Thursday, August 9, 2012

Jaga kehamilan waktu puasa


BIARPUN kehamilan merupakan idaman setiap wanita, namun wanita harus bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan semasa hamil terutamanya pada bulan Ramadan.
Tambahan, wanita hamil di bulan Ramadan memerlukan penjagaan dan pengambilan makanan secara teratur kerana amalan berpuasa dapat mengurangkan tenaga pada badan.
Badan yang lemah akibat berpuasa bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan pada ibu tetapi bayi dalam kandungan juga akan turut mendapat implikasinya.
Disebabkan oleh pelbagai faktor tertentu, ibu yang hamil ada kalanya tidak dapat mengelakkan diri dari kemungkinan menghidap pelbagai komplikasi sepanjang kehamilan.
Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Ng Ah See berkata, ibu yang mengandung dalam tempoh tiga bulan pertama memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi terutamanya di bulan Ramadan.
"Tempoh tiga bulan pertama adalah waktu kritikal bagi bayi kerana berlaku pertumbuhan yang cepat pada bahagia organ mereka.
"Ibu yang berada dalam keadaan ini perlu merancang pengambilan makanan yang sihat. Ia bermula dengan pengambilan sarapan dan makanan dalam kuantiti yang kerap setiap hari," katanya.
Katanya, apabila berpuasa akan berlaku peningkatan kadar ketone dalam darah menyebabkan risiko berlaku kekurangan tenaga dalam badan.
"Akibat berlaku peningkatan kadar ketone dalam darah, ramai wanita yang mengandung dalam tempoh tiga bulan akan mengalami loya dan muntah, pening, pitam dan sentiasa berasa letih.
"Jika berlaku keadaan seperti ini, mereka digalakkan mengambil makanan tambahan yang mempunyai asid folik supaya kekal bertenaga dan boleh meneruskan puasa seperti biasa," kata Dr. Ng.
Katanya, akibat buruk jika kesihatan dan pengambilan makanan tidak dijaga akan menyebabkan berlaku komplikasi kepada bayi dalam kandungan.
"Bayi akan lahir sebagai bayi pramatang, beratnya lebih ringan, dan akan mengalami masalah pertumbuhan ketika proses tumbesaran berlaku.
"Selain itu pergerakan anak akan berkurangan dan ibu akan berasa sakit pada bahagian rahim akibat berlaku pengecutan selain sakit kepala dan juga demam," katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa garis panduan yang boleh diikuti oleh ibu yang mengandung ketika berpuasa.
"Mereka dinasihatkan berjumpa doktor pada peringkat awal untuk memastikan tiada penyakit seperti diabetes, tekanan darah rendah ataupun masalah gastrik.
"Elakkan berjalan jauh dan membawa barang-barang yang berat kerana bebanan yang berat ditakuti akan berlaku kecederaan pada kandungan.
"Mereka juga perlu mengelakkan melakukan aktiviti yang akan menyebabkan badan berasa panas. Keadaan ini boleh menyebabkan badan terhidrat dengan cepat dan membahayakan kesihatan bayi," kata Dr. Ng.
Menurut beliau, pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat ketika berbuka dan juga bersahur akan membantu ibu mendapat tenaga secukupnya di siang hari.
"Banyakkan pengambilan sayuran dan buahan selain memilih makanan yang boleh menyimpan banyak tenaga seperti kurma, kacang dan bijirin.
"Utamakan makanan berkarbohidrat yang mudah dihadam dan mengurangkan makanan yang mempunyai banyak lemak. Ketika berbuka juga digalakkan meminum banyak air dan juga jus buahan segar," katanya.
Ujarnya, minuman berkafein seperti teh dan kopi tidak digalakkan untuk untuk ibu yang sedang mengandung ketika berpuasa.
"Seeloknya, gantikan minuman tersebut dengan milo dan minuman yang berperisa coklat ataupun minuman buah-buahan," kata Dr. Ng.

Jerawat, jeragat hilangkan keyakinan diri

 

WAJAH yang dipenuhi dengan jerawat dan jeragat boleh menyebabkan seseorang hilang keyakinan diri.
Ada yang sanggup tidak keluar rumah bagi mengelak berjumpa orang.
Menurut Pakar Kulit Jerawat dan Jeragat, Dr. Haseenah Hassan, jerawat selalunya berkaitan dengan stres manakala 90 peratus masalah jeragat disebabkan oleh keturunan.
"Faktor keturunan biasanya disebabkan oleh hiper cheratosis iaitu sel dalam liang yang menghasilkan lebih banyak sel berbanding biasa," katanya.
Dikatakan terdapat 30 sel pada satu-satu masa dan 30 sel mati. Dalam setiap liang pula ada sistem pembuangan sel mati.
Jika bilangan sel bertambah banyak, sistem yang ada tidak dapat membuang semua sel yang telah mati.
Dr. Haseenah berkata, liang sebum menghasilkan minyak dan sel mati akan menyebabkan liang tersumbat atau plug.
Plug atau mikrocomedon merupakan gumpalan sel mati dan sebum atau minyak dan bila plug tadi perlu dikeluarkan, liang yang lebih besar diperlukan.
"Jangkitan juga boleh menyebabkan jerawat di mana semua orang mempunyai bakteria P acne.
"Bagi mereka yang normal, bakteria berkenaan tidak aktif tetapi memakan sel-sel yang dikeluarkan," katanya.
Bakteria berkenaan tidak sukakan oksigen dan apabila liang terbuka dan kaya dengan oksigen, bakteria berkenaan boleh dikawal.
Tetapi apabila liang tersumbat, ia akan menyebabkan jangkitan atau lebih teruk lagi boleh menghasilkan jerawat batu.
Jerawat boleh dirawat dengan mengawal stres, menghalang liang tersumbat dan mengawal jangkitan bakteria.
"Biasanya pesakit akan diberikan antibiotik bagi mengawal bakteria dan pesakit perlu menunggu sehingga sekurang-kurangnya enam bulan sebelum jerawat betul-betul sembuh.
"Selepas itu barulah rawatan untuk parut jerawat boleh dilakukan dan rawatannya sama untuk rawatan jeragat," katanya.
Jeragat atau nama saintifiknya melasma pula boleh disebabkan oleh pengambilan pil perancang, hormon atau penyakit berkaitan wanita.
Menurut Dr. Haseenah, biasanya melasma bermula seawal usia 18 tahun sehingga menjangkau 35 tahun.
Tambah beliau, wajah yang tidak dilindungi pelindung matahari mempercepatkan lagi proses pembentukan melasma.
"Sebenarnya melasma boleh dikurangkan sedari awal dengan menggunakan losen pelindung matahari dengan betul," katanya.
LosenMalah Dr. Haseenah sendiri mendidik anak gadisnya menggunakan losen pelindung matahari seawal usia 10 tahun.
"Kini anak saya berusia 13 tahun dan dia telah diajar mengenakan losen pelindung matahari sebaik saja bangun tidur," katanya.
Sebenarnya cahaya UVA dan UVB boleh menembusi langsir, malah tingkap kenderaan dan akan mempercepatkan lagi kemunculan melasma.
Malah cahaya daripada televisyen dan skrin komputer juga boleh membawa kepada kemunculan melasma.
"Jadi pastikan sentiasa memakai losen pelindung matahari di mana saja anda berada walaupun di dalam rumah atau pejabat.
"Walaupun berada di dalam rumah tetapi cahaya UVA dan UVB boleh dipancarkan," katanya.
Jeragat bermula dengan melanosit iaitu sel-sel yang menghasilkan melanin - sejenis pigmen pelindung kulit. Satu melanosit akan mengawal 10 hingga 15 sel yang menapis sinar ultralembayung - penyebab mutasi pada kulit.
Dr. Haseenah berkata, sebenarnya melanosit memberikan warna pada kulit dan penduduk Asia mempunyai lebih banyak melanosit ekoran sering terdedah kepada sinaran matahari.
JeragatJeragat atau melasma boleh dibahagikan kepada dua iaitu epidermal dan dermal. Kerap kali kedua-duanya hadir bersama-sama.
Justeru Dr. Haseenah menyarankan mereka yang prihatin dengan kulit wajah menggunakan losen penghalang matahari sekurang-kurangnya SPF40.
"Bilangan di sebelah SPF merujuk kepada minit perlindungan yang diberikan oleh losen berkenaan dan SPF40 merujuk kepada 400 minit perlindungan yang diberikan," katanya.
Dr. Haseenah mengambil masa setahun untuk memformulasikan losen pelindung matahari sendiri.
"Saya perlu pastikan nilai SPF sesuai dengan kulit penduduk Asia dan tidak melekit atau berminyak," katanya.
Menurut Dr. Haseenah, penduduk di rantau Asia perlukan losen penghalang matahari kerana cahayanya yang terik.
Ditanya mengenai rawatan yang sesuai, Dr. Haseenah berkata, terdapat dua matlamat rawatan iaitu mengeluarkan pigmen baru dan menghalang pigmen baru terbentuk.
Caranya adalah pengelupasan kimia, laser, mikrodermabrasion serta HV lantosphoresis dan krim serta losen penghalang matahari.
"Semua ini bergantung kepada keselesaan pesakit," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, selepas menjalankan rawatan, pesakit perlu memberikan lebih perhatian dalam penjagaan wajah.
"Jika tidak dijaga secara rapi dengan pemakaian losen penghalang matahari, jeragat akan bertambah dengan lebih cepat," katanya.
Tetapi ada juga yang tidak mempunyai jeragat namun mendapat Hori's Naevus. Biasanya ia lebih jelas semasa hamil.
Seperti yang diketahui, badan menghasilkan lebih banyak pigmen semasa hamil menyebabkan Hori's Naevus menjadi lebih jelas dan disedari hanya semasa hamil.
"Ini menyebabkan pesakit kecewa kerana kadang-kala melasma hilang dengan rawatan tetapi Hori's Naevus pula semakin jelas kelihatan.
"Sebelum ini Hori's Naevus dilindungi oleh melasma dan apabila melasma tiada tompokan hitam Hori's Naevus akan semakin jelas dan perbezaan melasma dan Hori's Naevus hanya dapat ditentukan oleh doktor," katanya.

Sunday, August 5, 2012

Khasiat epal organik

 

PERIBAHASA Barat 'makan sebiji epal sehari, anda tidak perlu berjumpa doktor' memang diketahui umum. Kini saranan itu terkandung dalam program 3-Epal-Sehari yang mampu menyusutkan berat badan beberapa paun.
Beberapa tahun lepas, di bandar Wenatchee di Washington, Amerika Syarikat (AS), berat badan penduduk di situ mula susut bukan disebabkan kurang makan, diet terkini atau pil pelangsingan tetapi melalui perubahan gaya hidup yang mendatangkan hasil mengejutkan.
Seorang wanita susut 19 paun lemak badan sepanjang 12 minggu manakala seorang lelaki pula berjaya susut 35 paun dalam masa sama. Keseluruhannya, seramai 346 orang yang mengikuti program itu susut lebih daripada 6,000 paun lemak dalam 12 minggu.
Bagaimana ia berlaku? Dengan hanya memakan tiga biji epal Washington Apples sehari di samping program pemakanan dan senaman yang seimbang.
Perut buncitMenurut Pengarah Urusan Dya D Masha, Wan Muhammad Izzat Wan Izani, ramai rakyat negara kita menghadapi masalah perut buncit dan obesiti.
"Walaupun berpuasa dikatakan cara terbaik menurunkan berat badan, keadaan pasti berubah ketika menyambut Aidilfitri.
"Penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut harus dicari sebelum ia menjadi bertambah serius. Seseorang yang obes akan berhadapan masalah ketidakseimbangan tubuh badan. Kaki dan lutut menjadi sakit gara-gara mahu menampung badan yang berat selain risiko penyakit jantung, kencing manis dan cepat letih," ujarnya.
Muhammad Izzat menambah, salah satu pemakanan yang baik diamalkan ketika menyambut raya adalah gabungan epal organik menerusi serat kolagen dan stem sel yang dapat membantu membuang lemak berlebihan tanpa cirit birit. Ini kerana epal boleh mengawal paras kolestrol secara semula jadi ekoran kandungan seratnya yang tinggi.
"Ia boleh bergabung dengan kolestrol dan membuang lemak tidak baik sebelum lemak diserap ke dalam badan," katanya.
Dalam pada itu, Dya D Masha menghasilkan D'Apple Fiber yang mengandungi serat epal organik dan kolagen tinggi bagi membantu mengawal perut buncit, sembelit dan obesiti.
Selain pengambilan makanan tambahan, serat epal organik diperlukan dalam pemakanan harian kita. Setiap individu memerlukan 25 hingga 30 gram serat sehari untuk membantu menyahtoksin dalam badan. Serat larut ini juga membantu mengurangkan lemak berlebihan iaitu kolestrol dalam badan.
Bagaimanapun ramai yang tidak menyedari bahawa tidak mudah bagi mereka untuk mengambil jumlah serat yang diperlukan setiap hari sebelum lemak diserap ke dalam badan.
Serat epal juga bertindak membuang toksin daripada kolon dan mengawal fungsi usus serta dapat mengelakkan sembelit. Ia berbeza daripada produk lawas yang lain kerana tidak menyebabkan pengguna sakit perut seperti memulas dan cirit-birit.

Berpuasa untuk sihat


Bulan puasa merupakan tempoh yang baik untuk melihat semula menu makanan rutin yang diambil bagi memastikan tubuh badan sentiasa sihat. - Gambar hiasan
MEMANG ramai orang yang berpenyakit termasuk bagi mereka yang bukan Islam mencuba kaedah berpuasa sebagai salah satu cara mengawal penyakit mereka.
Secara analoginya, mesin juga perlu berehat untuk memanjangkan jangka hayatnya dan begitu jugalah dengan organ perut manusia.
Setelah bekerja selama 11 bulan, adalah baiknya perut direhatkan dengan berpuasa.
Cuma apakah teknik atau cara yang paling berkesan untuk mencapai matlamat tubuh sihat dengan berpuasa? Dan bolehkah mengambil kesempatan mencapai hajat tersebut dengan berpuasa sebulan di bulan Ramadan?
Pakar pemakanan dari Hospital Pakar Ampang Puteri, Rose Hanizan Mat Hassan berkata sebaiknya dalam kita berpuasa pastikan tubuh mendapat semua keperluan nutrien berpandukan piramid makanan di samping mengawal pengambilan kalori atau tenaga mengikut kepada kesesuaian badan kita.
"Sebagai contoh pengambilan nasi yang sepatutnya untuk orang yang sihat dengan kuantiti tiga senduk paras manakala bagi yang berlebihan berat badan pula dua senduk paras.
"Jangan tinggalkan sayuran dan buah-buahan pada waktu sahur dan juga berbuka. Manakala pengambilan lauk-pauk juga perlu dikawal kuantitinya dan amalkan cara masakan yang sihat.
"Paling ideal kalau minum segelas susu pada waktu bersahur, jadi sementara tubuh berpuasa dan organ perut berehat, nutrisi yang dimakan pada waktu sahur akan memastikan tubuh pulih dan membekalkan tenaga pada kadar yang secukupnya sebelum waktu berbuka," jelasnya yang ditemui di kliniknya, baru-baru ini.
Menurut Rose Hanizan, selepas waktu Subuh hingga sebelum berbuka, organ perut memang akan berada dalam tempoh 'rehat'.
Apabila waktu berbuka ia sudah bersedia untuk 'bekerja' semula.
"Waktu berpuasa ini juga adalah satu 'latihan' yang diajar pada perut untuk menjadi lebih efektif. Ketika berpuasa juga saiz perut akan berada dalam keadaan asal di mana ia tiada mengandungi makanan.
"Jadi janganlah pula waktu berbuka terus mengambil makanan dalam kuantiti yang lebih daripada apa yang badan perlukan. Maka sebab itu mengikut kepada sunnah Rasulullah S.A.W adalah sebaiknya untuk kita berbuka dengan tiga biji buah kurma berserta air.
"Jenis makanan yang sebaiknya untuk memulihkan tubuh pada bulan puasa ini ialah digalakkan mengambil karbohidrat yang tinggi dengan serat.
"Selain itu lebihkan sayuran dan buah-buahan dan kurangkan makanan yang berkarbohidrat ringkas seperti gula dan susu pekat manis serta kurangkan makanan yang berlemak dan berkolesterol.
"Jika kita terlalu mengikut hawa nafsu makan dan tidak mengawal apa yang di makan akan timbul penyakit lain seperti gastrik, berlebihan berat badan atau obes, penyakit kencing manis dan lain-lain lagi" ujarnya.
Menurut Rose Hanizan lagi, individu yang obes sekiranya konsisten berpuasa dan mengikut rejim pemakanan yang betul serta berkhasiat ditambah dengan senaman ringan, pasti dapat mengurangkan berat badan sekali gus menyihatkan tubuh mereka.
"Apabila sahur dengan makanan seimbang dan berbuka juga seimbang dengan kuantiti yang betul, mana-mana tubuh yang tidak sihat pasti akan mendapat tak banyak sedikit manfaatnya," jelasnya.
Rose Hanizan turut berpesan, sebelum tidur digalakkan mengambil snek ringan yang berkhasiat seperti biskut rendah lemak, tinggi fiber bersama secawan air susu satu jam atau setengah jam sebelum tidur.
"Perlu diingatkan walaupun berpuasa pastikan kuantiti pengambilan air kosong lapan gelas sehari dicukupkan. Untuk menyihatkan tubuh ini memang penting, apatah lagi bagi mereka yang hendak menguruskan badan.
"Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa pengambilan air adalah salah satu cara yang efektif untuk ia berfungsi serta memberi kesegaran dan menyingkirkan sisa toksik makanan dari dalam tubuh," ujarnya mengakhiri bicara.

Berpuasa bagi wanita hamil


SALAM DOKTOR
SEMPENA bulan puasa ini, boleh tak doktor bagi sebarang panduan untuk ibu mengandung seperti saya. Kini saya hamil lima bulan. Saya khuatir jika berdepan masalah ketika berpuasa kerana ini adalah kehamilan pertama saya.
Puan R, Rawang
JAWAPAN
Sepanjang Ramadan, ramai di kalangan kita berebut-rebut mengejar barakah dengan mengerjakan amalan berpuasa dengan sempurna. Bagi wanita yang tidak hamil, tentunya ia tidak menjadi masalah. Namun begitu ramai wanita hamil tidak mahu ketinggalan. Kebanyakan doktor dan juga para ulama tidak menggalakkan wanita hamil berpuasa jika ia memudaratkan wanita tersebut atau bayi dalam kandungannya.
Jika berpuasa tidak memudaratkan, maka mereka boleh berpuasa dengan mendapat panduan berpuasa semasa hamil daripada doktor agar kedua-duanya terjamin sihat.
Alhamdulillah, bertuah Puan saat ini kerana hamil pada bulan yang banyak kelebihannya ini. Puan mempunyai kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan lagi untuk mengenal penciptanya. Maka, tidak hairanlah, meski sedang hamil, tidak kurang ibu-ibu yang tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa. Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadan untuk turut serta memperbanyakkan ibadah. Insya-Allah, Puan boleh mencuba untuk berpuasa seperti ibu-ibu lain yang hamil dan memilih untuk meneruskan berpuasa dalam bulan mulia ini.
Menangguhkan masaNamun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekali pun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia seperti pening, loya, gementar dan hampir pitam atau pengsan. Mereka menangguhkan masa untuk berbuka. Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka.
Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan sebenarnya sedang membahayakan anak dalam kandungan sendiri. Malah, anak tersebut juga boleh mengalami hipoglisemia dan kekurangan nutrisi kalori yang berguna untuk tumbesarannya.
Sudah tentu segala keberkatan tidak bermakna jika zuriat kita tidak sihat. Dalam hal ini, adalah tidak wajar untuk wanita tersebut meneruskan puasa kerana ianya memudaratkan mereka berdua.
Kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan fisiologi yang boleh dialami oleh mana-mana wanita. Jadi, apabila tidak ada masalah kesihatan pada ibu mahupun anak dalam kandungan dan mereka berdua berada di bawah pengawasan doktor, mereka dibolehkan berpuasa seperti biasa.
Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi zat makanan bayinya. Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius oleh ibu-ibu hamil. Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu harus memikirkan keperluan dirinya dan juga anak yang sedang dikandungnya. Jika tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan akan turut terjejas. Kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka.
NutrienAlhamdulillah, Puan sudah berada pada trimester kedua (bulan empat hingga enam kandungan). Kebiasaannya, semasa awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaik-baiknya tidak berpuasa.
Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa. Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu juga dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.
Ibu-ibu yang mempunyai penyakit, disarankan agar tidak berpuasa jika mengalami alahan yang teruk ( sentiasa lemah, mual dan mengalami kekurangan air dalam badan), penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang, anemia semasa mengandung, oligohidramnios (air mentuban yang sedikit), pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil.
Terdapat panduan pemakanan ibu hamil sepanjang Ramadan yang perlu diamalkan.
Seseorang ibu juga tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang. Pengambilan pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting.
Untuk memastikan ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan dengan kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar. Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.
Perbanyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya. Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan seseorang itu tidak mengalami dehidrasi. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.
Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka.
KeseimbanganTujuannya memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan. Ingat, jangan makan berlebihan dan elak makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi seperti telur dan ikan masin. Berbuka puasalah perlahan-lahan agar perut tidak terkejut. Untuk membantu penghadaman, kunyah makanan dengan baik.
Supaya anda mampu menahan lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadam makanan banyak serat. Selain makanan berserat dan protein, sebaik-baiknya sediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.
Kesimpulannya, wanita hamil boleh berpuasa jika mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi yang tiada kekuatan akibat penyakit semenjak sebelum berkahwin atau dihidapi semasa hamil, dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya semula.

Puasa bukan alasan tidak bersenam


AYA puasa seharian, mana ada tenaga nak bersenam. Nanti kalau kita dahaga sebab bersenam kena buka puasa pula. Mana larat nak bersenam, kalau pergi bazar Ramadan boleh, hehe...
Itu antara alasan yang sering diberi untuk tidak melakukan senaman semasa berpuasa.
Sebenarnya semasa berpuasa juga kita boleh melakukan senaman yang lebih khusus kepada ketahanan otot, tenaga dan stamina.
Jurulatih Senaman Kurnia Insurans, Yusman Yusoff berkongsi kaedah senaman yang boleh dilakukan walaupun dalam keadaan berpuasa.
Senaman ini selain daripada memberi manfaat pada kesihatan, ia juga lebih tertumpu untuk mengekalkan stamina dan membentuk tubuh badan.
Berikut adalah lima langkah senaman yang bukan sahaja boleh dilakukan semasa berpuasa, sebaliknya juga boleh dilakukan di rumah tanpa sebarang peralatan senaman. - AZRUL/ AZLAN HADI

Risiko hipoglisemia ketika berpuasa


Apakah yang dimaksudkan hipoglisemia?Menurut Pakar Buah Pinggang, Hospital Pakar DEMC, Shah Alam, Dr. Rashidi Saidin, hipoglisemia merujuk kepada keadaan apabila kandungan glukosa berkurangan dalam darah dan berada di bawah paras normal.
"Tanda-tanda hipoglisemia termasuklah rasa gelisah dan tidak tentu arah, lemah, teramat lapar, berpeluh, pucat, berdebar-debar, menggeletar, denyutan nadi terlalu laju dan tidak sedarkan diri sekiranya terlalu serius. "Pengetahuan mengenai tanda-tanda komplikasi kesihatan ini sangat penting untuk difahami pesakit untuk mengelakkan sebarang masalah serta komplikasi lebih teruk," ujarnya.
Siapa yang berisiko?Salah satu punca hipoglisemia berlaku adalah ia ada kaitan dengan jenis ubat yang diambil oleh pesakit untuk mengawal paras glukos dalam darah. Dua jenis ubat yang selalu digunakan di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea. Metformin yang berfungsi memperbaiki paras glukos dalam darah tanpa merangsang pengeluaran insulin mampu meminimumkan atau tidak mendatangkan risiko hipoglisemia.
Sulfonylurea pula boleh menyebabkan risiko ketara hingga tercetusnya hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran insulin selagi berada dalam badan.
Dr. Rashidi turut menasihatkan, seelok-eloknya sebelum menjalani ibadat puasa, mereka yang berisiko khususnya pesakit diabetes berjumpa dengan doktor supaya perubahan dos ubat dan insulin dapat dilakukan mengikut keadaan kesihatan mereka.