Soalan:
Saya seorang wanita yang sudah berkahwin hampir dua tahun tetapi masih belum mempunyai cahaya mata. Dalam tahun kedua perkahwinan, saya mengalami keputihan yang sangat melampau sampaikan berketul-ketul. Pada masa sama, saya selalu berasa sakit yang teramat sangat di bahagian bawah perut sampailah ke pinggang. Selepas bersama suami mesti dia akan tanya kenapa banyak air warna putih berketul-ketul keluar. Saya pun tak tahu apa puncanya. Saya harap doktor dapat membantu.
Terima kasih.
- A, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Istilah "keputihan" adalah simptom yang lazim dialami oleh wanita. Penyebab utamanya sejenis kulat (jamur) yang dikenali sebagai candida albicans. Keputihan yang disebabkan oleh candida albicans dikenali dengan vulvovaginal candidiasis.
Permasalahan ini kerap berlaku kepada gadis dan juga wanita dewasa. Simptom umum yang biasa muncul adalah rasa gatal teramat sangat pada bahagian luar faraj, kemerahan dan terkadang bengkak pada bahagian labia majora (bibir luar kemaluan), pengeluaran cairan daripada faraj yang berwarna putih dan berkeladak serta berketul-ketul menyerupai susu basi. Penghidap mungkin juga mengalami rengsa atau rasa sakit semasa hubungan seks.
Dalam keadaan normal, kehadiran candida albicans dalam tubuh manusia tidak menimbulkan gangguan. Gangguan hanya akan muncul apabila keseimbangan populasi flora normal ini mengalami perubahan.
Perubahan keseimbangan flora normal dalam faraj terjadi kerana pengambilan ubat perancang kehamilan, menstruasi, semasa hamil, membasuh bahagian faraj dengan sabun atau pencuci faraj secara berlebihan. Ini dapat menyebabkan perubahan hormon yang akhirnya akan mempengaruhi keasidan pH pada bahagian faraj. Adanya perubahan pH ini akan mempengaruhi keseimbangan flora normal yang ada di dalamnya dan menyebabkan flora yang tidak normal membiak secara berlebihan.
Rawatan untuk masalah keputihan dilakukan dengan menggunakan ubat antikulat (antijamur). Tindakan tanpa ubat yang patut juga dipraktikkan adalah dengan menghindar penggunaan sabun atau parfum pada bahagian faraj untuk mencegah iritasi, menjaga agar bahagian tersebut tetap bersih dan kering dan mengelak pakaian dalam yang ketat dan tidak dapat menyerap peluh. Ubat-ubatan antijamur (dalam nama generik) seperti klotrimazol, mikonazol, ekonazol, nystatin, ketokonazol, itrakonazol, dan flukonazol, boleh didapati di klinik-klinik dan farmasi. Ubat-ubatan tersebut dapat digunakan secara oral, diminum atau digunakan langsung pada bahagian faraj.
Hendaklah berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Pencegahan
Penggunaan cairan pembasuh faraj harus secara bijaksana dengan mengetahui suatu prinsip bahawa bahagian itu bersifat asid yang juga lingkungan biasa bagi flora normal (mikroorganisma yang dalam jumlah normal tidak menyebabkan penyakit).
Adanya perubahan lingkungan normal tersebut, misalnya dengan penggunaan pembersih cecair faraj yang bersifat alkali (mengandung sabun) dapat meningkatkan pertumbuhan flora secara abnormal.
Jadi hendaklah menggunakan pencuci atau pembersih faraj secara berpada-pada dan tidak keterlaluan.
No comments:
Post a Comment