Persekutuan Organisasi Meningitis (CoMO), Bruce Langoulant hampir sahaja kehilangan anaknya kerana PnD.

Bruce berkata, anak perempuannya, Ashleigh menghidap penyakit pneumokokal ketika berusia enam bulan.

Penyakit ini menyebabkan Ashleigh meningitis dan seterusnya pekak sepenuhnya, sawan dan kurang upaya dari segi intelektual.

"Saya salah seorang daripada beribu-ribu ibu bapa dan keluarga yang mengalami kesan penyakit yang mengancam nyawa ini tetapi penyakit tersebut boleh dicegah. Kita tidak harus mengekang kelantangan suara kita apabila berusaha mewujudkan masyarakat yang selamat dan sihat.

Dengan menandatangani ikrar ini, ibu bapa berpeluang berganding bahu untuk tujuan murni dan berusaha menjadi daya penggerak demi meningkatkan tahap kesihatan semua kanak-kanak di Malaysia," ujarnya.

Nyanyuk atau pelupa?


Terdapat juga kes yang seakan-akan nyanyuk atau disebut psedo dementia.


ALAMAK! Mana pulak cermin mata ni? Orang nak cepat ni!" kata Nora, 49, kelam-kabut sambil melilau menggeledah dalam beg tangannya.

Kemudian dia ke kabinet televisyen dan menarik laci dan mengeluarkan semua 'isi perut' yang ada di dalam.

Dua anak remajanya mengekek gelak sambil menutup mulut melihat telatah ibu mereka yang semakin kelam-kabut mencari cermin matanya.

"Kat atas kepala tu apa?" tanya anaknya Salleh yang berusia 17 tahun sambil tidak putus-putus ketawa.

"Laaa.... kat atas kepala ni ke...?" kata Nora sambil tangannya meraba-raba cermin mata yang disangkutkan di kepalanya sebentar tadi.

Senario berkenaan amat biasa berlaku. Hampir semua orang menghadapi masalah berkenaan setiap hari.

Bukan hanya terlupa cermin mata yang diletakkan atas kepala, ada juga yang lupa meletakkan garam dalam masakan atau lupa satu perkataan yang mudah?

Apakah senario ini boleh dikaitkan dengan nyanyuk atau hanya pelupa?

Beberapa nama hebat seperti bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid antara yang bukan saja masih sihat, cergas malah boleh mengeluarkan pendapat yang bernas walaupun telah melangkaui usia 70-an.

Jadi apa kriteria pelupa atau bagaimana mengklasifikasikan nyanyuk atau dalam bahasa saintifiknya dementia?

Menurut Pakar Runding Dalam Kesihatan Warga Emas (Geriatriks) Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Soraya Kunamayagam, terdapat banyak perbezaan di antara pelupa dan nyanyuk.

"Pelupa lebih banyak dikaitkan dengan orang muda yang mungkin berlaku kerana stres atau diet dan gaya hidup yang tidak sihat," katanya.

Terdapat juga kes seakan-akan nyanyuk atau disebut psedo dementia.

"Mereka ini sering terlupa melakukan perkara ringkas seperti berus gigi, mandi atau makan," katanya.

Kes itu juga berkaitan dengan mereka yang stres, berhenti kerja awal, kehilangan atau kematian orang yang amat disayangi.

"Bagi kes begini, rawatan menjurus kepada merawat stres yang dihadapi," katanya.

Dalam kes nyanyuk pula, bukan semua warga emas boleh dilabelkan sebagai nyanyuk.

"Biasanya apabila usia meningkat, banyak perubahan berlaku misalnya lupa di mana meletakkan barang. Itu adalah perkara biasa dalam kehidupan seharian," katanya.

Pelupa berlaku dalam tempoh yang singkat manakala dementia pula secara berterusan dan jika tidak dipantau akan mengganggu kehidupan ahli keluarga yang lain.

Penghidap dementia biasanya hilang ingatan secara perlahan, sukar bertutur atau menulis perkataan yang mudah serta sukar mengenal persekitaran.

Menurut Dr. Soraya, nyanyuk boleh disebabkan oleh beberapa punca seperti

1 Penyakit Alzheimer

2 Dementia vaskular

3 Dementia dengan 'lewy bodies'

4 Dementia berkaitan dengan Parkinsons

5 Dementia frontotemporal yang sering berlaku kepada wanita.

6 Punca lain seperti peminum arak tegar dan kecederaan otak yang kerap.

Setiap bentuk dementia mempunyai faktor risiko sendiri tetapi kebanyakannya mempunyai faktor risiko yang sama seperti;

1 Usia adalah faktor risiko paling besar. Biasanya nyanyuk berlaku pada usia lebih 60 tahun.

2 Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit Alzheimer meningkatkan peluang mendapat dementia.

Ibu bapa atau adik-beradik yang mempunyai Alzheimer memberikan peluang 10 hingga 30 peratus.

Risiko semakin tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menderita dementia pada usia kurang 70 tahun.

3 Faktor risiko lain termasuk merokok, kencing manis, tekanan darah tinggi dan diabetes.

4 Gaya hidup juga memainkan peranan penting. Mereka yang mempunyai kehidupan sosial dan mental yang aktif kurang menderita dementia.

Oleh kerana penghidap dementia sering terlupa melakukan perkara yang biasa, mereka perlu mendapat bantuan keluarga.

Jadi mereka dilarang melakukan perkara seperti

1 Memandu kenderaan kerana risiko kemalangan lebih tinggi terutama apabila penyakit bertambah teruk.

2 Memasak memerlukan pemantauan kerana boleh membawa kepada kemalangan seperti kebakaran.

3 Berjalan sendirian kerana bimbang akan sesat

4 Cenderung untuk jatuh kerana kurang keseimbangan dan kesedaran.

Biasanya pesakit yang datang ke hospital perlu melakukan ujian bagi memastikan mereka menghidap dementia seperti

1 Ujian memori

2 Ujian darah kerana dementia berkaitan dengan tidak cukup garam, tiroid yang kurang aktif, kurang vitamin B12 atau kandungan kalsium yang tinggi

3 Imbasan kepala bagi pesakit tumor atau strok.

Dr. Soraya berkata, pesakit dementia biasanya menunjukkan tanda-tanda awal seperti

1 Sukar melakukan kerja-kerja ringkas yang biasa dilakukan di rumah seperti memasak

2 Sukar bertutur dengan betul

3 Lupa melakukan perkara yang biasa dilakukan seperti tidak tahu jalan pulang ke rumah.

Manakala tanda-tanda lewat pula seperti

1 Tidak boleh mengawal pembuangan air kecil dan besar

2 Tidak boleh tidur malam tetapi tidur menjelang pagi

3 Halusinasi

4 Perasaan marah melampau

5 Murung

Biasanya Dr. Soraya berkata, pesakit akan dirawat menggunakan beberapa ubatan seperti aricept, exelon dan raminyl.

"Bagaimanapun ubatan yang diberikan hanya untuk mengawal dan melambatkan proses dementia atau nyanyuk," katanya.

Menurut Dr. Soraya selain mengambil ubat, sokongan ahli keluarga juga memainkan peranan penting bagi menangani pesakit yang menderita dementia.

Tibi masalah kesihatan negara


Kuman Tibi cepat menular apabila sistem pertahanan badan semakin menurun. - Gambar hiasan.


Di saat ramai di kalangan masyarakat yang membicarakan mengenai penyakit Tibi ketika ini, mungkin ada di antara kita yang langsung tidak mempunyai maklumat mengenai penyakit yang boleh membawa maut ini.

Sementelah penyakit ini tidak lagi menjadi penyakit yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat di negara ini berbanding dengan penyakit-penyakit baru semakin mendapat perhatian seperti HIV/AIDS, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.

Namun sebenarnya penyakit ini masih lagi menular di kalangan masyarakat di negara ini dengan 19,337 kes telah dilaporkan pada tahun 2010 dan keadaan kes ini pastinya semakin bertambah hari demi hari.

Apakah itu Tibi sebenarnya? Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit berbahaya yang boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan dengan sempurna.

Penyakit ini disebabkan oleh kuman Tibi (Tubercle Bacili) yang biasanya menjangkiti paru-paru. Ia juga boleh menyerang bahagian-bahagian lain anggota badan seperti selaput otak, tulang, kelenjar, buah pinggang dan kulit.

Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan/Respiratori, Datuk Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin, antara tanda dan gejala penyakit Tibi paru-paru ialah batuk yang berterusan lebih daripada dua minggu, kahak yang mengandungi darah, demam dan berpeluh lazimnya pada sebelah petang dan malam. Juga susut berat badan dan hilang selera makan, sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang dan mudah letih.

Kata Dr. Aziah, kuman Tibi disebarkan melalui udara apabila pesakit batuk atau bersin dan setiap individu yang menyedut udara tercemar ini terdedah kepada jangkitan kuman Tibi.

Antara sasaran Tibi sekarang ialah golongan muda yang mempunyai pergaulan sekeliling serta mudah terdedah kepada jangkitan sekiranya pertahanan sistem badan kurang mantap dan menurun.

''Namun tidak bermakna sekiranya terdapat individu yang terkena jangkitan Tibi itu dia akan mendapat penyakit berkenaan.

"Kebanyakan individu yang dijangkiti tidak akan mendapat penyakit Tibi kerana kuman-kuman Tibi akan terpendam dan tidak aktif dalam badan seseorang kerana ia bergantung kepada sistem pertahanan badan seseorang.

"Sekiranya badan seseorang itu lemah dan kurang aktif menyebabkan penyakit ini senang merebak. Tibi akan menjadi aktif apabila sistem pertahanan badan seseorang itu menurun," jelasnya ketika ditemui di Institut Respiratori di ibu negara, baru-baru ini.

Dr. Aziah memberitahu, setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, kira-kira sepertiga daripada penduduk dunia telah dijangkiti Tibi tetapi tidak semestinya mereka menjadi punca jangkitan dan mendapat penyakit tersebut.

Apabila seseorang itu telah mendapat jangkitan Tibi, rawatan yang bakal dijalani adalah agak panjang sekurang-kurangnya enam bulan dengan pelbagai jenis ubat-ubatan.

''Apa yang penting seseorang pesakit perlu fokus dan tetap dalam menjalani rawatan kerana sekiranya mereka gagal atau cuai dalam mendapatkan rawatan biarpun ia rawatan susulan atau ulangan, penyakit ini akan jadi rentan (tidak lali) dengan ubat-ubatan yang diberikan menyebabkan jangkitan Tibi tidak terkawal berlaku.

''Sebenarnya simptom Tibi adalah pelbagai berdasarkan kepada di mana kuman penyakit itu membiak. Tibi juga berlainan daripada kanser kerana penyakit ini berjangkit dan boleh dirawat dengan senang.

"Tibi berjangkit melalui cecair mulut dan hidung yang mengandungi kuman Tibi apabila batuk, bersin dan bercakap. Sesiapa yang menyedut udara ini pasti akan dijangkiti," kata Dr. Aziah.

Jika dibandingkan dengan HIV yang cara jangkitannya terhad, jangkitan Tibi adalah lebih serius.

Antara mereka yang mempunyai kadar yang besar untuk dijangkiti penyakit Tibi ialah penduduk yang mempunyai status yang rendah yang kurang mampu dari segi makanan, ubat-ubatan, kesihatan, menghidap penyakit kronik seperti asma, diabetes, HIV dan lain-lain.

Jelasnya, pesakit yang dijangkiti Tibi perlu menjalani saringan kesihatan di klinik khas yang disediakan. Lakukan pemeriksaan kahak dan menjalani pemeriksaan Sinar - X di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Katanya, Tibi boleh diubati dalam tempoh enam bulan, orang ramai perlu meningkatkan kesedaran sekiranya mereka menghidap batuk lebih daripada dua minggu, mereka perlu mendapatkan rawatan dan mengenal pasti apakah batuk yang dihidapi itu simptom penyakit Tibi kerana sekiranya lewat mendapatkan rawatan, penyakit ini boleh membawa maut.

"Kadar beban Tibi di negara ini dianggarkan 63 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

''Juga jangan menganggap batuk kering adalah Tibi kerana ia sebenarnya adalah sebahagian daripada sejenis penyakit Tibi yang menular ke paru-paru sahaja.

"Tibi juga boleh menular ke tulang, usus, kelenjar, buah pinggang, selaput otak mengikut peredaran darah yang membawa kuman itu," kata Dr. Aziah.

Apabila ditanya mengenai peningkatan jumlah pesakit Tibi yang semakin meningkat beliau memberitahu, ia diakibatkan oleh faktor-faktor kumpulan pertahanan badan yang semakin menurun menyebabkan sistem pertahanan badan tidak boleh menyekat kuman berkenaan.

Apatah lagi faktor jangkitan penyakit seperti HIV, obesiti, kencing manis dan penyakit-penyakit kronik lain menyebabkan kelemahan pada sistem badan.

''Ia jua disebabkan oleh penghijrahan pendatang atau warga asing yang memasuki negara ini, tanpa saringan yang mungkin meningkatkan punca jangkitan.

''Perlu diketahui, negara yang mempunyai beban kes yang tinggi ialah Afrika, Filipina, Indonesia dan Thailand.

"Sekiranya pekerja yang diambil bekerja itu sebagai contoh pembantu rumah menjalani ujian kesihatan adalah tidak perlu dibimbangkan bagaimana pula sekiranya mereka datang secara tidak sah? Kita tidak tahu apa kuman yang dibawa mereka," katanya.

Justeru dalam soal seperti ini, isteri atau suri rumah tangga perlu mengetahui bahawa pastikan tiada tanda-tanda Tibi yang sentiasa berada di sekeliling diri mereka agar dapat mencegah dari Tibi terus merebak.

Justeru, kepada semua suri rumah beliau menasihatkan agar memperbanyakkan cahaya matahari masuk ke dalam rumah kerana cahaya matahari boleh membunuh kuman Tibi. Pastikan juga rumah mendapat pengudaraan yang sempurna dengan membuka pintu dan tingkap serta amalkan cara hidup sihat dan makan makanan yang seimbang.

Namun kesedaran masyarakat di negara ini masih berada pada tahap yang rendah apabila dilihat ramai di kalangan masyarakat yang masih kurang mengambil berat hal kesihatan mereka agar tidak dijangkiti dengan pelbagai penyakit seperti Tibi ini.

'Botox hijau' bunga raya


Rangkaian Naturalift Hibiscus Skin Renewal oleh Melvita.


Apabila usia kita meningkat, garis halus, kedutan dan tanda penuaan lain membuatkan kulit yang semakin kendur kelihatan seperti kulit pokok tua yang berkerepot.

Namun, keajaiban alam semula jadi yang boleh dijadikan penawarnya ada di mana-mana.

Biji benih halus atau tunas kecil boleh tumbuh menjadi pokok besar, yang boleh memberi banyak manfaat kepada manusia.

Melvita, pakar produk organik untuk penjagaan kulit dari Perancis, menggunakan sel tunjang putik pokok bic, yang dikenali sebagai 'pokok awet muda', bersama biji bunga raya dan pelbagai ekstrak biji benih antipenuaan lain.

Ramuan ini digabungkan dengan hasil penyelidikan saintifik dalam penjagaan kulit bagi menghasilkan 'botox hujau'.

Formula anti penuaan semula jadi organik ini dinamakan rangkaian Naturalift Hibiscus Skin Renewal.

Rangkaian produk 'pembaharuan' kulit ini menyuntik nafas baru ke dalam sel kulit, untuk menentang gejala penuaan dari dalam sel.

Ia berkesan mencerahkan dan mengurangkan garis halus dan kedutan, selain membuatkan kulit dengan serta-merta terasa tegang dan terangkat, dan memberi tenaga kepada sel kulit untuk pulih dengan lebih cepat.

Rangkaian Naturalift Hibiscus Skin Renewal yang meliputi Naturalift Youthful Skin Cream, Skin Serum, Skin Complex - Eyes and Lips dan Skin Mask, menggunakan tenaga hayat daripada tumbuh-tumbuhan semula jadi untuk mengekalkan kecantikan kulit.

Rangkaian penjagaan ini menggunakan teknologi baru Gemoterapi (terapi sel tunjang putik) untuk mengekstrak sel tunjang putik pokok bic untuk mendapatkan ramuan aktif DNA tersebut.

Ia turut mengandungi pelbagai ekstrak biji benih antipenuaan lain seperti biji bunga raya, kudup ros, delima, borage, Camelina dan sebagainya.

Semua tumbuhan ini kaya dengan hormon tumbesaran semula jadi, faktor pertumbuhan epidermis dan asid lemak yang membolehkan produk ini memberi kesan seolah-olah 'botox hijau' untuk menenangkan otot muka yang menyebabkan garis halus.

Ia sekali gus melicinkan garis tanda penuaan ini dan mencerahkan kedutan.

Pada masa yang sama, sel tunjang putik pokok bic boleh membantu membaiki resapan oksigen dalam sel kulit dan memberi tenaga tambahan untuk membantu meningkatkan pembaharuan sel kulit. Di samping itu, ia juga telah ditambah gam Akasia, untuk menangani masalah kekenduran kulit.

Tiada penawar bagi Lupus


Keletihan dan ruam pada kulit termasuk muka dan badan merupakan sebahagian gejala SLE.


ANAK perempuan AiBee yang berumur 25 tahun, Siew Ping, merupakan seorang yang cergas dan sihat sehinggalah suatu hari beliau berasa keletihan dan lemah yang amat sangat selain hilang selera makan secara mendadak.

"Ia berlaku pada September tahun lepas bila Siew Ping mengadu rasa sakit di seluruh badan selain demam dan selesema.

"Hidungnya juga mengalir darah dan ada ruam di badan dan muka. Sendi-sendinya juga sakit dan bengkak. Dia juga mengadu sakit dada dan batuk berdarah," cerita Aibee di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

AiBee membawa anaknya ke hospital dan kemudian doktor memberitahu diagnosa anaknya menghidap SLE (Lupus Eritematosus Sistemik) yang juga dikenali sebagai 'Lupus'.

Menurut pakar penyakit reumatologi, satu kajian yang dijalankan pada tahun 1990 menunjukkan terdapat 43 pesakit SLE bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia.

Kini dianggarkan terdapat lebih 12,000 kes SLE di negara ini.

Statistik Yayasan SLE Amerika Syarikat pula mendedahkan di negara itu sahaja terdapat 1.5 juta kes SLE manakala angka bagi seluruh dunia adalah 5.0 juta orang.

Pakar perubatan Dr H.Tan memberitahu, ciri-ciri wujud SLE adalah berlainan antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.

"Kira-kira 80 peratus daripada pesakit SLE mengalami sakit sendi dan otot selain ruam di kulit. Mereka juga rasa lemah-lemah serta tidak sihat.

"Pada kemuncaknya, pesakit SLE akan mengalami selesema dan ini mungkin diiringi demam, keletihan dan sakit otot. Bagi wanita, simptom ini mungkin lebih teruk sebelum pusingan haid dan sebab itulah simptom itu kadangkala disalah sangka sebagai tekanan stres sebelum haid," kata beliau.

Menurut pakar itu lagi, gejala yang biasanya timbul dalam kes SLE adalah artritis (radang dan sakit sendi) di tangan, kaki dan juga lutut.

Terdapat juga keletihan dan ruam pada kulit (termasuk muka dan badan).

Menurut pakar-pakar perubatan, SLE adalah penyakit yang muncul dari sistem imum badan itu sendiri.

"Dalam SLE, sistem imum badan jadi tidak seimbang mengakibatkan badan memberi reaksi terhadap tisu yang sihat. Itulah sebabnya simptom SLE boleh berbeza (dari satu individu dengan individu yang lain).

"Penyakit ini juga disebabkan jenis ubat yang diambil," kata Dr Tan.

Kata beliau, SLE diklasifikasikan sebagai penyakit reumatik sendi dan boleh melibatkan beberapa organ dalam badan seperti buah pinggang.

Pakar-pakar reumatologi memberitahu bahawa penyakit SLE boleh membawa maut.

Yayasan SLE Amerika menyatakan komplikasi daripada penyakit itu menyebabkan beribu-ribu pesakit mati di seluruh dunia setiap tahun.

Tetapi diagnos awal serta pengurusan penyakit yang lebih baik telah membolehkan ramai pesakit menjalani kehidupan yang normal.

Malangnya bagi ramai yang menghidapi penyakit ini mereka terpaksa menjalani kehidupan yang mengganggu kualiti hidup.

Penawar lupus

Pakar-pakar perubatan berkata tiada penawar bagi SLE untuk ketika ini.

Tetapi terdapat rawatan bagi mengawal simptom dan penyakit ini. Terapinya bergantung pada organ yang terlibat serta tahap penyakit ini.

Kata Dr Tan, pesakit yang mempunyai simptom SLE seharusnya berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

"Mereka (pesakit) perlu menerangkan keseluruhan riwayat perubatan mereka walaupun tiada gejala yang timbul ketika itu. Doktor mungkin memerlukan pesakit menjalani ujian tambahan dan merujuk pesakit kepada pakar reumatologi dan pakar dermatologi," katanya.

Maklumat yang lebih mengenai SLE boleh didapati dari www.lupus.org. - BERNAMA

Sunday, January 8, 2012

Sukar mengesan Hepatitis C

BERLAINAN dengan kebanyakan penyakit lain, Hepatitis C merupakan jangkitan yang sukar dikesan oleh pesakit sendiri kerana ia selalu menyerang tanpa membawa simptom, membawa simptom yang tidak menonjol atau tidak berpanjangan.

Hepatitis C sering menerima gelaran sebagai pembunuh senyap kerana ramai pesakit tidak mengetahui diri mereka dijangkiti sehingga bertahun-bertahun malahan berpuluh tahun lamanya.

Apa yang menyedihkan, kebanyakan kes Hepatitis C hanya diketahui selepas umur 40 tahun walaupun ramai pesakit tersebut dipercayai telah menghidap virus berkenaan tersebut jauh lebih awal.

Tidak kurang yang hanya menyedari tubuh mereka menjadi habitat virus selepas tahap kesihatan bertambah teruk akibat kegagalan hati atau pertumbuhan kanser hati.

Walaupun ujian darah mampu mengesan kehadiran virus Hepatitis C dengan mudah, namun kebanyakan orang terutamanya daripada kumpulan berisiko tinggi enggan berbuat demikian sekan-akan tidak mahu berdepan dengan perbuatan lampau mereka.

Pengarah Global Hal Ehwal Saintifik Penyakit Berjangkit dari syarikat farmaseutikal Merck & Co. Inc. (Merck), Lisa Pedicone berkata, Cara jangkitan Hepatitis C lebih kurang sama seperti cara jangkitan virus HIV di mana antara penyebab utama jangkitan ialah perkongsian jarum dadah.

''Transmisi darah juga pernah menjadi cara jangkitan yang utama tetapi sejak 1990-an, kebanyakan negara telah melakukan kawalan ketat untuk mengelakkan jangkitan Hepatitis C melalui pemindahan darah," katanya.

Beliau berkata, kajian mendapati terdapat kemungkinan besar Hepatitis C juga boleh dijangkit daripada ibu kepada anak dalam kandungan.

Terdapat kes di mana kanak-kanak seawal tiga hingga lima tahun dijangkiti Hepatitis C, satu-satunya penjelasan yang boleh diterima ialah virus dijangkiti ketika mereka dalam kandungan.

Walaupun pesakit Hepatitis C berpeluang sembuh, namun kajian dunia menunjukkan hanya 40 peratus pesakit sembuh selepas setahun menerima rawatan.

Menariknya, faktor genetik dan keturunan turut mempengaruhi peluang penyembuhan pesakit Hepatitis C dan kajian menunjukkan pesakit Asia mempunyai peluang yang lebih besar untuk sembuh.

Pedicone berkata, berbanding pesakit Caucasian yang mencatatkan peluang penyembuhan 40 peratus dan Afrika sebanyak 20 peratus, Asia mencatatkan peluang lebih tinggi berbanding dua keturunan itu.

''Keadaan ini disebabkan oleh faktor genetik di mana mereka yang memiliki genetik positif mempunyai peluang penyembuhan lebih 70 peratus.

''Dalam kes Hepatitis C, gen positif lebih prevalen di kalangan penduduk Asia berbanding Caucasian dan Afrika," katanya.

Tambahnya, selain faktor genetik, soal usia dan metabolisme turut mempengaruhi peluang penyembuhan seseorang pesakit.

''Pesakit muda lebih berpeluang untuk disembuhkan, mereka yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) rendah juga menunjukkan hasil rawatan lebih baik berbanding pesakit dengan BMI tinggi.

''Kejayaan rawatan juga bergantung kepada bilakah anda menerima rawatan iaitu sejauh mana kerosakan hati anda. Peluang pesakit untuk sembuh lebih tinggi jika mendapat rawatan awal," katanya.

Rawatan Hepatitis C bagaimanapun bukan semudah yang disangkakan apatah lagi tiada jaminan bahawa pesakit boleh sembuh sepenuhnya, keadaan ini sering menyebabkan pesakit takut untuk menghadapi perjalanan rawatan yang sukar.

Rawatan

''Terdapat dua kaedah rawatan di mana yang pertama melalui suntikan sekali seminggu, iaitu stimulasi imun badan pesakit untuk menentang virus.

''Ia merupakan satu rawatan yang tidak spesifik.

"Pesakit akan menerima kesan sampingan seperti sakit badan dan demam. Rawatan memakan masa kira-kira 48 minggu, ramai pesakit tidak tahan dan takut untuk menerima rawatan," katanya.

Tambahnya, kaedah kedua menggunakan ubat pula didapati mampu menghentikan pembiakan virus Hepatitis C walaupun saintis masih gagal menguasai secara 100 peratus bagaimana ia berfungsi.

''Masalah ubat ini ialah ia bersifat toksik kepada sel darah merah, menyebabkan hemoglobin menurun dan membawa kepada amenia," kata Pedicone.

Walaupun rawatan itu menimbulkan kesan yang tidak diingini tetapi ia tetap perlu dijalankan kerana virus Hepatitis C tidak akan hilang dengan sendirinya, rawatan segera menjanjikan peluang penyembuhan yang lebih baik.

Pedicone berkata, pesakit pada masa yang sama perlu mengikut jadual rawatan yang ditetapkan dan jangan leka walaupun ujian darah pertama menunjukkan darah mereka bebas daripada virus.

''Ujian lebih daripada sekali perlu dilakukan kerana mungkin terdapat virus yang 'tersembunyi' di hati tetapi tidak dikesan dalam ujian darah," katanya.

Pesakit yang telah sembuh pula perlu menjauhi gaya hidup berisiko kerana virus Hepatitis C yang baru boleh menyerang semula pesakit yang sama.

Dalam pada itu, Pedicone bekata, syarikat-syarikat farmaseutikal telah melakukan banyak kajian mengenai Hepatitis C dan ubat baru yang menyasarkan virus itu secara spesifik telah diperkenalkan di lebih 40 negara dan dijangka diluluskan di nnegara Asia Tenggara seperti Filipina dan Malaysia pada 2012.

''Ubat yang sedia ada adalah merangsang sistem imun badan pesakit untuk melawan virus, ubat baru yang dikeluarkan pula menentang virus secara fokus. Ubat baru ini boleh digunakan seiring dengan dua kaedah rawatan sedia ada.

''Kemunculan ubat ini menawarkan peluang baru kepada pesakit Hepatitis C yang gagal disembuhkan sebelum ini," katanya.

Walaupun kemajuan farmaseutikal dapat menawarkan lebih peluang kepada pesakit yang menderita virus Hepatitis C, namun usaha itu perlu dilakukan selari dengan pengesanan awal bagi memastikan kejayaan berganda.

''Perancis telah melakukan usaha yang agak baik dengan melakukan kempen pendidikan dan ujian secara besar-besaran, akibatnya ia mengesan kes Hepatitis C yang amat tinggi.

''Rawatan awal terhadap penyakit Hepatitis C mampu menyelamatkan nyawa," kata Pedicone.

Rahsia wajah Ramlah Ram


Ramlah menunjukkan serum emas IZ.


PENYANYI bersuara lantang ini pernah ditumbuhi banyak jerawat kira-kira 25 tahun dahulu. Jerawat menyebabkan dia hilang keyakinan diri dan malu bertemu dengan rakan-rakan serta peminatnya.

Sejak peristiwa itu, Ramlah Ram, 46 sangat prihatin terhadap penjagaan wajahnya.

Ramlah juga selektif tentang pemilihan produk wajah.

Selepas mencuba rangkaian produk emas IZ selama seminggu, Ramlah merasakan perubahan wajahnya lebih tegang dan nampak lembut walaupun tanpa solekan tebal.

Menurut Ramlah, kesan yang dapat dilihat selepas sehari menggunakan produk ini merupakan faktor utama dia menerima tawaran menjadi duta produk IZ.

"Serum emas IZ membantu merawat kulit wajah dan berfungsi mencerah, melembap, menegang dan menghaluskan kulit pada penggunaan kali pertama. Manakala skrub emas IZ mengeluarkan sel mati dengan cepat. Selain itu, saya turut mengamalkan vitamin C dan E untuk mendapatkan kulit wajah yang sihat dan memperlihatkan kesan yang begitu jelas ketara terutama pencerahan dan kulit yang lembap," ujarnya ketika ditemui di No. 6A, Medan Idaman, Jalan Jernai 2, Batu , 53000 Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, pengasas produk 99.9 peratus hablur emas ini, Ziela Che Nor memilih Ramlah selepas melihat faktor usia penyanyi wanita ini.

Ini kerana rangkaian produk emas ini sesuai untuk mereka yang berumur 25 tahun ke atas sebagai anti penuaan dan penjagaan wajah yang sihat.

"Kami meminta Ramlah mencuba dahulu produk ini. Kebetulan dia berminat dan serasi dengan produk emas kami. Hasilnya, kulit Ramlah lebih segar dan muda daripada usia sebenarnya. Inilah kali pertama dia menggunakan produk yang berasaskan emas 24k," katanya.