SEMPENA bulan puasa ini, boleh tak doktor bagi sebarang panduan untuk ibu mengandung seperti saya. Kini saya hamil lima bulan. Saya khuatir jika berdepan masalah ketika berpuasa kerana ini adalah kehamilan pertama saya.
Puan R, Rawang
JAWAPAN
Sepanjang Ramadan, ramai di kalangan kita berebut-rebut mengejar barakah dengan mengerjakan amalan berpuasa dengan sempurna. Bagi wanita yang tidak hamil, tentunya ia tidak menjadi masalah. Namun begitu ramai wanita hamil tidak mahu ketinggalan. Kebanyakan doktor dan juga para ulama tidak menggalakkan wanita hamil berpuasa jika ia memudaratkan wanita tersebut atau bayi dalam kandungannya.
Jika berpuasa tidak memudaratkan, maka mereka boleh berpuasa dengan mendapat panduan berpuasa semasa hamil daripada doktor agar kedua-duanya terjamin sihat.
Alhamdulillah, bertuah Puan saat ini kerana hamil pada bulan yang banyak kelebihannya ini. Puan mempunyai kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan lagi untuk mengenal penciptanya. Maka, tidak hairanlah, meski sedang hamil, tidak kurang ibu-ibu yang tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa. Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadan untuk turut serta memperbanyakkan ibadah. Insya-Allah, Puan boleh mencuba untuk berpuasa seperti ibu-ibu lain yang hamil dan memilih untuk meneruskan berpuasa dalam bulan mulia ini.
Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan sebenarnya sedang membahayakan anak dalam kandungan sendiri. Malah, anak tersebut juga boleh mengalami hipoglisemia dan kekurangan nutrisi kalori yang berguna untuk tumbesarannya.
Sudah tentu segala keberkatan tidak bermakna jika zuriat kita tidak sihat. Dalam hal ini, adalah tidak wajar untuk wanita tersebut meneruskan puasa kerana ianya memudaratkan mereka berdua.
Kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan fisiologi yang boleh dialami oleh mana-mana wanita. Jadi, apabila tidak ada masalah kesihatan pada ibu mahupun anak dalam kandungan dan mereka berdua berada di bawah pengawasan doktor, mereka dibolehkan berpuasa seperti biasa.
Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi zat makanan bayinya. Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius oleh ibu-ibu hamil. Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu harus memikirkan keperluan dirinya dan juga anak yang sedang dikandungnya. Jika tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan akan turut terjejas. Kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka.
Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa. Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu juga dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.
Ibu-ibu yang mempunyai penyakit, disarankan agar tidak berpuasa jika mengalami alahan yang teruk ( sentiasa lemah, mual dan mengalami kekurangan air dalam badan), penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang, anemia semasa mengandung, oligohidramnios (air mentuban yang sedikit), pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil.
Terdapat panduan pemakanan ibu hamil sepanjang Ramadan yang perlu diamalkan.
Seseorang ibu juga tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang. Pengambilan pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting.
Untuk memastikan ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan dengan kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar. Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.
Perbanyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya. Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan seseorang itu tidak mengalami dehidrasi. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.
Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka.
Supaya anda mampu menahan lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadam makanan banyak serat. Selain makanan berserat dan protein, sebaik-baiknya sediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.
Kesimpulannya, wanita hamil boleh berpuasa jika mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi yang tiada kekuatan akibat penyakit semenjak sebelum berkahwin atau dihidapi semasa hamil, dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya semula.
No comments:
Post a Comment