Friday, August 24, 2012

Jaga kebersihan cegah penyakit


HARI ini bermulanya amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka Aidilfitri yang pastinya berterusan hingga sebulan Syawal. Tentu sahaja kita disajikan pelbagai juadah. Dalam kita seronok beraya, kebersihan jangan dilupakan. Amalan ini penting untuk menjaga kesejahteraan dan kesihatan keluarga serta sahabat handai.
Kebersihan diri adalah penyelesaian yang mudah dan berkesan untuk membantu mengurangkan jangkitan penyakit yang mengancam nyawa, namun masih ramai ambil mudah tentang kepentingannya.
Tahap kebersihan diri yang rendah memberi peluang kepada bakteria membiak dan mengancam kesihatan kita secara keseluruhannya.
Setiap tahun, terdapat dua bilion kes penyakit cirit-birit dilaporkan. Penyakit ini merupakan punca kedua utama kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyebabkan kematian anggaran 1.5 juta kanak-kanak setiap tahun. Ia sebenarnya boleh dicegah dan dirawat.
Dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit serta meningkatkan amalan kebersihan diri, Majlis Kebersihan Global, dengan kerjasama Dettol menjalankan dua penyelidikan utama tahun ini, iaitu kajian Cross-contamination dan Back to School, serta mengkaji perkaitan secara saintifik antara jangkitan dan perkembangan kognitif.
Kajian yang dijalankan ini bertujuan merapatkan jurang pengetahuan antara penyebaran bakteria dan mengenal pasti titik perubahan positif dalam amalan kebersihan diri di kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Pengerusi Majlis Kebersihan Global, Prof. John Oxford, kajian mendapati orang ramai amat terdedah kepada ancaman penyakit bawaan makanan walaupun mereka makan makanan yang dimasak di rumah mereka sendiri.
"Ini kerana perhatian yang kurang terhadap penyediaan makanan, menyebabkan bakteria mudah berpindah daripada makanan mentah kepada permukaan sekunder seperti makanan yang sedia untuk dimakan, serta pelbagai permukaan lain di dapur," ujarnya.
Dalam pada itu, kajian mendapati 87 peratus daripada permukaan sekunder akan diliputi bakteria sekiranya langkah menjaga kebersihan tidak diamalkan.
Ini menunjukkan bahawa makanan sedia untuk dimakan termasuk epal, anggur, lobak merah dan salad boleh membawa ancaman jangkitan penyakit kepada ahli keluarga.
Selain itu, bakteria boleh merebak ke kawasan lain di rumah melalui sentuhan tangan.
"Sehingga 90 peratus daripada permukaan sentuhan tangan, seperti radio, kotak mancis dan botol tercemar. Selain itu, barangan ini biasanya tidak dicuci dengan kerap dan menjadi tempat pembiakan bakteria. Ini mendedahkan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak, kepada risiko penyakit bawaan makanan dan penyakit berjangkit yang lain," jelasnya.
Pada bahagian kedua kajian iaitu Back to School', ia mengenal pasti amalan kebersihan diri dalam rutin harian yang boleh dipupuk oleh para ibu kepada anak-anak mereka.
"Kajian menunjukkan bahawa memberikan pendidikan tentang kebersihan kepada kanak-kanak di peringkat awal usia adalah penting kerana penerimaan mereka di peringkat awal lebih tinggi. Kajian ini melibatkan anggaran 14,000 ibu kepada kanak-kanak sekolah rendah yang berumur antara lima hingga 12 tahun di 14 negara.
Di Malaysia, satu pertiga daripada ibu-ibu risau bahawa anak mereka akan dijangkiti penyakit berjangkit di sekolah. Kebimbangan utama mereka ialah anak-anak akan dijangkiti penyakit tangan, kuku dan mulut. Ini diikuti dengan penyakit bawaan makanan dan selesema bermusim," tambahnya.
Justeru, kita perlu memberi tumpuan yang lebih kepada kesihatan anak-anak kita dan menggalakkan mereka mengamalkan tabiat kebersihan yang baik.
Menurut Prof. John, perkembangan kognitif mendapati pendedahan kepada penyakit berjangkit ketika zaman kanak-kanak boleh mendatangkan implikasi kepada pertumbuhan dan perkembangan otak apabila meningkat dewasa.
Oleh itu, penanaman sikap kebersihan diri yang baik ketika masih kecil menjadi langkah penting bagi membantu mereka kekal sihat. Ini membolehkan kanak-kanak meneruskan pembelajaran mereka tanpa diganggu oleh penyakit-penyakit berjangkit dan mereka dapat menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak dengan sepenuhnya.
Secara keseluruhannya, keputusan kajian mendapati tangan menjadi salah satu penyebab utama pencemaran silang di rumah.
"Membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun antibakteria ketika menyediakan makanan adalah penting untuk mencegah penyakit bawaan makanan. Pembersihan permukaan dan penyahjangkitan juga penting untuk memutuskan rantaian jangkitan.
"Ini kerana amalan membersihkan tangan merupakan pertahanan barisan pertama yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan penyakit berjangkit," jelasnya.

No comments: