SEPULUH tahun menghidap penyakit refluks gastroesofagus (GERD) tidurnya terganggu kerana pedih ulu hati. Setiap kali selepas makan mesti tidak selesa, loya dan mulut pula terasa masam. Dada terasa ngilu sangat sehingga kadang kala tidak boleh tidur. Kalau makan makanan berminyak, keadaan menjadi lebih teruk.
Terry Tan, 37, cuba bertahan tetapi gejala GERD mengganggu aktiviti hariannya.
"Ketika bersenam pun saya boleh alami masalah ini terutama apabila saya melakukan tekan tubi atau bangun tubi. Malah apabila tunduk pun saya boleh rasa dada pedih. Pada awalnya, saya mengambil ubat antiasid tetapi kesan ubat tidak lama sehinggalah saya diberikan ubat dipanggil perencat pam proton (PPI) yang membolehkan saya menjalani hidup dengan lebih baik," ujarnya.
Mengalami simptom yang sama, pesara, A. Susainathan, 64, juga kerap mengalami pedih ulu hati, terutama ketika tidur.
Kadang-kadang dia terjaga sampai 10 kali pada waktu malam. Ini mengganggu kerjanya pada waktu siang.
"Saya berusaha mendapatkan rawatan sewajarnya sebelum disahkan penghidap GERD. Dulu saya pernah bergelar perokok tegar tetapi disebabkan GERD, tabiat itu saya tinggalkan," ujarnya yang telah 13 tahun menderita GERD.
Susainathan menyarankan setiap individu yang memiliki simptom penyakit itu agar mendapatkan rawatan segera bagi mengelak ia bertambah kronik.
GERD adalah keadaan apabila kandungan asid gastrik dalam perut tertolak ke atas memasuki saluran esofagus atau kerongkong. Aliran songsang atau refluks asid gastrik inilah yang membuatkan seseorang mengalami pedih ulu hati, mulut terasa masam, loya dan tidak selesa.
Menurut kajian yang dilakukan di seluruh Asia baru-baru ini tentang kesan GERD terhadap mutu kehidupan, anggaran 60 peratus penghidapnya merasa tidak sihat, mengelak daripada makan sesetengah jenis makanan dan minuman, merasa letih dan khuatir disebabkan simptom GERD, manakala 50 peratus lagi terjaga daripada tidur sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan akibat simptom penyakit.
Gangguan tidur ternyata mengganggu produktiviti dan waktu santai pesakit, dengan lebih 60 peratus melaporkan kesan yang besar dan sederhana terhadap kerja dan waktu rehat mereka.
Kajian ini menunjukkan penghidap GERD memandang ringan kesan buruk penyakit terhadap mutu kehidupan mereka dan tidak menyedari bahawa ia boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang yang serius. Mereka hanya mendapat bantuan rawatan apabila rasa sakit dan semakin tidak selesa. Hampir separuh pesakit menanggung simptom sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum berjumpa doktor.
Dalam hal ini, bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia yang juga Perunding Gastroenterologi, Dr. Tan Huck Joo berkata, para pesakit tidak sepatutnya membiarkan simptom GERD mengganggu tugas harian mereka.
"Mereka tidak perlu menanggung sakit dalam diam. Dapatkan nasihat daripada doktor supaya dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang tahap penyakit yang dihidapi. Hanya selepas itu anda boleh mendapat rawatan yang khusus untuk masalah GERD," kata beliau.
No comments:
Post a Comment