Saturday, January 28, 2012

Rivaroxaban kurangkan risiko strok

STROK adalah punca kematian yang ketiga tertinggi di Malaysia selepas sakit jantung dan kanser. Anggaran 40,000 rakyat Malaysia menderita akibat strok setiap tahun.

Rentak jantung tidak tetap secara berterusan, ataupun digelar fibrilasi atrium (AF) berlaku apabila ruang atas jantung pesakit tidak dapat berdegup dengan betul sehingga mengakibatkan serangan strok yang mampu membawa maut.

AF berlaku apabila darah di dalam jantung tidak mengalir dengan lancar, berkumpul pada bahagian atrium lalu mengakibatkan penggumpalan darah.

Darah akan bergumpal membentuk ketulan darah beku yang sangat mudah tertanggal dan ia dibawa oleh aliran darah melalui arteri ke bahagian otak lalu menyebabkan serangan strok.

Secara global, penghidap AF mempunyai risiko strok lebih lima kali.

Simptom lazim AF termasuk rasa getaran, debaran atau degupan kuat di bahagian dada, keletihan, sesak nafas, rasa pening atau pitam.

Perunding Kanan Pakar Pulmonari dan Penjagaan Kritikal Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai berkata, insiden AF semakin banyak berlaku memandangkan kekurangan usaha dan pengetahuan untuk menyekat faktor-faktor risiko AF.

"Pesakit dengan AF mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami strok yang mampu menyebabkan kehilangan keupayaan dan maut.

"Strok memusnahkan kehidupan berpuluh ribu pesakit dan keluarga mereka di Malaysia setiap tahun," katanya.

Bagaimanapun, katanya, berita baik bagi penghidap AF apabila risiko ini dapat dikurangkan dengan diagnos, rawatan serta pengambilan ubat yang betul dan sesuai.

Beliau yang ditemui pada pelancaran Xarelto daripada Bayer HealthCare, lega kerana produk terbaru itu yang juga dikenali dengan nama generik rivaroxaban - ubat antipenggumpalan darah oral ini akhirnya diluluskan di Malaysia.

Ia perlu diambil sekali sehari saja pada dos yang ditetapkan doktor serta tidak memerlukan pengawasan darah rutin.

Keberkesanan rivaroxaban dalam melindungi pesakit AF daripada risiko strok diyakini lebih efektif berbanding ubat-ubatan lain kerana ia kurang 'pantang-larang'.

mengawasi

Selama lebih separuh abad, pesakit AF menerima terapi antipenggumpalan melalui warfarin yang walaupun berkesan, mempunyai banyak kelemahan.

Pesakit yang mengambil warfarin mesti tegas mengawasi diet mereka kerana ia berinteraksi dengan banyak makanan yang biasa dan ubatan lain.

Tambahan pula, pesakit yang mengambil warfarin juga perlu kerap ke hospital untuk tujuan pengawasan.

Berdasarkan kajian klinikal yang dijalankan, rivaroxaban memberi kesan yang lebih baik kepada pesakit berbanding mereka yang mengambil warfarin dalam mengurangkan risiko menghidap strok sehingga 21 peratus.

Rivaroxaban sama efektif dan selamat seperti warfarin, bahkan turut memberikan manfaat tambahan dalam memudahkan pesakit AF.

No comments: