Sunday, January 31, 2010

Khasiat glukosamin untuk sendi

Sendi tulang.

Ibu saya yang berusia 60 tahun mengalami masalah sendi sehingga menjejaskan pergerakannya. Sekiranya masalah itu sejenis penyakit akibat penuaan, mengapakah suami saya yang dalam pertengahan usia juga mula mengalami simptom yang sama sejak kebelakangan ini?

Malah doktor turut mengesyorkan glukosamin untuk masalah tersebut.

Jawapan:

Setelah mencapai umur 65 tahun, kira-kira 60 peratus lelaki dan 70 peratus wanita akan mengalami osteoartritis. Penyakit yang berkait dengan penuaan dan kecederaan itu paling biasa dialami.

Osteoartritis dicirikan melalui kemerosotan tisu rawan yang bertindak sebagai kusyen pelindung. Apabila tisu rawan merosot, tulang-tulang akan bergesel di antara satu sama lain. Pergeselan yang berterusan pada bahagian sendi yang terbabit akan menyebabkan berlakunya hakisan lalu menimbulkan kesakitan pada sendi. Bahagian yang sering terjejas adalah tangan dan sendi yang memikul berat seperti lutut, pinggul, jari dan tulang belakang.

Selain faktor usia, beberapa faktor lain juga perlu diambil kira. Berat badan berlebihan atau obesiti, jenis pekerjaan seseorang itu seperti ahli sukan atau mereka yang bergiat aktif dalam aktiviti fizikal juga tergolong dalam golongan yang berisiko lebih tinggi.

Mengurangkan berat badan juga merupakan langkah penting untuk individu yang mengalami masalah osteoartritis (sekiranya berat badan berlebihan). Ini kerana berat badan berlebihan memberi tekanan yang berlebihan pada sendi yang menampung berat terutamanya lutut, pinggul dan tumit.

Glukosamin adalah preskripsi lazim untuk menangani masalah osteoartritis. Badan boleh menghasilkan sejumlah kecil glukosamin, iaitu molekul ringkas yang mengandungi glukosa, yang biasanya didapati dengan banyaknya pada bahagian sendi dan tisu penyambung. Kajian menunjukkan bahawa glukosamin berkesan dalam melegakan kesakitan dan keradangan akibat osteoartritis di samping membantu meningkatkan kualiti pergerakan serta memulihara rawan.

Banyak kajian telah menyelidik potensi penggunaan glukosamin sulfat dalam menangani permasalahan osteoartritis. Ini termasuklah memulihkan fungsi dan melegakan simptom osteoartritis. Kajian juga memperlihatkan bahawa pengambilan glukosamin membantu melewatkan kemerosotan yang lebih serius. Kini banyak bukti yang menyokong penggunaan glukosamin sulfat. Dos sebanyak 1,500 miligram yang diambil secara oral setiap hari didapati memberi kesan yang ketara dalam mengurangkan tahap masalah osteoartritis dan melegakan simptom-simptom yang dialami.

Khasiat susu coklat

John McKay menunjukkan AnleneĆ¢„¢ Concentrate berperisa coklat.

BERTUBUH langsing memang menarik. Bagaimanapun tidak ramai wanita menyedari amalan diet keterlaluan bagi memiliki tubuh idaman sebenarnya mendedahkan mereka kepada risiko osteoporosis atau masalah tulang reput.

Amalan diet sering kali memaksa individu menolak hidangan mengandungi protein, lemak dan karbohidrat serta vitamin dan mineral yang diperlukan bagi menguatkan tulang.

Bahkan, golongan ini cenderung untuk menolak minum susu kerana percaya ia menggemukkan, sedangkan kunci mendapatkan tulang kuat adalah melalui kalsium yang banyak terkandung di dalam susu.

Selain itu, terdapat wanita yang kurang gemar minum susu kerana rasanya yang tawar. Mungkin mereka belum mengetahui khasiat sebenar susu.

Justeru itu, Anlene™, susu tepung yang terkenal untuk kesihatan tulang optimum bagi golongan dewasa, melancarkan Anlene™ Concentrate dalam perisa coklat. Ia mengandungi empat kali lebih kalsium daripada susu segar biasa. Ia sebagai satu pilihan baru untuk wanita yang aktif dan mementingkan kesihatan.

Sebagai pakar nutrisi tulang, Anlene™ memahami kesukaranorang ramai memenuhi keperluan kalsium harian mereka disebabkan cabaran kehidupan harian yang sibuk dan aktif. Bagi mereka, Anlene™ Concentrate adalah cara mudah untuk menjamin keperluan kalsium harian.

Menurut Pengurus besar Fonterra Brands (Malaysia) Sdn. Bhd., John McKay, minum susu biasa mungkin tidak mencukupi.

"Ini kerana hasil penyelidikan menunjukkan bahawa kebanyakan wanita Malaysia hanya mendapat 50 peratus daripada keperluan kalsium harian mereka. Sebahagian rakyat Malaysia tidak menggemari rasa susu biasa. Oleh itu kami melancarkan Anlene™ Concentrate Coklat," ujarnya.

Selain memenuhi keperluan kalsium harian anda, perisa coklat yang lazat adalah satu kelebihan. Pihaknya, menurut McKay berbangga memperkenalkan produk baru kepada rangkaian produk susu berkalsium tinggi sedia ada.

Jisim tulang memuncak pada umur 30 tahun dan mula merosot. Oleh itu, pengambilan kalsium yang mencukupi daripada makanan harian adalah amat penting. Kekurangan kalsium boleh menyebabkan kehilangan jisim tulang dan jika berterusan boleh menyebabkan osteoporosis terutama di kalangan wanita yang usianya telah meningkat.

kalsium"Anlene™ percaya langkah pertama untuk memiliki tulang yang sihat adalah mudah. Minum susu yang sesuai dengan kandungan kalsium yang mencukupi. Perubahan yang kecil dalam amalan pemakanan harian anda boleh membawa perubahan yang besar kepada kesihatan tulang anda di masa hadapan," ujarnya.

Anlene™ merupakan satu- satunya susu tepung berkalsium tinggi yang telah diuji secara klinikal. Hasil penyelidikan menunjukkan kadar kehilangan jisim tulang di kalangan wanita yang meminum susu Anlene™ adalah lebih rendah berbanding wanita yang tidak meminum susu Anlene™. Hasil kajian itu telah dicetak oleh The Journal of Bone and Mineral Research pada 2001, menyokong status Diuji Secara Klinikal Anlene™ di kalangan kumpulan kesihatan yang berpengaruh.

Sunday, January 24, 2010

Alternatif awet muda

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

DR. ALICE menunjukkan alat laser, Spectra VRM III yang digunakan untuk rawatan laser wajah.

ANDA ingin kelihatan cantik tanpa melakukan pembedahan? Dalam era moden, mungkin anda boleh merawat masalah kesihatan kulit tanpa melakukan pembedahan. Menariknya, kaedah ini hanya mengambil masa satu hingga dua jam. Hasilnya, kulit anda akan lebih cerah dan tegang. Mungkin kaedah tidak invasif alternatif terbaik untuk anda merawat masalah kulit seperti parut, bintik atau tompok, lebihan kulit, garis halus, bentuk badan atau mengurangkan lemak badan.

Prosedur tidak invasif juga dilihat menarik minat pesakit yang belum bersedia, tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan dengan catatan 11.4 juta prosedur dijalankan sepanjang 2005 iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2000.

Pakar Runding Perubatan Estetik, Dr. Alice Prethima menjelaskan alternatif terhadap pembedahan dan jarum ini juga mampu membantu masalah kulit lembik, parut, kesan regangan atau selulit melalui kaedah terkini, berkesan dan selamat.

Mereka mungkin boleh mencuba rawatan kecantikan berbentuk tidak invasif (tidak melibatkan pembedahan) seperti laser vaginoplasti dan vaser liposelection (termasuk mencairkan, menyedut lemak dan menegangkan kulit pada masa yang sama.

"Semua orang ada kecantikan mereka yang tersendiri. Jadi tidak perlulah melakukan 'perubahan' yang keterlaluan.

"Rawatan-rawatan kecil (tidak invasif) sudah memadai melainkan apabila rawatan invasif diperlukan, seperti untuk kes kecacatan dan gangguan kesihatan," katanya ketika ditemui di Bangsar, Jalan Maarof, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Dr. Alice, pesakit di negara ini juga kurang diberikan pendedahan mengenai kaedah terkini rawatan kulit seperti penggunaan laser berbanding kaedah lama yang mencungkil keluar jerawat atau pigmen pada kulit.

Tambah beliau, penggunaan jarum merupakan antara yang paling digeruni pesakit tetapi melalui kaedah dilectropolation, pesakit tidak memerlukan suntikan untuk memasukkan molekul penting untuk rawatan kulit.

Namun, pada zaman sekarang pembedahan tidak lagi diperlukan untuk menegangkan kulit.

Hanya melalui penggunaan kolagen yang menjadikan kulit anjal dan kelihatan lebih muda.

Suntikan kolagen

Dr. Alice memberitahu, suntikan kolagen selamat juga selamat diguna.

Walaupun kesannya agak sedikit lambat berbanding botox, namun ia lebih mudah dijaga.

Kebiasaannya selepas dua atau tiga kali rawatan, wajah pelanggan akan lebih kelihatan semula jadi. Selepas enam minggu, hasilnya akan lebih nampak baik.

"Kolagen menerusi Sculptra telah digunakan di Australia sejak 2002. Tiada kesan alergi yang pernah ditemui selepas rawatan. Bahkan ia membantu kawasan melasma iaitu kawasan segi tiga hidung dan pipi. Kolagen merupakan ramuan yang lazimnya terkandung dalam kebanyakan produk awet muda. Kajian klinikal telah menunjukkan keberkesanan kolagen mengurangkan bilangan, kepadatan dan kejelasan kedutan, serta memastikan keanjalan dan kesegaran kulit," jelasnya.

Bagaimanapun, ramai yang cuma mempunyai pemahaman terhad tentang kolagen dan tidak sedar akan potensi sepenuhnya terhadap badan kita, mahupun bantuan kecantikan.

Sebenarnya, kolagen merupakan struktur protein yang berfungsi sebagai perekat dalam badan.

Ketika usia remaja dan awal 20-an, terdapat pertumbuhan hormon yang aktif bagi menyokong pertumbuhan struktur dan menggalakkan perkembangan otot, tendon dan ligamen.

Kolagen digunakan untuk menghasilkan protein bagi membantu pertumbuhan ini serta mengaktifkan penjanaan semula sel badan baru.

Apabila kolagen dalam tisu lembut semakin berkurangan, ini mengakibatkan kesukaran pengangkutan toksin dari sel ke sistem limfa.

Ia juga menghalang pergerakan nutrisi dan hidrasi yang mempunyai kesan ke atas kesihatan keseluruhan, langsung mempengaruhi keadaan kulit dan sel lain. Pada masa yang sama, keadaan tulang, kuku dan rambut akan turut menunjukkan tanda-tanda awal penuaan.

"Susutan kolagen kini boleh diganti menerusi proses yang dipanggil kaedah sintesis kolagen (collagen synthesis) menerusi terapi suntikan kolagen, apabila wanita dan lelaki memilih bahagian tertentu bagi suntikan yang menunjukkan kesan serta-merta," katanya.

Sementara itu, Dr. Alice menasihatkan orang ramai yang ingin mencuba teknologi baru atau kaedah rawatan terkini memastikan ia telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS (FDA) dengan melakukan penyelidikan melalui Internet terlebih dahulu.

"Teknik atau teknologi yang sesuai digunakan bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit selain faktor lain seperti tahap kesihatan semasa dan bentuk badan. Pemeriksaan mencari punca dasar masalah kulit juga penting termasuk masalah hormon badan," tegasnya.

Dr. Alice turut menekankan orang ramai tidak terlalu mengikut perakuan individu yang menggunakan produk baru kerana kadangkala kaedah tersebut hanya bersesuaian untuk sesetengah pesakit sahaja.

Sup haruan kolagen untuk kesihatan

NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my

IKAN haruan sememangnya dikenali kaya dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan.

SEJAK turun-temurun, ikan haruan telah terkenal sebagai sumber makanan dengan pelbagai khasiat kesihatan yang tidak dapat disangkal lagi. Mempunyai nama saintifik Channa striatus, hidupan air tawar itu menjadi makanan yang sangat popular terutama dari kalangan penduduk Asia.

Antara khasiat kesihatannya adalah seperti mampu menyembuhkan luka, mengurangkan kesakitan selepas pembedahan serta baik untuk ibu bersalin.

Kandungan asid amino dan lemak daripada ikan itu pula baik untuk memulihkan parut luka dengan lebih cepat serta sesuai merawat gastrik.

Di samping itu, ia turut mengandungi vitamin A yang berupaya meningkatkan daya ingatan, penglihatan, menjadikan kulit lebih halus dan mengandungi bahan anti oksida bagi fungsi melambatkan proses penuaan.

Khasiat lainnya adalah seperti asid arasidonik untuk membantu pertumbuhan sel-sel baru serta kolagen bagi pengekalan kulit muda.

Di negara kita, sumber makanan itu kebiasaannya diperolehi dalam bentuk produk pati ikan haruan yang banyak terdapat di pasaran.

Namun, bagi sesetengah individu, mereka mungkin sukar untuk meminum pati tersebut kerana rasa dan baunya yang kurang digemari.

Justeru, bagi memastikan khasiat ikan itu dapat dinikmati dengan cara yang lebih mudah, ia kini dihasilkan dalam bentuk sup segera.

Dikenali sebagai Sup Haruan Kolagen, produk berkenaan telah dihasilkan oleh sebuah syarikat perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, Bio Haruantech (M) Sdn. Bhd.

Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Munir Lukman Hakim, idea menghasilkan sup tersebut timbul setelah mendapati pesakit-pesakit di hospital dan klinik sukar untuk memperolehi ikan haruan.

''Bermula daripada situ, saya mula mengumpul maklumat dan menjalankan kajian bagaimana penghasilan sup ikan haruan. Ia telah mengambil masa selama tiga tahun.

''Selain berkhasiat, sup ini juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan sesuai dijadikan makanan harian,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Memasuki pasaran pada tahun 2007, produk yang dipaketkan di dalam tin itu pada mulanya kurang mendapat sambutan.

Mencari kaedah penyelesaian, Mohammad Munir kemudiannya meneruskan kajian selama lebih kurang setahun lagi untuk memperbaiki mutu produk tersebut.

Akhirnya, beliau telah berjaya menghasilkan sup dalam bentuk serbuk dengan kandungan kolagen yang tinggi dan tidak berbau.

Bagi menjamin khasiat sup ini, ia diadun bersama rempah ratus asli yang baik untuk kesihatan seperti kulit kayu manis, lada hitam dan sebagainya.

Kandungannya juga semulajadi tanpa menggunakan bahan pengawet atau pewarna selain mempunyai lebih 50 peratus isi ikan.

Ini kerana, di dalam isi ikan tersebut terdapat sejenis bahan yang diberi nama Glycine iaitu sebahagian daripada komponen kolagen dalam sel kulit manusia.

Bahan ini akan bertindak mempercepatkan percantuman kulit yang terluka dan seterusnya membentuk sel baru.

Bercerita mengenai sumber ikan mentah, beliau memperolehinya daripada beberapa kolam ternakan yang diselia di bawah Jabatan Perikanan.

''Sebelum dijadikan ramuan dalam penyediaan sup, ikan-ikan ini akan menjalani ujian DNA dan ujian mikro terlebih dahulu bagi mengenalpasti nutriennya.

''Saya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan dan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam proses menjalankan ujian ini,'' jelasnya.

Cara penyediaan sup itu amat mudah di mana pengguna hanya perlu melarutkan serbuknya di dalam 200 mililiter air dan ia boleh dimakan terus.

Ia dijual dengan harga RM16 sekotak di mana setiap kotak mengandungi tiga paket sup.

''Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setakat ini kilang kami di Rawang telah mengeluarkan sebanyak 20,000 hingga 30,000 kotak untuk memenuhi permintaan pasaran'' jelasnya.

Dari segi pasaran, beliau ketika ini sedang berusaha membawa masuk produknya untuk dijual di pasar raya besar.

Pada masa akan datang, beliau turut bercadang meneruskan kajian dalam penghasilan produk sup belut pula untuk khasiat kesihatan lelaki.

Saturday, January 16, 2010

Toksik badan terkumpul akibat merokok

SAYA merancang untuk memulakan program detoksifikasi memandangkan sejak kebelakangan ini saya makan agak berlebihan, terutamanya musim perayaan dan tahun baru. Saya juga seorang perokok dan mudah letih.

JAWAPAN,

Alangkah baiknya sekiranya azam untuk kurangkan atau berhenti merokok termasuk dalam agenda tahun baru. Banyak alasan kenapa perlunya seseorang itu menjauhi rokok:

* Nikotin dan karbon monoksida dalam rokok merosakkan endothelium yang menyediakan tapak kepada pengumpulan plak. Toksin daripada asap tembakau merendahkan kolesterol baik dan meningkatkan paras kolesterol berbahaya.

* Menyedut asap rokok akan mengurangkan vitamin dan nutrien tubuh yang akan melemahkan sistem imun tubuh. Sistem imun yang lemah akan meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung, peparu dan juga kanser

* Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) - ia merupakan kumpulan masalah kesihatan di mana laluan udara tersekat dan menyebabkan kesukaran bernafas. Bronkitis kronik - penyakit di mana laluan pernafasan menghasilkan lebih mukus yang memaksa perokok batuk lebih kerap. Merokok juga dikaitkan sebagai penyumbang utama kepada emphysemia, iaitu penyakit yang secara perlahan melemahkan keupayaan untuk bernafas. Merokok akan meningkatkan kadar kemerosotan fungsi peparu tiga kali ganda lebih tinggi dan kesukaran bernafas bermula akibat kemerosotan fungsi peparu.

Di dalam rokok juga terdapat beribu-ribu bahan kimia dan sebahagian besarnya memberi toksik kepada tubuh. Bahan ini menjejaskan banyak aspek kesihatan daripada fungsi organ dalaman tubuh hinggalah kepada sistem imun. Kandungan bertoksin daripada rokok boleh memasuki segenap ruang tubuh dan boleh merosakkan dengan banyak cara.

Pengumpulan toksin yang berlebihan akan memberi kesan kepada kesihatan, dimana kita akan mudah letih, daya konsentrasi yang lemah, peningkatan berat badan serta risiko pelbagai penyakit. Hati merupakan organ penting yang melibatkan tugas yang kompleks. Ini termasuklah memproses ubatan dan toksin lain untuk disingkirkan daripada tubuh. Penyelidikan juga mendapati merokok menukar keupayaan hati untuk menguruskan bahan-bahan tersebut.

Milk thistle dan dandelion adalah dua jenis herba popular dalam menyokong kesihatan hati. Bahan aktif dalam Milk thistle iaitu silymarin bertindak sebagai antioksida untuk melindungi sel hati daripada serangan radikal bebas akibat pengumpulan toksin berlebihan. Radikal bebas ialah bahan yang sangat reaktif dan berupaya menyebabkan kerosakan dan kematian sel. Silymarin juga boleh merangsang sintesis protein yang membantu merangsang penghasilan sel baru. Kajian klinikal menunjukkan milk thistle mempunyai kesan yang positif dalam rawatan beberapa jenis penyakit hati, termasuklah penyakit hepatitis, keradangan pundi hempedu dan sirosis hati.

Kajian tentang keberkesanan akar dandelion juga merumuskan ia berupaya menggalakkan pengaliran hempedu dan memperbaiki beberapa jenis keadaan seperti hepatitis, kongesi hati, keradangan saluran hempedu, batu hempedu dan jaundis. Keberkesanan ini berkait rapat dengan kebolehan dandelion untuk membekalkan nutrien kepada hati dan meningkatkan fungsi hati.

Saturday, January 9, 2010

Gula baik... gula jahat

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

KINI terdapat pelbagai makanan mengandungi gula dalam bentuk yang menarik.

SEBELUM terkena kawal pemakanan, jangan ikut nafsu. Beringat sebelum terkena. Kurangkan makan nasi, minuman berkarbonat dan makanan yang bergula." Begitulah bunyi khidmat pesanan ringkas (SMS) dari seorang pesakit kencing manis yang ditemu bual Mingguan Malaysia Rabu lalu.

Ketika membacanya, mungkin kita sudah biasa mendengar nasihat sedemikian. Namun, cerita sebaliknya banyak memberi pengajaran. Awal tahun ini, isu gula semakin menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini. Di sebalik kisah kenaikan dan kekurangan gula, kita lupa tentang implikasinya jika berlebihan.

Pertemuan dengan pesakit kencing manis, Nila Kesuma mat, 49 di Kapar, Selangor ingin membawa pembaca menghayati kisahnya dan mengambil iktibar. Keadaan hidupnya menjadi lebih parah apabila kaki kiri Nila dipotong akibat menghidap kencing manis dua tahun lalu. Sebelum itu, dia tidak menyangka hanya kerana gula dia boleh hidup menderita seperti ini. Pergerakannya terbatas.

Bayangkan hidupnya yang ceria telah berubah. Nila hanya mengetahui dirinya menghidap kencing manis selepas melahirkan anak keduanya. Namun Nila tidak bersungguh-sungguh mengambil insulin bagi memastikan kencing manisnya stabil. Sikap acuh tak acuh terhadap penyakit ini menyebabkan Nila kehilangan kaki kirinya.

Nasihatnya kepada generasi muda, kurangkan gula kerana tanpa disedari ia boleh menjadi pembunuh.

Mujur sahaja Nila antara insan yang bernasib baik. Selepas kisahnya tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia tahun lalu, dia kini mampu hidup selesa hasil bantuan pelbagai pihak. Hidup sebagai ibu tunggal yang terpaksa menyara dua orang lagi anaknya dalam keadaan yang serba kekurangan mendapat perhatian orang ramai. Akhirnya, walaupun kurang upaya, dia kini mampu tersenyum ceria. Jika dahulu dia sukar berjalan dan berdiri walaupun berkaki palsu, sekarang dia boleh melakukannya. Kisah kencing manis memberi hikmah kepadanya kerana dia kini lebih berhati-hati tentang pemakanan seperti mengurangkan pengambilan gula.

Gula dan diabetes

Menurut Pakar Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, diabetes sebenarnya berpunca daripada masalah pemprosesan atau metabolisma gula kurung efektif dalam badan. Walaubagaimanapun, gula atau glukosa bukanlah masalah utama penyebab diabetes.

"Diabetes adalah disebabkan pengambilan kalori yang berlebihan ditambah pula dengan kurang aktiviti senaman seharian.

Jika seseorang mengambil atau memakan lebihan kalori dari yang sepatutnya, maka lebihan kalori ini akan bertukar menjadi lemak yang berkumpul dibahagian hadapan abdomen (sekelilingnya) yang kita namakan Central Obesity.

Lemak lebihan inilah akhirnya menyebabkan insulin iaitu hormon utama memproses gula didalam darah menjadi kurang efektif, lalu terjadi keadaan dimana paras gula menjadi terlalu tinggi," katanya.

Dr. Abdul Malik memberitahu, pada masa inilah seseorang dilabel sebagai pesakit diabetes.

Berkongsi makna gula, beliau menjelaskan, gula adalah salah satu komponen asasi makanan selain protein dan lemak. Gula perlu untuk memberi tenaga kepada manusia bagi menyempurnakan pelbagai aktiviti harian. "Gula adalah substrate yang paling penting bagi otak berfungsi dengan normal. Tanpa gula, otak boleh mengalami kerosakan yang teruk dan mungkin tidak dapat berfungsi seperti biasa. Jika gula berlebihan terjadi seperti yang berlaku kepada pesakit diabetis kita akan menjadi lebih letih, sentiasa haus dan terpaksa minum air dalam kuantiti yang banyak," jelasnya.

Justeru itu, berat badan mungkin susut dan kita perlu membuang air kecil kerap sekali, termasuk di waktu malam (tidur). Gula yang berlebihan menjadikan sistem imun kita lemah dan ini menyebabkan kita senang mengalami jangkitan kuman dan luka akan mengambil masa yang terlalu lama untuk sembuh.

Selain itu, gula yang berlebihan dalam jangka masa lama akan menyebabkan salur darah halus di mata mengalami pendarahan dan menyebabkan kita menjadi buta. Salur darah di jantung juga boleh tersumbat dan ini menyebabkan serangan sakit jantung. "Hal yang sama terjadi di buah pinggang, menyebabkan "protein" bocor melalui kencing dan kerosakan buah pinggang berlaku menyebabkan kita perlu menjalani dialysis untuk keadaan ini. Deria saraf di kaki dan tangan juga boleh menjadi lemah menyebabkan kita tidak merasai luka dikaki dan oleh itu tidak mendapatkan rawatan. Luka tersebut boleh dimasuki kuman dan lama kelamaan menjadi besar dan teruk sehingga kita terpaksa memotong bahagian kaki tersebut untuk menyelamatkan nyawa pesakit," ujarnya.

Dr. Abdul Malik menasihatkan orang ramai, jika seseorang mengalami sebarang tanda-tanda gula berlebihan seperti diatas, bersegeralah dapatkan nasihat dan rawatan doktor.

"Kena ingat, masalah diabetis adalah masalah lebihan kalori dan gula bukanlah masalah utama diabetis. Jika penyakit diabetis ini dapat dikawal dengan rapi awal-awal lagi, mungkin kerosakkan jantung, mata dan buah pinggang dapat dielakkan," katanya.

Pemakanan gula

Dari sudut pemakanan, gula dalam bentuk hablur berwarna putih yang biasa kita kenal sebagai gula atau gula pasir mengandungi zat kosong yang bermaksud kandungannya semata-mata sukrosa.

Ia dikatakan tanpa zat kerana tidak mengandungi nutrien penting seperti vitamin B, enzim-enzim dan hanya mengandungi garam galian pada kadar yang sangat rendah.

Hampir semua orang beranggapan bahawa mereka memerlukan gula terutama dalam minuman sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sehari. Mereka percaya bahawa gula menyumbang tenaga.

Sekilas pandang sememangnya ia menyumbang tenaga tetapi apabila dicerna, gula melepaskan glukosa dengan pantas. Kemudian paras glukosa akan jatuh dengan pantas juga dan berada di bawah paras normal.

Makanan berkarbohidrat terutama yang ceruh atau masih ada selaput seperti beras perang atau bijiran berkarbohidrat terproses yang apabila dimasak dan dimakan dengan lemak atau protein menjadikan pelepasan glukosa dalam darah pada kadar perlahan.

Paras glukosa darah akan jatuh secara perlahan-lahan dan tidak akan melepasi di bawah paras normal.

Perubahan mood, tidak boleh fokus untuk melakukan kerja, mengantuk, letih adalah berpunca dari kadar glukosa darah rendah dari paras normal, iaitu suatu keadaan dikenali sebagai hipoglisemia. Seseorang akan terus merasakan dirinya memerlukan gula untuk mengembalikan fisiologi mereka kepada keadaan normal. Kitaran ini akan berlarutan beberapa kali dalam sehari.

Cara yang paling baik ialah berlatih mengurangkan pengambilan gula secara bertahap.

Pertama, seseorang perlu tahu mengenai kegiatan gula pada kadar-kadar berbeza dan kaedah pengambilan terhadap fisiologi. Kedua, mereka perlu tahu hasil kesan pengurangan pengambilan gula.

Ketiga, mereka perlu ada tekad dan yakin boleh melakukannya iaitu mengurangkan pengambilan gula. Akhir sekali, mereka mesti bersungguh- sungguh untuk terus-menerus melakukannya.

Sekiranya seseorang berjaya mengurangkan pengambilan gula kepada separuh daripada jumlah biasa, akhirnya mereka akan merasa kadar yang diambil itu tetap manis.

Sekiranya anda mengalami hipoglisemia ketika mengurangkan pengambilan gula, kajian menunjukkan pengambilan minyak hati ikan kod secara berterusan dapat membantu menstabilkan glukosa dalam darah. Minyak kelapa dara juga boleh membantu iaitu dengan memperlahankan pelepasan glukosa darah.

Gula, seperti mana perangsang metabolik lain termasuk kopi, rokok dan alkohol sekiranya diambil berterusan adalah punca kepada penyakit-penyakit degeneratif dengan menyebabkan tubuh sentiasa dalam keadaan stres (tegang).

Ia mengakibatkan hormon kortisol yang dikaitkan dengan penyesuaian fisiologi terhadap stres jangka panjang berada pada paras lebih tinggi daripada normal. Hormon ini dikaitkan dengan pelbagai ketidakseimbangan berbagai jenis hormon, neurotransmitter, dan enzim.

Mengambil alternatif lain seperti madu, gula kabung, gula marah, sirap maple, sirap berfruktos seperti sirap ros bukan suatu yang baik juga. Kesemuanya akan meningkatkan pelepasan glukosa darah yang pantas kecuali diambil pada kadar rendah dan diambil bersama lemak atau protein.

Sirap fruktos seperti sirap ros dan sirap-sirap lain mengandungi pewarna tiruan yang boleh memudaratkan sel dan DNA.

Menurut kajian, gula tiruan juga akan menjadikan tubuh menerimanya seolah-olah seseorang makan gula biasa selain keselamatannya terhadap tubuh diragui.

Walaupun fruktos buah-buahan adalah baik berbanding dengan makanan dan minuman terproses kerana buah-buahan mengandungi serat dan nutrien-nutrien lain. Sekiranya memakan buah yang manis seperti tembikai, pastikan tidak dimakan secara berlebihan. Biasakan minum jus buah-buahan tanpa gula.

Kesimpulannya, kadar pengambilan gula boleh dikurangkan jika ada kekuatan diri dan mental serta usaha.

Pentingnya kesihatan usus

KESIHATAN usus memainkan peranan besar kepada kesihatan. Usus bukan sekadar sebagai tempat salur laluan makanan sebelum dikumuhkan, malah ia berperanan sebagai barisan pertahanan penting tubuh terhadap bakteria berbahaya.

Kesihatan usus akan mempengaruhi penyerapan nutrien dan zat daripada makanan dan ini tentunya memberi kesan kepada kesihatan tubuh yang juga mempengaruhi kekuatan sistem imuniti.

Kebanyakan masalah lazim berkaitan dengan saluran gastrousus sebenarnya bermula dengan ketidakseimbangan mikroflora usus, iaitu akibat gangguan mikro-organisma berbahaya. Probiotik adalah bakteria hidup yang digunakan untuk memperbaiki keseimbangan flora usus dan bermanfaat dalam banyak cara.

Probiotik melindungi kita daripada mikro-organisma, kulat dan virus berbahaya. Sistem imuniti tubuh yang kuat juga akan melindungi tubuh daripada patogen. Masalah gangguan usus seperti sembelit dan cirit-birit dapat dielakkan dan ditangani dengan pengambilan probiotik yang mencukupi.

Probiotik yang merupakan bakteria bermanfaat dapat menghasilkan enzim laktase dan bahan antimikrob lain.

Ciri-ciri yang unik ini membolehkan individu yang mengambilnya mencerna laktosa dengan lebih berkesan.

Tambahan pula, mereka lebih berupaya menahan gangguan patogen kerana bakteriosin yang dihasilkan oleh probiotik hidup dapat menghapuskan bakteria berbahaya.

Selain itu, metabolisma probiotik akan mewujudkan persekitaran usus berasid yang dapat mengurangkan pertumbuhan mikroorganisma berbahaya.

Sifat yang tidak kurang pentingnya pada probiotik adalah bersaing dengan patogen-patogen untuk mendapatkan makanan dan tapak pelekatan dalam dinding usus. Ini secara langsungnya dapat merendahkan kesempatan patogen untuk membentuk koloni dalam usus.

Pilihlah probiotik dari strain yang dikaji dan terbukti selamat dan berkesan untuk menangani ketidakselesaan gastrousus yang ditimbulkan ketidakseimbangan mikroflora usus.

Hasil daripada penyelidikan selama lebih tiga puluh tahun mendapati Lactobacillus acidophilus NCFM dapat memperbaiki masalah penghadaman dan juga kesihatan usus secara keseluruhannya.