ANAK perempuan AiBee yang berumur 25 tahun, Siew Ping, merupakan seorang yang cergas dan sihat sehinggalah suatu hari beliau berasa keletihan dan lemah yang amat sangat selain hilang selera makan secara mendadak.
"Ia berlaku pada September tahun lepas bila Siew Ping mengadu rasa sakit di seluruh badan selain demam dan selesema.
"Hidungnya juga mengalir darah dan ada ruam di badan dan muka. Sendi-sendinya juga sakit dan bengkak. Dia juga mengadu sakit dada dan batuk berdarah," cerita Aibee di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
AiBee membawa anaknya ke hospital dan kemudian doktor memberitahu diagnosa anaknya menghidap SLE (Lupus Eritematosus Sistemik) yang juga dikenali sebagai 'Lupus'.
Menurut pakar penyakit reumatologi, satu kajian yang dijalankan pada tahun 1990 menunjukkan terdapat 43 pesakit SLE bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia.
Kini dianggarkan terdapat lebih 12,000 kes SLE di negara ini.
Statistik Yayasan SLE Amerika Syarikat pula mendedahkan di negara itu sahaja terdapat 1.5 juta kes SLE manakala angka bagi seluruh dunia adalah 5.0 juta orang.
Pakar perubatan Dr H.Tan memberitahu, ciri-ciri wujud SLE adalah berlainan antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.
"Kira-kira 80 peratus daripada pesakit SLE mengalami sakit sendi dan otot selain ruam di kulit. Mereka juga rasa lemah-lemah serta tidak sihat.
"Pada kemuncaknya, pesakit SLE akan mengalami selesema dan ini mungkin diiringi demam, keletihan dan sakit otot. Bagi wanita, simptom ini mungkin lebih teruk sebelum pusingan haid dan sebab itulah simptom itu kadangkala disalah sangka sebagai tekanan stres sebelum haid," kata beliau.
Menurut pakar itu lagi, gejala yang biasanya timbul dalam kes SLE adalah artritis (radang dan sakit sendi) di tangan, kaki dan juga lutut.
Terdapat juga keletihan dan ruam pada kulit (termasuk muka dan badan).
Menurut pakar-pakar perubatan, SLE adalah penyakit yang muncul dari sistem imum badan itu sendiri.
"Dalam SLE, sistem imum badan jadi tidak seimbang mengakibatkan badan memberi reaksi terhadap tisu yang sihat. Itulah sebabnya simptom SLE boleh berbeza (dari satu individu dengan individu yang lain).
"Penyakit ini juga disebabkan jenis ubat yang diambil," kata Dr Tan.
Kata beliau, SLE diklasifikasikan sebagai penyakit reumatik sendi dan boleh melibatkan beberapa organ dalam badan seperti buah pinggang.
Pakar-pakar reumatologi memberitahu bahawa penyakit SLE boleh membawa maut.
Yayasan SLE Amerika menyatakan komplikasi daripada penyakit itu menyebabkan beribu-ribu pesakit mati di seluruh dunia setiap tahun.
Tetapi diagnos awal serta pengurusan penyakit yang lebih baik telah membolehkan ramai pesakit menjalani kehidupan yang normal.
Malangnya bagi ramai yang menghidapi penyakit ini mereka terpaksa menjalani kehidupan yang mengganggu kualiti hidup.
Penawar lupus
Pakar-pakar perubatan berkata tiada penawar bagi SLE untuk ketika ini.
Tetapi terdapat rawatan bagi mengawal simptom dan penyakit ini. Terapinya bergantung pada organ yang terlibat serta tahap penyakit ini.
Kata Dr Tan, pesakit yang mempunyai simptom SLE seharusnya berjumpa dengan doktor secepat mungkin.
"Mereka (pesakit) perlu menerangkan keseluruhan riwayat perubatan mereka walaupun tiada gejala yang timbul ketika itu. Doktor mungkin memerlukan pesakit menjalani ujian tambahan dan merujuk pesakit kepada pakar reumatologi dan pakar dermatologi," katanya.
Maklumat yang lebih mengenai SLE boleh didapati dari www.lupus.org. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment