Saturday, January 14, 2012

Mudarat mandi malam

ADAKAH ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan? Ramai kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?

Dr. Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Katanya, mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

"Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini," kata beliau.

Menurut Dr. Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.

"Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.

Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?

Kata Dr. Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.

"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

"Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi". Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.

"Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan," katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria daripada permukaan kulit.

"Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun antibakteria," katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.

"Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam," kata beliau.

Ekzema

Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.

"Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan," terang Dr. Tan.

Katanya, rawatan bagi kulit yang kering adalah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik dengan berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu.

"Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering.

Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air daripada kulit.

"Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang ada masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit," terangnya.

Jadual kerja ketat

Ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang bermasalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.

Pengamal perubatan, Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.

Ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.

"Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita. Ia juga boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita," kata beliau.

Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?

"Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini.

Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air paip.

"Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar serta menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita daripada mandi waktu malam.

"Kini kita semakin maju dan mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur," kata beliau.

Pemulihan badan

Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merehatkan otot badan.

"Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.

"Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit," katanya.

Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?

Kata Hassan: "Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat". Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.

"Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur)," tambah beliau.

Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.

Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.

No comments: